W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Khamis, 4 Julai 2013

3 MAWAR MERAH9





Tiga
Mawar merah
**9**

“MAK CIK apa khabar?”
Zara tak sangka dia akan bertemu dengan Hajah Orkid dekat SACC Mall berhampiran dengan Badrul Songker Batik di tingkat dua. Tangan wanita itu disalam lalu dengan hormat dia menciumnya. Wanie yang ada di sebelah juga turut menyalam tangan wanita bergaya itu. Hormat lagaknya.
“Alhamdulillah… baik. Zara pulak macam mana? Sihat?” kini giliran Hajah Orkid pula yang bertanya. Lebar senyumannya melihat wajah Zara yang ada di depan mata. Sudah agak lama juga dia tidak nampak kelibat gadis manis itu.
“Alhamdulillah… Zara sihat mak cik.”
Hmmm… dah lama makcik tak nampak Zara datang ke rumah Fara.”
Zara tersengih. Rupanya wanita itu pun perasan juga yang dia sudah lama tidak datang ke rumah kakaknya itu. Ingatkan alongnya saja yang merungut kerana dia sudah jarang datang ke sana. Konon Zara sekarang sudah tidak berminat datang ke rumahnya lagi. Kalau nak lepak pun mesti nak lepak dekat rumah angahnya saja. Sentap juga alongnya bila dia jarang ke rumah along yang terletak dekat Seksyen 7 itu.
“Sejak kebelakangan ni agak sibuk sikit dengan kerja mak cik. Tu yang dah lama tak datang ke rumah along.” Iya la sibuk. Sibuk berkabung sebab baru putus cinta. Tu yang tak muncul-muncul dekat rumah along takut kena bebel dengan along.
Eh… mak cik datang sini sorang aje ke?” Zara bertanya akhirnya.
“Tak. Mak cik datang dengan anak.”
“Kak Putri ye?” tebak Zara. Dia cukup suka dengan Kak Putri. Wanita itu sebaya dengan usia alongnya. Cuma beza… Kak Putri ini belum kahwin lagi walaupun usianya sudah menjangkau tiga puluh tahun. Usia bukan lagi jadi ukuran pada wanita zaman sekarang. Apa yang penting adalah kerjaya dalam hidup.
Hajah Orkid menggeleng lembut. “Bukan. Mak cik datang dengan Putra.”
Baru Zara ingat yang Hajah Orkid ini masih ada seorang anak lelaki yang bernama Putra. Dulu alongnya pernah juga mencuba-cuba hendak mengenenkan dia dengan anak lelaki Hajah Mawar itu, tapi dia menolak disebabkan waktu itu hatinya milik Ajib. Mana boleh dialih sesuka hati pada orang lain walaupun lelaki yang hendak alongnya kenenkan itu hensem bagaikan pelakon Hollywood sekali pun. Cintanya tak akan bertukar ganti dengan begitu mudah. Lagipun waktu itu dia cinta separuh mati dengan Ajib.
Butanya cinta….
“Zara belum kenal Putra lagi, kan? Kebetulan dah terserempak ni… bolehlah Zara berkenalan dengan Putra. Kejap lagi Putra sampai. Dia tengah cari tempat letak kereta tu. Kebetulan… dia baru seminggu balik dari oversea.” Tiba-tiba Hajah Orkid membuka usul. Dia memang sudah lama ingin memperkenalkan Zara dengan anak bujangnya itu. Cuma belum ada rezeki hendak mempertemukan mereka berdua.
Jadi dah alang-alang bertemu di sini, bolehlah dia memperkenalkan Zara kepada anak lelakinya yang balik bercuti itu. Manalah tahu kut-kut anak bujangnya itu berkenan dengan Zara. Dapat jugalah dia bermenantu dan bolehlah itu dijadikan alasan untuk Putra menetap kembali di Malaysia ini. Lagipun, dia memang suka dengan Zara Dania. Gadis itu dirasakan cukup sesuai untuk dijadikan menantunya.
Zara terkedu. Usul Hajah Orkid membuatkan dia jadi serba tak kena. Kalau boleh dia memang tak nak berkenalan dengan anak Hajah Orkid yang bernama Putra itu, tetapi dia masih belum bersedia.
Bagaimana Zara hendak mengelak ya? Wajah penuh berharap Hajah Orkid mencuit rasa simpati dihatinya. Tak sampai hati pula dia hendak menghampakan harapan wanita itu yang mahu mengenalkan dia dengan anaknya itu. Tapi… dia benar-benar belum bersedia untuk bertemu dengan Putra.
Aduh… tak boleh jadi macam ni. Kena juga cari jalan untuk lepaskan diri. Macam mana ye? Aduhai… idea! Idea! Idea… please!
Tiba-tiba kepala Zara timbul mentol kecil. Dia mengerling Wanie yang masih setia disebelahnya. Otaknya laju mahu menjalankan satu pembohongan. Heheheee
Errr… mintak maaf mak cik. Kalau boleh Zara memang nak berkenalan dengan Putra tapi kawan Zara ni ha… dia kelam-kabut. Kita orang baru dapat call sebentar tadi. Suami kawan Zara ni accident masuk hospital. Kesian mak cik… habis patah-riuk tulang-tulang suami kawan Zara ni. Tak tahu masih hidup atau dah mati. Tu yang kitaorang nak cepat ni.” Bohong sunat. Bohong nak lepaskan diri.
Wanie terkejut. Dia mahu membuka kata tetapi cepat-cepat Zara bersuara lagi. Tidak mahu membiarkan Wanie membongkarkan pembohongannya itu. Wanie ni bukan boleh percaya sangat mulut dia.
“Zara mintak maaf ye mak cik. Insya-ALLAH lain kali Zara berkenalan dengan Putra. Kami nak cepat ni.”
Hajah Mawar menghela nafas. Nampaknya belum ada peluang lagi untuk dia mempertemukan anak bujangnya dengan gadis comel di depannya ini.
“Takpelah kalau macam tu. Nak buat macam mana kan? Ada emergency. Dah takde peluang untuk Zara berkenalan dengan Putra untuk hari ini. Lain kali ajelah.”
Zara mengangguk-anggukkan saja kepalanya.
“Kami pergi dulu ye mak cik. Assalamualaikum…” cepat-cepat Zara menyalam tangan Makcik Hajah Orkid dan berlalu pergi dari situ. Wanie pula terkocoh-kocoh mengejar langkahnya yang bagaikan lipas kudung itu.
“Apa kena dengan kau ni? Bila masa aku ada laki? Aku ni belum kahwin pun lagi. masih single and available. Kalaulah ada lelaki-lelaki kacak yang terberkenan nak berkenalan dengan aku tadi, dengar aje kau kata macam tu sah dia orang tak jadi nak mengurat aku tau. Semua sebab mulut kau yang tak berinsurans ni la. Sesuka hati kata aku ada laki.” Gerutu Wanie dengan ayat ‘terbekenan’ itu ditekannya ketika mereka sudah menuruni escalator. Geram dia bila Zara sesuka hati berkata begitu depan mak cik yang tidak dikenalinya itu.
Zara tayang sengih. Bukannya dia sengaja nak cakap begitu, tetapi cuma idea itu sajalah yang dia ada.
Kaki melangkah ke Secret Recipe yang terletak di bahagian bawah bangunan SACC Mall. Pantas saja Zara memilih dua jenis kek berasaskan cheese.
“Alaaa… sorrylah babe. Aku bukan sengaja nak kaitkan kau dalam masalah aku. Tapi aku dah takde cara lain lagi dah nak lepaskan diri. Cuma itulah satu-satunya idea yang aku ada untuk melarikan diri dari makcik tadi. Kalau tidak… tak tahulah macam mana aku nak lepaskan diri.” Ujarnya yang sudah berlalu ke bahagian kaunter pembayaran.
“Kalau iye pun nak mengelak, janganlah jadikan aku sasaran kau pulak.
“Alaaa… sorrylah.” Ujar Zara sambil menghulurkan not RM 50 untuk membayar harga kek yang diambilnya kepada tauke di depan kaunter.
Hmmmhensem juga tauke kedai ni. Ada iras-iras Andy Lau waktu muda-muda dulu. Untung kalau dapat jadi girlfriend dia. Sempat Zara mengelamun. Senyuman lelaki cina itu membuatkan dia terpesona. Menggoda kalbu!
“Nah! Untuk kau sebagai tanda mintak maaf dari aku.”
Kek Cheese Choc itu diunjukkan kepada Wanie. Dia tahu Wanie memang pengemar kek berperisa chocolate cheese itu. Untuk dia pula, dibelikan kek berperisa original cheese. Dia tak sukakan coklet.
Langkah diteruskan setelah terpukau sebentar dek senyuman lelaki cina tadi. Tergugat sebentar imannya yang konon sudah berjanji tidak mahu jatuh cinta dalam jangka masa terdekat ini. Tup-tup… nampak lelaki iras Andy Lau, terus dia rasa macam nak jatuh cinta.
Wanie mencebik. Senang betul Zara hendak memujuknya. Hanya dengan sekotak kecil kek kegemarannya ini. Dalam geram dia tetap mengambil kotak kek yang dihulurkan. Kata orang, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Lupakan ajelah apa yang Zara kata tadi. Heheheee
“Kalau kau takde, memang susah aku nak lepaskan diri dari mak cik tu.”
“Lepaskan diri untuk apa pulak? Siapa sebenarnya makcik tu babe?” Wanie bertanya pelik.
“Jiran along aku.”
“Habis tu yang kau beria-ia nak larikan diri dari makcik tu untuk apa? Jiran along kau aje kan?”
Eiii… kau nikan. Kau dah pekak ke? Kau tak dengar ke tadi apa yang makcik tu cakap dekat aku. Dia nak kenalkan aku dengan anak dia? Jadi… sebelum anak dia tu sampai, baik aku larikan diri cepat-cepat. Masa tulah timbul idea nak menggunakan pertolongan kau.”
Bengap betullah si Wanie ni. Getus hati kecil Zara. Takut dikatakan terang-terang yang Wanie itu bengap, temannya itu akan berkecil hati pula. Maka cakap dalam hati sajalah. Takdelah Cik Wanie ni bermulut muncung nanti.
“Laaa… pasal tu pun kau nak lari? Kenal ajelah. Bukannya susah mana pun. Lagipun aku dengar nama anak mak cik tu macam sedap aje. Putra! Biasanya orang kalau nama dah sedap sampai ber-Putra-Putra ni, mesti muka pun hensem.” Sambil berkata, Wanie sudah menayang senyuman persis kucing siam betina yang hendak menggatal.
Zara menjulingkan matanya ke atas. Kalau berbicara pasal lelaki dengan Wanie, memang tak pernah nak habis. Zara ni pun pernahlah beberapa kali bercinta dan putus cinta, tapi takdelah tunjuk sangat gatal dan miang macam temannya ini. Pantang terkeluar cerita pasal lelaki, mulalah nak tergedik-gedik. Hadoi! Tolonglah control sikit diri tu ye Cik Nur Hawanie.
“Tu kata kau. Nama tak semestinya mencerminkan diri seseorang. Cuba kau tengok macam si K yang pernah satu uni dengan kita dulu tu. Nama punya gempak. Tengku Indra Khairul Nizam Shah, sekali orangnya… dahlah kemetot, hitam, perut boroi, gigi pula warna kuning keemasan. Eiii… tak sesuai betul dengan namanya yang cukup gempak itu.” Zara terkenangkan K, Mat Romeo yang konon-konon perasan hensem itu. Ada hati nak jadi playboy tersohor dekat UiTM dengan bentuk fizikal dan rupa paras sebegitu. Betul-betul tak sedar diri. K pernah juga mengurat dia, tapi mintak maaflah. Dia memang tak pandang pun si K biarpun banyak duit.
Wanie sudah ketawa mendengar omongan Zara. Dia pun beranggapan sedemikian. K memang tak hensem langsung. Namun lelaki kemetot tertubuh gempal itu boleh tahan juga playboynya. Biar tak berupa, dengan duit pun dia sudah boleh membeli cinta. Sesuai sangatlah dengan perempuan-perempuan yang sudi menjadi kekasihnya itu. Cuma mahukan duit dan kemewahan semata-mata. Nampak sangat takde keikhlasan. Sekarang ni dengar khabar si K tengah hangat bercinta dengan seorang model Malaysia yang takdelah berapa nak femes sangat pun. Harapkan seksi aje yang terlebih daripada tontonan umum. Sesuai sangatlah bercouple dengan K yang mata keranjang.
“Kau tengok pulak macam si Salim tu. Nama memanglah nampak kekampungan dan tak menarik langsung. M. Salim! Macam nama orang dulu-dulu pulak. Tapi muka dia… fuyooo… ada iras-iras Chad Michael Murray. Hensem tu… aku pun boleh cair setiap kali dia tersenyum. Mujurlah dia tu dah ada girlfriend dan aku ni bukan tergolong dalam golongan perempuan yang akan merampas hak orang lain.” sambung Zara lagi. Bayangan wajah kacak M. Salim terlayar depan mata. Memang hensem bangat dong!
Wanie menganggukkan pula kepalanya bagai burung belatuk. M. Salim, bekas pelajar kejuruteraan itu memang hensem orangnya. Mana tidaknya, M. Salim ini berdarah kacukan. Ayah melayu, emak orang England. Pasal tu muka dah ada iras-iras pelakon Hollywood. Jadi tak heranlah kenapa M. Salim sering menjadi tumpuan ramai. Cuma M. Salim aje yang tak melayan. Setia pada kekasih hatinya si Siti Fatimah Haji Sidek ketika itu dan kini dengar cerita mereka sudah pun selamat menjadi pasangan suami isteri.
Dalam kemeriahan Zara dan Wanie bersembang perihal lelaki-lelaki sekeliling mereka yang mempunyai banyak ragam, tiba-tiba Zara terjerit kecil.
“Alamak?!”
Wanie di sebelah terkejut beruk betina. Mujur dia tak termelatah mendengar jeritan Zara yang nyaring.
Apesal dengan kau ni? Terjerit-jerit macam tarzan. Terkejut aku.”
“Aku lupa ambik baki duit dekat Secret Recipe tadilah babe.”
“Laaa…”
“Nah! Kau ambik kunci skuter aku ni… pergi start dulu. Kejap lagi aku datang. Aku nak ambik baki duit.” Arah Zara. Dia bergegas untuk pergi semula ke kedai tadi.
Itulah, terlampau sangat melihat senyuman lelaki cinta itu sehinggakan dia lupa nak ambil duit baki.
Setelah mengambil duit bakinya, Zara terkocoh-kocoh untuk pergi ke tempat letak motor. Mujurlah lelaki cina itu seorang yang jujur. Nampak sahaja kelibat Zara, terus dia melambai-lambai tangan untuk memberikan baki duit. Itulah… siapa suruh lalai sangat.
Dalam terkocoh-kocoh itu, tiba-tiba mata Zara terpandangkan seseorang. Seseorang yang amat dikenalinya. Cepat-cepat dia menyembunyikan diri di sebalik restoren Asiari. Tidak mahu kelibatnya kelihatan oleh pasangan pengantin baharu yang inai dijari masih merah menyala itu.
Hisy… macam mana boleh terserempak dengan dia dekat sini. Menyusahkan betul. Gerutu hati kecil Zara. Jika boleh, sampai bila-bila pun dia tidak mahu lagi bertembung dengan Ajib. Sakit benar hatinya melihat kemesraan Ajib bersama wanita yang tidak dikenalinya itu. Mungkinkah wanita itu Mastura? Isteri Ajib. Hmmm… bukan main lagi pasangan itu pegang-pegang tangan. Menyampah!
Zara masih lagi meneropong dari cela-cela restoren. Dah macam penyiasat pula aksi lagaknya ketika itu. Terhendap-hendap. Mata-mata yang memandang tingkahnya di dalam restoren itu langsung tidak dihiraukan. Dia lupa di mana dia berada. Tertonggeng-tonggeng dia menghendap kemesraan Ajib dan wanita itu. Cemburunya mula menyala. Aksi tonggengnya hanya layak untuk tontonan 18 tahun ke atas saja. Cukup mengiurkan mata-mata lelaki gatal yang memandang.
Dalam aksi terhendap-hendap itu, ada seseorang berdehem dari belakang. Dari tadi dia mengerling aksi gadis itu dari jauh. Hatinya jadi tidak senang bila ada mata-mata jantan nakal memerhati punggung Zara yang tertonggeng-tonggeng begitu.
“Kalau nak jadi penyiasat persendirian sekali pun, janganlah sampai macam tu awak tertonggeng. Tak malu ke awak buat macam tu? Sengaja nak tayang punggung awak tu dekat orang ramai?”
Sinis sindiran yang kedengaran membuatkan Zara berpaling. Ketika itu juga, matanya membulat bagaikan guli.
Hakimie menjungkit sebelah keningnya. Aksi biasa jika dia bertembung dengan wajah tegang Zara. Manakala Farok yang turut berada di sebelah Hakimie hanya mampu tersenyum-senyum. Perubahan pada wajah Zara menarik senyum yang lebih lebar lagi pada bibirnya.
Zara sudah mengigit bibirnya. Tak sangka dia boleh terserempak dengan lelaki-lelaki itu di sini. Entah apalah nasib dia hari ini, ramai pula yang dia terserempak dengan cara kebetulan.
“Saya tak suka staf saya buat perangai pelik macam ni. Nanti apa pulak kata orang ramai bila tahu awak tu arkitek dekat Star Properties? Tentu dia orang tak yakin dengan seni bina syarikat setelah lihat arkiteknya berkelakuan ganjil dengan aksi yang melampau. Macam orang kurang siuman.” Sambung ayat pedas Hakimie lagi. Sesuka hati kata orang tak siuman. Hakimie ni mulutnya memang takde insurans.
Menyedari aksinya yang terlampau itu, Zara cepat-cepat membetulkan kedudukan. Baru dia sedar dia sudah terlebih menonggeng. Kulit wajahnya yang putih bersih sudah merona merah kerana malu. Dia sudah tidak ada modal hendak berdebat dengan Hakimie kerana rasa malu yang membentung jiwa. Lantas tanpa membuang masa dia terus beredar. Dalam hati dia sudah menggumam, tak guna benar terserempak dengan mamat poyo itu. Tak pasal-pasal, air mukanya jatuh hanya kerana ‘keoveran’ tonggengannya. Aduh… memalukan!
Alunan irama Gwiyomi yang keluar dari telefonnya membuatkan Zara segera menjawab panggilan.
Babe… kau ni ambik duit baki ke tengah mengayat tauke iras Andy Lau tu? Cepatlah! Panas tau dekat luar ni. Cair make-up aku.” Gesa Wanie. Dia yang berada di luar bangunan SCC Mall sudah berpeluh-peluh menunggu Zara. Cakap kejap, tapi sudah dua puluh minit juga dia keras menunggu dekat luar ni.
Zara mendengus. Dia sudahlah tengah malu tahap melampau ni, Cik Wanie si patung lilin itu dah merengek-rengek suruh dia cepat. Takut sangat make-upnya cair. Huh!!!
Iye la. Iye la. Aku datanglah ni. Jap.”
“Okey.”
Kemudian talian pun diputuskan.
Langkah dipercepatkan. Dia ingin segera pulang ke rumah sebelum dia terserempak lagi dengan sesiapa.

******************************************************************************

HAKIMIE melangkah masuk ke dalam kondominium bujang miliknya itu. Sudah lama kondominium ini dibelinya. Asal nak duduk sini selepas dia berkahwin dengan Eriza, tetapi memandangkan pertunanganya dengan Eriza putus, maka kondominium ini dibiarkan kosong bila dia membawa diri ke NY. Cuma sekarang ini sahaja, sejak dia kembali semula ke sini barulah kondominiumnya ini berisi.
Papa ada juga mengajak dia untuk tinggal di rumah baharu mereka. Namun dia menolak dengan alasan mahu hidup berdikari. Cuma sesekali, dia ada juga menjenguk papa di rumah baharu mereka. Besar rumah itu. Ada empat bilik kesemuanya. Kasihan papa tinggal di rumah besar itu seorang diri namun apakan daya, papa sukakan rumah itu. Dan dia pula sukakan kondominiumnya ini.
Nafasnya dihela. Tiba-tiba pula bayangan gadis bernama Zara Dania itu singgah pada fikirannya. Membuatkan bibirnya tiba-tiba saja mengorak sebuah senyuman. Telatah Zara yang terhendap-hendap ketika di restoren Asiari tadi berjaya membuatkan hatinya dicuit. Kelakar benar gaya gadis itu. Zara itu, gayanya begitu selamba. Tak macam perempuan lain yang akan control diri setiap kali berdepan dengannya. Zara, gadis itu sentiasa menjadi dirinya yang sebenar. Buat dia bagaikan tidak ada apa-apa tarikan yang istimewa.
Bukan nak cakap besarlah. Ikutkan memang ramai perempuan yang tergila-gilakan dia. Maklumlah, dia inikan kacak. Mana tidak kacak kalau lahir dalam darah kacukan. Mamanya merupakan wanita berketurunan Belanda manakala papanya pula Melayu-Inggerish-Cina. Pasal itulah kut dia memiliki kulit yang cerah dan wajah yang kacak.
Hakimie tersenyum. ‘Hai… perasan jugak aku ni rupanya.’ Hati berbisik sambil meraup rambutnya ke belakang.
“Amboi… anak papa ni, lebar benar dia tersenyum. Ingatkan buah hati ke?” teguran itu membuatkan Hakimie pantas menoleh.
“Papa? Bila sampai? Macam mana papa masuk?” terperanjat dia melihat kelibat papanya yang berada di situ. Laju dia bangun lalu menyalam tangan papanya. Dicium penuh hormat tangan tua yang sudah sedikit berkedut itu.
Dr. Haji Helmie tersenyum senang. “Papa dah dua jam dekat rumah Kimie ni. Papa ada call Kimie, tapi Kimie tak jawab. Tu yang papa datang aje. Takkanlah Kimie dah lupa yang Kimie ada bagi papa kunci pendua?”
Pantas Hakimie menyeluk tangan ke poket seluar. Mengeluarkan telefon bimbitnya. Kalau benar papanya ada telefon, kenapa pula telefon bimbitnya tidak berbunyi?
Tappp! Tangan sudah menampar dahi sendiri. “Sorrylah, pa. Bateri handphone Kimie kong!” ujarnya kemudian sambil menayang telefon bimbit yang kehabisan bateri itu.
“Nasib baik papa ada kunci pendua. Sekurang-kurangnya papa takdelah kena jadi penunggu depan pintu rumah Kimie tadi.” Balas Dr. Haji Helmie sebaik melihat telefon bimbit anaknya yang kehabisan bateri itu.
Bau aroma yang mula menyengat ke rongga hidung membuatkan lubang hidung dua berana itu kembang-kempis.
“Ya ALLAH… papa lupalah. Papa tengah panaskan lauk dekat dapur tadi.” Cepat Dr. Haji Helmie bangun lalu menuju ke ruang dapur.
Hakimie tidak mahu tinggal. Dia membuntuti langkah papanya menuju ke ruang dapur yang jarang berasap kerana dia jarang masak di rumah. Lebih senang makan dekat luar sahaja.
“Papa masak ke? Sedap aje bau dia.” Tanya Hakimie. Aroma masakan yang begitu enak itu mampu membuka kembali seleranya. Terasa perutnya berdondang sayang pula.
“Tak! Lauk ni jiran depan rumah kita yang beri.” Bagitahu Dr. Haji Helmie.
“Jiran depan rumah? Hai… pa, baru duduk enam bulan kat sana dah ada yang sudi berikan lauk untuk papa nampaknya. Hmmm… ini mesti jiran depan rumah tu nak mengurat papa.” Hakimie sudah mula mahu mengusik. Mahu menyakat papanya yang jarang melatah bila dia sudah menyakat. Papa memang seorang yang cool!
Dr. Haji Helmie menggelengkan kepalanya. Anaknya itu sudah mula hendak mengusik dia nampaknya. “Dah! Kimie jangan nak main tuduh-tuduh. Takde maknanya jiran depan rumah tu nak mengurat papa. Mereka tu pasangan suami-isteri dan dah beranak cucu pun. Mereka memang baik hati. Kekadang tu, papa pula yang naik segan bila mereka kerap sangat beri lauk dekat papa.”
Mendengarkan itu, Hakimie jadi tersengih seperti kerang busuk. Niat hendak menyakat papanya lebih-lebih terbantut kala mengetahui jiran depan rumah papanya itu adalah pasangan suami-isteri. Jika sudah beranak dan bercucu, pastinya mereka juga sebaya dengan papanya.
“Wah… untunglah papa kan. Hari-hari dapat lauk free.” Hakimie sudah mengambil pinggan di dalam cabinet. Lalu diatur di atas meja makan.
“Alhamdulillah. Rezeki kan. Lagipun orang kata, rezeki jangan ditolak musuh pula jangan dicari. Kalau nak harapkan anak papa ni yang memasak untuk papa dia ni, memang takdelah jawabnya. Kempunan ajelah Haji Doktor Helmie ni.” sempat Dr. Haji Helmie menyindir.
Hakimie tersengih lagi. Dia bukannya tidak tahu memasak. Biarpun dia ini lelaki bertubuh sasa dan boleh dikategorikan sebagai lelaki maskulin, namun dia pandai memasak. Segala-galanya dipelajari daripada mak usunya sejak dia dari zaman remaja lagi. Cuma itulah, kesibukan yang melanda membuatkan dia malas hendak masuk dapur untuk memasak. Namun ilmu memasak itu masih tersimpan kemas dalam mindanya. Alaaa… setakat masak yang simple-simple ni, petik jari saja dia.
Lauk ikan pari asam pedas yang sudah tersedia depan mata membuatkan air luar Hakimie menjadi kecur. Rasa tak sabar dia nak menikmati makanan kegemarannya itu. Laju dia mengangkat tangan dan mula membaca doa makan. Setelah mengaminkan doa, terus dia menyenduk lauk. Diangkat lalu diletakkan atas pinggan papanya. Kemudian barulah dia mengambil untuk dirinya pula.
Hmmm… sedaplah pa. Kalah asam pedas dekat hotel-hotel ternama.” Puji Hakimie. Ikan pari masak asam pedas itu cukup segala ramuannya. Tak ada yang kurang, tak ada yang lebih. Semuanya secukup rasa.
Malas hendak menjawab, Dr. Haji Helmie hanya tersenyum mendengar pujian daripada anak bujangnya itu. Asam pedas air tangan isteri Cikgu Muhammad Zainal ini memang membangkitkan selera. Dia gembira dapat berjiran dengan pasangan suami-isteri itu. Malah anak perempuan pasangan itu juga seorang gadis yang cukup menyenangkan hatinya. Peramah dan ceria orangnya.
Terfikir juga dia hendak mengenalkan anak bujangnya ini dengan anak gadis Cikgu Muhammad Zainal. Mana tahu mereka serasi? Hmmm
Tanpa Hakimie sedar, papanya sudah tersenyum memasang angan.

******************************************************************************

HAKIMIE mematikan talian setelah perbualan dengan Memey Suhaiza ditamatkan. Rimas pula dia mendengar rengekan si anak manja Datin Suhaila yang tergedik-gedik menyuruh dia keluar malam ini. Konon rindukan dia. Nak jumpa untuk melepaskan rindu pada Hakimie yang mencengkam jiwa. Amboi… ayat! Madah berhelah.
Inilah yang dia malas dengan orang perempuan, baru berkawan-kawan, tetapi Memey Suhaiza Datuk Murat itu sudah menganggap hubungan mereka menjadi serius. Sedangkan mereka baru kenal dua minggu. Namun sikap kurang menyenangkan si Memey sudah jelas kelihatan. Dia rimas dengan sikap gadis manja tahap melampau itu. Mahu selalu keluar dan berjumpa untuk melepaskan rindu. Dan apa yang paling dia tak berkenan jika keluar bersama Memey, gadis itu suka nak pegang-pegang. Sikit-sikit nak pegang tangan dan peluk lengan. Rimas! Dia tak suka macam itu. Lagipun, antara dia dengan Memey bukannya pasangan kekasih yang perlu berpegang tangan segala.
Secara seriusnya, dia bukanlah lelaki yang tergolong dalam golongan romantika nusantara. Pasal itulah mungkin suatu ketika dahulu Eriza naik bosan padanya. Kerana dia ini bukan lelaki jenis romantik yang suka membelai manja teman wanitanya. Namun, dia serius sayang dan cintakan Eriza ketika itu. Cuma gadis itu sahaja yang tidak dapat menerima sikapnya yang satu ini.
Dan bila Eriza berpaling pada lelaki lain demi mencari kesempurnaan, dia memang terasa sakitnya. Penengan daripada kesakitan itulah yang membuatkan dia bagaikan serik untuk bercinta lagi. Dia senang begini. Sekurang-kurangnya hatinya tidak akan dilukai walaupun terasa kosong tanpa cinta.
Sepanjang tempoh itu, bukannya dia tak pernah nak berkenalan dengan mana-mana perempuan. Namun semuanya hanya dianggap sebagai teman biasa. Hatinya belum terbuka untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan wanita-wanita yang dikenalinya itu. Tapi janganlah pula ada yang salah faham dengan mengklafikasikan dirinya sebagai tergolong dalam golongan gay pulak. Hisy… dia masih lagi lelaki normal. Masih suka dengan kaum perempuan cuma dia masih belum bersedia untuk menjalinkan hubungan dengan serius sahaja.
Zara Dania!
Tiba-tiba nama dan bayangan gadis itu terlintas pada benaknya. Membuatkan dia tersenyum sendiri.
Jauh di sudut hati, memang dia akui Zara seorang gadis yang comel. Malah gadis comel itu juga lain daripada yang lain. Zara tidak sama dengan gadis-gadis yang dikenalinya. Zara tidak tergedik-gedik dan memandang dirinya. Dia seolah-olah tiada makna pun pada gadis itu.
‘Hai Encik Hakimie… apasal tetiba ingat dekat Zara ni? Ada sesuatu ke?’ Bagaikan ada suara yang berbisik. Mengejeknya kerena tiba-tiba memikirkan gadis yang sering menjadi mangsa pembuliannya itu.
“Ahhh… sudah! Buat apa pula aku nak fikirkan pasal si minah kelibut tu? Dia takde makna pun pada aku.” Ucap Hakimie akhirnya.
Huarghhh!” besar mulut Hakimie menguap. Cepat-cepat dia menekup mulut yang ternganga luas itu dengan telapak tangan.
Kalau mak long nampak dia menguap tak tutup mulut mesti dia sudah kena sound.
Kata mak longnya yang jelita, “Dah tak tau nak tutup mulut ka ternganga besar macam tu? Nak suruh iblis masuk dalam perut supaya senang nak menghasut? Lain kali kalau nenek nampak lagi Kimie menguap tak tutup mulut… mak long sumbat dengan cili padi!”
Aduh… mak long, rindunya Hakimie pada mak long.
Hakimie tersenyum mengenangkan mak long yang amat disayangi. Wanita itu merupakan wanita yang paling teristimewa dalam hidupnya. Mak long sudah dianggap sebagai ibu kandung sendiri biarpun hakikatnya mak long tidak beranakkan dia.
Jam yang sudah merangkak ke angka 11. 45 minit malam membuatkan mata Hakimie kian terkulai layu. Lagipun esok dia perlu bekerja.
Tangan ditadah. Seperti kebiasaan yang dia lakukan sejak dari zaman kanak-kanaknya lagi, dia akan berdoa dan membaca surah-surah pendek sebelum melelapkan mata. Semoga malam ini dia bermimpi yang indah-indah. Insya-ALLAH.
Selamat malam semua. Semoga ALLAH panjangkan umur untuk berjumpa lagi di hari esok.

 BERSAMBUNG...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan