TIGA
Mawar merah
**17**
“MACAM
MANA
dengan date kau semalam?” tanya Farok
sewaktu dia bersarapan pagi dengan Hakimie pagi isnin itu. Teringin mahu tahu
bagaimana dengan temujanji sahabatnya itu dengan wanita yang diberitahu Zara
dan Wanie.
Dahi
Hakimie berkerut. Dari mana Farok tahu dia keluar bertemujanji semalam? Siapa
yang gatal mulut memberitahu pasal temujanjinya dengan perempuan pelahap itu?
Ini mesti ada yang gatal mulut ni.
Entah-entah
Zara. Bukankah hanya Zara yang tahu akan hal ini? Dan gadis itu jugalah yang
telah membuat rancangan supaya dia keluar bertemujanji dengan Neelofa. Neelofa
sendiri yang memberitahunya.
‘Zara
Dania!!!’ Hati sudah mula menjeritkan nama si minah kelibut yang membuatkan
otaknya kian berserabut. Tak sabar rasanya dia hendak membalas dendam dengan
apa yang gadis itu lakukan pada dia semalam. Pandai-pandai saja mengaturkan
temujanjinya dengan orang yang dia tak suka dan kenal. Dah teringin sangat
agaknya nak menjadi agen mencari jodoh!
“Kimie…
aku tanya ni. Macam mana dengan date
kau? Okey tak?”
“Okey.”
Sepatah Hakimie menjawab. Langsung tidak bersemangat.
“Si
dia tu cantik tak? Ada macam Neelofa.” Farok jadi begitu teruja mahu mengetahui
Neelofa yang Zara beritahu padanya semalam ketika mereka keluar makan setelah
selesai menonton wayang berempat.
Bila
dia tanya siapa Neelofa, terus Zara dan Wanie ketawa dengan serentak. Siapa
Neelofa itu dirahsiakan daripada pengetahuannya. Membuatkan dia jadi tidak
sabar mahu tahu siapa Neelofa daripada sahabatnya ini.
Sudah
lama Hakimie tidak bercinta sejak kes dia putus tunang dengan Eriza beberapa
tahun lalu. Sejak itu, Hakimie seolah-olah menjauhkan diri daripada jatuh cinta
lagi. Jika Neelofa inilah yang mampu membuatkan pintu hati sahabatnya itu
kembali bercinta, dia memang rasa bersyukur. Sebagai sahabat, dia mahu melihat
Hakimie bahagia.
Hakimie
mencebik. Neelofalah sangat!
“kau
dengar tak aku tanya ni, Kimie? Yang kau tercebik-cebik tu apahal? Awek tu ada
cantik macam Neelofa juga tak?” geram pula Farok dengan Hakimie yang langsung
tidak mendengar pertanyaannya itu. Buat pekak saja si kawan.
“Ada!
Tapi versi Enot.” Selamba rock saja
Hakimie membalas.
Farok
tercengang sebelum ketawanya meledak dengan kuat.. Bagai tidak percaya dengan
apa yang diberitahu oleh temannya itu. Neelofa versi Enot. Khakhakhakhakha!!!
Kelakarnya
sampaikan dia lupa mereka berada di restoren makan.
Lantaklah
orang nak tengok. Dia tengah dicuit rasa lucu ni.
“Hah…
ketawa! Ketawa puas-puas. Biar terburai segala isi perut kau tu. Lepas tu baru
giliran aku gelakkan kau pulak.”
Bengang sungguh nampaknya Hakimie mendengar derai tawa Farok yang tak ada rasa
nak menjaga hatinya ini. Bukan main seronok lagi memtertawakan dia.
“Aduh…
senak perut aku Kimie.” ujar Farok dengan sisa tawa yang masih berbaki.
Berair-air matanya kerana terlalu banyak ketawa.
“Takpelah kalau versi Enot sekali pun. Yang
penting kau suka. Itukan sudah cukup. Saiz bukan penghalang untuk jatuh cinta.”
“Huh!
Takde maknanya. Ini pertemuan pertama
dan terakhir. Aku tak akan jumpa dia lagi.”
“Tapi
kenapa?”
“Malaslah
nak cerita. Buat menyesal aje aku ikut cadangan mak aku pergi jumpa Neelofa tu.
Kalaulah aku tahu nak jadi macam ni… sumpah aku tak nak jumpa perempuan tu.
Menyesal yang teramat sangat-sangat aku dengar cakap papa aku. Kalau aku tahu
papa aku bersekongkol dengan minah kelibut tu, mati hidup balik pun aku tak
akan pergi bertemujanji.”
Semalam
ketika papanya bertanya pun, dia memberitahu hal yang sama. Dia tak akan
berjumpa lagi dengan si Neelofa. Panas telinganya mendengar gelak tawa papanya
yang tergelak sakan bila dia memberitahu pasal sikap gelojoh Neelofa di kedai
makan. Buat malu dia saja.
Saiz
badan gadis itu bukanlah masalah besar bagi dia. Tidak salah berkawan atau
bercinta dengan orang gemuk. Mereka pun ada hati dan perasaan. Dia pun ramai
juga kawan-kawan bersaiz XXXL ini. Tapi takdelah seperti Neelofa. Gadis itu tak
ubah seperti gergasi yang kelaparan. Makan dengan lahap dan memalukan dia depan
orang ramai bila bersendawa besar tanpa menghiraukan orang sekeliling.
Bau
yang keluar daripada sendawa Neelofa, nauzubillah. Mahu pengsan dia jadinya.
“Minah kelibut?” soal Farok mendengar
kata Hakimie. Dia tahu siapa si minah kelibut yang dimaksudkan oleh temannya
itu. Siapa lagi jika bukan Zara Dania.
Hakimie
mengangguk. “Ha’ah. Minah kelibut tu. Aku yakin ini semua
angkara dia.”
“Tak
baik kau tuduh sembarangan Kimie. Entah-entah ini bukan plan Zara. Kau tu aje
yang suka berburuk sangka.” Tukas Farok tidak percaya pada tuduhan Hakimie.
“Aku
yakin sangat ini kerja dia. Kalau bukan dia siapa lagi? Papa aku tu baru aje
tinggal kat kawasan tu. Dia mana kenal sangat dengan jiran tetangga. Aku tahu…
ini mesti minah kelibut tu dah masukkan racun dalam kepala papa aku sampaikan
papa paksa aku keluar dengan si pelahap tu.”
“Kalau
betullah ini kerja Zara. Kau nak buat apa?”
“Ada
la. Mana boleh nak bagitau kau. Kau tu kan bersekongkol dengan minah kelibut
tu.”
Farok
tayang sengih. Dia baru bercadang mahu mengetahui plan Hakimie untuk diberitahu
pada Zara, tetapi nampaknya Hakimie dapat membaca niatnya. “Kau janganlah buat
yang bukan-bukan Kimie. Zara tu baik orangnya. Kesian dia dah selalu sangat
jadi mangsa buli kau.”
Hakimie
tidak membalas. Otaknya ligat merangkak rancangan untuk membalas dendam dengan
apa yang telah Zara lakukan padanya. Nasihat daripada Farok sudah tidak
dihiraukan lagi.
******************************************************************************
DISEBABKAN rancangan
gila alongnya, tak pasal-pasal dia terpaksa berada di restoren Secret Recipe
SACC Mall ini hari ini. Semua gara-gara keputusan nekad alongnya yang hendak
mengenalkan dia dengan seorang lelaki yang kononya sesuai untuk dia. Dia sudah
menolak dengan memberi pelbagai alasan, namun alongnya tetap mendesak. Tetap
mahu memperkenalkan dia dengan lelaki yang pernah menjadi rakan satu sekolah
alongnya itu. Antara mahu dengan tidak, terpaksa jugalah dia mengalah dengan
alongnya. Along itukan degil orangnya. Nak menolak pun tak guna juga. Alamatnya
tersadailah dia di sini bersama alongnya menanti insan yang tak nampak-nampak
lagi batang hidungnya.
Entah
lelaki dari planet mana pula yang alongnya hendak kenenkan dengan dia ini. Biarpun
lelaki itu pernah menjadi teman sekolah alongnya, namun rasa cuak tetap juga
ada. Manalah tahu kut-kut teman sekolah alongnya itu orangnya gemuk, botak dan
takde gigi. Haish!
Zara
mendengus. Jam ditangan digerling. Sudah setengah jam mereka menunggu. Namun
batang hidung si lelaki teman sekolah alongnya itu masih juga belum kelihatan.
Jangankan batang hidung, bayang-bayang pun belum ada lagi. Inilah yang
dikatakan dengan janji melayu. Zara memang pantang Hang Jebat sungguh dengan
manusia yang tak berpegang pada janji ini. Cepat saja dia nak marah.
‘Ini
kalau sikit masa lagi tak muncul-muncul ni, sah aku bagi tinggal. Malas betul
nak bertemu-janji dengan orang yang tak berpegang pada masa.’
“Mana
orang yang along cakapkan tu? Janji jam berapa, sekarang jam berapa? Inilah
yang orang tak suka bila berjanji tak pandai nak tepati masa. Macam ni
awal-awal lagi orang reject.” Gumam
Zara bising-bising. Air minuman di hadapannya disedut lagi. Haus dia menanti
lelaki yang alongnya katakan itu.
“Sabarlah
dik. Kejap lagi dia sampailah tu. Mana tahu ada something jadi kat jalan raya. Kita tunggu ajelah.” Balas Fara.
Kepalanya sudah tertinjau-tinjau dekat luar restoren. Menanti kedatangan bekas
teman sekolahnya si Kamal Ariffin.
Zara
mendengus lagi. Boleh pula alongnya bersabar menanti kedatangan lelaki itu.
Selalunya, alonglah orang yang paling susah hendak bersabar bila bab menunggu
ini. Tapi hari ini, tahan pula tahap kesabaran along.
“Nak
tunggu sampai bila?”
“Kejap
je lagi.”
Zara
menjulingkan mata ke atas. Kejap! Kejap! Jika dialah yang lambat seperti ini,
mahu menyinga alongnya itu. Mahu mengerbang rambut alongnya memarahi dia yang
konon tak menepati masa. Sekarang ni… apa kes? Penuh sabar along menanti.
Nampak sangat alongnya memang bersungguh hendak kenenkan dia dengan lelaki ini.
Jam
ditangan digerling. Melampau betul lelaki ni. Dah setengah jam mereka tunggu.
Jangankan nak telefon memaklumkan kelewatannya itu, hendak menghantar SMS yang berharga
satu sen itu pun takde. Seorang lagi
keturunan Haji Bakhil yang Zara jumpa selain tuan besarnya.
“Adik
nampak cantik hari ni. Tak macam selalu. Hari ni nampak manis sangat. Macam ini
barulah sesuai.”
Dalam
kesabaran menunggu kedatangan Kamal Ariffin, Fara masih sempat memuji
penampilan baharu adiknya. Benarlah kata umi ketika dia menelefon bertanya
khabar semalam, adiknya itu sudah berubah. Sudah tidak seperti ‘perempuan versi
pakaian lelaki’ lagi. Kini Zara sudah feminine dengan bergaun moden. Cantik!
Mendengarkan
pujian ikhlas alongnya itu, sejuk pula hati Zara. Bibirnya mekar dengan
senyuman.
“Betul
ke cantik along?” tanyanya penuh ceria.
Fara
mengangguk. “Ha’ah. Macam inilah
cantik.”
Bertambah
lebar senyuman Zara mendengarkan itu. Pantang kena puji benar minah kelibut ini.
“Dik…
dik, tu hah… dia dah sampai dah.” Fara bersuara girang. Lebar senyumannya
memandang ke arah seorang lelaki yang melangkah masuk ke dalam ruangan
restoren. Tangan yang sudah melambai-lambai kepada lelaki itu. Teruja sangat
nampaknya dia.
Ini
siapa nak bertemu janji? Zara ke Fara? Sampai begitu teruja Fara nampaknya
dengan pertemuan ini.
Zara
tarik nafas. Cuba menenangkan dirinya. Tiada perasaan teruja yang terbit dalam
lubuk hatinya ketika ini. Semuanya bagaikan tiada erti langsung. Perasaannya
kosong! Hanya alongnya saja yang begitu beria-ia. Dia turut ini pun, kerana
tidak mahu mendengar bebelan alongnya jika dia menolak. Lagipun, alongnya sudah
berjanji dengan orang. Tidak eloklah dibatalkan last minute.
“Maaflah.
Dah lama tunggu?” setibanya di meja yang diduduki oleh dua orang wanita, Kamal
Ariffin bersuara. Rasa bersalah pula kerana datang lambat dan membuatkan dua
wanita cantik ini menunggu.
“Errr… tak mengapa. Kita orang pun baru
aje sampai.” Pantas Fara menjawab bersama bibir yang masih lagi tersenyum
lebar.
Zara
mencebik. Baru? Ngeee… nampak sangat
alongnya menipu. Sudah empat puluh minit mereka menunggu, itu sudah boleh
dikategorikan sebagai lama tau. Bukannya baru seperti kata alongnya yang hendak
cover line itu.
“Silalah
duduk.” Fara mempelawa.
Kamal
Ariffin mengambil tempat duduk di hadapan Zara yang masih membatukan diri.
Buat-buat tak peduli dengan kehadirannya.
Sebaik
sahaja Kamal Ariffin melabuhkan punggung dihadapannya, haruman yang dipakai
oleh lelaki itu terus menerpa masuk ke lubang hidung Zara. Membuatkan dia bagai
hendak bersin. Kuatnya bau minyak wangi. Entah berapa botol agaknya minyak
wangi yang dipakai oleh lelaki ini agaknya?
“Oh
ya Kamal, kenalkan… inilah adik saya yang saya ceritakan dekat awak tu. Zara Dania.
Zara, kenalkan… ini Kamal Ariffin, bekas teman sekolah along.” Fara saling
memperkenalkan dua insan yang belum pernah bersua muka.
Malas-malas
Zara angkat wajahnya. Rupanya selama ini kakaknya sudah mencanang cerita pasal
dia pada Kamal Ariffin. Tak patut sungguh jajah cerita adik sendiri pada orang
luar.
“Kamal
Ariffin.” Ringkas sahaja Kamal Ariffin memperkenalkan diri. Bibirnya
tersungging dengan senyuman manis. Wajah dihadapannya itu nampak lembut dan
memikat hati. Cantik orangnya.
Zara
pula memberi sekuntum senyuman dan berkata, “Zara Dania.”
******************************************************************************
“APASAL
adik diam aje tadi? Sepatah Kamal tanya, sepatah aje adik jawab. Nampak sangat
takde semangat dengan pertemuan
pertama ni. Adik tak patut tau bersikap macam tu. Kesian along tengok si Kamal
tu. Nasib baiklah along ni ada. Kalau tidak, entah-entah korang berdua dah jadi orang bisu bertemu janji.” Omel Fara ketika
dia dan adiknya itu sudah masuk ke dalam perut kenderaan. Dia kurang berpuas
hati dengan sikap Zara sepanjang pertemuan itu. Takde semangat langsung!
Zara
mendecit. Bukannya dia yang atur temujanji petang ini, tetapi alongnya yang
pandai-pandai. Dia tak mahu pun.
“Orang
penatlah along.”
“Kalau
iye pun penat… janganlah buat macam
tu. Kesian Kamal tau. Beria-ia dia dia cuba bawak adik bercerita, tanya itu
ini, adik buat tak layan aje. Along yang melihat ni pun sakit hati tengok
perangai adik tu. Tak sopan langsung!”
“Dah
itu aje yang dia tanya, itu ajelah yang orang jawab. Takkan nak lebih-lebih pulak. Nanti dia ingat orang ni kaki
kepoh. Mulut tak pernah nak diam.”
Fara
mengerling adiknya yang duduk di kerusi penumpang dengan pandangan yang tajam.
Tadi bukan main diam lagi. Sekarang ni banyak pula bunyinya.
“Amboi…
menjawab! Kalau dengan along, banyak pula mulut adik. Takpe pulak kalau adik nak kepoh-mengepoh.” Gumam Fara geram.
“Mulut
orang satu ajelah.” Tungkas Zara.
Pantas,
jari Fara sudah ‘mengetam’ lengan adiknya itu. Geram semakin menjadi-jadi
dengan perangai Zara yang masih seperti anak-anak. Tak pernah nak serius. Usia
sudah dua puluh empat tahun, tapi masih seperti budak berumur kecil. Suka
main-main. Hah… sebab sikap suka main-main itulah adiknya sering kecundang
dalam bercinta.
“Auch!!! Apa ni along? Main cubit-cubit pulak. Sakit tau.” Adu Zara sambil
menggosok-gosok lengannya yang terkena kepitan ketam alongnya.
“Dah
tau sakit, yang pergi main-main tu buat apa?” selar Fara bernada serius. Wajah
juga sudah serius seperti mak singa.
Zara
hanya mendiamkan diri. Malas hendak menjawab. Nanti ketam alongnya mendarat
lagi.
Terkenang
zaman kanak-kanak dulu. Antara along dengan angahnya, alonglah yang paling
garang. Pantang dia melawan sikit, ketam berbisa alongnya pasti akan mendarat
ke lengan atau peha. Memang sakit! Waktu itu dia pasti akan menangis bila
alongnya sudah mula mencubit dan angahlah orang yang bertanggungjawab
menenangkan dirinya.
Ingatkan
bila dah besar ni, ketam alongnya tak akan mendarat lagi. Rupanya dia silap.
Ketam alongnya masih berbisa seperti dulu. Kesian Abang Rezza. Sah abang
iparnya itu juga pernah terkena kepitan ketam alongnya ini. Kesian juga pada
Ayit dan Anna, pasti mereka takut bila kepitan ketam mummy mereka mendarat ke lengan dan peha.
“Along
tolong hantar orang balik ofis.” Pinta Zara.
Petang
tadi sewaktu alongnya membuat kejutan dengan menjemputnya di pejabat, dia
terpaksa meninggalkan kenderaannya di situ.
“Buat
apa nak ke pejabat pulak?” tanya Fara
sambil mata masih melekat pada jalan raya.
“Orang
nak ambik keretalah along.” Pendek dan padat jawapan Zara.
Suasana
sunyi. Masing-masing melayan perasaan dengan menghayati lagu Madah Berhelah
dendangan Ziana Zain yang disiarkan melalui radio Sinar FM. Petang-petang
seperti ini, Fara memang suka melayan Sinar FM yang dihoskan oleh Linda Onn.
Bila pagi pula dia akan menukar siaran ke Hot FM untuk mendengar celoteh tiga
sekawan, FBI, AG dan FF. Memang tak kering gusi dibuatnya. Ada saja lawak tiga
DJ itu yang mencuit hati dan membuatkan Fara tersenyum-senyum seorang diri.
“Terima
kasih along. Along bawak kereta hati-hati tau. Jangan pandu laju sangat. Ingat
anak-anak dan suami yang tengah menunggu dekat rumah tu.” Pesan Zara ketika
kereta Honda Civic alongnya berhenti di hadapan bangunan Star Properties Snd
Bhd.
“Iye la. Along tau. Adik tu… jangan balik
lewat sangat. Jangan nak melencong pulak
lepas ni. Ambik aje kereta tu, terus balik rumah.”
“Yes Madam! Arahan diterima.” Zara buat
tabik spring. Bergurau dengan
alongnya yang sentiasa nak bersikap serius dua puluh empat jam sehari.
Setelah
bersalaman dengan alongnya, dia pun keluar dari perut kenderaan.
Sebaik
kakinya menjejak ke tanah, dia bergerak mengatur langkah ke tempat parkir. Beg
tangan dibuka lalu dia menyeluk tangan untuk mencari kunci kenderaan di dalam.
Seluk punya seluk, kunci kenderaan masih tidak ketemu.
“Mana
pulak perginya kunci kereta aku ni?” soal Zara pada diri sendiri. Dia cuba
memerah otak untuk mengingati di mana dia meletak kunci kenderaannya.
Pappp!
Kemudian
dia menepuk dahi. Baru dia teringat kunci kenderaannya berada di dalam laci
meja kerjanya di pejabat. Disebabkan kelam-kabut sangat tadi, dia terlupa
hendak menyimpan kunci kenderaan di dalam beg awal-awal. “Hisy… ini semua along punya pasal!”
Pantas,
tanpa membuang masa dia mengatur langkah untuk naik ke tingkat atas bangunan
Star Properties Snd Bhd.
Sampai
saja di tingkat dua ruangan pejabat, dia terus menuju ke mejanya. Keadaan di
pejabat ketika itu agak suram kerana lampu sudah banyak yang dipadamkan.
Maklumlah… waktu itu jam sudah menunjukkan pukul 6.55 minit petang. Tentu
semuanya sudah pulang ke rumah masing-masing. Cuma di tingkat satu, staf
bahagian akaun masih ramai yang kelihatan memandangkan mereka mengadakan overtime sepanjang bulan ini.
Usai
mendapatkan kunci kereta, Zara mengatur langkah untuk turun semula. Seram juga
dia berada di sini dalam waktu-waktu begini. Diikutkan dia bukanlah tergolong
dalam golongan orang penakut, namun suasana yang agak suram itu membuatkan
hatinya dirundung rasa seram-sejuk. Meremang juga bulu roma.
Ketika
baru melangkah tiga langkah, telinganya terdengarkan jeritan seseorang.
Terkejut dia hingga membuatkan bahunya terhinjut. Pantas dia menoleh ke
belakang. Mencari-cari suara jeritan yang didengarinya.
“Tidak!
Tidak! Tidak!” jeritan itu jelas kedengaran dari bilik Pengarah Urusan Star
Properties.
Dahi
Zara berkerut. Belum pulang lagikah lelaki itu? Setahunya, bosnya itu selalunya
balik dulu dari dia. Tapi… bilik lelaki itu kelihatan masih terang benderang
lagi.
“No! Mama…
please don’t go! Mama!!” jerit
Hakimie lagi. Kali ini nadanya lebih jelas dari tadi.
Dalam
takut-takut berani, Zara mengorak langkah menuju ke bilik Hakimie yang masih
terang. Suara jeritan dari dalam bilik membuatkan dia semakin yakin lelaki itu
ada di situ. Semakin menjadi-jadi pula jeritan lelaki itu.
“Apa
kena dengan mamat poyo ni?
Terjerit-jerit macam orang kena sampuk.” Zara berkata sendiri. Dia mengetuk
pintu, namun tiada jawapan dari dalam. Malah semakin kuat pula Hakimie menjerit
membuatkan Zara makin penasaran ingin tahu apa sebenarnya yang telah berlaku.
Zara
sudah nekad, pintu bilik yang tertutup rapat itu dibuka luas. Kelihatan Hakimie
sedang menghayun tangannya seolah-olah sedang menahan seseorang. Matanya pula
terpejam rapat.
Sah!
Ini mesti kes mengigau tak ‘hengat’ dunia. Fikir Zara setelah melihat aksi
bosnya itu.
“Encik
Hakimie…” panggil Zara. Perlahan suaranya. Dia cuba menyedarkan Hakimie dari
igauan ngerinya itu.
Hakimie
menggeleng-geleng kepalanya berkali-kali dengan tangan yang diangkat-angkat.
Dia bersuara lagi. “Mama! Mama! Jangan tinggalkan Kimie.” Ujarnya penuh sayu.
Tanpa sedar, dia telah mencapai tangan Zara. Pergelangan tangan gadis itu
dipegang dengan kejap sambil berkata, “Please…
don’t go. I need you! Mama… please!”
Terkejut
Zara kala tangannya digenggam erat oleh Hakimie. Bagaikan ada arus elektrik
pula yang menjalar dalam tubuhnya kala itu. Dadanya juga sudah berdebar-debar.
‘Tak
boleh jadi ni! Mamat poyo ni mengigau
tahap gaban pulak sampai pegang
tangan aku.’
“Encik
Hakimie! Bangunlah!” Kali ini Zara menguatkan nada suaranya bila Hakimie
semakin hanyut dalam igau. Tangannya direntap sekuat hati dari pegangan lelaki
itu.
Ingat
ada lesen ke nak pegang-pegang tangan dia? Huh!
Hakimie
yang terkejut, terpisat-pisat kehairanan mendengar suara Zara yang tinggi
melangit. Matanya digosok-gosok. Bila masa gadis itu berada di dalam biliknya?
Seingat dialah, hanya dia sahaja yang masih berada di ofis tadi. Semua stafnya
sudah pulang ke rumah masing-masing.
“Orang
tua selalu berpesan… jangan tidur waktu hari nak masuk maghrib. Nanti mimpi
yang buruk-buruk. Hah… tengok, inilah padahnya kalau suka tidur waktu petang.”
Bersahaja Zara menyindir. Dah serupa Puan Inara pula lagaknya.
Hakimie
tidak terkata apa. Sindiran Zara membuatkan dia terkedu. Jauhnya dia melamun
kepada kenang silam sehingga terbawa-bawa ke dalam tidur. Sebuah keluhan keluar
dari bibirnya yang agak kemerahan.
Melihat
kebisuan Hakimie, Zara cuba untuk bertanya, “Encik Hakimie ni kenapa? Ada
masalah ke?” baik pula Zara bertanya. Lembut saja nadanya. Riak wajah lelaki
itu bagaikan ada sesuatu yang menganggu fikirannya. Tidak salah rasanya jika
dia cuba untuk mengetahui apa yang membelenggu fikiran ketuanya itu. Manalah
tahu dia dapat tolong, kan?
Lagipun,
sebelum ini Hakimie pernah menadah telinga mendengar keluhan terhadap Ajib.
Malah lelaki itu juga sudi menemaninya. Jadi tidak salah rasanya jika dia
berbuat baik dengan lelaki itu biarpun Hakimie begitu menyebalkan. Suka
menyakitkan hati dia.
Pertanyaan
Zara dibiarkan sepi tanpa jawapan. Hakimie keluh dengan tiba-tiba. Perasaannya
bercampur-baur.
“Kalau
ada masalah, ceritalah. Saya sedia menjadi pendengar kepada masalah Encik
Hakimie tu.” Zara masih bernada lembut. Manalah tahu dengan kelembutan yang
ditunjuknya itu hati Hakimie lembut hendak menceritakan apa yang merunsingkan
fikirannya itu kepada dia.
“Siapa
benarkan awak masuk?” tanpa mengendahkan kelembutan yang Zara tunjukkan,
Hakimie bertanya dengan nada yang kasar.
Terkedu
Zara dibuatnya. Dia bertanya elok-elok, lelaki itu pula nak menengking. Giler! Berlagak!
“Lain
kali… jangan masuk ke dalam bilik saya tanpa kebenaran! Saya tak suka orang
menceroboh bilik saya.” Lantang Hakimie bersuara. Wajahnya nampak bengang dengan
kehadiran Zara di dalam bilik itu.
“Saya
bukan menceroboh. Saya…”
Belum
habis ayat Zara, Hakimie dengan laju memotong, “Apa pun alasannya… awak tetap
menceroboh bilik saya tanpa kebenaran. Awak ada dengarkah saya bagi kebenaran
untuk awak masuk ke dalam sampaikan awak pandai-pandai masuk ke dalam bilik
ni?”
Zara
menggeleng. Memanglah Hakimie tidak ada memberikan dia kebenaran untuk masuk ke
dalam sebab lelaki itukan mengigau tahap tak sedar diri. Dia bukan jenis
manusia yang tak berhati perut biarkan lelaki it uterus menjerit-jerit macam
orang gila baru lari dari Tanjung Rambutan. Kalau dia tahu macam ini
pengakhiran yang dia dapat, memang dia tak ingin nak kejutkan lelaki itu. Biar
mengigau sampai ke esok pagi.
“Hah…
tahu pun! Lain kali jangan nak memandai masuk ke dalam bilik ni tanpa kebenaran
saya! Saya paling tak suka orang yang suka menceroboh! Ingat tu!” tengking
Hakimie kasar. Suhu panasnya naik dengan mendadak bila Zara masuk tanpa
diundang. Dia yakin Zara telah melihat dan mendengar segala-galanya.
Terasa
jatuh egonya ketika itu.
Ikut
hati yang tengah panas, Zara memang nak menjawab tetapi dia malas nak layan
mamat sewel seperti Hakimie itu. Berangin tak kira masa.
“Sudah!
Tinggalkan saya sendirian.” Hakimie memusingkan tubuhnya.
Tanpa
menunggu lama, Zara akhirnya terus berlalu dari situ.
“Sombong!
Orang nak tolong dia pergi buat perangai pula. Kalau tahu, aku biarkan dia
terjerit terlolong sorang-sorang
dalam bilik tu tadi. Eiii… geram!”
Zara mengumam. Geram dengan Hakimie yang perangainya sentiasa berubah-ubah itu.
Berangin tak tentu pasal. Dia buat baik, Hakimie pula langsung tidak tahu
menghargai. Nak marah-marah dia pula. Menyesalnya dia kerana masuk ke dalam
bilik mamat poyo itu.
Setelah
Zara berlalu dari biliknya, Hakimie meraup wajahnya berkali-kali. Dia
benar-benar tidak menduga kenangan silam itu kembali menghantui mimpinya hari
ini.
Dia
bencikan kenangan pahit itu!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan