W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Khamis, 4 Julai 2013

3 MAWAR MERAH8





Tiga
Mawar merah
**8**

“KIMIE? Hakimie kan?” Yusri bertanya untuk memastikan lelaki yang berdiri di hadapannya ini adalah Hakimie, bekas teman sekolah menengahnya dulu.
Suatu ketika dulu, dia dengan Hakimie pernah belajar sama di sekolah menengah Sultan Aminuddin. Mereka rapat sebagai sahabat. Bukan itu sahaja, mereka berdua juga cukup terkenal dengan kenakalan masing-masing. Suka membuli pelajar-pelajar junior. Tapi mereka ini tak adalah mengamalkan sikap buli yang keterlaluan seperti remaja zaman sekarang. Buli mereka dulu pun setakat buli-buli mengusik sajalah.
Hakimie mengangguk-anggukkan kepalanya. Dia masih kenal Yusri. Lelaki itu dari zaman sekolah sehingga ke saat ini tidak banyak berubah. Cuma tubuh Yusri yang dulu gemuk gedempol itu sudah bertukar tegap.
“Ya ALLAH Kimie… tak sangka boleh berjumpa dengan kau. Dah lebih lima belas tahun kita tak jumpa.” Gembira sungguh Yusri dengan pertemuan itu. Lantas dia dengan Hakimie saling berbalas pelukan. Maklumlah… kawan lama katakan.
“Aku pun tak sangka dapat jumpa kau Ery. Tadi waktu nak tegur kau tu… aku was-was juga. Takut tersalah orang. Tapi hati aku yakin sangat aku tak tersalah orang. Tanda jahitan atas kepala kau tu aku dah cam sangat.” Ujar Hakimie setelah mereka melepaskan pelukan. Jari telunjuknya tegak menghala ke arah bekas jahitan pada dahi Yusri.
Dia masih ingat lagi, bekas jahitan itu melekat pada dahi Yusri itu adalah kerana kenakalan mereka berdua. Gara-gara hendak mengenakan Cikgu Rosnah yang garang gila itu dengan seekor katak, Yusri terjatuh lalu dahinya terhantuk pada longkang belakang makmal. Cuak dia bila Yusri pengsan tak sedarkan diri. Mahu seminggu jugalah Yusri berada di hospital gara-gara dahinya yang berbalut.
Yusri sudah ketawa mengekek. Dia turut sama terkenangkan kenangan silam kenakalan mereka berdua.
“Kau dekat mana selama ni? Habis je SPM, aku langsung tak dapat khabar berita kau lagi.” Tanya Yusri.
“Aku ada. Cuma lepas aje SPM hari tu aku agak lama kat Singapura ikut papa aku. Bila dapat tawaran melanjutkan pengajian ke UM, aku memang ada niat nak cari kau. Tapi aku takde nombor telefon kau.” Beritahu Hakimie. Memang dia pernah hendak mencari Yusri namun ketiadaan alamat sahabatnya itu membuatkan mereka terputus hubungan.
“Takpelah. Sekarang kita dah berjumpa bolehlah berhubungan macam dulu lagi.” Balas Yusri gembira.
 “Asyik sangat bersembang, takkan kau tak nak kenalkan aku dengan orang sebelah kau tu?” sambung Hakimie yang sudah tersenyum memandang wanita cantik di sebelah sahabatnya itu.
Wajahnya persis si minah kelibut namun wanita ini bertudung dan nampak manis orangnya. Bukan macam minah kelibut yang manis tapi ganas. Yang ini nampak lembut.
Yusri menepuk dahi. Akibat terlalu gembira dapat bertemu dengan teman lamanya itu, sampaikan dia terlupa pada isteri kesayangannya yang begitu setia berada di sisinya sedari tadi. Lantas tangannya naik memeluk bahu sang isteri. “Kenalkan, ini isteri aku Sara Diana. Honey, kenalkan ini kawan lama bie yang sudah lama menghilang, Muhammad Hakimie.” Yusri saling memperkenalkan Hakimie dan Sara.
Hakimie dan Sara hanya saling berbalas senyum dan menganggukkan kepala. Dah macam orang Jepun pula.
“Wah… kahwin tak jemput aku pun.” Giat Hakimie pada Yusri.
“Macam mana nak jemput kau? Alamat pun aku tak tahu. Maklumlah… kau kan dah buang aku dapat friend list kau.”
Hakimie ketawa. Hisy… buruk benar nampaknya bila orang lelaki hendak tunjuk muka merajuk. “Kau ni ada je la Ery. Aku tak pernah buang kau sebagai sahabat aku.”
Yusri tersenyum. “Aku tahulah. Aku saja nak menyakat kau je. Aduh… Kimie! Banyak sangat nak cerita dekat kau ni. Tapi tu la… masa tak cukup. Orang rumah aku ni ha… dah tak sabar-sabar nak pergi shopping handbeg. Takut sangat handbeg dekat Sogo ni habis kena jual.” Bersama ketawa, Yusri menutur kata mengusik isterinya yang sudah menghadiahkan dia sebuah cubitan manja. Malulah dikata begitu depan orang yang baru dikenalinya.
Hakimie sudah ketawa mendengar kata-kata Yusri.
“Bagi aku nombor handphone kau. Nanti senang nak berhubung. Manalah tahu nanti kami buat kenduri cukur jambul anak, boleh jugak jemput kau datang rumah.” Pinta Yusri.
“Hai… dah ada ke? Tahniah!” tanya Hakimie sambil mengeluarkan telefon bimbitnya lalu memberikan nombor kepada Yusri.
Yusri tidak menjawab. Hanya tersengih sahaja sambil jari-jemarinya terus menekan-nekan nombor telefon Hakimie.
“Okeylah Kimie. Kami pergi dulu. Nanti-nanti aku call kau. Boleh lepak dekat gerai mamak sambil berbual panjang.”
Sebelum berlalu, Hakimie dan Yusri kembali berpelukan dan bersalaman. Lama mereka tidak bersembang menyebabkan masing-masing tidak sabar hendak berjumpa lagi untuk berbual panjang.
“Tu kawan bie ke?” tanya Sara ketika dia dan suaminya sudah meneruskan langkah menyusuri lantai pusat membeli-belah Sogo. Orang ramai sudah mula membanjiri pusat membeli-belah itu memandangkan Soga mengadakan jualan murah sepanjang bulan ini.
Ha’ah. Kawan lama. Dia kawan satu sekolah menengah dengan bie.”Terang Yusri. Jemarinya bertaut erat dengan jemari Sara.
Owh… padanlah tak pernah nampak dia.”
Hmmm…”
“Dia dah kahwin?” Sara bertanya lagi.
Kali ini pertanyaan itu mampu menghentikan langkah suaminya. Tunak Yusri memandang wajah isteri tersayang. Tergugat seketika hatinya dek soalan itu. Tercuit api cemburunya.
Iya la… siapa tak cemburu bila isteri yang disayangi boleh bertanyakan peribadi lelaki lain depan dia? Sudah semestinya cemburunya tercuit juga.
“Kenapa tanya ni?”
Sara ketawa kecil. Wajah suaminya yang sudah berubah sedikit itu mencuit hatinya. ‘Cemburu jugak rupanya suami aku ni.’ Hatinya berkata.
“Tanya ajelah bie. Bie janganlah fikir ke lain. Dalam hati honey, hanya ada bie seorang. Sampai ke mati pun, honey tetap sayang bie.” Sara cuba menenangkan jiwa Yusri yang sudah diusik perasaan cemburu. Dia tidak mahu perasaan cemburu itu terus menguasai jiwa suaminya. Takut nanti merebak pula.
Mendengarkan itu, tiba-tiba hati Yusri menjadi sayu. Serba-salah bila sang isteri mula menyejukkan hatinya dengan kata-kata sebegitu. Dia paling tak suka perkataan ‘mati’ terucap dari mulut Sara. Baginya, hidupnya tidak akan berseri tanpa kehadiran Sara di sisi. Wanita itu amat istimewa dalam hidupnya.
“Dah! Jangan cakap pasal ‘mati’ depan bie. Honey kan tahu bie tak suka dengar honey cakap macam tu. Bie bukannya nak curiga, cuma… cemburu sikit. Cemburu tanda sayang.” Ujar Yusri mengakui perasaan cemburunya itu.
Sara tersenyum. Lantas dia merapatkan dirinye kepada Yusri. Lengan suaminya dipeluk kejap. “Jangan risau. Honey tetap sayang bie seorang.” Penuh yakin Sara meluahkan perasaannya pada sang suami.
“Tau.” Penuh bangga Yusri berkata.
Sara tersenyum senang. Hati suaminya itu senang dipujuk.
Honey tanya Hakimie dah kahwin ke belum, kenapa?” sambil kembali jalan berpimpinan tangan, Yusri bertanya.
“Takdelah. Mana tahu boleh honey pasangkan dia dengan Zara. Kan adik ipar bie sekarang tu tengah single and available. Mana tahu kawan bie tu boleh jadi pasangan dia pulak.” ujar Sara tanpa berselindung. Melihat Hakimie, membuatkan ingatannya laju kepada Zara. Kalau alongnya sibuk mencarikan ‘pakwe’ baharu untuk Zara, dia pun hendak jugalah. Mana tahu calonnya mendapat tempat di hati Zara. Siapa tahu, kan?
Yusri ketawa. Kepala otak isterinya itu lebih kurang sama saja dengan kakak iparnya. Ingatkan kakak iparnya saja yang sibuk-sibuk hendak mencari lelaki untuk Zara, rupanya isterinya ini pun dua kali lima saja. Ini kalau Zara tahu, sah panjang sedepa muncung adik iparnya itu.
“Hisy… bie ni. Ketawa pulak!”
“Macam mana bie tak ketawa. Honey tu pandai aje mengata along. Tup-tup… honey pun dua kali lima jugak dengan along sibuk mencarikan pasangan untuk adik. Kelakar. Mengata dulang paku serpih, mengata along, honey pula yang lebih.” Yusri mengiat dengan berpantun.
Sara tersengih. Langsung tidak marah pada sindiran suaminya. “Alaaa… bukannya apa. Tengok kawan bie tu nampak macam sepadan pula kalau digandingkan dengan adik. Tu yang cuba nak risik-risik.”
“Entahlah honey. Bie pun tak pasti sangat Kimie tu dah kahwin ke belum. Nantilah bila ada masa berjumpa dan sembang dengan Kimie, bie cuba risikkan okey?”
Sara mengangguk. Dalam hati dia jadi teruja hendak tahu status Hakimie. Jika benarlah lelaki itu masih solo dan tak punya teman wanita, dia mahu memperkenalkan Hakimie dengan Zara. Siapa tahu kan… ada jodoh antara mereka?

******************************************************************************

“HUK! HUK! HUK!” Zara tersedak. Baru saja dia menyuap karipap panas yang digoreng umi ke dalam mulut, tak semena-mena dia boleh pula tersedak sampai berair mata. Mujurlah awal-awal lagi dia sudah menyediakan segelas air kosong di atas meja makan. Antara air kosong dengan air manis, Zara lebih gemarkan air kosong. Dia memang jarang minum air manis-manis.
‘Haish! Ini kerja siapa pulak yang pergi sebut-sebut nama aku ni? Sah tengah mengumpat akulah tu.’ Hatinya menggumam. Air di dalam gelas diteguk dengan rakus sekali.
“Hah… tu mesti makan tak baca bismillah.” Tegur Puan Inara yang sibuk menyiang ikan di atas singki. Dia dengan suami sudah pun minum petang bersama dan lebihan karipap ditinggalkan sedikit untuk Zara. Anaknya itu kalau cuti begini memang gemar tidur tengah hari. Lepas makan aje, mulalah nak membuta.
“Eh… mana ada umi. Orang ada baca bismillah la. Ni tentu ada orang yang mengumpat pasal orang ni. Tu yang sampai orang terbatuk.” tungkas Zara menidakkan tuduhan uminya. Berdosa tau tuduh dia tak baca bismillah sebelum makan sedangkan dia tak pernah lupa baca bismillah setiap kali memulakan kerja.
Puan Inara tidak membalas. Tangannya masih sibuk menyiang ikan yang baru dibeli awal pagi tadi. Malam ini rasanya dia hendak memasak asam pedas ikan tenggiri. Keluarganya ini, dari bapa sampailah kepada anak-anak, semuanya sukakan masakan bertemakan asam pedas. Tambah-tambah lagi si Fara dan suaminya Raja Rezza itu. Memang tambah nasi jika berlaukkan asam pedas.
“Umi masak apa malam ni?” tanya Zara kepada uminya. Dari dia turun tadi, uminya kelihatan begitu sibuk menyediakan bermacam-macam ramuan di atas meja.
“Umi nak masak asam pedas ikan tenggiri.”
“Wah… sedap tu.” komen Zara. Kecur air liurnya mendengar menu makan malam ini. Bagaikan sudah tidak sabar dia hendak makan asam pedas ikan tenggiri air tangan uminya.
Hmmm… Zara tu tahu macam tu ajelah. Sedap-sedap. Tapi bila umi suruh belajar memasak, bukannya nak. Banyak sangat alasannya.” Kali ini Puan Inara lebih kepada menggumam.
Tahulah Zara itu anak bongsu, tetapi sikap pemalas Zara yang satu itu memang dia tak berkenan. Naik berbuih mulutnya menasihati anak gadisnya itu supaya belajar memasak dan membuat kerja rumah, namun anaknya itu pandai sangat menggelak. Macam-macam alasan yang dia beri.
“Bukan banyak alasanlah umi. Orang sibuk. Lagipun buat apa nak belajar masak awal-awal. Orang bukannya nak kahwin sekarang ni.”
“Amboi… jawapan. Bukan main lagi. Habis tu kalau dah nak kahwin, barulah belajar memasak ye?” bertekak dengan Zara, memang tak aka nada penghujungnya.
“Iye la. Kalau dah nak dekat kahwin nanti, barulah orang belajar memasak. Sekarang ni… orang sibuk.”
“Hmmm… orang pemalas, memang macam itulah jawapan yang dia bagi.” Tiba-tiba ada satu suara menyampuk perbualan kosong antara Puan Inara dan Zara. Serentak dua beranak itu berpaling.
Senyuman di bibir Puan Inara sudah melebar melihat kelibat anak sulungnya yang masuk ke ruangan dapur. Cepat-cepat dia membasuh tangan untuk menyambut kepulangan anaknya itu. Manakala Zara pula sudah mencebik bibir memandang alongnya. Suka sangat jadi batu api antara dia dengan umi.
Tanpa mengendahkan Zara, Fara bergerak menemui uminya. Tangan wanita itu disalam penuh hormat.
“Datang dengan siapa? Mana Rezza dan anak-anak?” bertalu Puan Inara bertanyakan perihal menantu sulung dan cucu-cucunya.
“Datang dengan Abang Rezza dan anak-anak umi. Dia orang ada kat depan tu. Tengah bersembang dengan abah dan jiran baru sebelah rumah tu ha.” Beritahu Fara. Dia sudah bergerak ke meja makan lalu menarik kerusi dan melabuhkan punggung berhadapan dengan Zara.
“Adik ni makan aje kerjanya. Kenapa tak tolong umi kupas kulit bawang tu?” tegur Fara kepada Zara yang sibuk mengunyah karipap. Bawang merah dan putih di dalam mangkuk langsung tidak dikupasnya.
“Alaaa… orang tengah makan la. Nanti dah makan orang kupaslah.” Jawab Zara sambil mencapai lagi sebiji karipap lalu disumbat ke dalam mulut. Geram dengan sikap alongnya. Along sesekali pulang ke rumah ini pun, suka sangat nak cari salah dia.
“Alasan. Dah! Bak sini mangkuk tu. Biar along yang buat.” Minta Fara.
Zara tidak banyak bunyi. Laju dia menghulurkan mangkuk berisi bawang merah dan putih kepada alongnya. Ini jugalah yang dia suka bila along balik ke rumah ini. Alongnya itu dalam kuat membebel seperti nenek-nenek, dia merupakan seorang yang ringan tulang. Kalau ada dekat rumah ni, memang semua kerja akan jadi senang kerana along memang rajin membantu. Itu yang Zara paling suka pada alongnya.
Usai menyudahkan minum petangnya itu, dia terus bangun dari duduk. Bersahaja lagaknya.
“Eheh… tu nak ke mana pulak tu?” tegur Fara bila adiknya itu sudah bergerak ke muka pintu menuju ke ruang makan.
“Orang nak jumpa Ayit dan Anna.”
“Jangan nak mengada. Tolong along potong sayur kacang tu.” becok mulut Fara memberi arahan.
“Alaaa… alongkan ada. Alonglah yang buat. Lagipun bukan hari-hari along dapat tolong umi buat kerja dapur.” Petah juga Zara memberi alasan.
Terjengil mata Fara mendengar jawapan adiknya yang pemalas itu.
“Achu! Achu! Jom kita pergi taman.” Suara Ayit bergema memanggil achunya.
Zara pun apa lagi. Laju dia menjawab, “Jom!”
“Zara!!” Suara Fara sudah meninggi memanggil adiknya itu.
Namun bagaikan angin lalu, Zara langsung tidak menghiraukan panggilan alongnya. Bersama tawa dia berlalu bersama si Ayit kesayangan. Ayit pula sempat bertanya kepada Zara. “Kenapa mummy terjerit-jerit tu achu?”
Mummy Ayit tengah testing vokal nak jadi tarzan perempuan.” Selamba saja Zara menjawab pertanyaan daripada anak saudaranya yang petah itu.
Disebabkan jawapan daripada achunya itu kedengaran lucu menerpa halwa telinganya, Ayit ketawa mengekek. Tak sangka mummy ada cita-cita nak jadi tarzan. Kelakar pula bila dia sudah membayangkan mummynya bergayut dari satu dahan ke satu dahan yang lain dengan pakaian orang rimba. Kah kah kah!

******************************************************************************

USAI makan malam yang cukup meriah bagi keluarga Cikgu Muhammad Zainal, masing-masing berkumpul di depan televisyen untuk menonton rancangan di hujung minggu. Esok ahad, jadi mala mini bolehnya semuanya tidur lewat. Fara, suami dan anak-anak pun bercadang untuk pulang lambat sikit malam ini. Begitu juga dengan Sara dan suaminya.  Sesekali berkumpul bersama keluarga, rasa malas hendak balik ke rumah masing-masing.
Zara yang sedang asyik membaca novel terbaharu yang dibelinya. Sempat juga dia menjeling pada rumah sebelah yang kelihatan sunyi-sepi itu. Ke mana agaknya pak cik yang duduk di rumah itu? Sunyi aje keadaan rumahnya. Zara senang dengan Pak Cik Doktor, lelaki sebaya usia abah yang cukup mesra dan peramah orangnya. Tapi kasihan, Pak Cik Doktor ini tinggal sendirian. Tak punya isteri dan anak.
“Adik… along tanya sikit boleh?” Fara menyiku Zara yang sedang asyik membaca novel di buaian rotan luar rumah.
Zara malas nak bagi respons. Hanya menanti alongnya meneruskan pertanyaan. Di luar itu hanya ada mereka tiga beradik. Abah dan umi tengah sibuk melayan kerenah Ayit dan Anna. Manakala Abang Rezza sedang rancak berbual dengan Abang Yusri. Itu tak lain tak bukan mesti cakap pasal bola. Huh!
“Adik dengar tak along cakap ni? Along nak tanya adik ni… boleh ke tak?” kali ini Fara sudah meninggikan sedikit intonasi suaranya. Geram bila pertanyaannya tidak mendapat balasan daripada si adik. Boleh pula buat muka ‘toya’ macam tu depan dia. Muka takde perasaan langsung.
“Takyahlah nak mintak kebenaran along. Cakap ajelah.” Malas-malasan Zara membalas.
Fara sudah tersenyum mendengar kata adiknya. Pantas dia menarik kerusi rotan yang diduduki supaya dekat sedikit dengan buaian rotan tempat Zara berbuai.
“Adik dah ada pengganti sang cicak kobeng tu tak?” soal Fara.
Berkerut dahi Zara mendengar pertanyaan alongnya itu. Sara yang lebih banyak berdiam juga sudah mula tertarik hati dengan soalan alongnya. Along kalau nak bertanya, memang tak pernah nak pusing-pusing. Terus kepada usulnya sahaja.
“Apa along ni? Kenapa nak tanya pasal tu pulak?” kurang senang Zara mendengar soalan alongnya itu.
“Alaaa… takdelah. Along nak tanya aje. Manalah tahu kut-kut adik dah ada pengganti. Adikkan playgirl paling popular dekat Shah Alam ni. Lepas satu pakwe adik cabut lari, satu lagi adik sambar. Cepat aje cari pengganti.”
Zara ketap bibir. Sesuka hati alongnya kata dia playgirl. Tak patut! Dia bukan playgirl. Dia hanya pencinta lelaki. Tetapi lelaki yang dicintainya itu pun mestilah kena melepasi piawaian yang dia tetapkan. Bukan main ‘belasah’ aje.
“Kalau adik masih belum ada pengganti, along rasa nak kenalkan adik dekat seorang lelaki ni. Dia bekas kawan sekolah along.” Ujar Fara bersungguh. Dia teringatkan Kamal Ariffin yang ditemuinya baru-baru ini. Bekas teman sekolahnya itu masih solo orangnya.
Laju saja Zara menjawab, “Eh… tak naklah! Kalau bekas kawan sekolah along, mesti orangnya sudah tua.”
Sepantas itu juga cubitan Fara mengena pada lengan gebu Zara. Mengadu si adik dibuatnya. Sakit tu.
“Mulut tu… sesuka hati saja kata along dah tua. Along belum tua lagilah! Baru tiga puluh tahun.” Gumam Fara.
Sara yang mendengar sudah ketawa. Dia bukannya tak tahu pantang alongnya itu dalam bab-bab umur ini. Sampaikan dulu, waktu alongnya hendak genap tiga puluh tahun, alongnya sudah terkial-kial ke sana ke mari. Ingatkan apa, rupanya along risau kerana dia bakal mencecah usia ke kepala 30-an. Huhuhuuu
‘Huh! Umur dah tua pun masih tak mengaku lagi.’ Dalam hati Zara mengata. Kalau diluahkan, takut cubitan ketam alongnya hinggap lagi ke lengan.
“Orang tak naklah along. Orang tak nak dikenen-kenenkan. Tak suka tau.” Ujar Zara menjawab pada soalan alongnya tadi.
“Kenal dululah. Mana tahu berkenan.” Fara cuba memujuk.
“Tak naklah.” Laju Zara membalas. Dia benar-benar memaksudkannya. Dia tak nak berkenalan dengan lelaki pilihan alongnya itu.
“Kalau macam tu… apa kata adik berkenalan dengan kawan lama Abang Ery. Hensem orangnya. Amacam?” Sara yang sedari tadi lebih banyak mendiamkan diri sudah mula mencelah. Dia pun nak juga mencuba nasib dalam proses mencari calon untuk adiknya itu. Mana aci along seorang saja yang nak carikan calon untuk si adik.
Terkejut Zara dan Fara mendengar ayat Sara. Mereka saling berpandangan.
“Angah demam ke ni?” laju Fara meletakkan belakang tangannya ke dahi si angah. Belum pernah-pernah angah bersikap begini, tup-tup malam ni boleh pula nak kenalkan adik mereka pada kawan suaminya. Memang sesuatu yang pelik bin ajaib.
Sara menepis tangan alongnya yang melekat pada dahi. “Hisy… orang sihatlah along.” Dia menggumam. ‘Orang elok-elok sihat dikatakan demam pulak.’ Dalam hati dia menyambung bebelan.
“Laaa… ingatkan demam tadi. Mana taknya, tetiba boleh pulak kata nak carikan calon untuk adik. Biasanya angah mana ambil peduli pasal nak mencari pasangan untuk adik kita ni. Angah kata biar adik yang mencari sendiri. Tiba-tiba malam ni boleh pula nak kenalkan adik dengan kawan si Ery. Tu yang along sangka angah diserang demam tadi.” Panjang lebar Fara berkata.
“Angah bukannya apa. Selama ni angah tak nak sangat masuk campur urusan lelaki pilihan adik. Kebetulan siang tadi waktu angah dengan Ery keluar shopping, kami terserempak dengan kawan lama Ery. Hensem orangnya. Daripada gaya angah rasa cukup sesuai dengan adik.” Si angah membentangkan hujahnya.
Ye ke? Hmmm… kalau lelaki yang hensem-hensem ni, mesti playboy.” Tebak Fara.
“Along ni… macam tahu-tahu aje kawan si Ery tu playboy. Tak baik menuduh tanpa usul periksa along. Lagipun bukan semua lelaki hensem itu playboy. Tengok macam Ajib tu… muka macam orang tak siap aje tapi playboynya nauzubillah!” Sara kurang senang dengan tuduhan alongnya. Biarpun tidak kenal dengan kawan suaminya itu, namun daripada perjumpaan pertama itu dia dapat rasakan teman suaminya itu seorang lelaki yang baik.
“Along bukan menuduh. Cuma itulah faktanya. Lelaki ni kalau sudah ada muka yang terletak, memang ramai perempuan keliling pinggang.”
Sara mencebik. “Eleh… Abang Rezza tu pun hensem jugak. Ery pun hensem. Takde pun dia orang kaki perempuan. Abah… abah pun hensem tapi masih setia dengan umi sampai ke saat ni. Along tu saja yang suka fikir yang buruk-buruk.”
“Mana ada! Dah! Dah! Along dah buat keputusan nak kenalkan adik dengan Kamal Ariffin. Kamal Ariffin tu biarpun takdelah sehensem mana, tapi dia baik dan seorang yang berjaya dalam hidup. Along yakin adik pasti bahagia dengan Kamal Ariffin.” Fara tetap berkeras hendak memasangkan adiknya dengan Kamal Ariffin, bekas teman sekolahnya itu.
Zara yang hanya menjadi pendengar pada bicara dua kakaknya itu sudah naik pusing kepalanya. ‘Ini apa kes kakak-kakak aku bergaduh nak carikan pasangan untuk aku pulak ni? Macamlah aku ni dah terdesak sangat nak berteman sampai mereka bertekak nak carikan untuk aku pulak. Haish! Tak faham betul aku dengan dia orang ni.’
“Dah! Dah! Jangan bertekak lagi!” Suara Zara meninggi.
Fara dan Sara berhenti bertekak. Tumpuan diberikan kepada si adik yang duduk di tengah-tengah antar mereka berdua.
“Along dengan angah tak payah nak gaduh-gaduh carikan pasangan untuk adik. Adik tak nak. Buat masa sekarang ni… adik belum bersedia nak bercinta-cinta.” Tegas Zara dengan kata-katanya.
“Tapi…” serentak pula Fara dan Sara menyebut ayat itu tapi berhenti setakat di situ sahaja bila Zara terlebih dahulu memotong.
“Takde tapi-tapi. Keputusan orang muktamad!” tegasnya.
Fara dan Sara akhirnya mendiamkan diri. Takut jika terlebih cakap nanti adik akan memboikot mereka pula. Namun dalam hati masing-masing sudah memasang azam akan mencarikan calon pasangan yang terbaik buat adik kesayangan.



BERSAMBUNG...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan