Tiga
Mawar merah
**14**
“SELAMAT
pagi!”
tegur Zara kepada rakan-rakan sekerja. Bibirnya mekar dengan senyuman. Ceria
benar raut wajahnya pagi ini. Wanie yang turut beriringan bersamanya, hanya
tersenyum-senyum melihat tingkah Zara. Bangga pun ada juga kerana penampilan
Zara hari ini adalah berkat tunjuk ajarnya selama dua hari cuti hujung minggu.
Encik
Minhat, bos MNE Corporation yang selama ini langsung tak pernah nak pandang
Zara bagaikan sudah hendak terkeluar biji mata memandang ke arahnya. Bagaikan
tidak percaya itu adalah Zara Dania Binti Muhammad Zainal yang tidak pernah
menarik minatnya. Berbeza! Sungguh Zara berbeza benar hari ini. Cantik sangat!
Terasa ada pula air liur yang meleleh pada bibir lelaki itu kala terpandangkan
penampilan terbaru daripada Zara. Lupa terus pada isteri-isterinya yang berada
di rumah.
Jangan
tak tahu, Encik Minhat ini boleh tahan juga miangnya. Dalam tubuh yang gemuk
dan pendek itu, dia ada dua orang isteri. Bukan main-main isterinya, keduanya
cantik persis seorang model. Tak padan sungguh jika hendak digandingkan dengan
Encik Minhat.
Tidak
menghiraukan pandangan mata Encik Minhat, Zara terus melangkah dengan penuh
keyakinan. Wanie yang setia sudah mengekek ketawa melihat gaya bersahaja
temannya itu.
“Psttt… kau perasan tak Encik Minhat
pandang kau sambil air liur dia meleleh. Hisy…
pengotor betullah dia tu!” bisik Wanie kepada Zara. Dia memang tak berkenan
dengan Encik Minhat yang gatal itu. Entah apalah urusan lelaki gemuk itu datang
ke Star Properties awal pagi begini. Bosan sungguh nak menengoknya.
Zara
mencebir. Tak minat dengan Encik Minhat lelaki yang sudah punya dua isteri itu.
Bukan dia tak tahu Encik Minhat itu datang ke sini nak menabur ayat untuk
menggoda Kareena. Tapi tahulah Kareena. Diakan high test. Lelaki yang personalitinya seperti Encik Minhat itu,
memang dia tak akan layan. Kirim salam!
Sekarang
ini satu bangunan tahu yang Kareena sedang mengayat Encik Hakimie.
“Selamat
pagi Kak Uda…” ucap Zara sebaik sahaja dia sampai di meja Kak Uda.
Kak
Uda berpaling. Ucapan Zara tidak dijawab. Matanya memandang tunak pada
penampilan Zara hari ini. Berubah! Itulah yang dia boleh katakan pasal Zara.
Mimpi
apa agaknya gadis itu? Sampai begitu sekali perubahannya.
Tidak
mempedulikan renungan Kak Uda, dia bergerak ke mejanya. Punggungnya dilabuhkan
di situ dan beg tangan dimasukkan ke dalam almari kecil.
“Zara
menang loteri ke ni? Lain macam aje akak tengok.” tanya Kak Uda beria-ia. Dia
sudah berdiri dan menjenguk ke meja Zara yang dipisahkan dengan partition.
Sungguh! Dia terkejut dengan perubahan Zara. Gadis itu nampak lebih cantik
begini.
“Saya
bukan kaki nomborlah Kak Uda! Kalau nak tanya pasal loteri ni, Kak Uda pergilah
tanya Mr. Jonny tu. Diakan kaki nombor. Buat apa nak tanya saya pulak? Bila masa Kak Uda nampak saya
ambik nombor ekor?” Tungkas Zara. Adakah patut Kak Uda kata dia menang loteri?
Sedangkan dia tak pernah main nombor ekor sepanjang hayatnya ini.
Kak
Uda tersengih. “Habis tu… lain benar akak tengok Zara. Tu yang ingat Zara
menang nombor ekor.”
“Cantik
tak Kak Uda?” Zara cuba minta pendapat Kak Uda.
Laju
Kak Uda mengangguk. “Cantik sangat!”
Kembang
hati Zara menerima pujian daripada Kak Uda. Lebar saja senyumannya.
Wanie
pula sudah mencebik. Meluat dengan sikap perasan lawa Zara yang satu itu.
“Alaaa…
babe. Kau janganlah nak cebik-cebik.
Aku jadi cantik begini pun sebab kau yang ajar aku. Kaukan sifu aku.”
“Tau
takpe.” Giliran Wanie pula tayang
lagak. Kembang hati bila Zara menggelar dia sebagai ‘sifu’.
“Okeylah.
Sekarang saya nak kemas bilik bos. Nanti cerita lagi ya Kak Uda.” Bingkas dia bangun
dan bergerak ke bilik Hakimie. Berlenggang lenggok dia berjalan.
Wanie
yang melihat sudah menepuk dahi. Hadoi…
Zara dah jadi gedik macam Kareena pulak dah!
“Wanie…
akak nak tanya ni, apa kena dengan Zara tu?” masih tidak berpuas hati, Kak Uda
nak korek rahsia dekat Wanie pula. Mesti Wanie tahu sebab Wanie inikan kawan
baik Zara.
“Entah!
Wayar dah tercabut satu kut.” Selamba Wanie membalas dan berlalu ke mejanya.
Masuk
ke dalam bilik besar itu, Kareena yang sedang bersolek sakan mendongak.
Terkejut dia memandang Zara. Cantik giler tu! Tergugat kedudukan dia.
Zara
pula langsung tidak menghiraukan pandangan Kareena. Malah semakin seronok pula
dia berlenggang lenggok di depan Kareena. Biar berbulu mata Kareena
memandangnya. Heheheee…
“Assalamualaikum
Encik Hakimie…” sapa Zara mesra. Lebar dia tersenyum.
Mesra
alam pula perempuan itu hari ini. Macam dah jadi kawan rapat dengan Hakimie.
Mendengar
suara ceria Zara, Hakimie mengangkat wajahnya. Keningnya di angkat sebelah
ala-ala The Rock. Pelik melihat penampilan
stafnya itu hari ini. Lain daripada hari-hari selalu.
Tidak
mempedulikan majikannya itu, Zara segera mengambil bulu ayam dan tuala kecil.
Dilap meja kopi sambil bibirnya menyanyi kecil. Ceria benar lagunya. Lagu
anak-anak remaja masa kini.
Selesai
di meja kopi, dia beralih pula ke cabinet. Mengelap cabinet menggunakan bulu
ayam. Nyanyiannya masih terus bergema biarpun tidak kuat namun masih jelas pada
pendengaran Hakimie.
Usai
menyudahkan kerja-kerjanya, dia ke meja Hakimie pula. Mengelap meja lelaki itu
dengan penuh khusyuk dan gembira. Hakimie yang terkejut dengan tindakannya itu
tidak dihiraukan. Dia tengah gembira ni. Sebab itulah tahap rajinnya
berkobar-kobar.
Hakimie
berundur sedikit bila Zara mengelap mejanya. Perempuan itu, kalau iya pun sudah
rajin tahap mak-mak, janganlah buat dia ini macam sampah juga. Haish!
Setelah
berpuas hati dengan kekemasan bilik Hakimie, Zara melangkah keluar. Bersahaja
gayanya.
Dahi
Hakimie sudah berkerut-kerut dengan tindakan selamba gadis itu. “Apa kena
dengan dia tu? Pagi-pagi lagi dah buang tabiat. Penyakit kus-kus datang kut!”
Hakimie berbicara sendiri. Pelik dengan sikap Zara pagi ini. Berlipat-lipat
perangai dia melihat perangai aneh gadis itu.
Lima
minit berlalu, pintu biliknya diketuk semula. Dia yang sedang ralit memandang
skrin komputer memberi arahan masuk kepada si pengetuk pintu.
Muncul
Zara kembali bersama mug di tangan. Bibir masih lagi mekar dengan senyuman
semanis gula.
“Ini
air Nescafe khas untuk Encik Hakimie.” penuh ceria Zara menutur kata lantas meletakkan
mug di atas meja Hakimie.
Semakin
berlipat dahi Hakimie dengan perangai Zara itu. Selalunya, bila dia minta Zara
pasti akan bising-bising. Muncung panjang sedepa. Tak pernah nak senyum. Tapi
hari ini, tanpa di suruh, tanpa dia meminta, Zara sendiri menyediakan air
Nescafe untuk dia.
“Awak
sihat ke?” Hakimie bertanya. Rimas pula dia bila Zara kelihatan lain macam hari
ini. Dia lebih gemarkan Zara yang suka bising-bising itu.
“Kenapa?
Muka saya nampak macam tak sihat ke?” Zara meraba wajahnya sendiri. Dia
sihat-sihat saja. Tak demam pun.
Malah
disebabkan kesihatannya ini, dia bangun lebih awal hari ini. Sempat bersarapan
pagi bersama umi dan abahnya yang sudah selamat menjadi seorang pesara. Adalah
kawan umi dekat rumah. Umi dan abahnya juga bertanyakan perihal kesihatannya.
Sama dengan soalan Hakimie.
“Muka
awak okey. Cuma perangai awak tu aje yang K.O. Macam orang terlupa makan ubat
mental!” selamba Hakimie mengutuk.
Zara
ketap bibir. Lelaki itukan… kalau bercakap sesuatu mesti menyakitkan hati dia. Tak
boleh nak cakap sesuatu yang elok depan dia. Rasa macam nak dicekiknya saja
leher sasa Hakimie ketika itu juga. Namun dia cuba menyabarkan diri.
‘Sabar
Zara. Tenang! Anggap ajelah apa yang kau dengar tu bagai angin lalu. Kan kau
nak berubah. Menjadi wanita yang mempunyai personaliti yang menarik. Jangan
mudah naik angin dengan kata-kata si mamat poyo
ni.’ Zara memberi motivasi kepada dirinya sendiri. Tidak mahu penampilannya
yang anggun ini terencat dek sindiran Hakimie yang menyakitkan hati.
Dia
menghela nafas. Bibirnya diajar untuk terus tersenyum walaupun apa yang baru
didengarinya daripada mulut lelaki itu amat menyebalkan. “Kan Encik Hakimie
juga yang kata, saya perlu mengubah penampilan diri untuk menjadi wanita yang
berpersonaliti. Bila saya dah berubah, Encik Hakimie kata saya K.O pulak. Kata saya terlupa ambik ubat.”
“Saya
suruh awak ubah penampilan, tapi bukan over
macam ni.”
Zara
pandang dirinya. Over sangatkah dia?
Tapi… Wanie kata okey aje. Umi dan abah pun kata dia nampak cantik hari ini. Lain
daripada yang lain. Kak Uda pun cakap dia cantik sebentar tadi. Encik Minhat,
lelaki yang tak pernah pandang dia itu juga bagaikan ingin tersembul biji mata
memandang dia tadi. Tapi bosnya pula komen kata dia over. Apa yang overnya?
‘Eiii…
susah betul nak tahu keinginan orang lelaki ni!’ Hati kecil Zara menggumam.
“Saya
rasa okey pun.”
“Penampilan
memang okey, tapi perangai tu yang K.O. Dah tergedik-gedik saya tengok.”
Bibir
Zara sudah muncung seinci. Pantang benar dia jika ada yang mengatakan dia
gedik. Dia bukan golongan perempuan perangai gedik. Kalau gedik itu hanya
Kareena seorang.
“Dah!
Dah! Keluar. Saya nak buat kerja ni. Tengok awak kat depan saya ni… buat saya
tak boleh nak tumpuhkan perhatian pada kerja. Buat semak aje.”
Kali
ini, muncung Zara sudah panjang tiga inci. Geram pula dia bila lelaki itu
menghalaunya dengan mengeluarkan kata-kata seperti itu. Huh!
Dengan
perasaan sebal, dia keluar dari bilik Hakimie.
“Bencinya!
Ingat… dia tu dah perfect sangat
agaknya?!” gumam Zara sebaik keluar dari bilik Hakimie. Berdepan dengan mamat
poyo itu, tahap kesabarannya selalu sahaja terbabas.
Kareena
yang mendengar Zara mengumam buat tidak endah sahaja. Dia tahu, itu pasti Zara
sudah kena ‘cuci telinga’ dengan Hakimie.
‘Heee…
padan muka! Ingat dia dah cantik-cantik begitu bos akan sukalah. Please… la! Takat berubah macam ini,
belum dapat menandingi aku.’ Dalam hati Kareena mengutuk.
Sakit
hatinya melihat penampilan baru Zara yang cantik. Tergugatlah kedudukan dia.
Cuma itulah… dia inikan penuh dengan rasa bangga diri yang meninggi. Mana boleh
mengaku ada perempuan lain yang lagi cantik daripada dia walaupun hakikatnya
memang Zara itu lebih cantik daripada dia.
Melihat
pandangan Kareena padanya, Zara mengukir senyum. Namun sayang, senyumannya
dibalas dengan jelingan pula.
‘Huh!
Ini lagi seorang manusia yang menyakitkan hati. Entah apa yang dia ‘jeles’ sangat dekat aku. Nak senyum pun
tidak. Huh!’ Dengan perasaan sebal, Zara berlalu keluar dari bilik tersebut.
Menyakitkan hatinya saja bersua muka dengan Hakimie dan Kareena. Dua-dua
sengal!
Kareena
dan Hakimie memang padan disatukan bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan