Tiga
Mawar merah
**5**
SEBAIK
melangkah masuk ke dalam rumah, Zara terus mencampakkan beg tangan berwarna
hitamnya ke atas sofa. Kemudian tubuhnya pula dilabuhkan di atas sofa panjang
berkembar tiga yang berhadapan dengan peti televisyen. Matanya dipejamkan
rapat-rapat. Dia cuba merehatkan badan dan mindanya yang dipaksa bekerja berat
hari ini.
Sudah
satu minggu dia keletihan begini. Jika dulu, tepat pukul 5.00 petang, dia pasti
akan bergegas balik ke rumah. Dalam setengah jam, dia sudah berada di rumah dan
boleh rehat-rehat dengan senang hatinya. Tapi kini, masa pulangnya sudah tidak
menentu. Jika awal tuan ketua yang perasan bagus itu pulang, maka awal jugalah
dia akan pulang ke rumahnya. Dapat jugalah dia berehat sebentar. Tapi jika
lambat tuan ketua poyo itu pulang, maka lambatlah dia. Sampai ke rumah kadang-kadang
sampai pukul 8.00 malam. Semua gara-gara denda yang terpaksa dia jalani
sekarang ini. Entah sampai bilalah agaknya denda itu akan berakhir?
‘Arghhh…
mamat poyo tu sebenarnya memang sengaja nak kenakan aku. Sengaja nak buli aku!’
Hatinya mengamuk marah.
Perasaan
bencinya pada Hakimie juga semakin membiak dengan banyaknya bagaikan bakteria
yang membiak dengan begitu cepat sekali. Kenapalah takdir hidupnya kena
berjumpa dengan lelaki itu? Cukup malang!
“Amboi…
anak dara umi ni. Bukan main sedap lagi dia landing
atas sofa tu. Dah macam dugong betina pulak
umi tengok rupanya.” Suara Puan Inara yang menyapa dengan ayat menyakat
membuatkan Zara membuka mata. Luas matanya terbuka tatkala mendengar perkataan
‘dugong betina’ yang diguna pakai oleh sang umi.
Puan
Inara tersenyum sambil melabuhkan punggungnya di atas sofa bertentangan dengan
anak dara kesayangan. Wajah si anak ditenung penuh kasih.
“Alaaa…
umi ni. Tak patut tau panggil orang dugong. Panggillah duyung. Sedap juga halwa
telinga orang ni dengar kalau umi panggil orang duyung. Ini tidak… dugong! Huh…
tak masuk langsung.” Dengan manja Zara menutur kata. Sememangnya, dia masih
lagi anak manja umi dan abahnya biarpun usianya sudah menjangkau dua puluh
empat tahun. Namun usia bukanlah penghalang untuk dia terus menjadi anak manja.
“Iye la tu. Nak sangat jadi duyung, tapi
pemalas dan suka terlentang-lentang macam dugong. Umur dah nak masuk dua puluh
empat tahun, tapi perangai macam budak-budak yang baru dua belas tahun. Entah
bilalah Zara ni dah berubah matang? Sampai ke tua jadi kanak-kanak riang
rebinalah jawabnya.” Ujar Puan Inara.
Zara
mendecit. Umurnya memang akan masuk dua puluh empat tahun tidak lama saja lagi.
Tapi… dia tetap muda remaja. Heheheee…
Perasan!
“Hisy… umi ni kan… bila masa orang malas
dan suka terlentang? Orang cuma nak rehat sebentar ajelah. Penat ni umi. Banyak
sangat kerja dekat ofis tadi.” Zara mengadu manja. Dia benar-benar penat.
Puan
Inara hanya membalas dengan senyuman. Dia sendiri perasan. Anaknya itu sejak
akhir-akhir ini sering saja pulang lewat ke rumah. Jika dulu, dalam pukul 5.30
petang, pasti batang hidung anaknya sudah kelihatan. Tetapi sekarang, paling
awal pun pukul 6.30 petang baru kelibat anaknya kelihatan ada di rumah. Kalau
tidak, sah sampai ke malam jugalah baru kelibat anaknya itu kelihatan.
Dia
ada juga bertanyakan kepada Zara, adakah anak itu sibuk kerana kerja lebih
masa? Kata Zara memang dia terpaksa bekerja lebih sekarang ini tetapi bayaran
gaji tetap sama. Pening dia memikirkan kata-kata anaknya itu. Sampailah Zara
mengatakan bahawa dia kini sedang menjalani hukuman yang dikenakan oleh ketua
baru di pejabatnya.
Macam-macam
saja anaknya itu. Sudah bekerja pun masih dijatuhkan hukuman juga. Ingatkan
dekat sekolah dulu saja Zara nakal dan sering didenda guru-gurunya,
rupa-rupanya sudah bekerja pun kenakalan anak itu masih lagi bersisa. Hmmm…
entah bilalah sikap nakal anak daranya yang seorang ini akan hilang, dia
sendiri tidak tahu.
“Banyak
sangatkah kerja yang Zara kena suruh buat dekat ofis tu? Sampai begini sekali
penatnya.”
Hanya
anggukan kepala saja menjadi jawapan kepada soalan uminya. Mata dipejam semula.
Dia benar-benar keletihan. Dia sedar bosnya itu memang sengaja mahu mengenakan
dia. Kalau setakat kemas meja aje tak mengapalah juga. Ini disuruhnya Zara siap
vakum biliknya lagi. Sudahlah bilik besar gila. Cukup meletihkan.
“Sampai
bila Zara kena denda ni?” tanya Puan Inara lagi.
“Tak
tau la umi. Orang sendiri dah tak sanggup lagi. Cukup menyeksakan! Orang tahu… mamat poyo tu memang sengaja nak kenakan
orang. Pasal tu dia suruh orang buat itu dan ini! Dia memang simpan dendam
dengan orang!” Luah Zara. Api kemarahannya terhadap Hakimie menyala kembali.
Memang dia tak boleh ingat lelaki perasan bagus itu, cepat saja api kemarahanya
mendidih.
“Mamat poyo mana pulak yang buat anak umi ni?” berkerut dahi Puan Inara. Ini lelaki
mana pulalah yang dapat ‘hadiah’ nama ‘comel’ daripada anak gadisnya itu.
“Mamat poyo mana lagi umi? Bos orang tu la! Dia la mamat poyo yang paling poyo
dekat dunia ni. Dia sengaja nak buli orang. Suruh orang buat macam-macam. Suruh
menyapu la…suruh vakum la… suruh lap habuk la. Apa dia ingat Zara ni tukang
sapu ke? Eiii… benci betullah!”
Rasa
mahu Puan Inara tergelak mendengar aduan anaknya itu. Antara tiga puterinya,
memang Zara paling ‘tak pandai’ buat kerja-kerja rumah. Anaknya itu tidak tahu
memasak. Malas mengemas. Yang dia tahu hanya duduk bersenang lenang depan
televisyen melihat rancangan kartun Disney. Cakaplah segala jenis kartun dalam
televisyen tu, semua dia sudah boleh hafal. Bosan mengadap kartun, dia akan
membaca novel. Sudah pelbagai rupa novel yang dia ada memenuhi ruang almarinya.
Sekarang
ni bila Zara dihukum dengan hukuman seperti itu, memang hatinya tercuit. Heheheee….
“Tak
baik bagi gelaran macam tu dekat orang.” Puan Inara cuba menegur sikap anaknya
yang suka memberi gelaran-gelaran itu.
Zara
tarik muncung. “Apa pula tak boleh? Gelaran tu la yang paling secocok dengan
dia tu. Menyakitkan hati!” balas Zara lebih kepada bebelan. Hatinya menang
sakit dengan Hakimie. Lelaki itu sudah mula diiktiraf sebagai musuhnya.
Puan
Inara hanya mengeleng-geleng. Nampaknya Zara memang bengang benar dengan bos
barunya itu.
“Tak
baik menbenci orang lebih-lebih sangat Zara. Nanti tersayang pulak. Mana tahu suatu hari nanti si bos
Zara tu jadi suami Zara pulak, hah…
baru kena kat batang hidung sendiri. Pasal tu orang tua-tua dulu selalu berpesan,
jangan benci berlebihan, nanti hati terjatuh sayang.”
Muncung
Zara semakin panjang mendengar kata uminya itu. “Hisy umi ni! Nauzubillah!
Orang tak hadaplah dengan Encik Hakimie tu. Poyo
semacam aje tau. Umi janganlah cakap yang bukan-bukan pulak. Nanti termasin pulak
mulut umi cakap macam tu. Macam mendoakan jodoh orang berjodoh dengan mamat poyo tu pulak. Orang tak naklah. Kalau iye
pun umi nak mendoakan jodoh orang, doakanlah orang bertemu dengan lelaki yang hensem, romantik dan baik macam Abang
AA.”
Dahi
Puan Inara mula berkerut lagi. Kali ini entah siapa pulalah yang digelarnya
sebagai Abang AA itu? Tak sudah-sudah nak bagi gelaran. “Abang AA? Siapa pulak tu?”
Ketawa
Zara melihat kerutan pada dahi uminya. Dia yakin umi sedang kebinggungan bila
dia menyebut Abang AA.
“Umi…
Abang AA yang orang maksudkan tu ialah Aaron Aziz. Kalau jumpa dengan lelaki hensem dan romantik macam Abang AA ni
memang orang nak kahwin hari ni jugak.
Tapi bukan dengan si mamat poyo yang
suka menyusahkan orang tu!” Omel Zara.
Tergeleng
kepala Puan Inara mendengar omelan anaknya itu. Gila sangat dengan si Aaron
Aziz. Asal ada saja pelakon lelaki itu berlakon, memang Zara tak akan berganjak
dari depan televisyen.
“Hmmm… iye la! Abang AA Zara la tu. Macamlah Zara tahu yang Abang AA Zara
tu romantik dan baik hati dekat luar. Tu hanya lakonan la sayang. Dekat luar
kita tak tahu lagi perangai sebenar dia.”
“Alaaa…
umi ni. Orang yakin Abang AA tu pasti seorang yang baik dan romantik. Untung
isteri dia dapat Abang AA kan umi. Bukan macam mamat poyo tu. Malang benar perempuan yang jadi girlfriend dia. Dapat pakwe yang sewel dan gila kuasa.”
Sekali
lagi kepala Puan Inara tergeleng-geleng mendengar butir bicara Zara. Masih
belum redah rupanya marah si Zara pada majikannya.
“
Iye la tu. Dahlah tu sayang. Jangan
nak marah lebih sangat. Nanti tak pasal-pasal terkena penyakit darah tinggi pulak anak manja umi ni. Dah! Pergi
mandi. Lepas tu solat. Insya-ALLAH lepas solat nanti, Zara akan lupa apa yang
terjadi dan dapat melupakan rasa sakit hati dekat bos Zara tu. Lagipun umi
cukup yakin yang anak umi ni mesti belum solat lagi, kan?” Seperti biasa, Puan
Inara tetap lembut melayan kerenah anak bongsunya yang seorang ini. Dalam tiga
puterinya, Zara merupakan anak yang paling manja. Namun, dalam kemanjaannya
Zara seorang anak yang senang mendengar kata biarpun kadang-kala kedegilannya
tetap ada. Tetapi bila kena dengan caranya memujuk anak itu, degil Zara mudah
saja dilenturkan.
“Alaaa…
kejaplah umi. Zara nak rehat-rehat jap.
Penat tak hilang lagi ni.” Zara sudah merebahkan semula tubuhnya di atas sofa.
Bukan main sedap lagi dia cuba menyelesakan tubuhnya di situ.
“Jangan
nak mengada. Pergi mandi dan lepas tu solat. Nanti terlepas pulak waktu Maghrib.
Dah selesai semuanya, Zara nak tergolek ke… nak terlentang ke… umi tak kisa.
Yang penting sekarang, pergi mandi dan solat dulu!” Puan Inara bertegas. Dalam
bab-bab melibatkan solat, dia memang tidak pernah berlembut dengan anak-anak.
Solat tiang agama. Dan tiang itu tidak patut dirobohkan.
“Iye la. Iye la. Zara pergi mandilah ni. Baru nak rehat kejap pun dah kena
leter.” Malas-malas Zara bangun dari baringnya dengan bibir yang panjang
menarik muncung. Dengan langkah yang longlai, dia naik ke tingkat atas. Dia
perlu mandi dan menunaikan solat Maghrib sebelum waktu Isyak pula mengambil
tempatnya.
Benarlah
kata umi… tak elok dia melambat-lambatkan waktu solat. Nanti kat ‘sana’ kena
belit dengan ular besar. Hisy… nauzubuillah!
BERSAMBUNG...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan