Tiga
Mawar merah
**1**
FARA
dan Sara saling berpandangan. Mereka hanya mendengar sahaja luahan hati Zara
yang begitu kecewa akibat cintanya yang putus di tengah jalan untuk kesekian
kalinya. Hakikatnya, mereka sebenarnya langsung tak faham dengan apa yang
diomelkan oleh adik mereka pada ketika ini. Mana tidaknya, Zara mengadu sambil
menangis teresak-esak dengan hidung yang sudah penuh dengan hingus. Sehinggakan
suaranya juga sudah bertukar nada menjadi sengau. Ala-ala Kak Nita gitu.
Sehelai
lagi tisu dicapai. Hingus yang semakin banyak membuatkan dia jadi kurang selesa
untuk meneruskan bicaranya. Air mata pula sudah banyak yang mengalir keluar.
Semua ini gara-gara hatinya yang patah akibat cintanya yang putus di tengah
jalan.
Sebelum
dia datang ke rumah angahnya ini petang tadi, dia sempat bertanyakan pasal
Abang Yusri kepada angahnya. Kalau suami kesayangan angahnya itu ada di rumah,
memang dia tak akan datang untuk sesi meluahkan perasaan. Segan dia nak
menangis teresak-esak depan Abang Yusri biarpun suami angahnya itu seorang yang
sporting sama seperti Abang Rezzanya,
suami along. Tapi memandangkan Abang Yusri baru tiga bulan menjadi abang
iparnya yang sah, jadi perasaan segannya pada lelaki itu masih lagi menebal.
Tunggulah dua tiga bulan lagi, sah dia tak akan sesegan sekarang. Entah-entah
boleh jadi ‘kamceng’ dengan Abang Yusri macam mana dia ‘kamceng’ dengan Abang
Rezza.
Bila
saja Sara memberitahu yang suaminya itu tidak ada di rumah kerana sedang
mengikuti kursus di Singapura selama satu minggu, laju Zara datang bertandang
ke sini untuk sesi luahan rasa hati. Sambil itu dia juga telah menghubungi
alongnya untuk turut serta dalam luahan perasaannya ini. Biarlah along dengan
angah menjadi saksi betapa retak hatinya ketika ini dek ditinggalkan kekasih
hati. Huhuhuuu…
Bukannya
dia tak boleh nak berkongsi cerita dekat Wanie, sahabat baiknya sejak dari
zaman sekolah menengah itu. Tetapi… dia malu pulak asyik nak mengadu saja pada Wanie. Nanti apa pulak kata Wanie jika dia asyik nak
mengadu pasal cintanya yang kecundang ini. Tak pasal-pasal kena ceramah free dari perempuan sorang tu. Sejak dari awal lagi Wanie memang tak berkenan dengan
Ajib. Kata Wanie, Ajib itu matanya mata keranjang. Ah… Wanie, sahabatnya itu
dua kali lima saja dengan alongnya. Suka berprasangka buruk terhadap Ajib.
Lagipun
tentu Wanie juga bosan asyik mendengar kisah cintanya yang putus di tengah
jalan. Kisah cinta yang tak pernah nak ada kesudahan. Dari mula dia berkawan
dengan Wanie, dia selalu mengadu kisah cintanya pada gadis itu. Jadi jalan
terbaik adalah dengan meluahkan kelukakan ini pada along dan angahnya pula. Dia
tak sanggup nak dengar bebelan Cik Nur Hawanie lagi.
Nak
libatkan Cikgu Muhammad Zainal dan Puan Inara? Dia memang tak sanggup. Angkat
tangan awal-awal. Dia tak nak libatkan abah dan uminya dalam hal cintanya yang
sering kecundang ini. Nanti tak pepasal, umi suruh dia mandi bunga pula kerana
sudah kerap sangat dia putus cinta.
Ayit
dan Anna langsung tidak mengendahkan tangisan Acu mereka yang bergema memenuhi
ruang tamu rumah angah mereka itu. Dengan rasa seronok mereka berdua kelihatan
begitu sibuk mewarna buku ‘Mari Mewarna’ yang baru dibeli oleh mummy mereka sebelum mereka datang ke
sini tadi. Sambil-sambil itu, Ayit mengambil kesempatan yang ada ini untuk
menyakat Anna dengan mengambil crayon adiknya itu lalu dimasukkan ke dalam
kotak crayonnya pula. Ayit ni memang suka sangat mengacau adiknya. Bila Anna
hendak mengambil semula crayon tersebut, Ayit akan menjelirkan lidah sebagai
tanda mengejek. Sengaja melarikan crayon tersebut dari capaian tangan Anna. Anna
pun apa lagi, mulalah merintih mintak pertolongan mummynya. Bila sahaja mata mummy
mencerlung memandang Ayit yang berkelakuan nakal, barulah si abang memberikan
crayon itu kepada adiknya yang cukup terkenal dengan kecengengannya itu.
Sikit-sikit nak mengadu dekat mummy!
Sikit-sikit nak mintak bantuan mummy!
Mana aci! Mummy dah sah-sahlah akan
bagi sokongan padu pada anak dara kesayangannya itu. Maklum… anak perempuan
katakan.
“Sudah-sudahlah
menangis tu, adik. Tak guna adik nak menangis beria-ia. Benda dah jadi… nak
buat macam mana? Anggap ajelah takde
jodoh antara adik dengan Ajib. Lagipun buat apa adik nak frust menonggeng sangat?
Ajib tu bukannya hensem mana pun
along tengok. Kurus macam cicak kobeng! Itu pun adik nak sangat. Adik ni
cantik, boleh dapat yang lagi hensem
dari si Ajib tu. Sekali adik petik jari, sepuluh yang beratur nak tawan hati
adik tau.”
Kata
anak perempuan Cikgu Muhammad Zainal yang berjiwa brutal, tapi bila dah putus
cinta macam ini terus jiwa brutal Cik Zara Dania jadi jiwa lara. Jiwa brutal
apa namanya tu jika hal sekecil ini pun boleh buat Zara menangis bagai kematian
laki.
Sememangnya,
dari dulu lagi Fara tak pernah bersetuju adiknya itu bercinta dengan Ajib. Dia
kurang suka pada lelaki kurus cekeding itu. Dia menentang habis-habisan bila
Zara selalu sebut pasal Ajib depan dia dan sering memuji-muji Ajib yang
kononnya baik itu. Tapi biasalah Zara ni… mana nak dengar kata sangat. Jika
hati sudah sayang, segala keburukan Ajib memang dia tak nampak. Apatah lagi
Ajib itu adalah pujaan hatinya.
Entah
apalah yang Zara pandang sangat dekat Ajib tu. Sampai kecewa sangat dia bila ibu
bapa Ajib hendak menjodohkan Ajib dengan wanita lain. Lagipun, Zara bukannya
tak cantik. Adiknya yang seorang ini wajahnya boleh dikategorikan sebagai gadis
comel. Cantiklah tu! Tapi si Ajib yang kurus itu jugaklah yang adiknya tergila-gilakan sangat. Tak faham sungguh!
Nak kata buta, tak jugak. Nak kata
rabun, mungkin iya kut.
Namun
ini bukanlah bermakna Fara ni seorang yang memandang rupa paras semata-mata.
Cuma… sebagai seorang kakak, dia memang ‘kureng’ berkenan adiknya berhubungan
dengan Ajib. Daripada hari pertama dia kenal Ajib dan daripada cerita-cerita
adiknya itu mengenai Ajib, dia seolah-olah sudah dapat menjangka lelaki jenis
bagaimanakah Ajib ini. Ternyata, telahannya memang tepat. Ajib itu memang kaki
perempuan. Tak padan dengan badan yang sekeping tu pun nak berlagak jadi buaya jadian
juga.
Zara
mengangkat muka. Wajah kakaknya dipandang. Biar dia dah putus cinta dengan
Ajib, tapi dia tak naklah alongnya mencaci Ajib sedemikian rupa. Ajib memang
kurus. Tapi bagi Zara Ajib tetap menawan. Badannya yang kurus itu langsung
tidak mencacatkan dia di mata hati Zara. Pada pandangan Zara, Ajib tetap
memikat dan memukau.
“Along
senanglah cakap. Bukan kena kat batang hidung along, tapi kena kat orang ni.
Orang taulah Ajib tu tak sehensem dan
setegap macam Rahman Stephen Hudges hero Hikayat Merong Mahawangsa yang along
minat sakan tu, tapi bagi orang itu semua tak penting langsung. Yang penting
hati dan perasaan orang dekat Ajib. Orang sayang sangat kat Ajib. Orang tak
boleh nak teruskan hari-hari orang tanpa Ajib.”
Poyolah
Zara! Ajib dah bagi tinggal dia dengan air mata pun, masih lagi nak mempertahankan
Ajib depan alongnya. Nampak sangat yang dia ni sudah terkena ‘mandrem’ si Ajib.
Fara
mendengus. Mahu rasanya dia meluku kepala adiknya yang seorang itu. Bagi betul
sikit. Jangan nak mereng sangat
kerana si Ajib.
“Banyaklah
adik punya hati dan perasaan! Sayang sangat konon! Sebab hati dan perasaan adik
yang buta tulah Ajib senang-senang tinggalkan adik.”
“Dia
bukan sengaja tinggalkan orang. Dia terpaksa ikut kemahuan orang tua dia.”
“Hah…
itulah! Percaya sangat cakap Ajib tu. Entah-entah, dia bukan terpaksa pun tapi
memang dia dah ada kekasih lain. Itu pun adik masih nak menangkan dia lagi?
Sedar-sedarlah sikit adik oi… kalau
orang dah tak suka, jangan kita nak terhegeh-hegeh. Malulah sikit. Mana maruah
adik sebagai seorang perempuan kalau Ajib yang dah tinggalkan adik tu pun adik
masih nak menagih simpati? Kalau alonglah jadi adik… jangan harap nak menangis.
Along akan buktikan dekat dia yang along boleh cari lelaki berganda-ganda lagi
baik dari dia. Biar terbeliak biji mata si Ajib tu. Adik janganlah jadi bodoh
sangat sebab si kurus cekeding tu. Buka minda tu sikit. Nama aje belajar
tinggi-tinggi sampai masuk universiti. Tapi otak sempit. Mudah sangat percaya
pada cinta lelaki macam tu!” Nada Fara sudah berubah. Perasaan geramnya pada
Zara semakin menebal. Inilah perangai Zara yang paling buat dia bengang!
“Along
ni… orang suruh along datang rumah angah ni sebab nak mengadu dekat along
dengan angah. Bukannya nak dengar along marahkan orang sampai macam ni sekali. Orang
dahlah tengah kecewa, jiwa merana, hati patah ditinggalkan kekasih. Konon nak
berkongsi cerita duka orang ni dekat kakak-kakak orang, tapi along marah-marah pulak. Langsung tak bagi sokongan moral
kat orang. Kalau tahu macam ni… baik orang tak payah nak mengadu.” semakin
lirih suara Zara bila alongya sudah meninggikan suara. Siap cakap dia berotak
sempit lagi.
Sebab
itulah selama ini dia banyak berkongsi rahsia hati dengan angahnya berbanding
alongnya yang garang macam singa betina itu. Pemikiran along ni macam orang
tua-tua. Kolot! Sedangkan alongnya baru saja berusia dua puluh sembilan tahun.
Belum masuk pun ke angka tiga puluh.
Huk
eleh… sentaplah Zara! Poyo semacam aje dia malam ni. Macamlah ini baru kali
pertama dia putus cinta. Masuk kes Ajib ni, entah sudah berapa kali dia putus
cinta. Bercinta tak pernah nak kekal lama.
Namun
dalam ramai-ramai teman lelaki Zara, kira hubungan dengan Ajib yang bertahan
lama sedikit. Satu tahun dua bulan! Pasal itulah kut Zara beria-ia menangis
bila Ajib tiba-tiba mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan mereka dan
bakal mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan ibu bapanya.
Mengenangkan
itu, hati Fara cepat aje mahu mendidih. Kali ini dia mahu cuci telinga adiknya
itu bersih-bersih. Biar sedar yang selama ini teman-teman lelaki Zara semua tak
boleh pakai. Semua perangai buaya dan tak ubah seperti hantu raya!
“Saper kata along tak bagi sokongan moral
dekat adik? Dah berbuih mulut along nasihatkan adik tapi adik tu yang langsung
tak nak dengar nasihat along. Asyik sangat dengan cinta hati adik si Ajib tu. Ajib
yang tersayanglah katakan! Tengok sekarang apa dah jadi? Dia tinggalkan adik
macam tu aje. Langsung tak fikir hati dan perasaan adik yang konon-konon
terlebih perisa sayang tu.” Tempelak Fara lagi. Suara Zara yang lirih itu
langsung tidak menyentuh jiwanya. Malah dia rasa panas hati sdengan ‘kebodohan’
adiknya itu yang menangisi perpisahan dengan Ajib. Macamlah mamat tu special sangat!
“Adik
ni memang bodoh! Lelaki tu dah tak suka pun masih nak menangis beria-ia. Along
geram benarlah dengan adik ni! Entah ubat guna-guna apa yang Ajib dah bagi
sampai adik menangis begini rupa. Macam dunia ni dah kehabisan lelaki. Kat luar
tu… ramai lagi lelaki yang lagi baik dari dia!”
“Eiii… dahlah tu. Along ni pun… kan ke
adik nak jumpa kita berdua pasal nak meluahkan apa yang dia rasa sekarang ni dekat
kita. Bukannya nak dengar along membebel marah-marah.” Sara sudah bersuara. Dia
jadi geram dengan alongnya yang bercakap tak memikirkan perasaan Zara. Main
tembak aje. Ikutkan hati dia pun memanglah sakit hati dengan ‘kebodohan’
adiknya yang seorang itu. Tapi waktu-waktu begini bukanlah masa yang sesuai
untuk marah-marah. Sepatutnya mereka menasihati Zara dengan cara yang lembut,
bukan dengan cara kasar seperti ini.
“Sudahlah
tu, dik. Anggap sajalah Ajib dengan adik takde
jodoh. Dekat luar sana… masih ramai lagi lelaki yang hebat-hebat untuk
dijadikan teman hidup. Adik pun muda lagi. Baru nak masuk dua puluh empat tahun.
Masih ada banyak masa untuk pilih teman hidup yang benar-benar sesuai untuk
adik. Angah yakin sangat, kat luar sana ada seorang lelaki budiman yang telah
ALLAH tetapkan jodohnya sebagai pelindung adik. Dahlah… adik janganlah nangis
lagi. Tak cunlah adik angah ni buat muka macam ni.” Sara bertindak bijak
sebagai pendamai seterusnya memujuk adik kesayangannya itu.
Zara
mengangguk-angguk bagaikan burung belatuk. Lega sikit rasa hatinya bila
mendengar kata-kata kakaknya yang seorang itu. Mujurlah angah tak ‘sepesen’ dengan perangai along yang
‘ketuaan’ itu. Jika tidak, susah jugalah hidup Zara dalam bab adu-mengadu ini.
Sekurang-kurangnya kakaknya yang seorang ini lebih pelembut orangnya. Pasal
itulah dia lebih kamceng dengan angahnya berbanding alongnya.
Air
mata dikesat. Masuk yang ini, sudah dua kotak tisu yang Zara gunakan. Nampak
sangat yang dia tengah berduka lara. Selalunya Zara jenis yang ceria dengan
gelak tawa.
Fara
sudah mencebik. Kurang berpuas hati bila Sara terlalu manjakan Zara dalam
segala hal. Bukannya dia cemburu, cuma dia kurang bersetuju dengan cara Sara
memanjakan adik bongsu mereka itu yang dirasakan agak keterlaluan. Tahulah si
Zara tu adik bongsu, tapi tak payahlah nak manjakan dia sangat. Bertambah
naiklah ‘lemak’ budak tu nanti. Umur sudah nak masuk dua puluh empat tahun,
tapi manjanya mengalahkan si Anna yang baru masuk empat tahun itu.
“Adik
janganlah bersedih. Insya-ALLAH angah yakin pasti ada seorang lelaki yang baik
telah ALLAH ciptakan untuk jadi pelindung adik. Dahlah… jangan sedih-sedih lagi
ye.” Sara mengusap-usap lengan adik
kesayangannya itu dengan penuh kasih.
Melihat
keprihatinan angahnya membuatkan hati Zara makin lara. Laju air matanya
merembes lagi. Terharu dengan perhatian yang angah berikan pada dia. Bukan
macam along. Tahu nak marah-marah saja!
“Terima
kasih, angah.” Ucap Zara sebak.
“Hmmm… sama-sama. Dah… dah! Takmo nangis lagi. Tak comel tau.” Sara
menghulurkan sehelai lagi tisu jenama premier kepada adik kesayanganya.
Meluat
betul Fara melihat sikap Zara yang cengeng itu. Entah-entah sikap cengeng
adiknya yang seorang inilah yang diwarisi oleh anak perempuannya Anna.
Sikit-sikit nak tangkap leleh. Sebiji macam Acunya. Pantang diusik, mulalah nak
menangis. Entah-entah besar nanti Anna pun macam Acunya ini.
“Dah…
tak payah nak menangis bagai. Kalau nak pengganti sangat, esok along carikan
pengganti untuk adik. Yang pasti, lagi baik daripada Ajib tu.”
Zara
ketap bibir. Dia baru aje putus cinta, belum sampai pun sebulan, baru masuk dua
minggu, along dah nak mengenenkan dia dengan mana-mana mamat entah. Dia
bukannya kemaruk sangat pun nak berteman sampai nak dikenen-kenenkan dengan
orang yang dia tak kenal. Hensem tapi
kalau gigi ronggak macam mana? Eiii…
tak nak ar! Kalau boleh… dia lagi
suka cari calon sendiri daripada orang lain yang mencarikan calon untuknya.
Lagipun…
dia bukan hidup di zaman P.Ramlee sampaikan soal teman hidup pun kena keluarga
yang carikan untuk dia. Tolong sikit ye…
ini dunia realiti. Bukannya dunia novel di mana dia perlu dikenenkan dengan
lelaki yang dia tak suka dan akhirnya berkahwin. ‘Huh… takmo! Aku nak cari calon hidup aku sendiri. Soal rupa paras dan harta
jatuh ditangga kedua. Yang penting hati dan perasaan.’ Hati kecilnya
berkata-kata.
“Apa along ni? Ke situ pulak! Eiii… tak nak ar!!! Orang masih dalam keadaan bersedih
tau, along jangan sesuka hati nak kenen-kenenkan orang dengan mana-mana mamat
entah. Siap nak fikir soal kahwin pulak.”
Bentak Zara dengan wajah cemberut. Sakit hati dengan usul alongnya itu. Yang
angahnya pula hanya mengukir senyum dengan usul alongnya.
“Lerrr… tak payahlah awak nak
bersedih-sedih sebab ditinggalkan dek cicak kobeng tu Cik Zara Dania. Tak guna
nak berkabung. Tu la… dulu along nak kenalkan dengan Putra anak Makcik Hajah
Orkid, adik jual mahal sangat. Entah-entah sekarang ni si Putra tu dah ada
teman wanita pun dekat oversea sana.
Baru padan dengan muka tu. Siapa suruh jual mahal sangat. Kan dah melepas!”
Nampaknya
Fara semakin bengang dengan sikap degil adiknya yang seorang itu. Dia sudah nak
mengadjustkan lelaki yang baik untuk
Zara, tapi adiknya itu masih nak jual mahal. Masih nak bersedih atas
perpisahannya dengan Ajib si cicak kobeng.
Zara
tarik muka. Malas hendak bertekak dengan alongnya yang memang tak pernah nak
mengaku kalah itu. Salah satu sikap alongnya yang memang dia tak suka sejak
dari dulu lagi. Kalau bergaduh, bertekak, mesti nak menang! Mesti nak nombor
satu!
Ni
alongnya sudah buka pula topik pasal si Putra yang Zara tak pernah kenal sejak
dari dulu lagi.
Hmmm…
Putra la sangat! Entah-entah Putra Katak.
“Dahlah…
malaslah orang nak layan along ni. Orang nak balik. Nanti umi bising pulak
kalau orang balik lewat-lewat malam.”
Zara
bangun dari duduknya. Ketika itu jam sudah pun menunjukkan pukul 9.37 minit
malam. Lebih baik dia balik sebelum ‘kerusi perdebatan’ menjadi semakin panas.
“Awalnya
adik nak balik? Macamlah rumah abah dengan rumah angah ni jaraknya sepuluh batu
sampai adik nak balik seawal ini. Tunggulah dulu. Kita sembang-sembang kejap.”
“Tak
nak ar. Orang nak balik ni. Nak
tenangkan fikiran. Lagipun esok orang dah start kerja.” Sudah seminggu dia
bercuti. Sejak Ajib memutuskan hubungan mereka, dia jadi tidak tentu arah.
Disebabkan itu dia mengambil cuti. Itu pun atas nasihat Wanie.
Lagipun
dia memang sengaja nak balik awal untuk mengelak diri dari duduk terlalu lama
di rumah angahnya. Bukannya dia tak suka duduk lepak-lepak di rumah angah yang
terletak di Seksyen 8, Bukit Bandaraya ini lama-lama, cuma bila dah along dah
buka topik hendak mengenenkan dia dengan
seorang hamba ALLAH yang dia tak kenal, dia jadi ‘kureng’ selesa. Dia memang pantang bila dikenen-kenenkan tanpa
kerelaan hatinya sendiri. Dia ulang sekali lagi, dia bukannya hidup dalam dunia
novel atau zaman P. Ramlee yang hendak dikenen-kenenkan sesuka hati.
Prinsip
hidup Zara, cari pasangan hidup sendiri tanpa campur tangan family. Huhuhuuu…
Tangan
kakak-kakaknya dicapai lalu dicium penuh hormat. Diakan adik, jadi kenalah
hormat kakak-kakak yang lebig tua daripada dia.
“Adik
bawak skuter tu elok-elok. Jangan nak merempit pulak. Nanti tak pasal-pasal kena tahan dengan Pak Polisi.” pesan
Fara. Adiknya yang seorang itu boleh tahan juga nakalnya. Jika tidak dipantau,
sah akan jadi minah rempit.
Zara
mendecit. Dia baru bercadang nak merempit, along sudah buat pesanan khas.
Hampeh!
“Along
ni pun… agak-agaklah! Takkan dengan skuter ni orang nak merempit pulak. Tak masuk dek akallah nak
merempit dengan skuter. Lainlah kalau pakai Kawasaki Ninja ke… Honda CBR ke…
Yamaha R1 ke… boleh juga orang test power merempit. Ini skuter… ceh.”
Fara
sekadar ketawa kecil mendengar kata-kata adiknya yang sudah hangin itu. Dulu, dialah orang yang
melarang keras bila abah berniat hendak membelikan skuter itu kepada adiknya
ini. Bukannya dia dengki bila abah manjakan Zara, cuma baginya motorsikal
bukanlah kenderaan yang selamat untuk diguna pakai. Lebih-lebih dekat jalan raya
yang sibuk. Zara tu nakalnya boleh tahan. Jika tidak dipantau, memang ada gaya
nak jadi minah rempit peringkat kebangsaan.
“Okeylah.
Pergi dulu. Assalamualaikum.” Sambung Zara setelah helmet disarung ke atas
kepala.
“Waalaikumusalam.”
Balas Fara dan Sara serentak.
******************************************************************************
ENTAH
di mana silapnya sehingga ibu bapa Ajib telah memilih seorang gadis untuk
dijodohkan dengan anak mereka itu. Sangkanya, cintanya bersama Ajib akan kekal
hingga ke jinjang pelamin, rupanya musnah di tengah jalan. Dia sudah berusaha
menjadi yang terbaik untuk Ajib. Namun apakan daya, ibu bapa Ajib tidak
merestui cinta mereka. Huhuhuuu…
Air
matanya meleleh lagi. Inilah yang parah bila Zara sudah putus cinta.
Sekurang-kurangnya mahu dua tiga minggu jugalah dia berada dalam keadaan
sebegini. Menangis setiap kali duduk termenung seorang diri. Disebabkan itulah
bila putus cinta Zara suka cari along dan angahnya walaupun dia tahu pasti
along akan menempelaknya kerana along memang tak pernah nak berkenan dengan
bekas-bekas teman lelakinya. Hanya angah sahaja yang akan menenangkan hatinya
dan memujuknya dengan cara yang lembut.
Kata
along, calon-calon Zara semua haprak! Hampeh! Tak guna satu sen pun!
Ajib!
Lelaki itu bukan seperti yang along momokkan. Ajib lelaki baik tetapi cinta
mereka terhalang kerana keluarga. Entah di mana kekurangannya sehinggakan ibu
bapa Ajib lebih sukakan perempuan yang bakal menjadi menantu mereka itu
daripada dirinya. Sedangkan dia sudah mencuba yang terbaik untuk membeli jiwa
ibu dan bapa Ajib.
Zara
menangis lagi. Keadaannya sekarang dah serupa perempuan baru kena cerai laki
dengan talak tiga. Langsung tak terurus dengan rambut yang sudah mengerbang
bagaikan Hantu Kak Limah Balik Rumah. Semua kerana penengan ditinggalkan oleh
Ajib.
Parah!
Parah! Kalau berterusan macam ni sah Zara akan dicop sebagai kembar Hantu Kak
Limah pula.
Wake up
Zara Dania! Lupakan Ajib dan teruskan kehidupan kau seperti biasa. Jangan
disebabkan lelaki kurang hensem dan
bijak seperti Ajib itu hidup kau jadi seperti ini. Tak berbaloi, tau tak?!
BERSAMBUNG...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan