CINTA
MASAM MANIS
**8**
QISYA mendengus
geram. Jam tangan yang melingkar kemas pada pergelangan tangan dipandang lama.
Memang nak tempah maut bapak jin ni! Janji melayu! Kata nak jumpa pukul 12.30
tengahari. Ini dah dekat pukul 1.30 tengahari. Maknanya dah satu jam aku jadi
pelanggan setia kat KFC ni. Tercongok macam orang bodoh. Air pun dah order tiga
cawan. Ayam goreng dah habis dua ketul. Cheesy
Wedges dah licin kena bedal. Tapi bayang si bapak jin tetap juga tak
muncul-muncul.
Arghhh!!! Ini yang aku benci. Aku memang anti dadah betul bila bab tunggu
menunggu ni. Seksa! Pantang Hang Tuah betul aku bila ada manusia yang tak
menepati masa dan janji yang ditetapkan. Kalau dah tahu diri tu tak boleh
menepati janji, jangan sesekali nak berjanji-janji.
Kalau bukan disebabkan baju melayu dia yang TERKOTOR disebabkan kelalaian
aku ni, tak hingin aku nak tercongok kat KFC ni jadi penunggu setia si bapak
jin tu. Menyusahkan! Bakul berisi baju melayu si bapak jin dipandang geram.
Rasa seperti mahu dibuang sahaja bakul itu ke dalam tong sampah. Biar padan
dengan muka pemiliknya yang perasan hensem itu. Buat sakit hati saja.
Dahlah kerja kat ofis banyak lagi yang nak kena buat. Keluar tadi pun
Qisya cuma beritahu Yaya ada hal penting nak dibereskan. Dalam pukul 2.00
petang dia akan masuk pejabat semula. Tapi kalau dah macam inilah gayanya,
alamat dalam pukul 2.00 pun belum tentu akan sampai ke pejabat dengan jayanya.
Huhuhuuu…
Qisya mengetap bibir. Sabar! Sabar! Kan ke sabar itu separuh daripada iman.
Tapi masalahnya iman aku tak berapa kuat nak bersabar dengan bapak jin tu. Rasa
macam nak penampo ajo muko dio tu…
Nombor telefon si bapak jin didail lagi. Disebabkan tak pernah nak ambil
tahu nama lelaki yang diiktiraf sebagai musuhnya itu, Qisya dengan
bersenang-lenang telah meletak nama
‘bapak jin’ pada nama lelaki itu dalam list
handphonenya. Ini sudah kali yang ke dua puluh satu kali nombor telefon
lelaki itu didail. Yang jawab masih lagi si gadis mesin operator.
Hisy… tak boleh jadi macam ni! Entah-entah bapak jin ni saja nak kenakan
aku, kut! Ini yang buat hati aku panas ni. Rasa macam nak terbakar aje.
Tengah layan hati yang tengah panas, tiba-tiba ada satu suara datang
menyapa.
“Qisya…”
Macam pernah kudengar suara ini? Milik siapa, ya?
Pantas Qisya berpaling ke belakangnya. Toing! Seperti hendak tercabut
keluar matanya melihat wajah yang sedang tersenyum penuh perasaan hensem itu.
Aduh… bala ni! Apa pulak mat London ni buat dekat sini? Terlampau asyik sangat
fikirkan si bapak jin yang menyakitkan hati itu, sampai tak sedar si Amar
London dah tercegat kat belakang aku. Tanpa pelawaan daripada aku, Amar London
melabuhkan punggung di atas kerusi bertentangan dengan aku. Hisy… ini apa kes pulak tiba-tiba duduk
kat sini ni? Aku tak ajak pun!
“Eh… Amar? Kau buat apa dekat sini?” Hisy…
ini yang buat lemah jiwa raga ni! Aku memang tak berkenan sungguh bila jumpa
Amar London ni.
“I keluar lunch dengan kawan-kawan.” Jawab Amar London dengan skemanya.
Bibirnya begitu mekar dengan senyuman. Loya pula tekak Qisya melihatnya.
Kenapalah dia dikelilingi oleh lelaki-lelaki yang meloyakan? Menjengkilkan. Kan
bagus kalau dia dikelilingi lelaki-lelaki budiman seperti Syed Aiman. Aik? Ini
apa kes pula tiba-tiba masuk bab Syed Aiman ni? Qisya… Qisya…
“You sorang aje ke? Tak
berteman? Nak I temankan?” Amar dah
buat tawaran baik punya. Memang tak sangka dapat jumpa Qisya di sini. Rindu
hatinya hendak menatap raut wajah manis itu. Sudah banyak kali dia cuba
mengajak Qisya untuk keluar berdua, namun gadis itu sering kali tidak menjawab
panggilannya. Yang jawab hanyalah suara mesin. Tidak pun, pasti panggilan itu
dijawab oleh rakan-rakan serumah Qisya. macam-macam alasan yang diberikan.
Hari ini, dia tidak akan lepaskan peluang yang ada. Kebetulan terserempak
dengan gadis idamannya itu seorang diri di sini, apa salahnya dia duduk di situ
bersama Qisya. Lagipun dia memang sudah lama mengidamkan saat-saat seperti ini.
Berduaan dengan Qisya Nur Alifa. Wow…
romantiknya! Amar London sudah pasang angan-angan mat jenin.
Qisya mencebik. Dalam hati memang awal-awal lagi sudah menolak tawaran
baik punya yang diutarakan oleh si Amar London. Bukannya apa, dia memang
cukup-cukup tak tahan dengan si Amar London ni. Eksen lebih sangat! Bila
bercerita, mesti nak bandingkan Malaysia dengan Kota London. Kalau dah London
tu baik sangat, canggih sangat, kenapa tak tinggal aje terus kat London tu?
Buat apa nak balik Malaysia. Itu yang buat Qisya rimas dengan Amar London ni.
“Err… takpelah. Aku sebenarnya ada janji…” belum sempat ayat Qisya habis, si
Amar London dah sibuk menyampuk.
“Janji dengan kawan ke?”
Laju sahaja kepala Qisya menggeleng-geleng. Tindakan yang tak dijangka
sama sekali.
“Habis tu dengan siapa?”
“Dengan boyfriend aku.” Sebiji
Qisya menipu. Ini lagi satu tindakan yang tidak dijangka akan keluar dari
mulutnya. Hah! Biar betul apa yang aku cakap ni? Kan ke itu satu pembohongan
namanya. Dosa! ALLAH tak suka orang yang berkata bohong. Tapi nak buat macam
mana? Waktu-waktu kecemasan seperti ini hanya pembohongan sunat itu sahajalah
yang dapat menyelamatkan aku. Siapa suruh si Amar London ni gatal sangat nak
bertanya. Kan dah sebijik kena tipu. Dalam hati Qisya sudah mengekek ketawa.
Lucu melihat perubahan air muka Amar London. Terkejut tahap monyet jantan tu
beb. Kihkihkih…
“Hah! Tu pun boyfriend aku dah
sampai.” Kemudian bibirnya dimuncungkan ke arah pintu yang baru terbuka. Pasti
dan yakin bahawa kelibat manusia yang baru hendak melangkah masuk itu adalah
lelaki yang ditunggunya sedari tadi. Sampai pun. Tepat pada masa kecemasan aku
perlukan pertolongan cemas dari seseorang yang boleh menyelamatkan hidup aku.
Sepantas kilat Amar London berpaling. Tak sabar sungguh dia nak tengok
muka lelaki yang dirasakan telah merampas gadis idamannya itu. Calon menantu
yang diimpikan oleh mak dan ayahnya.
Serta-merta itu juga air muka Amar London berubah. Dari separuh hensem,
dah jadi tak hensem. Terasa diri memang tidak setanding dengan lelaki yang
melangkah masuk dan menuju ke arah mereka itu. Wajah hensem. Badan sasa. Gaya pun ada. Daripada penampilannya saja, Amar
London yakin lelaki itu pasti bukan calang-calang orangnya. Tentu orang berada.
“Bie… kenapa lambat sangat?
Lama tau honey tunggu.” spontan Qisya
melakonkan watak gediknya. Uwek!
Macam nak termuntah pulak bila Qisya mula mengada-ngada sebegitu. Geli telinga
ni mendengar. Tapi apa boleh buat. Disebabkan nak lepaskan diri dari Amar
London, terpaksalah Qisya buat-buat mengada tahap kucing parsi. Heheheee…
Harap-harap menjadilah lakonannya. Walaupun tak sehebat lakonan Erra
Fazira. Sipi-sipi Erra Fazira pun jadilah.
Dahi lelaki itu berkerut seribu.
Bie?! Honey?! Hisy… apa kena
dengan perempuan gila ni? Angin gila meroyan dia dah datang ke? Tiba-tiba
panggil aku ‘bie’, gelar diri dia ‘honey’. Apa dia ingat aku ni lebah ke
nak panggil aku ‘bie’. Dan apa dia
fikir dia tu madu ke nak gelar diri tu ‘honey’.
Gila! Mungkin disebabkan terlalu lama tunggu aku sampaikan otak perempuan gila
ni dah bertambah mereng! Desis hati
kecil Tengku Danish sendirian.
Kemudian pandangannya beralih kepada seorang lelaki yang duduk di hadapan
gadis itu.
Siapa pulak mamat ni? Pandang aku macam nak telan aje. Kalau berkenan kat
aku… sorry okey! Aku tak main la lelaki-lelaki
ni. Aku lelaki normal yang hanya sukakan perempuan. Hisy… ni apa kes melalut sampai sejauh itu? Entah-entah mamat ni boyfriend si perempuan gila ni, kut.
Hah, padan sangatlah tu! Tengku Danish bermain dengan kata-kata hatinya.
Qisya yang dapat membaca riak terkejut jin jantan lelaki itu meneruskan
lakonannya. Dia tak boleh nak biarkan bapak jin merosakkan plan baiknya hendak
menipu Amar London. Biar masuk ke mulut Naga, asalkan terlepas dari mulut
buaya. Hisy… ni peribahasa mana pula yang Qisya belajar ni. Suka rosakkan
peribahasa. Suka-suka hati dia aje nak buat peribahasa baharu.
“Oh ya, Amar… kenalkan inilah boyfriend
aku. Err…” Qisya terhenti. Ada
sesuatu yang dia tidak tahu.
Boyfriend? Tapi tak tahu nama.
Nampak sangat menipu. Matanya dilirik pada wajah bapak jin yang serius seperti
baru ditampar malaikat. Takkan nak kenalkan ‘boyfriend’ ciptaannya ini kepada Amar London dengan nama ‘bapak
jin’. Hisy… mahu pengsan dua mamat eksen
ni nanti. Nama serupa dengan hantu.
“Tengku Danish.” Pantas Tengku Danish menghulurkan tangan pada Amar
London. Lirikan mata gadis disebelahnya itu cukup difahami. Apa lagi kalau
bukan minta dia tolong menjayakan lakonannya. Dasar penipu! Ini tentu ada udang
disebalik mee.
Ohhh… nama bapak jin ni Tengku Danish rupanya. Patutlah sombong dan
berlagak lebih sangat. Orang berketurunan Di-Raja rupanya. Ceh!
“Amar.” Amar membalas salam yang dihulurkan. Memang dia sudah jangka
lelaki itu bukan orang sembarangan. Berdarah Di-Raja rupanya. Padanlah Qisya
tak pernah layan dia. Rupa-rupanya hati gadis itu sudah dimiliki oleh seorang
‘putera raja’.
“Okeylah, my friends dah tunggu tu. Nice to meet you, Tengku Danish. Bye…
Qisya. Jumpa kat kampung nanti ye. Kirim salam kat umi dan babah.” kemudian
Amar berlalu menyertai rakan-rakan sekerjanya ke tingkat atas bangunan KFC.
Tidak sanggup duduk di bahagian bawah menyaksikan dua pasangan bercinta lunch
bersama. Menyakitkan hati.
Umi? Babah? Hisy… ini apa kes
pulak ni berumi berbabah segala? Bila masa pulak umi dan babah iktiraf si Amar
London ni sebagai anak? Tak maklumkan pada aku pun. Suka-suka hati si Amar
London aje nak gelar umi dan babah dengan panggilan istimewa ni. Ingat dia tu
siapa? Lawyer? Doctor? Majestrit?
Ceh…
“Lain kali jangan panggil saya, bie.
Geli saya mendengarnya! Dan tak payah nak bermanja-manja gelar diri tu honey. Tak tahan saya melihatnya. Rasa
nak muntah!” ujar Tengku Danish dengan wajah yang langsung tidak tersenyum.
Serius macam cipan. Kata-katanya pula kedengaran begitu ikhlas tidak mahu Qisya
menggunakan panggilan ‘honeybee’.
Geli!
Suara lelaki di sebelahnya membuatkan Qisya kembali ke alam nyata.
Wajahnya yang sedikit ceria sebentar tadi kerana berjaya menipu Amar London
kembali kelat. Benci sungguh pada lelaki yang kini mula melangkah duduk di
hadapannya itu. Muka langsung tak tunjuk rasa bersalah. Memang tak ada hati
perut urus langsung!
“Saya pun tak hingin nak panggil awak, bie. Geli lidah saya ni nak menyebutnya, tau!” Qisya membalas
kembali kata-kata pedas Tengku Danish. Ingat aku kemaruk sangat agaknya nak
panggil dia dengan panggilan tu. Kalau bukan kerana terpaksa, jangan haraplah
wahai bapak jin.
“Tau tak sekarang ni dah pukul berapa, Encik Yang Maha Mulia Tengku?”
soal Qisya sinis. Panggilan Encik Yang Maha MuliaTengku sengaja ditekan agar
lelaki itu tahu betapa dia geram sungguh pada Tengku Danish. Qisya menyandar di
bahu kerusi dan tangan disilangkan. Pandangnya tajam seperti mahu menelan
hidup-hidup mangsa yang berada di depan mata.
Tengku Danish mencebik. “Tahu.” Pendek dia menjawab.
“Dah satu jam suku saya duduk kat sini gara-gara nak tunggu awak. Kalau
dah tahu yang awak tu lewat, kenapa tak call bagitahu. Tahu tak yang mungkir
janji itu merupakan salah satu ciri-ciri orang yang munafik?”
“Okey, saya mintak maaf
perempuan gila…”
“Hey… cakap tu elok-elok sikit
tau. Saya ada nama. Bukan perempuan gila.” Bentak Qisya. Panas hatinya bila
dengan sewenang-wenangnya bapak jin itu memanggilnya dengan nama ‘perempuan
gila’ tanpa berselindung. Kurang didikan sungguh! Suka-suka hati nak panggil
aku dengan nama tak betul tu. Sepak kang mulut tu.
“Okey… cik…”
“Qisya!”
Hmm… sedap nama perempuan gila ni. Puji Tengku Danish. Tapi dalam hati
ajelah. Takkan nak puji musuh depan-depan pulak.
“Saya mintak maaf. Tak sangka tadi ada urgent meeting. Itu yang terlewat.” Terang Tengku Danish.
Memang itulah yang sebenarnya terjadi. Jika diikutkan, dia sendiri memang
tak suka mungkir janji dan tak menepati masa. Dia faham rasa bila terpaksa
menunggu. Sakit. Tapi apa boleh buat, tiba-tiba saja Tengku Rayyan beritahu
walid nak berjumpa dengan mereka berdua. Ada hal penting yang hendak
diberitahu. Ingatkan sekejap, rupanya ambil masa yang agak panjang juga. Pukul
satu baru habis perbincangan. Tergesa-gesa dia meninggalkan ofis.
Dalam perjalanan, baru dia sedar bahawa telefon bimbitnya tertinggal
dalam bilik ofis. Nak patah balik, dia yakin akan bertambah lewat sampai ke
tempat yang dijanjikan. Disebabkan itulah dia meneruskan pemanduan tanpa
menghiraukan telefon bimbitnya yang tertinggal. Dalam hati ragu-ragu juga.
Takut kalau perempuan itu sudah pergi memandangkan jam sudah merangkak ke angka
1.30. Namun, sebaik sahaja terpandangkan kereta Viva putih mutiara yang elok
terparkir di hadapan bangunan KFC, dia menarik nafas lega.
Hmm… macamlah aku percaya sangat kat bapak jin ni. Omel Qisya dalam hati.
Bakul di kerusi sebelah diambil.
“Nah, baju awak.” Lantas bakul warna merah itu dihulurkan kepada Tengku
Danish.
Bakul bertukar tangan. Tengku Danish menyeluk tangan dan mengelurkan baju
melayu warna biru yang sudah bersih dibasuh. Haruman pewangi menusuk ke lubang
hidung.
“Saya dah cuci bersih. Dah tak ada kesan kotoran.” Perasan akan tingkah
laku Tengku Danish, pantas sahaja Qisya mengatur kata.
“Good!” ucap Tengku Danish.
Bibirnya mengukir senyuman sinis. Puas hati dengan hasil kerja Qisya.
Qisya mengherot bibir ke kiri. Tahu sangat dengan gaya senyuman Tengku
Danish. Benci!
KU ANA tersenyum melihat Tengku Danish
yang sedang leka menonton TV di ruangan keluarga tingkat dua banglo mewah
‘Istana Kristal Villa’. Bahagia rasa hatinya bila anak bujang itu bermalam di
situ malam ini. Bukan senang hendak melihat Tengku Danish berada di Istana
Kristal Villa. Sejak memiliki rumah sendiri, Tengku Danish jarang balik ke
rumah keluarga yang terletak di Bukit Antarabangsa. Jenuh juga hendak memujuk
anak bujang itu untuk bermalam di situ malam ini. Macam-macam alasan yang
Tengku Danish diberikan. Maka terpaksalah Ku Ana buat muka sedih, hiba dan
pilu. Barulah anak itu mengalah. Hehehe… Berjaya lakonan cemerlang Ku Ana.
Tengku Norman dan Tengku Rayyan sudah lama keluar ke majlis kenduri rumah
Datuk Hisham. Ada juga suaminya mengajak Tengku Danish untuk turut sama. Namun
seperti biasa, anak sorang itu kaya dengan bermacam alasan bila diajak.
Sibuklah… letihlah… macam-macam!
Kadang-kadang, Ku Ana pelik melihat sikap anak sulungnya itu. Terlalu sukar untuk membaca sikap Tengku
Danish. Ada ketika, Tengku Danish seorang anak yang mendengar kata. Manja. Ada
waktunya pula, Tengku Danish seorang yang keras kepala. Nakal! Dan apa yang
paling Ku Ana tidak berkenan, sikap kaki perempuan Tengku Danish. Pening
kepalanya mendengar dan membaca gosip-gosip cinta Tengku Danish yang sering
bertukar wanita. Itu belum lagi bab ada di antara perempuan-perempuan itu yang
berani berjumpa dengannya di Istana Kristal Villa semata-mata mahu menagih
simpati kononnya ditinggalkan oleh Tengku Danish. Pening dia memikirkannya.
Entah perangai siapalah yang anak itu ikut? Nak kata perangai Tengku
Norman, suaminya itu bukanlah seorang lelaki kaki perempuan. Buktinya… sampai
ke hari ini, Tengku Norman masih setia dengannya. Malah dia dan suaminya tidak
pernah bertengkar disebabkan perempuan lain. Itu yang membuatkan rasa cintanya
pada Tengku Norman berkekalan. Kesetiaan dan kasih sayang lelaki itu telah
mengikat hati wanitanya.
Tengku Rayyan? Anak yang seorang itu sebiji memiliki peribadi seperti
walidnya. Sibuk dengan kerja 24 jam. Nak bersosial dengan rakan-rakan pun,
Tengku Rayyan jarang kelihatan. Apatah lagi hendak keluar dating dengan teman
wanita. Memang tak pernah. Hujung minggu pasti Tengku Rayyan akan temankan
walidnya bermain Golf dengan rakan-rakan seperniagaan. Walaupun baru menjangkau
usia dua puluh tiga tahun, namun Tengku Rayyan lebih matang dalam urusan
perniagaan berbanding dengan Tengku Danish.
“Bonda…” tegur Tengku Danish. Hairan bin ajaib tengok bonda yang sedari
tadi berdiri di sisi sofa sambil merenungnya. Mata langsung tak berkedip. Mimpi
dalam sedar agaknya.
“Hah?!” terperanjat Ku Ana mendengar suara anak sulungnya itu. Jauh dia
melamun. Hinggakan tidak sedar dia sudah berdiri di sisi sofa berhampiran
dengan tempat Tengku Danish menonton Buletin Utama.
“Apa yang bonda buat tercegat kat situ? Asyik sangat sampaikan mata tak
berkedip tengok Danish. Danish tahulah bonda rindukan anak bonda yang hensem
ni. Tapi tak payahlah nak tenung muka Danish sampai macam tu sekali.” Dengan
loyar buruk Tengku Danish menjawab.
Ku Ana tersenyum mendengar kata-kata si anak. Memang hensem. Dan
disebabkan kelebihan yang dimiliki itulah Tengku Danish begitu mudah mencari
cinta-cinta sementara di luar sana. Entah bila mahu berubah. Ku Ana selalu
berdoa akan ada seorang wanita yang mampu membuatkan anaknya itu setia pada
cinta yang satu.
“Kenapa tak ikut walid dan Ray pergi majlis kenduri kat rumah Datuk
Hisham?” soal Ku Ana. Saja mahu bertanya. Sedangkan dia memang sudah sedia
maklum dengan jawapan yang bakal diberikan oleh anak bujangnya itu.
“Malaslah bonda. Danish nak rehat kat rumah. Lagipun, dah lama Danish tak
bermanja-manja dengan bonda.” Selamba Tengku Danish merebahkan kepalanya ke
bahu Ku Ana. Dia suka bila bonda membelai-belai rambutnya yang hitam lebat.
“Iye la tu! Bonda suruh pindah ke sini, Danish tak nak.” Ku Ana sudah
mula mengungkit.
Tengku Danish cuma tersengih. Malas hendak menjawab. Kalau dijawab, sah
panjang berjela soal jawab yang diberikan oleh bonda. Sebagai jalan
penyelesaian, dia hanya berdiam dan menikmati rambutnya yang dibelai bonda
kesayangan.
“Tengahari tadi Danish ke mana?” Ku Ana bertanya. Siang tadi, Datin
Kalsom ada menelefon. Katanya ada ternampak Tengku Danish bersama seorang
perempuan kat KFC. Menurut Datin Kalsom, perempuan bersama Tengku Danish kali
ini bertudung orangnya. Mungkin teman wanita baharu anak itu agaknya.
“Jumpa client.” Pendek jawapan
Tengku Danish.
Ku Ana mengetap bibir. Nampak sangat anak itu berbohong. Macamlah dia tak
tahu. Tapi, kalau dah tahu kenapa perlu buat-buat tanya. Kenapa tak berterus-terang
aje?
“Ke jumpa makwe baru?” Ku Ana
serkap jarang. Bibirnya mekar dengan senyuman.
“Hisy… mana ada. Apalah bonda
ni. Ke situ pulak.”
“Tak baik bohong. Siang tadi Auntie
Som ada call bonda. Dia kata
ternampak Danish kat KFC dengan seorang perempuan bertudung. Siapa perempuan
tu? Kalau client, takkan jumpa kat
KFC pulak.”
“Owhhh… Auntie Som kawan bonda yang ada boyfriend
muda tu ekk?” Tengku Danish pura-pura
bertanya. Dia sebenarnya memang kurang senang dengan kawan bondanya yang
seorang itu. Perangai Datin Kalsom mengalahkan anak muda. Terlebih sosial. Cuma
dia malas hendak memberitahu bonda akan hal ini. Takut bonda berkecil hati.
Tahulah bonda, pantang bila rakan-rakannya terciut. Pada bonda, berkawan tu
biar ikhlas.
Ku Ana menampar bahu anak bujangnya.
“Tak baik mengata orang.” Geram Ku Ana.
“Alaaa… yang Auntie Som tu
mengumpat pasal Danish dekat bonda takpe
pulak.” Menjawab lagi.
“Bukan mengumpat, Auntie Som
cuma bagitau bonda dia ada ternampak Danish dengan sorang perempuan bertudung dekat KFC tengahari tadi. Itu je. Takde pun mengumpat macam yang Danish
fikirkan tu.” Ku Ana cuba hendak menegakkan benang yang basah. Walaupun Datin
Kalsom tu jenis yang suka mengumpat, bersosial, namun persahabatan yang
terjalin sekian lama menyebabkan dia senang dengan Datin Kalsom.
Sebenarnya, Tengku Norman sudah banyak kali melarang dia berkawan rapat
dengan Datin Kalsom. Takut dia terikut perangai Datin Kalsom yang terlebih
tahap sosialnya itu. Tapi dia tak dengar kata. Ala… setakat berkawan aje.
Bukannya ikut perangai pun. Buktinya, sampai sekarang dia belum pernah lagi
curang pada suaminya itu. Setia pada suaminya. Cuma Tengku Norman saja yang
terlebih susah hati.
“Siapa perempuan tu?” sekali lagi Ku Ana memberi soalan yang sama.
“Perempuan mana pula ni bonda?” soal Tengku Danish kembali dengan nada
malas-malas. Kura-kura dalam perahu, pura-pura tidak tahu.
“Perempuan yang Danish jumpa kat KFC tu la, perempuan mana lagi? Auntie Som kata perempuan tu bertudung
dan manis orangnya. Nampak lemah lembut macam tu. Makwe Danish ke? Setahu bonda… tak pernah sekali pun bonda nampak
kawan-kawan perempuan Danish bertudung. Semua jenis pakai macam orang tak cukup
kain. Tentu dia ni istimewa, kan?” teka Ku Ana. Senang hatinya jika betul
perempuan bertudung yang dikatakan oleh Datin Kalsom itu teman wanita anaknya.
Sekurang-kurangnya Tengku Danish memilih perempuan jenis cukup kain untuk
dijadikan sebagai isteri. Takdelah
dia sakit mata melihatnya.
“Owhhh… perempuan tu…” ujar
Tengku Danish.
“Iye la… perempuan tu, siapa?” tak sabar Ku Ana mahu tahu.
“Perempuan gila.” Pendek dan selamba sahaja jawapan yang keluar dari
mulut Tengku Danish.
“Hah?!” terkejut Ku Ana mendengar jawapan anak lelakinya.
“Okeylah bonda. Danish dah
mengantuk ni. Gud nite! Assalammualaikum…”
tanpa banyak kata, Tengku Danish berlalu naik ke biliknya di tingkat atas.
Sebelum itu sempat pipi dan tangan bonda diciumnya.
Ku Ana tidak terkata. Hanya pandangan matanya sahaja yang menghantar
langkah Tengku Danish naik ke tingkat atas. Pelik betul anaknya yang seorang
ini. Takkan gaduh dengan awek sampai
sanggup gelar awek sebagai perempuan
gila? Tak patut sungguh.
SETAKAT INI SAHAJA..CINTA MASAM MANIS AKAN MENEMUI KORANG PADA BULAN JULAI 2013..INSYA-ALLAH..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan