Bila lagu cinta
bergema
~8~
HARRIZ
melemparkan kunci kereta di atas meja. Punggungnya dihenyakkan di atas sofa.
Lalu kakinya diangkat dan diletakkan pula di atas meja kopi yang berada di
depan. Badannya disandar pada bahu sofa dan mata dipejamkan. Pantas jarinya
memicit kepala yang terasa pening.
Letih
sungguh rasanya dia hari ini. Tapi bukan letih kerana penat berjalan-jalan,
letih kerana terpaksa melayan kerenah Syarifah Ezora yang cukup merimaskan itu.
Ikutkan rasa hati, mahu sahaja dia tinggalkan gadis itu seorang diri bershopping
di Pavilion tadi. Tak larat dia hendak melayan kerenah Syarifah Ezora.
Mengada-ngada sungguh.
Aduh…
macam manalah perempuan seorang itu boleh terjebak dalam kehidupan aku ni.
Bosan betul!!! Gumam Harriz dalam hati.
Menyesal
pula dia kerana telah mengikut kehendak mama untuk menemankan Syarifah Ezora
pergi shopping tadi. Kalau dia tahu macam ini jadinya, tak mahu dia
mengikut kehendak mamanya itu. Dia lebih rela keluar menemani Amylia bershopping
daripada Syarifah Ezora. Sekurang-kurangnya dia takdelah rasa seletih ini
walaupun dia terpaksa juga melayan sikap gediks Amylia yang dua kali
lima dengan Syarifah Ezora itu. Tapi yang pasti dia keluar dengan perempuan
yang diminati macam Amylia.
Cukuplah
sekali ini sahaja dia menemani Syarifah Ezora keluar shopping. Keluar
untuk kali kedua bersama perempuan itu… tak mungkin ada dalam kamus hidupnya
lagi. Tidak sesekali!
Sebenarnya
Harriz sudah lama mengenali Syarifah Ezora. Sejak dari zaman kanak-kanak lagi.
Maklumlah… keluarga mereka kan kawan baik. Malah ketika mereka berada di
sekolah menengah dulu, Harriz pernah jugalah nak mengurat si Syarifah Ezora
yang konon-konon pelajar perempuan paling cantik di sekolahnya waktu itu.
Ketika itukan Syarifah Ezora merupakan Ratu Cantik selama tiga tahun
berturut-turut di sekolah. Memanglah Syarifah Ezora ramai peminat. Dia pun tak
terkecuali sama. Mahu juga mengurat Syarifah Ezora. Tapi masa tu Syarifah Ezora
sombong sangat. Buat tak layan aje dengannya. Akhirnya Harriz pun malas nak
mengayat Syarifah Ezora yang berlagak itu lagi. Ingat dia tu cantik sangat
agaknya. Podah!!! Anak Uncle Sami lagi cantik dari Syarifah Ezora biarpun kulit
si Lachmi tu sudah sama gelap dengan Dayang Senandung. Heheheee…
Tapi
sekarang ni… Syarifah Ezora pulak yang terhegeh-hegeh hendak mengejar cintanya.
Buat dia rimas dan lemas! Macam lagu Fabolus cat.
Sorrylah… Cik Syarifah Ezora Datuk Syed
Rahman. Hati aku ni dah lama tertutup untuk kau. Dulu pun aku suka sekadar nak
main-main aje. Bukannya nak serius pun. Sekarang ni… nak suka sekadar untuk
main-main pun aku tak hingin. Buat penat aje!
Melihat
kelibat anaknya yang sedang berehat di ruang menonton keluarga yang terletak di
tingkat dua itu menarik senyuman lebar pada bibir Puan Sri Hanum. Pantas dia
melangkah dan melabuhkan punggung di atas sofa bertentangan dengan anak bujang
kesayangannya yang cukup menyakitkan kepala itu. Tidak sabar dia hendak tahu
cerita dating Harriz dengan Syarifah Ezora.
“Dah
balik pun anak bujang mama ni. Kenapa balik awal hari ni?” tanya Puan Sri Hanum
kepada Harriz yang masih belum menyedari kedatangannya. Jam di dinding baru
menunjukkan pukul 4.25 minit petang. Kelibat Harriz sudah kelihatan. Biasanya
kalau keluar dating anak bujangnya itu tak pernah pula balik seawal ini. Kalau
matahari belum terbenam, jangan harap Harriz akan pulang ke rumah. Tapi hari
ini awal pula anak itu pulang.
Harriz
membuka matanya. Memandang mamanya yang sedang tersenyum lebar itu. Malas
hendak bersuara, dia hanya mengangguk lemah.
“Macam
mana date Harriz dengan Ezora? Okey, tak? Harriz suka tak dengan Ezora
tu? Mama tengok Harriz dengan Ezora tu padan sangat. Bagai pinang dibelah dua.”
bertalu mamanya bertanya. Dihujung kata sempat juga mama memberi komen mengenai
kesepadanan gandingan Harriz dan Syarifah Ezora yang dirasakan paling sempurna
di matanya.
Harriz
mencebik dalam hati. Padan? Bagai pinang dibelah dua? Hisy… takde maknanya.
“Okeylah…”
acuh tak acuh sahaja Harriz menjawab pertanyaan mamanya itu. Malas betul dia
bila mama asyik mengenenkan dia dengan Syarifah Ezora. Macam dah takde
perempuan lain lagi yang lebih baik daripada anak manja Datuk Syed Rahman itu
di mata mama.
Puan
Sri Hanum menggigit bibir. Geram pula dia mendengar jawapan yang diberikan oleh
anaknya itu. Nampak sangat tak ada semangat.
“Okey
je?” soalnya dengan dahi yang berkerut berjuta-juta.
Harriz
mengeluh. Dia memperbetulkan cara duduknya. Kakinya diturunkan ke bawah. Ini
yang dia bosan bila mama asyik nak kenenkan dia dengan Syarifah Ezora. Nanti
dia terlepas cakap, dikatakan anak derhaka pulak. Aduh… bertambah migraine
dia macam ini. Kenapalah mama sejak kebelakangan ini suka sangat dengan
Syarifah Ezora tu? Sikit-sikit Syarifah Ezora. Fed-up betul!
“Harriz
letihlah, ma. Nanti ajelah kita sembang pasal tu ye. Badan Riz ni dah lekit.
Riz nak naik atas mandi dululah.” Ujar Harriz. Dia bangun lantas mencapai kunci
keretanya dan mengatur langkah naik ke tingkat atas biliknya.
Puan
Sri Hanum merengus. Harriz macam itulah. Kalau dia hendak berbicara pasal
Syarifah Ezora, mulalah Harriz hendak mengelak. Nampak sangat yang Harriz tak
berkenanan dengan Syarifah Ezora. Sudah banyak kali dia cuba memainkan
peranannya agar Harriz rapat dengan Syarifah Ezora, namun anaknya itu tetap juga
mahu mengelak. Entah perempuan macam manalah yang Harriz mahukan untuk
dijadikan calon isteri? Kalau perempuan fesyen macam yang selalu diusung Harriz
ke hulu ke hilir itu, memang dia tak berkenan langsung!
“Hai…
ma.” Tegur Hanna. Satu ciuman mendarat ke pipi mama kesayangannya.
Puan
Sri Hanum mengeluh. Ini lagi seorang anaknya yang cukup jarang duduk di rumah.
Ada sahaja aktivitnya di luar sana. Anak-anak… bila dah semakin dewasa semakin
jauh daripada ibu bapa.
“Apesal
mama masam aje ni? Tak cantiklah mama buat muka masam macam ni, ma. Senyumlah
sikit. Baru nampak cantik.” Dengan manja Hanna memaut lengan mamanya. Kepala
dilentokkan pada bahu mama. Hanna ni memang cukup pandai mengambil hati Puan
Sri Hanum. Jadi tak hairanlah kalau Hanna merupakan anak emas mama.
“Pandailah,
Hanna. Hanna dengan Abang Harriz dua kali lima aje. Susah sangat nak duduk kat
rumah time cuti-cuti macam ni. Asyik nak mengular aje. Cubalah duduk kat
rumah waktu cuti begini. Jangan asyik nak keluar lepak dengan kawan-kawan aje.”
Omel Puan Sri Hanum.
“Alaaa…
mama ni. Hanna bukannya pergi mana pun. Hanna keluar dengan kengkawan
aje. Bosanlah asyik duk terperap kat rumah je.” Ujar Hanna.
Puan
Sri Hanum mengherot bibir mendengar jawapan anak gadis kesayangannya itu.
Biarpun Hanna ni anak perempuan kesayangannya, namun dia cukup tak berkenan
jika anak-anaknya suka merayau-rayau kat luar sana tanpa arah tujuan. Apalah
salahnya duduk dekat rumah di hujung minggu. Habiskan masa bersama dia dengan
suaminya. Kadang-kadang hatinya cukup terasa dengan sikap anak-anak yang lebih
mengutamakan masa bersama kawan-kawan daripada ibu bapa.
“Kenapa
mama tarik muka ni?” soal Hanna lagi. Matanya mengerling melihat wajah mama
yang masih masam itu.
Puan
Sri Hanum mengeluh lagi.
“Tu
hah… abang kamu tu. Mama tanya macam mana date dengan Syarifah Ezora,
boleh pulak dia buat acuh tak acuh sahaja. Geram betul mama. Dia ingat umur dia
tu muda remaja lagi ke? Umur dah masuk dua puluh enam tahun, masih nak
main-main lagi. Entah perempuan macam mana lagi yang dia mahukan untuk
dijadikan isteri. Sakit hati mama dengan Abang Harriz tu.” Luah Puan Sri Hanum.
Geram bukan main lagi dia dengan sikap anak lelakinya itu.
Hanna
hanya mendengar omelan mamanya itu. Malas hendak komen lebih-lebih. Abang
Harriz memang macam tu. Kalau dengan Syarifah Ezora bukan nak layan sangat.
Dengan perempuan lain bukan main mesra alam lagi abangnya itu. Dulu waktu
mereka dibangku sekolah, Abang Harriz pernah juga sukakan Syarifah Ezora. Tapi
sekarang ni abangnya itu langsung tak layan Syarifah Ezora. Takkanlah Abang
Harriz masih setia menunggu Dhia yang sudah berlaku curang kepadanya itu? Ahhh…
perempuan macam Dhia tu tak layak pun untuk Abang Harriz. Perempuan mata
duitan!
Disebabkan
Dhia, keluarganya mendapat malu. Kesian mama dengan papa. Sudah bersusah payah
hantar rombongan meminang Dhia untuk Harriz, tup-tup Dhia menolak dengan alasan
yang tak masuk dek akal. Konon belum bersedia. Disebabkan itulah hingga ke hari
ini Hanna tak pernah berkenan dengan teman-teman wanita abangnya. Pada Hanna, wanita-wanita
yang mendampingi abangnya itu bukannya ikhlas sukakan Harriz. Tetapi lebih
kepada ingin memiliki harta kekayaan abangnya. Sama macam Dhia. Sebab itu bila
mama bercadang mahu menyatukan Harriz dengan Syarifah Ezora, Hanna turut
bersetuju dengan pilihan mamanya itu. sekurang-kurangnya dia tahu perempuan
seperti Syarifah Ezora memang ikhlas sukakan abangnya dan bukan disebabkan
harta semata-mata.
“Hanna
dengar tak apa yang mama cakap ni? Melamun pulak dia.” Tanya Puan Sri Hanum.
Hanna langsung tidak memberi respons dengan apa yang diluahkannya. Dia seolah
membebel seorang diri.
“Dengarlah,
ma. Dahlah… tak payahlah mama fikir sangat pasal tu. Hanna yakin Ezora pasti
dapat kawal hubungannya dengan Abang Riz. Ezora tu kan bijak. Oh ya, ma, papa
mana? Tak nampak pun kelibat papa sejak Hanna sampai.” Malas hendak membahaskan
soal abangnya itu dengan panjang lebar, dia mula bertanyakan papanya yang tidak
kelihatan. Biasanya waktu cuti macam ini papa dengan mama jarang sangat
berenggang. Ke mana pasti bersama. Loving couple la katakan!
“Papa
keluar hantar Hanni pergi rumah kawan dia nak buat study group.”
Beritahu mama.
“Kenapa
tak suruh Abang Mahat hantarkan Hanni. Kan dah jadi tugas Abang Mahat sebagai
driver untuk hantar Hanni ke mana sahaja Hanni nak pergi. Kenapa mesti papa
pulak yang hantar?”
“Si
Mahat tu ada hal. Nak bawak anak dia ke klinik katanya.” Terang mama.
Hanna
mencebik bibir. Entah betul entah tidak alasan Abang Mahat itu. Mama dengan
papa macam itulah. Suka sangat bagi muka dekat pembantu rumah dan driver. Pasal
itulah Abang Mahat dan Kak Moon naik minyak. Ada masalah sikit aje, sikit-sikit
nak cuti. Kalau dialah… jangan harap nak bagi muka dekat diaorang.
Kelibat
Harriz yang baru menuruni anak tangga memaksa Puan Sri Hanum dan Hanna menoleh
serentak. Bukan main bergaya lagi lelaki itu. Cara berpakaiannya ini jelas
menyatakan bahawa Harriz akan keluar sebentar sahaja lagi. Membutang mata mama
memandang anaknya itu.
“Hah…
nak ke mana pulak ni?” Tanya Puan Sri Hanum kepada anak lelakinya itu.
“Riz
nak keluarlah, ma. Ada janji dengan kawan.” Beritahu Harriz. Dia sebenarnya tak
ada janji dengan sesiapa pun. Sengaja dia nak keluar untuk mengelak diri dari
soalan mama mengenai Syarifah Ezora. Rimas betul dia bila mama tak putus-putus
dengan Syarifah Ezora. Macam dah terkena sihir Syarifah Ezora aje cara mama
itu.
“Kawan
ke girlfriend?” soal Puan Sri Hanum penuh rasa curiga. Hanna yang masih
setia disisi mamanya hanya memandang sekilas lalu. Dia malas hendak masuk
campur dengan urusan Harriz. Hubungan Hanna dengan Harriz memang tak berapa
rapat. Begitu juga hubungannya dengan Hanis dan Hanni. Macam itu aje. Tak rapat
sangat. Hanna lebih suka buat halnya sendiri.
“Kawanlah,
ma…” Malas-malas Harriz menjawab. Dia cukup bosan bila mama asyik mahu mengongkong
pergaulannya. Sampaikan ke mana dia pergi pun mama nak ambil tahu juga.
Macamlah Harriz tak tahu yang di pejabatnya itu mama ada pasang ‘CCTV’ untuk
memantau segala aktivitinya. Jika tidak, takkanlah mama tahu segala
pergerakannya kini.
Alahai…
mama, Riz dah besar panjanglah. Dah tahu urus hal sendiri. Harriz berkata dalam
hati.
“Ingat
Harriz… ini last warning mama bagi dekat Harriz. Mama tak nak Harriz
terlibat lagi dengan perempuan-perempuan yang tak senonoh yang sering Harriz
usung tu. Mama tak suka! Lagipun mama dah janji dengan auntie Elina nak satukan
Harriz dengan Ezora. Cuma nak tunggu masa yang sesuai aje lagi untuk menyatukan
korang berdua.” Tegas mama menuturkan ayatnya.
Harriz
mengeluh. Ada baiknya kalau dia berterus terang sahaja pada mama mengenai
perasaannya terhadap Syarifah Ezora. Dia tak mahu nanti mama berharap sangat
dia bersatu dengan Syarifah Ezora. Berterus-terang awal-awal ini lagi bagus
sebelum mama buat sesuatu yang lebih jauh lagi.
“I’m
sorry, ma. Riz tak sukakan Ezora. Riz harap mama faham.” Terang Harriz.
Inilah yang terbaik baginya daripada mama asyik mendesak untuk dia untuk rapat
dengan Syarifah Ezora.
Mama
menggigit bibirnya kuat. Sakit hati mendengar jawapan bersahaja yang keluar
dari bibir anak lelakinya itu. Serentak itu juga mama bangun dari duduknya.
Hanna
pula hanya memerhati langkah mamanya yang sudah berada dekat dengan Harriz.
Ikutkan rasa hati dia pun geram juga mendengar jawapan yang meluncur keluar
dari bibir abangnya itu. Apa kurangnya Syarifah Ezora sampaikan Harriz menolah
sahabat baiknya itu mentah-mentah? Buta betullah mata Abang Riz ni! Rengus
Hanna dalam hati.
“Apa
Harriz cakap?” soal Puan Sri Hanum dengan nada yang kedengaran tegang. Dia kini
sudah berdiri benar-benar di hadapan anak bujangnya itu.
Harriz
menarik nafas dalam. Dia tahu mamanya tentu marahkan dia kerana kata-katanya
itu. Wajah mama ketika ini sudah naik merah seperti hendak membahamnya sahaja.
“Riz
mintak maaf, ma. Riz tak boleh nak bohong perasaan Riz. Riz tak sukakan Ezora
dan tak mungkin untuk Riz jadikan Ezora sebagai isteri Riz.”
“Habis
tu Harriz sukakan siapa? Perempuan-perempuan yang selalu Harriz usung ke hulu
hilir itukah? Perempuan macam itu yang Harriz sukakan? Perempuan yang tak tahu
mana asal usul mereka. Perempuan-perempuan yang hanya mahukan harta Harriz itu?
Atau Harriz masih tunggu budak Dhia yang sudah memalukan keluarga kita tu?”
Kuat nada suara Puan Sri Hanum. Rasa macam nak menjerit sahaja dia ketika itu.
Kalau Harriz ni anak kecil, mahu disebatnya punggung Harriz dengan rotan kerana
telah membantah cakapnya.
“Tidak,
ma. Riz dah ada seseorang untuk dijadikan calon isteri. Bukan
perempuan-perempuan yang mama pernah jumpa dengan Riz sebelum ni. Bukan jugak
Dhia. Kali ni Riz yakin mama pasti suka dengan pilihan Riz. Dia lain daripada
perempuan-perempuan yang mama pernah jumpa dan terlibat dengan Riz. Dia juga
amat berbeza dengan Syarifah Ezora. Percaya cakap Riz, ma.”
Puan
Sri Hanum tersenyum sinis. Sukakan pilihan Harriz? Mustahil! Bagi Puan Sri
Hanum perempuan yang menjadi pilihannya hanya satu. Syarifah Ezora Datuk Syed
Rahman. Hanya wanita itu sahaja yang menjadi pilihan untuk dijadikan calon
menantunya. Perempuan lain sudah ditolak awal-awal lagi.
“Tak
mungkin mama boleh sukakan pilihan Harriz. Mama tahu sangat fesyen perempuan
macam mana yang Harriz pilih. Mama tak suka! Lagipun mama dah berkenan dengan
Ezora. Dia cukup layak untuk dijadikan isteri kepada Harriz. Apa lagi yang
Harriz mahukan? Bagi mama Ezora tak ada sedikit pun kekurangan jika nak
digandingkan dengan Harriz. Kita pun tau keluarga dia. Mama tak nak pisang
berbuah untuk kali yang kedua.”
Rasa
mahu sahaja Harriz tergelak mendengar kata-kata mamanya itu. Hai… mama,
nampaknya mata mama betul-betul dah rabun tahap maksimum. Patutkah mama kata
Syarifah Ezora itu tak ada sedikit pun kekurangan? Tak nampakkah mama yang
Syarifah Ezora itu hampir sama sahaja dengan perempuan-perempuan yang mama
telah warning sebab rapat dengan aku? Pakaian… warna rambut… perangai… dua kali
lima sahaja. Cuma mungkin si Ezora itu ibu bapanya kawan baik kepada mama dan
papa. Itu sahaja yang membezakan Ezora dengan aweks aku.
“Riz
yakin mama akan suka pilihan Riz kali ni. Itu janji Riz dekat mama.”
Bulat
mata Puan Sri Hanum menatap wajah anaknya. Berani betul Harriz berkata begitu.
“Baik…
kalau itu yang Harriz katakan, mama nak tengok sejauh mana wanita yang Harriz
bangga-banggakan itu dapat mencuri hati mama. Mama bagitau awal-awal dekat
Harriz, hati mama tak mungkin akan terbuka untuk wanita yang Harriz suka. Sebab
mama tahu sangat perangai perempuan yang macam itu. Perempuan tu tak suka
Harriz, yang dia suka cuma harta Harriz je. Macam Dhia.” Sekali lagi Puan Sri
Hanum membangkitkan nama Dhia. Benci sangat dia dengan bekas teman wanita
anaknya itu.
Harriz
menggeleng-geleng. Menyangkal tanggapan buruk mamanya itu.
“Ma,
please… tolong jangan kaitkan pilihan Riz kali ni dengan Dhia. Gadis
pilihan Riz bukan macam yang mama fikirkan. Dia jauh lebih baik dari Dhia mahu
pun Ezora.”
“Kita
tengok!” bentak Puan Sri Hanum kasar. Hatinya bagai dicarik-carik mendengar
kata-kata anak lelakinya itu. Kemudian dengan muka yang masam dan hati yang
panas mama berlalu naik ke tingkat atas.
Harriz
menghela nafas. Maafkan Riz ma. Bukan niat Riz mahu buat hati mama terluka.
Tapi Riz benar-benar tak sukakan Ezora. Dalam hati Riz cuma ada Balkish
seorang. Riz cuma mahukan Balkish untuk menjadi teman hidup. Riz mahu mama
faham akan pilihan Riz. Dan semoga mama terima cinta Riz ini suatu hari nanti.
Harriz meluahkan isi hatinya dalam diam. Bukan niatnya mahu melawan cakap mama.
Namun dia perlu meluahkan isi hatinya yang tidak selesa bila mama terus
mendesak untuk dia berpasangan dengan Syarifah Ezora.
“Abang
Riz ni kenapa? Tak bolehkah Abang Riz buat mama senang hati sikit? Kenapa
selalu sangat lawan cakap mama? Apa kurangnya Ezora sampai Abang Riz susah
sangat nak ikut kehendak mama untuk bersatu dengan Ezora? Hebat sangatkah girlfriend
Abang Riz tu sampai Abang Riz tolak Ezora dan lukakan hati mama?” tiba-tiba
Hanna yang sedari tadi tidak berkutik itu bersuara. Bertalu-talu dia
melemparkan soalan kepada Harriz. Sakit hatinya bila abangnya itu dengan
mentah-mentah telah menolak rancangan mama mahu menjodohkan Harriz dengan
Syarifah Ezora.
Pandangan
dihala ke arah Hanna yang sudah mencuka. Inilah Hanna… kaki kipas mama nombor
satu dekat banglo tiga tingkat ini. Pasal itulah Hanna jadi anak emas mama.
Kipasnya boleh tahan sejuk. Tanpa membalas bicara Hanna, Harriz membawa langkah
ke anak tangga. Baik dia segera beredar dari situ. Lagipun dia tak mahu berlaku
pertengkaran mulut antaranya dengan Hanna.
Hanna
menggigit bibir bawahnya. Geram betul dengan Harriz!
“Ingat
sikit Abang Riz. Sebelum ni Abang Riz pernah malukan mama dengan papa bila
pinangan Abang Riz kena tolak dengan Dhia. Jangan kali ni pisang berbuah untuk
kali yang kedua pulak!” jerit Hanna lantang bila melihat langkah Harriz yang
sudah turun ke bawah.
Harriz
tidak mempedulikan jeritan Hanna itu. Langkahnya laju meninggalkan rumah.
BESAR ketawa Hanis ketika itu.
Sampaikan berair matanya. Cerita Harriz itu benar-benar menggeletek ulu
hatinya. Kelakar betul bila si buaya darat itu akhirnya menyuarakan rasa takut
dekat seorang wanita. Selama ini, si buaya darat di depannya itu tak pernah
mengaku takutkan wanita. Malah dengan nada bangga si buaya darat ini mengatakan
dia merupakan pencinta wanita nombor satu dekat KL ini. Tapi hari ini… dia
dengar pula pengakuan dari pencinta wanita itu yang dia takutkan seorang
perempuan. Memang sesuatu yang melucukan.
Harriz
mengerling kakaknya yang semakin kuat ketawanya itu. Ini yang dia tak suka nak
cerita bab-bab macam ini dekat Hanis. Pasti ibu beranak dua itu akan gelakkan
dia seperti sekarang ini. Dah tu… tawanya susah pulak hendak dihentikan.
“Tak
habis lagi gelakkan Riz ke?” sindir Harriz bila Hanis semakin galak pula ketawanya.
“Hehehe…
aduh… sakit perut akak ketawa.” Ujar Hanis. Kedua belah tangan menekan perut
yang terasa senak kerana terlalu banyak ketawa. Jelingan mata Harriz langsung
tidak diendahkan.
“Ini
semua Riz punya pasallah. Buat cerita lawak malam-malam begini. Sampai berair
mata akak ketawa.” Sambung Hanis lagi. Sisa ketawanya masih lagi kedengaran.
Harriz
mengerut kening. Bila masa pulak dia buat cerita lawak antarabangsa atau buat
lawak gila-gila? Seingatkan dia cerita perkara yang serius. Takde yang lawak
pun. Kak Hanis sahaja yang rasa ceritanya itu sesuatu yang lawak. Ketawa sampai
terguling-guling.
“Ini
yang Riz malas nak cerita dekat Kak Nis. Riz serius, Kak Nis pulak anggap Riz
buat lawak antarabangsa Ujang.” Wajah Harriz sudah mencuka.
Hanis
tersengih. Alahai… adik akak, merajuklah pulak.
“Alaaa…
janganlah marah Riz. Akak ni bukannya apa. Kelakar bila Riz kata takutkan
Syarifah Ezora. Bukan selama ni Riz mengaku yang Riz tak takut dekat mana-mana
perempuan ke? Kenapa bila tiba bab Ezora Riz mesti ada rasa takut pulak? Itu
yang buat akak gelak tak hengat dunia.” Beritahu Hanis.
“Ezora
tu lain kak. Dia tu dah serupa macam Mak Lampir. Baru dengar nama pun Riz dah
rasa seram sejuk aje. Apa lagi bila dah berdepan. Huh… mau naik segala bulu
roma Riz ni dibuatnya. Dia ingat dia tu cantik sangat agaknya. Aduh… Riz
pantang betul jumpa perempuan yang perasaan cantik macam di Ezora tu.” Tungkas
Harriz.
Sekali
lagi pengakuan Harriz itu membuatkan ketawa Hanis pecah. Walaupun bunyinya
tidak sekuat tadi, namun nadanya tetap sama.
Ketawa
Hanis itu menarik minat Fahmie yang sedang melayan dua anak mereka melukis di
dalam rumah. Jarak antara taman mini di halaman rumah dengan ruang tamu
bukanlah jauh sangat. Jadi dengan senang sahaja Fahmie dapat mendengar gelak
tawa riang isteri kesayangannya itu. Hanis dengan Harriz bila dah berjumpa
macam itulah. Ada sahaja bahan cerita yang mereka berdua kongsikan bersama.
“Tapi
bukan dulu zaman sekolah Riz pernah sukakan si Ezora tu ke? Kenapa sekarang ni
nak takut pulak? Setahu akak, muka Ezora tu takdelah teruk macam Mak Lampir
yang Riz cakapkan tu. Masih. Cantik aje Ezora tu akak tengok. Padanlah dengan
Riz yang kacak ni kan???” usik Hanis. Semakin seronok pula dia menggiat
satu-satu adik lelakinya itu. Harriz ni dengan Hanis memang seorang adik yang
manja. Nampak aje macho gila bila berdepan dengan awek-aweks dia, tapi
bila berdepan dengan Hanis, Harriz tetiba sahaja menjadi adik yang suka
bermanja. Lagak macam anak bongsu. Segala hal mesti nak report dekat
Hanis.
Harriz
mencebik. Kahwin dengan Syarifah Ezora? Mintak dijauhkan. Dia tak sanggup dapat
isteri seperti Syarifah Ezora. Mahu bermimpi ngeri dia setiap hari.
“Apa
mama cakap bila Riz tolak cadangan mama yang nak satukan Riz dengan Syarifah
Ezora tu?” tanya Hanis. Kali ini nadanya sudah tidak main-main seperti tadi.
Harriz
menjungkit bahu.
“Macamlah
Kak Nis tak tahu dengan perangai mama tu. Marahlah apa lagi. Kan Ezora tu
perempuan pilihan hati mama. Tentulah mama marah bila Riz tolak cadangan mama
yang nak satukan Riz dengan Ezora.” Beritahu Harriz mengenai penerimaan.
Hanis
menarik senyuman segaris. Dia pun dah arif sangat dengan perangai mama yang
satu itu. Pantang hajatnya ditolak, mulalah mama tarik muka empat belas. Namun
walau bagaimana pun sikap mama, mama tetap ibu yang paling mereka semua sayangi
dalam dunia ini. Mama tetap yang terbaik dan sentiasa inginkan yang terbaik
untuk anak-anaknya.
“Alaaa…
Riz jangan risaulah. Mama tu marah bukannya lama mana tu. Esok lusa sejuklah
hati mama tu semula.”
“Kak
Nis tahu kenapa Riz tolak Ezora. Sebab Balkish, kan?” sambung Hanis mengaitkan
nama Balkish dalam sembang malam mereka berdua.
Laju
kepala Harriz berpusing menatap wajah kakaknya yang sedang tersengih ibarat
kerang buruk dekat pasar Pakcik Kudus. Macam mana Kak Hanis boleh tahu pasal
Balkish? Soal Harriz pada diri sendiri. Puk! Dahinya ditepuk. Baru dia teringat
pasal abang iparnya Fahmie. Tentu suami kesayangan kakaknya itulah yang telah
membuka cerita kepada kakaknya. Dia cukup yakin tentu Fahmie yang bagitahu
pasal Balkish.
“Ini
mesti Abang Mie punya mulut yang bagitau dekat Kak Nis.” Ujar Harriz sendirian.
“Alaaa…
dah Riz tu yang selalu sangat ganggu Balkish dekat ofis Abang Mie, pasal tu
Abang Mie bagitau dekat akak. Abang Mie kata Riz selalu sangat datang ke ofis
dia semata-mata nak jumpa Balkish. Sampaikan Abang Mie sendiri tak boleh nak
cakap apa lagi dengan sikap Riz.”
Harriz
tersenyum-senyum mendengar komen yang keluar dari mulut Hanis. Memang Fahmie
ada memberitahunya agar jangan kerap sangat datang ke F&F Holding. Malu
orang tengok. Tapi macam biasalah… dia tak pernah nak menghiraukan teguran
abang iparnya itu. Malah dia semakin kerap pula datang ke F&F Holding
semata-mata nak lepaskan kerinduan terhadap Balkish.
“Riz
tak bolehlah kak nak tahan diri dari tak jumpa Balkish tu. Rasa macam ada aje
yang kurang kalau Riz tak tengok Balkish sehari.” Akui Harriz.
“Hisy…
budak ni! Buat malu aje. Controllah sikit Encik Harriz oi. Jangan nak
gelojoh sangat.”
Kali
ini giliran Harriz pula tergelak besar. Rambutnya yang hitam berkilat itu
digaru-garu. Setelah ketawanya reda, dia bertanya lagi kepada Hanis yang hanya
tersenyum simpul memandangnya itu.
“Kak
Nis kenal Balkish ke?”
Hanis
mengangguk. Adalah beberapa kali dia terjumpa dengan Balkish ketika dia datang
ke pejabat suaminya. Balkish memang seorang gadis yang cantik dan baik. Hanis
sendiri cukup senang dengan Balkish.
“Apa
pandangan Kak Nis tentang Balkish?” Tanya Harriz ingin tahu.
Hanis
buat muka dengan mengerutkan dagunya. Konon-konon dia sedang berfikir tentang
Balkish. Sedangkan awal-awal lagi dia memang sukakan Balkish. Bila sahaja
Fahmie memberitahunya yang Harriz nampak serius sukakan Balkish, dia turut
berharap agar jodoh adiknya itu ada dengan gadis manis bertudung litup itu.
Tentu hidup Harriz akan bahagia andai dapat memiliki isteri seperti Balkish.
“Hurmmm…
akak tengok Balkish tu baik budaknya. Akak sendiri senang dengan dia. Bukan aje
baik, malah dia jugak seorang yang berbudi pekerti. Tapi…” kata-kata Hanis mati
di situ. Wajah Harriz ditenung lama.
Harriz
menjungkit kening.
“Tapi
apa?” soal Harriz tak sabar. Buat suspen betul kakaknya itu. Sengaja mahu
menyeksa perasaan ingin tahunya.
“Tapi…
akak risau kalau Riz cuma nak main-mainkan Balkish. Akak tak naklah Riz mainkan
perasaan dia. Akak suka tengok Balkish tu. Dia tu baik. Nampak sweet
aje. Akak tak mahulah Riz main-mainkan Balkish macam yang selalu Riz buat dekat
teman-teman separuh masa Harriz tu. Tak baik tau.” Luah Hanis. Memang perangai
Harriz yang kaki perempuan itulah yang paling tidak digemarinya. Sakit betul
hatinya bila Harriz selalu sangat mempermainkan perasaan ramai wanita yang
didampinginya. Tukar teman wanita macam tukar baju aje. Puas juga dia
menasihati Harriz. Namun nasihatnya ibarat angin lalu sahaja pada lelaki itu.
Harriz
tersenyum manis. Jemari Hanis yang halus mulus itu dicapai lalu digenggam erat.
“Insya-ALLAH,
Kak Nis… kali ni Riz benar-benar serius. Riz tak akan mempermainkan perasaan
Balkish. Dengan Balkish, Riz dah cukup bersedia untuk berumah tangga.” Janji
Harriz.
Hanis
sudah tersenyum. Kepalanya diangguk perlahan.
“Baguslah
kalau macam tu. Akak doakan semoga pintu hati Balkish akan terbuka untuk adik
akak yang hensem ni. Lagipun dalam umur yang dah masuk dua puluh lapan tahun ni
Riz memang patut pun fikir pasal nak berumah tangga. Tak boleh nak main-main
lagi.” Ujar Hanis mendoakan kebahagian adiknya.
Harriz
melebarkan lagi senyumannya. Kak Nis memang seorang kakak yang paling bagus
dalam dunia ni.
“Sayang
Kak Nis.” Ucap Harriz.
“Sayang
Riz juga.” Balas Hanis. Terserlah sifat keibuan miliknya itu.
Bila lagu cinta
bergema
~8~
HARRIZ
melemparkan kunci kereta di atas meja. Punggungnya dihenyakkan di atas sofa.
Lalu kakinya diangkat dan diletakkan pula di atas meja kopi yang berada di
depan. Badannya disandar pada bahu sofa dan mata dipejamkan. Pantas jarinya
memicit kepala yang terasa pening.
Letih
sungguh rasanya dia hari ini. Tapi bukan letih kerana penat berjalan-jalan,
letih kerana terpaksa melayan kerenah Syarifah Ezora yang cukup merimaskan itu.
Ikutkan rasa hati, mahu sahaja dia tinggalkan gadis itu seorang diri bershopping
di Pavilion tadi. Tak larat dia hendak melayan kerenah Syarifah Ezora.
Mengada-ngada sungguh.
Aduh…
macam manalah perempuan seorang itu boleh terjebak dalam kehidupan aku ni.
Bosan betul!!! Gumam Harriz dalam hati.
Menyesal
pula dia kerana telah mengikut kehendak mama untuk menemankan Syarifah Ezora
pergi shopping tadi. Kalau dia tahu macam ini jadinya, tak mahu dia
mengikut kehendak mamanya itu. Dia lebih rela keluar menemani Amylia bershopping
daripada Syarifah Ezora. Sekurang-kurangnya dia takdelah rasa seletih ini
walaupun dia terpaksa juga melayan sikap gediks Amylia yang dua kali
lima dengan Syarifah Ezora itu. Tapi yang pasti dia keluar dengan perempuan
yang diminati macam Amylia.
Cukuplah
sekali ini sahaja dia menemani Syarifah Ezora keluar shopping. Keluar
untuk kali kedua bersama perempuan itu… tak mungkin ada dalam kamus hidupnya
lagi. Tidak sesekali!
Sebenarnya
Harriz sudah lama mengenali Syarifah Ezora. Sejak dari zaman kanak-kanak lagi.
Maklumlah… keluarga mereka kan kawan baik. Malah ketika mereka berada di
sekolah menengah dulu, Harriz pernah jugalah nak mengurat si Syarifah Ezora
yang konon-konon pelajar perempuan paling cantik di sekolahnya waktu itu.
Ketika itukan Syarifah Ezora merupakan Ratu Cantik selama tiga tahun
berturut-turut di sekolah. Memanglah Syarifah Ezora ramai peminat. Dia pun tak
terkecuali sama. Mahu juga mengurat Syarifah Ezora. Tapi masa tu Syarifah Ezora
sombong sangat. Buat tak layan aje dengannya. Akhirnya Harriz pun malas nak
mengayat Syarifah Ezora yang berlagak itu lagi. Ingat dia tu cantik sangat
agaknya. Podah!!! Anak Uncle Sami lagi cantik dari Syarifah Ezora biarpun kulit
si Lachmi tu sudah sama gelap dengan Dayang Senandung. Heheheee…
Tapi
sekarang ni… Syarifah Ezora pulak yang terhegeh-hegeh hendak mengejar cintanya.
Buat dia rimas dan lemas! Macam lagu Fabolus cat.
Sorrylah… Cik Syarifah Ezora Datuk Syed
Rahman. Hati aku ni dah lama tertutup untuk kau. Dulu pun aku suka sekadar nak
main-main aje. Bukannya nak serius pun. Sekarang ni… nak suka sekadar untuk
main-main pun aku tak hingin. Buat penat aje!
Melihat
kelibat anaknya yang sedang berehat di ruang menonton keluarga yang terletak di
tingkat dua itu menarik senyuman lebar pada bibir Puan Sri Hanum. Pantas dia
melangkah dan melabuhkan punggung di atas sofa bertentangan dengan anak bujang
kesayangannya yang cukup menyakitkan kepala itu. Tidak sabar dia hendak tahu
cerita dating Harriz dengan Syarifah Ezora.
“Dah
balik pun anak bujang mama ni. Kenapa balik awal hari ni?” tanya Puan Sri Hanum
kepada Harriz yang masih belum menyedari kedatangannya. Jam di dinding baru
menunjukkan pukul 4.25 minit petang. Kelibat Harriz sudah kelihatan. Biasanya
kalau keluar dating anak bujangnya itu tak pernah pula balik seawal ini. Kalau
matahari belum terbenam, jangan harap Harriz akan pulang ke rumah. Tapi hari
ini awal pula anak itu pulang.
Harriz
membuka matanya. Memandang mamanya yang sedang tersenyum lebar itu. Malas
hendak bersuara, dia hanya mengangguk lemah.
“Macam
mana date Harriz dengan Ezora? Okey, tak? Harriz suka tak dengan Ezora
tu? Mama tengok Harriz dengan Ezora tu padan sangat. Bagai pinang dibelah dua.”
bertalu mamanya bertanya. Dihujung kata sempat juga mama memberi komen mengenai
kesepadanan gandingan Harriz dan Syarifah Ezora yang dirasakan paling sempurna
di matanya.
Harriz
mencebik dalam hati. Padan? Bagai pinang dibelah dua? Hisy… takde maknanya.
“Okeylah…”
acuh tak acuh sahaja Harriz menjawab pertanyaan mamanya itu. Malas betul dia
bila mama asyik mengenenkan dia dengan Syarifah Ezora. Macam dah takde
perempuan lain lagi yang lebih baik daripada anak manja Datuk Syed Rahman itu
di mata mama.
Puan
Sri Hanum menggigit bibir. Geram pula dia mendengar jawapan yang diberikan oleh
anaknya itu. Nampak sangat tak ada semangat.
“Okey
je?” soalnya dengan dahi yang berkerut berjuta-juta.
Harriz
mengeluh. Dia memperbetulkan cara duduknya. Kakinya diturunkan ke bawah. Ini
yang dia bosan bila mama asyik nak kenenkan dia dengan Syarifah Ezora. Nanti
dia terlepas cakap, dikatakan anak derhaka pulak. Aduh… bertambah migraine
dia macam ini. Kenapalah mama sejak kebelakangan ini suka sangat dengan
Syarifah Ezora tu? Sikit-sikit Syarifah Ezora. Fed-up betul!
“Harriz
letihlah, ma. Nanti ajelah kita sembang pasal tu ye. Badan Riz ni dah lekit.
Riz nak naik atas mandi dululah.” Ujar Harriz. Dia bangun lantas mencapai kunci
keretanya dan mengatur langkah naik ke tingkat atas biliknya.
Puan
Sri Hanum merengus. Harriz macam itulah. Kalau dia hendak berbicara pasal
Syarifah Ezora, mulalah Harriz hendak mengelak. Nampak sangat yang Harriz tak
berkenanan dengan Syarifah Ezora. Sudah banyak kali dia cuba memainkan
peranannya agar Harriz rapat dengan Syarifah Ezora, namun anaknya itu tetap
juga mahu mengelak. Entah perempuan macam manalah yang Harriz mahukan untuk
dijadikan calon isteri? Kalau perempuan fesyen macam yang selalu diusung Harriz
ke hulu ke hilir itu, memang dia tak berkenan langsung!
“Hai…
ma.” Tegur Hanna. Satu ciuman mendarat ke pipi mama kesayangannya.
Puan
Sri Hanum mengeluh. Ini lagi seorang anaknya yang cukup jarang duduk di rumah.
Ada sahaja aktivitnya di luar sana. Anak-anak… bila dah semakin dewasa semakin
jauh daripada ibu bapa.
“Apesal
mama masam aje ni? Tak cantiklah mama buat muka masam macam ni, ma. Senyumlah
sikit. Baru nampak cantik.” Dengan manja Hanna memaut lengan mamanya. Kepala
dilentokkan pada bahu mama. Hanna ni memang cukup pandai mengambil hati Puan
Sri Hanum. Jadi tak hairanlah kalau Hanna merupakan anak emas mama.
“Pandailah,
Hanna. Hanna dengan Abang Harriz dua kali lima aje. Susah sangat nak duduk kat
rumah time cuti-cuti macam ni. Asyik nak mengular aje. Cubalah duduk kat
rumah waktu cuti begini. Jangan asyik nak keluar lepak dengan kawan-kawan aje.”
Omel Puan Sri Hanum.
“Alaaa…
mama ni. Hanna bukannya pergi mana pun. Hanna keluar dengan kengkawan
aje. Bosanlah asyik duk terperap kat rumah je.” Ujar Hanna.
Puan
Sri Hanum mengherot bibir mendengar jawapan anak gadis kesayangannya itu.
Biarpun Hanna ni anak perempuan kesayangannya, namun dia cukup tak berkenan jika
anak-anaknya suka merayau-rayau kat luar sana tanpa arah tujuan. Apalah
salahnya duduk dekat rumah di hujung minggu. Habiskan masa bersama dia dengan
suaminya. Kadang-kadang hatinya cukup terasa dengan sikap anak-anak yang lebih
mengutamakan masa bersama kawan-kawan daripada ibu bapa.
“Kenapa
mama tarik muka ni?” soal Hanna lagi. Matanya mengerling melihat wajah mama
yang masih masam itu.
Puan
Sri Hanum mengeluh lagi.
“Tu
hah… abang kamu tu. Mama tanya macam mana date dengan Syarifah Ezora,
boleh pulak dia buat acuh tak acuh sahaja. Geram betul mama. Dia ingat umur dia
tu muda remaja lagi ke? Umur dah masuk dua puluh enam tahun, masih nak
main-main lagi. Entah perempuan macam mana lagi yang dia mahukan untuk
dijadikan isteri. Sakit hati mama dengan Abang Harriz tu.” Luah Puan Sri Hanum.
Geram bukan main lagi dia dengan sikap anak lelakinya itu.
Hanna
hanya mendengar omelan mamanya itu. Malas hendak komen lebih-lebih. Abang
Harriz memang macam tu. Kalau dengan Syarifah Ezora bukan nak layan sangat.
Dengan perempuan lain bukan main mesra alam lagi abangnya itu. Dulu waktu
mereka dibangku sekolah, Abang Harriz pernah juga sukakan Syarifah Ezora. Tapi
sekarang ni abangnya itu langsung tak layan Syarifah Ezora. Takkanlah Abang
Harriz masih setia menunggu Dhia yang sudah berlaku curang kepadanya itu? Ahhh…
perempuan macam Dhia tu tak layak pun untuk Abang Harriz. Perempuan mata
duitan!
Disebabkan
Dhia, keluarganya mendapat malu. Kesian mama dengan papa. Sudah bersusah payah
hantar rombongan meminang Dhia untuk Harriz, tup-tup Dhia menolak dengan alasan
yang tak masuk dek akal. Konon belum bersedia. Disebabkan itulah hingga ke hari
ini Hanna tak pernah berkenan dengan teman-teman wanita abangnya. Pada Hanna,
wanita-wanita yang mendampingi abangnya itu bukannya ikhlas sukakan Harriz.
Tetapi lebih kepada ingin memiliki harta kekayaan abangnya. Sama macam Dhia.
Sebab itu bila mama bercadang mahu menyatukan Harriz dengan Syarifah Ezora,
Hanna turut bersetuju dengan pilihan mamanya itu. sekurang-kurangnya dia tahu
perempuan seperti Syarifah Ezora memang ikhlas sukakan abangnya dan bukan
disebabkan harta semata-mata.
“Hanna
dengar tak apa yang mama cakap ni? Melamun pulak dia.” Tanya Puan Sri Hanum.
Hanna langsung tidak memberi respons dengan apa yang diluahkannya. Dia seolah
membebel seorang diri.
“Dengarlah,
ma. Dahlah… tak payahlah mama fikir sangat pasal tu. Hanna yakin Ezora pasti
dapat kawal hubungannya dengan Abang Riz. Ezora tu kan bijak. Oh ya, ma, papa
mana? Tak nampak pun kelibat papa sejak Hanna sampai.” Malas hendak membahaskan
soal abangnya itu dengan panjang lebar, dia mula bertanyakan papanya yang tidak
kelihatan. Biasanya waktu cuti macam ini papa dengan mama jarang sangat
berenggang. Ke mana pasti bersama. Loving couple la katakan!
“Papa
keluar hantar Hanni pergi rumah kawan dia nak buat study group.”
Beritahu mama.
“Kenapa
tak suruh Abang Mahat hantarkan Hanni. Kan dah jadi tugas Abang Mahat sebagai
driver untuk hantar Hanni ke mana sahaja Hanni nak pergi. Kenapa mesti papa
pulak yang hantar?”
“Si
Mahat tu ada hal. Nak bawak anak dia ke klinik katanya.” Terang mama.
Hanna
mencebik bibir. Entah betul entah tidak alasan Abang Mahat itu. Mama dengan
papa macam itulah. Suka sangat bagi muka dekat pembantu rumah dan driver. Pasal
itulah Abang Mahat dan Kak Moon naik minyak. Ada masalah sikit aje, sikit-sikit
nak cuti. Kalau dialah… jangan harap nak bagi muka dekat diaorang.
Kelibat
Harriz yang baru menuruni anak tangga memaksa Puan Sri Hanum dan Hanna menoleh
serentak. Bukan main bergaya lagi lelaki itu. Cara berpakaiannya ini jelas
menyatakan bahawa Harriz akan keluar sebentar sahaja lagi. Membutang mata mama
memandang anaknya itu.
“Hah…
nak ke mana pulak ni?” Tanya Puan Sri Hanum kepada anak lelakinya itu.
“Riz
nak keluarlah, ma. Ada janji dengan kawan.” Beritahu Harriz. Dia sebenarnya tak
ada janji dengan sesiapa pun. Sengaja dia nak keluar untuk mengelak diri dari
soalan mama mengenai Syarifah Ezora. Rimas betul dia bila mama tak putus-putus
dengan Syarifah Ezora. Macam dah terkena sihir Syarifah Ezora aje cara mama
itu.
“Kawan
ke girlfriend?” soal Puan Sri Hanum penuh rasa curiga. Hanna yang masih
setia disisi mamanya hanya memandang sekilas lalu. Dia malas hendak masuk
campur dengan urusan Harriz. Hubungan Hanna dengan Harriz memang tak berapa
rapat. Begitu juga hubungannya dengan Hanis dan Hanni. Macam itu aje. Tak rapat
sangat. Hanna lebih suka buat halnya sendiri.
“Kawanlah,
ma…” Malas-malas Harriz menjawab. Dia cukup bosan bila mama asyik mahu
mengongkong pergaulannya. Sampaikan ke mana dia pergi pun mama nak ambil tahu
juga. Macamlah Harriz tak tahu yang di pejabatnya itu mama ada pasang ‘CCTV’
untuk memantau segala aktivitinya. Jika tidak, takkanlah mama tahu segala
pergerakannya kini.
Alahai…
mama, Riz dah besar panjanglah. Dah tahu urus hal sendiri. Harriz berkata dalam
hati.
“Ingat
Harriz… ini last warning mama bagi dekat Harriz. Mama tak nak Harriz
terlibat lagi dengan perempuan-perempuan yang tak senonoh yang sering Harriz
usung tu. Mama tak suka! Lagipun mama dah janji dengan auntie Elina nak satukan
Harriz dengan Ezora. Cuma nak tunggu masa yang sesuai aje lagi untuk menyatukan
korang berdua.” Tegas mama menuturkan ayatnya.
Harriz
mengeluh. Ada baiknya kalau dia berterus terang sahaja pada mama mengenai
perasaannya terhadap Syarifah Ezora. Dia tak mahu nanti mama berharap sangat
dia bersatu dengan Syarifah Ezora. Berterus-terang awal-awal ini lagi bagus
sebelum mama buat sesuatu yang lebih jauh lagi.
“I’m
sorry, ma. Riz tak sukakan Ezora. Riz harap mama faham.” Terang Harriz.
Inilah yang terbaik baginya daripada mama asyik mendesak untuk dia untuk rapat
dengan Syarifah Ezora.
Mama
menggigit bibirnya kuat. Sakit hati mendengar jawapan bersahaja yang keluar
dari bibir anak lelakinya itu. Serentak itu juga mama bangun dari duduknya.
Hanna
pula hanya memerhati langkah mamanya yang sudah berada dekat dengan Harriz.
Ikutkan rasa hati dia pun geram juga mendengar jawapan yang meluncur keluar
dari bibir abangnya itu. Apa kurangnya Syarifah Ezora sampaikan Harriz menolah
sahabat baiknya itu mentah-mentah? Buta betullah mata Abang Riz ni! Rengus
Hanna dalam hati.
“Apa
Harriz cakap?” soal Puan Sri Hanum dengan nada yang kedengaran tegang. Dia kini
sudah berdiri benar-benar di hadapan anak bujangnya itu.
Harriz
menarik nafas dalam. Dia tahu mamanya tentu marahkan dia kerana kata-katanya
itu. Wajah mama ketika ini sudah naik merah seperti hendak membahamnya sahaja.
“Riz
mintak maaf, ma. Riz tak boleh nak bohong perasaan Riz. Riz tak sukakan Ezora
dan tak mungkin untuk Riz jadikan Ezora sebagai isteri Riz.”
“Habis
tu Harriz sukakan siapa? Perempuan-perempuan yang selalu Harriz usung ke hulu
hilir itukah? Perempuan macam itu yang Harriz sukakan? Perempuan yang tak tahu
mana asal usul mereka. Perempuan-perempuan yang hanya mahukan harta Harriz itu?
Atau Harriz masih tunggu budak Dhia yang sudah memalukan keluarga kita tu?”
Kuat nada suara Puan Sri Hanum. Rasa macam nak menjerit sahaja dia ketika itu.
Kalau Harriz ni anak kecil, mahu disebatnya punggung Harriz dengan rotan kerana
telah membantah cakapnya.
“Tidak,
ma. Riz dah ada seseorang untuk dijadikan calon isteri. Bukan
perempuan-perempuan yang mama pernah jumpa dengan Riz sebelum ni. Bukan jugak
Dhia. Kali ni Riz yakin mama pasti suka dengan pilihan Riz. Dia lain daripada
perempuan-perempuan yang mama pernah jumpa dan terlibat dengan Riz. Dia juga
amat berbeza dengan Syarifah Ezora. Percaya cakap Riz, ma.”
Puan
Sri Hanum tersenyum sinis. Sukakan pilihan Harriz? Mustahil! Bagi Puan Sri
Hanum perempuan yang menjadi pilihannya hanya satu. Syarifah Ezora Datuk Syed
Rahman. Hanya wanita itu sahaja yang menjadi pilihan untuk dijadikan calon
menantunya. Perempuan lain sudah ditolak awal-awal lagi.
“Tak
mungkin mama boleh sukakan pilihan Harriz. Mama tahu sangat fesyen perempuan
macam mana yang Harriz pilih. Mama tak suka! Lagipun mama dah berkenan dengan
Ezora. Dia cukup layak untuk dijadikan isteri kepada Harriz. Apa lagi yang
Harriz mahukan? Bagi mama Ezora tak ada sedikit pun kekurangan jika nak
digandingkan dengan Harriz. Kita pun tau keluarga dia. Mama tak nak pisang
berbuah untuk kali yang kedua.”
Rasa
mahu sahaja Harriz tergelak mendengar kata-kata mamanya itu. Hai… mama,
nampaknya mata mama betul-betul dah rabun tahap maksimum. Patutkah mama kata
Syarifah Ezora itu tak ada sedikit pun kekurangan? Tak nampakkah mama yang Syarifah
Ezora itu hampir sama sahaja dengan perempuan-perempuan yang mama telah warning
sebab rapat dengan aku? Pakaian… warna rambut… perangai… dua kali lima sahaja.
Cuma mungkin si Ezora itu ibu bapanya kawan baik kepada mama dan papa. Itu
sahaja yang membezakan Ezora dengan aweks aku.
“Riz
yakin mama akan suka pilihan Riz kali ni. Itu janji Riz dekat mama.”
Bulat
mata Puan Sri Hanum menatap wajah anaknya. Berani betul Harriz berkata begitu.
“Baik…
kalau itu yang Harriz katakan, mama nak tengok sejauh mana wanita yang Harriz
bangga-banggakan itu dapat mencuri hati mama. Mama bagitau awal-awal dekat
Harriz, hati mama tak mungkin akan terbuka untuk wanita yang Harriz suka. Sebab
mama tahu sangat perangai perempuan yang macam itu. Perempuan tu tak suka
Harriz, yang dia suka cuma harta Harriz je. Macam Dhia.” Sekali lagi Puan Sri
Hanum membangkitkan nama Dhia. Benci sangat dia dengan bekas teman wanita
anaknya itu.
Harriz
menggeleng-geleng. Menyangkal tanggapan buruk mamanya itu.
“Ma,
please… tolong jangan kaitkan pilihan Riz kali ni dengan Dhia. Gadis
pilihan Riz bukan macam yang mama fikirkan. Dia jauh lebih baik dari Dhia mahu
pun Ezora.”
“Kita
tengok!” bentak Puan Sri Hanum kasar. Hatinya bagai dicarik-carik mendengar
kata-kata anak lelakinya itu. Kemudian dengan muka yang masam dan hati yang
panas mama berlalu naik ke tingkat atas.
Harriz
menghela nafas. Maafkan Riz ma. Bukan niat Riz mahu buat hati mama terluka.
Tapi Riz benar-benar tak sukakan Ezora. Dalam hati Riz cuma ada Balkish
seorang. Riz cuma mahukan Balkish untuk menjadi teman hidup. Riz mahu mama
faham akan pilihan Riz. Dan semoga mama terima cinta Riz ini suatu hari nanti.
Harriz meluahkan isi hatinya dalam diam. Bukan niatnya mahu melawan cakap mama.
Namun dia perlu meluahkan isi hatinya yang tidak selesa bila mama terus
mendesak untuk dia berpasangan dengan Syarifah Ezora.
“Abang
Riz ni kenapa? Tak bolehkah Abang Riz buat mama senang hati sikit? Kenapa
selalu sangat lawan cakap mama? Apa kurangnya Ezora sampai Abang Riz susah
sangat nak ikut kehendak mama untuk bersatu dengan Ezora? Hebat sangatkah girlfriend
Abang Riz tu sampai Abang Riz tolak Ezora dan lukakan hati mama?” tiba-tiba
Hanna yang sedari tadi tidak berkutik itu bersuara. Bertalu-talu dia
melemparkan soalan kepada Harriz. Sakit hatinya bila abangnya itu dengan
mentah-mentah telah menolak rancangan mama mahu menjodohkan Harriz dengan
Syarifah Ezora.
Pandangan
dihala ke arah Hanna yang sudah mencuka. Inilah Hanna… kaki kipas mama nombor
satu dekat banglo tiga tingkat ini. Pasal itulah Hanna jadi anak emas mama.
Kipasnya boleh tahan sejuk. Tanpa membalas bicara Hanna, Harriz membawa langkah
ke anak tangga. Baik dia segera beredar dari situ. Lagipun dia tak mahu berlaku
pertengkaran mulut antaranya dengan Hanna.
Hanna
menggigit bibir bawahnya. Geram betul dengan Harriz!
“Ingat
sikit Abang Riz. Sebelum ni Abang Riz pernah malukan mama dengan papa bila
pinangan Abang Riz kena tolak dengan Dhia. Jangan kali ni pisang berbuah untuk
kali yang kedua pulak!” jerit Hanna lantang bila melihat langkah Harriz yang
sudah turun ke bawah.
Harriz
tidak mempedulikan jeritan Hanna itu. Langkahnya laju meninggalkan rumah.
BESAR ketawa Hanis ketika itu.
Sampaikan berair matanya. Cerita Harriz itu benar-benar menggeletek ulu
hatinya. Kelakar betul bila si buaya darat itu akhirnya menyuarakan rasa takut
dekat seorang wanita. Selama ini, si buaya darat di depannya itu tak pernah
mengaku takutkan wanita. Malah dengan nada bangga si buaya darat ini mengatakan
dia merupakan pencinta wanita nombor satu dekat KL ini. Tapi hari ini… dia
dengar pula pengakuan dari pencinta wanita itu yang dia takutkan seorang
perempuan. Memang sesuatu yang melucukan.
Harriz
mengerling kakaknya yang semakin kuat ketawanya itu. Ini yang dia tak suka nak
cerita bab-bab macam ini dekat Hanis. Pasti ibu beranak dua itu akan gelakkan
dia seperti sekarang ini. Dah tu… tawanya susah pulak hendak dihentikan.
“Tak
habis lagi gelakkan Riz ke?” sindir Harriz bila Hanis semakin galak pula
ketawanya.
“Hehehe…
aduh… sakit perut akak ketawa.” Ujar Hanis. Kedua belah tangan menekan perut
yang terasa senak kerana terlalu banyak ketawa. Jelingan mata Harriz langsung
tidak diendahkan.
“Ini
semua Riz punya pasallah. Buat cerita lawak malam-malam begini. Sampai berair
mata akak ketawa.” Sambung Hanis lagi. Sisa ketawanya masih lagi kedengaran.
Harriz
mengerut kening. Bila masa pulak dia buat cerita lawak antarabangsa atau buat
lawak gila-gila? Seingatkan dia cerita perkara yang serius. Takde yang lawak
pun. Kak Hanis sahaja yang rasa ceritanya itu sesuatu yang lawak. Ketawa sampai
terguling-guling.
“Ini
yang Riz malas nak cerita dekat Kak Nis. Riz serius, Kak Nis pulak anggap Riz
buat lawak antarabangsa Ujang.” Wajah Harriz sudah mencuka.
Hanis
tersengih. Alahai… adik akak, merajuklah pulak.
“Alaaa…
janganlah marah Riz. Akak ni bukannya apa. Kelakar bila Riz kata takutkan
Syarifah Ezora. Bukan selama ni Riz mengaku yang Riz tak takut dekat mana-mana
perempuan ke? Kenapa bila tiba bab Ezora Riz mesti ada rasa takut pulak? Itu
yang buat akak gelak tak hengat dunia.” Beritahu Hanis.
“Ezora
tu lain kak. Dia tu dah serupa macam Mak Lampir. Baru dengar nama pun Riz dah
rasa seram sejuk aje. Apa lagi bila dah berdepan. Huh… mau naik segala bulu
roma Riz ni dibuatnya. Dia ingat dia tu cantik sangat agaknya. Aduh… Riz pantang
betul jumpa perempuan yang perasaan cantik macam di Ezora tu.” Tungkas Harriz.
Sekali
lagi pengakuan Harriz itu membuatkan ketawa Hanis pecah. Walaupun bunyinya
tidak sekuat tadi, namun nadanya tetap sama.
Ketawa
Hanis itu menarik minat Fahmie yang sedang melayan dua anak mereka melukis di
dalam rumah. Jarak antara taman mini di halaman rumah dengan ruang tamu
bukanlah jauh sangat. Jadi dengan senang sahaja Fahmie dapat mendengar gelak
tawa riang isteri kesayangannya itu. Hanis dengan Harriz bila dah berjumpa
macam itulah. Ada sahaja bahan cerita yang mereka berdua kongsikan bersama.
“Tapi
bukan dulu zaman sekolah Riz pernah sukakan si Ezora tu ke? Kenapa sekarang ni
nak takut pulak? Setahu akak, muka Ezora tu takdelah teruk macam Mak Lampir
yang Riz cakapkan tu. Masih. Cantik aje Ezora tu akak tengok. Padanlah dengan
Riz yang kacak ni kan???” usik Hanis. Semakin seronok pula dia menggiat
satu-satu adik lelakinya itu. Harriz ni dengan Hanis memang seorang adik yang
manja. Nampak aje macho gila bila berdepan dengan awek-aweks dia, tapi
bila berdepan dengan Hanis, Harriz tetiba sahaja menjadi adik yang suka
bermanja. Lagak macam anak bongsu. Segala hal mesti nak report dekat
Hanis.
Harriz
mencebik. Kahwin dengan Syarifah Ezora? Mintak dijauhkan. Dia tak sanggup dapat
isteri seperti Syarifah Ezora. Mahu bermimpi ngeri dia setiap hari.
“Apa
mama cakap bila Riz tolak cadangan mama yang nak satukan Riz dengan Syarifah
Ezora tu?” tanya Hanis. Kali ini nadanya sudah tidak main-main seperti tadi.
Harriz
menjungkit bahu.
“Macamlah
Kak Nis tak tahu dengan perangai mama tu. Marahlah apa lagi. Kan Ezora tu
perempuan pilihan hati mama. Tentulah mama marah bila Riz tolak cadangan mama
yang nak satukan Riz dengan Ezora.” Beritahu Harriz mengenai penerimaan.
Hanis
menarik senyuman segaris. Dia pun dah arif sangat dengan perangai mama yang
satu itu. Pantang hajatnya ditolak, mulalah mama tarik muka empat belas. Namun
walau bagaimana pun sikap mama, mama tetap ibu yang paling mereka semua sayangi
dalam dunia ini. Mama tetap yang terbaik dan sentiasa inginkan yang terbaik
untuk anak-anaknya.
“Alaaa…
Riz jangan risaulah. Mama tu marah bukannya lama mana tu. Esok lusa sejuklah
hati mama tu semula.”
“Kak
Nis tahu kenapa Riz tolak Ezora. Sebab Balkish, kan?” sambung Hanis mengaitkan nama
Balkish dalam sembang malam mereka berdua.
Laju
kepala Harriz berpusing menatap wajah kakaknya yang sedang tersengih ibarat
kerang buruk dekat pasar Pakcik Kudus. Macam mana Kak Hanis boleh tahu pasal
Balkish? Soal Harriz pada diri sendiri. Puk! Dahinya ditepuk. Baru dia teringat
pasal abang iparnya Fahmie. Tentu suami kesayangan kakaknya itulah yang telah
membuka cerita kepada kakaknya. Dia cukup yakin tentu Fahmie yang bagitahu
pasal Balkish.
“Ini
mesti Abang Mie punya mulut yang bagitau dekat Kak Nis.” Ujar Harriz sendirian.
“Alaaa…
dah Riz tu yang selalu sangat ganggu Balkish dekat ofis Abang Mie, pasal tu
Abang Mie bagitau dekat akak. Abang Mie kata Riz selalu sangat datang ke ofis
dia semata-mata nak jumpa Balkish. Sampaikan Abang Mie sendiri tak boleh nak
cakap apa lagi dengan sikap Riz.”
Harriz
tersenyum-senyum mendengar komen yang keluar dari mulut Hanis. Memang Fahmie
ada memberitahunya agar jangan kerap sangat datang ke F&F Holding. Malu
orang tengok. Tapi macam biasalah… dia tak pernah nak menghiraukan teguran
abang iparnya itu. Malah dia semakin kerap pula datang ke F&F Holding
semata-mata nak lepaskan kerinduan terhadap Balkish.
“Riz
tak bolehlah kak nak tahan diri dari tak jumpa Balkish tu. Rasa macam ada aje
yang kurang kalau Riz tak tengok Balkish sehari.” Akui Harriz.
“Hisy…
budak ni! Buat malu aje. Controllah sikit Encik Harriz oi. Jangan nak
gelojoh sangat.”
Kali
ini giliran Harriz pula tergelak besar. Rambutnya yang hitam berkilat itu
digaru-garu. Setelah ketawanya reda, dia bertanya lagi kepada Hanis yang hanya
tersenyum simpul memandangnya itu.
“Kak
Nis kenal Balkish ke?”
Hanis
mengangguk. Adalah beberapa kali dia terjumpa dengan Balkish ketika dia datang
ke pejabat suaminya. Balkish memang seorang gadis yang cantik dan baik. Hanis sendiri
cukup senang dengan Balkish.
“Apa
pandangan Kak Nis tentang Balkish?” Tanya Harriz ingin tahu.
Hanis
buat muka dengan mengerutkan dagunya. Konon-konon dia sedang berfikir tentang
Balkish. Sedangkan awal-awal lagi dia memang sukakan Balkish. Bila sahaja
Fahmie memberitahunya yang Harriz nampak serius sukakan Balkish, dia turut
berharap agar jodoh adiknya itu ada dengan gadis manis bertudung litup itu.
Tentu hidup Harriz akan bahagia andai dapat memiliki isteri seperti Balkish.
“Hurmmm…
akak tengok Balkish tu baik budaknya. Akak sendiri senang dengan dia. Bukan aje
baik, malah dia jugak seorang yang berbudi pekerti. Tapi…” kata-kata Hanis mati
di situ. Wajah Harriz ditenung lama.
Harriz
menjungkit kening.
“Tapi
apa?” soal Harriz tak sabar. Buat suspen betul kakaknya itu. Sengaja mahu
menyeksa perasaan ingin tahunya.
“Tapi…
akak risau kalau Riz cuma nak main-mainkan Balkish. Akak tak naklah Riz mainkan
perasaan dia. Akak suka tengok Balkish tu. Dia tu baik. Nampak sweet
aje. Akak tak mahulah Riz main-mainkan Balkish macam yang selalu Riz buat dekat
teman-teman separuh masa Harriz tu. Tak baik tau.” Luah Hanis. Memang perangai
Harriz yang kaki perempuan itulah yang paling tidak digemarinya. Sakit betul
hatinya bila Harriz selalu sangat mempermainkan perasaan ramai wanita yang
didampinginya. Tukar teman wanita macam tukar baju aje. Puas juga dia
menasihati Harriz. Namun nasihatnya ibarat angin lalu sahaja pada lelaki itu.
Harriz
tersenyum manis. Jemari Hanis yang halus mulus itu dicapai lalu digenggam erat.
“Insya-ALLAH,
Kak Nis… kali ni Riz benar-benar serius. Riz tak akan mempermainkan perasaan
Balkish. Dengan Balkish, Riz dah cukup bersedia untuk berumah tangga.” Janji
Harriz.
Hanis
sudah tersenyum. Kepalanya diangguk perlahan.
“Baguslah
kalau macam tu. Akak doakan semoga pintu hati Balkish akan terbuka untuk adik
akak yang hensem ni. Lagipun dalam umur yang dah masuk dua puluh lapan tahun ni
Riz memang patut pun fikir pasal nak berumah tangga. Tak boleh nak main-main
lagi.” Ujar Hanis mendoakan kebahagian adiknya.
Harriz
melebarkan lagi senyumannya. Kak Nis memang seorang kakak yang paling bagus
dalam dunia ni.
“Sayang
Kak Nis.” Ucap Harriz.
“Sayang
Riz juga.” Balas Hanis. Terserlah sifat keibuan miliknya itu.
~BILA LAGU CINTA BERGEMA TERPAKSA DIHENTIKAN SETAKAT INI. INSYAALLAH AKAN DITERBITKAN DALAM BENTUK CETAK TIDAK LAMA LAGI. ^______^ ~
Salam kak, bile BLCB akan dibukakan? Dh lame sy tunggu. Nanti bile dh dibukukan akak bagitau sy tau..hehe..
BalasPadamwalaikumusalam amirah..insyaALLAH BLCB akan jumpa amirah dlm versi cetak awal tahun depan..insyaALLAH..nti akak war2 kan ye..
Padamok, tq kak.. sy tnggu :) Dh excited nk tau ending kisah balkish n harriz nie...
PadamBila Lagu Cinta Bergema akan ada masa pesta buku 1 malaysia 14 n 15 hb 12 ne..
Padam