Bila lagu cinta
bergema
~3~
Dahulu kukenal dia
Jejaka idaman Malaya
Semut pun tak mati dipijak
Lemah lembut bicara
Semakin ku buka hati
Semakin buka mata
Dia berselindung untuk mengaburi langkahnya
Jejaka idaman Malaya
Semut pun tak mati dipijak
Lemah lembut bicara
Semakin ku buka hati
Semakin buka mata
Dia berselindung untuk mengaburi langkahnya
Kini ku tak mahu
Di tipu dengan si pencabul kalbu
Mula-mula kubenar-benar nak bercinta
Dengan iya-iya
Tapi lama-lama belangnya keluar
Rupa-rupanya jahatnya suka-suka
……………………
Stacy – Kasanova
ALUNAN
irama rancak nyanyian Stacy berkumandang melalui BlackBerry kesayangan milik
Balkish. Bukan senang nak dapatkan BlackBerry yang berharga empat angka itu.
Balkish terpaksa ikat perut semata-mata nak dapatkan BlackBerry yang sekian
lama menjadi idamannya. Disebabkan mahu memiliki BlackBerry itu, dia kenalah
berkorban sikit. Sambil itu boleh jugalah dia berdiet. Heheheee…
Ella
yang mendengar irama lagu dari BlackBerry milik sahabatnya itu sudah mengerling
dengan ekor mata. Mak ai si Kish ni… macam dah tak ada lagu lain lagi yang dia
nak letak. Lagu ‘Kasanova’ itu juga yang menjadi pilihan jiwa kalbunya. Mungkin
si kasanova yang Kish maksudkan itu adalah… Harriz! Tapi bila masa pulak hati
Kish kena tawan oleh si hensem itu?
Setahu aku… Kish bukan main benci lagi dekat Harriz. Siap panggil buaya jadian
lagi. Tak pun King Of The Crocodile. Hisy… pandai betul Kish bagi nama manja
dekat Harriz. Tak sesuai langsung. Sepatutnya untuk mamat hensem macam Harriz
tu Kish kenalah letak nama manja Prince
Charming. Baru sesuai! Heheheee… Ella bermonolog.
BlackBerry
yang terletak di atas meja kopi dicapai. Sebuah senyuman manis terukir pada
bibir comel Balkish.
Kak
Risya! Bergema nama itu melalui suara hati. Pantas dia bangun lalu menekan
punat hijau.
“Assalammualaikum…
Kak Risya.” Ucap Balkish sambil melangkah menuju ke ruang makan yang tidak
berapa jauh daripada ruang tamu. Dia tak naklah perbualannya dengan Batrisya
nanti akan menganggu tumpuan Ella terhadap drama Cinta Lelong yang sedang
ditayangkan di saluran Astro Ria itu. Dia bukannya tidak tahu macam mana
fanatiknya si Ella tu dekat Aaron Aziz. Sikit-sikit Aaron Aziz! Bayangkanlah,
drama Cinta Lelong ini sahaja sudah beberapa kali diulang siar. Namun Ella
langsung tak pernah bosan melihatnya. Siap boleh ketawa terbahak-bahak lagi
bila ada insiden lucu yang mencuit hati.
“Walaikumsalam.
Kish apa kabar?” suara Batrisya kedengaran dari corong sana. Sudah agak lama
juga dia tak menghubungi adiknya itu. Rasanya adalah dalam tiga bulan. Terubat
juga rindunya bila mendengar suara ceria adik kesayangannya itu.
“Alhamdulillah…
Kish sihat. Kak Risya pulak macam mana? Baik-baik aje kan?” giliran Balkish pula bertanya. Memang sudah lama dia
dengan kakaknya itu tidak berhubung. Rindu rasanya.
“Alhamdulillah,
dik. Akak sihat.”
“Alhamdulillah…
Kish rindu sangat dekat Kak Risya. Dah lama tak bersembang dengan akak.” Luah
Balkish. Memang dia rindukan Batrisya. Sejak kakaknya itu melanjutkan pengajian
ke UK, hanya sekali sahaja Batrisya ada balik ke Malaysia. Itu pun tiga tahun
lepas. Sewaktu majlis perkahwinan kakaknya itu. Selepas itu Batrisya dan
suaminya kembali semula ke UK untuk melanjutkan pengajian mereka di University
Of Nottingham.
“Tu
la pasal. Akak pun rindu sangat dekat Kish. Dah lama tak dengar suara Kish yang
serak-serak basah macam Rani Mukherjee tu. Cuma akak sibuk sangat sejak
akhir-akhir ni. Faham ajelah tugas akak yang jadi seorang isteri dan pelajar
ni. Berat!” Beritahu Batrisya seraya ketawa kecil dihujung kata-katanya.
Tugasnya sebagai seorang isteri dan pelajar membuatkan jadualnya menjadi sibuk.
Apatah lagi dia berada jauh daripada keluarga. Tentulah segala hal dia dengan
suami yang perlu uruskan sendiri.
“Kish
pulak macam mana? Kish dah masuk kelas balikkan?” Tanya Batrisya. Seingatnya
Balkish pernah memberitahu kepadanya beberapa bulan lepas yang dia akan kembali
masuk ke kelas selepas habis cuti semester.
Balkish
mengangguk. Hai… macamlah Batrisya nampak yang dia sedang mengangguk-anggukkan
kepalanya itu. Lantas sebuah senyuman nipis terukir pada bibirnya.
“Yupe! Dah tiga bulan Kish masuk kelas
balik. Tinggal tiga bulan aje lagi untuk habiskan semester ke empat ni, kak. Lepas ni hanya tinggal dua semester aje lagi untuk Kish mengenggam
segulung ijazah. Kish dah tak sabar nak habiskan pengajian ni. Penat betullah kak
pikul dua tanggungjawab dalam satu masa ni. Orang lain hujung minggu boleh
bersenang-lenang dan keluar bersuka-ria, tapi Kish kena pergi kelas. Lepas tu
isnin hingga jumaat pulak kena kerja. Penatnya berganda-ganda.” Panjang lebar
Balkish mengadu. Hanya pada kakaknya itulah tempat dia mengadu nasib selama
ini. Malah Batrisya merupakan orang pertama yang memberinya semangat untuk
mengambil PJJ.
Selepas
sahaja Balkish menamatkan SPM dengan keputusan yang cemerlang, dia terus
mengambil Diploma Sains Kesetiausahaan selama dua tahun di Politeknik Sultan
Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang. Setelah itu dia menjalani praktikal di
F&F Holding, Kuala Lumpur selama enam bulan. Dua bulan setelah habis
pengajian di Politeknik SAS, dia menerima tawaran bekerja dari F&F Holding
sebagai Pembantu Setiausaha. Ini semua atas saranan Puan Suzihana setelah
berpuas hati dengan cara dia bekerja sewaktu menjalani praktikal di situ
sebelum ini. Balkish berterima kasih sangat pada Puan Suzihana kerana jasa baik
wanita itu yang telah mengesyorkan namanya untuk bekerja di situlah dia kini
berada di F&F Holding. Menjadi sebahagian daripada ahli keluarga F&F
Holding. Bagi Balkish, Puan Suzihana merupakan idolanya dalam bidang
kesetiausahaan ini. Jangan sangka kerja sebagai seorang setiausaha hanya tahu
bersolek dan mencatat temujanji ketua sahaja. Sebenarnya ada banyak kerja
setiausaha yang orang lain tak tahu. Cukup memenatkan.
Tahun
lalu, Balkish telah dinaikkan pangkat sebagai setiausaha kepada Encik Fahmie di
bahagian kewangan F&F Holding. Encik Fahmie merupakan anak lelaki kedua
Datuk Fauzi, pemilik syarikat F&F Holding tempatnya bekerja ini. Dia
bersyukur sangat dengan rezeki yang diperolehinya itu. Nampaknya ALLAH memberi
kesenangan untuk dia mendapat ruang dalam dunia pekerjaan. Mana taknya, dalam
usia semuda dua puluh dua tahun dia sudah dinaikkan pangkat pula menjadi
setiausaha Encik Fahmie. Kiranya sekarang ini masuk dua tahun jugalah dia
menjadi setiausaha kepada Encik Fahmie. Dan bosnya itu memang seorang ketua
yang cukup baik. Alhamdulillah…
Dalam
tahun yang sama jugalah dia mendaftar sebagai seorang pelajar untuk Pendidikan
Jarak Jauh di UiTM, Shah Alam dalam Bachelor
Of Corporate Administration untuk tiga tahun. Maknanya dia kini memikul dua
tanggungjawab dalam satu masa. Satu tanggungjawab sebagai seorang pekerja, satu
lagi tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Namun untuk berjaya dia perlulah
kuatkan semangat seperti yang selalu Batrisya beritahu bila kakaknya itu ada
peluang untuk menelefonnya. Jika tidak pun, nasihat Batrisya pasti akan
tertulis dalam Facebooknya. Heheheee…
“Kish…
ada lagi tak ni? Senyap aje. Kish dah tidur ke? Atau… Kish tengah berkhayal
ni?” Suara Batrisya dari hujung talian mengembalikan Balkish ke alam nyata.
Ya
ALLAH… macam mana boleh berkhayal ni? Time
on the line dengan kak Risya pulak tu. Hisy…
tak patut betul! Parah betul penyakit berkhayal aku ni.
“Heheee…
sorry Kak Risya. Kish ada lagi ni.”
Suara
ketawa Batrisya dari hujung talian kedengaran. Dia faham apa yang sedang
dilalui oleh adiknya itu. Memang penat bekerja sambil belajar ini. Kena kuat
semangat. Jika tidak… sah tersungkur tengah jalan. Macam dia jugalah yang
memikul dua tanggungjawab dalam satu masa.
“Perangai
Kish yang suka sangat melamun tu tak pernah nak hilang. Sampaikan bersembang dengan
akak pun sempat juga layan perasaan. Akak tahulah Kish penat sangat dengan
kerja, mana dengan kuliah lagi. Tapi Kish kenalah kuatkan semangat. Orang kata,
biar susah dulu… tapi senang kemudian. Akak yakin sangat Kish pasti akan
berjaya jugak mengenggam ijazah yang Kish idamkan selama ini.” Seperti biasa,
Batrisya tidak pernah jemu-jemu memberi kata semangat buat adiknya itu.
Sekali
lagi Balkish mengangguk. Macam Batrisya nampak pulak yang dia tu tengah
mengangguk-anggukkan kepalanya itu. Hisy! Rambutnya yang panjang mencecah ke
paras pinggang itu dibelek-belek. Cuba mencari hujung rambut yang bercabang.
Manalah tahu ada yang bercabang walaupun rambutnya itu memang tak pernah
bercabang kerana Balkish begitu menjaga rambutnya dengan baik biarpun dia memakai
tudung. Tiga kali seminggu dia akan pastikan rambutnya diberi rawatan yang
betul.
“Thanks Kak Risya. Inilah yang Kish rindu
sangat dekat kakak kesayangan Kish yang sorang ni. Kak Risya selalu bagi Kish
semangat. Hmmm… rindunya dekat Kak
Risya. Dah lama sangat tak jumpa dan duduk bersembang.” Luah Balkish. Tetiba
dia rasa hendak memeluk kakaknya itu.
“Hmmm… iye la tu. Kish tu cakap aje rindu tapi Kish tak jumpa akak pun.”
Dahi
Balkish berkerut. Aduh… kakakku yang cantik lawa ini… UK tu jauh sangat. Kalau
takde duit ribu-ribu jangan haraplah dapat pergi ke sana. Aku manalah ada duit
yang banyak nak pergi ke UK tu. Duit gaji pun tak cukup nak pergi sana. Lagipun
duit yang ada sekarang ni semua untuk kegunaan studi. Dalam angan-angan
dapatlah aku ke UK tu. Tapi kalau ke Ulu Klang tu memang aku dapat pergi dengan
segera. Hari ni pun boleh! Heheheee…
“Aduh
kak… UK tu jauh sangatlah. Kish tak cukup duit nak ke sana. Duit yang ada semua
untuk kegunaan studi.”
“Habis
tu kalau akak ada kat JB sekarang ni, Kish dapat tak jumpa akak?” soal
Batrisya.
Balkish
tersenyum lebar.
“Of course my sis! Dekat JB anytime Kish boleh jumpa akak. Bukannya
jauh sangat pun jarak antara JB dengan KL ni. Sehari aje Kish dah boleh sampai.”
“Good! Kalau macam tu hujung minggu ni
Kish baliklah JB. Kebetulan hari isnin dan selasa cuti tahun baru cina, kan?
Jadi cuti panjang. Kuliah pun mesti takde
sebab cuti.” Ujar Batrisya.
Senyuman
Balkish mati dengan sendiri. Dahinya berkerut-kerut. Biar betul permintaan Kak
Risyanya ni? Takkan dia nak suruh aku duk terconggok sorang diri kat kampung tu? Hisy…
tak nak ar aku!
“Kish…
hey, kenapa senyap ni?”
“Akak
tu la. Cakap serupa orang mengigau suruh Kish balik. Kish tak nak balik kalau Kak
Risya takde. Bosanlah takde teman nak diajak berbual.” Itu
hanyalah satu alasan. Sebenarnya memang sudah lama Balkish tidak menjejak kaki
ke rumah keluarganya yang terletak di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru itu.
Sejak Batrisya berangkat kembali ke UK bersama suaminya, sejak itu jugalah
Balkish tidak balik ke kampung halamannya. Bila syawal menjelma, dia lebih
selesa mengikut Aleya balik ke rumah keluarga sahabatnya itu yang terletak di
Jementah, Segamat. Menyambut kedatangan syawal bersama Pak Salleh, Mak Aminah,
Saiful, Aleya dan Aleza. Dia punya kisah pahit yang membuatkan dia tidak dapat
kembali ke rumah banglo milik ibunya itu lagi.
“Kalau
akak ada kat JB, Kish nak balik tak?” soal Batrisya. Sengaja dia bertanya
begitu. Dia tahu adiknya itu sudah lama tak balik ke kampung. Dia juga tahu apa
yang telah terjadi kepada Balkish setelah dia kembali ke UK tiga tahun lalu.
Kini dia mahu adiknya itu kembali ke pangkuan keluarga.
“Kalau
akak ada kat kampung dah tentulah Kish akan balik.” Tanpa berfikir panjang
Balkish memberikan jawapannya. Langsung tidak memikirkan yang jawapannya itu
telah menjerat diri.
“Kalau
macam tu Kish baliklah. Akak ada kat kampung sekarang ni. Dah tiga hari akak
balik.” Lancar Batrisya berkata.
Mata
Balkish membulat. Sudahlah matanya memang bulat, bertambah bulat bila dia beraksi
begitu. Bibirnya yang comel itu pula sudah melopong dengan berbentuk ‘O’.
Biar
benar?! Kak Risya ada kat kampung?
“Betul
ke Kak Risya ada kat kampung ni?” tanya Balkish bagaikan tidak percaya dengan
apa yang didengarnya.
“Betullah
Kish. Akak dah habis belajar dah! Konvo pun sudah. Abang Eid pun dah berhenti
kerja kat sana. Kami bercadang nak menetap terus kat sini. Kat JB. Lagipun
abang Eid akan mula bekerja dengan syarikat guaman pak ngah dia dekat JB ni
esok. Akak pulak buat masa ni cadang nak rehat aje. Nak tumpuhkan perhatian
pada rumah tangga yang selama ni terbagi dua. Alaaa… nantilah kita sembang
panjang-panjang ye Kish. Kish balik
kampung dululah ye? Baru senang untuk
kita chit chat.” sekali lagi Batrisya mengulangi pertanyaan yang sama.
Balkish
mengetap bibir. Soalan Batrisya terlalu payah untuk dijawab. Perlukah dia
kembali semula ke rumah itu lagi setelah apa yang terjadi? Perlukah dia bertemu
dengan ibu dan tok mak setelah kedua insan yang disayanginya itu meminggirkan
dirinya? Perlukah dia mengungkit kembali peristiwa pahit yang telah cuba
dibuang jauh-jauh dari hidupnya selama ini? Bertubi-tubi soalan yang berlegar
di fikirannya kini. Matanya dipejamkan.
“Kish…
baliklah. Akak rindu sangat dekat Kish. Sampai bila Kish tak nak balik? Kish
tak rindukan akak ke?” Suaranya sengaja dilirihkan. Mahu meraih simpati si
adik. Dia cukup yakin hati adiknya itu akan lembut. Dia kenal sangat dengan
perangai Balkish yang satu itu.
Balkish
menarik nafas. Kemudian dihela perlahan-lahan. Susah betul bila terpaksa
membuat pilihan. Antara kehendak diri dengan permintaan orang yang disayangi.
“Kish…”
panggil Batrisya panjang bila Balkish mendiamkan diri. Dia tahu Balkish pasti
sedang berperang dengan perasan sendiri.
Balkish
menggigit bibir.
“Baiklah,
kak. Hujung minggu ni Kish balik. Kish pun rindu sangat dekat akak.” Akhirnya
Balkish mengalah. Kerana rasa rindunya pada si kakak membuatkan dia memilih
untuk kembali lagi ke rumah yang sudah lama ditinggalkan. Takpelah… biarlah dia
mengalah demi kasih sayangnya pada Batrisya. Lagipun hanya Batrisya tempat dia
menumpang kasih selama ini. Tanpa Batrisya, pasti dia tidak punya sesiapa di
sini.
“Macam
tulah adik, akak.” Suara Batrisya sudah kembali ceria. Gembira betul rasa
hatinya bila Balkish memberi persetujuan untuk balik ke kampung. Tidak sabar
rasanya hendak bertemu dengan adiknya itu.
Dengar
suara Batrisya yang ceria itu membuatkan senyuman segaris terbit dari bibir
comel Balkish. Dia akan berasa bahagia andai kakaknya itu gembira. Disebabkan
itulah dia rela mengorbankan perasaannya demi kebahagian Batrisya.
“Okeylah… Kish pergilah masuk tidur. Esok
nak kerja lagi kan? Nantilah Kish balik sini kita sembang panjang-panjang. Tak
tidur satu malam pun takpe. Akak dah
tak sabar nak kongsi banyak cerita dengan Kish. Good night and sweet dream, dik. Assalammualaikum…”
“Walaikumsalam,
Kak Risya.” Balas Balkish. Setelah itu talian pun terputus.
Satu
keluhan keluar dari mulut Balkish. Entah kenapa hatinya tiba-tiba menjadi sayu
untuk kembali lagi ke rumah itu. Bayangan wajah ibu dan tok mak menerja ke
ruang minda. Bagaimana agaknya penerimaan ibu dan tok mak jika dia balik ke
rumah itu lagi? Gembirakah kedua insan itu menyambut kepulangannya yang telah
sekian lama menyepi diri itu?
Ahhh…
tak usah nak beranganlah Kish. Takde maknanya ibu dengan tok mak akan gembira
sambut kepulangan kau. Kalau kau takde pun, ibu dengan tok mak tak akan kisa.
Siapa kau yang nak beri kegembiraan dalam hidup mereka?! Ada satu suara datang
berbisik. Menusuk seolah-olah memusnahkan keinginan Balkish untuk kembali ke
pangkuan keluarga.
Sekali
lagi Balkish mengeluh. Keluhan yang teramat berat.
“Apesal mengeluh ni?” sapa Aleya. Kerusi
kosong di hadapan Balkish ditarik keluar. Wajah monyok sahabatnya itu
dipandang.
“Saper yang call?” tanya Aleya kembali.
“Kak
Risya.” Jawab Balkish pendek.
“Kak
Risya?” berkerut dahi Aleya mengulangi nama itu.
Balkish
sekadar mengangguk lemah. Wajahnya kelihatan sugul. Tidak seceria tadi. Pelik
sungguh Aleya melihat wajah sahabatnya itu. Biasanya jika Batrisya yang menelefon
Balkish pasti berwajah ceria. Maklumlah… Balkish dengan Batrisya ni memang
rapat. Dulu waktu ayahnya masih bekerja sebagai pemandu ibu Balkish, Puan
Badariah, dia selalu lihat Balkish dan Batrisya bersama-sama. Dah serupa
belangkas. Bila Batrisya melanjutkan pengajian ke oversea, barulah Balkish dengan Aleya menjadi rapat. Itu pun
gara-gara kejadian menyayat hati itu. kejadian Balkish keluar dari rumah lalu
tinggal bersama keluarga Aleya di Kuantan.
“Pelik
betullah. Selalunya kalau Kak Risya yang call
kau mesti tersenyum lebar sampai ke telinga. Happy bukan main. Tapi malam ni… monyok macam tikus mondok pulak.”
Selamba Aleya menutur kata.
Balkish
tersenyum segaris mendengar persamaan yang Aleya ajukkan untuknya. Hisy… Aleya ni! Cubalah cari binatang
yang kiut sikit untuk disamakan dengan aku ni. Bunny ke? Kitten ke? Tweety ke? Kan comel. Ini tidak… tikus
mondok jugak yang menjadi pilihan hatinya. Macamlah dia tak tahu yang aku
memang anti binatang betul dengan spesis tikus dan hamster ni. Hisy… geli-geleman aku nengoknye!
Melihat
senyuman segaris pada bibir Balkish membuatkan Aleya tersenyum lebar. Biarpun
hanya segaris, namun itu sudah cukup melegakan hatinya.
“Apa
yang Kak Risya cakap sampai muka kau jadi macam ni?” tanya Aleya. Mahu juga dia
menyibuk.
Balkish
menghela nafas.
“Kak
Risya suruh aku balik JB hujung minggu ni. Kebetulan isnin dan selasa kan cuti
sempena Chinese new year. Jadi cuti
kita panjang. Itu yang dia suruh aku balik.” Beritahu Balkish. Sebenarnya dia
dengan Aleya baru aje bercadang nak balik ke Segamat hari jumaat ni selepas
waktu pejabat. Dah lama tak jumpa keluarga sahabatnya itu di sana. Berita itu
juga sudah dimaklumkan kepada Mak Aminah. Bukan main gembira lagi Mak Aminah
bila Aleya memberitahu dia akan pulang bersama Balkish untuk cuti panjang kali
ini. Ella pun ikut sekali. Maklumlah… Ella kan sebatang kara. Takde ayah, takde ibu. Ella membesar pun dekat rumah anak-anak yatim di Rumah Seri
Raudhah.
Aleya
sudah mengerutkan lagi dahinya.
“Laaa…
bukan Kak Risya tu ada kat UK ke? Yang dia suruh kau balik JB apesal pulak?”
“Kak
Risya dah balik JB la, Leya. Dia dah habis studi.”
“Owhhh… ye ke? Hurmmm… tak sangka
cepat betul masa berlalu, kan. Tak sedar yang Kak Risya dah habiskan studi dia
dekat UK tu.” Ujar Aleya.
Balkish
hanya mengangguk. Bersetuju dengan kata-kata Aleya itu. Dia sebenarnya langsung
tak sedar yang kakaknya itu sudah habis belajar. Lima tahun Batrisya berada di
UK, masa langsung tak terasa.
“Habis
tu kau baliklah hujung minggu ni?”
Balkish
angkat bahu. Memang tadi dia sudah berjanji dengan Batrisya yang dia akan
balik. Tapi… bila dia memikirkan penerimaan ibu dengan tok mak, hatinya rasa
tawar hendak balik ke JB. Lagipun kan dia sudah berjanji akan balik ke Segamat
bersama Aleya dan Ella. Nanti apa pulak kata Mak Aminah kalau dia tak balik
bersama Aleya? Tentu wanita itu akan berkecil hati.
“Hey… apasal ni?” tanya Aleya bila wajah
Balkish kembali muram.
“Aku
tak sure la nak balik Leya. Aku takut
ibu dengan tok mak tak sudi nak terima kepulangan aku. Kau pun tahukan ibu
dengan tok mak tak pernah sukakan aku. Aku takut kepulangan aku nanti akan
menambah luka dalam hati mereka.”
Jemari
Balkish dicapai. Lalu dielus perlahan. Simpati pula Aleya melihat Balkish yang
sudah berwajah muram itu. Dia cukup yakin Balkish kini pasti di dalam delima.
Bukannya dia tidak tahu apa yang telah terjadi ke atas Balkish setelah Batrisya
berangkat semula ke UK selepas majlis perkahwinan wanita itu. Hajah Bedah telah
menghalau Balkish keluar dari banglo dua tingkat itu. Mujurlah ayah Aleya masih
bekerja sebagai pemandu Hajah Bedah ketika itu. Ayah Aleyalah yang telah
membawa Balkish tinggal bersama mereka sekeluarga. Sejak itu hubungan Aleya dan
Balkish menjadi erat seperti adik-beradik. Apatah lagi mereka berdua seusia.
Sentuhan
jemari Aleya dibalas oleh Balkish. Jika boleh dia tak mahu menangis lagi.
“Aku
faham perasaan kau, Kish. Tapi kau tak boleh nak menghindar berkali-kali. Apa
pun kau dengan Kak Risya masih mempunyai satu darah yang sama. Lagipun Kak
Risya tu sayang sangat dekat kau. Kau baliklah. Kau balik pun bukan sebab ibu
dengan tok mak kau, tapi sebab Kak Risya. Pasal emak di kampung, kau jangan
risau sangat. Emak pasti faham. Nanti aku pandai-pandailah terangkan dekat
emak.” Pujuk Aleya. Bibirnya tersungging senyuman manis.
Balkish
menghela nafas lagi. Lambat-lambat dia mengangguk.
“Macam
itulah. Alaaa… Kish, kau buat tak tahu ajelah
dengan sikap ibu dan tok mak kau tu.”
Balkish
mengukir senyuman paksa. Mampukah untuk dia buat tak tahu saja dengan layanan
ibu dan tok mak bila dia berada di kampungnya nanti? Entahlah… dia sendiri tak
pasti. Cuma apa yang dia cukup yakin, hatinya pasti akan terguris lagi dek
kata-kata kesat tok mak. Iye la… tok mak kan memang tak pernah sukakan Balkish
sejak dari dulu lagi. Pasti kepulangannya nanti suatu yang amat dibenci oleh
tok mak.
“Thanks Leya. Kau banyak sangat bagi aku
dorongan. Kau dengan family kau dah
banyak sangat tolong aku selama ni. Jasa korang sekeluarga tak dapat aku nak
balas.”
“Alaaa…
janganlah cakap macam tu. Aku dah anggap kau tu macam kakak aku. Takde hallah. Lagipun ayah dengan emak
memang dah anggap kau macam anak mereka sendiri.”
Amboi
si Aleya ni! Susah sangat nak mengaku yang dia tu ‘kakak’ dari Balkish. Asyik-asyik
Balkish juga yang kakak. Sepatutnya Aleyalah yang layak digelar kakak. Iye la…
Balkish lahir bulan Jun manakala Aleya pula lahir bulan Januari. Dah sah-sahlah
dia tu kakak dari Balkish. Lagi tak mahu mengaku. Husy… Nak jadi adik aje…… Perasan sangat yang dia tu masih
muda remaja.
******************************************************************************
IPHONE
4s bewarna putih itu diletakkan semula ke tempat asalnya. Senyuman dibibir
berkembang dengan begitu mekar sekali. Mana tidaknya, rasa rindu pada adik
tersayang sudah dapat dilepaskan selepas bersembang dengan si adik. Kini dia
hanya menghitung hari menanti kepulangan adiknya itu sahaja lagi.
Batrisya
berpaling ke arah katil. Nampaknya suami kesayangannya itu masih leka membaca
buku tebal berkaitan dengan undang-undang. Eidham memang macam itu. Kalau buku
yang berkaitan dengan undang-undang saja pasti tumpuannya tak akan berganjak ke
arah lain. Itu yang kekadang buat Batrisya sakit hati.
Perlahan
Batrisya melangkah menghampiri suaminya. Punggungnya dihenyak atas tilam. Wajah
suami tersayang dipandang penuh rasa cinta. Cinta yang tak pernah berkurangan.
“Hujung
minggu ni Kish balik kampung. Sayang dah tak sabar nak jumpa Kish, bang. Dah
lama sangat tak berbual dengan Kish.” Beritahu Batrisya tanpa dipinta. Bukan
main ceria lagi wajahnya ketika menuturkan ayat itu.
Eidham
hanya mendiamkan diri. Langsung tidak memberi sebarang tindak balas. Butir
bicara isterinya dibiarkan begitu sahaja. Macam angin lalu.
“Selama
ni… kalau sayang rindu nak tengok wajah Kish, kami cuma bersembang secara online kat FB guna webcam aje. Itu pun tak jelas sangat.
Samar-samar. Tengok gambar Kish dalam FB pun tak puas hati sangat. Kali ni Kish
balik dapatlah sembang puas-puas dengan Kish. Tak sabar sungguh rasa hati ni.”
Luah Batrisya dengan bersungguh-sungguh.
Eidham
masih mendiamkan diri. Membiarkan isterinya berbicara sendirian. Mata dan
tumpuannya masih lagi kepada buku tebal yang berada di tangan. Banyak
fakta-fakta menarik yang boleh diguna pakai untuk mengendalikan sesuatu kes
perbicaraan.
Melihat
suaminya yang langsung tidak memberi sebarang respon itu memaksa Batrisya
mengerling Eidham. Kemudian bibirnya diketap. Eidham ni kalau sudah jumpa buku
berkaitan dengan undang-undang memang tak akan peduli apa-apa. Bosan betul!
Tanpa berfikir panjang laju sahaja dia merampas buku tebal itu dari genggaman
suaminya. Tersentak Eidham dengan perbuatan isterinya itu. wajah Batrisya
dipandang.
“Abang
macam ni la… kalau dah jumpa dengan buku kegemaran abang ni, langsung tak
pedulikan sayang. Apa yang sayang cakap, abang buat tak tahu aje. Macamlah sayang ni cakap dengan
anak patung. Sayang cakap dengan abang tau. Boleh tak abang bagi perhatian sikit.”
Dengus Batrisya. Geram betul dia dengan sikap acuh tak acuh Eidham terhadapnya
itu. Sikap Eidham yang sebegitulah membuatkan dia berkecil hati dengan suaminya
itu. Sewaktu mereka mula-mula berkahwin dulu, Eidham tidak pernah melayannya
sebegini. Namun sekarang, Eidham sudah berubah walaupun perubahannya tidak
seratus-peratus.
Bibir
Batrisya sudah memuncung. Tangannya disilangkan ke dada. Wajahnya mencuka. Ini
membuatkan Eidham tertawa kecil. Sepantas itu juga Batrisya mengerling wajah
suaminya yang sudah tertawa itu melalui ekor mata.
“Yang
abang gelak tu, kenapa? Sayang serius tau. Abang dah berubah sejak akhir-akhir
ni. Langsung tak pedulikan sayang lagi.” Luah Batrisya. Nadanya kedengaran
sayu. Sedaya upaya dia cuba mengawal perasaan yang mula bergolak disebabkan
sikap orang yang tersayang.
Eidham
tersenyum. Kedudukan badannya diperbetulkan. Lantas dia merangkul erat bahu
isteri tersayang. Dia tahu sikapnya itu membuatkan Batrisya terasa hati. Namun
kasih dan sayangnya pada Batrisya masih seperti dulu.
“Sorry…” Pinta Eidham. Bibirnya mendarat
mencium bahu Batrisya yang masih berwajah masam.
“Dahlah…
sayang nak keluar. Abang tidurlah dulu.” Ada nada rajuk yang mula kedengaran.
Kecil benar hati Batrisya dengan layanan suaminya itu sejak kebelakangan ini. Kehadirannya
seolah-olah tidak dipeduli lagi.
Belum
pun sempat kakinya hendak mencecah lantai, Eidham terlebih dahulu bertindak
pantas. Pergelangan tangan Batrisya ditarik sehingga wanita itu tidak sempat
mengimbangi tubuhnya lalu jatuh ke dada bidang Eidham. Sepantas itu juga dia
memeluk erat tubuh Batrisya yang sudah berada atas tubuhnya.
“Apa
abang ni?” Bentak Batrisya. Terkejut dengan tindakan yang tidak disangka
suaminya itu. Dadanya mula berdebar hebat. Renungan mata Eidham membuatkan dia
membuang pandangan ke arah lain.
Eidham
tersenyum lebar. Inilah salah satu sikap Batrisya yang buat dia sukakan wanita
itu. Biarpun mereka sudah tiga tahun bergelar suami isteri, namun sikap pemalu
Batrisya terhadapnya masih lagi menebal.
“Abang
tak nak tidur sorang diri. Sayang temankan abang tidur ya?” ujar Eidham.
Sengaja mahu mengusik si isteri yang sudah kemerah-merahan wajahnya.
Batrisya
mengetap bibir. Segan dengan kata-kata suaminya itu. Dan belum pun sempat dia
berbuat apa-apa, bibir Eidham sudah pun mendarat mendapatkan bibirnya. Lantas
jemari nakal suaminya itu mula memainkan peranan. Membawa Batrisya ke bahtera
rumah tangga yang sudah jarang mereka layari bersama sejak kebelakangan ini.
******************************************************************************
MATANYA
masih merenung kipas yang ligat berputar. Permintaan Batrisya yang mahu dia
balik hujung minggu ini masih berlegar di kotak fikiran. Hatinya berbelah
bahagi. Sama ada mahu balik atau pun tidak. Jika dia balik, hatinya pasti akan
terguris lagi. Namun bila dia tak balik, tentu Batrisya akan kecewa dengannya.
Balkish
melepaskan keluhan. Kenangan lama itu mula terimbau kembali. Kata-kata tok mak
sayup-sayup menerja masuk ke cuping telinganya. Kata-kata yang tak mungkin dia
akan lupakan sampai bila-bila.
“Kau
bukan cucu aku!!!” jerkah tok mak dengan kasar. Tanpa belas kasihan tok mak
menolak tubuh kurus Balkish sehingga membuatkan dia tersungkur jatuh ke lantai.
“Apa
tok mak cakap ni? Kish kan anak ibu jugak. Kish pun cucu tok mak.” Balkish
sudah mula teresak. Berkecai hatinya mendengar kata-kata yang meluncur keluar
dari mulut tok mak itu.
Dengan
sinis tok mak mengerling.
“Sampai
bila-bila pun aku tak akan mengaku kau cucu aku. Kau bukan cucu aku. Aku tak
pernah anggap kau sebagai cucu. Darah yang mengalir dalam tubuh kau tu tak sama
dengan darah yang ada dalam badan aku” angkuh sekali tok mak bersuara.
“Tapi
kan Kish ni anak ibu.” Balkish masih mahu bersuara. Wajah ibu yang sudah
terduduk di atas sofa dipandang. Namun tiada tindak balas yang diberikan. Ibu
hanya mendiamkan diri tanpa kata.
Tiba-tiba
tok mak ketawa besar. Kata-kata Balkish itu terasa kelakar pada pendengarannya.
Serentak itu juga dia memegang pergelangan tangan Balkish dengan kasar.
Kemudian dia mengheret Balkish datang dekat ke arah menantunya yang duduk tidak
jauh dari situ.
“Kau
tengok wanita yang kau panggil ibu ini? Wajah kau dengan dia samakah? Untuk
pengetahuan kau… wanita ini bukan ibu kandung kau. Ibu kandung kau yang sebenar
dah lama mati! Ibu kandung kau tu perempuan tak tahu malu yang telah merosakkan
kebahagian wanita ini. Kau faham, tak?!” dengan lancing tok mak bersuara.
Balkish
terkedu. Dia merapati ibunya. Kaki ibu dipegang. Wajah ibu yang langsung tak
memandang wajahnya itu dipandang.
“Bu…
benarkah apa yang tok mak cakap? Kish ni bukan anak ibu ke? Bu… cakaplah ini
semua tak benar. Cakaplah yang Kish anak ibu.” Sayu Balkish meminta kepastian.
Merayu pada ibu agar apa yang diperkatakan oleh tok mak suatu yang tidak benar.
Tiada
sepatah kata yang keluar dari bibir Hajah Badariah. Dia hanya mendiamkan diri.
Air matanya juga sudah mengalir. Bukan mengalir kerana simpatikan Balkish,
tetapi mengalir kerana mengenangkan kisah lalu.
“Bu…
cakaplah.” Desak Balkish. Kaki ibu digoyang-goyangkan. Memaksa ibu untuk
berterus-terang.
Hajah
Badariah memejam rapat matanya. Menahan pelbagai perasaan yang mula menjalar.
“Memang
benar apa yang tok mak cakap. Kish bukan anak kandung ibu. Ibu kandung Kish
yang sebenar dah lama meninggal dunia.” Akhirnya Hajah Badariah bersuara juga.
“Tapi
kan dalam sijil kelahiran Kish nama ibu Kish Badariah. Kan nama ibu Badariah.”
“Nama
sebenar ibu kandung Kish adalah Kiran. Nama islamnya Badariah. Kish memang
bukan anak kandung ibu.” Selesai berkata sebegitu, Hajah Badariah bangun dari
duduknya. Pantas dia berlalu naik ke tingkat atas.
Tangisan
Balkish sudah pecah mendengar kenyatan itu. Betapa pedihnya kenyataan yang baru
diketahuinya itu. Kenapa selama ini dia tak pernah tahu yang dia bukan anak
kandung Hajah Badariah. Padanlah selama ini ibu tak pernah menunjukkan rasa sayang
padanya. Rupanya dia bukan anak kandung ibu.
“Sekarang
kau dah tahu asal usul kau yang sebenar. Jadi mulai saat ini kau jangan nak
memandai-mandai lagi. Selama ini aku bersabar dengan kau disebabkan Batrisya
dan Badariah. Jika bukan sebab Risya terlalu sayangkan kau, dah lama aku
bagitau kau hal yang sebenar. Aku benci tengok kau. Wajah kau mengingatkan aku
pada perempuan yang telah memusnahkan rumah tangga anak dan menantu aku.”
Lancar tok mak bersuara lagi. Menambahkan kelukaan dalam hati Balkish.
Saat
ini, Balkish teramat rindukan Batrisya. Kalaulah Batrisya ada… tentu kakaknya
itu sudi berkongsi kesedihan ini dengannya. Dan malam itu juga Balkish keluar
dari banglo itu. Ibu langsung tidak melarang. Tok mak apatah lagi. Dengan
angkuh tok mak membuang pandangannya kala Balkish mengheret beg besar keluar
malam itu.
Bersambung....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan