W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Ahad, 19 Mei 2013

3 MAWAR MERAH3





Tiga
Mawar merah
**3**

TEKUN sekali Hakimie membelek majalah di tangan. Siaran berita yang ke udara langsung tidak menarik minatnya. Bukannya dia tidak suka melihat berita, cuma sejak kebelakangan ini berita-berita di Malaysia ini lebih banyak berbicara soal politik. Dan dia bukanlah seorang yang terlalu obses soal politik ini. Daripada terlalu mengikuti perihal politik yang tak akan ada surutnya, baik dia membelek majalah berkaitan dengan design terbaharu rumah-rumah di luar Negara. Boleh juga dijadikan ilham untuk projek terbaharu Star Properties Snd Bhd nanti. Bukannya copy-paste hasil idea orang lain, cuma menginginkan ilham untuk menambahbaik lagi hasil lukisan pelan di syarikat.
Dr. Haji Helmie yang duduk di sofa berhadapan dengan anaknya hanya memerhati gelagat Hakimie. Sejak anak lelaki tunggalnya itu balik dari New York, belum pernah dia melihat Hakimie keluar ke mana-mana di waktu malam. Aktiviti harian anaknya itu hanya rumah dan pejabat sahaja. Jika tiada di rumah, di pejabatlah Hakimie berada. Dia sudah masak benar dengan aktiviti harian Hakimie.
Walaupun anak lelakinya itu tidak tinggal bersama dia kerana Hakimie lebih suka duduk sendiri, namun dia sudah faham benar dengan perangai anak bujangnya yang seorang itu. Hakimie bukan anak jenis suka menjelma jadi ‘Batman’ di malam hari. Hakimie lagi suka duduk di rumah dan menghabiskan masa dengan melukis pelan-pelan untuk mengisi masa malamnya itu.
Sebagai seorang bapa bukannya dia tak suka Hakimie duduk di rumah malam-malam begini. Sejujurnya dia gembira bila anaknya, Hakimie tidak terlalu melibatkan diri dalam aktiviti sosial di luar sana. Tidak seperti anak-anak muda zaman sekarang yang suka menghabiskan masa malam mereka ke kelab malam dan lepak-lepak di gerai makan mamak. Hakimie bukan anak seperti itu. Dia tidak gemar aktiviti di luar rumah pada waktu malam meskipun dia bebas melakukan itu kerana dia tidak tinggal bersama papanya.
Alhamdulillah… walaupun tidak dibesarkan dengan didikan daripada seorang mama, namun Hakimie tetap menjadi anak yang soleh. Dia amat berterima kasih pada adiknya, Datin Hajah Ainon yang telah berjaya mendidik anaknya ini menjadi insan yang berguna kala dia sibuk dengan kerjanya sebagai seorang doktor di hospital kerajaan suatu ketika dulu.
Namun, keadaan Hakimie yang terlalu menyibukkan diri pada kerja membuatkan dia sedikit risau. Sepatutnya Hakimie memberi ruang dalam dirinya sendiri untuk bersosial bersama teman-temannyadi luar sana. Bukanlah keluar hingga masuk ke kelab-kelab malam. Tetapi cukuplah sekadar duduk bersembang sekejap di gerai-gerai makan sahaja. Tidak pun, keluar beriadah di hujung minggu. Ini tidak. Anaknya itu seolah-olah tiada masa untuk semua itu.
Lagipun, sampai bila Hakimie perlu hidup dengan kerja, kerja, kerja. Dalam usia yang sudah menjangkau dua puluh lapan tahun, sepatutnya Hakimie sudah boleh memikirkan soal kahwin. Tidak pun soal teman wanita. Ini tidak… anaknya itu seolah-olah tiada masa memikirkan masa depan dirinya sendiri. Terlalu sibuk dengan urusan kerjanya sahaja.
Sebuah lagi keluhan terlahir pada bibir Dr. Haji Helmie. Pening kepalanya memikirkan perihal satu-satu anak lelakinya itu. Itu baru seorang, jika dia punya sepuluh anak yang perangai sama macam Hakimie, entah-entah dia sudah diserang penyakit darah tinggi agaknya.
Hakimie angkat kepala. Memandang papanya yang tidak sudah-sudah mengeluh sejak dari tadi. Entah apa yang dikeluhkan oleh papanya itu. kedengaran berat sekali bunyinya.
“Pa… kenapa ni? Asyik mengeluh aje Kimie dengar. Papa ada masalah ke dekat klinik tu?” Soal Hakimie ingin tahu. Majalah di tangan ditutup dan dibiarkan berada di atas riba. Tumpuannya kini tertumpuh pada papanya.
Dr. Haji Helmie menghela nafas. Sedar pula anaknya itu yang dia asyik mengeluh sejak dari tadi. Ingatkan, Hakimie sudah ‘hanyut’ sangat dengan majalah kegemarannya itu.
“Hakimie ni bila lagi nak kahwin? Takkan nak membujang sampai ke tua pulak? Papa ni dah tua Kimie. Bila-bila masa sahaja ALLAH akan ambil papa untuk kembali ke pangkuan-NYA. Sebelum papa menutup mata, papa teringin sangat tengok Kimie berumah tangga. Ada isteri dan anak-anak.”
Itu dia! Tanpa mukadimah, tanpa salam, Dr. Haji Helmie terus kepada isinya sahaja. Sudah malas hendak pusing-pusing taman bunga. Baik dia terus bertanya soalan yang berlegar di kepala otaknya ketika ini.
Giliran Hakimie menghela nafas. Ini yang menyebabkan dia jarang balik ke rumah sejak kebelakangan ini. Papa suka sangat bercakap soal nikah-kahwin sekarang. Sikit-sikit nak tanya soalan yang sama.
“Papa janganlah cakap macam tu. Kimie selalu doakan papa panjang umur dan diberi kesihatan yang baik.”
“Itu papa tahu, tapi papa ni dah tua Kimie. Bila-bila saja akan pergi. Sebelum tu… papa pun mahu juga lihat Kimie berkahwin. Punya keluarga sendiri. Papa pun teringin nak bergurau dan bermain dengan cucu-cucu papa. Tengok rakan-rakan sebaya dengan papa, kebanyakannya sudah ada cucu-cucu mereka sendiri untuk diajak bermain. Tapi papa… tiada sesiapa pun untuk diajak berhibur.”
Besar sungguh impian Dr. Haji Helmie mahu melihat anak lelakinya itu mendirikan rumah tangga. Dia terlalu mengharapkan keadaan di rumah ini berubah dengan kehadiran menantu dan cucu-cucunya.
Nak harapkan siapa lagi kalau bukan Hakimie. Dia bukannya ada anak lain selain daripada Hakimie. Hanya anaknya itu sahaja ‘harta’ yang dia miliki. Jika boleh, dia mahu melihat Hakimie berkahwin sebelum dia menutup mata. Lagipun, dalam usia yang sudah menjangkau dua puluh lapan tahun itu, sudah terlalu eloklah jika Hakimie mendirikan rumah tangga. Bukannya asyik sibuk dengan urusan kerja dua puluh empat jam.
“Bukan Kimie tak nak kahwin pa, cuma… belum sampai waktunya lagi untuk Kimie mendirikan rumah tangga. Kimie masih belum bersedia.”
Dr. Haji Helmie mengeluh lagi. Hakimie bila disoal soalan kahwin, pasti itu sajalah jawapannya. Belum sampai waktu dan belum bersedia.
“Sampai bila nak tunggu sampai waktunya kalau Kimie langsung tak nak buka hati tu untuk mana-mana perempuan. Papa kenalkan Kimie dengan beberapa orang anak perempuan teman-teman papa, tapi… semua Kimie tak berkenan. Kata tak sepadan dan tak serasi. Papa sendiri tak tahu perempuan macam mana lagi yang Kimie nak cari untuk dijadikan pasangan hidup. Sedangkan anak-anak kawan-kawan papa tu tak kurang juga hebatnya, cantik dan sopan. Kimie tu saja yang selalu bagi alasan macam-macam untuk mengelak.” Bukan sekali dua dia memperkenalkan Hakimie dengan anak teman-temannya, namun semua ditolak mentah-mentah oleh anak bujangnya itu. Bermacam alasan yang Hakimie beri.
Hakimie hanya mampu berdiam. Bila bab nikah-kahwin ini dikeudarakan, memang dia tak banyak menjawab. Sebenarnya dia rimas membicarakan topik ini. Tapi dia tak mahulah papanya terasa hati bila dia menyuarakan kerimasannya itu. Mahu dengan tidak, kenalah dia menadah telinga mendengar saja omongan papanya.
“Kalau Kimie kecewa disebabkan Eriza, papa rasa Kimie tak patut hukum diri sendiri disebabkan kekecewaan masa lalu. Bukan jodoh Kimie dengan Eriza. Sepatutnya Kimie pasrah menerima ketentuan Ilahi.” Dr. Haji Helmie menambah. Sejak anaknya itu putus tunang dengan Eriza tiga tahun lalu, perangai Hakimie juga sudah berubah. Hakimie seolah-olah menjauhkan diri daripada jatuh cinta sekali lagi. Anaknya itu seolah-olah sudah kurang keyakinan dengan kaum Hawa.
Inilah yang Hakimie bosan bila papa sudah mengutarakan soal kahwin. Pasti akan timbul juga soal Eriza. Gadis yang pernah menjadi tunangannya. Gadis yang pernah dicintai sepenuh jiwanya. Namun, gadis itu juga yang telah melukakan hatinya bila memutuskan pertunangan mereka di saat-saat mereka hampir menuju ke gerbang perkahwinan.
Benar dia kecewa sangat dengan perbuatan Eriza yang begitu tegar memutuskan pertunangan mereka kerana mengejar cinta lelaki lain. Namun dia sudah dapat menerima hakikat perpisahannya dengan Eriza. Malah dia sudah tidak menaruh apa-apa harapan lagi pada gadis itu untuk kembali kepadanya. Baginya, Eriza sama saja dengan perempuan lain yang suka bermain dengan cinta. Dia sedar, jodohnya bukan bersama Eriza Tan Sri Khalid.
Cuma itulah… kekecewaan itu membuatkan dia kurang percaya pada kaum Hawa sekali lagi. Baginya, wanita umpama mawar berduri. Nampak cantik dan harum, namun durinya cukup tajam hingga membuatkan sesetengah manusia terluka. Jika sebelum ini dia memang pernah fobia pada wanita, tapi kehadiran Eriza menyuntik semangat baru dalam hidupnya. Eriza begitu bermakna buat dia. Tapi… akhirnya gadis itu juga telah mengkhianatinya. Membuatkan dia serik dengan insan bergelar wanita.
“Papa bukan nak paksa Kimie untuk berkahwin dalam masa terdekat ini. Papa cuma mahu Kimie beri ruang kepada diri sendiri untuk bercinta sekali lagi. Jangan kerana kekecewaan masa lalu, Kimie dah serik untuk bercinta lagi. Bukan semua wanita itu sama perangainya, Kimie. Cubalah beri ruang itu untuk Kimie mengenali hati budi mereka. Jangan jadikan kenangan lalu punca Kimie menolak cinta dalam hati Kimie tu.” Sambung Dr. Haji Helmie lagi. Cuba menyuntik kata-kata semangat buat anaknya.
Hakimie tertawa kecil. Kata-kata papanya itu kedengaran lucu pula pada cuping telinganya. Papa kalau bagi nasihat memang pandai. Dia suka mendengar segala nasihat papanya tapi… nasihat papa tentang perempuan kedengaran lucu pula pada dia.
Bukannya papa tak boleh nak bagi nasihat berkaitan dengan cinta, rumah tangga dan wanita. Cuma… kelakar! Itu saja jawapan yang dia ada.
“Aik… ketawa pulak dia. Papa tengah serius ni, Kimie boleh pulak ketawakan papa.” Tungkas Dr. Haji Helmie bila anaknya itu sudah mula ketawa-ketawa.
Anaknya itu begitulah, jika diajak berbicara soal nikah-kahwin ini bukannya mahu ambil serius. Malah dia pula yang ditertawakan. Entah apa yang kelakar sangat pada nasihatnya itu.
“Macam manalah Kimie tak ketawa. Papa ni pandai sangat nak suruh Kimie kahwin. Tapi papa tu… sampai sekarang ni masih menduda jugak. Langsung tak nak buka pintu hati papa tu dekat sesiapa. Kalau Kimie yang kahwin dulu, tu langkah bendul namanya, pa. Kimie tak naklah langkah bendul pulak. Sebagai anak dan lagi muda daripada papa, biarlah Kimie mengalah. Biarlah papa yang nikah dulu sebelum Kimie.” Sambil berkata, bibir Hakimie tersungging senyuman nakal. Hatinya rasa digeletik rasa suka dapat mengusik papanya.
“Tu hah… Mak Cik Siti dah lama sangat menunggu papa. Papa saja yang buat tak layan. Kesian Kimie tengok Mak Cik Siti tu. Setia benar nampaknya dia dekat papa.” Sambung Hakimie lagi bersama gelak tawanya yang sudah pecah.
Sememangnya itulah kenyataan. Papanya pandai-pandai hendak menyuruh dia mendirikan rumah tangga. Namun, papanya sendiri sampai sekarang ini masih terus menduda sejak berpisah dengan mamanya. Bukannya tiada perempuan yang cuba mengorat papanya, tapi papanya saja yang tak nak melayan. Mak Cik Siti, jiran mereka sewaktu di rumah lama dulu sudah lama menaruh hati pada papanya. Cuma papanya saja yang buat tidak tahu. Buat tidak kisah pada perasaan Mak Cik Siti. Kasihan Mak Cik Siti. Sampai mereka berpindah ke rumah baharu ini, papa tetap tidak membalas cinta Mak Cik Siti.
Dr. Haji Helmie mengetap bibir. Inilah yang dia malas hendak berbicara soal nikah-kahwin dengan Hakimie. Pasti anak itu akan memulangkan paku buah keras kepadanya semula.
“Papa lain Kimie. Papa ni dah tua. Dah tak layak nak fikir soal nikah-kahwin ni lagi. Yang penting, tumpuhkan perhatian pada amal ibadah dan dekatkan diri pada ALLAH. Soal kahwin ni dah tak termasuk dalam senarai.”
“Tua-tua papa pun… masih laku jugak. Papa tu aje yang selalu nak jual mahal.”
Itulah hakikatnya. Papanya biar sudah berusia, tapi masih ramai juga yang hendak mengorat papanya itu. Cuma… papanya tidak pernah melayan. Bukannya dia tak tahu senarai peminat-peminat papanya itu. Waktu dia kecil dulu pun, cikgu kelasnya Cikgu Saripah minat giler-giler dekat papanya. Tapi papa buat ‘dek’ aje. Sampaikan Cikgu Saripah berputus asa nak pikat hati papa.
Dr. Haji Helmie hanya mampu menggeleng. Itulah dia Muhammad Hakimie. Anak lelakinya yang terlalu bijak mengelak bila diajak berbicara soal perkahwinan. Alih-alih, dia pula yang terkena.
“Bercakap dengan Kimie ni… memang takde kesudahannya. Ada saja modal nak menjawab. Dahlah… papa nak masuk tidur. Esok pagi papa dah janji dengan kawan nak keluar berjoging bersama.”
“Kawan? Hah… ini mesti perempuan kan? Bakal mak tiri Kimie ke? Papa ni baru aje pindah kat sini pun dah ada kawan ye.” Galak Hakimie mengiat papanya yang sudah bangun dari duduk. Bersedia untuk naik ke atas.
“Bakal mak tiri apanya? Kawan papa tu lelaki. Jiran kita yang tinggal kat sebelah ni ha. Tu la kamu… jarang sangat balik rumah sampaikan jiran yang duk sebelah rumah kita ni pun Kimie tak kenal.” Dr.Haji Helmie menggumam.
Mereka anak-beranak memang masih baru tinggal di sini. Baru tiga bulan. Rumah ini adalah rumah yang dibeli daripada seorang kawan. Rumah lama yang terletak di Taman Seri Jaya telah disewakan kepada orang lain.
Hakimie tidak menjawab. Dia hanya ketawa saja.
“Kimie pula jangan tidur lewat sangat. Fikir-fikirkanlah apa yang papa cakapkan tadi. Untuk kebaikan Kimie jugak. Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam, pa. Sweet dreams, pa. Jangan lupa mimpikan Mak Cik Siti ya.” Ucap Hakimie sambil masih lagi terus mengusik.
Dr. Haji Helmie menggeleng-geleng. Nakal benar anaknya itu. Sempat juga mahu mengusik dirinya ini. Alahai… dengan Puan Siti si janda beranak lima itu pulak tu.
Setelah kelibat papanya tidak kelihatan, Hakimie menghela nafas lega. Mujurlah dia pandai mengelak daripada terus diasak dengan soalan nikah-kahwin daripada papanya sebentar tadi. Sudahlah dia memang tidak suka mendengar persoalan itu. Papanya pula suka bangkitkan hal itu depan dia.
“Bosan!” tungkas Hakimie.
Bukannya dia anti-wanita. Cuma… kenangan-kenangan lalu membuatkan dia seolah-olah alergik dengan wanita. Rumah tangga papanya yang berkecai dan pertunangannya yang terputus ditengah jalan membuatkan dia fobia untuk menyintai seorang wanita. Baginya semua wanita sama saja perangainya. Sama seperti mama dan Eriza. Dia tak akan percaya lagi.

******************************************************************************

TERKEBIL-KEBIL mata Zara memandang siling yang dicat dengan warna putih. Hatinya dipagut rasa geram yang teramat sangat. Geram dengan si mamat poyo yang memang sengaja hendak mencari pasal dengannya siang tadi. Tahulah Hakimie itu bos dia, tapi janganlah sesuka hati nak buli staf bawahan sepertinya ini pula.
Arghhh… Zara rasa ingin menjerit sekuat hati. Sakit benar hatinya dengan keangkuhan Ketua Arkitek baharu Star Properties Snd Bhd itu siang tadi. Berlagak lebih sangat. Muka tu pula poyo semacam aje. Langsung tak senyum. Hensem pun, kalau muka ketat semacam tak guna juga. Itu baru jadi Ketua Arkitek, kalau jadi pemilik Star Properties Snd Bhd, entah macam mana angkuhnya lagi muka si Hakimie itu agaknya. ‘Mujurlah dia itu bukan anak pemilik syarikat.’ Komen hati Zara.
Ingatkan bila Puan Rohana sudah berpindah ke tempat lain, dia akan bebas seperti sang burung. Rupanya dia silap. Kali ini dia ‘berjumpa’ pula dengan sang singa jantan. Lagi ganas daripada Puan Rohana.
Huhuhuuu… apalah nasib!
Tahulah yang dia telah melakukan kesalahan dengan melanggar belakang kenderaan Hakimie pagi tadi, tapi janganlah nak ambil kesempatan hendak membalas dendam pula. Tak adillah namanya tu. Dia paling benci orang yang tak berlaku adil sebegitu. Mentang-mentang jadi tuan ketua, sesuka hati nak jalankan edisi buli-membuli. Itu baru sehari mereka bekerja di bawah satu bumbung, jika sudah lama sah akan menjadi-jadi sifat kaki buli si Hakimie itu.
Bayangkan, pagi tadi tak pasal-pasal lelaki itu menyuruh dia membuat air kopi untuknya. “Ingat aku ni setiausaha dia ke? Kan Kareena ada. Sepatutnya kerja-kerja seperti itu Kareenalah yang kena buat. Tentu Kareena berbesar hati menyediakan minuman mamat poyo tu. Kareena kan minat tahap meroyan dekat dia. Memanglah ringan tulang bila disuruh. Apa kena mengena dengan aku pulak? Aku ni hanya seorang arkitek biasa sahaja. Bukan setiausaha merangkap pembuat kopi!” Zara berkata sendiri melepaskan amarah yang bersarang dalam hati.
“Lagipun… aku kerja kat sana ditawarkan jawatan sebagai seorang arkitek, bukannya sebagai setiausaha. Jadi buat apalah nak suruh aku buat semua kerja tu. Tu… nampak sangatlah nak kenakan aku. Nak balas dendam dengan aku sebab dah terlanggar kereta dia pagi tadi. Arghhh… tak sukanya!!!” Dia menyambung lagi. Meluahkan sakit hati pada Hakimie dengan menumbuk-numbuk bantal peluknya. Bayangkan itu adalah wajah Encik Muhammad Hakimie yang cukup menyebalkan.
Kalau hari-hari dia marah-marah begini, alamatnya tak lama lagi dia akan masuk ke dalam group Puan Rohanalah jawabnya. Masuk group pesakit darah tinggi!
Dia bangun dari baringnya. Kemudian melompat turun dari atas katil. Langkahnya dibawa ke rak kecil menempatkan segala novel-novel dan peralatan melukis. Pantas sahaja dia mencapai pensil dan kertas putih. Daripada tak dapat tidur, ada baiknya dia menconteng sesuatu untuk memuaskan hatinya sendiri. Lagipun… sudah lama dia tak buat aktiviti menconteng ini. Selalu tu asyik buat design rumah aje.
Kerusi ditarik kemudian dia duduk. Kedua belah tangan menongkat dagu. Cuba berfikir apa yang perlu dia lakukan di waktu matanya liat hendak terlelap.
“Nak lukis apa ya?” soal Zara pada diri sendiri. Otaknya ligat berfikir apa yang perlu dia lukis pada waktu tengah malam begini. Dulu waktu zaman sekolah dia memang suka subjek lukisan. Malah lukisannya juga pernah memenangi tempat pertama ketika pertandingan antara daerah serta dianugerahkan pingat pelukis muda berbakat.
Waktu dekat universiti dulu pun, dia selalu melukis juga. Hasil lukisan itu akan dijual kepada rakan-rakan sekuliah dan dijadikan duit poket untuk menampung perbelanjaannya. Ada juga di antara lukisan-lukisannya yang mendapat tempat untuk dijual di Galeri Raja Rezza, abang iparnya itu. Dapatlah duit sampingan sedikit.
Ting!
Tiba-tiba mentol kecil menyala di kepala.
Tersengih-sengih dia dibuatnya. Waktu-waktu begini, timbul pula idea yang dirasakan cukup bernas ini. Lantas dia terus mencapai pensil. “Bagus-bagus… dapat juga aku nak lepaskan geram. Lepas ni bolehlah aku tidur dengan nyenyak. Heheheee…” Zara berbicara sendiri.
Laju tangannya menconteng kertas putih di depan. Bibirnya sudah tersungging dengan senyuman.
Figura seorang lelaki mula bermain-main di layar ingatannya. Heheheee


BERSAMBUNG...

2 ulasan: