Tiga
Mawar merah
**4**
“ZARA!!!”
jeritan Puan Inara bergema lagi. Masuk kali ini, sudah tiga kali dia membuat
latihan vokal. Dah macam orang nak ikut uji bakat pertandingan Kilauan Emas
pula dia pagi-pagi begini.
Semua
ini gara-gara si anak yang cukup liat untuk bangun pagi. Sudah bermacam cara
dia gunakan, namun Zara tak juga bangkit-bangkit. Malah dengan senang hatinya
Zara menarik semula comforter untuk
menutupi tubuhnya yang terdedah pada kesejukan pagi.
Puan
Inara sudah menggigit bibirnya ketat-ketat. Geram benar dengan tingkah anak
bongsunya yang seorang itu. Dia sudah sakit suara terjerit-jerit, boleh pula
anaknya itu menarik selimut dengan gaya tak bersalah. Bersahaja saja
tingkahnya. Tak sedarkah anak itu sekarang ini sudah pukul berapa? Lagi nak
membuta tak ingat masa.
“Hey… budak bertuah ni. Boleh pulak dia tarik selimut balik. Nanti tak
kena kejut, marah pulak. Kata kita
tak kejutkan dia.” bebel Puan Inara sendirian.
“Zara!
Bangunlah! Zara tak kerjakah hari ni?” sekali lagi Puan Inara berteriak.
Zara
masih lena. Masih tidak berkutik dek jeritan uminya yang maha nyaring. Enak sahaja
dia menyelesakan tidurnya dengan mengiringkan badan ke sebelah kanan. Siap
tersenyum lagi.
Dengan
hati yang sebal, Puan Inara melangkah keluar dari bilik tidur anaknya itu.
Bibirnya tidak sudah-sudah mengomel. Perangai anaknya yang satu inilah yang
sering buat dia pening kepala. Liat bangun pagi. Esok lusa bila sudah berkahwin,
sah-sah suami dia pula yang akan jadi tukang kejut.
“Kenapa
dengan Ina ni? Awal pagi lagi sudah membebel. Apa lagi yang dibebelkan tu
sayang oi.” Sapa Cikgu Muhammad Zainal
yang baru keluar dari bilik air. Dia sudah bersiap sedia untuk pergi ke sekolah.
Hanya tinggal sebulan sahaja lagi dia bergelar seorang pendidik sebelum bersara
wajib bulan depan. Sedih juga rasanya hendak meninggalkan kerjayanya ini, namun
dalam sedih dia bangga kerana telah berjaya menabur bakti kepada anak-anak
bangsa.
“Pasal
apa lagi… pasal anak manja abang tulah!”
“Anak
manja saya, anak manja awak jugak.” Balas Cikgu Muhammad Zainal. Benarlah tu.
Memang Zara Dania itukan anak manja mereka.
Puan
Inara mendengus.
“Dia
tak bangun lagi ke?” tanya Cikgu Muhammad Zainal sambil memerhatikan isterinya
yang terbongkok-bongkok menyelongkar laci meja sisi di tepi katil mereka. Entah
apa yang dicari isterinya itu.
“Belum!
Dah sakit anak tekak saya ni menjerit bangunkan dia, tapi tak juga
bangun-bangun! Anak sorang tu… asal
nak bangun pagi aje mesti macam inilah jadinya. Tu yang saya selalu membebel
suruh dia masuk tidur awal. Tapi tak pernah nak dengar kata. Asyik nak menonton
televisyen hingga ke jauh malam. Tak pun… sibuk dengan Facebook dia tu. Hah… pagi-pagi begini bukan reti nak bangun sendiri. Saya juga yang jadi mangsa.” Omel Puan
Inara. Dia mencapai sebiji jam lonceng lantas keluar dari bilik. Laju dia
membawa langkah semula ke bilik bujang anak daranya.
Melihat
tingkah isterinya itu, Cikgu Muhammad Zainal hanya menggeleng kepala. Dia yakin
pasti isterinya sedang merangkak satu pelan untuk mengejutkan anaknya itu. Jika
tidak, takkan nak bawa jam lonceng segala.
Sampai
di bilik Zara, Puan Inara mengetap bibirnya. Bertuah benar anak sorang ni. Sedap pulak dia tidur. Takpe…
tunggu kejap lagi!
Laju
Puan Inara mengunci jam lonceng.
Satu…
dua… tiga!
Kringgg!!!
Serentak
itu jam lonceng berteriak nyaring. Benar-benar di sebelah cuping telinga kanan
Zara. Terkejut beruk si anak. Laju dia terpacak di atas katil dengan mata yang
terkebil-kebil. Rambutnya jangan cakaplah… mengerbang bagaikan Hantu Kak Limah.
“Arghhh… apa ni umi? Kenapa kacau orang
tengah tidur? Orang tengah mengantuk tahap gaban ni.” Zara mula merengek bila
tidurnya diganggu.
Baru
saja dia start enjin nak berdansa
dengan Shah Rukh Khan, umi sudah menempel jadi extra pula. Tak boleh nak biarkan dia berdansa dengan hati yang
senang.
“Banyak
cantik Zara punya mengantuk ya. Zara tak kerjakah? Tahu tak sekarang ni dah
pukul berapa?” bertalu Puan Inara menyoal.
“Kerjalah
umi. Tapi… awal lagikan. Kasilah can orang tidur kejap lagi. Orang cuti dari
buat solat ni. Nanti bila umi dan abah dah habis solat, baru kejutkan orang
balik.”
“Awal
Zara kata? Cik Zara Dania binti Muhammad Zainal, tahu tak sekarang sudah pukul
7.10 minit pagi? Zara nak pergi kerja atau tidak ni?” Puan Inara bercekak
pinggang sambil menanti respons daripada anaknya.
“7.10
minit pagi?” soal Zara semula memandang uminya yang sudah bercekak pinggang
dengan wajah yang sudah mahu berubah menjadi warna hijau itu.
Puan
Inara mengangguk berkali-kali. Mengiakan pertanyaan anaknya sambil menayang
muka depan jam lonceng di depan mata si puteri. Biar anaknya itu nampak dengan
jelas jarum jam sudah bergerak dengan pantas. Bukan nak tunggu dia.
“Oh…
tidak!” Tiba-tiba Zara menjerit lantang. Dengan pantas dia melompat turun dari
atas katil. “Kenapa umi tak bangunkan orang awal-awal? Kan dah lambat! Ah… ni mesti mamat poyo perasan bagus tu ambil peluang nak kenakan orang secukup
rasa. Sudahlah hari ni orang kena buat pembentangan mengenai projek Vila Jaya
tu depan wakil dari Smart Home Holding dan Meet Snd Bhd. Kalau lambat, sah-sah mamat poyo tu akan menjadi singa jantan
betul-betul. Oh… tak sanggup! Tak sanggup!” Zara membebel.
Terbayang
wajah garang Hakimie yang rambutnya sudah kembang ala-ala raja singa di depan
mata. Glup! Gerun pula dia bila
banyangan itu terlayar depan matanya.
Dia
tak boleh nak lambat. Dia perlu sampai tepat pada waktunya. Dia tak sanggup
membiarkan telinganya bernanah mendengar bebelan lelaki itu. Cukup-cukuplah dulu
dia selalu kena bebel dengan Puan Rohana. Jangan mamat poyo itu juga memiliki perangai bebelan yang sama dengan Puan
Rohana pula.
‘Tulah…
siapa suruh tidur lewat. Kan sudah bangun lambat.’ Otaknya mula marahkan diri
sendiri.
“Jangan
nak salahkan umi pulak ye. Umi dah
kejutkan Zara banyak kali. Zara tu yang liat sangat nak bangun. Terkelek sana,
terkelek sini.”
Pantas
Zara mencapai tuala yang tersangkut pada penyidai kayu. Laju dia bergerak
menuju ke bilik air yang terletak dalam kamar beradunya.
“Amboi…
tu nak ke mana pulak tu?”
“Nak
mandilah umi. Orang dah lambat ni.”
“Kalau
iye pun, kemaslah dulu tempat tidur
ni. Takkan nak biarkan berselerak macam ni pulak.”
“Alaaa…
orang dah lambat tahap melampau ni umi. Tak sempat nak mengemas.”
“Habis
tu takkan nak biar macam ni?”
Zara
yang sudah masuk ke dalam bilik air menjengulkan semula kepalanya. Bibirnya
terhias senyuman manis. “Umi tolong kemaskan untuk orang ye. Boleh lerrr. Thanks umi. I love you so much!”
Puan
Inara menggeleng-geleng. Banyak cantik muka anaknya itu. Dia yang terlambat,
uminya ini pula yang terpaksa menjadi tukang kemas. Benar-benar sudah melampau.
Bersama
bebelan yang panjang, Puan Inara kemaskan juga tempat beradu anaknya itu. Sakit
matanya melihat tempat yang berselerak dengan bantal dan comforter berterbangan ke sana sini.
Usai
mandi, Zara terus menyarung baju yang telah siap digosok semalam ke tubuhnya
yang agak langsing. Dibelek-belek dirinya di hadapan cermin hias. Hmmm… okeylah tu.
Kemudian,
dia menyelongkar pula beg yang menyimpan peralatan solaknya. Disolek wajahnya
dengan solekan ala kadar. Tak naklah make-up
over sangat seperti si Kareena dan Wanie. Nanti tak pasal-pasal dia kena
cakap copy-paste dua minah tu pula. Hisy… tak naklah. Dia ini bukannya jenis
perempuan yang suka nak make-up
tebal-tebal. Cukup dengan bedak, eye liner
dan lipstick, itu sudah memadai untuk
dia berpenampilan ke pejabat. Rambut pula sekadar diikat seperti ekor kuda
sahaja. Cukuplah Kareena dan Wanie sahaja yang suka bermake-up tebal di pejabat mereka. Jangan ditambah dengan dia pula.
Selesai
aktiviti berdandan, dia melangkah turun ke bawah. Terkocoh-kocoh saja lagaknya.
Jam di pergelangan tangan tidak henti-henti dipandang. Harap-haraplah dia masih
sempat sampai ke ofis sebelum tuan ketuanya yang masuk dahulu. Jika tidak… sah
akan kena marah. Daripada pengamatannya terhadap Hakimie, dia tahu lelaki itu
ada ciri-ciri mengikut jejak Puan Rohana yang suka marah-marah itu.
“Zara…
meh sarapan. Umi ada goreng nasi ni.”
ajak Puan Inara sebaik sahaja kelibat anaknya yang terkocoh-kocoh menuruni anak
tangga itu kelihatan.
“Tak
sempatlah umi. Orang dah lambat sangat-sangat ni.” lembut Zara menolak. Dia
benar-benar sudah lewat.
“Laaa…
kalau iye pun, makanlah sesudu dua
aje. Nanti kempunan. Dahlah awak tu pandu kereta.”
Zara
mengalah. Dia segera ke meja makan dan menyuap sesudu nasi goreng yang sudah
umi hidangkan atas pinggan ke dalam mulut. Kemudian air milo yang masih panas
itu dihirup. Adoi… terbakar lidah dia. Husy…
“Perlahanlah
sikit. Panas air tu.” tegur Puan Inara bila melihat aksi kepanasan Zara yang
sudah mengibas lidahnya yang sedikit terbakar.
“Okeylah
umi. Orang pergi dulu ye.
Assalamualaikum.” Tangan uminya dicapai lalu dia tunduk dan mencium hormat
tangan wanita yang paling dihormatinya itu. Sebuah ciuman mendarat ke pipi umi.
“Ye la. Hati-hati bawak kereta tu. Jangan
disebabkan lambat, Zara pandu laju-laju pulak.
Waalaikumusalam.”
“Okey!”
hanya itu balasan Zara kemudian dia segera berlalu keluar.
Puan
Inara menggeleng-geleng melihat tingkah si anak yang sudah hilang masuk ke
dalam perut kenderaan. Anak dengan abahnya sama saja. Cuma makan sesuap lepas
tu kelam kabut pergi ke tempat kerja.
Hmmm…
******************************************************************************
ALHAMDULILLAH.
Akhirnya dia sampai juga ke Star Properties Snd Bhd dengan selamat. Bukan main
laju lagi dia memandu tadi. Takut tak sempat sampai ke pejabat dalam masa yang
ditetapkan. Hari ini dia akan membentangkan . Disebabkan itu, dia menjadi
pengguna jalan raya yang kurang berhemah. Nasib baiklah dia tak kena saman
dengan mana-mana polis trafik tadi. Bukan main lagi dia celok sana, celok sini.
Buatlah
selalu ye Cik Zara Dania. Bak kata
pepatah, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Nanti
suatu hari jangan menyesal bila kena saman dengan pak polisi.
Masa
yang masih berbaki lima minit itu membuatkan Zara tergerak hati hendak
bersembang dengan Wanie sebentar. Lagipun, mesyuarat bersama Smart Home Holding
dan Meet Snd Bhd belum mula lagi. Dia ada sesuatu yang hendak diperlihatkan
pada sahabat baiknya itu. Pasti Wanie kagum dengan hasil seninya ini. Heheheee…
“Babe… kau nak tengok sesuatu tak?” ujar
Zara sebaik mendekati meja Wanie yang terletak di bahagian hadapannya.
Wanie
yang ketika itu sedang asyik menenyeh lipstick
warna pink kegemarannya pada bibirnya
agak terkejut. Mujur tak gugur jantung. Lipstick
yang ditenyeh pula sudah meleret sedikit dari bibir. Terkeluar dari landasan
bibirnya yang comel.
Ceh…
comellah sangat! Perasan.
“Hisy… kau ni! Tak tahu nak bagi salam ke?
Habis rosak solekan aku ni.” Marah Wanie. Tisu dicapai lalu dia mengesat
sedikit kesan leretan lipstick warna
pink pada bibir yang mencacatkan penampilan.
Zara
pandang Wanie. ‘Hai… Wanie ni. Sama aje perangainya dengan si Kareena tu. Asyik
nak berdandan saja. Dah tu… semua kena serba pink. Dah macam adik-beradik pink panther pulak aku tengok.’ Dalam
hati, Zara mengutuk.
“Alaaa…
sudah-sudahlah tenyeh gincu tu Cik Nur Hawanie oi. Kau dah cantik dah tu. Takyahlah
nak jadi kembar si Kareena pulak.”
Wanie
mendecit. Zara ni pepandai aje kata dia nak jadi kembar si Kareena mulut itik
itu. Eiii… kalau nak jadi kembar
Kareena, memang dia tak sudi. Buang masa!
Lipstick
daripada jenama Mary Kay itu dimasukkan semula ke dalam beg solekan tempat dia
menyimpan alat-alat soleknya. Ke mana saja, beg sederhana besar yang bisa
menempatkan alatan solek itu pasti di bawa bersama. Tak lengkap rasanya jika
tiada beg itu bersamanya.
Kemudian
dia mengangkat wajah memandang Zara. Tersengih-sengih si kawan memandangnya.
“Hah…
apa yang kau nak bagi aku tengok sangat tu? Kau dapat cek besar ke?”
“Ini
lagi besar nilainya daripada sebuah cek.”
“Ye ke? Hah… apa dia?”
‘Amboi…
serius benar mak cik sorang ni hari
ini. Bukan main garang lagi. Mentang-mentang aku kacau dia tengah bergincu.
Terus nak marah-marah.’ Desis hati kecil Zara.
Zara
tayang sengih dengan lebih lebar lagi. Lantas kertas putih yang digulung itu
ditebarkan depan muka Wanie. Ha, biar Wanie nampak dengan jelas dan terang apa
yang dilukisnya.
“Tadaaa!”
ujarnya bersama sengihan. “Cantik tak?” soalnya minta pendapat Wanie pula.
Berkerut-kerut
dahi Wanie melihat hasil lukisan Zara. Ini manusia ke apa? Siap ada tanduk dan
ekor lagi. Dah macam NATES pulak dia
tengok. Tapi… apa mimpi Zara lukis si NATES ini? Takkan semalam mimpi berdating dengan NATES penyesat manusia
ini. Cuma bezanya, si NATES yang Zara lukis ini siap bersut dan bertali leher
lagi. Pakai kereta besar pulak tu.
NATES ada kereta mewah ke? Dan wajah si NATES itu, bagaikan dia kenal pula.
Tapi… siapa ya?
Melihat
dahi Wanie yang berkerut seribu iru, Zara tersengih. “Kalau kau nak tahu…
inilah mamat poyo tu. Aku bayangkan dia ada ekor dan tanduk. Sesuai kan kan kan!”
termuncung-muncung bibir Zara memberitahu tanpa dipinta.
“Mamat poyo mana pulak ni?”
semakin binggung Wanie dibuatnya. Rambutnya yang dihiasi cekak rambut warna pink itu digaru-garu.
“Alaaa…
mamat poyo mana lagi. Yang menggantikan tempat Puan Rohana tu la. Kalau
kau nak tahu, lelaki perasan bagus itulah mamat
poyo.” jelas Zara dengan penuh semangat waja. Usai menyiapkan hasil
lukisannya itu semalam, barulah dia dapat melelapkan mata dan tidur dengan lena
sekali.
Bulat
mata Wanie mendengar kata-kata Zara. Berani benar sahabatnya itu menggambarkan
majikan mereka dengan sedemikian rupa. Padanlah wajah itu seperti pernah
dilihatnya. Giler! Otak Zara
benar-benar sudah mereng nak cari
pasal dengan tuan ketua baharu. Tak puas-puas agaknya dulu selalu cari masalah
dengan Puan Rohana. Sampaikan dengan ketua baharu pun Zara nak cari ‘penyakit’ jugak. Zara ni benar-benar sudah
terlebih gen brutal.
“Macam
mana? Cantik tak hasil seni aku ni?” Zara bertanya lagi minta jawapan yang
masih belum diberikan.
Wanie
yang hendak berkata sesuatu terhenti. Matanya memandang tepat ke belakang Zara.
Terkedu dia. Terasa perit pula air liur yang melalui celah kerongkongnya ketika
ini. Sukar hendak ditelan.
“Babe… aku tanya kau ni. Cantik tak
lukisan aku ni? Yang kau buat muka macam terserempak dengan mamat poyo tu buat apa pulak?
Hah… ni mesti kau kagum tahap dewa tengok hasil lukisan aku ni kan kan kan?
Serupakan?” Sekali lagi dia bertanya bertalu-talu. Tahulah lukisan dia tu
memang hebat, tapi Wanie janganlah buat muka macam tu pula. ‘Dah macam rupa
cicak betina tertelan skru. Heheheee….’
Hatinya mengutuk lagi.
“Hmmm… cantik! Pandai sangat awak melukis
ya Cik Zara Dania Binti Muhammad Zainal. Serupa sangat.” Ada suara yang
menyampuk dari belakang. Suara seorang lelaki. Yang pasti, Zara sudah mulai
mengecam suara itu milik siapa.
Glup!
Dia telan air liur. Perit pula rasanya.
Perlahan-lahan
dengan rasa takut-takut berani, dia memusingkan badannya. Debaran di dada
jangan cakaplah. Sudah menggila bagai diamuk badai ombak dipersisiran pantai.
Cewah! Ayat… puitisnya.
Zara
cuba ‘menyelambakan’ wajahnya biarpun dalam hati sudah terdetik rasa gementar. Mana
tak gementar sebab dia tahu dia memang bersalah. Namun disebabkan egonya yang
melangit membuatkan dia buat muka selamba biawak betina takde rasa bersalah lintas tengah jalan.
Di
hadapannya kini berdiri seorang lelaki yang wajahnya baru saja dia inspirasikan
dalam lukisannya semalam. Punya serius wajah lelaki itu. Seratus-peratus sama
dengan apa yang dilukisnya. Cuak dia sebentar. Takut juga kalau-kalau lelaki
itu mengamuk dek kerana hasil seninya yang terlebih kreatif ini.
‘Tulah…
siapa suruh pergi cari masalah. Kan dah kantoi.’ Otak sudah mula mengejak
tuannya.
“Ngeee… ermmm…” Zara kehabisan kata. Rambutnya yang tidak gatal digaru
berkali-kali.
“Lukisan
ni saya simpan. Nanti saya nak dengar awak buat ‘pembentangan’ mengenai lukisan
ni depan saya.” selamba Hakimie menarik kertas yang Zara pegang. Kemudian dia
melangkah laju tanpa menoleh.
Kareena
yang begitu setia di sisi ketuanya sudah tersenyum sinis. Suka hati dapat
melihat wajah pucat Zara kena ‘serang hendap’ dengan Hakimie. Nampaknya,
Hakimie tidak sebulu dengan Zara. Ada can la untuk dia terus mengurat ketuanya
itu. Peluangnya dirasakan begitu cerah sekali kerana belum pernah lagi Hakimie
menyergah dia begitu sepertimana Hakimie menyergah Zara.
Amboi…
perasan betul si Kareena ini. Tahap keyakinan yang sudah cukup melampau-lampau.
“Siaplah!
Siapa suruh cari masalah?” sebelum berlalu, sempat dia berbisik sinis kepada
Zara yang masih kaku di tempat meja Wanie. Bibirnya tersenyum-senyum.
Farok
yang hanya menjadi pemerhati sedari tadi sudah melepaskan keluhan. Zara ni
memang tak sudah-sudah nak cari bala. Dulu dengan Puan Rohana, sekarang dengan
Hakimie pula. Dia sudah faham benar dengan sikap Hakimie itu. Pasti sahabatnya
itu akan membuat pelbagai rancangan untuk ‘kenakan’ Zara lepas ni. Hakimie tu
kalau dalam bab membuli ini memang boleh tahan juga orangnya.
“Dah…
jom masuk bilik mesyuarat. Encik Hakimie dah tunggu tu.”
“Hah?
Mamat poyo tu pun ikut meeting
sama ke, Encik Farok?” terkejut Zara mendengar kata-kata Encik Farok. Matanya
membulat bagaikan biji guli.
‘Haish… dahlah mata tu sedia besar dan
bulat, dibesar-besarkan lagi macam tu. Bertambah besarlah jadinya. Dah macam
mata burung hantu.’ Wanie mengutuk dalam hati kala terlihat mata bulat Zara
yang menggerunkan.
Farok
sekadar membalas dengan anggukan sahaja. Semakin menjadi-jadi pula Zara
menggelar Hakimie dengan panggilan mamat
poyo. Kelakar namun tawanya tetap ditahan. Zara memang ratu bagi nama-nama
‘comel’ buat rakan-rakan sekerja. Semua ada nama ‘manja’ mereka masing-masing.
Rasa
mahu gugur jantung Zara melihat anggukan di kepala ketua kumpulannya itu.
‘Adoyai…
apasal pulak mamat poyo tu nak ikut meeting segala? Kan ini kerja kumpulan
Encik Farok. Biar sajalah Encik Farok yang uruskan meeting bersama Smart Home
Holding dan Meet Snd Bhd ini. Tak payahlah dia nak menyibuk.’ Hatinya
menggumam. Kurang suka bila Hakimie turut serta dalam mesyuarat mereka.
‘Jangan
nak mengada Zara Dania! Sedar sikit yang dia tu ketua. Jadi dia memang berhak
pun hadir dalam mesyuarat ini. Kau tu… buat apa lagi tercegat dekat situ.
Cepat! Nanti angin lagi Encik Hakimie tu. Sudahlah kau ada ‘hutang’ dengan
dia.’ Otak mula membebel marahkan tuan punya badan.
Zara
mendecit. Hisy… ini yang ‘lemau’ ni!
Lemah segala urat sendi.
******************************************************************************
USAI
membuat pembentangan di hadapan Farok dan beberapa orang wakil daripada Smart
Home Holding dan Meet Snd Bhd sambil diperhatikan oleh tuan ketua Encik Hakimie,
Zara sudah boleh menarik nafas lega. Senang hatinya bila dapat menyampaikan
persembahan dengan lancar dan baik.
Biarpun
pada mulanya dia gementar hendak membuat pembentangan di hadapan mamat poyo itu dan beberapa orang wakil yang dihantar daripada Smart Home
Holding dan Meet Snd Bhd yang bekerjasama dalam projek Vila Jaya ini, namun
setelah menarik nafas, menenangkan diri dan memulakan dengan ‘bismillah’, akhirnya
dia berjaya juga melaksanakan amanah yang diberi dengan tenang dan penuh
keyakinan. Tersenyum puas dia bila diberi tepukan yang gemuruh. Rata-rata memuji
persembahannya yang begitu meyakinkan.
Nampaknya
Farok juga amat berpuas hati dengan pembentangan yang dipersembahkan oleh ‘anak
didiknya’ itu hari ini. Awalnya dia kurang yakin juga dengan Zara. Tapi, bila
gadis itu sudah mula membuka mulut menghujahkan hasil perbincangan mereka, dia
amat-amat berpuas hati. Tidak salah dia memilih Zara untuk menerajui projek
kali ini. Pilihannya memang tepat.
Cuma
Hakimie, lelaki itu diam seribu bahasa. Seolah-olah persembahan Zara
membentangkan kertas kerja di hadapannya tidak berjaya untuk menarik minatnya.
Selamba dia membelek-belek Samsung S4 di tangan.
Ini
membuatkan Zara mengetap bibir. Geram pula dia dengan keselambaan Hakimie yang
buat-buat sibuk itu. Sudah banyak yang dia bentangkan, boleh pula lelaki itu
buat tidak kisah. Entah apa yang menarik sangat dengan telefon bimbitnya itu.
Tahulah telefonnya itu mahal. Tapi janganlah disebabkan telefon mahal itu,
perhatian pada pembentangannya tidak diendahkan. Penat tahu dia bercakap
membentangkan hujah untuk projek kerjasama ini.
“Kimie….”
seru Farok perlahan dan agak panjang. Dia cuba menyedarkan tuan besar yang
sudah hanyut dengan telefon bimbit di tangan. Mesti tengah melayari laman
sosial Facebook. Kan Facebook menjadi kegilaan ramai sekarang
ini.
Hakimie
yang buat-buat sibuk mengangkat wajah. Pandangannya ditala pada Zara yang masih
berdiri di hadapan. Membuatkan Zara melarikan pandangannya ke arah lain. Lelaki
itu, pandangan matanya cukup mengerunkan. Buat Zara naik cuak saja.
“Okey!
Bagus! Saya berpuas hati.” Ujar Hakimie bersahaja. “Tapi… rasanya ada satu perkara
lagi yang Cik Zara lupa nak bentangkan depan saya pagi ni.”
Dahi
Zara berkerut. Apa lagi yang dia lupa? Semua telah dibentangkan. Tiada apa pun
yang tertinggal.
Farok
pandang Hakimie dengan dahi berlipat. Setahunya, pembentangan Zara pagi ini
semuanya sudah dibentangkan dengan sempurna. Maklumlah… sebelum membuat
pembentang kepada umum, dia sudah memeriksa kertas kerja tersebut semalam dan
berbincang dengan Zara. Bila dirasakan sudah bagus, barulah kertas kerja itu
dipersetujui untuk dibentangkan kepada rakan kongsi mereka untuk projek ini.
Apa lagi yang kurang agaknya?
‘Hakimie
ini, macam-macam saja. Sikap cerewet tu tak pernah nak hilang-hilang sejak dari
dulu.’ Farok berkata dalam hati mengomen sikap temannya itu.
Semua
yang turut berada di bilik mesyuarat memberi tumpuan kepada Hakimie. Serius
benar raut wajahnya. Seperti benar, Zara memang terlupa hendak membentangkan
satu perkara penting lagi. “It’s okey.
Yang tu… saya akan panggil Cik Zara untuk buat pembentangan di depan saya
nanti.” ujar Hakimie bersahaja.
Hati
Zara dipagut resah. Apa pula yang hendak lelaki itu suruh dia bentang lagi? Kan
semuanya sudah jelas. Atau telinga dia tu yang tersumbat tak dengar apa yang
aku bentangkan.
Selesai
sahaja mesyuarat dengan wakil Smart Home Holding dan Meet Snd Bhd, Zara segera
mengemas kertas-kertas kerjanya. Dia ingin segera melangkah keluar dari bilik
berhawa dingin itu. Namun, langkahnya terhenti bila namanya dipanggil oleh
Hakimie.
“Zara
Dania! Tunggu. Awak masih ada pembentangan yang perlu dibentangkan depan saya.”
Ujarnya penuh lagak.
Zara
ketap bibir. Baru saja dia nak melangkah keluar. Lelaki itu sudah menegah.
Menyuruh dia untuk menunggu. Hampeh! Ingatkan dapatlah dia memboloskan diri
daripada Hakimie.
Farok
dan lima orang pegawai yang diwakilkan daripada syarikat masing-masing sudah
keluar dari bilik tersebut. Begitu juga dengan Kareena yang terpaksa keluar
kerana dia perlu melayan rakan kongsi mereka itu untuk menjamu selera di bilik
mesyuarat dua yang telah siap dihidang dengan juadah makan tengahari.
Mereka
semua meninggalkan Zara yang tercegat di tepi meja dengan wajah bengang.
Bengang kerana dia saja yang tidak dapat keluar daripada ‘gua’ yang menyeksakan
itu.
Lima
minit berlalu, suasana antara Zara dengan Hakimie masih lagi sepi. Ini
membuatkan dia jadi bosan. Dia mendengus. Kata ada lagi yang perlu dia
bentangkan, tapi lelaki itu buat selamba dengan menyibukkan diri dengan smartphonenya itu. Langsung tidak
bersuara dan mengendahkan Zara yang tercegat bagaikan patung cendana. Kalau ada
yang tak faham tentang apa yang dia bentangkan tadi, tanyalah cepat. Jangan
buang masa dia pulak. Dia masih ada
kerja yang perlu diselesaikan.
“Ehem…” akhirnya Zara berdehem.
Hakimie
angkat wajah. Keningnya dinaikkan ala-ala The
Rock dengan wajah ‘stone’.
“Tuan
Ketua yang budiman lagi bijaksana… ada apa-apa lagikah yang perlu saya bentangkan?
Kalau ada yang Tuan Ketua tak faham… saya boleh jelaskan untuk Tuan Ketua
memahaminya.” Kerek semacam ayat Zara. Nampak sangat ayat tak puas hati.
Hakimie
tarik sengih. Dia kemudian menyandar pada kerusi kulit yang diduduki. Perempuan
itu kalau bersuara, memang tak sah jika tiada ayat-ayat manis untuk menyindir.
“Memang
ada perkara yang saya tak faham. Saya harap awak dapat bentangkan perkara ni
dekat saya. Saya teringin sangat nak mengetahuinya kertas kerja awak yang satu
lagi ni.” Hakimie turut menggunakan ayat kerek seperti Zara. Kertas putih itu
dibentangkan atas meja.
Zara
menggigit bawah bibirnya. Terlupa dia pada hasil lukisannya yang menjadi barang
rampasan Hakimie tadi. Ingatkan lelaki itu sudah lupa pada hasil kreativitinya
itu, rupanya belum.
Glup!
Dia telan air liur. Tak tahu nak buat pembentangan apa tentang hasil seninya
yang terlebih itu.
“Zara Dania… I’m waiting.” Desak Hakimie setelah Zara mendiamkan diri. Tubuhnya
masih dipeluk dengan gaya bersahaja. Konon buat gaya begitu, gaya macholah.
Zara
tidak menjawab. Dia kehabisan modal untuk berkata-kata. Dia mengaku memang
salahnya kerana telah melukis image
lelaki itu dengan keadaan yang tidak sepatutnya. Disebabkan sedar akan
kesalahannya itu, dia tidak mampu untuk membalas kata.
“Awak
diterima bekerja di sini untuk menjadi seorang arkitek. Bukannya sebagai
seorang pelukis kartun. Kalau awak dah teringin sangat jadi seorang pelukis, baik
awak tak payah jadi arkitek. Baik awak bekerja di syarikat-syarikat yang
memerlukan hikmat lukisan awak. Dekat sini, saya perlukan awak untuk menjadi
arkitek Star Properties. Melukis gambaran bangunan perumahan, bukannya melukis image orang.” Ujar Hakimie.
Tiada
jawapan. Zara masih terus mendiamkan diri dengan kepala yang sudah tunduk
memandang lantai.
“Sebagai
hukuman kepada apa yang awak lakukan ni, saya mahu awak kemas meja saya setiap
hari. Pagi dan petang. Pagi sebelum saya masuk ke pejabat dan petang selepas
saya balik. Saya mahu awak pastikan meja dan bilik saya sentiasa berada dalam
keadaan kemas. Tak mahu ada habuk walau sebesar kuman sekali pun.” Hakimie
sudah menjatuhkan hukuman.
Terkedu
Zara mendengar hukuman yang diberikan. Apa ni? Kenapa aku perlu lakukan semua
tu pulak? Kan itu kerja Kareena.
Biarlah Kareena yang buat.
“Tapi
Encik Hakimie… kan itu tugas Kareena. Diakan setiausaha Encik Hakimie.
Sepatutnya kerja-kerja macam itu, dialah yang kena buat.” Zara memberanikan
diri untuk membantah. Memang patut pun dia membantah sebab dia masih ada banyak
kerja yang perlu dilakukan selain mengemas bilik mamat poyo itu.
“Itu
saya tahu. Tapi ini arahan saya. Saya berhak menentukan sesiapa yang saya nak
suruh untuk buat kerja tu. Awak tak boleh menolak.”
“Tapi…”
“Saya
tak suka staf yang banyak bunyi dan membantah. Ini arahan saya sebagai ketua
awak!” Hakimie meninggikan sedikit suaranya. Pantang benar dia dengan pekerja
yang suka membangkang.
Krusss…
semangat! Mahu gugur jantung Zara mendengar nada suara Hakimie yang sedikit
meninggi itu. Sampai terhenjut bahunya akibat rasa terkejut.
“Awak
boleh keluar sekarang. Pastikan petang ni awak kemas bilik saya selepas saya
balik. Selagi saya tak balik, selagi itulah awak juga tak boleh nak balik.”
“Apa?”
bulat mata Zara mendengar arahan tersebut.
Eiii…
rasa mahu dia cekik-cekik leher sasa lelaki itu. Arahan yang lebih kepada
sistem pembulian. Arghhh… tak
sukanya!!!
Ikutkan
hati, mahu rasanya dia buat laporan dekat bahagian atasan mengenai sikap ketua
baharunya itu. Biar kena brandwash
otak ketuanya itu. Sedangkan Datuk Haji Omar sendiri tidak pernah buat begini
pada staf-stafnya. Tetapi lelaki ini… melebih-lebih pulak! Macamlah dia tu bos besar.
Dalam
keterpaksaan, Zara akur juga. Dengan hati yang sebal dan marah-marah, dia
melangkah keluar meninggalkan bilik mesyuarat itu.
Hari
ini, satu hari moodnya kurang baik.
Semua gara-gara arahan mandatori daripada Hakimie. Macam arahan hukuman mati
saja!
BERSAMBUNG...