BAB
1
UNTUK
kesekian
kalinya, Adam menjenguk ke luar pagar. Mengharap kehadiran Toyota Prius putih
datang menjemputnya. Namun dia hampa. Harapannya hanya tinggal harapan. Toyota
Prius yang diharapkan tidak muncul-muncul juga. Sedangkan jam sudah melewati
pukul 12.30 minit tengah hari.
Adam
mengeluh lagi. Kalau tahu dari awal, dia lebih rela dijemput oleh Abang Mamat.
Daripada menunggu abahnya yang tak tahu bila akan muncul. Bukan sekali dua
abahnya buat perkara yang sama. Setiap kali abah kata akan menjemput dia dari
tadika, abahnya tak pernah datang pada masa yang ditetapkan. Sibuknya dua puluh
empat jam!
“Adam…
kenapa ni? Dari tadi cikgu dengar Adam asyik mengeluh. Kenapa?” Cikgu Wan
menghampiri Adam. Punggungnya dilabuhkan atas kerusi kayu bersebelahan dengan
si kecil itu.
Adam
tak menjawab. Kepalanya tunduk ke bawah dengan kaki menguis-guis lantai.
Wajahnya muram. Tak ceria macam selalu.
“Tak
baik mengeluh. Kan cikgu dah ajar, Allah tak suka pada hambanya yang kuat
mengeluh. Adam kan budak baik. Kalau ada apa-apa, cakap pada cikgu.” Pujuk
Cikgu Wan. Tumpah simpatinya pada wajah muram Adam.
Adam
masih terus mendiamkan diri. Bukan niatnya mahu mengeluh. Tapi dia cukup kecewa
dengan sikap abah. Abah tak pernah berpegang pada janji.
Selang
sesaat, sebuah Toyota Prius putih berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar
Tadika Bintang Cemerlang.
Cikgu
Wan tersenyum. Dia bangun dari duduknya. Dia kenal benar dengan pemilik Toyota
Prius putih berkilat itu.
“Assalammualaikum….”
Sapa pemilik Toyota Prius sambil tersenyum lebar. Tergesa-gesa dia masuk ke
dalam setelah membuka luas pintu pagar yang sentiasa tertutup rapat.
“Waalaikumusalam….” Balas Cikgu Wan
mesra. Bibirnya tak lekang dengan senyuman.
“Maaflah
cikgu, saya terlambat. Ramai sangat pesakit kat klinik hari ni. Itu yang tak
dapat nak keluar awal.” Pinta Dr. Akasyah menerangkan kesibukannya.
“Takpe doktor. Saya faham. Sekarang ni
memang musim orang demam.”
Dr.
Akasyah hanya mengangguk. Sempat dia menjeling wajah anaknya yang tunduk
merenung lantai.
“Adam…
jom kita balik.” Ujarnya memanggil Adam yang hanya diam tak berkutik.
Adam
bangun. Dia menghampiri Cikgu Wan lalu mencium tangan cikgunya itu. Kemudian
tanpa berkata sepatah ayat pun, dia terus masuk ke perut kereta.
“Mood dia kurang baik tu. Dari tadi
langsung tak cakap apa pun.” Beritahu Cikgu Wan.
Dr.
Akasyah sekadar tersenyum nipis. “Kami balik dulu cikgu. Assalammualaikum….”
“Waalaikumusalam.”
Di
dalam kereta, Adam menunjukkan rasa tak puas hatinya dengan memalingkan wajah
ke luar.
“Adam
marah abah ke? Maaf la… abah bukannya sengaja datang lambat. Kat klinik tadi
ramai sangat orang sakit.” Dr. Akasyah memulakan bicara. Wajah masam Adam
menandakan anaknya itu tengah marahkan dirinya.
Adam
menarik muka. Tubuhnya dipeluk. Abahnya itu begitulah… asyik sibuk dengan orang
sakit. Anak sendiri sakit hati langsung tak dihiraukan.
“Adam,
please…. Janganlah macam ni. Abah
bukan sengaja nak buat Adam tunggu-tunggu.”
“Dah
banyak kali abah buat perkara yang sama. Janji nak datang awal ambil Adam. Tapi
akhirnya… Adam juga yang paling lambat pulang dari sekolah.” Petah Adam
berkata. Wajahnya masih di buang ke luar jendela. Langsung tak nak pandang
wajah abah yang telah mencalar hati kecilnya.
Kata-kata
Adam mengundang rasa sayu di hati Dr. Akasyah. Memang dia tahu kesalahannya.
Dia tak pernah datang awal menjemput Adam dari tadikanya. Namun dia bukan
sengaja. Pesakit yang berduyun-duyun menyebabkan dia tidak dapat keluar awal
dari klinik.
“Abah
tahu abah salah. Maafkan abah ya?” pinta Dr. Akasyah mengharapkan kemaafan anak
kecil itu.
Adam
menghela nafas. Wajahnya menunduk. Dadanya terasa sesak. Kelopak matanya mula
digenangi air. Alangkah indah jika arwah mama masih hidup. Tentu dia tak
kesunyian seperti ini. Tentu mama tak pernah abaikan masa untuk bersamanya.
Melihat
wajah suram Adam, Dr. Akasyah menghentikan keretanya di bahu jalan.
“Adam…
janganlah menangis. Abah kan dah mintak
maaf.” Pujuk Dr. Akasyah. Tak sanggup dia melihat anak kecil itu menangis di
hadapannya. Walau sesibuk mana pun dia, kasih dan sayangnya pada Adam tak
pernah berkurangan. Adam adalah hartanya. Satu-satu peninggalan arwah
isterinya.
“Abah
tak pernah sayangkan Adam.” Ujar Adam dengan air mata yang mula membasahi pipi.
“Jangan
cakap macam tu, nak. Abah terlalu sayangkan Adam. Adam satu-satunya anak abah.”
Sebak hati Dr. Akasyah bila Adam berkata begitu.
“Kalau
abah sayangkan Adam, abah tak buat macam ni. Dah banyak kali abah mungkir
janji. Abah kata nak datang awal tapi abah tak pernah tunaikan. Kalaulah mama
masih ada… tentu mama tak biarkan Adam tunggu kat tadika lama-lama.”
Hati
mana tak tersentuh mendengar anak kecil itu berkata begitu? Apatah lagi
tangisan si kecil yang baru berusia lima tahun itu mula terngiang-ngiang.
Lantas
saja Dr. Akasyah menarik Adam ke dalam pelukannya. Diusap rambut hitam berkilat
anaknya itu.
“Maafkan
abah, nak. Abah tahu abah bukan ayah yang terbaik. Tapi… abah terlalu sayangkan
Adam. Abah tak nak tengok Adam bersedih.”
Adam
tak mampu berkata apa. Hanya tangisannya saja yang memecah kesunyian. Tangisan
sayu yang turut menghiris hati lelaki Dr. Akasyah. Rasa bersalah pada anak itu
datang bertimpa-timpa.
LEGA
hati Dr. Akasyah melihat Adam tidur dengan nyenyak. Mungkin penat bermain siang
tadi menyebabkan anak itu tertidur awal. Disebabkan rasa bersalah pada Adam,
dia tak masuk klinik petang ini. Segala urusan di klinik diserahkan kepada Dr.
Sunarto dan Dr. Rohana. Hari ini dia mengambil cuti setengah hari.
Satu
ciuman hinggap ke dahi Adam. Betapa dia sayangkan anak itu. Adam merupakan
peninggalan paling berharga dari arwah isterinya. Setelah lampu dimatikan, Dr.
Akasyah bergerak turun ke bawah.
“Adam
dah tidur ka?” sapa Hajah Fauziah yang baru keluar dari ruang dapur.
“Dah
mak. Baru aje dia terlelap.” Beritahu Dr. Akasyah kepada maknya. Langkah di
bawah ke ruang menonton.
“Penat
sangat agaknya dia bermain sampai boleh tertidur awal malam ni. Selalu tu…
dialah yang paling susah nak tidur awal. Ada saja kerjanya. Nak main la… nak
melukis la… macam-macam.” Ujar Hajah Fauziah mengenang sikap cucu tunggalnya
itu.
Dr.
Akasyah sekadar tersenyum. Maknya memang dah faham sangat dengan perangai Adam.
Sejak arwah Zahida meninggal dunia, sejak itulah mak tinggal bersamanya
membantu dia menjaga anaknya itu. Disebabkan itu Adam begitu manja dengan
neneknya ini. Dr. Akasyah cukup terhutang budi dengan pengorbanan maknya.
“Dah
namanya Adam Zakwan, mak. Memang macam-macamlah helahnya kalau disuruh tidur
awal.”
“Sama
macam abahnya jugaklah. Banyak sangat helahnya. Tu yang menurun pada anak.”
ujar Hajah Fauziah berniat menyindir anaknya ini.
Dr.
Akasyah diam tak berkutik. Kalau dah ada bunga-bunga menyindir tu, tentu ada
sesuatu yang nak diperkatakan oleh maknya.
Hajah
Fauziah menghela nafas. Punggung dilabuhkan atas sofa bersebelahan dengan si
anak.
“Sampai
bila Kasyah nak jadi macam ni?”
“Jadi
macam mana mak?” tanya Dr. Akasyah semula dengan mata tertumpuh pada siaran
bola sepak yang bersiaran di kaca televisyen.
Hajah
Fauziah mengetap bibir. Anaknya ini benar-benar tak faham atau buat-buat tak
faham?
“Terus
menduda macam ni la. Sampai bila? Adam tu beberapa bulan aje lagi nak genap
lima tahun. Arwah Ida pun dah tiga tahun tinggalkan kita semua. Takkan Kasyah
tak terfikir nak cari pengganti arwah? Boleh tolong jaga makan pakai Kasyah dan
Adam sekali.” tutur Hajah Fauziah tanpa berselindung.
“Kenapa
mak cakap macam tu pulak? Mak dah bosan ke jaga Adam dan Kasyah?” tanya Dr.
Akasyah sekadar bergurau. Tak berniat langsung nak menyinggung perasaan Hajah
Fauziah.
“Mak
tak pernah bosan jaga anak dan cucu mak! Cuma, mak ni dah tua, Kasyah. Entahkan
esok lusa, Allah dah jemput mak pulang ke pangkuan-Nya. Siapa nak jaga Kasyah
dan Adam lagi? Sekurang-kurang kalau Kasyah kahwin lagi, lega sikit hati mak
ni. Nak pejam mata pun, mak boleh pergi dengan tenang.”
Bicara
Hajah Fauziah mengundang rasa sayu di hati Dr. Akasyah. Pantas dia mengalihkan
pandangan ke wajah wanita itu.
“Mak
janganlah cakap macam tu. Kasyah selalu berdoa pada Allah semoga beri mak
kesihatan yang baik. Mak segala-galanya bagi Kasyah dan Adam.” Penuh kasih Dr.
Akasyah menutur ayatnya. Jemari Hajah Fauziah yang agak berkedut diraih dan
dikucup penuh kasih.
“Mak
bukannya apa Kasyah. Mak selalu fikirkan nasib Kasyah dan Adam kalau mak takde
satu hari nanti. Siapa nak jaga Adam? Siapa nak urus makan pakai Kasyah? Kalau
Kasyah ada isteri, mak takdelah risau sangat.”
“Mak…
soal isteri bukan soal sambil lewa. Kalau boleh Kasyah nak isteri yang dapat
terima Adam seadaanya. Bukan isteri yang hanya terima Kasyah tapi tak dapat
terima anak Kasyah.”
“Itu
mak tau. Mak pun kalau boleh nak Kasyah cari menantu yang dapat jaga Adam
dengan baik. Tapi kalau Kasyah selalu sibuk aje dengan klinik tu, sampai bila
nak cari pengganti? Kasyah pun kenalah bagi masa kat diri sendiri jugak untuk
berkenalan dengan mana-mana perempuan.”
“Kasyah
masih tak bersedia, mak. Kenangan bersama arwah Ida masih segar dalam ingatan.
Arwah Ida cukup bermakna buat Kasyah. Susah rasanya Kasyah nak cari pengganti
arwah.” Itulah yang dirasainya. Walau tiga tahun telah berlalu, cintanya tetap
utuh buat sang isteri yang terlebih dahulu menghadap Ilahi.
“Kalau
susah sangat, biar mak aje yang carikan calon untuk Kasyah.”
“Mak
dah ada calon ke untuk Kasyah? Siapa? Kawan-kawan mak ke?” sengaja Dr. Akasyah
mahu mengusik. Jika maknya ada calon sekali pun, tak mungkin dia akan
bersetuju. Bukan mudah baginya mahu melupakan arwah isteri.
“Hisy… budak ni! Kawan-kawan mak buat apa
pulak? Dia orang semuanya sebaya
dengan mak. Takkanlah mak nak jadikan kawan sendiri sebagai menantu? Hu… geli
pula mak bayangkan kawan mak panggil mak dengan panggilan ‘mak’.” terjuih-juih
bibir Hajah Fauziah berkata. Tak dapat dia gambarkan bagaimana perasaannya bila
rakan seusia memanggilnya sebagai ‘mak’? Cukup menggelikan.
Terburai ketawa Dr.
Akasyah. Geli hati melihat reaksi Hajah Fauziah. Jauh di sudut hati, dia amat
berterima kasih atas segala pengorbanan mak kepada dia dan Adam. Mak memang
wanita unggul!
Menarik
BalasPadamSya memng suka bca novel akak Yana..best2..yng Isteri Dalam Sangkar pn..Besstttt sngt2..sukaaa..
BalasPadam