Bab
6
CAHAYA yang
menerobos masuk melalui jendela menyilau pandangan Amanda. Ini membuatkan
tidurnya terganggu. Dia cuba tidak menghiraukannya, tetapi tidak menjadi.
Amanda
mendecit. Dia tahu ini semua kerja mummynya.
Jika bukan mummy, siapa lagi yang
berani masuk ke dalam biliknya ini? Sunarti tentu-tentu tak berani kerana dia
awal-awal lagi sudah memberi amaran kepada pembantu rumah berbangsa Indonesia
itu. Cari nahaslah namanya jika Sunarti ingkar pada amarannya itu.
“Arghhh… nak tidur pun susah! Ada aje yang
menganggu.” Dengus Amanda. Dia bangun dari baring. Rambutnya yang panjang
melepasi bahu digaru berkali-kali. Persis orang berkutu!
Matanya
menjerling jam meja. Sudah pukul 11.55 minit pagi. Patutlah cahaya matahari
garang memancar. Menghampiri waktu tengah hari rupanya.
Kruttt…
kruttt…
Perut
Amanda mula berbunyi. Ini membuatkan dia melompat turun dari katil dan terus
berjalan keluar. Ketika kakinya menghampiri anak-anak tangga, hidungnya mula
menghidu aroma yang cukup menyelerakan. Membuatkan perutnya semakin kuat
berdondang sayang.
Sampai
di dapur, “Masak apa?” tanya Amanda tanpa ucapan.
Sunarti
berpaling. Pucat lesi wajahnya memandang wajah di hadapannya. Lantas dia
menjerit dengan kuat. “Kuntilanak!!!!!” penuh ruang dapur dengan jeritan
Sunarti.
Datin
Aminah segera berlari masuk ke ruang dapur. Terkejut bukan kepalang dia
mendengar jeritan nyaring Sunarti. Apa kena dengan pembantu rumahnya itu.
Siang-siang begini menjeritkan nama ‘Kuntilanak’?
“Apa
kena dengan kamu ni Sunarti? Menjerit-jerit macam tarzan!” marah Datin Aminah.
Wajah Sunarti yang pucat lesi dipandang.
Sunarti
tidak dapat menjawab. Ketakutan menghantui diri. Pinggan yang dipegang diangkat
menyembunyikan wajahnya. Wajah ‘Kuntilanak’ yang berdiri di sebelah majikannya
cukup menyeramkan. Mungkin inilah ‘Kuntilanak siang’ yang pernah diceritakan
oleh ibunya ketika dia kecil-kecil dahulu. Cukup menakutkan!
“Hei…
Sunarti! Saya tanya awak ni. Yang awak menjerit-jerit kenapa?” geram sungguh
Datin Aminah dengan Sunarti. Ditanya elok-elok, dia angkat pinggan sembunyi
wajah pulak.
“Tu…
tu… sebelah ibu ada kuntilanak.” Beritahu Sunarti menunjuk ke sebelah
majikannya.
Datin
Aminah ketap bibir. Bermimpi di siang hari agaknya Sunarti ini? Mana ada
‘Kuntilanak’ siang-siang? Pantas dia menoleh ke arah yang dimaksudkan Sunarti.
Baru dia perasan di situ ada seorang gadis sedang berdiri.
Ketika
dia menoleh, jantungnya hampir gugur. Serentak itu juga dia menjerit,
“Pontianak!”
“Mummy! Apa ni? Ini Amanda la!” dengus
Amanda geram bila mummynya juga menyangka dia Pontianak. Teruk sangatkah
wajahnya sampai pembantu rumah dan ibu sendiri tidak mengenalinya? Huh….
“Amanda?”
Amanda
mendecit. Kepalanya diangguk-angguk.
Sunarti
yang bersembunyi di sebalik pinggan segera menurunkan pinggan di tangan. Wajah
di hadapannya ditenung dalam-dalam. Sah! Itu adalah Amanda, anak majikannya.
Pantas dia menarik nafas lega.
“Ya
Allah… apa kena dengan Manda ni?” Datin Aminah naik geram dengan si anak.
“Apa
kena apa, mummy? Mummy dengan Sunarti tu yang jerit kata Manda ni Pontianak. Macam
tak pernah nampak Manda aje.” Gerutu Amanda membalas pertanyaan mummynya. Geram benar dia dengan
Sunarti. Gara-gara gadis Indonesia itulah mummy
juga menyangka dia ini Pontianak. Tak guna betul!
Sunarti
tersengih. Jelingan tajam Amanda cukup menggerunkan. Dia tahu gadis itu
marahkan dia. Pantas dia segera menyambung kerjanya semula sebelum dimarahi.
“Iye la. Mana taknya mummy dengan Sunarti kata Manda ni Pontianak kalau muka tu dah
serupa Pontianak.”
Amanda
mendecit.
“Dah
pergi mandi. Lepas tu kita makan tengah hari. Matahari dah tegak atas kepala,
baru nak bangun. Entah apa nak jadi dengan Manda ni.” Datin Aminah mula
berleter. Sakit kepala setiap kali memikirkan pasal Amanda.
Amanda
tidak membantah. Dia naik ke atas untuk mandi. Tatkala dia memandang cermin,
jantungnya berdengup laju.
“Mak…
Pontianak!”
Wajahnya
diraba. Kemudian dia tersenyum. “Teruknya muka aku.” Ujar Amanda. Patutlah
Sunarti dan mummynya menyangka dia Pontianak tadi. Rupanya memang buruk dengan
rambut mengerbang dank rim muka yang memutih di wajah.
Usai
mandi dan membersihkan diri, Amanda menyarung seluar jean paras lutut dan t’shirt sendat tanpa lengan ke tubuh
langsingnya. Rambutnya yang panjang melepasi paras bahu diikat satu. Wajahnya
yang putih bersih dibiarkan tidak bersolek. Hanya dioles menggunakan lip gloss
jenama Mary Kay bagi menaikkan seri bibirnya yang mungil. Beginilah penampilannya
di rumah. Ringkas dan selesa.
Selesai
membelek diri di hadapan cermin hias, dia segera turun ke bawah. Waktu itu jam
sudah menunjukkan pukul 12.40 minit tengah hari.
“Hmmm… dah siap tuan puteri. Nak makan?”
sindir Datin Aminah kala terpandang kelibat puteri tunggalnya itu di ruang
dapur.
Amanda
mengherot bibir. Tahu sangat mummy tengah menyindir.
“Alaaa…
mummy ni. Nak sindir-sindir pulak. Manda tahulah Manda bangun
lambat. Tapi bukan Manda sengaja pun.” Amanda menarik kerusi di hadapannya.
Lauk-pauk yang terhidang cukup membuatkan perutnya kembali berkeroncong.
“Ye sangatlah tak sengaja. Hari-hari pun
Manda buat benda yang sama.” Ujar Datin Aminah. Nasi yang disenduk ke dalam
pinggan dihulurkan kepada Amanda.
Amanda
tidak menjawab. Ayam goreng berempah disenduk ke dalam pinggan. Diikuti sayur
kubis tumis udang segar. Berselera sungguh dia makan. Namun tak sampai seminit
dia mengunyah, tak pepasal dia tersedak. Cepat-cepat dia mencapai air putih.
Diteguk sekali gus.
“Siapalah
pergi sebut nama Manda ni. Tak guna betul la! Orang baru nak makan, dah
sebut-sebut.” Gumam Amanda marah.
“Tu
bukan orang sebut nama Manda. Tu sebab tak baca bismillah masa makan. Pasal tu
tersedak.” Tungkas Datin Aminah. Melihat cara Amanda makan tadi, dia tahu pasti
gadis itu tak menyempat nak membaca bismillah, apatah lagi nak baca doa makan.
Merah
padam wajah Amanda mendengar sindirian mummynya.
“Hari
ni Manda nak ke mana?” tanya Datin Aminah. Nasi disuap ke dalam mulut.
“Tak
tahu lagi.” pendek jawapannya.
“Kalau
macam tu… lepas makan nanti Manda temankan mummy
keluar.”
Berkerut
dahi Amanda. “Mummy nak ke mana?”
“Mummy nak jenguk Auntie Zaza kat hospital. Dah dua hari kena tahan sebab demam
panas.” Beritahu Datin Aminah. Semalam Puan Sri Rosni memberitahunya Datin
Zarina ditahan di hospital kerana demam panas. Tak elok jika dia tak datang
menjenguk. Datin Zarina atau lebih mesra dipanggil Datin Zaza itu merupakan
salah seorang ahli Persatuan Gayanita.
“Ah…
malas la mummy. Mummy ajelah yang pergi. Manda malas la nak ikut sekali.” Akhirnya
Amanda menolak. Malas nak bersua muka dengan Datin Zaza. Bukannya dia tak tahu
wanita seusia mummynya pernah
berura-ura mahu menyatukan dia dengan Zarif Iman, anak lelakinya. Dia saja yang
menolak. Walau Zarif Iman seorang lelaki yang baik, namun dia tak terfikir mahu
berpasangan dengan lelaki itu.
“Alaaa…
jom la temankan mummy. Lepas jenguk Auntie Zaza, mummy nak ke butik Calista. Nak ambil baju yang mummy yang dah siap untuk ke majlis
pernikahan anak Uncle Tajul dan Auntie Linda.”
“Maksud
mummy… Liyana? Dia dah nak kahwin
ke?” laju ingatan Amanda terkenang pada Liyana, teman sekolahnya ketika berada
di tingkatan satu hingga tiga dahulu.
Datin
Aminah mengangguk. “A’ah… dia nak
bernikah hujung minggu ni. Dengar cerita Auntie Linda, Liyana dan bakal
suaminya tu dah lama berkenalan cuma mereka mula berkawan waktu sama-sama
belajar kat oversea.”
Tak
sangka Liyana yang pendiam dan pemalu itu bertemu jodoh juga akhirnya.
Sedangkan sewaktu bersekolah dulu, Liyana langsung takde peminat lelaki. Mana tidaknya, Liyana memiliki bentuk tubuh yang
gemuk dan berkulit hitam. Disebabkan itulah dia tidak diminati. Sejujurnya
Amanda bersimpati dengan Liyana ketika mereka bersekolah dahulu. Tapi sekarang,
mendengar cerita mummy tentang Liyana
yang bakal bernikah hujung minggu ini, hatinya turut berasa gembira.
Sekurang-kurangnya ada lelaki baik sudi memperisterikan Liyana.
“Dah
la. Mummy nak naik atas bersiap.
Manda pun bersiaplah cepat. Kita keluar kejap lagi.” Datin Aminah mengangkat
pinggannya yang sudah licin ke singki.
“Tapi
mummy….”
“Takde tapi-tapi. Manda kena temankan mummy.” Pintas Datin Aminah kemudian
beredar dari situ.
Amanda
mendecit. Mahu tak mahu dia terpaksa juga menurut kemahuan mummy.
KERANA
bosan mendengar cerita mummy dan Auntie Zaza, Amanda membawa diri keluar. Tak kuasa dia nak masuk campur
cerita dua wanita itu. Cerita berkisarkan Persatuan Gayanita yang mereka sertai.
Langsung tak menarik minat Amanda.
Telefon
pintarnya dibelek. Kemudian dia membuka laman sosial Facebook. Ada beberapa notifications
pada muka bukunya. Pantas saja dia membuka ruangan itu. Tersenyum dia melihat
gambarnya yang ditanda oleh Nadia. Temannya yang seorang itu memang tak sah
jika tak mengupload gambar-gambar
mereka.
‘With my luvly ladies… Manda and Dila.’
Begitulah
ayat Nadia pada beberapa keping gambar mereka bertiga. Gambar yang diambil
ketika mereka keluar ke bersuka ria semalam. Dan pada bahagian komen, terdapat
beberapa orang lelaki memberi komen tentang gambar-gambar tersebut. Ada juga
yang bertanyakan pasal dirinya. Hendak berkenalan konon!
Amanda
mencebik. Tak berminat dia nak berkenalan dengan lelaki-lelaki itu. Daripada
gambar profil mereka sahaja, Amanda sudah tahu mereka itu lelaki jenis
bagaimana.
“Assalammualaikum….”
Suara
yang memberi salam membuat Amanda memanggung kepala. “Waalaikumusalam.”
Jawabnya.
Zarif
tersenyum. Ini merupakan kali kedua dia terjumpa Amanda. Kali pertama dulu
pertemuan mereka diatur oleh keluarga. Betapa kelakarnya pertemuaan itu. Amanda
yang cantik ini membuat pelbagai perkara buruk agar dia menolaknya. Dia tahu
taktik dan permainan Amanda.
“Lama
tak jumpa. Awak apa khabar?” tanya Zarif berbahasa. Senyuman tak lekang dari
bibirnya.
Amanda
menarik senyuman segaris. Tak sangka dia boleh terserempak dengan lelaki itu di
sini setelah lapan bulan pertemuaan pertama mereka berlalu.
“Emmm… baik.” Pendek jawapan Amanda.
Wajah dipalingkan ke arah lain. Dia cuba berlagak selamba.
“Kenapa
tak masuk dalam?”
“Dah.
Baru aje keluar.”
“Ooooh.”
Zarif mengangguk-angguk.
“Awak…
sorrylah. Saya terlambat.” Pinta seorang gadis bertudung. Nafasnya
tercungap-cungap bagai orang tak cukup nafas.
Amanda
berpaling. Wajah gadis bertudung itu dipandang.
“It’s okey. Saya pun baru aje sampai.”
Balas Zarif. Wajahnya berseri-seri memandang gadis bertudung di hadapannya.
“Oh
ya… Mawar kenalkan ini Amanda. Anak kawan baik mama saya.” Zarif memperkenalkan
Amanda kepada gadis bernama Mawar itu. “Amanda, ini Mawar Nur Ain. Bakal isteri
saya.” Kemudian memperkenalkan Mawar kepada Amanda.
Hampir
terjonjol mata Amanda mendengarnya. Tak sangka. Dia benar-benar terkejut!
“Eh…
tak dengar pun mummy cerita awak
bertunang.”
Zarif
tersenyum. “Memang tak bertunang pun. Saya dengan Mawar bercadang nak nikah
terus. Insya-Allah hujung bulan ni. Awak jemputlah datang ke majlis pernikahan
kami ya. Buat ala kadar aje.”
Penerangan
Zarif membuatkan kepala Amanda terangguk-angguk umpana burung belatuk.
Setelah pasangan itu
meminta izin untuk masuk ke dalam, bibir Amanda tersungging senyuman kecil.
Baguslah kalau Zarif Iman telah bertemu jodohnya. Lelaki baik seperti Zarif
Iman itu sewajarnya mendapat perempuan baik seperti Mawar Nur Ain. Bukan
seperti dirinya yang terlalu banyak melakukan dosa. Perempuan sepertinya ini
tidak layak untuk mana-mana lelaki sekali pun.
KENAPA DENGAN AMANDA TU.
BalasPadamklu nk tahun kenalah tunggu..kihkihkih
Padam