Bab
5
DATIN AMINAH mengeluh.
Matanya tak sudah-sudah menjerling ke arah jam antik yang terletak di sudut
ruang tamu. Sudah pukul 12.30 minit malam. Namun kelibat anak gadisnya yang
seorang itu masih juga tidak kelihatan. Keluar selepas maghrib tadi, sampai
sekarang batang hidungnya tak muncul-muncul. Apa nak jadi agaknya dengan anak
seorang itu?
Hanya
Amanda anak yang dia ada. Dialah penawar, dialah racun. Bukan mudah dia
mendapatkan Amanda. Beberapa tahun usia perkahwinannya bersama Datuk Omar,
barulah Amanda lahir ke dunia. Itupun setelah puas dia berubat ke sana sini.
Disebabkan itu kasihnya pada Amanda bagai air yang tak henti mengalir.
Namun,
anaknya itu telah berubah. Amanda yang sekarang bukan lagi Amandanya yang dulu.
Jika dulu, Amanda seorang gadis yang ceria. Hilai tawanya saja sering
menghiburkan hatinya dan suami. Malah Amanda cukup manja pada mereka. Tetapi
Amanda kini seorang yang baran. Pantang ada salah, mulalah gadis itu
marah-marah. Wajahnya juga sentiasa masam mencuka. Amanda berubah sekembalinya
dia dari bumi Australia.
Bukan
tak pernah dia cuba bertanya apa masalah anaknya itu. Cuma Amanda tak pernah
membuka cerita. Setiap kali ditanya, Amanda pasti akan melenting. Menyebabkan
dia sudah tidak tahu hendak bertanya bagaimana lagi. Malah Amanda juga sering
menjauhkan diri dari mereka. Masanya lebih banyak dihabiskan bersama
rakan-rakannya di luar sana. Hati seorang ibu bagai disiat belati tajam melihat
perubahan drastik anaknya itu.
Sekali
lagi Datin Aminah mengeluh. Mengenangkan Amanda keluhannya tak pernah
berkesudahan.
“Kenapa
dengan awak ni? Dari tadi saya dengar awak asyik mengeluh aje. Apa yang awak
fikirkan.” Datuk Omar yang sedari tadi sibuk menelaah buku keislaman meletakkan
buku tebal itu di atas meja. Tumpuan diberi kepada si isteri.
Datin
Aminah memanggung kepala. Menentang pandangan mata suaminya.
“Saya
tengah fikirkan Manda, bang. Entah sampai bila dia nak terus hidup macam ni.
Saya dah tak tahu nak cakap macam mana lagi. Amanda dah jauh sangat berubah.”
Mendengar
nama Amanda, Datuk Omar mendengus. Anak seorang itu tak habis-habis menyusahkan
hati isterinya. Tak kasihan langsung dengan mummynya
ini yang menghidap penyakit darah tinggi. Dia yang tua ini pun tak sampai hati
menyusahkan isterinya. Tetapi Amanda? Anak itu seolah-olah tidak kisah
langsung.
“Dah
la! Awak jangan fikir sangat pasal Amanda tu. Dia dah besar. Dah tahu mana baik
dan buruk. Suka hati dia nak pilih jalan yang mana. Awak dah puas nasihatkan
dia. Kalau dia tak nak dengar, biarkan! Saya pun dah malas nak masuk campur
urusan dia lagi. Segala kehendak dia saya dah bagi tapi dia masih macam tu jugak!”
“Tapi
bang… Manda tu anak kita. Satu-satunya harta kita dunia akhirat. Kalau kita tak
tegur dia, saya takut Amanda semakin jauh tersasar. Betullah sekarang ni dia
cuma berpeleseran dengan kawan-kawan dia di kelab malam. Saya takut lama-lama
nanti dia pandai minum air haram tu pulak.
Saya risau bang.” Risau hatinya mengenangkan sikap liar Amanda. Bukan dia tak
tahu aktiviti malam Amanda yang gemar dihabiskan di kelab-kelab malam. Puas
sudah dia menegur tetapi Amanda buat tak dengar saja.
“Abang…
abang cubalah tegur Amanda. Jangan biarkan dia terus macam ni. Abang tak
sayangkan anak kita lagi ke?” rayunya pada sang suami.
Datuk
Omar menghela nafas. “Siapa kata saya tak sayang anak? Bukan saya tak nak
tegur. Dah berbuih mulut saya ni tegur sikap dia tu. Tapi satu pun tak masuk
ajaran. Telinga Amanda tu dah tebal nak terima teguran. Saya dah malas nak
tegur dia. Saya suruh dia masuk ofis gantikan tempat Hakimie, tapi dia tak nak.
Asyik bersuka ria aje kerjanya. Dah serupa kelawar! Siang tidur, malam keluar.”
Datin
Aminah terdiam. Dia tahu kenyataan itu. Memang sudah acap kali suaminya menegur
Amanda. Namun satu pun tak masuk dalam minda anaknya itu. Amanda bertukar
menjadi anak yang degil tak mendengar kata. Dulu Amanda tidak seperti ini. Setiap
teguran mereka diambil kira.
Bunyi
enjin kereta masuk ke halaman rumah membuatkan Datin Aminah menjenguk keluar.
Dilihat Amanda keluar dari perut keretanya sambil bernyanyi riang. Bukan main
gembira lagi anaknya itu. Seronok sangat agaknya dapat keluar malam.
“Baru
balik?!” keras suara Datuk Omar menegur.
Amanda
tidak menghiraukan teguran daddynya.
Dia melangkah bagai tiada apa-apa terjadi. Ini menaikkan darah Datuk Omar.
“Amanda!
Dengar tak apa yang daddy tanya ni.
Tak reti nak menjawab. Dah bisu?!”
Amanda
mendecit. Langkahnya mati di anak tangga pertama. Mata dijulingkan ke atas
tanda tak puas hati. Bosannya mendengar bebelan tengah-tengah malam begini. Dia
baru saja berseronok, sampai saja di rumah sudah dimarah-marah.
“Ya
la daddy. Baru balik la ni.” jawabnya
malas-malas. Takkanlah daddynya tak
nampak dia baru balik. Lagi mau tanya!
Tercabar
Datuk Omar dengan sikap acuh tak acuh anak daranya itu. Dia bangun dari duduk
lalu menghampiri Amanda yang berlagak selamba. Anak itu sudah hilang rasa
hormat padanya. Inikah pelajaran yang Amanda dapat di Australia? Jika tahu
beginilah sikap Amanda, dia tak akan menghantar Amanda melanjutkan pengajian di
sana beberapa tahun lalu.
Datin
Aminah membuntuti langkah suaminya. Lengan tua itu dipegang kejap. Takut andai
suaminya hilang sabar dan Amanda akan menerima natijahnya.
“Macam
tu cara Manda cakap dengan daddy? Apa
nak jadi dengan Manda ni? Tak malu ke jiran tetangga tengok Manda selalu balik
lewat malam. Manda tu perempuan, jagalah maruah sikit.” Tegur Datuk Omar tegas.
Amanda
menjulingkan mata ke atas. Bosan mendengar bebelan daddy. Tak kuasa dia nak melayan tanggapan jiran tetangga.
Lantaklah nak kata apa. Dia tak peduli! Mulut orang ni bukannya boleh ditutup.
Memang suka jaga tepi kain orang. Kena batang hidung sendiri nanti, baru tahu
nak berdiam diri.
“Daddy tak sangka Manda jadi macam ni.
Kalau tahu macam ni perangai Manda, daddy
tak hantar Manda ke luar Negara. Belajar dekat sini aje dah cukup. Daddy betul-betul menyesal hantar Manda
ke sana.”
Amanda
mencebik. Telinganya digosok-gosok tanda dia dah semakin bosan mendengar
leteran daddynya. Kemudian dengan sengaja dia menguap besar. Tanda dia sudah
mengantuk.
“Huarghhh….” Lakon Amanda dengan mata
sengaja digosok-gosok. “Okeylah daddy.
Manda mengantuk la. Esok ajelah daddy
sambung syarahan tu ya. Good night!” selamba Amanda meneruskan
langkah.
Mendidih
hati Datuk Omar dengan tingkah anaknya. Rasa mahu dia menjerit kuat tetapi
isterinya cepat sahaja menghalang.
“Dah
la tu bang. Dah malam ni. Nanti apa kata jiran tetangga dengar abang menjerit
malam-malam.” pujuk Datin Aminah. Dalam hati dia turun terkilan dengan sikap
Amanda. Anaknya telah jauh berubah.
“Astagfirullah al azim….” Datuk Omar
beristigfar. Cuba menenangkan diri. Jika diikutkan hatinya ini, mahu dihalau
Amanda keluar dari rumah ini. Anaknya itu dah tak punya rasa hormat pada dia
dan isterinya.
SELESAI
mandi dan berpakaian, Amanda merebahkan tubuhnya di atas katil. Terkebil-kebil
matanya menghadap siling putih. Berdosa tak sudah kerana tegar melukakan hati daddy dan mummy.
Amanda
tahu dia tak patut berkelakuan seperti itu. Namun dia terpaksa. Dia tak mahu
jadi Amanda yang lama. Amanda yang lemah dan penyayang. Kerana Amanda itulah
dia terseksa. Kerana Amanda itulah dia terluka.
“Maafkan
Manda… mummy, daddy…. Manda terpaksa. Manda tak nak terluka lagi. Manda nak jadi
kuat macam sekarang. Maafkan Manda….” Keluhnya.
Air
mata tak dibiarkan sesekali mengalir ke pipi. Amanda telah berazam. Dia mahu
menjadi Amanda yang baru. Amanda yang kuat dan tak mudah mengalah. Dia selesa
dengan dirinya sekarang. Berkelakuan sebegini membuatkan dia tak akan merasa
sakit lagi.
‘Amanda
yang lama tak akan kembali lagi.’ Hatinya berbisik yakin. Dendam pada kaum adam
semakin menyemarak dalam hatinya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan