Bab
10
ENTAH sudah
berapa kali dia mengeluh. Rasa tak terbilang dek jari. Sedari awal dia sampai
ke Taska Bistari ini, dia asyik mengeluh sahaja. Matanya saja tunak memerhati
Aisy bermain bersama rakan sebayanya, tetapi akal dan mindanya terarah ke arah
lain. Entah bagaimana lagi caranya untuk dia membantu ibu mentuanya
mengembalikan adik iparnya yang dulu.
“Hurmmm….” Qisya mengeluh lagi. Tangan
kanan sudah menongkat dagu. Lagak macam orang besar memikirkan masalah Negara.
“Tak
baik tau asyik mengeluh. Allah tak suka orang yang kuat mengeluh.” Teguran
seorang wanita membuatkan Qisya panggung kepala.
Balkish
tersenyum. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi bertentangan dengan Qisya.
Dulang berisi sejug jus oren twister diletakkan di atas meja.
“Apa
yang awak asyik mengeluh ni Qisya? Dari awal awak sampai lagi saya dengar awak
mengeluh aje. Awak ada masalah ke?” tanya Balkish sambil tangannya menuang jus
oren ke dalam cawan. Lalu dihulurkan kepada tetamu di hadapannya itu.
Hubungan
Balkish dan Qisya memang baik. Sejak mereka berkenalan sewaktu sama-sama
mengerjakan ibadah umrah beberapa tahun dulu, hubungan mereka menjadi rapat.
Balkish senang berkawan dengan Qisya yang peramah.
“Hmmm….” Qisya sekadar mengangguk.
Matanya masih tunak memandang Aisy dan Maysara, anak Balkish dan Harriz yang
baru berusia tujuh bulan. Seronok anak kecil berdua itu bermain-main. Entah apa
yang mereka borakkan kerana hanya kanak-kanak seusia mereka sahaja yang faham
bahasa bayi.
“Apa
masalah awak? Cuba cerita dekat saya. Manalah tahu saya boleh tolong.”
Qisya
mengalih pandangan kepada Balkish. Berseri-seri wajah teman seorang itu. Sejak
menjadi seorang ibu, pemilik Taska Bistari itu nampak lebih berisi daripada
dulu.
“Ini
pasal adik ipar saya tu la. Entah sampai bila dia nak terus hidup macam tu?
Sedangkan dah tiga tahun arwah tunang dia meninggal dunia. Tapi adik ipar saya
tu macam tak dapat nak terima kenyataan. Sampaikan nak berkumpul dengan family pun dia tak nak. Asyik menyendiri
aje.”
Semalam
Tengku Rayyan tak hadirkan diri ke majlis makan di rumahnya. Kecil juga hatinya
dengan penolakan adik iparnya itu. Tapi dia memang sudah sedia maklum Tengku
Rayyan tak akan datang. Bukan sekali dua Tengku Rayyan menolak ajakan untuk
berkumpul bersama keluarga. Sejak arwah Sofea pergi, Tengku Rayyan lebih suka
menyendiri.
“Susah
saya nak komen Qisya. Sebab ni melibatkan orang yang kita sayang. Lagipun adik
ipar awak tu terlalu sayangkan arwah tunang dia. Pasal tu dia tak dapat terima
hakikat. Bukan senang nak lupakan orang yang kita cinta sepenuh hati.” Balas
Balkish. Dia pernah mengalami perasaan yang sama sewaktu rumah tangganya dan
Harriz diuji suatu ketika dulu. Walau jasad terpisah, namun hati tak berhenti
menyinta. Itulah hakikatnya.
“Tapi
sampai bila, Kish?”
Balkish
jungkit bahu. Tiada jawapan bagi soalan itu.
Qisya
menghela nafas. Ikutkan hati dia juga malas nak mencampuri urusan Tengku
Rayyan. Tapi dia tak sampai hati melihat kerisauan di wajah ibu mentuanya.
Disebabkan itulah dia berhasrat mahu membantu. Cuma hati adik iparnya itu
terlalu sukar dilembutkan. Ada saja alasan diberi bila ada aktiviti melibatkan
keluarga.
Pernah
juga dia bercadang mahu ‘mengenenkan’ Tengku Rayyan dengan Mawar, salah seorang
pekerja Istana Kristal Holding. Tetapi hajatnya itu tak kesampaian bila Mawar
yang diintainya itu bakal melangsungkan majlis pernikahan dengan jejaka
pilihannya tak lama lagi. Melepas dia nak berbiraskan Mawar Nur Ain, gadis
manis bertudung litup.
Tiba-tiba
Qisya teringatkan seseorang. Seseorang yang dirasakan sepadan jika bergandingan
dengan Tengku Rayyan. Seorang kacak, seorang lagi comel persis gadis korea.
Sesuai!
“Kish,
apa kata kita kenenkan adik ipar saya dengan adik ipar awak.” Cadang Qisya.
Balkish
yang ralit memerhati buah hatinya bermain dengan kesayangan Qisya menala
pandangan kepada wanita itu. Tersengih-sengih Qisya memandangnya.
“Hanni?”
Qisya
mengangguk. Tiba-tiba dia teringatkan Hanni, adik ipar Balkish yang comel
bertudung. Rasanya Hanni sesuai dipadankan dengan Tengku Rayyan.
“Hisy… tak berani la saya, Qisya.”
“Kenapa
pulak? Kita bukannya buat kerja tak
baik. Kita nak bina masjid. Kan dapat pahala tu.”
“Memang
la kerja baik. Tapi… saya tak berani la nak pasang-pasangkan orang ni. Lagipun
Hanni tu dah ada boyfriend. Takkanlah
dia nak tinggalkan boyfriend dia
disebabkan nak kahwin dengan adik ipar awak. Mustahil la!”
Qisya
mengherot bibir. Kecewa apabila mendapat tahu Hanni telah berpunya. Kalaulah
Hanni yang kecil molek itu masih kosong, tentu dia risikkan kepada ibu
mentuanya agar pergi meminang.
“Hmmm… ye la. Takde jodoh nak
buat macam mana kan?” keluh Qisya.
“Awak
janganlah risau. Saya yakin pasti satu hari nanti adik ipar awak tu akan jumpa
jodoh dia. Awak banyak-banyak berdoa ya. Minta pertolongan Allah.” Pujuk
Balkish.
Qisya
sekadar mengangguk. Kata-kata Balkish sama saja dengan kata-kata suaminya. Hmmm….
SATU
demi satu helaian album di buka. Mata Ku Ana tunak memerhati setiap wajah-wajah
gembira di majlis pertunangan Tengku Rayyan dan Sofea. Betapa cantik dan
berserinya wajah bakal menantunya itu di hari istimewa mereka. Masih terkenang
di mindanya bagaimana Sofea tunduk dan tersipu malu kala dia menyarung cincin
tunang ke jari manis gadis itu.
Ku
Ana akui, Sofea memang gadis yang baik. Satu-satunya anak Doktor Abdul Razak
dan Puan Siti Salmah itu memenuhi ciri-ciri wanita muslimah. Bertudung litup
dan sopan santun. Tutur katanya lembut dan tingkahnya membuatkan ramai yang
jatuh hati. Sebagai seorang ibu, dia amat bersyukur Tengku Rayyan memilih gadis
sebaik Sofea sebagai pasangan.
Tapi
sayang, gadis sebaik Sofea telah dijemput pulang kepada PenciptaNya dalam usia
yang muda. Kejadian itu menjadi tamparan besar buat keluarga mereka. Sofea
terlibat dalam kemalangan tiga hari sebelum majlis pernikahan berlangsung.
Sesuatu yang mengejutkan.
Air
mata Ku Ana menitis ke pipi. Perkhabaran Sofea yang terlibat dalam kemalangan
membuatkan Tengku Rayyan rebah tak sedarkan diri. Anaknya itu seolah-olah
‘mati’ bersama tunangnya. Ku Ana tahu betapa menderitanya Tengku Rayyan dengan
berita itu. Sofea pergi saat mereka ingin membina hubungan baharu dalam
kehidupan mereka. Seisi keluarga menangisi pemergian Sofea ketika itu.
“Dahlah
tu Ana… tak guna kenangkan kisah lalu. Kalau betul sayangkan arwah, sedekahkan
Al-Fatihah untuk dia. Semoga rohnya dirahmati.” Tegur Tengku Norman kepada
isteri yang ralit menatap satu per-satu gambar-gambar di dalam album.
Ku
Ana berpaling. Air mata dikesat. Semenangnya dia tak pernah lupa menyedekahkan
surah Al-Fatihah kepada arwah Sofea seusia mengerjakan solat. Hanya itu hadiah
yang mampu diberikan kepada gadis yang pernah membuat anaknya itu bahagia.
“Saya
rindu sangat dekat arwah Sofea, bang. Kalau arwah masih hidup, tentu sekarang
ni dia dah bahagia bersama Ryan. Entah-entah dah ada anak pun dia orang
berdua.”
Tengku
Norman bersetuju dengan kata-kata isterinya. Namun siapalah mereka hendak
melawan ketentuan Ilahi. Sudah termaktub sampai di situ sahaja rezeki arwah Sofea
ada di dunia ini. Sebagai hambaNya, mereka perlu redha menerima Qada dan Qadar
Allah. Ada hikmah di setiap kejadian.
“Dah
takde rezeki kita nak bermenantu
arwah, nak buat macam mana? Kita kena terima dengan redha.”
Ku
Ana mengangguk. Album di tangan ditutup semula. Semakin dibelek gambar-gambar
itu, semakin sayu hatinya. Semakin mencengkam rindunya pada arwah Sofea.
Mungkin inilah perasaan yang ditanggung Tengku Rayyan. Rindu yang amat
menyakitkan!
“Abang…
saya risau sangat dengan Ryan. Ryan tu dah jauh sangat berubah. Sejak arwah
Sofea takde, Ryan dah tak macam dulu
lagi. Nak tengok dia tersenyum pun susah.” Ku Ana melabuhkan punggung di birai
katil. Wajah suaminya dipandang.
“Apa
lagi yang kita boleh buat Ana? Abang pun dah puas nasihatkan Ryan. Tapi… dia
macam tu jugak.”
“Saya
risau la bang. Risau kalau Ryan terus macam tu dia jatuh sakit. Kita bukannya
tak tahu Ryan sengaja lebihkan masa kerja semata-mata nak lupakan kenangan
silam.”
“Saya
tahu… tapi apa lagi saya boleh buat? Ryan tu dah besar. Dah tahu berfikir. Dia
bukannya kanak-kanak lagi yang perlu ikut semua kehendak kita. Takpelah, kita beri dia masa. Biarlah dia
bertenang. Suatu hari nanti Ryan pasti berubah.”
“Tapi
dah tiga tahun, bang. Ryan semakin hari semakin jauh dari kita.”
“Saya
faham. Awak bersabarlah ya. Jangan difikirkan sangat.” Tengku Norman mencapai
buku ilmiah di meja sisi. Sudah menjadi kebiasaannya membaca sebelum tidur.
“Abang…
apa kata kita carikan pengganti arwah Sofea untuk Ryan. Manalah tahu kut-kut
Ryan berubah.”
Tengku
Norman tersenyum nipis. Kepalanya digeleng-geleng. Cadangan isterinya itu
kedengaran lucu padanya. Kalaulah semudah itu Tengku Rayyan dapat melupakan
arwah Sofea. Sudah lama anak bujang seorang itu mendapatkan pengganti.
Masalahnya cinta Tengku Rayyan terhadap arwah tunangnya itu terlalu dalam.
“Abang…
saya serius la. Bukan main-main.” Protes Ku Ana bila suaminya sekadar
tersenyum.
“Saya
tahu awak serius, tapi awak rasa Ryan setuju ke awak nak carikan pengganti
tempat arwah Sofea untuk dia?”
Ku
Ana terdiam. Benar juga kata suaminya itu. Adakah Tengku Rayyan mahu jika dia
meminangkan seorang gadis buat anaknya itu? Jawapannya pasti, tidak! Dia cukup
masak dengan perangai anak-anaknya.
“Dah
la tu. Jangan difikirkan sangat. Awak banyakkan berdoa semoga Ryan kembali
ceria macam dulu. Doa seorang ibu ni lebih mudah dimakbulkan. Insya-Allah Ryan
pasti akan bertemu jodoh. Cuma lambat atau cepat aje jadi persoalannya. Soal
jodoh ni kita serahkan pada Allah.”
Ku Ana sekadar
mendengar. Tak lagi dia bersuara. Walau apa kata suaminya, dia tetap bercadang
mahu mencarikan joodoh yang baik untuk Tengku Rayyan. Dia akan berusaha. Qisya
sendiri sudah berjanji akan membantunya. Dia tahu menantunya yang seorang itu
tak akan menghampakan dia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan