Bab
9
SETELAH sekian
lama, baru hari ini Tengku Rayyan ketawa besar. Puas hatinya kerana dapat
membalas dendam terhadap perempuan sewel
itu. Siapa suruh berlagak sangat? Kan dah kena. Baru dia tahu siapa Tengku
Rayyan Tengku Norman. Dalam diam, dia juga bisa membuat onar. Tak menahan
sungguh wajah perempuan sewel itu
tadi. Merahnya mengalahkan cili padi.
Tengku
Rayyan ketawa lagi. Memang lucu bila mengenangkan perempuan itu menjerit-jerit
bagaikan orang gila. Perempuan sewel
seperti itu memang tak perlu nak dilayan elok-elok. Buang masa sahaja.
Tak
pernah lagi Tengku Rayyan berdepan dengan perempuan persis perempuan sewel itu. Garangnya tak bertempat. Suka
nak cari pasal. Dia yang selama ini cukup menghormati kaum wanita menjadi jelik
melihat sikap perempuan sewel itu.
Mulut celupar nak mampus!
‘Entah
dari planet mana la perempuan sewel
tu muncul?’ Hati Tengku Rayyan berbisik. Masih mengenangkan perempuan sewel yang menghuru-harakan hidupnya.
Sejak
pertemuan pertama di taman reaksi, pertemuan demi pertemuan terjadi antara
mereka. Menyesakkan kepala Tengku Rayyan dengan sikap ego perempuan sewel itu. Tak pernah terlintas dalam
fikirannya menjadi seorang yang anti kepada wanita. Tetapi perempuan sewel itu… Tengku Rayyan langsung tak
berkenan dengan sikapnya.
Tok!
Tok! Tok!
Ketukan
pada muka pintu mematikan lamunan Tengku Rayyan. Terpancul wajah Tengku Danish
di sebalik muka pintu. Lebar senyuman abangnya itu.
“Boleh
abang long masuk?” pinta Tengku Danish.
“Masuk
la abang long.”
Tengku
Danish melangkah ke dalam bilik berhawa dingin itu. Dahulu bilik ini merupakan
biliknya. Setelah dia dinaikkan pangkat menjadi Pengarah Urusan Istana Kristal
Holding, bilik ini diserahkan kepada Tengku Rayyan pula sebagai Pengarah
Projek. Segala urusan berkaitan dengan projek-projek perlulah melalui adiknya
ini terlebih dahulu.
Punggung
dilabuhkan di hadapan Tengku Rayyan. Wajah adiknya itu dipandang. Inilah
satu-satunya adik yang dia ada. Dia sayangkan Tengku Rayyan dengan caranya
sendiri.
“Macam
mana meeting dengan Haji Marzuki dan
Hajah Zauyah? Okey ke?” Tengku Danish bertanyakan hal mesyuarat antara Tengku
Rayyan dan pasangan suami isteri itu. Dia amat berharap agar tanah di Klang itu
berjaya didapatkan.
“Insya-Allah
abang long. Segala-galanya akan berjalan dengan lancar. Haji Marzuki kata dia
akan call Ryan dalam masa seminggu
lagi. Kita sama-sama la berdoa semoga segalanya dipermudahkan. Niat yang baik
ni, insya-Allah cepat saja Allah makbulkan.”
“Amin.
Abang long harap sangat kita dapat tanah tu. Tanah tu cukup penting bagi
syarikat kita.”
Tengku
Rayyan mengangguk-angguk. Dia tahu projek kali ini penting untuk Istana
Kristal. Ini bukanlah projek mengaut keuntungan berjuta-juta. Sekadar projek
mendirikan masjid tempat beramal ibadah. Sudah lama abang longnya berniat mahu
mendirikan sebuah masjid di kawasan itu.
“Oh
ya… malam ni Ryan buat apa? Sibuk ke?” Tanya Tengku Danish lagi. Baru dia
teringat tujuannya datang ke bilik adiknya ini adalah untuk menjemput Tengku
Rayyan ke rumahnya malam ini. Isterinya hendak membuat majlis makan-makan untuk
keluarga. Berulang-kali isterinya itu mengingatkan dia agar mempelawa Tengku
Rayyan datang sekali.
“Hmmm… tak tahu lagi abang long. Kenapa?”
“Kak
long kamu tu… malam ni nak buat makan-makan kat rumah. Untuk kita-kita aje. Tu
yang dia jemput Ryan datang sekali.”
Tengku
Rayyan tersenyum nipis. Bukannya dia tak nak pergi. Cuma dia lebih suka
menyendiri. Berkumpul bersama keluarga hanya akan membuatkan dia teringatkan
arwah Sofea. Dia tak betah duduk beramai-ramai bersama keluarga lagi.
“Tengok
la abang long. Kalau sempat Ryan datang. Ryan tak boleh janji sebab banyak
sangat kerja nak kena buat.” Jawab Tengku Rayyan akhirnya. Cuba berlagak sibuk
di hadapan abangnya itu.
“Takkanlah
sibuk sangat sampai Ryan dah takde masa
nak berkumpul dengan family?” soal
Tengku Danish. Wajah Tengku Rayyan dipandang mengharapkan sebuah jawapan.
Namun, setelah seminit berlalu adiknya itu tetap membisu.
Tengku
Danish bersuara lagi. “Abang long tahu apa yang Ryan cuba elak. Tapi sampai bila?
Ryan tak kesiankan bonda ke? Bonda risau sangat tengok keadaan Ryan sekarang.
Kalau boleh, semua orang nak Ryan kembali macam dulu.”
Nafasnya
dihela perlahan. Tengku Rayyan tahu dia bersalah kerana membiarkan bonda berasa
bimbang. Bukan dia tak nampak betapa bonda mengambil berat akan dirinya. Cuma
dia sering mengelak diri. Jika bertembung sekali pun, cepat sahaja dia mahu
beredar. Wajah sayu bonda mencuit hatinya. Tetapi… dia tak mampu menjadi Tengku
Rayyan yang dulu. Dia tak kuat untuk terus bahagia tanpa wanita yang dicintai
di sisinya.
“Abang
long tak nak masuk campur urusan Ryan. Abang long tahu Ryan boleh berfikir
dengan waras. Tapi jangan sampai seksa diri sendiri. Ryan kena teruskan
kehidupan. Kalau arwah Sofea hidup sekali pun, dia tak suka tengok Ryan jadi
macam ni. Ingatlah Ryan, kita ni sekeluarga. Kalau Ryan derita, kami juga
merasa penderitaan yang sama.” penuh berhemah Tengku Danish cuba menasihati
adiknya.
Sekali
lagi Tengku Rayyan menghela nafas. Tiada kata yang mampu dilafazkan. Dia hanya
diam tak berkutik. Mendengar nasihat abangnya, membuka sedikit mindanya yang
tertutup selama ini.
“Okey
la. Hari ni abang long kena balik awal. Nak tolong puan besar kat rumah tu buat
apa yang patut. Kalau tak nanti mulalah dia mengomel tak henti-henti. Naik cair
segala isi dalam telinga abang ni dengar bebelan dia.” Tengku Danish bangun
dari duduknya. Jam di pergelangan tangan dijerling.
Mendengar
abangnya mengata kakak iparnya, Tengku Rayyan sekadar tersenyum. Dia tahu
betapa kasihnya abangnya itu terhadap kakak iparnya. Walau sudah beranak tiga,
cinta kedua pasangan itu tak pernah pudar. Malah semakin hari pasangan itu
kelihatan semakin romantik pada pandangan matanya.
Terbit
juga rasa cemburu di hati Tengku Rayyan. Alangkah bahagia andai dia dan arwah Sofea
juga mengecapi kebahagian berumah tangga yang sama seperti abang dan kakak
iparnya. Tentu dunianya tak kelam seperti hari ini.
“ALONG!
Tengok adik. Kenapa adik menangis tu?” jerit Qisya kala telinganya menangkap
suara tangisan si kecil. Dia yang sedang sibuk di dapur tak ubah seperti orang
sedang berperang. Berdeting-detung bunyi kuali dan sudip berlaga.
“Adik
basah la mama. Pampers dah penuh.” Sahut Ku Alisha. Dia yang mengetuai pasukan
anak-anak Tengku Danish dan Qisya Nur Alifa sentiasa memastikan adik-adiknya
berada dalam keadaan yang baik.
Qisya
menangguh kerja dapurnya. Bergegas dia masuk ke ruang tamu. Kelihatan Aisy
sedang menangis tak selesa di dalam baby walker. Si kecil bertubuh montel itu
diangkat. Kasihan anak teruna kecilnya ini. Pampersnya penuh dah basah.
“Along
tolong mama ambilkan pampers adik.”
Pinta Qisya.
Ku
Alisha menurut. Laju dia bergerak ke bilik bawah yang menempatkan barang-barang
milik Aisy. Di ambil sekeping pampers
lalu diberikan kepada mamanya.
Cekap
Qisya menukar lampin pakai buang Aisy. Setelah pampersnya ditukar, barulah Aisy mahu tersenyum. Selesa berada
dalam keadaan kering.
Qisya
menjerling jam dinding. Sudah pukul 3.00 petang. Namun kelibat suaminya masih
juga tidak kelihatan. Dia sudah berpesan kepada suaminya itu supaya balik awal
hari ini. Jika suaminya ada, ringan juga kerja-kerjanya. Boleh juga suaminya
membantu menjaga anak-anak yang pelbagai ragam.
Bukannya
dia tak boleh harapkan Ku Alisha. Tetapi dia lebih suka jika Tengku Danish
mengambil alih kerja menjaga anak-anak ketika dia sedang sibuk. Senang sikit.
Contohnya sewaktu Aisy basah, boleh juga suaminya menukarkan lampin. Nak
harapkan Ku Alisha atau Ku Anisya melakukannya, memang dia tak harap langsung.
“Along
dengan angah tengok-tengokkan adik ya. Mama nak masak.” Pinta Qisya pada dua
puteri kembarnya.
“Okey.”
Balas keduanya serentak. Nak jaga adik bukannya susah sangat.
“Mama…
kenapa mama masak banyak-banyak ni? Ada orang nak datang ke?” tanya Ku Anisya.
Hairan melihat mamanya yang sibuk agak luar biasa. Selalu bila mamanya masak
hanya untuk mereka sekeluarga, menunya takdelah sebanyak ini.
“A’ah… atuk dan nenek nak makan kat rumah
kita malam ni. Tu yang mama masak banyak.”
“Ooooh.”
Panjang bunyi ‘O’ keduanya. Seronok mendengar mama menyebut nama atuk dan nenek
mereka. Cepatlah malam! Tak sabar nak jumpa atuk dan nenek.
“Pak
usu tak ikut sekali ke mama? Tentu seronok kalau pak usu ada sekali. Tapi pak
usu dah lama tak join kita makan
sama-sama. Pak usu asyik sibuk dengan kerja. Kat rumah nenek pun along tak
pernah jumpa pak usu. Nenek kata, pak usu balik malam sebab banyak kerja kat
ofis.” petah Ku Alisha berkata-kata.
“A’ah la mama. Kan best kalau pak usu ada. Tentu meriah.” Sokong Ku Anisya.
Qisya
menghela nafas. Nampak gaya anak-anaknya juga mula merindui pak usu mereka.
Walau Tengku Rayyan dekat, hakikat sebenar adik iparnya itu jauh daripada
mereka. Dah lama sangat Tengku Rayyan tak berkumpul bersama keluarga.
“Mama
dah bagitau papa suruh pak usu datang sekali.”
“Horrey!!” bukan main riang lagi
anak-anaknya bersorak. Tak sabar nak jumpa pak usu mereka. Dah lama sangat tak
bermanja dengan pak usu yang selama ini rajin melayan karenah mereka.
Qisya melangkah ke
dapur. Dia turut berharap agar Tengku Rayyan sudi memenuhi undangan makan malam
di rumahnya malam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan