W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Isnin, 2 Mac 2015

Isteri Dalam Sangkar2 2






BAB 2

P
ANDANGAN Aisyah langsung tak nak berkalih dari melihat pemandangan luar yang cukup asing baginya. Betapa indah ciptaan Tuhan. Alam semesta yang terbentang indah ini membuatkan dia mensyukuri apa yang diberi. Inilah pertama kali dalam hidupnya dia melihat sendiri bagaimana salji turun memutih memenuhi bumi. Subahanallah… cantiknya!
Bangunan-bangunan yang tersergam indah menambahkan lagi rasa kagum di hati Aisyah. Jika di Malaysia dia cukup berbangga dengan berdirinya KLCC, di sini pula orang-orangnya cukup bangga dengan megahnya Eiffel Tower. Aisyah yang pertama kali menjejak kaki ke sini juga tidak lepas dari rasa kagum melihat bangunan itu tersergam indah di tempatnya. Bagaikan tidak sabar dia mahu menjejak kaki ke situ.
Tengku Iskandar yang duduk di sebelah langsung tidak dihiraukan. Biarlah suaminya itu beranggapan dia ini manusia ‘jakun’. Memang dia ‘jakun’ pun kerana inilah kali pertama dia sampai ke Paris. Kota cinta yang sering diperkatakan. Tak sabar dia nak merasa bagaimana hebatnya bercinta di kota cinta ini.
“Sayang… kita dah sampai.”
Bahunya yang disentuh sang suami membuatkan pandangan Aisyah berkalih pada lelaki itu. Kemudian dia menjenguk pula ke luar.
“Kita tinggal kat sini ke?” tanya Aisyah bendul.
Tengku Iskandar mengangguk. Memang telah dirancang dari awal hendak mengajak Aisyah menginap di Hotel Pullman Paris Eiffel Tour ini. Biarlah harganya mahal asalkan hampir dengan Eiffel Tower. Dia mahu memastikan isterinya seronok dapat melihat pemandangan Eiffel Tower dari tempat mereka menginap nanti.
Bestnya….” Dengan gembira Aisyah berkata. Tak sangka mereka akan menginap di hotel yang hampir dengan Eiffel Tower. Teruja rasa hatinya. Menanti malam, tentu pemandangan di banguna Eiffel Tower itu secantik yang pernah dilihatnya di majalah-majalah.
“Abang memang sengaja nak cari hotel yang dekat dengan Eiffel Tower. Abang nak tengok sayang gembira.”
Terharu Aisyah mendengar kata-kata Tengku Iskandar. Suaminya itu memang sering memberi kejutan terindah dalam hidupnya. Setiap menjelang ulang tahun perkahwinan mereka, suaminya sering membawa dia bercuti ke luar Negara. Cuma kali ini tempat percutian yang dipilih agak jauh daripada destinasi percutian mereka sebelum ini.
Namun tanpa semua ini pun Aisyah sudah cukup gembira dan bahagia hidup di samping Tengku Iskandar. Suaminya itu adalah segala-galanya bagi Aisyah. Pendamping dunia dan akhiratnya.
“Aisyah dah cukup gembira berada di samping abang. Terima kasih abang… kerana abang selalu buat Aisyah bahagia.” Tangan Tengku Iskandar diraih lalu dikucup penuh kasih.
Tindakan ini membuatkan hati lelaki Tengku Iskandar dipagut rasa sayu. Bahagia yang dirasa tak dapat digambar dengan kata-kata. Hanya pada Allah dipanjatkan rasa syukur kerana mempertemukan jodohnya bersama wanita itu.
“Jom kita masuk dalam hotel. Sayang pun tentu letih kan sebab lama dalam perjalanan. Dah rehat nanti, abang nak ajak sayang jalan-jalan dekat area hotel ni aje. Esok baru kita ke Eiffel Tower. Abang tahu, sayang tentu dah tak sabar kan nak ke sana?”
Wajah Aisyah semakin ceria. Senyuman dibibir merekah dengan mekarnya. Memang dia dah tak sabar nak menjelajah Kota Paris.
Huluran tangan Tengku Iskandar disambut. Kemudian dia melangkah keluar dari teksi bersama-sama suaminya menuju ke lobi hotel. Masuk ke hotel, sekali lagi Aisyah menjadi manusia ‘jakun’. Liar matanya memerhati ruangan lobi yang begitu mewah. Tentu menginap di hotel ini juga lumayan harganya. Aisyah tahu semua itu.
Selesai berurusan di kaunter, Tengku Iskandar meraih tangan Aisyah agar mengikutnya ke depan lift yang telah terbuka pintunya. Di situ seorang pekerja hotel telah siap menunggu mereka dengan menolak bagasi masuk ke dalam lift. Ramah sungguh pekerja hotel itu. Sementara menunggu lift yang dinaiki sampai ke tempatnya, sempat pula dia beramah-tamah dengan Tengku Iskandar. Aisyah pula sekadar berdiam diri. Setakat cakap orang putih yang tunggang-langgang itu, baik dia tak payah berkata apa-apa. Memalukan diri sahaja.
 Merci.” Ucap Tengku Iskandar dalam Bahasa Perancis yang bermaksud terima kasih kepada pekerja hotel yang telah siap meletakkan bagasi mereka ke tempat sepatutnya.
Vous etes les bienvenus, monsieur. Avoir de belles vacances. (sama-sama dan selamat bercuti.)” Balas pekerja hotel sebelum berlalu meninggalkan bilik hotel dengan senyuman mesra.
Setelah pintu tertutup rapat, Tengku Iskandar berpaling menghadap Aisyah yang kelihatan ralit memandang pemandangan luar. Khusyuk benar nampaknya isterinya itu. Sampaikan dirinya juga tidak dihiraukan.
“Sayang….” Pinggang Aisyah dipeluk dari belakang. Sebuah kucupan dihadiahkan ke pipi sang isteri.
Hmmm….” Balas Aisyah lembut. Dibiarkan saja tindakan Tengku Iskandar yang memeluknya dari belakang. Dia suka setiap kali Tengku Iskandar memeluknya begitu. Terasa dirinya dimanjakan.
“Dari tadi abang tengok sayang asyik pandang pemandangan kat luar tu aje. Muka abang ni pun sayang dah tak sudi nak pandang. Kesian abang… mentang-mentanglah abang dah tua, sayang tak pandang pun muka abang lagi.” Kata-kata Tengku Iskandar lebih kepada rasa merajuk. Mana tidaknya, isteri lebih suka memerhati pemandangan Kota Paris daripada dirinya.
Hendak tergelak Aisyah mendengar suara rajuk suaminya itu. Sesekali suaminya itu merajuk, memang mencuit hati wanitanya. Pantas Aisyah memusingkan tubuhnya menghadap si suami. Tangannya naik ke pinggang suaminya yang mula cemberut. Dibalas pelukan suaminya itu dengan erat. Wajah kacak sang suami juga dipandang penuh rasa cinta yang mendalam.
Lima tahun telah berlalu. Namun pada pandangan Aisyah suaminya masih tampan seperti dulu. Usia suaminya yang telah menjangkau tiga puluh tiga tahun itu membuatkan kematangan lelaki itu kian terserlah. Apatah lagi dengan ‘goatee’ yang tersimpan rapi dan kemas. Menyerlahkan lagi ciri-ciri lelaki dewasa yang dimiliki. Jadi tidak hairanlah walau telah beristeri suaminya itu tetap menjadi pujaan ramai wanita di luar sana. Aisyah sedar hakikat itu.
“Siapa kata abang dah tua? Baru tiga puluh tiga tahun la bang.”
Ye la… tua la tu kalau nak dibandingkan dengan sayang yang baru nak masuk dua puluh lima tahun. Kalau orang tak kenal sayang ni isteri abang, tentu dia orang ingatkan sayang ni belum kahwin lagi.” Balas Tengku Iskandar. Kini nadanya berubah cemburu. Jarak usia antara dia dengan Aisyah membuatkan dia terasa dirinya ini telah meningkat tua. Padahal hakikat sebenar dia bukanlah tua mana pun.
Hisy… abang ni ke situ pulak. Biarlah kalau orang sangka Aisyah ni belum kahwin lagi ke apa. Yang penting… Aisyah tahu yang Aisyah ni isteri abang. Bantal peluk abang, kan?” sengaja Aisyah bergurau begitu. Senyuman nakal terukir pada bibirnya mungil.
Mendengar isterinya menyebut perkataan bantal peluk, senyuman gatal terukir pada bibir Tengku Iskandar. Hilang sudah rajuknya.
“Kebetulan sayang dah sebut pasal bantal peluk ni… apa kata kita rehat dulu. Dah puas rehat nanti, abang ajak sayang keluar jalan-jalan. Nak tak?” matanya dikenyit nakal kepada sang isteri. Membuatkan wajah Aisyah merona merah.
“Abang ni… gatal la!” tangan Aisyah menumbuk dada bidang Tengku Iskandar. Segan bila Tengku Iskandar mengusik dia seperti itu.
“Gatal abang pun dekat sayang sorang aje la.”
Ye la tu….” Aisyah mencebik. Cuba menguji hati suaminya.
“Betul. Sumpah!” Tengku Iskandar mengangkat tangan lagak orang berikrar. “Jom la sayang, kita rehat.”
Namun belum sempat Tengku Iskandar menarik tangan isterinya, Aisyah pantas bertindak. Dia berlari menjarakkan diri dengan Tengku Iskandar.
Uwek! Tak nak! Aisyah nak mandi. Abang rehatlah dulu.” Nakal Aisyah menjelir lidah kepada sang suami.
“Oh… sayang nak larikan diri ya. Meh sini!”
Tengku Iskandar berlari mahu mendapatkan Aisyah semula. Namun belum sempat dia meraih semula tangan isterinya itu, Aisyah telah menghilang di sebalik pintu. Ditutup rapat pintu bilik air tempat dia menyembunyikan diri daripada sang harimau. Suara ketawanya juga kedengaran.
“Sayang… buka pintu ni.” Bertalu-talu Tengku Iskandar mengetuk pintu.
“Tak nak!” balas Aisyah bersama tawa riang. Seronok dapat mengenakan suaminya.
Takpe… sayang tak nak buka ya. Kenakan abang ya. Takpetakpe… kali ni kalau abang dapat sayang, abang tak bagi lepas walau sesaat pun. Sayang tahulah nasib sayang bila keluar nanti.” ugut Tengku Iskandar dari luar.
“Tak kisah. Yang penting Aisyah dah menang. Aisyah nak mandi. Nanti abang penatlah tunggu Aisyah mandi lama-lama.” Ejek Aisyah senang hati. Gelak tawanya juga jelas menyapa halwa telinga Tengku Iskandar. Membuatkan lelaki itu mengetap bibir kerana berjaya dipersendakan isteri tercinta.
‘Dia kenakan aku ya. Takpe… lepas ni tahulah nasib dia macam mana.’ Hati Tengku Iskandar memasang tekad. Dia tak akan melepaskan Aisyah bila keluar nanti. Mana boleh kalah dengan isterinya yang menggoda itu.

4 ulasan: