W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Khamis, 26 Februari 2015

Isteri Dalam Sangkar2 1





ISTERI
DALAM SANGKAR 2
BAB 1

G
AMBAR yang terpampang indah di hadapan mejanya membuatkan hati Tengku Iskandar berbunga cinta. Sudah lima tahun dia dan Aisyah mendirikan rumah tangga. Cinta dan kasih sayangnya pada Aisyah tak pernah luntur. Malah dari hari ke sehari, cintanya pada sang isteri semakin hebat menyala. Bagaikan mereka pasangan yang baru berkasih sayang. Masa dan waktu bukanlah penghalang untuk cinta mereka terus mekar dan membara.
Sejujurnya dia cukup bahagia bersama Aisyah. Aisyah tak pernah ingkar arahannya. Aisyah tak pernah abaikan makan, minum, pakai dan kehendaknya. Jika boleh, segala apa yang dia inginkan akan Aisyah laksanakan sebaiknya. Inilah yang membuatkan dia semakin cintakan Aisyah. Perhatian wanita itu pada dirinya membuatkan dia rasa begitu bahagia dan dimanja.
Lima tahun mereka bersama, melayari bahtera berumah tangga, hidupnya dirasakan cukup teratur. Jika dulu masanya dihabiskan di tempat-tempat yang tidak berfaedah. Ditemani wanita-wanita berbagai rupa dan bangsa. Meneguk air kencing syaitan yang menyesatkan sekalian umat Nabi Muhammad S.A.W. Namun kini semua itu telah ditinggalkan jauh. Dia telah berubah sepenuhnya. Dia bukan lagi Tengku Iskandar yang dahulu
Tengku Iskandar tahu dia bukanlah lelaki setakwa rasul junjungan Nabi Muhammad S.A.W, tetapi dia berazam ingin menjadi lelaki akhir zaman yang beriman dan mampu menjaga isteri dan anak-anaknya sebaik mungkin berlandaskan ajaran islam. Dia bertuah kerana mempunyai isteri seperti Aisyah. Wanita itulah yang banyak mengajar dia agar kembali ke pangkal jalan. Membawa dia kembali kepada Allah S.W.T.
Tok! Tok! Tok!
Ketukan di muka pintu menyentak Tengku Iskandar dari lamunan. Pantas dia mengangkat pandangan mata ke muka pintu. Terjengul wajah Syeeda di situ.
“Bos… boleh saya masuk.” Pinta Syeeda dengan senyuman manis di bibir.
Tengku Iskandar mengangguk. Kedudukan tubuh diperbetulkan. Bingkai gambar Aisyah diletak semula ke tempatnya.
“Amboi bos… saya tengok bos ni asyik renung gambar Puan Aisyah aje. Tak puas-puas lagi ke tengok muka isteri kat rumah? Sampaikan kat ofis gambar menjadi mangsa?” Syeeda cuba mengusik.
Sejak Tengku Iskandar berubah sikap ini, Syeeda sudah berani mengusik bosnya itu. Kalau dulu, jangan harap Syeeda berani seperti ini. Menikus sahaja dia bila melihat kelibat ‘Tengku Harimau’. Takut sangat kena sembur dengan ayat-ayat keramat.
Lebar senyuman Tengku Iskandar mendengar usikan Syeeda. Padanya dia tak pernah puas menatap wajah Aisyah. Wajah itu bisa membuatkan hatinya menjadi tenang. Jika dia marah, hatinya mudah saja menjadi sejuk dengan melihat senyuman manis isterinya itu.
“Saya tak pernah puas tengok wajah isteri saya, Syeeda.” Pengakuan ikhlas daripada Tengku Iskandar sambil matanya menatap bingkai gambar di hadapannya.
“Wah… seronoknya. Bertuahlah Puan Aisyah bersuamikan bos.” Puji Syeeda.
Sekali lagi Tengku Iskandar tersenyum mendengar kata pujian Syeeda. Sebenarnya dia yang bertuah kerana memperisterikan Aisyah. Teringat kembali kata-kata Tengku Haziq padanya lima tahun dulu. Waktu itu dia tidak dapat menerima hakikat perkahwinannya ini.
I know it is not easy for you to accept what happened. But… whatever the reason, she is your wife. Kau kena terima dia seadanya. Mungkin ada hikmah disebalik semua ni. Dan Allah dah tentukan jodoh kau bersama Aisyah.”
Ya! Allah telah mempertemukan dia dengan wanita yang betul. Wanita yang telah membawa dia kembali ke pangkal jalan. Wanita yang menyedarkan dia pada dosa dan pahala.
“Awak dah buat apa yang saya suruh?” Tengku Iskandar mengubah topik perbualan. Semakin dilayan Syeeda bersembang, semakin melalut pula jadinya.
“Dah bos. Tiket dan hotel dah saya tempah macam yang bos suruh. Ini pula barang yang bos suruh saya beli.”
Sebuah kotak kecil dan dua keping tiket penerbangan diletakkan di hadapan Tengku Iskandar. Segala tugasan yang diberi telah dilakukan dengan sebaiknya. Harap-haraplah bosnya ini berpuas hati dengan kerja yang telah dilaksanakan.
Tengku Iskandar membelek kotak kecil yang telah dibalut cantik itu. Lebar senyumannya. Kemudian kotak kecil dan dua keping tiket dimasukkan ke dalam briefcase.
Good. Thanks Syeeda.”
Welcome bos.”
“Oh ya… saya kena pergi sekarang. Kalau ada apa-apa yang urgent, serahkan pada Tengku Haziq. Saya dah sign surat penyerahan tugas untuk Tengku Haziq kendalikan urusan syarikat sementara saya bercuti.”
Syeeda mengangguk faham. Setiap kali ketuanya itu hendak bercuti panjang, memang Tengku Haziq menggantikan tempat Tengku Iskandar buat sementara waktu. Dia sudah cukup faham dengan rutin yang satu itu.
Tengku Iskandar bangun dari duduknya. Dia perlu beredar dengan segera. Masih ada masa sebelum penerbangan yang dijangka berlepas malam nanti. Namun dia mahu menggunakan masa yang ada ini untuk mengajak Aisyah bertemu dengan mummy dan daddynya. Mummy dah merungut-rungut pada dia kononnya dia dah lama tak mengajak Aisyah datang ke rumah. Padahal baru hujung minggu lepas mereka datang ke sana. Mummy memang tak sah kalau tak berjumpa dengan menantunya yang seorang itu.
Happy holidays, bos. Sampaikan salam saya pada Puan Aisyah ya.” Ujar Syeeda sebelum Tengku Iskandar melangkah keluar.
“Insya-Allah Syeeda. Thank you so much for helping me.” Jawab Tengku Iskandar bersama sebaris senyuman manis di bibirnya. Tak sabar rasanya nak sampai ke rumah. Kejutan ini pasti menggembirakan isterinya.




TENGKU ISKANDAR melangkah masuk ke dalam kondo. Sunyi sepi sahaja keadaan di ruang tamu kondo itu. Kemudian dia menjengah ke ruang dapur. Mencari-cari kelibat isteri tersayang. Namun sayang, kelibat isterinya tiada juga di situ. Entah ke mana hilangnya kelibat Aisyah. Pantas, dia membawa pula langkah kakinya ke tingkat atas. Jika tiada di ruang tamu dan dapur, mungkin Aisyah sedang berehat di bilik atas.
Sebaik sahaja pintu bilik dikuak, kelibat Aisyah tiada juga kelihatan. Namun telinga Tengku Iskandar pantas sahaja menangkap bunyi pancuran air dari bilik mandi. Sedang mandi rupanya isterinya itu.
Sementara menunggu Aisyah selesai mandi, Tengku Iskandar ke bilik persalinan membuka blazer yang dipakai. Baju kameja dikeluarkan dari seluar dan dibiarkan santai begitu. Butang baju juga dibuka hingga menampakkan dadanya yang bidang.
“Pandanglah… lihatlah… pinggangku yang ramping dan dadaku yang bidang… marilah tuan-tuan dan nyonya… sama-samalah pandang… perempuan yang cantik… bikin hati goyang….”
Suara nyanyian Aisyah yang cukup menggoda kedengaran. Membuatkan Tengku Iskandar mengintai dari cela pintu bilik persalinan yang terbuka luas. Rasa hendak tergelak sahaja dia melihat aksi Aisyah yang sedang menggoyangkan tubuhnya di hadapan cermin. Boleh pula isterinya itu beraksi nakal dan seksi begitu bila bersendirian di rumah. Kalau dia ada, Aisyah tak pernah senakal itu. Sifat malu Aisyah padanya masih menebal biarpun mereka telah lima tahun menjadi suami isteri.
Ralit sungguh mata Tengku Iskandar memerhati tingkah Aisyah. Isterinya sesekali bertindak nakal begitu cukup mencuit hati. Membuatkan keinginannya membuak-buak. Namun dikawal dirinya kerana dia masih mahu melihat sejauh mana kenakalan Aisyah bila dia tiada di rumah. Boleh tahan!
Aisyah yang masih tidak menyedari ada sepasang mata sedang memerhatikan tingkahnya, segera mencapai losyen Nivea Extra Whitening. Dipicit sedikit ke tapak tangan dan dilumur ke betisnya yang putih melepak.
Perlakuan itu membuatkan Tengku Iskandar semakin gundah gulana. Tak senang duduk bagaikan cacing kepanasan. Perlahan-lahan dia keluar dari bilik persalinan dan menghampiri sang isteri yang sedang membelakanginya. Diperhati tingkah isterinya itu penuh minat. Nampaknya Aisyah masih belum sedar kehadirannya di situ.
Usai menyapu losyen ke tubuh yang hanya bertuala separas lutut, Aisyah berpaling untuk ke bilik persalinan.
“Opocot… Pak Rimau dah balik!” terkejut Aisyah melihat kelibat Tengku Iskandar di situ. Pantas saja dia melatah.
Tersenyum nipis sahaja Tengku Iskandar mendengar latah isterinya itu. Penyakit Aisyah yang tak pernah ada penawarnya sejak dulu lagi. Namun latah isterinya kadang-kala membuat hatinya terhibur.
“Abang ni buat Aisyah terkejut aje.” rungut Aisyah sambil mengurut dadanya yang berdebar akibat rasa terkejut. Wajah suaminya dipandang.
Glup! Liur yang ditelan rasa tersekat. Pandangan maha membunuh Tengku Iskandar membuatkan jantungnya mula tak tentu rentak. Rasa nak tercabut dari tangkainya.
Errr… abang… bila sampai? Aisyah tak dengar pun.” tanyanya kemudian dengan rasa gugup yang melanda jiwa. Cuba dikawal debaran di dada tetapi dia gagal bila sang suami mula menghampiri. Semakin seram sejuk dia jadinya. Pertanyaannya juga langsung tidak berjawab. Malah semakin tajam pula renungan mata Tengku Iskandar meratah wajah dan tubuhnya.
Aisyah mengetap bibir bila rambut panjangnya yang basah itu menjadi sasaran hidung Tengku Iskandar. Kemudian dia sedikit mengeliat bila kucupan hangat Tengku Iskandar mendarat ke bahunya yang terdedah. Dadanya rasa nak pecah ketika itu juga. Tingkah laku Tengku Iskandar membuatkan dia tak tentu arah.
Errr… abang….” Panggil Aisyah cuba menyedarkan Tengku Iskandar dari perbuatannya. Boleh jadi sasau dia macam ini jika tidak dihalang perbuatan suaminya itu. Tengku Iskandar memang bijak membuatkan Aisyah berada seperti di awangan.
Tengku Iskandar mengangkat wajahnya. Mata cantik Aisyah ditatap dengan redup. Sebaris senyuman diberikan kepada isterinya itu. Senyuman bermakna yang cukup mendebarkan. Lantas dia mendekatkan bibir ke telinga Aisyah. Berbisik sesuatu sehingga membuatkan wajah Aisyah berona merah.
Bisikan suami disambut dengan mata dipejam rapat. Tiada alasan untuk dia menolak. Dia tahu tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Kehendak suami harus dituruti.

11 ulasan: