BAB
10
WAN
DANIEL sekadar mendengar. Rancak sekali celoteh Suhana
malam ini. Setiap kali bercerita, tunangnya itu pasti tak lupa menyelitkan nama
Adam. Adam itu, Adam ini. Pendek kata, semua yang baik-baik adalah milik Adam.
Naik rimas juga dia asyik mendengar nama itu. Belum sebulan Suhana berpindah ke
tempat baru, dia dah ada pesaing. Tak boleh jadi macam ni!
Kalau
bukan kerana dia cintakan Suhana, tak sudi dia menadah telinga mendengar cerita
Suhana pasal pesaingnya itu. Hebat sangatkah Adam ini? Sampai Suhana tak serik
menyebut namanya itu. Hmmm… nampak
gaya dia kena berjaga-jaga dengan Adam. Kena ambil tahu bagaimana rupa paras
Adam yang buat tunangnya ini tak sudah-sudah menyebut nama itu.
“Awak!
Awak dengar tak saya cakap ni?” Suhana menaikkan sedikit oktaf suaranya apabila
melihat Wan Daniel sibuk membelek-belek telefon pintarnya. Langsung tak peduli
apa yang dia ceritakan. Buang liur saja bercerita bagai nak rak jika ceritanya
itu langsung tak menarik minat Wan Daniel untuk mendengarnya.
“Iya…
saya dengar. Awak cerita aje la.” Acuh tak acuh Wan Daniel menjawab. Mata dan
tumpuan masih kepada laman sosial facebook yang sedang dilayari.
Suhana
menggigit bibir bawah. Geram melihat sikap Wan Daniel. Selalu itu, Wan Daniel
akan melayan bicaranya. Tapi malam ni boleh pula lelaki itu buat muka bosan.
Kalau macam tu, dia pun nak zip mulut jugalah. Tak guna bercerita dengan orang
yang tak sudi mendengar ceritanya.
Telefon
pintar ditarik keluar dari beg tangan. Kemudian dia melayari laman facebook.
‘2 boring night
of my life’
Itu
bunyi status Wan Daniel yang dibacanya. Ada beberapa like dan komen dari rakan-rakan lelaki itu.
Lirikan
mata Suhana memincing mata ke arah Wan Daniel. Lelaki itu masih sibuk dengan
dunianya. Langsung tak endahkan Suhana. Macam Suhana ini tak wujud saja!
‘Kalau
dah tahu bosan tu kenapa ajak aku keluar? Menyampah!’ Hati kecil Suhana
berbicara. Kecil hati dengan status Wan Daniel. Wajahnya yang ceria sudah
bertukar masam. Pantas dia juga menaip sesuatu pada status facebooknya. Ingat Wan Daniel seorang sajakah yang boleh tulis
status macam tu. Dia pun nak tulis status menyindir.
‘Lebih baik
duduk kat rumah kalau tahu malam ni membosankan!’
Begitu
pula bunyi status Suhana. Siap letak tanda seru lagi. Itu tanda tak puas hati.
Tak
sampai seminit, ada beberapa rakannya sudah menyukai statusnya itu. Kemudian
ada juga yang mula memberi komen.
Nonoi - ‘Layan Detective Conan lagi best!’
Firman - ‘Keluar
dgn I ttu u tk bosan.’
Kak Ton - ‘Awatnya
yg bosan? Ce citer… ce citer. Hihihi…’
Bibie - ‘Ce ajak aku kuar… sah ko tk bosan.’
Itu
antara komen yang diterima. Selang sesaat, komennya berisi nama ‘Handsome man’
pula.
Handsome man - ‘U bored out with me?’
Komen dari si ‘Handsome man’ yang
perasan tak berkesudahan itu tidak dibalas. Malas dia nak melayan. Dah orang tu
yang kata malam ni membosankan, kenapa nak kata dia pula? Huh, menyampah!
Wan
Daniel angkat kepala. Wajah Suhana dipandang. Tu dia… masam mengalahkan asam
gelugur!
“Apasal
tiba-tiba masam pulak ni? Tadi bukan
main lagi awak bercerita. Dah habis ke cerita awak tu?” tanya Wan Daniel dalam
nada menyindir.
Suhana
mengetap bibir. Bukan dia tak tahu Wan Daniel sedang menyindirnya. Entah apa
penyebab yang membuatkan lelaki itu tak puas hati dengannya? Nak kata dia buat
salah, tapi apa pula salahnya? Wan Daniel memang sengaja cari masalah!
“Buat
apa nak cerita kalau orang tu rasa malam ni cukup membosankan? Buat sayang liur
saya aje. Baik layan facebook!” Balas
Suhana. Apa Wan Daniel ingat dia seorang sajakah yang boleh main sindir-sindir?
Suhana pun boleh la!
‘Amboi…
dia balas sindir pula dah… tak boleh jadi macam ni.’ Hati Wan Daniel berkata.
Wajah Suhana yang mencuka masih dipandang. Walau masam ibarat cuka basi sekali
pun, di matanya Suhana tetap cantik.
Tiba-tiba
Suhana bangun dari duduknya. Dahi Wan Daniel berkerut.
“Awak
nak ke mana tu?”
“Nak
balik la. Saya bosan la malam ni.” tak puas lagi Suhana main sindir-sindir.
Ayat ‘bosan’ sengaja ditekan kuat. Kemudian dia terus melangkah meninggalkan
Wan Daniel.
Kelam-kabut
Wan Daniel dibuatnya. Pantas dia mengamit tangan memanggil pelayan bagi
mendapatkan bil. Setelah membayar bil, terkocoh-kocoh dia mengejar langkah
Suhana yang sudah panjang menuju ke tempat letak kereta.
Malam
ni dia tak nak pujuk Suhana. Biarlah mereka sama-sama merajuk. Dia memang
berkecil hati sangat dengan tunangnya itu yang tak sudah-sudah menyebut nama
Adam. Huh! Hebat sangatkah Adam itu?!
Dalam
diam Wan Daniel bertekad mahu bersemuka dengan lelaki bernama Adam.
AWAL
pagi lagi kelibat Wan Daniel sudah tercongok depan pintu pagar rumah sewa
Suhana dan rakan-rakannya. Lelaki itu kelihatan segak memakai pakaian seragam
seorang juruterbang. Cermin mata hitam menambahkan lagi ketampanan milik Wan
Daniel. Disebabkan ketampanannya inilah, Nonoi dan Mimie begitu
tergila-gilakannya. Bagai nak histeria mereka bila ternampak kelibat Wan
Daniel.
Suhana
yang sudah siap berbaju kurung dan bertudung litup mengecilkan anak matanya.
Terkejut melihat kelibat Wan Daniel di situ pagi-pagi begini. Entah apa
mimpinya? Pantas sahaja Suhana bergerak ke pintu pagar dan membukanya.
“Assalammualaikum….”
Ucap Wan Daniel bersama senyuman lebar.
Semalaman
dia merajuk dengan Suhana, hatinya mula tak tenteram. Tak tahan merajuk
lama-lama dengan tunangnya ini. Rasa rindu begitu menggebu. Alamatnya, dia
memujuk diri sendiri. Tak guna bermasam muka dengan Suhana hanya kerana seorang
Adam.
“Waalaikumusalam. Apa mimpi awak datang
pagi-pagi ni?”
Wan
Daniel tersenyum. Dia menjenguk semula ke dalam kereta. Kemudian sejambak mawar
merah yang telah digubah cantik diunjukkan pada Suhana. “I want to apologize about last night. I'm sorry.”
Wajah
Wan Daniel dan jambangan bunga itu dipandang silih berganti.
“Sorry….” Pinta Wan Daniel penuh
mengharap. Selagi Suhana tak memaafkan dirinya, selagi itu dia tak senang hati.
Suhana
menghela nafas. Macam budak-budak pula Wan Daniel buat muka macam tu. Sedangkan
umur dah masuk dua puluh lapan tahun.
“Iye la. Iye la. Hisy… awak ni
kan, mengada-ngada!”
Jambangan
bunga bertukar tangan. Barulah Wan Daniel bisa menarik nafas lega. Nasib baik
Suhana bukan jenis perempuan yang sukar dipujuk. Rajuknya juga tak panjang. Itu
yang istimewanya Suhana di hati Wan Daniel.
“Jom,
saya hantar awak ke tadika.” Pelawa Wan Daniel setelah melihat wajah Suhana tak
semasam semalam.
“Eh,
tapi kan awak nak fly? Tak payah la
hantar saya. Saya boleh tumpang Nonoi aje.” Tolak Suhana tak nak susahkan
tunangnya itu. Lagipun jarak antara tadika ke lapangan terbang KLIA bukannya
dekat.
“Takpelah. Saya kerja pun sebelah tengah
hari. Ada masa lagi nak hantar awak ke tadika.”
“Tapi….”
“No objection! Saya hantar awak. Dah…
pergi ambil barang-barang awak, saya tunggu awak kat sini.” Bagaikan seorang
komando, Wan Daniel memberi arahan mandatori kepada Suhana.
Tanpa
mahu berdebat, Suhana akur menurut perintah. Dia masuk semula ke dalam
mengambil beg dan barang-barang keperluan yang selalu dibawa ke tadika.
MERAH
padam muka Wan Daniel. Malu bukan kepalang! Mati-mati dia sangkakan Adam yang
diceritakan Suhana padanya adalah seorang pria tampan. Rupanya Adam yang
dicemburui dalam diam itu seorang anak kecil yang comel dan begitu petah
berkata-kata. Tak sangka, dia tergolong dalam golongan orang cemburu buta!
Wan
Daniel tersenyum sambil menggaru kepalanya. Kalau bukan sebab nak cover rasa malu depan Suhana, sudah lama
dia menyembunyikan diri. Terpaksalah dia berlagak selamba sedangkan dalam hati
dia dah mengutuk tindakannya yang cemburu tak kena tempat. Kerana cemburu, dia
datang ke tadika dengan memakai pakaian seragam. Semua itu dilakukan
semata-mata nak berdepan dengan Adam. Konon nak tunjuk dia lebih hebat dari
lelaki itu.
Namun
sebaik saja si kecil itu berada di depannya, dia terkedu sendiri. Matanya
langsung tak berkedip memandang Adam yang begitu manja dengan Suhana. Malah
tunangnya itu juga nampak begitu rapat dengan Adam. Setiap pertanyaan anak
kecil itu dijawab dengan mesra.
Melihat kemesraan Suhana dan Adam, timbul rasa bahagia di hati Wan
Daniel. Dari situ dia dapat melihat sifat keibuan milik gadis kesayangannya
itu. Membuatkan cintanya pada Suhana makin membara. Tak salah dia memilih gadis
itu sebagai pilihan hatinya.
Tu la..cemburu buta lgi..kn dah malu..nsib baik suhana tak tau..klau mesti kne gelak je..
BalasPadamtu la pasal..dgn bdk kecik pun nk cemburu melangit
Padambest 3x.
BalasPadamtq tq tq
Padambest sesgt.. x sabar nak tggu next chap :)
BalasPadammanuskrip ne dinilai..mgkn xkn up lg n3 baru..hihihi..terima kasih sebab suka ya..
Padam