BAB
9
“ABAH!”
Laung
Adam sebaik wajah Dr. Akasyah terlayar depan mata. Riang hatinya dapat berjumpa
abahnya pagi ini. Selalunya, bila dia bangun dari tidur abahnya sudah
menghilang pergi ke klinik. Namun pagi ini abah masih berada di rumah.
Dr.
Akasyah tersenyum. Wajah sang anak yang ceria disambut dengan rasa gembira. “Iye sayang ada apa?”
“Adam
ada sesuatu nak tunjuk kat abah.” Ujar Adam dengan nada riang. Dia masih
berbaju tidur ketika itu. Tergesa-gesa dia turun ke bawah semata-mata nak
berjumpa dengan abahnya.
“Apa
dia?”
“Ada
la. Abah tunggu kejap tau.” Ujar Adam lagi kemudian dia berlari naik semula ke
tingkat atas.
Tergeleng-geleng
kepala Dr. Akasyah melihat telatah anaknya itu. Air coklat dihirup perlahan.
Matanya kembali menyoroti helaian berita harian yang berada di atas meja.
Macam-macam kes sekarang ini. Lebih menyayat hati adalah kes pembuangan bayi.
Dr. Akasyah cukup mengecam perbuatan terkutuk ini. Kasihan pada bayi-bayi yang
tak berdosa.
“Abah…
nah!”
Sepucuk
sampul biru yang dihulurkan mematikan pembacaan Dr. Akasyah. Dia berpaling pada
Adam yang sedang tersenyum-senyum. Ceria bukan main anaknya pagi ini. Senyuman
langsung tak lekang dari bibirnya yang kemerahan. Sehingga lesung pipit kecil
di pipi kanannya terserlah. Lesung pipit yang diwarisi dari arwah isterinya.
“Apa
ni?” tanyanya dengan dahi berkerut.
“Abah
tengoklah dulu.” Jawab Adam yang masih setia berdiri di hadapan abahnya menanti
reaksi lelaki itu. Wajahnya cukup riang pagi itu.
Tanpa
banyak soal, Dr. Akasyah membuka sampul biru itu. Sekeping kad ditarik keluar.
Kemudian dia membaca isi kandungannya.
‘Selamat
hari ibu, mama… Adam & abah sayang mama dunia akhirat.’
Terkesima
Dr. Akasyah membaca tulisan si kecil itu. Berdebar hebat jantungnya. Tak dapat
digambarkan perasaannya ketika ini. Rasa sayu mula bertandang.
“Adam
tahu mama dah takde. Tapi… Cikgu Hana
kata tak salah kalau Adam buat kad ucapan selamat hari ibu untuk mama. Kad tu
Adam boleh simpan untuk kenangan. Betul tak abah?”
Dr.
Akasyah tak terkata apa. Matanya tunak memandang si kecil yang masih lagi
tersenyum manis. Riaknya begitu polos dan meruntum jiwa seorang ayah. Anak
kecil yang masih tak tahu betapa sakitnya erti sebuah perpisahan.
Pantas
Dr. Akasyah menarik Adam ke dalam pelukannya. Hatinya benar-benar tersentuh.
Tanpa dapat dia menahannya, airmata itu gugur membasahi pipi seorang insan
bernama lelaki dan ayah.
Merasakan
ada titisan airmata yang mengenai bahunya, Adam meleraikan pelukan. Wajah
abahnya yang basah dengan airmata dipandang. Kemudian jemari kecilnya mengesat
airmata si abah.
“Abah
janganlah menangis. Cikgu Hana kata, yang hidup pasti berdepan dengan mati.
Kita juga akan mati satu hari nanti. Masa tu kita dah boleh jumpa mama semula.”
Sesak
nafas Dr. Akasyah mendengar kepetahan anak kecil itu mengungkap bicara. Hatinya
robek bagai dicarik dengan belati yang tajam.
“Abah
jangan nangis ya?” pujuk Adam. Jemari kecilnya sekali lagi mengesat airmata Dr.
Akasyah yang tak henti-henti membasahi pipi. Kemudian satu ciuman mendarat ke
pipi abahnya itu. “Adam sayang abah.” Ujarnya penuh kasih.
“Abah
pun sayang Adam jugak.” Balas Dr. Akasyah.
Tubuh kecil Adam dibawa hangat ke dalam pelukannya. Ubun-ubun Adam dikucup
tanpa henti.
Di
sebalik muka pintu yang memisahkan ruang makan dan dapur, Hajah Fauziah juga
sudah lencun dengan airmata. Hiba hati tuanya mendengar bicara pagi Adam.
Cucunya itu… semoga Allah memberi perlindungan buat anak kecil itu.
ADAM
melambai-lambai tangan ke arah Toyota Prius putih yang sudah bergerak
meninggalkan dirinya. Sampaikan dia tak sedar perlakuannya ini menjadi
perhatian cikgunya. Tersenyum Suhana melihat telatah awal pagi Adam.
“Assalammualaikum….”
Sapa Suhana.
Adam
yang leka dengan perbuatannya segera berpaling. “Waalaikumusalam cikgu.” Jawabnya dengan ceria.
“Wah…
happy nampak. Siapa yang hantar Adam
tu?” tanya Suhana kepada Adam. Sebaik dia sampai tadi, kereta Toyota Prius itu
sudah pun berlalu. Selalunya yang menghantar Adam adalah si Mamat dengan bas
sekolahnya.
“Itu
abah Adam cikgu.”
“Ohhh…
patutlah Adam nampak happy. Hari ni abah
yang hantar ya?”
Adam
mengangguk-angguk. Hatinya riang bila abah menghantar dia ke sekolah hari ini.
Sebelum itu, mereka sempat singgah ke satu tempat istimewa dulu. “Ha’ah. Adam dengan abah pergi ziarah
kubur arwah mama. Kami bagi mama bunga mawar putih sempena hari ibu.”
“Alhamdulillah…
Adam ni memang anak yang baik. Tentu arwah mama Adam bangga dapat anak macam
Adam.” Puji Suhana. Rambut Adam digosok penuh kasih. Rasa sayangnya pada Adam
Zakwan semakin menebal dari hari ke sehari. Tambah lagi bila mendapat tahu anak
kecil itu tak punya ibu. Semakin sayanglah dia pada Adam.
Tersenyum
Adam mendengar pujian cikgunya. Kembang hatinya bila dipuji begitu.
“Adam
ada sedekahkan yassin untuk arwah mama ke?”
Adam
menggeleng. “Adam tak tahu baca yassin lagi cikgu. Abah aje yang baca yassin.
Adam cuma sedekahkan mama dengan surah Al-Fatihah.”
“Alhamdulillah…
tu pun dah kira bagus tau. Nanti Adam belajar mengaji sampai khatam Al-Quran
dan belajar baca yassin ya. Boleh sedekahkan untuk arwah mama. Tenang dan sejuk
kubur arwah mama Adam nanti.”
Beria
Adam mengangguk. Berkobar-kobar semangatnya mahu menamatkan bacaan Iqranya dari
nenek. Selepas solat maghrib nenek tak pernah lupa mengajar dia mengaji.
“Cikgu,
Adam ada sesuatu nak bagi cikgu.” Ujar Adam kepada Suhana yang masih lagi
berdiri di hadapannya.
“Adam
nak bagi cikgu apa?”
Adam
tak menjawab. Beg yang disandang dibawa ke depan. Kemudian dia mengeluarkan
satu sampul biru dari dalam begnya. Sampul itu dihulurkan kepada Suhana.
“Apa
ni?” tanya Suhana menyambut sampul biru pemberian Adam.
“Kad
untuk cikgu.” Beritahu Adam bersama senyuman merekah di bibir. Semalam dia
bertungkus lumus menyiapkan kad istimewa itu khas untuk cikgu kesayangannya
ini.
“Tapi
hari guru kan lambat lagi.”
“Takpelah.
Yang ni special. Cuma cikgu aje yang dapat.”
Suhana
tersenyum. “Kiranya cikgu ni orang terpilih la ya?”
Adam
mengangguk.
Penuh
cermat Suhana membuka sampul biru. Kad bewarna merah jambu muda ditarik keluar.
‘Selamat
hari ibu,cikgu. Adam sayang cikgu.’
Suhana
tersenyum. Terharu mendapat kad istimewa dari anak muridnya. Sepanjang dia
menjadi guru tadika, belum pernah ada seorang anak murid pun yang mengirim kad
hari ibu buatnya. Adam merupakan pelajar pertama.
“Cikgu…
boleh tak Adam panggil cikgu mama?” pinta Adam. Wajah Suhana dipandang penuh
mengharap.
Permintaan
Adam membuatkan Suhana terkesima. Tentu Adam rindukan panggilan mama sehingga
meminta kebenaran memanggilnya dengan panggilan itu. Tumpah rasa simpatinya
pada nasib si kecil yang telah kehilangan ibu ini.
Tanpa
berfikir panjang, dia mengangguk. Tak salah rasanya jika anak kecil ini
memanggilnya dengan panggilan mama. Apa yang penting, dia dapat membahagiakan Adam
dan melihat anak itu gembira. Itu sudah cukup baginya.
“Horrey!!! Adam dah ada mama.” Adam
menjerit girang sambil melompat-lompat. Gembira bukan kepalang bila Cikgu
Suhana sudi menjadi ‘mama’nya.
Suhana
sekadar mengukir senyum. Sayangnya dia pada anak kecil ini hanya Allah yang
tahu. Melihat Adam Zakwan, bagaikan dia melihat diri seseorang yang pernah
berada di hatinya. Ke mana agaknya orang itu menghilang? Sesekali rasa rindu
itu datang bertandang.
DR. AKASYAH
menyandarkan tubuhnya ke bahu kerusi. Fikirannya merewang ke arah Adam.
Sepanjang dalam perjalanan menuju ke tadika pagi ini, Adam kelihatan begitu
ceria. Semangat benar dia hendak sampai ke tadika. Mulutnya juga tak
henti-henti menyebut nama Cikgu Hana.
Dr.
Akasyah tak kenal siapa Cikgu Hana yang dimaksudkan anaknya itu. Kalau sebut
Cikgu Wan, memang dia teramat mengenalinya. Cikgu Wan merupakan pemilik Tadika
Bintang Cemerlang. Tapi Cikgu Hana, dia langsung tak kenal siapakah gerangan
cikgu yang menjadi sebutan anaknya ini. Cuma menurut cerita Adam, Cikgu Hana
merupakan guru baharu yang menggantikan tempat Cikgu Moon. Orangnya baik dan
cantik.
Terukir
senyuman Dr. Akasyah bila Adam memuji cikgunya itu cantik. Anaknya itu,
kecil-kecil lagi dah pandai menilai kecantikan seseorang. Bukan main lagi dia
memuji kecantikan cikgunya itu. Boleh tahan juga Adam ini. Entah perangai
siapalah yang diikutnya? Jika dikatakan menurun perangainya, Dr. Akasyah
bukanlah jenis lelaki mata keranjang. Dia juga bukan lelaki yang gemar
meluahkan ayat-ayat cinta pada setiap perempuan yang diminati. Kalau begitulah
perangainya, tentu sudah lama dia meluahkan isi hatinya pada seseorang.
Mengenang
seseorang yang pernah berada dalam hatinya, Dr. Akasyah melepas sebuah keluhan.
Sudah lama dia tidak mengikuti perkembangan bekas rakan-rakan sekolahnya. Tiada
seorang pun antara rakan-rakan sekolah yang diketahui alamatnya. Bukan dia
menyombong, cuma dia tidak tahu siapa yang harus dihubungi.
Tok!
Tok! Tok!
Ketukan
di muka pintu mematikan lamunan Dr. Akasyah. pantas dia memalingkan wajahnya ke
muka pintu yang sudah terbuka.
“Assalammualaikum
doktor.” Sapa seorang makcik.
Dr.
Akasyah tersenyum. Sempat pula dia melamun di masa bekerja. Baru dia sedar
masih ada pesakit yang memerlukan rawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan