ISTERI
DALAM SANGKAR
**2**
“AKU
geram betul la dengan Mak Cik Nin tu! Sampai hati dia buat kau macam ni. Sampai
naik berbekas dia cubit lengan kau. Apa dia ingat kau ni anak patung ke nak
main cubit-cubit? Dia tu memang dah melampau!” Ros menggumam marah sambil
menggosok minyak gamat ke lengan putih melepak Aisyah.
Simpatinya
dia pada nasib yang menimpa sahabat baiknya itu. Sejak kedua orang tua Aisyah
meninggal dunia dalam kemalangan ngeri lima tahun yang lalu, hidup sahabat
baiknya itu sudah banyak berubah. Sudah tidak seceria dulu. Aisyah menjadi
mangsa penderaan Puan Ainin dan dua anaknya yang perangai macam monyet itu.
Semua menyusahkan Aisyah.
“Cuba
kau tengok lengan kau ni? Dah berbekas dia kerjakan. Eiii… memang perempuan sihir tak berhati perut! Kalau akulah berada
di tempat kau Aisyah, dah lama aku melawan balik dengan apa yang dia buat. Dia
dengan anak-anak ‘monyet’ dia tu memang tak sedar diri. Dahlah menumpang
tinggal kat rumah peninggalan arwah mak abah kau, boleh pulak berlagak macam ‘mem besar’ anak-beranak. Jadikan kau macam
orang gaji dalam rumah sendiri.” Masih belum reda marah si Ros pada Puan Ainin
dan anak-anaknya itu. Baginya Puan Ainin dan anak-anaknya itu adalah beban pada
Aisyah.
“Tak
mengapalah Ros. Dah nasib aku macam ini. Nak buat macam mana? Lagipun cuma mak
su yang aku ada dalam dunia ni. Tanpa mak su dan sepupu-sepupu aku tu, aku
hidup sebatang kara.” Lembut saja Aisyah membalas. Tidak mahu suaranya yang
meninggi akan mengecilkan hati Ros. Ros sahabat baiknya. Sahabat yang selalu
ada di waktu dia suka dan duka. Dan dia juga tahu Ros tidak sukakan mak su dan
sepupu-sepupunya.
Ros
mendengus. Geram mendengar jawapan yang keluar dari mulut Aisyah.
“Hah…
tu la kau. Kalau aku cakap pasal Mak Cik Nin dan anak-anak monyet dia tu, laju
aje kau membela dia orang anak-beranak. Sedangkan kau tak fikir apa yang dia
orang anak-beranak buat dekat kau. Selalu nak sebelahkan dia orang.” Cebikan di
bibir Ros menandakan dia sudah mula mahu merajuk.
“Cubalah
berkeras sikit Aisyah. Sampai bila kau nak kena buli dalam rumah sendiri? Rumah
tu… rumah peninggalan arwah abah dan mak kau untuk kau. Bukannya untuk dia
orang anak-beranak nak bermaharajalela. Taman bunga mawar tu pun… kau yang
punya. Tapi tengok siapa yang berkuasa? Mak cik Nin dan Fasha. Macamlah taman
bunga tu dia orang yang punya anak-beranak. Kau pula jadi kuli. Sampai bila kau
nak jadi macam ni? Kau tak fikir ke ha yang dia orang tu tengah seksa kau?”
bertubi-tubi Ros memberikan soalan berunsur lepas geram. Jika bukan memikirkan
Aisyah itu sahabat baiknya, mahu rasanya dia mengatakan Aisyah itu bodoh. Namun
dia tidak sampai hati.
Wajah
cemberut Ros membuatkan Aisyah rasa bersalah. Bukan niatnya mahu menyebelahi
mak su dan sepupu-sepupunya. Namun hanya itu saja pilihan yang dia ada. Dia
tiada saudara lain selain daripada mak su dan anak-anaknya itu. Arwah abah anak
yatim piatu. Tiada adik-beradik pun. Arwah emak pula hanya ada seorang adik kembar
tidak seiras iaitu Mak Su Aininnya. Jadi, hanya mak sunya itu sajalah saudara
kandung yang dia ada.
Dia
tahu Ros berkata kerana sayangkan dia sebagai sahabat. Namun dia sudah tiada
pilihan lagi.
“Aku
bukan nak sebelahkan dia orang Ros. Tapi… apa lagi pilihan yang aku ada. Aku
cuma ada mak su seorang. Walau dia tak sukakan aku, hanya dia saja saudara yang
aku ada dalam dunia ni.” lirih Aisyah menutur ayatnya. Terasa seperti ada air
mata yang mahu merembes keluar. Emosinya tidak berapa baik hari ini. Rindunya
pada arwah emak dan abah begitu membuak-buak menyebabkan air matanya mudah saja
mahu mengalir.
Ros
melepaskan keluhan. Rasa bersalah pula dia pada Aisyah. Lantas dia menyentuh
lembut bahu temannya yang sudah menundukkan wajah itu. Daripada bahu Aisyah
yang sudah terhenjut-henjut, dia tahu Aisyah sedang menangis. Membuatkan rasa
bersalahnya bertimpa-timpa.
‘Kenapa
la mulut aku ni celupar sangat?’ rungut Ros dalam hati.
“Maafkan
aku Aisyah. Aku tak bermaksud nak cakap macam tu dekat kau. Aku cuma geram
sangat dekat Mak Cik Nin tu. Sampai hati dia buat kau macam ni. Aku sedih tau kawan
baik aku kena buat macam ni. Aku dah anggap kau macam saudara kandung. Kalau
kau kena seksa, aku juga rasa tempiasnya.” Ros memujuk. Nadanya juga sudah
mengendur.
“Aku
faham Ros. Terima kasih sebab kau memang kawan yang baik dan selalu sokong aku.”
“Aku
mintak maaf okey?” selagi Aisyah tidak memaafkan dia, hatinya tidak senang.
Aisyah
mengangguk. Tak pernah pun dia marahkan Ros. Dia tahu niat baik sahabatnya itu.
Cuma kadang-kala, butir bicara tajam yang meniti keluar dari mulut gadis itu
membuatkan dia terasa hati. Bukan dia minta nasibnya begini. Sudah suratan
Ilahi dia harus menempuh hidup yang penuh kesukaran ini. Dia tahu pasti ada
hikmah di sebalik kesukaran yang dia alami ketika ini.
“Senyum
la….” Ros menolak badan Aisyah dengan badannya. Selagi Aisyah tidak senyum,
selagi itu dia tak senang hati. Dia mahu melihat senyuman manis yang terukir di
bibir sahabat baiknya itu.
Lantas,
Aisyah mengukir sebuah senyuman. Air mata dikesat dengan tapak tangan. Dengan
Ros rajuknya tak pernah berpanjangan.
“Ha…
macam inikan cantik.” Puji Ros. Lega bila Aisyah sudah mula tersenyum kembali.
“Lain kali kalau mak cik sihir tu nak pukul atau cubit kau lagi, kau bagitau
aku. Biar aku aje yang ajar dia.” Sambung Ros dengan lagak berani mati.
Aisyah
hanya tersenyum. Ros ni kalau cerita pasal mak su dan Fasha memang berapi-api
dia marah.
“Thanks Ros. Kaulah kawan aku dunia
akhirat.” Ucap Aisyah sambil memeluk erat tubuh kurus Ros.
Terharu
Ros mendengar Aisyah berkata begitu. Aisyah ni memang jenis yang lurus. Disebabkan
itulah dia menjadi mangsa kekejaman Mak Cik Nin dan anak-anak monyetnya itu.
Namun
Ros tidak mahu melayan emosi sedih ini lama-lama. Nanti termenangis pula. Tak rocklah dia nak menangis depan Aisyah.
Jika boleh dia mahu sentiasa kuat di depan Aisyah. Mahu Aisyah menganggap dia
teman yang boleh dibuat sandaran bila gadis itu kesedihan.
Laju
dia berkata, “Eh… janganlah peluk-peluk aku Aisyah. Nanti ada orang nampaklah.
Nanti kena gosip Miss Les pulak kita ni. Huuu… tak nak ar! Aku
masih perempuan tulen tau.”
Aisyah
sudah ketawa. Kelakar bila Ros tayang muka geli-gelemannya itu.
“Eleh…
cakap ajelah kau takut kalau cik abang Ikram kau tu nampak.” Aisyah menggiat.
Dia tahu Ikram sukakan Ros. Cuma Ros saja yang jual mahal. Tak mahu konon!
“Eh…
ini takde kena mengena dengan si katak mata empat tu la!”
“Eleh…
malu-malu pulak. Ala-la-la… cayang
busyuk!”
Ros
sudah tidak tertahan bila Aisyah sudah buat muka kelakarnya itu. Lantas mereka
sama-sama ketawa riang.
“HMMM…
baru balik?! Baru nampak batang hidung!” sergah Puan Ainin sebaik saja kelibat
Aisyah kelihatan di muka pintu.
Mendengar
suara itu, Aisyah hanya menunduk. Tidak berani dia hendak menjawab. Takut
tersilap jawab, tangan mak su akan naik lagi ke badannya.
“Kau
dari mana? Dari kubur mak bapa kau? Kalau kau dah suka sangat pergi kubur tu,
apa kata kau berumah terus kat situ. Tak payah balik sini lagi. Kau tahu tak
banyak kerja kat rumah ni yang belum selesai. Yang kau asyik nak ke kubur tu
buat apa? Jumpa mak bapa kau? Begitu?!”
Pedas
sekali bicara Puan Ainin menusuk halwa telinga Aisyah. Membuatkan Aisyah sebak
dan air matanya mengalir. Tersentuh bila mak su mengata dia sedemikian rupa.
Puan
Ainin mendengus. Kasar bunyinya. Dah serupa bunyi kerbau betina tak kena layan
kerbau jantan saja. Benci benar dia melihat air mata Aisyah. Cengeng!
Sikit-sikit nak tangkap leleh!
“Alaaa…
mak. Tu tak lain tak bukan pergi menggatal la tu. Pergi tayang muka dekat
mamat-mamat yang duk melepak dekat bus
stop tu. Macam la mak tak tahu anak sedara kesayangan mak tu jenis gedik
menggelitis. Asyik nak menggoda jantan aje kerjanya.” Fasha yang sedang
bersenang lenang membaca majalah mangga di atas sofa bersebelahan dengan
emaknya sudah mula mencela.
Pantang
diberi peluang, cepat saja dia nak mengapi-apikan emaknya. Dia suka setiap kali
emaknya marahkan Aisyah. Rasa satu kepuasan pula bila dapat menyakitkan hati
gadis itu dan membuat Aisyah menangis.
“Huh!
Emak dengan anak sama saja gatalnya. Dasar keturunan penggoda!” dengus Puan
Ainin lebih kepada melepaskan dendam kesumatnya pada arwah si kakak.
Terkesima
Aisyah mendengar kutukan mak sunya kepada arwah emak. Sampai hati mak su cakap
orang yang sudah tiada begitu. Entah apa salah arwah emak dulu sampai mak su
begitu bencikan arwah. Aisyah memang tak pernah tahu apa sengketa mak su dan
arwah emak.
“Dah!
Dah! Aku ni… semakin tengok muka kau tu… semakin sakit hati aku. Pergi kat
dapur tu. Ada banyak pinggan yang belum bercuci. Takkan kau nak suruh aku
dengan Fasha pula yang cuci. Sedar sikit diri kau tu. Kalau aku dengan
anak-anak aku takde dekat sini, saper nak temankan kau. Kalau kau nak
kami terus dekat sini, baik kau pergi buat kerja. Jangan nak tercegat depan aku
menangis-nangis. Meluat aku tengok.”
Aisyah
berlalu. Pedih hatinya diperlakukan sedemikian rupa oleh satu-satu mak cik yang
dia ada di dunia.
Di
dapur, dia terkejut melihat keadaan singki yang berselerak dengan pinggan
mangkuk kotor. Banyak bukan main. Sedangkan hanya mak su dengan Fasha saja yang
makan tengahari. Tetapi banyak pinggan mangkuk yang kotor bagaikan ada sepuluh
orang yang makan di rumah ini.
Air
mata yang membasahi pipi diseka dengan tapak tangan. Dia perlu segera mencuci
pinggan mangkuk yang kotor. Lepas itu dia hendak menunaikan solat Asar pula
sebelum dia kembali semula ke dapur untuk menyediakan makan malam.
Dalam
sibuk membasuh, tiba-tiba Aisyah rasa ada satu kucupan yang singgah pada
bahunya.
“Hai…
sayang!” sapa suara itu penuh godaan.
Terkejut
Aisyah dibuatnya. Membuatkan dia terloncat dan termelatah. Penyakit yang
diwarisi daripada arwah emak.
“Oh…
mak kau sayang melayang!”
Farid
ketawa besar. Suka hati mendengar Aisyah melatah.
Aisyah
yang sedar kehadiran Farid sudah menarik muka masam. Farid ini nasib baik tidak
‘sepesen’ dengan emak dan adiknya. Farid baik sikit kerana Farid tidak pernah
mengherdik dan marahkan Aisyah. Malah Farid selalu menyokong Aisyah bila Fasha
marah-marahkan dia. Cuma apa yang buat Aisyah tidak suka adalah sikap gatal
Farid yang melampau-lampau itu. Dia naik rimas bila Farid suka mengambil
kesempatan dengan memegangnya. Kadang-kadang itu, dia jadi cuak bila melihat
cara renungan Farid padanya yang bagaikan ingin menelan.
“Abang
Id lain kali boleh tak jangan buat macam ni? Terkejut Aisyah! Nasib baik Aisyah
tak pegang benda tajam, kalau tidak macam mana? Kan dah ada orang yang masuk
hospital gara-gara kena tetak. Nanti Aisyah jugak yang susah kena tangkap
polis.” Gumam Aisyah marahkan Farid. Dengan Farid bolehlah dia marah-marah.
Sebab Farid tak pernah nak tengking dia. Malah lelaki itu ketawa pula macam
orang sewel.
“Alaaa…
abang gurau ajelah. Takkan itu pun Aisyah nak marah abang. Tak sporting la Aisyah ni.” Balas Farid
sambil melabuhkan punggung di atas kerusi meja makan. Dia nak duduk dekat situ.
Nak tengok Aisyah puas-puas. Lentuk tubuh gadis itu benar-benar buat dia terliur.
Rasa nak peluk saja pinggang Aisyah, namun dia tahu pasti gadis itu akan
melenting bila dia berbuat begitu.
Aisyah
mencebik. Malas benar nak layan sikap poyo dan gatal Farid yang tak pernah ada
kesudahan. Dia hendak meneruskan kerja mencuci pinggan yang tertangguh. Namun
kurang selesa bila mata gatal milik Farid tidak lepas-lepas memandangnya. Farid
memang jenis ulat bulu!
“Abang
Id buat apa lagi dekat sini? Pergi la naik atas. Aisyah nak buat kerja ni.”
“Alaaa…
abang malas la nak naik atas tu. Lagipun abang malas nak mengadap muka si
monster tu. Dari abang duk mengadap monster tu baik abang duduk sini temankan
Aisyah cuci pinggan. Ada juga faedahnya. Aisyah buatlah kerja tu. Abang
temankan.”
Aisyah
ketap bibir. Tidak selesa bila Farid mahu menemankan dia. Bukannya dia tidak
tahu niat dihati Farid. Tentu hendak melihat tubuhnya dari belakang. Huh! Itu
yang buat dia jadi tidak senang. Farid ini memang mata keranjang!
Kalau
dia berdua di rumah ini dengan Farid pun buat dia tidak selesa. Dia takut
setiap kali anak mata nakal Farid ‘meratah’ tubuhnya. Bukan sekali dia perasan
tingkah tak senonoh Farid setiap kali memandangnya sambil tangan memegang kemaluan
sendiri. Cuma dia buat tidak nampak sahaja. Takut nanti Farid akan tertindak
lebih berani lagi. Dia sering berdoa, semoga ALLAH melindungi dia daripada
nafsu jantan lelaki itu.
“Aisyah!
Buatkan aku air!” suara Fasha yang meninggi itu mengejutkan Aisyah dan
membuatkan dia termelatah.
“Oh
mak kau suara Pontianak menjerit!”
Bagaikan
hendak tersembul keluar biji mata Fasha mendengar Aisyah melatah begitu.
Tangannya sudah naik ke pinggang bagaikan si ibu tiri. Memang sesuai pun!
“Apa
kau kata? Suara aku macam suara Pontianak menjerit?!”
Aisyah
menekup mulut dengan tapak tangan sambil kepala tergeleng-geleng. Hisy… apalah mulutnya ini! Celupar
sangat. Kan singa kecik ini sudah hendak mengamuk.
“Memamg
macam suara Pontianak menjerit pun….” Sindir Farid bersama senyuman sinis
menghiasi bibirnya. Baru nak ambil feel
pandang Aisyah, adiknya yang kerek
itu sudah potong Q! Menyusahkan betul!
Kini
pandangan tajam Fasha beralih pula pada abangnya. Geram benar dia dengan
abangnya yang sering menyebelahi Aisyah itu. Dia tahulah Farid ada hati dengan
Aisyah. Pasal tu selalu sangat sebelahkan ‘mangkuk ayun’ itu.
“Yang
abang nak menyibuk ni apasal? Fas bukan cakap dengan abang! Tapi dengan
‘mangkuk ayun’ tu! Abang jangan buat darah Fas naik ke atas kepala!”
Amboi…
sesuka hati Fasha mengata Aisyah itu ‘mangkuk ayun’. Mulut memang tak bertapis.
Farid
mencebik. Malas benar nak melayan Fasha. Entah macam manalah Iwan boleh
tersangkut dengan Fasha yang bermulut laser ini. Dia yang jadi abang Fasha ni
pun kurang gemar dengan sikap adiknya itu. Mulut jahat nak mampus!
“Ada
ku kisah kalau darah naik ke atas kepala kau?!” Dengan Fasha Farid memang
jarang mahu beralah.
Fasha
menggigit-gigit bibirnya. Geram bukan kepalang dengan si abang yang dirasakan
sudah melampau. Tahu sangat dia dengan perangai abangnya yang tak pernah
mengalah dengan dia. Apatah lagi bila berada depan Aisyah. Semakin menjadilah
perangai abangnya itu.
“Dahlah!
Fas malaslah nak cakap dengan abang ni. Gila!”
“Yang
kau tu pulak sewel!” balas Farid
masih mahu mendidihkan api kemarahan adiknya.
Berombak
kencang dada Fasha bila Farid mengatakan dia sewel. ‘Arghhh!! Benci!’
Kini
pandangannya kembali kepada Aisyah yang masih berdiri kaku ditempatnya. Seronok
agaknya melihat dia bertengkar dengan Farid.
“Ha…
kau! Tunggu apa lagi. Buatkan aku air. Lepas tu bawa naik ke atas. Aku haus ni.
Kalau kau lambat… nahas kau aku kerjakan!” dengan kasar dia bersuara.
“Ba…
baik.” Tergagap-gagap Aisyah menjawab. Takut bukan main dengar ugutan Fasha.
Mana tidaknya, Fasha kalau sudah marah-marah, sesuka hati saja jadikan dia
mangsa. Pernah beberapa kali Fasha memukul dan membaling barang ke arahnya.
“Huh!
Lembap macam siput!” rungut Fasha sebelum dia kembali masuk ke ruang tamu.
Farid
sudah meniru-niru aksi adiknya itu. Meluat benar dengan Fasha. Kalau dia jadi
Iwan, jangan harap nak dilayannya minah
kerek itu.
“Aisyah
tak payah nak layan sangat perangai si Fasha tu. Daripada Aisyah buatkan air
untuk monster tu, baik Aisyah layan abang. Dapat jugak pahala.”
Dalam
sibuk Aisyah membancuh air untuk Fasha, masa itu jugalah Farid mengambil
kesempatan menyentuh tangan Aisyah. Bibir pula tersungging senyuman penuh
makna.
Cepat
Aisyah menarik tangannya dari terus disentuh Farid. “Apa pegang-pegang orang
ni? Abang Id ni tak senonoh tau. Boleh tak kalau bercakap tu tangan jangan nak
jalan sekali.”
“Alaaa…
pegang sikit pun nak melenting.”
Aisyah
menjeling. Sikit ke banyak ke… dia tetap tak suka Farid pegang-pegang dia.
Ingat dia ini perempuan murahan ke nak pegang sesuka hati?!
“Tepilah
sikit. Aisyah nak hantar air ni.” gumam Aisyah tegas. Langsung tiada senyuman
pada wajahnya ketika itu. Sakit hati bila Farid suka ambil kesempatan ke atas
dirinya. Mentang-mentanglah dia tiada tempat untuk mengadu. Bukan main lagi
Farid mengambil kesempatan!
“Huh…
nak pegang sikit pun marah. Baik aku keluar.” Dengus Farid kemudian dia keluar
dari rumah. Lepak dengan kawan-kawan lagi bagus.
Nak
pegang-pegang dan bermesra dengan Aisyah pun asyik kena marah saja.
nk lgii .. bestttt
BalasPadamterima kasih nurin...insyaALLAH nanti saya up n3 baru ye...
PadamAssalam,akak xpdai nk buat ulasan,tpi akak suka membaca,pda akak ok aje,xsbar nk baca bab seterusnya...
BalasPadamwaalaikumusalam..makasi aje..ni pun ulasan jgk la..nanti saya up n3 baru ye..
PadamAkak isteri dalam sangkar nie novel ke ? akak cepat laa update.. xsabar nk bca nie.. best sesangat..
BalasPadam