ISTERI
DALAM SANGKAR
**1**
AISYAH
tersenyum tatkala terpandang wajah emak dan abahnya yang sedang duduk
bersembang di halaman rumah. Bukan main bahagia lagi emak dan abahnya
bersembang. Siap ketawa-ketawa bagai. Emak dan abah memang pasangan yang
bahagia. Tidak pernah sekali pun dia melihat emak dan abahnya bertengkar. Jika
ada pun emak marahkan abah, hanyalah marah-marah sayang gitu.
Tiba-tiba
Aisyah mematikan langkahnya. Akalnya terlintas sesuatu yang nakal untuk
menyakat emak dan abahnya yang masih belum sedar kepulangannya itu. Dengan
tersengih-sengih, dia terjengket-jengket menghampiri emak dan abah. Seronok
berbual sampaikan kehadiran anak yang nakal itu pun tidak disedari.
Aisyah
tersenyum lebar tatkala sudah berdiri betul-betul di belakang kedua orang
tuanya itu. Tidak sabar hendak menjalankan rancangan nakalnya untuk menyakat.
Sebentar saja lagi pasti akan kecoh suasana petang yang hening ini dengan
telatah emak. Tunggu dan lihat sajalah nanti.
“Abah!
Mak! Orang dah balik!” sergah Aisyah sengaja membesarkan volume suaranya sambil
mencuit pinggang Puan Ainun.
“Oh…
mak kau! Oh… oh… balik kampung! Kampungku jauh ke utara!” terus Puan Ainon yang
terkenal dengan sikap latahnya itu termelatah. Siap dengan aksi tarian balik
kampungnya sekali.
Aisyah
sudah ketawa berdekah-dekah. Lucu melihat emak yang kuat sangat melatah.
Pantang dicuit, mulalah nak melatah tak ingat dunia. Kah kah kah!
Encik
Latiff yang turut terkejut disergah sedemikian rupa dengan anak manjanya itu
hanya mampu tersengih. Nakal benar Aisyah ini. Suka buat isterinya melatah
bagai nak rak. Tapi… lucu juga isterinya itu melatah. Siap menari segala.
Memang dashyat.
Setelah
latahnya terhenti, Puan Ainon mengetap bibir. Geram dengan telatah si anak yang
nakal bebenar. Suka nak kacau dia.
“Nakalnya!
Suka buat mak mati terkejut.” Gumam Puan Ainon sambil jari sudah memulas lengan
anaknya yang putih melepak itu. Kulit putih melepak Aisyah diwarisi daripada
suaminya.
“Adoi!
Sakitlah mak.” Aisyah mengadu sambil menggosok-gosok lengannya yang sudah
berbekas merah.
Orang
kulit putih melepak ini memang beginilah jadinya. Pantang dicuit, adalah kesan
merah yang tertinggal.
“Siapa
suruh nakal sangat? Suka buat mak terkejut? Hah… terima la padahnya!”
Aisyah
menahan tawa. Punggung sudah dilabuhkan di sebelah abah sambil lengan abah yang
masih sasa itu dipaut lalu kepala dilentokkan ke bahu abah tersayang.
“Alaaa…
Aisyah gurau sikit ajelah mak. Mak tu yang kuat melatah. Baru cuit sikit, dah
menari lebih-lebih. Kan abah kan?” Aisyah berpaling pada Encik Latif meminta
sokongan padu daripada abahnya. Dia tahu abah pasti akan menyokong dia.
Maklumlah… dia inikan anak kesayangan abah.
Serentak
itu juga Encik Latiff mengangguk. Menyokong penuh kata-kata anak manjanya itu.
Melihat
anggukan pada kepala suaminya, Puan Ainon menarik muka. Muncung saja bibirnya
yang mungil itu.
“Alamak…
muncung itik kampung dah keluar la.” Sakat Encik Latiff.
“Ha’ah la abah. Panjang muncung mak kan.
Dah serupa itik pulak Aisyah tengok
mak buat gaya mulut macam tu.” Tambah Aisyah disertai tawa besar abahnya.
“Huh!
Abah dengan anak sama saja perangainya!” dengus Puan Ainon. Terasa dia bila
ditertawakan dua beranak itu.
Inilah
padahnya bila anak hanya seorang. Tiada anak lain yang boleh disogok untuk
menyokong. Yang seorang ini memang tentu-tentu penyokong setia suaminya.
Bukannya dia tak ingin beranak lagi. Cuma, sudah tiada rezeki untuk dia
mempunyai anak yang ramai setelah melahirkan Aisyah. Puas sudah dia berusaha.
Namun tiada rezeki nampaknya. Aisyah sajalah satu-satu cahaya mata yang ALLAH berikan
kepada dia dan suami.
Melihat
wajah masam si emak, Aisyah cuba untuk memujuk. Dipeluk tubuh Puan Ainon dari
belakang dengan aksi manja. Pipi itu pula menjadi mangsa kucupannya yang
bertalu-talu. Dia memang suka mengucup pipi mak.
“Alaaa…
Aisyah dengan abah gurau ajelah mak. Mak janganlah merajuk. Tak lawa la mak
buat muka macam ni. Senyumlah sikit… senyuman mak senyuman paling cantik kat
dunia ni. Senyum la mak.” Penuh manja, si manis berusia lima belas tahun itu
memujuk. Lunak suaranya meraih perhatian sang ibu sambil melentok manja kepala
ke bahu Puan Ainon.
Puan
Ainon menghela nafas. Inilah yang dia lemah bila si anak sudah mula merengek
memujuk. Buat rajuknya tidak betah dan senyuman indah terukir pada bibirnya
yang kemerahan bak buah delima.
Aisyah
mengucup pipi emaknya penuh kasih. Sungguh! Dia amat bahagia punya abah dan
emak yang begitu menyayanginya.
KELOPAK
bunga cempaka yang gugur dan jatuh ke atas riba mengembalikan Aisyah ke alam
nyata. Jauh dia terkenangkan kenangan silam. Sehingga membuatkan air mata
membasahi pipinya yang gebu dan putih mulus.
Pantas,
dia menyeka air mata yang berguguran jatuh membasahi pipi.
Jug
berisi air dan kelopak-kelopak bunga mawar merah di tepi dicapai. Lalu diangkat
dan disiram ke tanah pusara milik Encik Latiff dan Puan Ainon. Sayu rasanya
hati kala menyiram air tersebut ke pusara dua orang tersayang. Terasa bagaikan
baru semalam dia kehilangan abah dan emak. Sedangkan sudah masuk lima tahun dia
menjadi anak yatim piatu.
“Abah…
mak… Aisyah rindu sangat dekat abah dan mak. Rindu teramat sangat!” Luah Aisyah
bersama air mata yang kembali gugur membasahi ruang pipi.
Rindunya
begitu menggebu dan tak pernah padam buat dua insan yang begitu bermakna dalam
hidupnya ini. Sejak mak dan abah pergi, hidupnya kosong dan bagaikan sudah
tiada maknanya lagi. Dia hidup bertemankan kenangan manis sepanjang hayat mak
dan abah.
“Aisyah
kena balik. Nanti mak su marah. Minggu depan Aisyah lawat pusara mak dengan
abah lagi ya. Aisyah balik dulu mak, abah…. Aisyah tak akan pernah lupa doakan
semoga roh mak dan abah tenang di sana.”
Dia
bangun. Tikar dan juga jug tadi dibawa bersama.
Beginilah
rutin harian hidup Aisyah setelah kehilangan abah dan emaknya lima tahun lalu.
Tanah perkuburan ini sudah menjadi teman setianya setiap pagi hari jumaat.
Tidak pernah dia lupa datang ke tanah perkuburan ini. Hanya di sini dia dapat
melepaskan rindu pada emak dan abah.
Matahari
yang kian menampakkan dirinya membuatkan Aisyah mempercepatkan langkah kakinya.
Dia perlu sampai ke rumah dengan segara. Takut jika dia lambat, mak sunya sudah
bangun. Nanti bising pula mak su bila ternampak tiada sarapan pagi yang
terhidang di atas meja makan.
Mujurlah
juga kawasan tanah perkuburan Darul Salam itu tidak berapa jauh dari rumah.
Hanya lima belas minit berjalan kaki, dia sudah sampai di halaman rumah kampung
berasaskan papan dan batu di bahagian bawahnya itu.
Bergegas
dia mendaki anak-anak tangga batu untuk masuk ke dalam rumah.
Syukur
kerana keadaan di dalam rumah ketika itu masih sunyi. Itu petanda mak su dan anak-anaknya
belum bangun lagi.
Cepat-cepat
Aisyah melangkah ke bahagian dapur yang terletak pada bahagian bawah rumah
kampung ini. Bahagian yang berasaskan batu-bata, di situlah terletaknya ruangan
dapur. Langkah dibawa menuju ke singki. Lalu mengisi air ke dalam cerek untuk
dimasak.
Tadi
sebelum dia pergi ke tanah perkuburan, dia sempat menyediakan nasi lemak untuk
hidangan sarapan pagi ini. Jadi tak adalah dia nak kelam-kabut sangat hendak
menyediakan itu dan ini. Sekurang-kurangnya, tak adalah dia kena leter dengan
mak sunya nanti.
Dalam
sibuk membancuh air teh kegemaran keluarga itu, dia dikejutkan dengan satu
suara. Mujurlah tak gugur jantungnya mendengar teguran maha keras itu.
“Hah!
Kau dah sediakan sarapan pagi ke?” sergah Puan Ainin.
Aisyah
yang terkejut melurut dadanya berulang kali. Ingatkan siapalah yang tegur dia
pagi-pagi begini. Mak su rupanya. Awal pula wanita itu bangun hari ini.
“Hoi!
Kau ni pekak ke apa?! Tak dengar ke aku tanya kau ni? Kau ingat aku ni bercakap
dengan tunggul ke? Kau ni kan memang suka tau buat aku hangin! Sengaja nak cari
marah aku.” geram pertanyaannya tidak dijawab, Puan Ainin terus meluru ke arah
Aisyah. Ditolak kasar kepala anak saudaranya itu tanpa rasa simpati.
“Errr… dah mak su. Aisyah dah sediakan.
Cuma tinggal nak bancuh teh ni aje lagi.” Kalut Aisyah menjawab. Takut sungguh
dia bila mak sunya sudah naik hantu.
Puan
Ainin menjeling tajam. Sakit hatinya setiap kali memandang wajah Aisyah. Wajah
itu akan mengingatkan dia pada arwah kakak kembarnya. Dendamnya pada arwah
Ainon masih lagi bersisa biarpun arwah kakaknya itu sudah lama pergi.
Disebabkan arwah Ainon, arwah Latiff tidak pernah memandangnya. Dulu dia
tergila-gilakan arwah abang iparnya itu tetapi arwah Latiff begitu setia
menyintai arwah Ainon. Itu yang buat dia tidak berpuas hati sampai ke hari ini.
“Dah!
Pergi dari sini! Aku benci tengok muka kau. Buat semak pemandangan aku je
pagi-pagi ni.” Usir Puan Ainin.
“Huarghhh!!! Apa bising-bising ni? Orang
nak tidur pun tak senang!” tiba-tiba muncul Fasha dengan muka yang dipenuhi
krim muka dan rambut mengerbang macam Pontianak tak cukup harum. Selamba badak
saja gadis itu menggaru-garu rambutnya yang mengerbang itu.
“Mak!
Hantu kapur!!!” seraya itu juga jeritan Puan Ainin kedengaran memenuhi ruang
dapur. Terkejut bukan kepalang lagi dia bila terlihat wajah anak daranya yang
sudah serupa hantu itu.
“Mak!
Apa ni?! Ini Fas la! Bukannya hantu kapur. Apa mak ni?! Samakan Fas dengan
hantu pulak.” gumam Fasha geram bila
emaknya menyamakan dia dengan hantu. Hantu kapur pula tu.
“Huh…
krusss semangat! Nasib baik jantung mak ni sihat. Kalau tidak… mahu ‘gol’ mak
sebab mati terkejut tengok muka kamu tu.” balas Puan Ainin sambil mengurut dada
yang sudah reda rasa debarnya.
Fasha
menarik muncung. Teruk sangatkah muka dia sampai emak sendiri pun tidak kenal.
Atau… emaknya sengaja nak buat drama. Alaaa… macamlah dia tak kenal mak dia tu.
Pelakon wanita terbaik dekat kampung mereka ini.
Aisyah
yang sedari tadi menjadi pemerhati sudah terlepas tawa melihat pertelingkahan
mak sunya dan Fasha.
“Apa
yang kelakar sangat ni sampai kau ketawa? Seronok mengejek aku ke?” jerkah
Fasha pada Aisyah yang dilihat sudah menggeleng-gelengkan kepalanya itu.
“Hai…
kau masih tercegat dekat situ lagi? Kau tak dengarkah aku suruh kau berambus
dari dapur ni tadi? Kau dah tak reti nak basuh kain yang melambak-lambak kat
dalam bilik air tu? Kau tunggu apa lagi ha?” Puan Ainin sudah masuk campur.
Lengan Aisyah yang berbalut baju kurung itu dipulas penuh geram.
“Auch… ampun mak su. Sakit mak su.” Rayu
Aisyah. Sakitnya cubitan mak su hanya ALLAH saja yang tahu.
“Dah
tahu sakit, yang kau masih nak berdiri dekat sini buat apa?”
Tiada
jawapan dari Aisyah. Hanya air matanya saja yang sudah mula mengalir menahan
sakit pada lengan hasil kepit ketam mak sunya. Dulu waktu emaknya ada, dia tak
pernah rasa sakit kena cubit mahupun dipukul. Kalau ada pun emak mencubitnya,
hanyalah sebuah cubitan manja yang tidak meninggalkan sebarang kesan lebam. Tapi
kini setelah emak dan abah tiada, dia bagaikan sudah lali dengan rasa sakit
tersebut. Badannya yang lebam-lebam itu juga bagaikan sudah biasa kelihatan.
“Dah!
Pergi dari sini. Benci benar aku tengok muka kau tu.” halau Puan Ainin penuh
rasa geram.
Tidak
mahu berlengah lagi, Aisyah terus berlalu dari situ. Dia takut andai masih berkeras
di situ tangan mak su akan naik memukul badannya pula. Itu pun kalau tangan mak
su yang naik. Kalau batang penyapu atau barang-barang lain, tak ke naya
jadinya.
Fasha
hanya mencebik. Suka hatinya bila emak sudah sampai penyepit ketam pada Aisyah.
Jika dia diberi peluang, mahu dicubitnya Aisyah kuat-kuat. Biar lebam kulit
putih melepak sepupunya itu. Baru puas rasa hatinya.
Dari
dulu sampailah ke hari ini, dia memang tidak pernah sukakan Aisyah. Dia cemburu
melihat kecantikan Aisyah. Dia cemburu bila ramai anak-anak muda di kampungnya
ini yang tergila-gilakan Aisyah. Sedangkan antara dia dengan Aisyah, dia lagi
bergaya. Lagi seksi dan lagi pandai bersolek. Nak harapkan Aisyah tu… hmmm…
pakai pun baju kurung aje. Dasar perempuan kampung yang kolot tak tahu
peredaran fesyen semasa!
“Kenapa
mak lepaskan si ‘mangkuk ayun’ tu macam tu aje?” dengus Fasha kurang berpuas
hati bila emaknya melepaskan Aisyah.
“Hisy… mak bencilah tengok muka dia tu.
Menyampah! Daripada dia menyemak dekat sini, baik mak halau dia cepat-cepat.
Takde la selera mak ni mati sebab tengok
muka dia lama-lama. Buat hilang selera nak makan aje.”
“Kalau
nak halau pun, cubitlah kuat lagi. Biar dia sedar diri sikit. Barulah mak halau
dia pergi. Nanti mak cubit dia sikit je, dia naik lemak tau.” Balas Fasha dengan
bibir yang termuncung-muncung.
Punggung
sudah dilabuhkan di atas kerusi meja makan. Bersedia mahu menikmati hidangan
sarapan pagi. Perutnya berkeroncong mencium aroma nasi lemak yang membangkitkan
selera makan.
Puan
Ainin memandang Fasha dengan pandangan setajam keris taming sari.
“Hah…
yang Fas ni pulak, tak reti nak basuh muka tu dulu ke baru
makan? Dengan muka penuh krim tu jugaklah Fas nak melantak. Tak senonoh betul!”
kini geramnya beralih pada anak gadis kesayangannya itu. Sesekali tingkah Fasha
yang entah apa-apa itu membuatkan darahnya jadi naik.
Fasha
memuncung. Tidak suka bila emak sudah melampiaskan rasa geram pada dia. Ini
semua Aisyah si mangkuk tu punya pasal. Tak pepasal dia pula yang kena ‘sound’!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan