W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Selasa, 5 November 2013

ISTERI DALAM SANGKAR 9





Bab 9

“INI semua abang la yang punya pasal!” marah Fasha pagi itu. Geram dengan abangnya.
Farid yang duduk santai di atas bangku dengan kepala yang sudah berbalut mengalih pandangan pada adiknya. Muncung saja bibir Fasha. Dah boleh dibuat tempat menyangkut baju. Entah apa yang dia tak puas hati sangat.
“Apa yang abang punya pasal pulak?”
“Kalau bukan sebab abang gatal sangat nak merogol si ‘mangkuk ayun’ tu, takdenye dia kahwin dengan mamat hensem tu. Tapi sebab nafsu buas abang tu… tengoklah apa dah jadi? Free aje dia dapat kahwin dengan mamat tu.”
Owh… pasal tu. Ini kiranya kau kes cemburu la ye?”
Fasha tidak membalas. Geram dengan perangai abangnya yang sering buat selamba. Semalam ketika dia dan maknya sampai ke ‘Homestay Nur Kasih’, dia terkejut melihat pemuda yang bernikah dengan Aisyah. Kacak gila! Kalah Iwan pujaan hatinya itu. Sudahlah tu, keturunan tengku-tengku pula. Sah-sah orang kaya.
“Hah… ni apasal kecoh-kecoh ni? Dari dapur mak dapat dengar suara Fas membebel-bebel. Apa yang tak puas hati sangat.” Puan Ainin yang baru muncul dari dapur melabuhkan punggung di sebelah anak lelakinya. Kepala Farid yang berbalut itu diperiksa.
“Anak gadis mak ni kecewa. Frust menonggeng tak dapat kahwin dengan orang kaya.” Balas Farid bagi pihak Fasha.
Mencerlung tajam mata Fasha menikam wajah abangnya. Pantas dia membaling kusyen kecil itu ke arah Farid. Terkena pada kepala lelaki itu yang berbalut. Padan muka!
“Adoi.” Farid mengadu bila balingan adiknya mengena tepat ke kepala.
“Fas! Apa ni main baling-baling? Tak nampak ke abang Fas tengah sakit ni. Kasihanlah sikit. Jangan nak ikut hati sangat.” Tegur Puan Ainin menyebelahi anak lelakinya. Antara Fasha dan Farid, memang dia lebih menyayangi Farid. Apa saja kemahuan anak lelakinya itu akan dituruti.
“Mak ni… suka sangat sebelahkan abang! Sikit-sikit abang!” rajuk Fasha dengan bibir yang sudah mencemik.
“Mak bukan nak sebelahkan sesiapa. Tapi Fasha tu… janganlah layan abang macam ni. Dia sakitkan?” Puan Ainin cuba berdiplomasi dengan anak gadisnya yang sudah merajuk itu.
“Sakit yang abang sendiri pergi cari. Siapa suruh gatal sangat nak merogol ‘mangkuk ayun’ tu?”
Syhhhh!” Laju Puan Ainin meletak jari telunjuknya ke bibir. “Cakaplah perlahan sikit. Fas nak satu kampung dengar ke apa sebenarnya yang terjadi? Nak bagi malu keluarga kita? Rahsia ni kita kena simpan elok-elok. Jangan bagi sesiapa pun tahu. Biarlah orang semua sangka Aisyah dengan si tengku tu buat maksiat. Mak tak nak nama baik keluarga kita tercemar.”
Sebenarnya apa yang terjadi semalam diketahui kebenarannya oleh Puan Ainin dan Fasha. Ketika mereka sampai, mereka terlihat Farid terhuyung-hayang mengejar Aisyah. Sebagai ibu, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena. Pasti Farid membuat masalah. Dia sudah masak benar dengan perangai anaknya itu. Lagipun daripada cara Aisyah yang ketakutan menguatkan lagi tanggapannya.
Waktu Aisyah berlari keluar dari rumah hujan turun dengan lebat sekali. Sebuah kenderaan datang dan merempuh Aisyah. Mujur juga kenderaan yang dipandu tidak laju. Menyebabkan Aisyah hanya terjatuh di tengah jalan. Mungkin rebah akibat rasa terkejut.
Setelah dua orang lelaki yang melanggar Aisyah membawa gadis itu masuk ke dalam kenderaan, Puan Ainin mengambil langkah dengan mengekori kenderaan tersebut dan dialah orangnya yang telah menelefon Haji Samsul memaklumkan ada maksiat di ‘Homestay Nur Kasih’. Hanya itu cara untuk dia menyembunyikan perbuatan Farid.
Fasha mencebik. Malas dengan sikap maknya yang terlalu manjakan Farid. Enjin kenderaan yang kedengaran memasuki halaman rumah membuatkan Fasha memanjangkan leher menjenguk ke luar. Menyirap darahnya melihat Aisyah keluar dari kereta besar itu. Meluap-luap api cemburunya.
“Pengantin baru dah balik. Mak ingatkan dia dah lupa jalan pulang kat rumah ni. Asyik sangat memadu kasih dengan laki segera dia tu.” sindir Puan Ainin dengan mata menjeling kelibat Aisyah yang masuk ke dalam rumah.
Aisyah tidak membalas. Langkah kakinya dibawa masuk ke dalam bilik. Benci dan sakit hatinya memandang wajah selamba Farid. Jika bukan disebabkan lelaki keparat itu, nasibnya tidak seperti ini. Dia tak perlu bernikah dengan lelaki garang seperti Tengku Iskandar. Nasibnya tak ubah seperti, ‘Keluar mulut buaya, masuk mulut naga’.
Pintu bilik ditutup rapat. Tidak sanggup dia mendengar sindiran sinis mak sunya. Dia tak lakukan perbuatan terkutuk seperti yang mak su momokkan. Air mata mengalir lagi. Pedih diperlakukan begitu.
Aisyah mencapai beg. Kemudian memasukkan beberapa helai baju kurung yang dia ada ke dalam beg. Baju-bajunya tidaklah sebanyak baju-baju Fasha. Yang dia ada pun sekadar baju kurung kain catton saja. Nak pakai baju kurung kain sutera, jangan mimpi mak su akan belikan dia kain semahal itu. Telekung dan sejadah turut disumbat masuk ke dalam beg. Begitu juga dengan senaskah Al-Quran kecil juga turut dibawa bersama.
Aisyah berpaling ke meja hias. Pantas dia mencapai bingkai gambar arwah abah dan emaknya. Bingkai gambar itu akan dibawa pergi bersama. Hanya itulah kenangan yang dia ada bersama arwah abah dan emak. Gambar-gambar yang lain semua telah dibakar oleh mak su. Kata mak su, kerana gambar-gambar itu dia tidak dapat memberi tumpuan kepada kerja-kerja rumah. Mak su memang kejam kerana telah membakar satu-satu kenangan yang dia ada.
Selesai mengemas pakaian-pakaiannya, Aisyah melangkah keluar. Tidak mahu Tengku Haziq menunggunya lama-lama di situ. Kasihan Tengku Haziq. Dia memang lelaki yang baik. Mujur juga dia ada. Lelaki itulah yang menawarkan bantuan kepada dia untuk mengambil pakaiannya di sini. Jika tidak dia terpaksa berjalan kaki. Hendak mengharapkan bantuan Tengku Iskandar, jangan mimpilah. Lelaki itu masih berkurung dalam biliknya sejak dari semalam. Masih meluap-luap marahnya pada Aisyah.
Mendengar derap kaki Aisyah, pantas Puan Ainin berpaling. “Hah… dah nak berambus ke? Baguslah kau berambus cepat. Perempuan macam kau ni memang tak layak duduk kat kampung ni. Memalukan nama keluarga aje. Nampak aje alim, tapi rupanya kau ni alim taik kucing! Perempuan murahan!” hamun Puan Ainin.
Aisyah menunduk. Tidak sanggup mendengar caci maki mak sunya lagi. Tidak mahu menunggu lama, dia terus berlalu pergi.
Di dalam kenderaan, Aisyah duduk diam tidak berkutik. Kata hinaan mak su benar-benar menghiris hatinya. Sedari dulu, mak su tidak pernah memberi kata-kata lembut pada dia. Setiap ayat yang meniti keluar dari bibir mak su akan menghiris-hiris hatinya. Air mata yang mengalir dikesat dengan telapak tangan. Segan pula dia menangis di hadapan Tengku Haziq. Biarpun lelaki itu sudah semalaman melihat air matanya membasahi pipi.
Ketika kereta yang dipandu Tengku Haziq melalui kawasan tanah perkuburan, hati Aisyah diruntun pilu. Selepas ini dia sudah tidak dapat lagi menziarahi pusara abah dan emaknya. Entah bila dia akan dapat menziarahi. Dia sendiri tidak tahu. Tadi sebelum ke rumah, dia sempat meminta Tengku Haziq singgah di situ. Memberi bacaan yasin pada arwah abah dan emak. Pilu sungguh hatinya.
‘Mak… abah… maafkan Aisyah.’ Rintih Aisyah dalam hati.
Pandangan masih dihala ke luar. Ketika itulah dia terlihat kelibat Ros yang sedang mengayuh basikal menuju ke jalan arah rumahnya. Dia pasti sahabatnya itu mahu bertanyakan hal semalam. Tentu berita itu sudah tersebar ke seluruh kampung. Dia cukup yakin tentang itu. Aisyah kenal mak sunya. Mulut mak su tak akan pernah tertutup diam daripada menyebar cerita-cerita buruk pasal dia.
Mahu rasanya Aisyah menyuruh Tengku Haziq berhenti seketika. Dia mahu bertemu Ros buat kali terakhir. Namun dia segan hendak membuka mulut. Lelaki yang sedang memandu tenang di sebelahnya itu sudah terlalu banyak membantu. Dia tidak mahu menyusahkan Tengku Haziq.
‘Maafkan aku Ros. Aku kena pergi. Aku kena tinggalkan kampung ni. Semoga kita berjumpa lagi.’ Hati Aisyah berbisik. Sebak rasanya kerana tidak dapat berjumpa Ros buat kali terakhir.
Ya! Dia berharap agar bertemu Ros satu hari nanti. Dia mahu menceritakan apa sebenarnya yang telah terjadi. Dia mahu Ros tahu kebenarannya.



TOYOTA HARRIER yang dipandu Tengku Haziq memasuki ruang tempat letak kereta bawah tanah kondominium Royal Palace. Tengku Iskandar yang duduk di kerusi penumpang hanya diam tidak berkutik. Setiap kali pandangannya bertembung dengan Aisyah, dia akan menghadiahkan jelingan tajam buat gadis itu. Marahnya masih bersisa.
Tanpa menghiraukan Tengku Haziq dan perempuan kampung itu, Tengku Iskandar melangkah ke ruang lif. Kelat saja wajahnya. Sampaikan Aisyah tidak berani hendak memandang wajah Tengku Iskandar yang kelat bagai mangga muda. Kejadian dia hampir putus nyawa dicekik lelaki itu semalam membuatkan dia takut pada Tengku Iskandar. Lelaki itu memang garang seperti harimau.
“Aisyah… mari.” Suara Tengku Haziq mengejutkan Aisyah. Mujur tak termelatah.
Beg pakaian yang sudah lusuh itu dibawa. Langkah diatur mengikut langkah Tengku Haziq. Kalaulah lelaki itu tak ada, entah apa akan jadi pada nasibnya ini. Dia amat terhutang budi pada Tengku Haziq.
Sampai di tingkat enam belas, lif terbuka luas. Cepat-cepat Aisyah keluar. Takut jika dia terlambat lif akan tertutup pula. Dia bukannya pernah naik benda alah itu. Jika tertutup, dia tak tahu bagaimana hendak membukanya semula.
“Silakan masuk Aisyah. Ini rumah Tengku Iskandar dan awak akan tinggal di sini.” Beritahu Tengku Haziq.
Aisyah melangkah masuk ke dalam. Terpegun sungguh dia melihat ruang di dalam kondominium tersebut. Ruang tamunya besar mengalahkan ruang tamu rumahnya di kampung. Perabotnya juga kelihatan mewah-mewah belaka. Pasti harga beribu-ribu. Nampaknya lelaki bernama Tengku Iskandar itu pengemar warna putih memandangkan warna pada dinding kondo tersebut dilatari warna suci bersih itu. Begitu juga dengan perabotnya yang banyak memilih warna putih.
Tengku Haziq tersenyum. Dia membiarkan Aisyah memerhati ruang di dalam kondo abang sepupunya itu. Sedangkan dia sudah membawa kaki menghampiri Tengku Iskandar yang sedang menghisap rokok di ruang balkoni. Tengku Iskandar bukanlah seorang perokok tegar. Dia hanya akan merokok bila ada masalah datang menyerabutkan fikirannya.
“Is!” Tengku Haziq menepuk bahu Tengku Iskandar. “Aku tahu kau tak dapat terima apa yang dah terjadi. Tapi apa pun alasannya, Aisyah dah sah jadi isteri kau. Kau kena terima dia seadanya. Mungkin ada hikmah disebalik semua ni. Dan ALLAH dah tentukan jodoh kau bersama Aisyah.”
Tiada jawapan. Tengku Iskandar ralat memandang dada langit yang pekat. Nampak gaya hujun akan turun bila-bila masa saja lagi.
Melihat kedinginan lelaki itu, Tengku Haziq menghela nafas. “Aku balik dulu. Kau jangan pulak buat hal macam semalam. Kasihan Aisyah… dia sendiri pun tak minta semua perkara ni terjadi.” Pesan Tengku Haziq sebelum berlalu. Gusar juga hatinya. Namun dia perlu pulang ke rumahnya.
Ketika masuk ke dalam, dia terpandangkan Aisyah masih berdiri tegak di tempatnya tadi sambil menjenjit beg pakaian lusuhnya. Tumpah rasa simpati pada gadis malang itu. Dia cukup yakin Aisyah tidak bersalah. Dia pasti gadis itu tidak merancang apa yang telah terjadi seperti tuduhan melulu Tengku Iskandar.
“Aisyah… kenapa berdiri aje? Duduklah. Kondo ni sekarang dah jadi macam rumah awak juga. Awak kan isteri tuan rumah sekarang?”
Mendengar suara Tengku Haziq,  Aisyah berpaling. Dia cuba untuk tersenyum. Hendak duduk, dia tidak berani. Takut duduk di atas kerusi mahal milik Tengku Iskandar. Nanti kotor pula kerusi kulit itu terkena baju buruknya. Biarpun dia isteri kepada pemilik kondominium mewah ini, tetapi dia masih sedar diri.
“Saya kena balik. Nanti ada masa, saya datang melawat awak lagi ye.” Beritahu Tengku Haziq.
Senyuman pada bibir Aisyah mati tatkala Tengku Haziq berkata begitu. Mendung wajahnya. “Awak dah nak balik?” Dia bertanya.
Tengku Haziq mengangguk. Air wajah Aisyah yang berubah mencuri perhatiannya. Dia tahu apa yang bermain dalam fikiran gadis tersebut. Pasti berkaitan dengan Tengku Iskandar.
“Saya kena balik Aisyah. Rumah saya dah beberapa hari tak kemas. Entah-entah dah ada sarang labah-labah kut rumah saya tu. Nanti ada masa terluang, saya datang lagi.”
“Tapi… saya….” Aisyah ketap bibir. Hatinya mula dipagut rasa bimbang. Risau tinggal berdua dengan ‘Tengku Harimau’ itu. Tindakan Tengku Iskandar yang mencekik lehernya semalam membuatkan dia ketakutan. Manalah tahu kalau lelaki itu bertindak gila lagi. Pada siapa dia hendak meminta bantuan?
“Awak jangan risau Aisyah. Is tak akan bertindak gila macam semalam. Is tu nampak aje garang tapi sebenarnya dia baik hati. Awak jangan bimbang ye.” Tengku Haziq memujuk.
Aisyah tunduk. Mahu tak mahu kenalah dia akur tinggal berdua dengan ‘Tengku Harimau’ tersebut. Apa pun tindakan lelaki itu, dia tetap suami Aisyah. Syurga Aisyah kini berada di tapak kaki Tengku Iskandar.
Lambat-lambat Aisyah mengangguk.
“Nanti ada masa saya datang lagi ya. Assalamualaikum….” Lembut bicara Tengku Haziq.
Aisyah mengangguk sambil menjawab salam Tengku Haziq.
“Is! Aku balik dulu.” Sempat Tengku Haziq memberitahu kepulangannya pada Tengku Iskandar.
Setelah mendengar daun pintu tertutup, Tengku Iskandar merengus kasar. Dia melangkah masuk ke dalam dengan wajah kelat. Tajam matanya merenung Aisyah. Membuatkan gadis itu menundukkan wajahnya.
Tengku Iskandar mendengus kasar. Ikut hatinya yang panas ini, rasa mahu dicekiknya gadis kampung itu sampai mati. Namun bila mengenangkan kedudukannya, dia terpaksa bertenang. Dia tak mahu namanya tercemar hanya kerana gadis kampung tersebut.
“Dekat dapur tu ada bilik khas untuk pembantu rumah. Kau boleh tidur dekat situ. Jangan mimpi kau nak tidur kat bilik atas pula. Aku tak sudi nak kongsi bilik dengan kau. Jijik! Tau tak?” ujar Tengku Iskandar kasar dan penuh dengan penghinaan. Hatinya seakan puas setiap kali dapat menghina gadis kampung itu.
Aisyah memejamkan mata. Kata-kata Tengku Iskandar merobek hatinya. Benci sungguh lelaki itu padanya sedangkan dia tidak pernah melakukan apa-apa salah pun pada Tengku Iskandar. Jika tidak sukakan dia sekali pun, janganlah menghina dia sedemikian rupa. Dia juga ada hati dan perasaan.
Tanpa menunggu lama, Tengku Iskandar membawa langkah naik ke tingkat atas. Setiap kali memandang Aisyah, hatinya sakit bukan kepalang. Takut dia hilang pertimbangan lagi seperti semalam.
Aisyah menyoroti langkah Tengku Iskandar dengan ekor mata. Wajah lelaki itu kelat mengalahkan mangga muda. Sejak awal pertemuan mereka, Aisyah tidak pernah melihat senyuman pada wajah tersebut. Tengku Iskandar bencikan dia tanpa sebab. Entahlah… mungkin kerana dia ini orang kampung, disebabkan itu Tengku Iskandar tidak suka padanya. Tapi… salahkah jadi orang kampung?
Dia mengatur langkah ke bilik yang dimaksudkan Tengku Iskandar. Bilik bahagian bawah berhampiran dengan ruang dapur. Elok juga dia tidur di bilik bawah. Senang sikit dia ke dapur jika haus di malam hari.
Sebaik pintu dibuka, terbentang ruang bilik di hadapan mata.
“Biar betul ini bilik pembantu rumah?” Aisyah berkata sendiri. Terpegun melihat ruang bilik yang dikatakan khas untuk pembantu rumah tersebut. Cantik dan agak luas ruangnya. Tidak sempit seperti biliknya di kampung. Bilik ini juga dicat dengan warna putih. Begitu juga katil dan almarinya. Juga daripada warna senada. Manakala carpet dan sofa bulat kecil dipilih dengan warna pink. Menyerlahkan lagi seri di dalam bilik ini.
Aisyah memanjat naik katil yang diletak rapat ke dinding. Langsir casa warna putih bersih itu diselak. Betapa indahnya pemandangan dari arah biliknya ini. Dia dapat melihat pemandangan KLCC. Memang indah! Dia begitu teruja dapat melihatnya. Selama ini dia hanya mendengar keindahan KLCC dari berita atau cerita orang. Namun kini dia bakal melihat keindahan bangunan itu setiap hari.
Badannya yang letih direbahkan di atas katil. Empuk sungguh tilam itu. Tidak sama dengan tilamnya di kampung yang sudah nipis dan buruk. Matanya merenung siling putih. Mulai saat ini, di sinilah tempat tinggalnya. Walau ‘Tengku Harimau’ itu bencikan dia, namun lelaki itu tetap suaminya. Syurganya tetap berada di bawah tapak kaki lelaki itu. Sekejam mana pun Tengku Iskandar, dia perlu menghormati lelaki itu sebagai suami. Aisyah berazam, dia akan menjadi isteri yang solehah biar apa pun rintangan yang perlu dia lalui.


8 ulasan:

  1. BEST KAK SAMBUNG LAGI YA T.KASIH.

    BalasPadam
    Balasan
    1. terima kasih sebab suka..insyaALLAH nti akak sambung lagi ya..

      Padam
  2. hurmmm, lagi banyak dugaan yang akan ditempuhi oleh Aisyah..
    cian dia, kalau lya le.. mahu aje lari tinggalkan segala-galanya...

    BalasPadam
    Balasan
    1. kan...tp Aisyah ne baik sgt lya..kesian dia..dia terikat dgn Tg.iskandar

      Padam
  3. T.q..bla bab 10.xsbar nak baca
    Huhu...hu

    BalasPadam
    Balasan
    1. sabar2 ye..nanti saya sambung bab 10..hehehee

      Padam