Bab 11
TENGKU ISKANDAR melangkah
masuk ke dalam rumah sambil berlagu riang. Bibirnya yang sedikit kemerahan
merekah dengan senyuman. Hari ini dia balik lebih awal memandangkan malam ini
dia ada temujanji bersama Fira. Gadis yang sudah sebulan dikenalinya. Fira
nampak saja jinak-jinak merpati. Namun dia tahu Fira juga sama seperti
perempuan-perempuan yang pernah didampinginya. Sedikit masa lagi dia yakin
dapat menakluki gadis itu.
Kunci kereta
diletak atas meja. Bibirnya masih lagi mengukir senyuman menawan. Wajah cantik
jelita Fira terbayang di depan mata. Suara menggoda Fira ketika menelefonnya
tadi terngiang-ngiang di telinga. Betapa dia tak sabar hendak berjumpa dengan
Fira. Gadis seksi yang telah lama dia dambakan. Dalam ramai-ramai gadis, Fira
merupakan gadis yang paling sukar untuk ditawan. Disebabkan itu dia jadi teruja
hendak menghabiskan malamnya bersama Fira.
Tengah otaknya
memikirkan Fira, mata jatuh pada sekujur tubuh yang terbaring di atas sofa.
Terus senyuman pada bibirnya mati. Entah bagaimana dia boleh tidak sedar ada
sekujur tubuh di sofa itu. Lupa bahawa di kondonya ini sudah ada ‘penghuni’
lain selain daripada dirinya. Melihat gadis kampung yang sedang enak tertidur
di atas sofa, dia mendengus. Kasar dan besar!
“Huh!!!”
bentaknya kemudian dengan kaki yang dihentak-hentak, dia melangkah naik ke
atas.
Aisyah yang
terdengar suara dengusan kasar terbangun. Terpisat-pisat dia menengeh mata.
Kelibat lelaki yang sudah melangkah naik ke tingkat atas itu sempat ditangkap.
Cepat, dia bangun dari baring. Bibirnya digigit.
“Dah lama ke
dia balik?” Aisyah menyoal diri sendiri. Lantas matanya memandang kain baju
kurung yang dipakai. Mujurlah tidak tersinseng naik ke atas. ‘Selamat!’ Hatinya
melepaskan rasa lega.
Kakinya
melangkah ke dapur. Dia perlu memberitahu Tengku Iskandar barang-barang
keperluan di kondo ini sudah tiada. Jika tidak, tidak makanlah dia. Perutnya
benar-benar sudah lapar. Ingatkan bila dia tidur, kelaparan tahap menggila itu
tidak akan menganggunya lagi. Rupanya dia silap. Perutnya masih kuat
berkeroncong seperti tadi. Kepalanya juga kian pening kerana tenaga yang kian
menghilang.
Tiga puluh
minit kemudian, hidungnya menangkap haruman yang dipakai Tengku Iskandar.
Lelaki itu menuruni anak-anak tangga sambil bersiul-siul. Bukan main bergaya
lagi lelaki itu. Biar hanya berkameja biru petak-petak dan berseluar jean,
namun ketampanan Tengku Iskandar tetap terserlah. Wajahnya yang masam itu
langsung tidak mencacatkan ketampanan yang ALLAH anugerahkan padanya.
Buat seketika,
Aisyah terpegun melihat wajah tampan suaminya.
Kruttt…
krutttt…. Perutnya yang berbunyi minta diisi itu menyedarkan Aisyah dari
panahan arjuna Tengku Iskandar. Cepat dia menggeleng. Cuba menghalau bayangan
Tengku Iskandar dari mata. Sudah tertulis dalam peraturan ke dua puluh satu,
dia dilarang memandang wajah Tengku Iskandar.
Dengan rasa
takut-takut berani, Aisyah menghampiri Tengku Iskandar yang sedang mengatup
butang lengan baju kameja yang tersarung pada tubuh sasanya.
“Ehem… awak….”
Dengar suara
itu, Tengku Iskandar berpaling. Tajam matanya merenung Aisyah. Membuatkan
Aisyah tidak jadi meneruskan ayatnya.
“Siapa benarkan
kau panggil aku macam tu? Panggil aku Tengku Iskandar. Ingat siapa diri kau di
sini. Kau tu orang suruhan aku! Jangan sesuka hati nak panggil aku ikut sedap
kau.”
Aisyah
menunduk. Sedar keterlanjurannya. Sepatutnya dia ingat peraturan ke tiga belas.
Dia tidak boleh menggunakan nama panggilan lain kepada Tengku Iskandar selain
memanggilnya dengan panggilan ‘Tengku’. Tanda berbezaan darjat antara mereka.
“Maafkan saya
tengku. Saya tak sengaja.”
“Hah… kau nak
apa?” acuh tak acuh Tengku Iskandar bertanya. Malas hendak melayan gadis
kampung itu lebih-lebih.
“Errr….”
Belum sempat
Aisyah memberitahu apa yang ingin diperkatakan, telefon bimbit Tengku Iskandar
pula bordering minta dijawab. Lantas tangan lelaki itu mencapai telefon bimbit
yang diletak atas meja kopi. Lebar senyuman dibibirnya tatkala terpandang nama
pada skrin. Fira!
“Yes… honey.
I dah siap la ni.” ujar Tengku Iskandar tidak mempedulikan Aisyah. Dia bergerak
ke pintu. Menyarung kasut ke kaki sambil berkata, “Okey… okey… you tunggu I
dekat situ. Kejap lagi I ambik you.” Begitu mesra dia berbual dengan Fira.
Langsung tidak menghiraukan Aisyah yang ingin memperkatakan sesuatu.
Aisyah mengeluh
tatkala kelibat Tengku Iskandar sudah menghilang di sebalik muka pintu utama.
Lelaki itu langsung tidak hiraukan keadaan dia. Makan minum dan sakit peningnya
langsung tidak dipeduli. Lelaki itu lebih mengutamakan janjinya untuk keluar
berhibur bersama teman wanitanya.
Mengenangkan
nasib dirinya yang malang ini, air mata Aisyah mengalir lesu. Dia benar-benar
lapar. Namun Tengku Iskandar langsung tidak mempedulikan dirinya. Dengan
bersenang hati lelaki itu keluar tanpa mendengar kata-katanya.
Kruttt…
krutttt…. Perutnya berbunyi lagi. Lantas dia membawa langkah ke dapur.
Mengambil air mineral di dalam peti ais bagi mengisi perutnya yang kelaparan
sejak siang tadi.
Ting tong! Ting
tong!
Bunyi lonceng
memaksa Aisyah bergerak ke ruang depan. Air mata yang mengalir dikesat dengan
belakang tangan. Perlahan-lahan dia membuka pintu. Di depannya, terlayar wajah
Tengku Haziq yang sedang tersenyum mesra.
“Assalamualaikum.”
Ucap Tengku Haziq.
“Waalaikumusalam.”
Jawab Aisyah. Pintu yang tadi hanya dibuka sedikit sudah dibuka luas.
“Is ada?” tanya
Tengku Haziq. Tidak berani hendak melangkah masuk. Jika dulu, terbuka saja
pintu kondo milik abang sepupunya itu dia akan masuk tanpa diundang. Tetapi
kini dia sudah tidak boleh keluar masuk ke dalam kondo itu sesuka hati lagi.
Dia perlu menghormati Aisyah sebagai isteri abang sepupunya.
“Takde. Tengku Iskandar baru aje keluar.”
Beritahu Aisyah. Kepalanya kian pusing. Perut juga kian berbunyi.
“Laaa… ye ke?
Saya tak perasan pulak. Entah-entah
kami berselisih jalan tadi. Awak tahu ke dia ke mana?”
Aisyah
menggeleng. Tengku Iskandar tak kata pun dia hendak pergi ke mana. Aisyah juga
tidak berani hendak bertanya. Takut nanti tangan lelaki itu naik pula ke
wajahnya. Tingkah Tengku Iskandar yang berubah-ubah itu bukannya boleh dijangka.
“Kalau macam tu
takpelah. Saya balik du….” Kata
Tengku Haziq mati di situ. Terkejut bila melihat Aisyah yang hampir terjelopok
jatuh. Mujur dia sempat memaut bahu gadis itu lalu memapahnya masuk ke dalam.
Tubuh Aisyah
yang lemah didudukkan atas sofa.
“Aisyah… awak
kenapa?” Tengku Haziq bertanya. Baru dia perasan wajah pucat gadis itu. Sedari
tadi bersembang, dia langsung tak perasan air muka Aisyah yang tidak bermaya.
“Saya….”
Kruttt…krutttt…. Ayatnya tidak habis bila perutnya terlebih dahulu ‘menjawab’.
Bukan main besar bunyinya sehingga Tengku Haziq dapat mendengar dengan jelas.
“Awak lapar?”
tanya Tengku Haziq.
Aisyah
menundukkan wajah. Pelupuk matanya digenangi air. Memang dia lapar. Dan dia
sudah tidak malu untuk mengakuinya. Kepalanya dianggukkan.
“Kalau lapar
kenapa awak tak makan?” tumpah simpati Tengku Haziq pada Aisyah.
“Takde apa-apa
yang boleh saya makan kat rumah ni.” jawab Aisyah perlahan. Kepalanya masih
tunduk memandang carpet tebal.
“Is tak bagi
awak makan ke?”
Aisyah
menggeleng. “Bukan tak bagi cuma takde
bahan mentah kat peti sejuk. Sekeping roti pun takde. Lagipun… saya tak pandai nak guna alatan elektrik dalam rumah
ni. Semua canggih-canggih. Saya takut kalau saya tersalah tekan, alatan
elektrik tu akan rosak. Saya takut kena marah.” Tulusnya Aisyah membalas.
Tengku Haziq
yang duduk di sofa bertentangan dengan Aisyah mengeluh. Lurus benar gadis itu.
Kasihan pula dia. Dalam masa yang sama, hatinya dipalu rasa geram yang tak
bertepi buat Tengku Iskandar. Tergamak sungguh lelaki itu membiarkan isterinya
kelaparan sedangkan dia keluar berhibur di luar. Dia tahu ke mana hala tuju
Tengku Iskandar. Ke mana lagi jika bukan ke kelab malam. Lagipun dia dengar
perbualan Tengku Iskandar dengan gadis bernama Fira tengah hari tadi. Jadi tak
mustahil Tengku Iskandar keluar berhibur dengan Fira malam ini.
“Kalau macam tu
jom kita keluar makan. Kebetulan saya pun belum makan lagi ni. Lepas makan,
saya bawak awak beli barang-barang dapur. Nanti saya ajar awak guna peralatan
elektrik dalam rumah ni ya.”
Air matanya
dikesat. Dia angkat kepala memandang Tengku Haziq. Ada senyuman pada wajah
lelaki itu.
“Dah. Awak
pergi tukar pakaian dulu. Saya tunggu awak kat sini.” Sambung Tengku Haziq
lagi.
Aisyah sekadar
mengangguk. Cepat-cepat dia bangun meninggalkan Tengku Haziq di ruang tamu dan
berlalu ke biliknya. Dia perlu bersiap dengan segera. Tak elok membiarkan
Tengku Haziq menunggunya lama-lama. Lelaki itu terlalu baik padanya.
TENGKU HAZIQ memandang Aisyah yang makan dengan penuh berselera.
Tumpah rasa simpatinya pada gadis kampung itu. Jika dia tiada tadi, tentu
Aisyah sudah pengsan akibat rasa lapar. Sampai hati Tengku Iskandar membiarkan
Aisyah tanpa makanan di kondonya.
Dia cuba
menghubungi Tengku Iskandar. Namun panggilannya tidak dijawab. Dia yakin tentu
Tengku Iskandar tengah berseronok menari terkinja-kinja bersama Fira. Sebab
itulah panggilannya tidak berjawab. Alamatnya dia hanya meninggalkan mesej
pendek pada abang sepupunya itu. Memberitahu bahawa dia membawa Aisyah keluar
makan.
Mengenangkan
Tengku Iskandar, dia mengetap bibir. Entah sampai bila perangai abang sepupunya
itu akan berubah? Sudah banyak nasihat yang dia beri. Namun satu nasihat pun
tak pernah lekat di kepala Tengku Iskandar. Hidup lelaki itu masih penuh dengan
keseronokan.
“Bruppp!”
Bunyi itu
mematikan lamunan Tengku Haziq.
Aisyah di
hadapan sudah menekup mulut dengan ke dua belah tangannya. Wajahnya yang putih
bersih sudah bertukar kemerah-merahan. Malu bukan kepalang bila sendawanya
terlepas depan Tengku Haziq.
‘Hisy… macam mana boleh terlepas bunyi
macam biawak hidup tu? malunya….’ Dalam hati dia menggumam. Marah pada
keterlanjuran ‘bunyi’ kuat yang keluar dari mulut.
Tidak
semena-mena, Tengku Haziq ketawa. Kelakar pula rasanya mendengar sendawa besar
Aisyah. Kenyang sangat agaknya sampai terkeluar bunyi besar itu. Ketawanya
berterusan sehinggalah… “Bruppp!!!”
Serta-merta
ketawa Tengku Haziq mati. Matanya membulat. Aisyah yang duduk di depan juga
sudah tayang muka terkejut separuh pitam. Mungkin tidak sangka Tengku Haziq
akan mengeluarkan bunyi yang serupa dengannya. Malah lebih kuat daripada bunyi
sendawanya tadi.
Tak
semena-mena, mereka berdua ketawa serentak. Kelakar dengan apa yang berlaku.
Mata-mata yang memandang tidak dihiraukan. Seronok benar mereka ketawa
terbahak-bahak. Aisyah juga sudah hilang rasa malunya pada Tengku Haziq. Rasa
seperti lelaki itu sudah lama dikenali.
Melihat wajah
putih bersih Aisyah yang sudah kemerah-merahan ketawa, membuatkan hati Tengku
Haziq dibuai satu perasaan halus. Pertama kali dia melihat gadis itu ketawa.
Hatinya rasa gembira dan bahagia. Tengku Iskandar memang beruntung dapat
memperisterikan Aisyah yang polos.
Aisyah yang
seronok ketawa menghentikan tawanya bila mata Tengku Haziq merenungnya tanpa
kerdip. Marahkah lelaki itu padanya? Aduh… mampuslah kalau Tengku Haziq marah.
Hanya lelaki itu saja ‘teman’ yang dia ada di ibu kota Kuala Lumpur ini. Dia
tidak punya sesiapa di sini.
“Errr… maaf.”
Pinta Aisyah akhirnya. Wajahnya ditundukkan. Rasa bersalah kerana tawanya
terlepas sebentar tadi.
“Kah… kah…
kah….” Besar ketawa Tengku Haziq. Wajah pucat Aisyah menggeletek hatinya.
Aisyah yang
kehairanan sudah mengerut kening. Pelik melihat Tengku Haziq yang ketawa
terbahak-bahak bagai orang hilang akal. Apa yang kelakar sangat?
“Awak ni
kelakar la Aisyah. Tak pasal-pasal nak mintak maaf pulak. Awak takut saya marah ye?
Jangan risau la… saya tak marah awak. Saya suka tengok awak ketawa. Takde saya asyik menghadap muka murung awak
tu setiap masa.” Ujar Tengku Haziq dengan sisa tawa yang masih berbaki.
Lega hati
Aisyah mendengar kata-kata lelaki itu. Pantas dia menarik senyuman manis. Mujur
juga Tengku Haziq tidak ‘sepesen’
dengan Tengku Iskandar. Jika tidak memang susah hidupnya.
“Awak nak order apa-apa lagi tak?”
Aisyah
menggeleng. Dia sudah kenyang. Alhamdulillah atas rezeki yang ada.
Suara azan
maghrib yang berkumandang dari masjid berdekatan dengan restoren tempat mereka
makan membuatkan mereka senyap. Memberi laluan kepada suara bilal yang
mendayu-dayu menusuk ke dalam jiwa. Subahanallah… betapa merdunya suara bilal
tersebut!
Usai saja azan
dilaungkan, Tengku Haziq dan Aisyah masing-masing membaca doa selepas azan.
“Saya nak pergi
solat dekat masjid depan tu. Lepas dah solat nanti saya bawa awak pergi beli
barang-barang dapur ya.” Ujar Tengku Haziq. Dia sudah bangun dari duduknya.
Aisyah sekadar
mengangguk.
“Awak tak solat
ke?” Tengku Haziq bertanya. Manalah tahu kalau-kalau gadis itu mahu ikut solat
bersama.
“Errr… nak, tapi saya tak bawa telekung.”
Jawab Aisyah jujur.
“Takpe. Nanti dekat masjid ada telekung extra. Awak boleh guna. Biasanya dekat
masjid-masjid memang dia orang sediakan telekung extra untuk orang luar. Iya la… mana tahu kan ada orang luar nak
tumpang bersolat. Senanglah sikit.” Terang Tengku Haziq.
Aisyah yang
mendengar sekadar mengangguk. Jika itu sudah dikata, eloklah dia tumpang
bersolat di masjid berdekatan. Lagipun waktu maghrib singkat. Tak elok dia
melambat-lambatkan waktu.
“Kalau macam
tu… awak tunggu sini kejap. Saya nak pergi bayar bil.” Pantas Tengku Haziq
beredar menuju ke kaunter pembayaran.
Aisyah hanya
menyoroti langkah lelaki itu. Tengku Haziq memang lelaki yang baik. Beruntung
siapa yang dapat memiliki hati lelaki ini. Tengku Haziq lelaki sempurna untuk
dijadikan seorang suami. Dia pernah berangan-angan mahukan suami seperti Tengku
Haziq yang taat pada perintah Ilahi. Namun apakan daya jodohnya sudah
ditetapkan bersama Tengku Iskandar.
sabar je lah dgn perangai tengku iskandar 2...
BalasPadamtu la pasal..dpt laki mcm TGI ne kena byk2 bersabar
Padamdear..chapt 13 bila lagi...x sabar mau baca ni..
BalasPadamheheheee..ok ok..nti saya akan up n3 seterusnya..tgu tau.. =)
PadamHai bestnya story ni ada lagi tak n3 seterusnya tak sabar nak baca
BalasPadamn3 seterusnya akan saya update hari ni..slmt membaca ya
Padam