Bab 8
TENGKU ISKANDAR merengus. Sakit
hatinya tidak terkata. Tak sudah-sudah gadis itu menyusahkan hidupnya. Nasib
baik dia sempat menekan brek, jika tidak bagaimana? Bukankah namanya sudah
tercemar kerana dituduh melanggar orang? Padahal gadis ini yang tak pandang
kiri kanan jalan. Main rempuh aje!
“Macam mana
ni?” soal Tengku Haziq pada Tengku Iskandar yang berpeluk tubuh dengan muka
masam.
“Macam mana
apa? Manalah aku tahu. Kau yang baik hati sangat nak suruh bawak dia ke sini.
Pandai-pandai kau la buat apa.” Balas Tengku Iskandar sambil melangkah keluar
dari bilik tamu itu.
Dia tidak mahu
masuk campur. Sudah Tengku Haziq yang beria-ia nak bawak gadis kampung itu ke
sini, pandai-pandai Tengku Haziq la buat apa yang patut. Dia malas nak masuk
campur. Awal-awal lagi dia dah kata. Biarkan saja gadis kampung itu di situ
tetapi Tengku Haziq kata dia tak berhati perut. Sekarang ikut pandai Tengku
Haziq nak buat apa.
Tengku Haziq
mendengus. Geram dengar jawapan Tengku Iskandar.
“Is… kau ni takde rasa kesian ke? Tak simpati ke tengok
Aisyah tu? Cubalah berperasaan sikit.”
Decitan kasar
keluar dari mulut Tengku Iskandar. Selamba dia melabuhkan punggung di atas
sofa. “Habis tu kau nak suruh aku buat apa? Nak suruh aku tukarkan baju
perempuan kampung tu? Kalau itu yang kau nak suruh aku buat… aku takde hal.
Perkara tu memang dalam kocek aku.”
Geram Tengku
Haziq mendengar jawapan poyo Tengku Iskandar. Bercakap dengan Tengku Iskandar
ini hanya menaikkan marahnya saja. Ada baiknya dia segera memanggil Kak Jah,
isteri kepada Abang Sani pemilik homestay ini. Untung-untung ada baju Kak Jah yang
muat dengan saiz tubuh Aisyah. Lagipun hanya Kak Jah yang dapat membantu
menukar pakaian Aisyah yang basah. Nanti demam pula gadis itu kerana berada
dalam keadaan lencun begitu.
“Kau nak ke
mana tu?” tanya Tengku Iskandar setelah melihat langkah Tengku Haziq menonong
ke pintu utama.
“Aku nak
panggil Kak Jah. Nak mintak dia tolong tukarkan baju Aisyah. Takkan nak biarkan
dia basah macam tu aje.”
Malas hendak
memberi sebarang respons, Tengku Iskandar menekan remote astro. Dia tak nak ambil tahu soal gadis kampung bernama
Aisyah itu. Takde kena mengena pun
dengan dia.
Bunyi benda
jatuh dari bilik tetamu mengejutkan Tengku Iskandar.
“Hisy… apa pulak tu?” dengusnya. Kemudian dia bangun dari duduk. Melangkah ke
bilik tetamu yang menempatkan Aisyah.
“Apa lagi ni?”
sergah Tengku Iskandar kasar.
Aisyah yang
sudah sedar dari pengsannya tersentak. Terkejut melihat Tengku Iskandar yang
berdiri di muka pintu dengan wajah garang. Sebiji macam singa jantan kelaparan.
“Sa… saya kat
mana ni?” Tanya Aisyah takut-takut.
“Kau kat rumah
aku la. Kat mana lagi.” bosan pula Tengku Iskandar melayan gadis kampung itu.
“A… apa a… awak
dah buat kat saya?” soal Aisyah lagi. Takut andai lelaki itu telah melakukan
sesuatu kepadanya.
“Aku buat apa?
Aku takde buat apa-apa la! Setakat
perempuan kampung macam kau… bukan test
aku.” Bongkak Tengku Iskandar menjawab.
Tok! Tok! Tok!
Ketukan yang
bertalu-talu di muka pintu kedengaran. Lantas Tengku Iskandar bergerak ke muka
pintu. Tentu Tengku Haziq yang pulang bersama Kak Jah. Namun sebaik saja pintu
dibuka luas, kelihatan beberapa orang lelaki lengkap berkopiah dan berjubah
berdiri di depannya. Dadanya berdebar hebat memandang kelima-lima lelaki
tersebut.
“Assalamualaikum.”
Sapa salah seorang daripada lelaki berkopiah.
“Waalaikumusalam.
Encik semua ni siapa?” Tengku Iskandar bertanya dengan rasa hati yang mula
tidak sedap. Bagai ada sesuatu yang buruk akan menimpa nasibnya.
“Saya Haji
Samsul Haji Marullah. Imam dekat kampung ni. Saya dapat aduan kat sini ada
maksiat. Boleh kami masuk untuk buat pemeriksaan.” Ujar Haji Samsul. Tadi dia
menerima panggilan telefon dari seseorang yang tidak dikenalinya. Menurut si
pemanggil, di rumah ini berlakunya maksiat. Sebagai imam kampung, dia datang
untuk membuat pemeriksaan sama ada berita itu benar atau palsu.
Tatkala itu,
jantung Tengku Iskandar berlari laju. Dia ingin menghalang lima lelaki
berkopiah itu daripada masuk. Namun dia tidak berdaya bila kelimanya sudah
melangkah masuk ke dalam. Memeriksa satu-per-satu bilik dalam homestay
tersebut.
“Tok Imam… kat
sini. Ada perempuan kat sini.” Salah seorang daripada pengikut Haji Samsul
bersuara. Membuat jantung Tengku Iskandar bagai berhenti berdegup.
Haji Samsul
meluru ke arah bilik yang dimaksudkan Imran, anak buahnya. Benar bagai dikata,
memang dalam bilik itu ada seorang gadis. Dan dia memang kenal gadis itu.
“Astagfirullah al azim… Aisyah? Apa kamu
buat dekat sini?” Tanya Haji Samsul dengan nada terperanjat. Setahunya Aisyah
anak gadis yang baik. Tapi… untuk apa gadis itu ke mari? Dengan pakaian yang
basah kuyup dan rambut yang tidak terurus. Keadaan yang cukup mencurigakan.
Soalan Haji
Samsul tidak terjawab. Aisyah tunduk merenung lantai. Dia takut dan panik.
Lidahnya seolah keluh mahu memberikan jawapan.
“Mak su kamu
mana? Dia tahu tak kamu dekat sini?” tanya Haji Samsul lagi.
Aisyah
menggeleng berulang kali. Tiada siapa yang tahu dia di sini. Malah dia sendiri
tidak tahu bagaimana dia boleh sampai ke sini. Apa yang dia ingat, dia cuba
menyelamatkan diri daripada nasfu serakah Farid sebelum datang sebuah kenderaan
merempuhnya. Waktu itu mak su dan Fasha mungkin masih berada di majlis
perkahwinan Ujie di Kampung Raja.
“Imran, kamu
telefon Puan Ainin. Beritahu dia hal ini. Hal macam ini bukannya boleh di bawa
main-main. Dia perlu tahu.”
“Tok Iman…
tolonglah. Jangan bagitau mak su Aisyah. Aisyah tak salah.” Rayu Aisyah. Air
matanya sudah mula berlinangan. Wajah garang mak su terbayang depan matanya.
“Kalau tak
salah… buat apa kamu ke sini? Dalam keadaan macam ni, tok rasa ragu-ragu dengan
kamu.”
Aisyah diam
lagi. Tiada jawapan untuk soalan itu.
“Apa nak jadi
dengan anak-anak muda zaman sekarang ni? Buat maksiat tak ingat hari akhirat.”
Ujar Haji Samsul lebih kepada diri sendiri.
“Errr… tok salah faham. Kami tak buat
apa-apa. Kami tak buat maksiat.” Tengku Iskandar menghampiri Haji Samsul. Dia menerangkan
keadaan yang sebenar setelah berdiam diri sedari tadi. Sempat dia mengerling
tajam kepada Aisyah.
“Dengan kamu
yang berpakaian macam ini dan si perempuan yang basah kuyup, itu kamu kata tak
buat maksiat?” Haji Samsul menghala pandangan pada Tengku Iskandar. Hanya
bersinglet putih dan berseluar pendek paras lutut. Dia ragu-ragu pada kebenaran
kata-kata lelaki itu.
“Betul tok.
Saya tak bohong. Kami tak buat apa-apa. Saya pun tak kenal dia ni siapa.”Beria-ia
Tengku Iskandar memberitahu.
“Kalau tak
kenal macam mana boleh berdua-duaan dalam rumah ni?”
“Kami tak berdua-duaan
tok. Ada sepupu saya bersama.”
“Habis tu mana
sepupu kamu?”
“Dia… pergi
panggil tuan rumah ni.”
“Dan tinggalkan
kamu berdua-duaan?”
Tengku Iskandar
kematian kata. Tidak tahu bagaimana menerangkan keadaan yang sebenar. Jika dia
bercerita pun, dia yakin Haji Samsul tidak percaya. Apatah lagi dia tiada seorang
saksi pun buat masa ini kerana Tengku Haziq masih belum balik dari tadi. Entah
ke mana dia melencong. Takkanlah setakat ke rumah Encik Sani yang hanya
beberapa langkah dari homestay ini
pun mengambil masa yang lama.
“Tok, Puan
Ainin dalam perjalanan ke sini.” Beritahu Imran setelah berjaya menghubungi
Puan Ainin seperti yang disuruh.
Haji Samsul
sekadar mengangguk. Mereka perlu menunggu kedatangan Puan Ainin untuk
menyelesaikan kes ini. Aisyah itu di bawah jagaan Puan Ainin. Maka lebih elok
Puan Ainin diberitahu hal ini. Biar dia yang buat keputusan.
“Bagi kad
pengenalan?” pinta Haji Samsul.
“Tapi tok….”
“Lebih baik
kamu beri kerjasama. Jika tidak… saya terpaksa bawak kamu berdua ke balai polis
atas tuduhan berkhalwat. Itu akan lebih memalukan.”
Mendengar
perkataan berkhalwat itu, jantung Tengku Iskandar berdetak laju. Bayangan mummy
dan daddy berlegar-legar di ruang minda. Silih berganti dengan ekspresi wajah
yang menggerunkan. Bayangan kerusi CEO TG Holdings yang bakal disandang juga bagai
sudah menjauhi dirinya.
Tidak! Tidak!
Tidak! Dia tak boleh kehilangan apa yang ingin dimiliki. Dia tidak sanggup.
Oleh itu dia perlu memberi kerjasama kepada lelaki tua berkopiah dan berjubah
putih itu.
Sementara
menunggu kedatangan Puan Ainin, Haji Samsul sempat memberi ceramah pada
pasangan muda itu. jenuh juga dia memberi ceramah berunsur nasihat agar anak
muda berdua itu kembali ke pangkal jalan. Jika sudah suka, adalah lebih baik
perasaan itu diikat dengan tali perkahwinan. Bukannya dengan berbuat maksiat
seperti ini. Dosa besar hukumnya.
“Assalamualaikum.”
Suara memberi salam mematikan ceramah Haji Samsul. Mereka semua memaling wajah
pada suara di muka pintu.
“Waalaikumusalam.”
Jawab mereka serentak.
“Apa dah jadi
ni?” Tanya Tengku Haziq terpinga. Terkejut melihat ruang tamu homestay itu dipenuh orang yang tidak
dikenali. Dia terlambat kerana terpaksa menunggu Kak Jah balik dari kedai
jahitnya tadi. Sementara menunggu, dia berbual seketika bersama Encik Sani, suami
wanita itu.
Kak Jah dan
anaknya Safiah yang nyata terkejut dengan kehadiran Haji Samsul dan
pengikut-pengikutnya ke rumah penginapan mereka ini segera mendapatkan Aisyah.
Gadis itu lencun dengan air mata. Entah apa yang telah berlaku? Setahunya dia ke
mari hendak menolong Tengku Haziq menukar pakaian basah seorang gadis. Menurut
Tengku Haziq dia dengan sepupunya Tengku Iskandar telah terlanggar gadis itu
sehingga membuatkan gadis itu pengsan. Tidak tahu apa yang hendak dilakukan,
dia memerlukan bantuan Kak Jah. Tak sangka pula gadis yang dimaksudkan adalah
Aisyah. Anak arwah Encik Latiff dan Puan Ainon.
“Tok… ini… ini
sepupu saya. Dia tahu saya tak bersalah.” Tengku Iskandar menarik tangan Tengku
Haziq. Dia perlukan keterangan daripada sepupunya itu untuk melepaskan diri
daripada tuduhan berkhalwat. Hanya Tengku Haziq dapat membantu.
Namun belum
sempat Haji Samsul berkata, kedengaran suara Puan Ainin menerpah pendengaran
semua orang. Nyaring bukan main suara itu.
“Mana? Mana
anak tak tahu malu tu? Tak guna! Dia conteng arang ke muka aku ya!” serang Puan
Ainin tanpa rasa malu. Dia meluru masuk ke dalam rumah. Mencari kelibat Aisyah
sebelum datang menyerang gadis itu.
Fasha pula
hanya melihat dengan senyuman puas hati bila maknya memukul-mukul tubuh Aisyah.
Padan muka! Itulah yang dia luahkan dalam hati.
Aisyah yang
ketakutan tidak mampu melawan. Hanya menangis bila tangan Puan Ainin
memukul-mukul tubuhnya. Nasib baik Kak Jah ada, menepis sedikit tangan Puan
Ainin daripada terus memukul-mukul Aisyah.
“Errr… sabar Ainin. Sabar. Kita duduk
dulu bawa berbincang.” Haji Samsul yang terkejut melihat Puan Ainin naik hantu.
“Nak bincang
apa lagi tok? Dah dia ni memalukan nama keluarga. Baik bagi kahwin aje terus!”
dengan wajah garang Puan Ainin membalas. Turun naik nafasnya dek kerana marah
yang tidak bertepi.
“Tak! Saya tak
nak kahwin dengan dia.” Jerit Tengku Iskandar. Dia bertegas dengan
pendiriannya.
Dengar jeritan
Tengku Iskandar, Puan Ainin mencerlungkan mata. “Owh… kau tak nak kahwin dengan
anak sedara aku ye? Dah kamu buat maksiat… conteng arang ke muka aku… lepas tu
tak nak bertanggungjawab.” Tangan sudah naik ke pinggang.
“Saya tak
salah. Saya tak kenal perempuan tu.”
Mendidih darah
Puan Ainin mendengar jawapan lelaki di hadapannya. Rasa nak cincang mulut lelaki
itu.
“Kalau kau tak
kenal anak sedara aku yang gatal ni… macam mana dia boleh ada di sini bersama
kau?” tidak mahu mengalah, Puan Ainin menjerkah.
“Diam! Diam!
Tolonglah. Perkara ni akan bertambah rumit jika kamu semua tak beri kerjasama.
Kita duduk berbincang.” Haji Samsul mula bertegas. Rimas dengar perdebatan Puan
Ainin dan Tengku Iskandar.
“Kamu… kalau
kamu rasa tak nak kahwin dengan perempuan ni, sila berikan saya nombor telefon
keluarga kamu di Kuala Lumpur. Saya nak maklumkan hal ni pada mereka.”
Mendengar ayat
yang keluar dari mulut Haji Samsul, Tengku Iskandar mati kata. Bayangan dan
kata-kata mummy mula terngiang di cuping telinga.
“Remember
Is! Mummy dah bagi warning pada Is. Jangan malukan mummy dan daddy. Kalau ada perkara buruk yang mencemarkan nama baik family kita, jangan harap Is akan pegang
jawatan CEO di TG Holdings ni. Segala keistimewaan Is pun mummy akan tarik balik.”
Tidak! Dia tak
boleh membiarkan apa yang bakal dimiliki terlepas hanya kerana kes ini. Tidak!
Dia tak boleh membiarkan mummy tahu perkara
ini. Tidak sama sekali! Dia perlu membuat keputusan demi kepentingannya.
SEMUA orang telah pun pulang sebaik sahaja selesai akad nikah
antara Tengku Iskandar dan Aisyah. Ruang tamu rumah ini hanya ditemani esakan
halus Aisyah yang menangis teresak-esak mengenangkan nasib diri. Dia tidak
pernah menyangka begini akhirnya perjalanan hidup yang perlu ditempuh.
Berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak pernah hadir dalam kamus hidupnya.
Semua terjadi dengan cara mendadak dan terlalu pantas.
Tengku Iskandar
yang duduk di atas sofa merenung tajam wajah Aisyah yang lencun bermandikan air
mata. Amarahnya pada gadis itu meluap-luap. Api bencinya membuak-buak. Ikutkan
amarahnya ini, mahu diseretnya gadis kampung itu keluar malam ini juga. Dia benci
melihat wajah itu.
“Kau sengaja
nak perangkap aku kan?” soal Tengku Iskandar tiba-tiba. Suaranya perlahan namun
cukup jelas kasar pada suaranya itu. Sedari tadi dia memendam perasaan mahu
melontar soalan itu kepada Aisyah.
Tiada jawapan
dari Aisyah. Dia masih tunduk dengan linangan air mata yang tidak ada tanda
mahu berhenti.
“Kau sengaja
perangkap aku kan?!?” kali ini suara Tengku Iskandar sudah memetir. Wajahnya
berang dengan kebisuan Aisyah.
Terkejut Tengku
Haziq mendengar pekikan abang sepupunya itu. Bertambah terkejut bila melihat
Tengku Iskandar meluru ke arah Aisyah dan tangan besar itu sudah mencekik
batang leher jenjang Aisyah. Terkapai-kapai gadis malang itu minta dilepaskan.
Wajahnya yang putih bertukar merah akibat sesak nafas.
“Is! Lepaskan
dia. Lepaskan!” halang Tengku Haziq. Tangan Tengku Iskandar ditarik-tarik
supaya melepaskan leher Aisyah.
“Kau memang
sengaja nak perangkap aku kan?!” soalan yang sama diulang dengan tangan yang
makin kejap mencekik leher Aisyah. Dia bagai dirasuk. Tidak sedar perbuatannya
itu boleh mengundang kematian.
Aisyah
terkapai-kapai. Nafasnya sesak. Air mata makin laju mengalir. Ketakutan kian
mencengkam jiwa dengan tindakan tidak terduga Tengku Iskandar.
“Hey… Is! Kau dah gila ke? Kau nak bunuh
dia ke? Bawak mengucap Is. Jangan bertindak macam orang tak siuman!” marah
Tengku Haziq yang masih mencuba sedaya upaya melarikan tangan Tengku Iskandar
dari leher Aisyah.
Pantas Tengku
Iskandar melepaskan tangannya. Tubuh Aisyah ditolak kasar sehingga gadis itu
jatuh tersungkur di atas lantai. Pedih hatinya melihat wajah itu. Jika di dunia
ini tiada hukuman bagi seorang pembunuh, sudah lama gadis itu mati di
tangannya.
Aisyah
terbatuk-batuk. Merah padam wajahnya akibat sesak nafas. Gementar tubuhnya
dengan tindakan tidak disangka lelaki itu.
“Kau dah gila
ke? Nak jadi pembunuh?” jerkah Tengku Haziq dengan wajah berang. Dia tahu
Tengku Iskandar tertekan dengan apa yang baru terjadi. Tetapi ini bukan cara
untuk dia melampiaskan rasa marah. Aisyah tidak bersalah. Gadis itu juga
teraniaya.
“Ya! Memang aku
dah gila. Aku gila sebab perempuan kampung ni perangkap aku.” Melengking tinggi
suara Tengku Iskandar menjawab pertanyaan Tengku Haziq. Benci benar dia melihat
keperihatinan yang Tengku Haziq berikan pada gadis kampung itu. Padanya, gadis
kampung seperti Aisyah tidak perlu dikasihani. Dasar orang kampung tak ada
harga diri!
“Astagfirulla al azim… apa yang kau
merepek ni Is? Kau sendiri tahu kan Aisyah tak bersalah. Kita yang nyaris
melanggar dia. Bila masa dia perangkap kau. Tak baik menuduh tanpa usul
periksa.”
Sedih hati
Aisyah bila dituduh begitu. Demi TUHAN… dia tak pernah berniat hendak
memerangkap lelaki itu untuk menikahinya. Dia sendiri tidak tahu siapa yang
membuat onar. Siapa yang menfitnah sehingga tok imam datang menyerbu.
Merah menyala
mata Tengku Iskandar memandang Aisyah. Dadanya berombak kencang dengan api
marah yang masih menyala-nyala.
“Kalau bukan
dia siapa lagi yang buat laporan? Dia memang sengaja nak perangkap aku.”
Aisyah
menggeleng-geleng dengan air mata yang lebat bercucuran. “Tidak! Saya tak
perangkap awak. Saya tak tahu siapa yang buat laporan. Demi ALLAH saya tak
berniat nak perangkap awak. Percayalah.” Dalam keadaan itu, Aisyah masih cuba
membela diri.
Mendidih hati
Tengku Iskandar mendengar jawapan Aisyah. Lantas dia kembali menerpah ke arah
gadis itu. Pipi halus Aisyah menjadi sasarannya. Dicengkam sekuat hati.
“Hoi perempuan
kampung! Kau dengar sini baik-baik! Jangan ingat kau sudah sah menjadi isteri
aku, aku akan layan kau sama seperti isteri-isteri lain di luar sana. Kau tak
ubah seperti melukut di tepi gantang. Kalau bukan sebab aku nak jaga maruah aku
dan keluarga aku, jangan harap aku nak kahwin dengan kau. Perempuan macam kau,
bukan test aku!!” jerit Tengku
Iskandar dengan api kemarahan yang meluap-luap terhadap Aisyah. Sekali lagi
tubuh itu ditolak kasar.
“Is!!” Jerit
Tengku Haziq. Tubuh Tengku Iskandar di tolak menjauhi Aisyah. Geram sungguh dia
dengan sikap angkuh dan bongkak sepupunya itu. Cakap tak guna otak!
Setelah
menyudahi kata-katanya, Tengku Iskandar beredar dari situ. Masuk ke dalam bilik
dengan hati yang berang. Berdentum bunyi pintu yang dihempas sekuat hati.
Melepaskan rasa marah yang tak ada surutnya.
Aisyah yang
sudah terjelopok di atas lantai menangis teresak-esak mengenang nasib diri.
Entah sampai bila dia kisah-kisah duka dalam hidupnya ini akan terhenti. Dia
letih dengan semua ini namun dia perlu redha dengan takdir yang telah tersurat
untuknya. Kalaulah arwah abah dan mak masih ada, tentu dia tak perlu melalui
kesukaran ini.
Tumpah rasa
simpati Tengku Haziq pada Aisyah. Dia tahu gadis malang itu tidak bersalah.
Mungkin… ini adalah dugaan buat Aisyah dan Tengku Iskandar. Hanya ALLAH yang
Maha Mengetahui.
gila punya laki, ckp besar sangat..
BalasPadamnanti bila dah jatuh cinta padan dengan muka..
kan lya kan..mmg dia ni suka ckp besar
Padam