Bab 10
USAI menunaikan solat subuh,
Aisyah melangkah keluar. Berada di tempat baru menyebabkan dia tidak dapat
tidur dengan lena. Sekejap-sekejap dia terbangun. Akibat matanya yang sukar
tidur dengan lena, awal subuh dia sudah tercegat di ruang dapur yang begitu
asing baginya. Tidak sama dengan ruang dapur di kampung.
Aisyah merenung
dapur yang kelihatan pelik pada pandangan matanya. Nipis dan tiada butang
hendak ditekan untuk menyalakan api. Inilah pertama kali dia melihat dapur yang
pelik begitu. Dekat kampung, dapur yang digunakan biasa-biasa saja. Tidaklah
secanggih dapur di kondo mewah ‘Tengku Harimau’ ini. Bertambah pelik bila dapur
tersebut tiada tong gas. Puas dia mencari, namun tidak jumpa tong gas di
mana-mana.
Aisyah garu
kepala. Bingung melihat alatan elektrik di dapur tersebut. Inilah susahnya jika
peralatan terlalu canggih. Sehinggakan dia yang asal dari kampung ini jadi
‘kejakunan’. Tak tahu bagaimana hendak menggunakannya.
“Hisy… susahlah macam ni. Macam mana aku
nak masak? Nak hidupkan api dekat dapur ni pun aku tak reti.” Aisyah merungut pada diri sendiri.
Dalam
situasinya yang bingung memikirkan bagaimana hendak menggunakan alatan elektrik
di dapur tersebut, telinganya menangkap derap kaki menuruni anak-anak tangga.
Dia yakin itu pastinya Tengku Iskandar. Pantas dia membetulkan kedudukan diri.
Tegak bagai patung cendana.
Tengku Iskandar
melangkah masuk ke ruang dapur. Wajahnya masih kelat seperti hari-hari sebelum
ini. Apatah lagi bila ternampak kelibat Aisyah di ruang dapur tersebut.
Bertambah kelat wajahnya yang kacak itu.
Sebuah fail
merah dibuang tepat ke atas meja. Benar-benar di hadapan Aisyah yang sedang
tertunduk memandang lantai. Aisyah yang melatah itu pun apa lagi, laju saja
mulutnya berkata yang bukan-bukan. “Oh mak kau fail terbang!” latahnya sambil
meloncat sedikit ke belakang.
Sedar dia
termelatah di hadapan lelaki itu, cepat Aisyah menekup mulut dengan kedua belah
tangan. Bibirnya diketap. ‘Hisy…
mulut ni! Boleh tak jangan melatah. Buat malu aje!’ Hatinya menggumam marah
atas ketelanjurannya melatah di hadapan Tengku Iskandar.
Tengku Iskandar
yang berlagak memeluk tubuh itu menjungkit kening. Latah Aisyah langsung tidak
menggeletek hatinya. Buat dia bertambah sebal itu ada la! Lantas bibirnya
mendengus. Entah sampai bila dia akan bertahan duduk berdua dengan perempuan
kampung itu.
“Dalam fail tu
aku ada buat senarai apa yang perlu kau lakukan dan tak perlu. Kau kena baca
sampai faham. Aku tak nak berurusan dengan orang bodoh.” Senafas Tengku
Iskandar bersuara. Matanya tajam merenung wajah Aisyah. Gadis kampung itu,
setiap kali berdepan dengannya pasti menundukkan wajah.
“Kau dah
tinggal dekat sini, jadi kau kena ikut semua peraturan yang aku dah senaraikan.
Jangan ingat kau tu isteri aku, kau berlagak macam mem besar. Aku tak pernah
pun anggap kau sebagai isteri. Perempuan kampung macam kau ni, tak layak bergandingan
dengan aku. Tak sama taraf dengan kedudukan aku! Kau cuma layak jadi orang
suruhan aku aje. Sebab tu… kau kena buat semua kerja rumah dalam kondo aku ni.
Jangan nak duduk percuma aje dekat sini. Kalau kau nak terus menumpang di sini,
kau kena buat kerja. Setiap bulan aku akan bayar gaji kau. Tapi rasanya aku tak
akan bayar banyak. Cukup tiga ratus ringgit. Perempuan kampung macam kau
bukannya tahu guna duit sangat pun.” Panjang lebar Tengku Iskandar berbicara.
Namun bicaranya itu lebih kepada kata hinaan. Hatinya seakan puas setiap kali
dapat menghadiahkan Aisyah dengan kata hinaan begitu.
Aisyah hanya
mendengar. Kata hinaan itu mengguris hatinya. Apa lelaki itu ingat dia ini
tiada hati ke nak dihina sedemikian rupa? Dia tinggal di sini bukan kerana mahukan
wang ringgit. Jika pun dia melakukan kerja-kerja rumah di kondo ini, itu adalah
kerana dia sedar tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.
Tengku Iskandar
mendengus kasar. Semakin berada dekat dengan gadis kampung itu, semakin sakit
rasa hatinya. Daripada terus diserang sakit hati adalah lebih baik dia keluar
awal. Dapat juga dia mencari ketenangan jiwa. Tak pernah dia keluar seawal ini untuk
pergi ke tempat kerja. Tetapi disebabkan menyampah pada Aisyah, dia keluar
seawal pukul enam empat puluh minit pagi. Hari ini dalam sejarah!
Setelah daun
pintu utama ditutup dengan kasar oleh tuan rumah, Aisyah mencapai fail merah di
hadapannya. Dia mahu tahu isi kandungan apa yang ditulis ‘Tengku Harimau’
tersebut. Bukan main lagi sampai ada segala peraturan yang dia perlu ikut.
Mentang-mentang dia ini hidup menumpang. Bukan main lelaki garang itu
menindasnya.
Sepintas lalu
Aisyah meneliti peraturan-peraturan yang ditulis Tengku Iskandar. Ada lima
puluh peraturan semuanya. Bukan main banyak lagi peraturan yang dikenakan ke
atasnya.
Peraturan ke
dua puluh. ‘Di larang memandang wajah
Tengku Iskandar!’
Aisyah
mencebik. “Macam la aku kemaruk sangat nak pandang muka dia tu. Muka kelat tak
tahu nak senyum, hu… takde hati aku
nak pandang. Garang macam harimau dalam hutan!” Gumam Aisyah sendiri.
Mentang-mentang ‘Tengku Harimau’ itu sudah keluar, bukan main berani lagi dia
nak mengutuk. Cuba ‘Tengku Harimau’ itu ada di depan, Aisyah langsung tak
berani nak angkat muka. Asyik menunduk dua puluh empat jam.
Peraturan ke
dua puluh sembilan. ‘Tidak dibenarkan
jatuh cinta pada Tengku Iskandar!’
“Eiii… perasannya ‘Tengku Harimau’ ni!
Bila masa aku nak jatuh cinta pada dia? Tak payah nak tulis pun aku memang tak
akan jatuh cinta dengan lelaki garang macam dia tu. Hu… perasan!” Gerutu Aisyah
dengan rasa hati menyampah.
Kemudian dia
meneruskan pembacaan. Meniliti satu-per-satu peraturan yang perlu dia ambil
kira.
TING TONG! TING TONG!
Bunyi lonceng
pada permukaan pintu mengejutkan Tengku Haziq yang sedang membancuh air
Nescafe. Jam bulat yang melekat pada permukaan dinding di ruang dapur dijeling.
Baru pukul tujuh sepuluh minit pagi. Siapa pula yang datang awal-awal pagi
begini?
Selang sesaat,
lonceng berbunyi lagi. Bertalu-talu bunyinya. Bagaikan tidak sabar hendak
menyuruh tuan rumah membuka pintu.
“Hisy… saper pulak yang buat
kacau pagi-pagi ni?” rungut Tengku Haziq sambil memulas tombol pintu.
Di hadapannya,
tercegat wajah Tengku Iskandar yang sudah lengkap berpakaian pejabat. Kemas
seperti selalu.Tanpa dipelawa, lelaki itu masuk ke dalam rumah bujang Tengku
Haziq. Selamba saja dia merebahkan tubuhnya di atas sofa.
Berkerut dahi
Tengku Haziq melihat kelibat Tengku Iskandar di rumahnya pagi ini. Tak pernah
dia lihat Tengku Iskandar bersiap begini awal. Selalunya lelaki itulah yang paling
lewat masuk ke pejabat. Jika ditanya, macam-macam alasan yang dia berikan. Tapi
hari ini, awal pula Tengku Iskandar bersiap untuk ke pejabat. Satu perkembangan
yang cukup baik!
“Awal kau
bersiap.” Sengaja Tengku Haziq berkata begitu sambil menjeling wajah Tengku
Iskandar yang kelihatan sugul. Punggung dilabuhkan di atas sofa bertentangan
dengan Tengku Iskandar.
Tiada jawapan.
Tengku Iskandar menyandar sambil lengan kanan diletak atas dahi. Matanya
dipejam rapat. Semalaman dia tidak dapat tidur. Pagi ini dia rasa mengantuk
pula.
“Kau datang
pagi-pagi ni sebab nak mengelak dari Aisyah ke? Is… kau kena ingat, dia tu
isteri kau. Walau kau tak suka dia, kau kena juga jalankan tanggungjawab
sebagai seorang suami.” Tengku Haziq cuba memberi nasihat. Dia tahu Tengku
Iskandar tidak sukakan Aisyah tetapi tidak wajar jika abang sepupunya itu
mengabaikan Aisyah. Walau apa pun yang terjadi, gadis itu tetap isteri Tengku
Iskandar.
Tengku Iskandar
mendengus. Kasar bunyinya. Dia baru bercadang hendak menenangkan jiwa, Tengku
Haziq pula sudah mula hendak memberikan ceramah. Buat telinganya berdesing
mendengar nama gadis kampung yang dibencinya itu.
“Kau boleh tak
jangan sebut nama perempuan kampung tu? Aku tak suka la! Sakit telinga aku
dengar nama dia.” Rungut Tengku Iskandar. Tidak berkenan bila nama Aisyah
diungkit-ungkit depannya.
“Yang kau sakit
hati sangat dekat dia tu kenapa? Dia tak buat salah apa pun dekat kau. Kau tu
aje yang terlebih benci.” Memang dia pelik dengan perangai Tengku Iskandar yang
tak pasal-pasal membenci Aisyah. Jika dikatakan Tengku Iskandar membenci Aisyah
disebabkan peristiwa penangkapan khalwat mereka itu, rasanya sebelum hal itu
terjadi lagi Tengku Iskandar sudah menunjukkan rasa bencinya pada Aisyah.
“Ziq! Kau boleh
tak jangan buat kepala aku ni bertambah stress.
Aku datang rumah kau ni nak tenangkan fikiran. Bukannya nak dengar kau membebel
pasal betina kampung tu. Boleh tak kalau kau zip mulut kau tu bagi aku tenang
sikit. Dahlah dari semalam aku tak dapat tidur. Datang sini kau pula
bising-bising.”
Mendengar
kata-kata yang keluar dari mulut abang sepupunya itu, Tengku Haziq bangun dari
duduk. Biarpun kurang berpuas hati dengan tindakan Tengku Iskandar, namun dia
perlu menghormati permintaan lelaki itu. Lagipun dia dapat melihat betapa tidak
bermayanya Tengku Iskandar. Mungkin benar lelaki itu tidak dapat tidur
semalaman kerana memikirkan hal ini. Biarlah jiwa Tengku Iskandar tenang dulu.
Ada masa yang sesuai dia pasti akan menasihati lelaki itu lagi.
Tidak mahu
menganggu lelaki itu berehat, Tengku Haziq kembali semula ke dapur.
AISYAH memegang perutnya yang sudah berkali-kali berkeroncong. Puas
dia menyelongkar kabinet dan peti sejuk mencari makanan. Yang ada hanyalah
beberapa botol air mineral spritzer dan jus Peel Fresh saja. Sedangkan perutnya
minta diisi dengan makanan. Takde
makanan berat, cukup dengan roti pun dia sudah bersyukur. Namun tiada satu
makanan pun yang dijumpai.
Pelik! Peti ais
besar gedabak, tetapi isi di dalamnya hanyalah air mineral. Orang kaya apa
namanya ini? Sampaikan makanan tiada dalam simpanan. Nampak sangat ‘Tengku
Harimau’ itu jenis tak masak di rumah. Entah-entah dapurnya yang cantik ini
tidak pernah berasap.
Kruttt…
krutttt….
Perut Aisyah
berbunyi lagi. Kali ini lagi besar bunyinya. Lantas perut yang berbunyi itu
dipegang dan dia berkata, “Sabarlah wahai perut. Aku tak tahu nak makan apa.
Satu makanan pun takde dalam rumah
ni. ‘Tengku Harimau’ tu tak makan nasi agaknya, pasal tu dapur dia kosong.
Entah-entah dia makan daging manusia. Maklum… harimau la kan!” sempat juga
Aisyah merungut pasal Tengku Iskandar. Siap menyamakan lelaki itu dengan sang
harimau yang makan daging manusia lagi. Kalaulah Tengku Iskandar dengar, daging
Aisyah la yang pertama sekali dimakannya. Main sedap mulut saja mengata.
Aisyah
melangkah ke depan. Punggungnya dilabuhkan atas sofa kulit berwarna putih. Dia
benar-benar kelaparan. Tubuhnya yang sudah kehilangan tenaga itu direbahkan.
Kepalanya pusing akibat rasa lapar. Bayangkan dia tidak menjamah walau sebutir
nasi pun sedari semalam. Disebabkan itulah hari ini dia kelaparan tahap dewa.
Matanya
dipejam. Manalah tahu kelaparan yang menggila ini dapat diredakan dengan tidur.
Nanti petang dia akan memberitahu Tengku Iskandar keadaan dapur yang kosong.
Walau takut pada lelaki itu, dia kena juga beranikan diri. Jika tidak dia akan
mati kelaparan di dalam kondominium mewah ini.
best...
BalasPadamthanxxxxxx baby mio
Padam