Bab 9
“INI semua abang la yang punya
pasal!” marah Fasha pagi itu. Geram dengan abangnya.
Farid yang
duduk santai di atas bangku dengan kepala yang sudah berbalut mengalih
pandangan pada adiknya. Muncung saja bibir Fasha. Dah boleh dibuat tempat
menyangkut baju. Entah apa yang dia tak puas hati sangat.
“Apa yang abang
punya pasal pulak?”
“Kalau bukan
sebab abang gatal sangat nak merogol si ‘mangkuk ayun’ tu, takdenye dia kahwin dengan mamat hensem tu. Tapi sebab nafsu buas abang
tu… tengoklah apa dah jadi? Free aje dia dapat kahwin dengan mamat tu.”
“Owh… pasal tu. Ini kiranya kau kes
cemburu la ye?”
Fasha tidak
membalas. Geram dengan perangai abangnya yang sering buat selamba. Semalam
ketika dia dan maknya sampai ke ‘Homestay Nur Kasih’, dia terkejut melihat
pemuda yang bernikah dengan Aisyah. Kacak gila! Kalah Iwan pujaan hatinya itu.
Sudahlah tu, keturunan tengku-tengku pula. Sah-sah orang kaya.
“Hah… ni apasal
kecoh-kecoh ni? Dari dapur mak dapat dengar suara Fas membebel-bebel. Apa yang
tak puas hati sangat.” Puan Ainin yang baru muncul dari dapur melabuhkan
punggung di sebelah anak lelakinya. Kepala Farid yang berbalut itu diperiksa.
“Anak gadis mak
ni kecewa. Frust menonggeng tak dapat kahwin dengan orang kaya.” Balas Farid
bagi pihak Fasha.
Mencerlung
tajam mata Fasha menikam wajah abangnya. Pantas dia membaling kusyen kecil itu
ke arah Farid. Terkena pada kepala lelaki itu yang berbalut. Padan muka!
“Adoi.” Farid
mengadu bila balingan adiknya mengena tepat ke kepala.
“Fas! Apa ni
main baling-baling? Tak nampak ke abang Fas tengah sakit ni. Kasihanlah sikit.
Jangan nak ikut hati sangat.” Tegur Puan Ainin menyebelahi anak lelakinya.
Antara Fasha dan Farid, memang dia lebih menyayangi Farid. Apa saja kemahuan
anak lelakinya itu akan dituruti.
“Mak ni… suka
sangat sebelahkan abang! Sikit-sikit abang!” rajuk Fasha dengan bibir yang
sudah mencemik.
“Mak bukan nak
sebelahkan sesiapa. Tapi Fasha tu… janganlah layan abang macam ni. Dia
sakitkan?” Puan Ainin cuba berdiplomasi dengan anak gadisnya yang sudah merajuk
itu.
“Sakit yang
abang sendiri pergi cari. Siapa suruh gatal sangat nak merogol ‘mangkuk ayun’
tu?”
“Syhhhh!” Laju Puan Ainin meletak jari
telunjuknya ke bibir. “Cakaplah perlahan sikit. Fas nak satu kampung dengar ke
apa sebenarnya yang terjadi? Nak bagi malu keluarga kita? Rahsia ni kita kena
simpan elok-elok. Jangan bagi sesiapa pun tahu. Biarlah orang semua sangka
Aisyah dengan si tengku tu buat maksiat. Mak tak nak nama baik keluarga kita
tercemar.”
Sebenarnya apa
yang terjadi semalam diketahui kebenarannya oleh Puan Ainin dan Fasha. Ketika
mereka sampai, mereka terlihat Farid terhuyung-hayang mengejar Aisyah. Sebagai
ibu, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena. Pasti Farid membuat masalah. Dia
sudah masak benar dengan perangai anaknya itu. Lagipun daripada cara Aisyah
yang ketakutan menguatkan lagi tanggapannya.
Waktu Aisyah
berlari keluar dari rumah hujan turun dengan lebat sekali. Sebuah kenderaan
datang dan merempuh Aisyah. Mujur juga kenderaan yang dipandu tidak laju.
Menyebabkan Aisyah hanya terjatuh di tengah jalan. Mungkin rebah akibat rasa
terkejut.
Setelah dua
orang lelaki yang melanggar Aisyah membawa gadis itu masuk ke dalam kenderaan,
Puan Ainin mengambil langkah dengan mengekori kenderaan tersebut dan dialah
orangnya yang telah menelefon Haji Samsul memaklumkan ada maksiat di ‘Homestay
Nur Kasih’. Hanya itu cara untuk dia menyembunyikan perbuatan Farid.
Fasha mencebik.
Malas dengan sikap maknya yang terlalu manjakan Farid. Enjin kenderaan yang
kedengaran memasuki halaman rumah membuatkan Fasha memanjangkan leher menjenguk
ke luar. Menyirap darahnya melihat Aisyah keluar dari kereta besar itu.
Meluap-luap api cemburunya.
“Pengantin baru
dah balik. Mak ingatkan dia dah lupa jalan pulang kat rumah ni. Asyik sangat
memadu kasih dengan laki segera dia tu.” sindir Puan Ainin dengan mata
menjeling kelibat Aisyah yang masuk ke dalam rumah.
Aisyah tidak
membalas. Langkah kakinya dibawa masuk ke dalam bilik. Benci dan sakit hatinya
memandang wajah selamba Farid. Jika bukan disebabkan lelaki keparat itu,
nasibnya tidak seperti ini. Dia tak perlu bernikah dengan lelaki garang seperti
Tengku Iskandar. Nasibnya tak ubah seperti, ‘Keluar mulut buaya, masuk mulut
naga’.
Pintu bilik
ditutup rapat. Tidak sanggup dia mendengar sindiran sinis mak sunya. Dia tak
lakukan perbuatan terkutuk seperti yang mak su momokkan. Air mata mengalir lagi.
Pedih diperlakukan begitu.
Aisyah mencapai
beg. Kemudian memasukkan beberapa helai baju kurung yang dia ada ke dalam beg.
Baju-bajunya tidaklah sebanyak baju-baju Fasha. Yang dia ada pun sekadar baju
kurung kain catton saja. Nak pakai baju kurung kain sutera, jangan mimpi mak su
akan belikan dia kain semahal itu. Telekung dan sejadah turut disumbat masuk ke
dalam beg. Begitu juga dengan senaskah Al-Quran kecil juga turut dibawa
bersama.
Aisyah
berpaling ke meja hias. Pantas dia mencapai bingkai gambar arwah abah dan
emaknya. Bingkai gambar itu akan dibawa pergi bersama. Hanya itulah kenangan
yang dia ada bersama arwah abah dan emak. Gambar-gambar yang lain semua telah
dibakar oleh mak su. Kata mak su, kerana gambar-gambar itu dia tidak dapat
memberi tumpuan kepada kerja-kerja rumah. Mak su memang kejam kerana telah
membakar satu-satu kenangan yang dia ada.
Selesai
mengemas pakaian-pakaiannya, Aisyah melangkah keluar. Tidak mahu Tengku Haziq
menunggunya lama-lama di situ. Kasihan Tengku Haziq. Dia memang lelaki yang
baik. Mujur juga dia ada. Lelaki itulah yang menawarkan bantuan kepada dia
untuk mengambil pakaiannya di sini. Jika tidak dia terpaksa berjalan kaki. Hendak
mengharapkan bantuan Tengku Iskandar, jangan mimpilah. Lelaki itu masih
berkurung dalam biliknya sejak dari semalam. Masih meluap-luap marahnya pada
Aisyah.
Mendengar derap
kaki Aisyah, pantas Puan Ainin berpaling. “Hah… dah nak berambus ke? Baguslah
kau berambus cepat. Perempuan macam kau ni memang tak layak duduk kat kampung
ni. Memalukan nama keluarga aje. Nampak aje alim, tapi rupanya kau ni alim taik
kucing! Perempuan murahan!” hamun Puan Ainin.
Aisyah
menunduk. Tidak sanggup mendengar caci maki mak sunya lagi. Tidak mahu menunggu
lama, dia terus berlalu pergi.
Di dalam
kenderaan, Aisyah duduk diam tidak berkutik. Kata hinaan mak su benar-benar
menghiris hatinya. Sedari dulu, mak su tidak pernah memberi kata-kata lembut
pada dia. Setiap ayat yang meniti keluar dari bibir mak su akan menghiris-hiris
hatinya. Air mata yang mengalir dikesat dengan telapak tangan. Segan pula dia
menangis di hadapan Tengku Haziq. Biarpun lelaki itu sudah semalaman melihat
air matanya membasahi pipi.
Ketika kereta
yang dipandu Tengku Haziq melalui kawasan tanah perkuburan, hati Aisyah
diruntun pilu. Selepas ini dia sudah tidak dapat lagi menziarahi pusara abah
dan emaknya. Entah bila dia akan dapat menziarahi. Dia sendiri tidak tahu. Tadi
sebelum ke rumah, dia sempat meminta Tengku Haziq singgah di situ. Memberi
bacaan yasin pada arwah abah dan emak. Pilu sungguh hatinya.
‘Mak… abah…
maafkan Aisyah.’ Rintih Aisyah dalam hati.
Pandangan masih
dihala ke luar. Ketika itulah dia terlihat kelibat Ros yang sedang mengayuh
basikal menuju ke jalan arah rumahnya. Dia pasti sahabatnya itu mahu
bertanyakan hal semalam. Tentu berita itu sudah tersebar ke seluruh kampung.
Dia cukup yakin tentang itu. Aisyah kenal mak sunya. Mulut mak su tak akan
pernah tertutup diam daripada menyebar cerita-cerita buruk pasal dia.
Mahu rasanya
Aisyah menyuruh Tengku Haziq berhenti seketika. Dia mahu bertemu Ros buat kali
terakhir. Namun dia segan hendak membuka mulut. Lelaki yang sedang memandu
tenang di sebelahnya itu sudah terlalu banyak membantu. Dia tidak mahu
menyusahkan Tengku Haziq.
‘Maafkan aku
Ros. Aku kena pergi. Aku kena tinggalkan kampung ni. Semoga kita berjumpa
lagi.’ Hati Aisyah berbisik. Sebak rasanya kerana tidak dapat berjumpa Ros buat
kali terakhir.
Ya! Dia berharap
agar bertemu Ros satu hari nanti. Dia mahu menceritakan apa sebenarnya yang
telah terjadi. Dia mahu Ros tahu kebenarannya.
TOYOTA HARRIER yang dipandu Tengku Haziq memasuki ruang tempat
letak kereta bawah tanah kondominium Royal Palace. Tengku Iskandar yang duduk
di kerusi penumpang hanya diam tidak berkutik. Setiap kali pandangannya
bertembung dengan Aisyah, dia akan menghadiahkan jelingan tajam buat gadis itu.
Marahnya masih bersisa.
Tanpa
menghiraukan Tengku Haziq dan perempuan kampung itu, Tengku Iskandar melangkah
ke ruang lif. Kelat saja wajahnya. Sampaikan Aisyah tidak berani hendak
memandang wajah Tengku Iskandar yang kelat bagai mangga muda. Kejadian dia
hampir putus nyawa dicekik lelaki itu semalam membuatkan dia takut pada Tengku
Iskandar. Lelaki itu memang garang seperti harimau.
“Aisyah… mari.”
Suara Tengku Haziq mengejutkan Aisyah. Mujur tak termelatah.
Beg pakaian
yang sudah lusuh itu dibawa. Langkah diatur mengikut langkah Tengku Haziq.
Kalaulah lelaki itu tak ada, entah apa akan jadi pada nasibnya ini. Dia amat
terhutang budi pada Tengku Haziq.
Sampai di
tingkat enam belas, lif terbuka luas. Cepat-cepat Aisyah keluar. Takut jika dia
terlambat lif akan tertutup pula. Dia bukannya pernah naik benda alah itu. Jika
tertutup, dia tak tahu bagaimana hendak membukanya semula.
“Silakan masuk
Aisyah. Ini rumah Tengku Iskandar dan awak akan tinggal di sini.” Beritahu
Tengku Haziq.
Aisyah
melangkah masuk ke dalam. Terpegun sungguh dia melihat ruang di dalam
kondominium tersebut. Ruang tamunya besar mengalahkan ruang tamu rumahnya di
kampung. Perabotnya juga kelihatan mewah-mewah belaka. Pasti harga beribu-ribu.
Nampaknya lelaki bernama Tengku Iskandar itu pengemar warna putih memandangkan
warna pada dinding kondo tersebut dilatari warna suci bersih itu. Begitu juga
dengan perabotnya yang banyak memilih warna putih.
Tengku Haziq
tersenyum. Dia membiarkan Aisyah memerhati ruang di dalam kondo abang sepupunya
itu. Sedangkan dia sudah membawa kaki menghampiri Tengku Iskandar yang sedang
menghisap rokok di ruang balkoni. Tengku Iskandar bukanlah seorang perokok
tegar. Dia hanya akan merokok bila ada masalah datang menyerabutkan fikirannya.
“Is!” Tengku
Haziq menepuk bahu Tengku Iskandar. “Aku tahu kau tak dapat terima apa yang dah
terjadi. Tapi apa pun alasannya, Aisyah dah sah jadi isteri kau. Kau kena
terima dia seadanya. Mungkin ada hikmah disebalik semua ni. Dan ALLAH dah
tentukan jodoh kau bersama Aisyah.”
Tiada jawapan.
Tengku Iskandar ralat memandang dada langit yang pekat. Nampak gaya hujun akan
turun bila-bila masa saja lagi.
Melihat
kedinginan lelaki itu, Tengku Haziq menghela nafas. “Aku balik dulu. Kau jangan
pulak buat hal macam semalam. Kasihan Aisyah… dia sendiri pun tak minta semua
perkara ni terjadi.” Pesan Tengku Haziq sebelum berlalu. Gusar juga hatinya.
Namun dia perlu pulang ke rumahnya.
Ketika masuk ke
dalam, dia terpandangkan Aisyah masih berdiri tegak di tempatnya tadi sambil
menjenjit beg pakaian lusuhnya. Tumpah rasa simpati pada gadis malang itu. Dia
cukup yakin Aisyah tidak bersalah. Dia pasti gadis itu tidak merancang apa yang
telah terjadi seperti tuduhan melulu Tengku Iskandar.
“Aisyah… kenapa
berdiri aje? Duduklah. Kondo ni sekarang dah jadi macam rumah awak juga. Awak
kan isteri tuan rumah sekarang?”
Mendengar suara
Tengku Haziq, Aisyah berpaling. Dia cuba
untuk tersenyum. Hendak duduk, dia tidak berani. Takut duduk di atas kerusi
mahal milik Tengku Iskandar. Nanti kotor pula kerusi kulit itu terkena baju
buruknya. Biarpun dia isteri kepada pemilik kondominium mewah ini, tetapi dia
masih sedar diri.
“Saya kena
balik. Nanti ada masa, saya datang melawat awak lagi ye.” Beritahu Tengku
Haziq.
Senyuman pada
bibir Aisyah mati tatkala Tengku Haziq berkata begitu. Mendung wajahnya. “Awak
dah nak balik?” Dia bertanya.
Tengku Haziq
mengangguk. Air wajah Aisyah yang berubah mencuri perhatiannya. Dia tahu apa
yang bermain dalam fikiran gadis tersebut. Pasti berkaitan dengan Tengku
Iskandar.
“Saya kena
balik Aisyah. Rumah saya dah beberapa hari tak kemas. Entah-entah dah ada
sarang labah-labah kut rumah saya tu. Nanti ada masa terluang, saya datang
lagi.”
“Tapi… saya….”
Aisyah ketap bibir. Hatinya mula dipagut rasa bimbang. Risau tinggal berdua
dengan ‘Tengku Harimau’ itu. Tindakan Tengku Iskandar yang mencekik lehernya
semalam membuatkan dia ketakutan. Manalah tahu kalau lelaki itu bertindak gila
lagi. Pada siapa dia hendak meminta bantuan?
“Awak jangan risau
Aisyah. Is tak akan bertindak gila macam semalam. Is tu nampak aje garang tapi
sebenarnya dia baik hati. Awak jangan bimbang ye.” Tengku Haziq memujuk.
Aisyah tunduk.
Mahu tak mahu kenalah dia akur tinggal berdua dengan ‘Tengku Harimau’ tersebut.
Apa pun tindakan lelaki itu, dia tetap suami Aisyah. Syurga Aisyah kini berada
di tapak kaki Tengku Iskandar.
Lambat-lambat
Aisyah mengangguk.
“Nanti ada masa
saya datang lagi ya. Assalamualaikum….” Lembut bicara Tengku Haziq.
Aisyah
mengangguk sambil menjawab salam Tengku Haziq.
“Is! Aku balik
dulu.” Sempat Tengku Haziq memberitahu kepulangannya pada Tengku Iskandar.
Setelah
mendengar daun pintu tertutup, Tengku Iskandar merengus kasar. Dia melangkah
masuk ke dalam dengan wajah kelat. Tajam matanya merenung Aisyah. Membuatkan
gadis itu menundukkan wajahnya.
Tengku Iskandar
mendengus kasar. Ikut hatinya yang panas ini, rasa mahu dicekiknya gadis
kampung itu sampai mati. Namun bila mengenangkan kedudukannya, dia terpaksa
bertenang. Dia tak mahu namanya tercemar hanya kerana gadis kampung tersebut.
“Dekat dapur tu
ada bilik khas untuk pembantu rumah. Kau boleh tidur dekat situ. Jangan mimpi kau
nak tidur kat bilik atas pula. Aku tak sudi nak kongsi bilik dengan kau. Jijik!
Tau tak?” ujar Tengku Iskandar kasar dan penuh dengan penghinaan. Hatinya
seakan puas setiap kali dapat menghina gadis kampung itu.
Aisyah
memejamkan mata. Kata-kata Tengku Iskandar merobek hatinya. Benci sungguh
lelaki itu padanya sedangkan dia tidak pernah melakukan apa-apa salah pun pada
Tengku Iskandar. Jika tidak sukakan dia sekali pun, janganlah menghina dia
sedemikian rupa. Dia juga ada hati dan perasaan.
Tanpa menunggu
lama, Tengku Iskandar membawa langkah naik ke tingkat atas. Setiap kali
memandang Aisyah, hatinya sakit bukan kepalang. Takut dia hilang pertimbangan
lagi seperti semalam.
Aisyah menyoroti
langkah Tengku Iskandar dengan ekor mata. Wajah lelaki itu kelat mengalahkan
mangga muda. Sejak awal pertemuan mereka, Aisyah tidak pernah melihat senyuman
pada wajah tersebut. Tengku Iskandar bencikan dia tanpa sebab. Entahlah…
mungkin kerana dia ini orang kampung, disebabkan itu Tengku Iskandar tidak suka
padanya. Tapi… salahkah jadi orang kampung?
Dia mengatur
langkah ke bilik yang dimaksudkan Tengku Iskandar. Bilik bahagian bawah
berhampiran dengan ruang dapur. Elok juga dia tidur di bilik bawah. Senang
sikit dia ke dapur jika haus di malam hari.
Sebaik pintu
dibuka, terbentang ruang bilik di hadapan mata.
“Biar betul ini
bilik pembantu rumah?” Aisyah berkata sendiri. Terpegun melihat ruang bilik
yang dikatakan khas untuk pembantu rumah tersebut. Cantik dan agak luas
ruangnya. Tidak sempit seperti biliknya di kampung. Bilik ini juga dicat dengan
warna putih. Begitu juga katil dan almarinya. Juga daripada warna senada.
Manakala carpet dan sofa bulat kecil dipilih dengan warna pink. Menyerlahkan lagi seri di dalam bilik ini.
Aisyah memanjat
naik katil yang diletak rapat ke dinding. Langsir casa warna putih bersih itu
diselak. Betapa indahnya pemandangan dari arah biliknya ini. Dia dapat melihat
pemandangan KLCC. Memang indah! Dia begitu teruja dapat melihatnya. Selama ini
dia hanya mendengar keindahan KLCC dari berita atau cerita orang. Namun kini
dia bakal melihat keindahan bangunan itu setiap hari.
Badannya yang
letih direbahkan di atas katil. Empuk sungguh tilam itu. Tidak sama dengan
tilamnya di kampung yang sudah nipis dan buruk. Matanya merenung siling putih.
Mulai saat ini, di sinilah tempat tinggalnya. Walau ‘Tengku Harimau’ itu
bencikan dia, namun lelaki itu tetap suaminya. Syurganya tetap berada di bawah
tapak kaki lelaki itu. Sekejam mana pun Tengku Iskandar, dia perlu menghormati
lelaki itu sebagai suami. Aisyah berazam, dia akan menjadi isteri yang solehah
biar apa pun rintangan yang perlu dia lalui.
BEST KAK SAMBUNG LAGI YA T.KASIH.
BalasPadamterima kasih sebab suka..insyaALLAH nti akak sambung lagi ya..
Padamhurmmm, lagi banyak dugaan yang akan ditempuhi oleh Aisyah..
BalasPadamcian dia, kalau lya le.. mahu aje lari tinggalkan segala-galanya...
kan...tp Aisyah ne baik sgt lya..kesian dia..dia terikat dgn Tg.iskandar
PadamT.q..bla bab 10.xsbar nak baca
BalasPadamHuhu...hu
sabar2 ye..nanti saya sambung bab 10..hehehee
Padamsedihnyer..sob2..
BalasPadamBab 10 kak...x sabar nk baca
BalasPadam