Bab 18
SUDAH seminggu kejadian antara
Aisyah dan Tengku Iskandar berlalu. Walaupun sukar untuk Aisyah menerima
kesuciannya dirampas suami sendiri, namun dia pasrah dengan apa yang terjadi.
Seperti kata Tengku Iskandar padanya. Memang sepatutnya ‘hak’ itu diberikan
kepada Tengku Iskandar dari awal pernikahan ini lagi memandangkan ikatan yang
sah antara mereka berdua.
Sandwich dan jus oren diletak atas meja.
Sebenarnya Aisyah sedikit pelik dengan selera Tengku Iskandar. Tidak jemukah
lelaki itu asyik bersarapan pagi dengan hidangan sebegini? Jika bukan sandwich, pasti roti bakar kaya yang menjadi
pilihan lelaki itu. Ikutkan tekak Aisyah yang berselera kampung ini, menu
begini bukanlah pilihannya. Dia lebih gemarkan nasi lemak dan bihun goreng.
Derap kaki
Tengku Iskandar kedengaran. Setiap kali derap kaki Tengku Iskandar menuruni
anak-anak tangga untuk ke ruang bawah, dada Aisyah mula berdebar-debar.
Perasaannya bercampur-baur.
Tengku Iskandar
kelihatan ringkas dengan seluar sukan dan T-shirt
jenama Polo. Hari sabtu begini dia memang gemar keluar berjoging. Mengeluarkan
peluh dan dapat memberi stamina pada tubuhnya. Asyik mengeluarkan peluh di gim
pun tak seronok juga. Sesekali dia mahu berjoging sambil menikmati kesegaran
alam. Manalah tahu kut ada gadis-gadis berdahi licin yang turut berjoging di
tempat yang sama. Boleh juga dia menjual ayat-ayat cinta.
Tengku Iskandar
menarik kerusi. Jus oren yang sudah tersedia di dalam gelas diteguk perlahan.
Dia memang gemar minum jus di awal pagi. “Malam ni aku tak balik makan malam
kat rumah. Kau masak untuk diri sendiri aje.” Ujar Tengku Iskandar lalu
mencapai sekeping sandwich yang
terhidang di dalam pinggan di depannya. Dikunyah perlahan sandwich tersebut.
Seperti biasa,
Aisyah tidak menjawab. Hanya mendengar apa yang dibicarakan lelaki itu. Begitulah
dia setiap kali berdepan dengan Tengku Iskandar. Lidahnya keluh untuk
berbicara. Takut andai bicaranya mengundang amarah si suami.
“Hoi! Kau
dengar tak apa yang aku cakap ni ha?!” bentak Tengku Iskandar sambil menepuk
meja dengan kasar. Geram melihat Aisyah yang membisu. Pekak ke apa?!
Terkejut Aisyah
dengan tindakan Tengku Iskandar. Dia yang memang terkenal dengan sikap latah
terus terloncat. Mulut pula mulalah merapu. “Oh mak kau… hoi-hoi la-la hoi!”
Latah Aisyah
membuatkan Tengku Iskandar merenung tajam ke arah gadis itu. Sudah sebulan
mereka tinggal bersama. Memang dia perasan Aisyah jenis yang kuat melatah.
Pantang disergah, ada saja ayat-ayat ‘keramat’ yang keluar dari mulut gadis
itu. Kadang-kala dia rasa ingin ketawa namun ego lelaki menghalang dia berbuat
demikian. Siapalah yang tak berasa lucu bila melihat dan mendengar orang
melatah. Sikap latah Aisyah itu mengingatkan dia pada nenda. Nenda juga kaki
latah seperti Aisyah. Dia suka mengusik nenda agar melatah dan dia boleh ketawa
terbahak-bahak.
“Kau ni belum
tua dah melatah kan! Macam nenek-nenek!” Komen Tengku Iskandar.
Aisyah ketap
bibir. Dia bukannya suka-suka hendak melatah. Sudah sikap melatah ini diwarisi
daripada arwah emaknya, terima sajalah. Ikutkan hati Aisyah sendiri tidak mahu
melatah. Penat sebenarnya menjadi orang kaki latah ini.
“Kau dengar tak
apa yang aku cakap tadi?” soal Tengku Iskandar lagi.
Aisyah
mengangguk dan berkata, “Dengar tengku.”
“Bagus kalau
kau dengar. Jadi nanti takdelah si
Haziq tu bising-bising kat telinga aku fasal kau yang nyaris nak pengsan
gara-gara tak makan. Kau kan suka report
apa-apa aje dekat dia.” Sindir Tengku Iskandar. Wajah Aisyah dikerling. Gadis
itu masih seperti tadi. Tunduk memandang lantai. Entah apalah yang dia
tenungkan sangat dekat lantai itu agaknya.
Nampak gaya
Aisyah begitu takut padanya. Sehingga mahu mengangkat muka bertentang mata
dengannya pun tidak berani. Dia suka begitu. Sekurang-kurangnya Aisyah akan
mengikut setiap arahannya.
Dia bangun dari
duduk. Bersiap sedia pergi berjoging.
TENGKU MARIA mengarah
Nona dan Noni menyusun makanan yang telah dihidang ke atas meja makan. Sekejap
lagi pasti tetamu akan datang. Janji pukul lapan dan sekarang sudah pukul tujuh
empat puluh lima minit malam. Pasti Ku’Za dan Megat Sufian dalam perjalanan
sekarang ini.
“Bukan main
banyak lagi mummy masak. Siap ada
menu special.” Tegur Tengku Iskandar
yang menjenguk masuk ke ruang dapur. Buah tembikai merah ranum yang sudah
dibuang kulit itu dicapai lalu dikunyah. Manis sungguh rasa buah tembikai itu.
Tengku Maria
mengalih pandangan pada wajah anak bujang yang sedang enak menikmati buah
tembikai. Sudah lama anak kesayangannya itu tidak pulang ke rumah. Sesekali
Tengku Iskandar balik ke rumah, dia teringin hendak masak yang sedap-sedap.
Terutama daging masak rendang hitam yang dicampur dengan kismis. Memang makanan
itu merupakan kegemaran Tengku Iskandar.
“Sesekali mummy nak masak yang sedap-sedap untuk
anak-anak mummy, apa salahnya kan.”
Balas Tengku Maria.
Selain masak
makanan kegemaran Tengku Iskandar, Tengku Maria tidak lupa makanan kesukaan
Tengku Haziq. Anak seorang itu tidak cerewet seperti Tengku Iskandar. Tengku
Haziq makan saja apa yang dia masak. Namun sesekali anak-anaknya balik, dia
mahu masak makanan kegemaran mereka masing-masing. Untuk Tengku Haziq telah
dikhaskan ayam masak kicap.
“Lama lagi ke
nak makan ni mummy? Perut Is dah
lapar ni.”
“Sabarlah.
Kejap lagi Auntie Ku’Za dengan Uncle Megat sampai, bolehlah kita makan
sama-sama.”
Jika bukan
disebabkan desakan Tengku Maria jangan harap Tengku Iskandar akan balik makan
malam bersama keluarga itu. Dia berusaha mahu menjarakkan diri dengan keluarga
Megat Sufian tetapi mummynya pula
bersemangat mendekatkan hubungannya dengan keluarga tersebut. Kalaulah mummynya tahu apa yang telah dikatakan
Puteri Waiduri kepadanya tiga tahun yang lalu, tentu mummy tak akan berusaha menyatukan mereka berdua. Cuma dia tidak
mahu memberitahu mummy kerana dia
tahu betapa sayangnya mummy pada
Puteri Waiduri.
“Haziq mana?”
tanya Tengku Maria. Tadi Tengku Iskandar rancak berbual dengan Tengku Haziq di
ruang tamu.
“Ada kat depan
tu. Tengah sembang dengan daddy.”
“Habis tu Is
kenapa tak join sembang sekali?”
“Malaslah.
Asyik cakap pasal kerja dua puluh empat jam. Malam minggu macam ni, sepatutnya daddy tak perlulah nak tanya pasal kerja
lagi.”
Menggeleng
Tengku Maria mendengar rungutan anaknya itu. Kalau pasal kerja memang Tengku
Iskandar selalu melarikan diri. Tapi kalau pasal perempuan, anak seorang itulah
yang laju ke hadapan. Berbeza sungguh sikapnya dengan Tengku Haziq.
“Tetamu dah
sampai!” beritahu Tengku Yusuf dari ruang tamu.
Tengku Maria
tersenyum mendengar laungan suaminya. Pantas dia mengarahkan Noni membawa
puding yang berada dalam peti sejuk ke ruang makan. Sambil mengemas tudung
Fareeda yang dipakainya, dia melangkah masuk ke ruang tamu. Bibir tak lepas
dengan senyuman manis.
“Kak Ma!
Rindunya Ku’Za dekat Kak Ma. Dah lama tak jumpa.”sapa Ku’Za sambil memeluk
Tengku Maria. Mereka berlaga pipi melepaskan rasa rindu.
“Akak pun
rindukan Ku’Za. Dah lama sangat tak jumpa.” Balas Tengku Maria. Tangannya masih
bertaut erat dengan Ku’Za yang kelihatan bergaya dengan dress hitam labuhnya.
Ku’Za memang gemar bergaya. Dari zaman mereka muda remaja dulu hinggalah sudah
menjangkau usia awal lima puluhan ini, penampilan Ku’Za tetap nampak elegant.
“Ha’ah la Kak Ma… dah dekat dua bulan kan
kita tak jumpa.” Ujar Ku’Za lagi.
Tengku Iskandar
yang mendengar bicara Ku’Za mencemik. ‘Baru dua bulan tak jumpa sudah dikatakan
lama. Ingatkan dah dua tahun!’ hatinya mencemuh. Tengku Iskandar memang tahu
benar sikap Ku’Za yang suka bermuka-muka itu.
“Tu la. Ku’Za
tu yang dah jarang datang rumah Kak Ma. Sibuk sangat travel sana sini.”
Ku’Za ketawa
manja. “Alaaa… Kak Ma. Ku’Za bukan pergi mana pun. Melawat Wai aje dekat Paris
tu. Rindu sangat dekat dia. Sambil-sambil tu Ku’Za pergilah jalan-jalan dengan
Wai.”
“Wai bila balik
Malaysia?” Tengku Maria juga sudah lama tidak berjumpa Puteri Waiduri. Anak
saudara kesayangannya itu sudah hampir dua tahun menyambung pengajian di oversea.
“Tak lama lagi
Kak Ma. Tinggal enam bulan aje lagi dia nak menghabiskan pengajian dia dekat
sana. Balik sini nanti dia nak buka butik.”
Tersenyum
Tengku Maria mendengarnya. Lagi enam bulan dia menunggu masa kepulangan Puteri
Waiduri. Balik saja anak gadis itu ke sini nanti, dia bercadang hendak
menyatukan Tengku Iskandar dengan Puteri Waiduri. Dah tak nak tunggu lama-lama.
Semakin lama menunggu, semakin naik kepala pula Tengku Iskandar nanti. Anaknya
itu perlu diikat agar perangainya berubah. Dan dia yakin, Puteri Waiduri mampu
mengubah perangai Tengku Iskandar.
Ku’Za beralih
pada anak muda yang berdiri di sisi Tengku Maria. Kacak orangnya. Dia yakin itu
adalah Tengku Iskandar yang sudah tiga tahun tidak ditemuinya. Jika Tengku
Haziq memang kerap mereka bertemu. Tengku Iskandar lama di luar Negara menyebabkan
dia sudah lama tidak nampak kelibat lelaki itu. Balik ke Malaysia pun dia tak
pernah ketemu Tengku Iskandar. Anak lelaki Tengku Maria itu sibuk memanjang
sampaikan masa hendak bertemu muka pun tidak berkesempatan.
“Tengku
Iskandar?! Dah besar panjang anak sedara
Auntie Ku’Za ni. Makin hensem pula tu.” Ku’Za memuji. Tengku Iskandar
diperlakukan seperti kanak-kanak bila pipi lelaki itu dicubit manja.
Tengku Iskandar
hanya merelakan walaupun perbuatan Ku’Za itu merimaskan dirinya.
“Dah la tu
Ku’Za. Jom kita ke ruang makan. Nanti lepas makan kita sembang panjang. Lauk
tengah panas lagi tu.” Tengku Maria mempelawa tetamu mereka ke ruang makan.
“Bagus juga tu.
Ku’Za pun dah lapar ni.” balas Ku’Za senang.
LAWAK Jepp Sepah dalam rancangan Liga Spontan memecahkan tawa
Aisyah. Kelakar sungguh Jepp membuat lawak. Tak perlu bersuara, hanya dengan
mimik mukanya pun Aisyah sudah mampu ketawa. Sudah lama Aisyah tidak ketawa
begini. Dulu dengan Ros, dia selalu juga bergelak tawa dengan lawak sahabat
baiknya itu.
Mengenangkan
sahabat baik yang ditinggalkan tanpa pesanan itu membuatkan Aisyah mengeluh
kecil. Dia tak patut pergi begitu saja. Namun disebabkan keadaan ketika itu
kelam-kabut, Aisyah pergi tanpa pamitan. Entah apa tanggapan Ros pada dirinya?
Ingin sekali dia bertemu sahabatnya itu untuk menceritakan segala kejadian
malam itu.
“Maafkan aku
Ros.” Ucapnya sendirian.
Bunyi dentuman
perlahan membuatkan pandangan Aisyah tertala ke muka pintu. Kelihatan kelibat
Tengku Iskandar memasuki ruang tamu. Seperti biasa, lelaki itu terus melabuhkan
punggungnya di atas sofa panjang. Kakinya diangkat ke atas meja.
Aisyah kerling
jam dinding. Pukul sembilan lima belas minit malam. “Awal pula ‘Tengku Harimau
ni balik. Selalunya takdelah seawal
ini dia balik kalau dah keluar. Tambah-tambah malam minggu macam ni.” Aisyah
berkata sendiri.
Malas memikirkan
punca lelaki itu balik awal, Aisyah bangkit dari duduknya. Menghampiri Tengku
Iskandar yang sedang memejam mata. Seperti biasa, rutinnya pasti akan membuka
stoking lelaki itu. ‘Tengku Harimau’ itu memang pemalas. Stoking sendiri pun tak dapat nak buka sendiri. Aisyah juga yang
akan membukanya. Benar-benar jadi ‘kadam’ Tengku Iskandar.
Merasa
pergerakan pada hujung kakinya, Tengku Iskandar membuka mata. Kelihatan Aisyah
membuka stoking yang dia pakai penuh
berhati-hati. Mungkin gadis itu takut dia tersedar. Perlakuan Aisyah menarik
matanya untuk terus memerhati.
Ingatan Tengku
Iskandar singgah pada kejadian seminggu lalu. Kehangatan tubuh itu
membangkitkan keinginannya yang ‘satu’. Pantas dia menarik Aisyah dekat
padanya. Bibirnya mendarat mencium pipi mulus itu.
Tindakan
spontan Tengku Iskandar menyentak hati Aisyah. Jantungnya berdegup laju.
Hatinya mula gelisah. Wajahnya dipalingkan ketika bibir Tengku Iskandar mahu
mencari bibirnya.
“Tolonglah
tengku… jangan buat saya macam ni. Saya merayu pada tengku. Tolonglah….” Aisyah
merayu. Ketakutan membuatkan air matanya sudah mahu merembes keluar.
“Aku buat apa?
Aku cuma nak hak aku kan? Tak salah kan?!” balas Tengku Iskandar bersahaja.
Wajah Aisyah kembali menjadi sasaran bibirnya. Keinginannya membuak-buak mahu
bersama gadis itu lagi. Bagaikan ada sesuatu membuatkan dia ‘ketagih’ mahukan
layanan Aisyah. Sedangkan malam itu dia mabuk tetapi kehangatan bersama Aisyah
segar dalam ingatan.
“Saya tahu
tengku berhak ke atas saya… tapi tolonglah jangan buat saya begini. Saya rasa
jijik.”
Perkataan
‘jijik’ yang keluar dari mulut Aisyah mematikan tingkah Tengku Iskandar. Dia
mendengus. Pipi Aisyah dicengkam dan wajah itu dipaksa agar memandang wajahnya.
Tajam matanya merenung Aisyah.
“Apa yang kau
jijik? Kau jijik dengan aku? Hey… kau
dengar sini ya! Aku ni boleh dapat lebih ramai perempuan kalau aku mahu. Tapi…
memandangkan kau ni bini aku, tak salahkan kalau aku nakkan kau. Sedar sikit,
kau kena ikut cakap aku. Apa yang aku mahu, kau kena bagi! Atau kau nak
tanggung dosa tak layan kehendak suami? Macam tu?”
Pandai pula
Tengku Iskandar menyebut perkataan dosa. Sedangkan perbuatannya selama ini yang
gemar berpeluk-pelukan, tidur sekatil dengan perempuan bukan mahramnya itu
tidak pula dia sedar perbuatan itu satu dosa. Boleh pula dia ‘menghalalkan’
yang haram. Tapi bila Aisyah enggan mengikut kehendaknya, laju dia mengugut
memandangkan kedudukan gadis itu sebagai seorang isteri yang kena patuh pada
arahan suami.
“Boleh tak
jangan cengeng sangat?” Tengku Iskandar membentak tatkala melihat air mata yang
mengalir ke pipi Aisyah. Keinginan tengah membuak-buak tetapi gadis itu pula
hendak membantutkan kehendaknya. Betul-betul buat spoil!
“Kau dengar
sini! Takde sesiapa yang boleh
menolak kemahuan aku terutama sekali kau! Kalau aku kata aku mahu, itu maknanya
aku benar-benar mahu. Tangisan kau ni tak akan melembutkan hati aku!” Pipi
Aisyah dilepaskan dengan kasar. “Dah! Kesat air mata kau. Aku naik atas dan
tunggu kau dalam bilik.” dia memberi kata putus sambil bangkit dari duduknya.
Hendak bermesra pun bukan di sini tempatnya.
“Oh ya, sebelum
kau naik tu off dulu televisyen. Kau
ingat aku bayar bil elektrik guna daun.” Pesan Tengku Iskandar yang sudah
menapak ke anak tangga pertama. Wajah Aisyah yang masih berendam dengan air
mata di atas sofa dipandang.
“Aku tunggu kau
dalam bilik. Kalau kau tak naik-naik juga… nahas kau aku kerjakan!” sempat dia
mengugut sebelum kelibatnya hilang ke atas.
Aisyah tahu dia
sudah tiada pilihan lagi. Lelaki itu sudah mengeluarkan arahan dan dia kena patuh
mengikut arahan yang diberikan. Jika dia enggan mengikut kehendak lelaki itu,
dia takut lelaki itu akan mengamuk pula. Lantas dengan berat hati, Aisyah
melangkah naik ke atas. Berdebar hatinya menanti apa yang bakal terjadi padanya
malam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan