Bab 19
SETIAP gerak-geri Aisyah
menjadi perhatian Tengku Iskandar. Gadis kampung itu kelihatan begitu cekap
melakukan kerja-kerja rumah. Sejak gadis itu ada, kondonya ini kelihatan kemas
dan bersih. Jika dulu, setiap hujung minggu pasti Kak Yam datang membersihkan
kondonya ini. Tetapi sekarang Kak Yam dah tak perlu datang lagi memandangkan
dia sudah ada ‘pembantu rumah’ seumur hidup.
Untung juga dia
kahwin dengan Aisyah. Sudahlah kahwin free, gadis itu juga seorang yang cekap
melakukan kerja. Tak perlulah dia mengeluarkan duit yang banyak untuk membayar
khidmat membersihkan. Dulu waktu Kak Yam bekerja dengannya memang banyak juga
duitnya yang mengalir keluar. Kak Yam memang bekerja setiap hujung minggu saja
tetapi gaji yang dimintanya bukan main mahal lagi. Kak Yam memang cekik darah.
Disebabkan itu bila dia memberitahu Kak Yam bahawa khidmatnya sudah tidak
diperlukan lagi wanita itu merayu masih mahu bekerja. Tetapi dia benar-benar
sudah tidak memerlukan Kak Yam memandangkan dia sudah punya Aisyah.
Selain itu,
makan minumnya juga terjaga. Jika dulu memang makan minumnya tidak menentu.
Namun kini semua itu sudah tidak dirisaukan lagi. Aisyah memang pandai memasak.
Dalam masa yang singkat gadis kampung itu sudah pandai memasak makanan barat
kegemaran tekaknya ini. Tetapi dalam masa yang sama dia teringin juga hendak
makan makanan kampung yang pernah Aisyah masak dulu. Cuma egonya yang melangit
ini menghalang dia dari menyuarakan kemahuannya itu. Takut andai gadis itu tahu
makanan dulu dia yang habiskan.
Aisyah
mengerling wajah Tengku Iskandar dengan ekor matanya. Bibirnya diketap. Rasa
kurang selesa bila setiap pergerakannya menjadi perhatian lelaki itu. ‘Hisy…
apa kena dengan ‘Tengku Harimau’ ni? Asyik perhatikan aku aje dari tadi. Rimas
betul la macam ni. Buat kerja pun tak senang.’ Hati kecil Aisyah mendesis.
Kehadiran Tengku Iskandar di ruang tamu itu membuatkan tingkahnya kelihatan
sumbang.
‘Boleh pulak dia tak keluar hujung minggu ni.
Biasanya dia mana lekat kat rumah. Selalu keluar dan balik lewat malam. Tapi
hari ni boleh pula melepak dekat rumah. Hisy…
rimas betul!’ Tambah Aisyah lagi. Tangannya masih ligat membersihkan kuda
kristal yang terdapat dalam almari.
“Kau kalau buat
kerja jangan sambil berangan. Nanti pecah pulak
barangan kristal aku tu. Semua tu mahal. Harga beribu-ribu. Kau nak ganti ke
kalau dah pecah.” Tegur Tengku Iskandar pada Aisyah. Dalam pemerhatiaannya
gadis itu sedang berkhayal sambil melakukan kerja.
“Errr… tak tengku. Saya tak berkhayal
pun.” Balas Aisyah.
Terjengil mata
Tengku Iskandar mendengar jawapan Aisyah. “Bila masa aku suruh kau menjawab?”
sergahnya.
Aisyah mengetap
bibir. Kepala ditundukkan. Serba-salah betul dia jadinya. Jika dia diam
membisu, lelaki itu kata dia pekak tak dengar cakap. Bila dia sudah menjawab,
lelaki itu kata lain pula. Hisy… ada
aje yang tak kena!
“Kau ni takde baju yang lawa sikit ke? Asyik pakai
baju kurung yang kain macam guni ni aje. Sakit mata aku tengok pakaian kau ni.
Tak buka selera langsung!” kutuk Tengku Iskandar pada pakaian Aisyah yang sentiasa
berbaju kurung kain catton itu.
Kali ini Aisyah
tidak menjawab. Hanya diam saja. Sesuka hati ‘Tengku Harimau’ itu kata baju
yang dipakainya serupa kain guni. Tahulah pakaian ‘Tengku Harimau’ itu
mahal-mahal belaka. Tapi janganlah kutuk kata kainnya serupa guni. Sudah tu
kata tak buka selera. Habis tu yang dia ‘gomol’ Aisyah tu namanya apa? Cakap
tak guna otak!
Bunyi lonceng
pintu kedengaran. Cepat saja Aisyah bangun untuk membuka. Ada peluang dia
melarikan diri dari pandangan ‘Tengku Harimau’.
Sebaik pintu
dibuka, terlayar wajah kacak ‘Tengku Kucing’. Lebar senyuman lelaki itu menyapa
pandangan matanya. Sejuk saja matanya memandang wajah Tengku Haziq yang
sentiasa mekar bersama senyuman semanis gula-gula lollipop.
“Assalamualaikum
Aisyah.”
“Waalaikumusalam.
Tengku Haziq, masuk la.” Pelawa Aisyah. “Tengku Iskandar ada kat ruang tamu.”
Sambungnya lagi.
“Saya bukan nak
jumpa Tengku Iskandar.”
“Habis tu
Tengku Haziq nak jumpa siapa?” Aisyah beri soalan bodoh. Jika lelaki itu bukan
datang hendak bertemu Tengku Iskandar, sudah tentulah Tengku Haziq hendak
berjumpa dengannya. Siapa lagi yang ada dalam rumah ni jika bukan mereka
berdua.
“Saya nak jumpa
awak la Aisyah. Takkanlah saya datang ni nak jumpa segala perabot dalam kondo
ni pulak.”
Aisyah
tersengih. Sedar jawapan Tengku Haziq menyindirnya. Nasib baik Tengku Haziq,
kalau Tengku Iskandar sudah tentu dia dikatakan bodoh. ‘Tengku Harimau’ itu
cakap memang tak pernah berlapis. Main ‘sembur’ saja.
“Errr… kenapa ye Tengku Haziq nak jumpa saya?”
“Saya nak bagi something dekat awak.” Sambil tersenyum
Tengku Haziq berkata. Kedua belah tangannya masih disembunyikan di belakang.
“Apa dia?”
“Jeng! Jeng!
Jeng!” Tengku Haziq menghulurkan beg kertas yang dibawanya kepada Aisyah.
“Apa ni Tengku
Haziq?” terpinga-pinga Aisyah melihat lelaki itu menghulurkan beg kertas.
“Ada la.”
Tengku Haziq masih mahu berahsia. “Ambik.”
Dengan rasa
segan Aisyah mengambil beg kertas tersebut.
“Awak buka la
isinya. Saya yakin awak pasti suka.”
Aisyah tidak
banyak bicara. Hanya menurut saja arahan Tengku Haziq. Isi di dalam beg kertas
ditarik keluar. Ketika matanya memandang isi tersebut, matanya bulat dan
bersinar. Bagaikan tidak percaya novel penulis kesayangannya sudah berada di
depan mata. Inilah novel yang dicarinya selama ini.
“Dari mana
Tengku Haziq dapat novel ni? Setahu saya novel ni tak jual kat kedai buku kan.”
Bukan main teruja Aisyah melihat novel ‘Perempuan Yang Paling Aku Cinta’.
Dibelek-beleknya novel tersebut. Di dalamnya terdapat tulisan tangan Acik Lana
yang menujukan novel ini khas untuk dia. Bagaikan tidak percaya dia dapat
tandatangan Acik Lana dan cop bibir besar seksi itu.
Tengku Haziq
tahu Aisyah begitu teruja dengan novel Acik Lana. Sehingga bibirnya lebar
dengan senyuman. “Saya mintak tolong dengan setiausaha saya belikan.”
“Ye ke? Susah-susah aje. Berapa harganya?
Saya bayar.”
“Takpe Aisyah. Saya memang nak hadiahkan
novel ni untuk awak.”
“Tapi….”
“Takpe… tanda persahabatan saya pada awak.”
Lembut tutur kata Tengku Haziq. Matanya menikam anak mata Aisyah.
Tidak betah
menentang anak mata Tengku Haziq yang bening, Aisyah menundukkan kepalanya.
Takut andai hatinya ‘terusik’ dengan renungan tersebut. Lelaki seperti Tengku
Haziq yang punya rupa dan budi bahasa yang baik, bisa saja mencairkan hati
perempuan yang memandang. Dia tidak mahu perasaan itu lahir kerana dia sedar
siapa dirinya.
“Hoi! Apasal
kau lama sangat kat pintu tu? Siapa yang datang?!” suara Tengku Iskandar memetir
dari ruang tamu.
Terkejut Aisyah
mendengar suara ‘Tengku Harimau’ itu. Sampai terhenjut bahunya. Dia yang memang
terkenal dengan kaki latah itu pun terus termelatah. “Oh mak kau… ‘Tengku
Kucing’ datang!”
“Opsss!!!” Aisyah menekup mulutnya dengan
novel di tangan. Terlepas gelaran manja Tengku Haziq pada bibirnya. ‘Hisy…
mulut ni! Celupar sangat la!!’ Marahnya pada mulut sendiri.
“Siapa ‘Tengku
Kucing’? Saya ke?” Ingin pula Tengku Haziq mengetahui siapa ‘Tengku Kucing’
yang dimaksudkan Aisyah.
Aisyah
menggigit bibir bawah. Dia sudah terlepas cakap di hadapan lelaki itu. Matilah
dia kalau tiba-tiba ‘Tengku Kucing’ berubah menjadi ‘Tengku Harimau’ seperti
Tengku Iskandar.
“Errr… errr… ma… maafkan saya.”
Tiba-tiba tawa
Tengku Haziq pecah. Memang benar gelaran itu ditujukan pada dia. Pandai sungguh
Aisyah beri dia nama gelaran. ‘Tengku Kucing’!
Melihat tawa
Tengku Haziq, Aisyah bertanya, “Awak tak marah ke?”
Tengku Haziq
menggeleng. Tawanya masih bersisa. “Buat apa nak marah. Alaaa… okeylah tu awak
bagi saya nama manja. Nanti kalau awak nampak kucing, awak akan teringatkan
saya.” Tengku Haziq mengenyit mata. Perbuatan nakalnya mengundang warna merah
jambu pada wajah putih mulus Aisyah.
“Hoi! Kau buat
apa tercegat kat sana tu?” Tengku Iskandar menyergah garang. Tak ubah seperti
harimau jantan.
“Is… kau ni
sikit-sikit nak menyergah. Macam Tok Harimau!” balas Tengku Haziq sambil
melangkah masuk ke dalam. Dari tadi bersembang dengan Aisyah di depan pintu.
“Kau rupanya
Ziq. Ingatkan siapa yang datang.” Nadanya mengendur kala terpandang wajah
Tengku Haziq. “Kenapa kau datang?”
“Hai… takkan
aku dah tak boleh datang kondo kau lagi. Kau dah tak suka aku datang sini ke?”
“Bukan macam tu
la. Aku tanya aje.” Balas Tengku Iskandar. Kakinya melangkah semula ke ruang
tamu. Lalu melabuhkan punggung di atas sofa.
“Kau tu
janganlah asyik tengking Aisyah. Kesian dia. Sampai termelatah dia dengar suara
kau yang tak ubah macam guruh tu.” tegur Tengku Haziq sambil membuntuti langkah
Tengku Iskandar. Punggungnya juga dilabuhkan di atas sofa.
Kondo mewah
milik sepupunya itu diperhati. Nampak kemas dan bersih. Tentu Aisyah yang melakukannya
kerana dia tahu Tengku Iskandar telah memberhentikan khidmat Kak Yam sebagai
pembantu rumah separuh masanya.
“Kau tak keluar
ke?” tanya Tengku Haziq bila melihat Tengku Iskandar asyik membelek majalah.
Biasanya hujung minggu begini Tengku Iskandar akan keluar berfoya-foya dengan
salah seorang teman wanitanya yang pelbagai rupa itu.
“Malas.”
Selamba Tengku Iskandar menjawab.
Berkerut dahi
Tengku Haziq mendengarnya. Malas? Selama ini Tengku Iskandar mana ada rasa
malas nak keluar dengan awek-awek dia yang seksi-meksi itu. Tapi hari ini boleh
pula lelaki itu kata dia malas nak keluar.
Aisyah datang
semula ke ruang tamu. Dia menatang dulang berisi berisi air teh yang dibancuh.
Penuh berhati-hati dia meletakkan dulang di atas meja. Menuang air teh boh yang
dibancuh ke dalam cawan.
“Is, aku ada
hajat ni. Nak minta kebenaran kau.”
“Apa dia?”
tanpa mengalihkan pandangannya, mata Tengku Iskandar masih melekat pada majalah
yang dibaca.
“Aku nak minta
kebenaran kau bawak Aisyah keluar jalan-jalan. Kesian dia asyik berperap duduk
kat rumah aje.” Pinta Tengku Haziq sambil melirik mata memandang wajah Aisyah.
Aisyah yang
mendengar hanya menundukkan kepala. Agak terkejut dia dengan permintaan Tengku
Haziq yang mahu membawa dia keluar berjalan-jalan. Ingatkan lelaki itu hanya
datang memberikan novel Acik Lana saja padanya. Rupanya masih ada niat lain
kenapa Tengku Haziq datang ke sini. Lelaki itu memang baik. Sudi mengajaknya
keluar bersiar-siar. Nak harapkan Tengku Iskandar, jangan mimpi la! Lelaki itu
mana sudi jalan berdua dengan Aisyah yang asal dari kampung ini.
Majalah yang
dibaca diletak atas riba. Wajah Tengku Haziq yang penuh mengharap dan wajah
Aisyah yang tertunduk dipandang silih berganti. Kemudian dia berkata, “Aku
mintak maaf Ziq. Aku tak dapat benarkan kau bawak Aisyah keluar jalan-jalan.
Masih banyak kerja rumah yang dia kena buat.”
Jawapan Tengku
Iskandar mematahkan hati Aisyah. Dia memang sudah mengagak pasti Tengku
Iskandar tidak benarkan dia keluar bersama Tengku Haziq. Malas hendak mendengar
lebih lanjut perbualan dua sepupu itu, Aisyah melangkah ke ruang dapur. Jarum
jam sudah menunjukkan angka sebelas lima puluh minit pagi. Elok dia menyediakan
makan tengah hari.
“Is kau tak
kesian ke Aisyah asyik berperap aje. Kau seolah-olah dah kurung dia dalam kondo
kau ni. Sesekali tu kau bagilah dia peluang keluar jalan-jalan kat luar.” Kata
Tengku Haziq setelah kelibat Aisyah hilang di sebalik dinding yang memisahkan
ruang tamu dengan ruang dapur.
“Kau nak bawak dia ke mana? Nak tayang dia kat
satu KL? Supaya semua orang tahu dia tu bini aku. Macam tu?” soal Tengku
Iskandar kurang gemar dengan tindakan Tengku Haziq yang mahu membawa Aisyah
keluar berjalan-jalan.
“Takde siapalah tahu Aisyah tu isteri kau.
Cuma kau dengan aku aje yang tahu. Lagipun… takde sesiapa yang kenal dia kat KL ni. Kau tu aje yang takut tak
bertempat.” Tengku Haziq membalas.
“Memanglah takde siapa yang tahu. Tapi macam mana
kalau tiba-tiba terserempak dengan kawan-kawan mummy. Tak ke naya. Kau sendiri tahu kan kawan-kawan mummy ramai kat KL ni.” Memang itulah
yang paling dikhuatiri Tengku Iskandar. Takut sangat andai mummynya tahu dia sudah bernikah. Tak pasal-pasal melepas
peluangnya hendak menjawat jawatan sebagai CEO syarikat.
Tengku Haziq
mendengus. Tengku Iskandar memang seorang yang mementingkan diri sendiri. Risau
sangat kerusi CEO tidak sampai kepadanya. Sampai sanggup mengurung seorang
insan di dalam kondo mewahnya ini.
AISYAH baru selesai bersolat ketika namanya dilaung Tengku Iskandar
di ruang tamu. Tergesa-gesa dia melipat sejadah dan mengantung telekung atas
penyidai kayu. Takut andai dia terlambat lelaki itu akan mengamuk. Menjadi
isteri lelaki itu dalam tempoh masa sebulan, membuatkan dia sudah mula memahami
perangai Tengku Iskandar.
Di atas lantai,
terdapat banyak beg kertas berselerak. Aisyah tak tahu apa di dalamnya. Cuma
dia yakin itu adalah barang-barang kepunyaan Tengku Iskandar. Pasti lelaki itu
memanggil dia untuk menyuruh dia mengangkat beg-beg kertas itu naik ke tingkat
atas. Maklumlah… Aisyah inikan ‘kadam’ Tengku Iskandar.
“Kau tercegat
apa lagi dekat situ? Ambillah beg-beg kertas ni!” Tengku Iskandar bersuara
tinggi setelah melihat Aisyah yang masih berdiri kaku.
Cepat Aisyah
mendapatkan beg-beg kertas yang berselerak di atas lantai. Terkial-kial dia
mengangkatnya. Biarpun tidak berapa berat, namun beg kertas yang banyak itu
menyusahkan pergerakan Aisyah. Menyebabkan dia dirinya yang kecil molek
tenggelam dek beg-beg kertas.
“Kau nak ke
mana tu?” tanya Tengku Iskandar sebaik melihat Aisyah melangkah ke tangga.
“Nak simpan
barang-barang tengku ni kat atas.” Jawab Aisyah sambil cuba menghalang beg
kertas yang dibawa jatuh ke lantai.
“Tu bukan
barang aku la bodoh! Tu barang untuk kau.”
Hampir saja beg
kertas yang banyak itu terlepas jatuh dari tangan Aisyah. Terkejut bukan
kepalang mendengar ayat Tengku Iskandar. Barang-barang ini untuk dia? Biar
betul?! Baik pula hati ‘Tengku Harimau’ itu membelikan barang-barang untuk dia.
“Sebab mata aku
ni rimas sangat tengok baju kurung kain guni kau tu, aku belikan kau baju baru.
Tapi semua ni bukan free tau. Kau
jangan nak perasan pula aku belikan kau free
macam tu aje. Harga baju-baju kau ni aku tolak dari duit gaji kau.”
Aisyah ketap
bibir. Sudah diagak pasti ‘Tengku Harimau’ itu tidak sebaik yang difikir. Baru
beli barang-barang untuk dia, duit gaji yang hanya tiga ratus ringgit sebulan
itu dipotong. Hampeh!
“Dah! Pergi
bawa masuk kat dalam bilik kau. Lagi satu, aku nak kau pakai baju warna merah
yang aku beli tu. Aku nak tengok sesuai ke tidak.” sambil memberi arahan, mata
Tengku Iskandar tertancap pada skrin televisyen. Rancangan Fear Factor yang
ditayangkan di kaca televisyen merupakan rancangan kegemarannya.
Aisyah hanya
menurut segala perintah yang dikeluarkan ‘Tengku Harimau’ itu.
Banyak pakaian
yang dibelikan Tengku Iskandar untuk Aisyah. Pandai lelaki itu mencari saiznya.
Semua muat pada susuk tubuh Aisyah. Cantik-cantik pula tu. Cuma apa yang membuatkan
Aisyah kurang berkenan, pakaian yang dibelikan lelaki itu agak menjolok mata.
Dia memang tak pakai pakaian begini. Segan orang tengok. Lagipun dia sudah
cukup senang dengan pakaian yang dia ada sekarang.
Baju tidur
satin warna merah cili yang tersarung di tubuhnya diperhati. Rasa malu menyerbu
diri. Patutkah dia kena pakai pakaian ini di hadapan Tengku Iskandar?
Aisyah
mengeluh. Dalam terpaksa dia kena melangkah keluar. Nanti jika dia berperap
lama dalam bilik ini, ‘Tengku Harimau’ itu akan naik hantu. Tingkah Tengku
Iskandar sukar diduga. Sekejap okey, sekejap K.O!
Perlahan-lahan
Aisyah melangkah ke ruang menonton. Suasana dingin di ruang menonton meresap ke
tubuh yang agak terdedah. Baju tidur seksi itu benar-benar buat dia tidak
selesa. Seperti dia berada dalam keadaan bogel sedangkan dia dilapisi pakaian.
Entah bagaimana sebilangan wanita cukup gemar dan selesa berpakaian seksi
begitu selesa keluar rumah dan diperhatikan orang sekeliling. Dia yang baru
berada di dalam rumah dengan pakaian begini pun sudah merah muka menahan rasa.
Sedangkan dia hanya berdiri di hadapan seorang lelaki. Itupun lelaki yang sudah
sah bergelar suaminya.
Aisyah berdiri
seperti patung cendana. Mata ‘Tengku Harimau’ masih setia pada skrin TV besar
di hadapannya. Kehadiran Aisyah di ruang menonton itu langsung tidak
diendahkan.
“Ehem….” Aisyah
berdehem. Cuba menyedarikan Tengku Iskandar akan kehadirannya. Jika tahu dia
tidak dipedulikan begini, baik dia berperap saja di dalam bilik.
Perhatian
Tengku Iskandar beralih pada Aisyah. Tergamam seketika melihat gadis kampung
itu dalam pakaian seksi yang dibelinya. Dari atas sampai ke bawah dia perhatikan
Aisyah.
Sedar renungan
tajam Tengku Iskandar padanya, Aisyah jadi tidak menentu. Apatah lagi bila
lelaki itu sudah berdiri dan bergerak menghampirinya. Begitu hampir sehingga
membuatkan debaran di dada sudah tidak tentu rentaknya.
Tangan Tengku
Iskandar sudah melurut menyentuh lengan Aisyah yang putih gebu. Rambut gadis
kampung itu yang terikat satu bagaikan ekor kuda dibuka ikatannya. Terurai
rambut panjang Aisyah. Keinginan untuk bermesra datang menyapa. Membuatkan dia
bagai tidak sabar mahu menikmati kehangatan tubuh di depan matanya ini. Aisyah
ibarat sejenis dadah bernama ‘heroin’ yang bisa membuatkan dia ‘ketagih’. Rasa
sekali dia hendak berkali-kali. Memang ramai wanita pernah ditidurinya. Namun
mereka semua tidak sama seperti Aisyah. Aisyah ada sesuatu yang tidak sama
dengan mereka.
Setiap sentuhan
halus Tengku Iskandar pada tubuhnya membuatkan Aisyah berdebar. Dia tahu apa
yang dimahukan suaminya itu. Sebagai isteri, dia wajib melaksanakan
tanggungjawabnya.
Nabi SAW
bersabda maksudnya : “Jika seorang
suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk hubungan kelamin) dan
dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat
akan mengutuknya hingga waktu pagi.”
AISYAH terjaga pada pukul empat lima puluh minit pagi. Masih
terlalu awal untuk dia bangun mengerjakan solat subuh. Tangan Tengku Iskandar
yang melingkar kemas pada pinggangnya cuba dialihkan. Namun dia tidak berjaya
bila tangan lelaki itu sukar digerakkan. Begitu kejap sekali Tengku Iskandar
memeluknya.
Sedaya-upaya
Aisyah memusingkan tubuhnya. Menghadap Tengku Iskandar yang sedang lena
disulami dengkuran halus. Ketika ini dia mengambil kesempatan menatap wajah
Tengku Iskandar. Jika lelaki itu dalam keadaan jaga, jangan haraplah dia dapat
menatap wajah tersebut. Tengku Iskandar telah tetapkan syarat dia tidak boleh
memandang wajah itu. Lagipun wajah Tengku Iskandar yang sedang terlena ini
nampak lebih kacak berbanding wajahnya ketika bangun yang tak ubah seperti
harimau kelaparan.
Aisyah
mengeluh. Layanan Tengku Iskandar padanya sukar diramal. Lelaki itu menjadi
lelaki romantik ketika mereka ‘bersama’. Layanannya pada Aisyah membuatkan
Aisyah rasa seperti dia ini isteri yang dicintai sepenuh jiwa. Namun sikap
Tengku Iskandar akan berubah kala dia terjaga. Wajahnya garang dan bahasanya yang
kasar bisa membuatkan Aisyah berjauh hati. Di mata Tengku Iskandar, dia ini
tidak ubah seperti melukut di tepi gantang.
“Buruk
sangatkah aku ni? Sehinggakan aku tidak layak berada disamping dia.” Aisyah
menyoal diri sendiri. Mata masih merenung tepat ke wajah Tengku Iskandar.
Alangkah bahagianya andai lelaki itu melayannya dengan baik. Tentu dialah
wanita paling bahagia di dunia ini.
Aisyah menghela
nafas. Biar perkahwinan ini bukan lahir atas dasar cinta, tetapi Aisyah berazam
ingin menjadi isteri yang solehah. Semoga Allah membuka pintu ‘cinta’ di hati
Tengku Iskandar buat dirinya.
Amin….
memang sampai sini je ke sis...
BalasPadam