W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Rabu, 27 November 2013

2ND BABY - BILA LAGU CINTA BERGEMA

BILA LAGU CINTA BERGEMA




ALHAMDULILLAH..AKHIRNYA BUAH TANGAN KE DUA INI BAKAL MENEMUI ANDA SEMUA PADA PESTA BUKU 1 MALAYSIA 2013..SESUATU YANG CUKUP BERMAKNA PADA SAYA..TERIMA KASIH PADA ANDA YANG SENTIASA MENYOKONG..PADA ANDA YANG BELUM PERNAH MEMBACA BILA LAGU CINTA BERGEMA..RASANYA ANDA KENA DAPATKAN NASKAH BARU SAYA INI..'ANAK KEDUA' YANG MENGAJAR SAYA MENULIS DENGAN PELBAGAI RASA..

Selasa, 12 November 2013

ISTERI DALAM SANGKAR 12




Bab 12

TENGKU ISKANDAR membuka matanya. Kepalanya yang sakit terasa berpusing-pusing. Pasti akibat penengan minuman beralkohol yang diteguknya semalam. Sudah agak lama juga dia tidak minum. Namun semalam, atas desakan Fira dia minum semula. Disebabkan itulah kepalanya terasa sakit. Baru minum dua, tiga gelas tetapi mabuknya mengalahkan orang minum berbotol-botol.
Tengku Iskandar bangun dari baring. Jam meja sudah menunjukkan angka lapan tiga puluh tujuh minit pagi. Pukul sepuluh dia ada perjumpaan dengan Tengku daddy dan Tengku Haziq. Jika bukan disebabkan perjumpaan penting itu, mahu rasanya dia mengambil cuti kecemasan. Kepalanya benar-benar sakit. Tetapi awal-awal lagi Tengku Haziq sudah mengingatkan dia akan hal penting itu. Dia perlu hadir kerana dia merupakan Timbalan CEO TG Holdings.
Langkahnya yang agak terhuyung-hayang itu dibawa ke bilik air. Dia berdiri di hadapan singki bercermin besar. Membasuh muka agar dia kembali segar. Wajahnya yang basah dek air paip dipandang. Satu senyuman manis terukir di bibir. Godaan Fira padanya semalam benar-benar membuatkan dia hanyut. Gadis itu memang hangat! Sehangat layannya.
Satu-per-satu aksi asmaranya bersama Fira terlayar depan mata. Seperti yang dia jangka, Fira juga sama saja seperti perempuan-perempuan yang didampinginya selama ini. Fira bukan lagi gadis suci kerana dia cukup arif akan hal itu. Tetapi itu bukanlah masalah padanya. Apa yang penting, dia dapat menikmati layanan Fira yang didamba. Ternyata Fira tidak menghampakan hasrat lelakinya. Fira memang pandai melayan!
Tengku Iskandar ketawa kecil. Bayangan semalam membuatkan hati lelakinya tidak keruan. Jika dia terus memikirkannya, pasti lain pula yang jadi.
‘Sudah-sudahlah fikir tu Is. Dari kau asyik fikir pasal Fira, baik kau bersiap cepat. Masa tengah berjalan. Nanti tak pasal-pasal kena cuci telinga dengan daddy. Bukannya kau tak tahu perangai daddy yang tak suka pada orang tak menepati masa ni. Mahu berjela-jela dia bagi ceramah nanti.’ Suara halus itu menyedarkan Tengku Iskandar dari terus hanyut dalam lamunannya.
Pantas Tengku Iskandar pun melangkah ke ruangan ‘shower’.
Tiga puluh minit berlalu, Tengku Iskandar sudah siap sepenuhnya. Baju kemeja lengan panjang berwarna putih jenama Gucci kelihatan begitu kena pada tubuhnya yang sasa. Tidak terlalu besar, tidak juga terlalu kecil. Dipadankan pula dengan tali leher belang-belang hitam dan putih. Cukup serasi. Tengku Iskandar memang pandai bergaya. Disebabkan itu dia menjadi rebutan pereka-pereka fesyen tanahair untuk menggayakan rekaan mereka.
Minyak wangi jenama Hugo Boss disembur sedikit ke pakaiannya. Dia memang gemarkan haruman minyak wangi Hugo Boss yang segar serta tahan lama. Kerana itu dia hanya kekal dengan satu wangian saja. Tidak seperti adik sepupunya Tengku Haziq yang mempunyai pelbagai jenis minyak wangi sebagai koleksi peribadi.
Di ruang makan, Aisyah sudah menyediakan sarapan pagi untuk suaminya. Ada bihun goreng, ayam goreng dan air Nescafe. Menu pagi yang cukup sinonim dia sediakan di kampung dulu. Harap-harap menu itu kena pada jiwa ‘Tengku Harimau’. Dia tak tahu selera lelaki itu. Dia hanya main sedia ikut kepakarannya saja. Mujurlah Tengku Haziq yang baik hati itu telah mengajar dia menggunakan alatan elektrik di dalam kondo ini. Senanglah untuk dia membuat kerja-kerja rumah.
Bunyi derap kaki Tengku Iskandar yang menuruni anak-anak tangga menggetarkan hati Aisyah. Setiap kali lelaki itu datang, hatinya jadi tidak keruan. Dia takut jikalau mood lelaki itu ke ‘laut’. Tak pasal-pasal dia kena sembur pula.
Bagaikan pengawal istana, Aisyah berdiri tegak di hujung meja. Hidungnya menangkap haruman yang dipakai Tengku Iskandar. Cukup menyenangkan.
Tajam mata Tengku Iskandar merenung Aisyah. Setiap kali terpandangkan wajah itu, hatinya sakit bagai disiat dengan belati tajam. Dia begitu benci dan meluat pada gadis kampung tersebut. Jika hendak dibandingkan Aisyah dengan Fira, bagai langit dengan bumi. Aisyah tak mampu menandingi kejelitaan milik Fira. Apatah lagi dari segi berpakaian. Fira jauh lebih up-to-date berbanding Aisyah yang sentiasa ‘berbungkus’ dengan baju kurung kain cattonnya itu. Rimas dia memandang.
‘Dasar perempuan kampung yang kolot!’ Sempat juga hatinya mencaci.
Dia menghempaskan punggung di atas kerusi. Matanya liar memerhati sarapan pagi yang terhidang di atas meja. Kemudian dia mendengus. “Apa ni?” tanyanya dengan mata tajam menikam wajah Aisyah.
Aisyah tidak menjawab. Hanya diam sambil kepala masih terus tunduk merenung lantai. Telinganya terasa pelik mendengar soalan Tengku Iskandar. Takkan lelaki itu tak tahu bihun dan ayam goreng? Sayang saja sekolah tinggi kalau makanan yang begitu mudah pun lelaki itu tak tahu.
“Hoi… kau ni pekak ke? Tak dengar ke aku cakap dengan kau? Yang kau asyik tenung lantai tu buat apa?” bertalu-talu Tengku Iskandar ‘menyembur’. Sakit hati bila pertanyaannya tidak dijawab.
Errr… ni bihun dengan ayam goreng tengku.” Takut-takut Aisyah menjawab.
Panas hati Tengku Iskandar mendengar jawapan itu. Dia bangun dan menghampiri Aisyah. Pipi gadis itu dicekup dengan tangan. Ditekan kuat.
“Kau ingat aku ni bodoh tak tahu ini bihun dengan ayam goreng?!” Soal Tengku Iskandar kasar.
Aisyah menggeleng. Kecut hatinya diperlakukan begitu. Pipinya terasa sakit dicengkam tangan besar Tengku Iskandar. Mujurlah tak lama bila lelaki itu melepaskannya dengan kasar.
“Lain kali… kalau nak buat sarapan pagi untuk aku, jangan ikut otak kau yang bodoh ni aje. Kau tahu tak aku tak makan makanan macam ni pagi-pagi? Ada mulut tu tanyalah! Jangan nak memandai buat itu ini!” Tengku Iskandar menolak kepala Aisyah dengan kasar. Geramnya pada gadis kampung itu tak pernah bertepi.
Pelupuk mata Aisyah mula digenangi air. Sedih diperlakukan sedemikian. Bukan dia tidak mahu bertanya. Namun rasa takut pada Tengku Iskandar menyebabkan dia mengambil langkah berdiam diri. Jika dia salah sekali pun, janganlah perlakukan dia sebegini. Tegurlah dengan cara yang baik.
Melihat pelupuk mata yang sudah digenangi air itu, Tengku Iskandar mendengus. ‘Cengeng! Sikit-sikit nak menangis!’ Hatinya mencemuh.
“Saya mintak maaf tengku. Saya tak tahu tengku tak makan sarapan pagi macam ni. Lain kali saya tak buat lagi.” pinta Aisyah.
Tengku Iskandar mencebik. “Lain kali tanya apa yang aku nak makan. Jangan pandai-pandai masak itu ini. Ingat sikit… kau tu menumpang kat sini. Jangan nak sesuka hati kau bazirkan makanan kat kondo aku ni. Kau ingat… barang-barang tu beli guna daun? Kalau takde duit, air mineral pun tak dapat dapat beli tau. Jadi lain kali jangan nak membazir sangat!”
Sebenarnya Tengku Iskandar bukanlah jenis manusia yang kedekut. Dia seorang yang pemurah. Wanita-wanita yang pernah berdampingan dengannya tahu akan hal itu. Namun entah kenapa dengan Aisyah dia tidak jadi sepemurah ketika bersama wanita-wanita itu. Hatinya cepat saja naik berang. Padahal salah yang Aisyah lakukan bukannya serius mana pun. Sekadar tersilap menyediakan sarapan pagi saja. Salahnya juga kerana tidak memberitahu Aisyah apa yang dia hendak makan setiap pagi. Tapi dia cukup puas hati dapat menyakiti gadis kampung itu.
Walaupun hati Aisyah terguris mendengar kata-kata Tengku Iskandar, namun dia tetap mengangguk. Dia sedar siapa dirinya. Dia sekadar menumpang berteduh di kondominium mewah ini.
Dengan hati yang berang, Tengku Iskandar berlalu keluar tanpa menyentuh sedikit pun sarapan pagi yang Aisyah sediakan. Semakin dia pandang muka Aisyah, semakin sakit pula hatinya. Masih sukar untuk dia percaya bahawa gadis kampung itu adalah isterinya. Isteri yang tak pernah diimpikan.
“Huh!” Dia mendengus sambil melangkah masuk ke dalam lif.



TENGKU YUSUF meneliti laporan kewangan yang diberikan kepadanya. Memang ada yang tak kena pada laporan tersebut. Seperti yang dikatakan oleh Tengku Haziq, ada penyelewangan sejumlah wang yang telah dilakukan ke atas akaun TG Holdings. Dia benar-benar tidak menyangka.
So… macam mana pendapat daddy? Kalau Is la… Is pecat aje si Rey tu. Dah tak guna kita simpan orang tak amanah macam tu dalam syarikat kita lagi.” Kata Tengku Iskandar pada Tengku Yusuf. Hatinya jadi panas bila melihat laporan yang diberikan Tengku Haziq awal pagi tadi. Berani sungguh Rey menyeleweng wang syarikat. Dalam amaun yang banyak pula tu. Apa lelaki itu ingat, ini syarikat bapak dia ke nak keluarkan wang sehingga mencecah dua ratus ribu ringgit?!
“Betul Tengku Daddy. Ziq pun setuju dengan Is. Tak guna kita terus menyimpan Rey kalau dia tak amanah dalam melakukan tugas. Dari laporan yang Ziq kesan, ini bukan kali pertama Rey buat hal. Dah tiga kali dia buat pengeluaran. Cuma kali ketiga ni jumlahnya terlalu besar.” Tengku Haziq mencela. Dia juga bersependapat dengan Tengku Iskandar agar Tengku Yusuf memecat Rey. Untuk apa lagi Tengku Yusuf menyimpan pekerja seperti Rey itu.
Tengku Yusuf mengeluh. Sudah lima tahun Rey bekerja di TG Holdings. Di mata kasarnya, Rey seorang pekerja yang baik. Dia tak sangka Rey sanggup mengkhianati syarikat. Jika anak muda itu punya masalah kewangan, kenapa tak beritahu saja padanya. Andai termampu, dia pasti akan menghulurkan bantuan.
“Tak guna daddy nak fikir panjang. Kita pecat aje Rey tu. Masih ada ramai lagi staf yang berkelayakan dan berkebolehan menggantikan tempat dia sebagai Penolong Akauntan Kanan.” Melihat kebisuan daddynya, Tengku Iskandar bersuara lagi. Dia tidak mahu daddy berlembut hati dengan manusia pengkhianat seperti Rey.
Daddy serahkan hal ni pada Is. Apa saja keputusan Is, daddy akan ikut. Is buatlah apa yang terbaik untuk company.” Akhirnya Tengku Yusuf memberi kata putus. Memberi mandat pada anak tunggalnya itu membuat keputusan yang terbaik.
Daddy jangan risau. Is tahu apa yang perlu Is lakukan. Trust me.” Janji Tengku Iskandar.
Tengku Yusuf sekadar mengangguk. Sudah sampai masanya untuk dia memberi tanggungjawab membuat keputusan di tangan Tengku Iskandar. Anak itu bakal menggantikan tempatnya sebagai CEO TG Holdings satu hari nanti. Inilah masa yang sesuai untuk dia melihat prestasi kerja anaknya itu. Dia yakin Tengku Iskandar pasti dapat membuat keputusan yang baik.
Dari segi kerja, dia memang tiada masalah dengan anaknya itu. Tengku Iskandar memang baik dalam melaksanakan tugasnya. Sudah banyak sumbangan yang Tengku Iskandar berikan pada syarikat. Terbaru, projek usahasama TG Holdings dengan Istana Kristal Holding. Projek yang bakal memberi keuntungan berbillion-billion pada kedua-dua syarikat. Tengku Iskandar memang cukup memberi perhatian pada projek mega ini.
Cuma apa yang menjadi masalahnya kini hanyalah perangai kuat bersosial anak itu. Bukannya dia tidak tahu perangai ‘gila’ anaknya itu di luar sana. Telinganya ini sudah banyak mendengar cerita-cerita kurang sedap mengenai Tengku Iskandar. Tentang sikapnya yang gemar berpelesiran di kelab-kelab malam bersama wanita yang silih berganti. Itulah yang menjadi penyebab kenapa dia melengahkan urusan penyerahan jawatan CEO TG Holdings kepada anak muda itu. Kerana sikap sosial tahap melampau anaknya itu.
Lagipun isterinya, Tengku Maria awal-awal lagi sudah memberi peringatan. Jangan sesekali menyerahkan TG Holdings pada Tengku Iskandar andai perangai anaknya itu belum berubah. Tengku Maria memang cukup tidak berkenan dengan perangai sosial anak mereka ini. Sehinggakan isteri kesayangannya itu cukup bertegas pada Tengku Iskandar. Siap dengan ugutannya lagi. Kelakar juga bila mengenangkan ugutan isterinya pada anak teruna mereka itu. Sampai Tengku Iskandar terpaksa akur pada setiap arahan mummynya.
Bunyi telefon bimbit Tengku Iskandar yang berkumandang menyentak lamunan Tengku Yusuf. Dia menyorot anak mata pada wajah tampan si anak. Terkial-kial Tengku Iskandar menyeluk tangan ke poket seluar yang dipakai. Bibir anak terunanya itu mekar dengan senyuman kala membaca pesanan melalui telefon bimbitnya. Pasti pesanan dari seorang wanita. Dia sudah cukup arif tentang itu.
Errr… kalau dah takde apa-apa lagi Is nak mintak diri dulu daddy. Ada janji dengan client.” Pandai Tengku Iskandar mencari alasan untuk melepaskan diri.
Tengku Haziq yang mendengar alasan ‘client’ yang digunakan Tengku Iskandar hanya mencebik. Macamlah dia tak tahu siapa yang menghantar pesanan. Jika senyum sudah sampai ke telinga, itu tak lain mesti pesanan dari Fira.
Ye la. Daddy pun ada kerja nak buat. Pasal Rey, daddy serahkan pada Is.”
“Baik la daddy. Is keluar dulu.” Setelah berpamitan dengan Tengku Yusuf, Tengku Iskandar pun melangkah keluar dari bilik mewah yang bakal didudukinya satu hari nanti.
Errr… Ziq pun nak keluar jugak la Tengku Daddy.” Tengku Haziq turut bangun. Ada perkara penting lagi yang perlu dia bincangkan dengan Tengku Iskandar. Perkara yang hanya memerlukan perbincangan mereka berdua.
Hmmm… ya la. Ziq nanti tolong-tolonglah tengokkan Is tu. Kalau nak pecat si Rey tu pun, buatlah dengan cara yang baik. Ziq tahu ajelah perangai panas baran Is tu. Tengku Daddy tak nak kecoh-kecoh. Biarlah takde sesiapa yang tahu kenapa Rey diberhentikan. Apa pun yang jadi, Rey pernah memberi sumbangan pada syarikat kita.” Pesan Tengku Yusuf. Dia percaya anak saudaranya ini pasti boleh mengawal sikap panas baran Tengku Iskandar.
Antara Tengku Haziq dan Tengku Iskandar, anak saudaranya ini lebih matang fikirannya berbanding Tengku Iskandar. Tengku Haziq tidak bertindak secara melulu. Sentiasa bertindak mengikut akal yang waras. Malah anak muda ini juga tidak gemar bersosial. Tidak pernah dia mendengar cerita kurang elok tentang Tengku Haziq. Kerana itu dia terlalu menyayangi Tengku Haziq. Anak itu sudah dianggap seperti anak kandungnya sendiri. Apatah lagi Tengku Haziq kehilangan kasih ibu dan bapanya ketika berusia lima tahun lagi. Dia dan Tengku Maria la ayah dan ibu anak muda itu.
Tengku Haziq mengangguk. “Insya-ALLAH Tengku Daddy. Ziq akan cuba bantu apa yang patut. Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam.”
Tengku Haziq melangkah keluar. Bagaikan lipas kudung dia mengejar langkah Tengku Iskandar yang sudah menonong laju menuju ke dalam lif.
“Is… aku nak bincang dengan kau pasal Aisyah.” Ujar Tengku Haziq sebaik dia dan Tengku Iskandar melangkah masuk ke dalam lif. Hanya mereke berdua di situ. Disebabkan itulah dia berani membuka cerita tentang Aisyah. Isteri dalam rahsia Tengku Iskandar.
Satu dengusan kasar lahir dari mulut Tengku Iskandar. Bosan bila Tengku Haziq sudah mula mahu membuka topik mengenai perempuan kampung itu.
“Aku takde masa nak bincang pasal perempuan kampung tu. Lagipun aku tak suka cakap pasal dia.”
Pintu lif terbuka di tingkat Sembilan. Tingkat yang mana menempatkan bilik dan bahagian Tengku Iskandar sebagai Timbalan CEO TG Holdings. Dia melangkah keluar diikuti Tengku Haziq. Waktu ini bicara mereka terhenti seketika. Hendak berbicara tentang Aisyah, mereka tidak boleh kecoh-kecoh. Cerita pernikahan Tengku Iskandar dan Aisyah hanya Tengku Haziq saja yang tahu.
Setelah masuk ke dalam bilik serba mewah Tengku Iskandar, daun pintu ditutup rapat. Tengku Haziq perlu juga membincangkan hal Aisyah dengan Tengku Iskandar. Sebagai suami, abang sepupunya itu perlu mengambil tahu kebajikan isterinya. Takkan nak biarkan Aisyah macam itu saja.
“Kau tak boleh buat Aisyah macam ni Is. Kasihan dia. Kau tahu tak semalam dia nyaris pitam sebab lapar? Kondo kau tu… satu barang dapur pun takde. Kalau iye pun kau tak sukakan dia, janganlah buat dia macam tu. Kasihan tau.”
Tengku Iskandar mendengus. “Aku mana tahu barang dapur dah habis. Yang dia tak bagitau aku tu kenapa? Dia jugak yang bodoh!”
Geram sungguh Tengku Haziq mendengar jawapan selamba biawak abang sepupunya itu. Macam mana Aisyah nak bagitau kalau wajah Tengku Iskandar asyik mencuka dua puluh empat jam? Tentulah gadis itu takut padanya.
“Kau dah tahu dia tu jenis pendiam, sepatutnya kau kenalah tanya apa yang dia perlukan dekat kondo kau tu. Bukannya main lepas tangan macam tu aje.” Balas Tengku Haziq dalam nada geram.
Jika bukan memikirkan lelaki yang berada di depannya itu adalah abang sepupunya, sudah lama agaknya dia menumbuk muka Tengku Iskandar. Bagi sedar sikit lelaki itu akan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Bukannya asyik keluar berhibur dengan awek-aweknya yang tak senonoh itu.
“Ziq! Boleh tak kita jangan cakap pasal perempuan kampung tu. Aku tak suka la! Aku rimas asyik dengar nama dia. Okey… aku salah! Aku mintak maaf. Lain kali aku akan sediakan semua barang-barang dapur dalam kondo tu. Puas hati?!”
Bukan itu yang Tengku Haziq harapkan. Jika boleh dia mahu Tengku Iskandar membahagiakan Aisyah. Gadis itu selayaknya mendapat kasih sayang daripada Tengku Iskandar.
“Dahlah. Aku nak keluar. Nak jumpa Fira. Nanti pukul dua aku jumpa kau lagi. Kita kena bincang pasal kes Rey.” Suara Tengku Iskandar yang tadinya tegang kembali mengendur. Dengan Tengku Haziq, dia tidak betah hendak marah lama-lama. Walau lelaki itu merimaskan hidupnya, namun dia amat menyayangi Tengku Haziq. Hanya Tengku Haziq ‘adik’ yang dia ada di dunia ini. Biar tidak lahir dari rahim ibu yang sama, tetapi mereka membesar bersama kasih sayang seorang wanita yang dipanggil mummy.
Seperti yang Tengku Haziq sangka, kegembiraan Tengku Iskandar tadi pasti berpunca daripada Fira. Disebabkan itulah lelaki itu kelam-kabut keluar dari bilik Tengku Daddy tadi. Namun Tengku Haziq malas hendak mengulas lanjut pasal Fira. Biarlah. Itu urusan peribadi Tengku Iskandar.
“Ya la. Jangan kau lambat sudah la. Faham aje la kau tu kalau dah jumpa perempuan. Semua benda penting kau boleh lupa.” Sindir Tengku Haziq. Sinis buunyinya.
Tengku Iskandar ketawa besar. Bahu Tengku Haziq ditepuk dan dia berkata, “Aku tak akan lupa la!” kemudian dia pun berlalu pergi. Sudah tidak sabar hendak bertemu dengan Fira.



AISYAH tersenyum. Berpuas hati dengan kerja yang dilakukannya. Ruang dapur sudah licin dibersihkan. Begitu juga dengan ruang makan, ruang tamu dan ruang menonton. Sudah berkilat dan bersinar-sinar. Jika ‘Tengku Harimau’ itu tenung mukanya ke lantai, pasti akan nampak wajahnya dengan jelas.
Aisyah mengesat peluh. Melakukan kerja-kerja rumah bukanlah satu masalah padanya. Dia memang sudah biasa melakukan semua ini. Dekat kampung dulu, lagi banyak kerja yang perlu dia buat. Sampaikan tak cukup tangan dia jadinya. Fasha itu, tak ubah seperti anak kecil. Buang sampah merata-rata!
Kondominium ini memang besar. Namun setiap ruang tidaklah sukar untuk dibersihkan. Habuk juga tidak begitu tebal. Seolah-olah kondo ini selalu dikemas. Rajin juga rupanya ‘Tengku Harimau’ itu mengemas kondonya ini.
Selesai tugasnya di ruang bawah, Aisyah naik ke atas. Inilah pertama kali dia menjejak kaki ke tingkat atas. Ada ruang tamu kecil di ruang atas yang menempatkan sofa berbentuk L. Ringkas saja hiasannya. Tidak seperti ruang tamu bawah yang dilengkapi perabot-perabot mewah.
Aisyah membuka bilik yang kedudukannya berhampiran dengan tangga. Nampaknya bilik sederhana besar ini dijadikan bilik bacaan dan bekerja. Dalamnya terdapat rak yang menempatkan pelbagai jenis buku. Aisyah sempat mencapai sebuah buku tebal. Dibelek buku tersebut. Dahinya berkerut-kerut. Ingatkan novel cinta, tetapi buku itu banyak memberi gambarajah mengenai pembinaan. Dah tu dalam bahasa English pula. Sepatah haram Aisyah tak faham. Kalau nak baca kenalah dia tengok kamus sebagai panduan. Bukannya dia tak faham langsung Cuma bahasa English bukanlah bahasa hariannya. SPM dulu pun dia hanya dapat C saja bagi mata pelajaran tersebut. Aisyah meletakkan semula buku tersebut di dalam rak.
Penuh berhati-hati, dia membersihkan bilik bacaan. Takut tersalah pegang dan letak, rosak pula kerja-kerja Tengku Iskandar. Nanti tak pasal-pasal dia kena tengking lagi. Bukannya dia tak faham perangai ‘Tengku Harimau’ itu yang gemar mencari salahnya. Salah sikit pun dah kena marah apa lagi kalau dia buat salah besar. Malah kertas-kertas kerja lelaki itu yang terbentang di atas meja pun tidak berani diusik.
Selesai membersihkan bilik bacaan, Aisyah melangkah ke bilik ke dua. Bilik di bahagian tengah ini nampaknya dikhaskan untuk tetamu yang datang. Bertemakan warna hijau dan putih, bilik sederhana besar ini kelihatan begitu indah sekali. Ada sebuah katil bersaiz King dan meja hias disediakan. Turut ada sebuah almari jenis gelangsar dan sofa kecil berwarna hijau. ‘Tengku Harimau’ memang pandai dalam memilih padanan warna. Macam biliknya yang digandingkan warna putih dan pink. Macam tahu-tahu saja bakal penghuni bilik bawah itu merupakan seorang perempuan. Mentang-mentang bilik khas untuk pembantu rumah yang memang sinonim dengan kerja orang perempuan., ‘Tengku Harimau’ itu padankan gandingan dua warna tersebut.
Dalam bilik ini terdapat bilik airnya sekali. Menjenguk ke dalam bilik air, Aisyah mendapati ada tab mandi yang tersedia. Tidak seperti biliknya yang hanya ada shower sahaja. Melihat tab mandi tersebut, otak Aisyah mula merangka sesuatu. Dia teringin hendak mandi berendam di dalamnya. Hendak merasa nikmat mandi dalam tab seperti watak-watak orang kaya yang dia lihat dalam televisyen. Pasti seronok dapat mandi di situ. Satu hari nanti dia pasti akan mandi di dalam tab ini. Tunggu masa yang sesuai. Yang pasti sewaktu ketiadaan ‘Tengku Harimau’. Heheheee….
Aisyah melangkah ke bilik terakhir setelah kerjanya di bilik ke dua selesai. Daun pintu yang tertutup rapat dikuak. Tergamam dia melihat ruang dalam bilik tersebut. Mulutnya membulat akibat rasa terpegun. Jakun sungguh dia melihat ruang bilik yang besar. Mengalahkan ruang tamu rumahnya di kampung. Malah perabot yang ada dalam bilik ini juga kelihatan begitu mewah pada pandangannya. Macam dalam hotel. Tentu harga perabot-perabot ini dalam ratusan ribu ringgit.
Aisyah pandang sekeliling. Tatkala matanya terpandang gambar Tengku Iskandar yang terpampang di dinding, dadanya berdebar hebat. Betapa kacaknya lelaki itu bila tersenyum. Terserlah lesung pipit kecil di tepi bibir sebelah kirinya. Giginya juga tersusun dengan rapi. Cukup menggoda. Buat seketika, Aisyah hanyut dalam lamunannya. Tengku Iskandar benar-benar memukau!
Di larang memandang wajah Tengku Iskandar!
Mengenangkan peraturan itu, cepat Aisyah menggeleng-gelengkan kepalanya. Terlupa seketika dia pada peraturan yang Tengku Iskandar tetapkan untuk dia. Mujurlah yang dia pandang hanya sekeping gambar tidak bernyawa. Jika orangnya… sudah pasti dia kena tengking.
Tidak mahu berlengah, Aisyah segera mengemas bilik milik ‘Tengku Harimau’ itu. Bilik serba mewah seorang lelaki yang sombong dan bongkak! Ketika kakinya melangkah masuk ke dalam kecil yang terdapat di dalam bilik tersebut, matanya kembali bulat seperti biji guli. Kakinya melangkah dengan mata yang liar memandang sekeliling. Bilik kecil itu dipenuhi pakaian berjenama dan kasut-kasut berkualiti milik Tengku Iskandar. Tak ubah seperti butik mewah. Aisyah sungguh kagum dengan pilihan Tengku Iskandar. Ternyata lelaki itu memang seseorang yang begitu mementingkan kemewahan.
Tiba-tiba Aisyah mencebik. ‘Tengku Harimau’ itu memang kaya tetapi sayang dia seorang yang miskin dengan budi bahasa.

ISTERI DALAM SANGKAR 11





Bab 11

TENGKU ISKANDAR melangkah masuk ke dalam rumah sambil berlagu riang. Bibirnya yang sedikit kemerahan merekah dengan senyuman. Hari ini dia balik lebih awal memandangkan malam ini dia ada temujanji bersama Fira. Gadis yang sudah sebulan dikenalinya. Fira nampak saja jinak-jinak merpati. Namun dia tahu Fira juga sama seperti perempuan-perempuan yang pernah didampinginya. Sedikit masa lagi dia yakin dapat menakluki gadis itu.
Kunci kereta diletak atas meja. Bibirnya masih lagi mengukir senyuman menawan. Wajah cantik jelita Fira terbayang di depan mata. Suara menggoda Fira ketika menelefonnya tadi terngiang-ngiang di telinga. Betapa dia tak sabar hendak berjumpa dengan Fira. Gadis seksi yang telah lama dia dambakan. Dalam ramai-ramai gadis, Fira merupakan gadis yang paling sukar untuk ditawan. Disebabkan itu dia jadi teruja hendak menghabiskan malamnya bersama Fira.
Tengah otaknya memikirkan Fira, mata jatuh pada sekujur tubuh yang terbaring di atas sofa. Terus senyuman pada bibirnya mati. Entah bagaimana dia boleh tidak sedar ada sekujur tubuh di sofa itu. Lupa bahawa di kondonya ini sudah ada ‘penghuni’ lain selain daripada dirinya. Melihat gadis kampung yang sedang enak tertidur di atas sofa, dia mendengus. Kasar dan besar!
“Huh!!!” bentaknya kemudian dengan kaki yang dihentak-hentak, dia melangkah naik ke atas.
Aisyah yang terdengar suara dengusan kasar terbangun. Terpisat-pisat dia menengeh mata. Kelibat lelaki yang sudah melangkah naik ke tingkat atas itu sempat ditangkap. Cepat, dia bangun dari baring. Bibirnya digigit.
“Dah lama ke dia balik?” Aisyah menyoal diri sendiri. Lantas matanya memandang kain baju kurung yang dipakai. Mujurlah tidak tersinseng naik ke atas. ‘Selamat!’ Hatinya melepaskan rasa lega.
Kakinya melangkah ke dapur. Dia perlu memberitahu Tengku Iskandar barang-barang keperluan di kondo ini sudah tiada. Jika tidak, tidak makanlah dia. Perutnya benar-benar sudah lapar. Ingatkan bila dia tidur, kelaparan tahap menggila itu tidak akan menganggunya lagi. Rupanya dia silap. Perutnya masih kuat berkeroncong seperti tadi. Kepalanya juga kian pening kerana tenaga yang kian menghilang.
Tiga puluh minit kemudian, hidungnya menangkap haruman yang dipakai Tengku Iskandar. Lelaki itu menuruni anak-anak tangga sambil bersiul-siul. Bukan main bergaya lagi lelaki itu. Biar hanya berkameja biru petak-petak dan berseluar jean, namun ketampanan Tengku Iskandar tetap terserlah. Wajahnya yang masam itu langsung tidak mencacatkan ketampanan yang ALLAH anugerahkan padanya.
Buat seketika, Aisyah terpegun melihat wajah tampan suaminya.
Kruttt… krutttt…. Perutnya yang berbunyi minta diisi itu menyedarkan Aisyah dari panahan arjuna Tengku Iskandar. Cepat dia menggeleng. Cuba menghalau bayangan Tengku Iskandar dari mata. Sudah tertulis dalam peraturan ke dua puluh satu, dia dilarang memandang wajah Tengku Iskandar.
Dengan rasa takut-takut berani, Aisyah menghampiri Tengku Iskandar yang sedang mengatup butang lengan baju kameja yang tersarung pada tubuh sasanya.
“Ehem… awak….”
Dengar suara itu, Tengku Iskandar berpaling. Tajam matanya merenung Aisyah. Membuatkan Aisyah tidak jadi meneruskan ayatnya.
“Siapa benarkan kau panggil aku macam tu? Panggil aku Tengku Iskandar. Ingat siapa diri kau di sini. Kau tu orang suruhan aku! Jangan sesuka hati nak panggil aku ikut sedap kau.”
Aisyah menunduk. Sedar keterlanjurannya. Sepatutnya dia ingat peraturan ke tiga belas. Dia tidak boleh menggunakan nama panggilan lain kepada Tengku Iskandar selain memanggilnya dengan panggilan ‘Tengku’. Tanda berbezaan darjat antara mereka.
“Maafkan saya tengku. Saya tak sengaja.”
“Hah… kau nak apa?” acuh tak acuh Tengku Iskandar bertanya. Malas hendak melayan gadis kampung itu lebih-lebih.
Errr….”
Belum sempat Aisyah memberitahu apa yang ingin diperkatakan, telefon bimbit Tengku Iskandar pula bordering minta dijawab. Lantas tangan lelaki itu mencapai telefon bimbit yang diletak atas meja kopi. Lebar senyuman dibibirnya tatkala terpandang nama pada skrin. Fira!
Yeshoney. I dah siap la ni.” ujar Tengku Iskandar tidak mempedulikan Aisyah. Dia bergerak ke pintu. Menyarung kasut ke kaki sambil berkata, “Okey… okey… you tunggu I dekat situ. Kejap lagi I ambik you.” Begitu mesra dia berbual dengan Fira. Langsung tidak menghiraukan Aisyah yang ingin memperkatakan sesuatu.
Aisyah mengeluh tatkala kelibat Tengku Iskandar sudah menghilang di sebalik muka pintu utama. Lelaki itu langsung tidak hiraukan keadaan dia. Makan minum dan sakit peningnya langsung tidak dipeduli. Lelaki itu lebih mengutamakan janjinya untuk keluar berhibur bersama teman wanitanya.
Mengenangkan nasib dirinya yang malang ini, air mata Aisyah mengalir lesu. Dia benar-benar lapar. Namun Tengku Iskandar langsung tidak mempedulikan dirinya. Dengan bersenang hati lelaki itu keluar tanpa mendengar kata-katanya.
Kruttt… krutttt…. Perutnya berbunyi lagi. Lantas dia membawa langkah ke dapur. Mengambil air mineral di dalam peti ais bagi mengisi perutnya yang kelaparan sejak siang tadi.
Ting tong! Ting tong!
Bunyi lonceng memaksa Aisyah bergerak ke ruang depan. Air mata yang mengalir dikesat dengan belakang tangan. Perlahan-lahan dia membuka pintu. Di depannya, terlayar wajah Tengku Haziq yang sedang tersenyum mesra.
“Assalamualaikum.” Ucap Tengku Haziq.
“Waalaikumusalam.” Jawab Aisyah. Pintu yang tadi hanya dibuka sedikit sudah dibuka luas.
“Is ada?” tanya Tengku Haziq. Tidak berani hendak melangkah masuk. Jika dulu, terbuka saja pintu kondo milik abang sepupunya itu dia akan masuk tanpa diundang. Tetapi kini dia sudah tidak boleh keluar masuk ke dalam kondo itu sesuka hati lagi. Dia perlu menghormati Aisyah sebagai isteri abang sepupunya.
“Takde. Tengku Iskandar baru aje keluar.” Beritahu Aisyah. Kepalanya kian pusing. Perut juga kian berbunyi.
“Laaa… ye ke? Saya tak perasan pulak. Entah-entah kami berselisih jalan tadi. Awak tahu ke dia ke mana?”
Aisyah menggeleng. Tengku Iskandar tak kata pun dia hendak pergi ke mana. Aisyah juga tidak berani hendak bertanya. Takut nanti tangan lelaki itu naik pula ke wajahnya. Tingkah Tengku Iskandar yang berubah-ubah itu bukannya boleh dijangka.
“Kalau macam tu takpelah. Saya balik du….” Kata Tengku Haziq mati di situ. Terkejut bila melihat Aisyah yang hampir terjelopok jatuh. Mujur dia sempat memaut bahu gadis itu lalu memapahnya masuk ke dalam.
Tubuh Aisyah yang lemah didudukkan atas sofa.
“Aisyah… awak kenapa?” Tengku Haziq bertanya. Baru dia perasan wajah pucat gadis itu. Sedari tadi bersembang, dia langsung tak perasan air muka Aisyah yang tidak bermaya.
“Saya….” Kruttt…krutttt…. Ayatnya tidak habis bila perutnya terlebih dahulu ‘menjawab’. Bukan main besar bunyinya sehingga Tengku Haziq dapat mendengar dengan jelas.
“Awak lapar?” tanya Tengku Haziq.
Aisyah menundukkan wajah. Pelupuk matanya digenangi air. Memang dia lapar. Dan dia sudah tidak malu untuk mengakuinya. Kepalanya dianggukkan.
“Kalau lapar kenapa awak tak makan?” tumpah simpati Tengku Haziq pada Aisyah.
“Takde apa-apa yang boleh saya makan kat rumah ni.” jawab Aisyah perlahan. Kepalanya masih tunduk memandang carpet tebal.
“Is tak bagi awak makan ke?”
Aisyah menggeleng. “Bukan tak bagi cuma takde bahan mentah kat peti sejuk. Sekeping roti pun takde. Lagipun… saya tak pandai nak guna alatan elektrik dalam rumah ni. Semua canggih-canggih. Saya takut kalau saya tersalah tekan, alatan elektrik tu akan rosak. Saya takut kena marah.” Tulusnya Aisyah membalas.
Tengku Haziq yang duduk di sofa bertentangan dengan Aisyah mengeluh. Lurus benar gadis itu. Kasihan pula dia. Dalam masa yang sama, hatinya dipalu rasa geram yang tak bertepi buat Tengku Iskandar. Tergamak sungguh lelaki itu membiarkan isterinya kelaparan sedangkan dia keluar berhibur di luar. Dia tahu ke mana hala tuju Tengku Iskandar. Ke mana lagi jika bukan ke kelab malam. Lagipun dia dengar perbualan Tengku Iskandar dengan gadis bernama Fira tengah hari tadi. Jadi tak mustahil Tengku Iskandar keluar berhibur dengan Fira malam ini.
“Kalau macam tu jom kita keluar makan. Kebetulan saya pun belum makan lagi ni. Lepas makan, saya bawak awak beli barang-barang dapur. Nanti saya ajar awak guna peralatan elektrik dalam rumah ni ya.”
Air matanya dikesat. Dia angkat kepala memandang Tengku Haziq. Ada senyuman pada wajah lelaki itu.
“Dah. Awak pergi tukar pakaian dulu. Saya tunggu awak kat sini.” Sambung Tengku Haziq lagi.
Aisyah sekadar mengangguk. Cepat-cepat dia bangun meninggalkan Tengku Haziq di ruang tamu dan berlalu ke biliknya. Dia perlu bersiap dengan segera. Tak elok membiarkan Tengku Haziq menunggunya lama-lama. Lelaki itu terlalu baik padanya.




TENGKU HAZIQ memandang Aisyah yang makan dengan penuh berselera. Tumpah rasa simpatinya pada gadis kampung itu. Jika dia tiada tadi, tentu Aisyah sudah pengsan akibat rasa lapar. Sampai hati Tengku Iskandar membiarkan Aisyah tanpa makanan di kondonya.
Dia cuba menghubungi Tengku Iskandar. Namun panggilannya tidak dijawab. Dia yakin tentu Tengku Iskandar tengah berseronok menari terkinja-kinja bersama Fira. Sebab itulah panggilannya tidak berjawab. Alamatnya dia hanya meninggalkan mesej pendek pada abang sepupunya itu. Memberitahu bahawa dia membawa Aisyah keluar makan.
Mengenangkan Tengku Iskandar, dia mengetap bibir. Entah sampai bila perangai abang sepupunya itu akan berubah? Sudah banyak nasihat yang dia beri. Namun satu nasihat pun tak pernah lekat di kepala Tengku Iskandar. Hidup lelaki itu masih penuh dengan keseronokan.
Bruppp!”
Bunyi itu mematikan lamunan Tengku Haziq.
Aisyah di hadapan sudah menekup mulut dengan ke dua belah tangannya. Wajahnya yang putih bersih sudah bertukar kemerah-merahan. Malu bukan kepalang bila sendawanya terlepas depan Tengku Haziq.
Hisy… macam mana boleh terlepas bunyi macam biawak hidup tu? malunya….’ Dalam hati dia menggumam. Marah pada keterlanjuran ‘bunyi’ kuat yang keluar dari mulut.
Tidak semena-mena, Tengku Haziq ketawa. Kelakar pula rasanya mendengar sendawa besar Aisyah. Kenyang sangat agaknya sampai terkeluar bunyi besar itu. Ketawanya berterusan sehinggalah… “Bruppp!!!”
Serta-merta ketawa Tengku Haziq mati. Matanya membulat. Aisyah yang duduk di depan juga sudah tayang muka terkejut separuh pitam. Mungkin tidak sangka Tengku Haziq akan mengeluarkan bunyi yang serupa dengannya. Malah lebih kuat daripada bunyi sendawanya tadi.
Tak semena-mena, mereka berdua ketawa serentak. Kelakar dengan apa yang berlaku. Mata-mata yang memandang tidak dihiraukan. Seronok benar mereka ketawa terbahak-bahak. Aisyah juga sudah hilang rasa malunya pada Tengku Haziq. Rasa seperti lelaki itu sudah lama dikenali.
Melihat wajah putih bersih Aisyah yang sudah kemerah-merahan ketawa, membuatkan hati Tengku Haziq dibuai satu perasaan halus. Pertama kali dia melihat gadis itu ketawa. Hatinya rasa gembira dan bahagia. Tengku Iskandar memang beruntung dapat memperisterikan Aisyah yang polos.
Aisyah yang seronok ketawa menghentikan tawanya bila mata Tengku Haziq merenungnya tanpa kerdip. Marahkah lelaki itu padanya? Aduh… mampuslah kalau Tengku Haziq marah. Hanya lelaki itu saja ‘teman’ yang dia ada di ibu kota Kuala Lumpur ini. Dia tidak punya sesiapa di sini.
“Errr… maaf.” Pinta Aisyah akhirnya. Wajahnya ditundukkan. Rasa bersalah kerana tawanya terlepas sebentar tadi.
“Kah… kah… kah….” Besar ketawa Tengku Haziq. Wajah pucat Aisyah menggeletek hatinya.
Aisyah yang kehairanan sudah mengerut kening. Pelik melihat Tengku Haziq yang ketawa terbahak-bahak bagai orang hilang akal. Apa yang kelakar sangat?
“Awak ni kelakar la Aisyah. Tak pasal-pasal nak mintak maaf pulak. Awak takut saya marah ye? Jangan risau la… saya tak marah awak. Saya suka tengok awak ketawa. Takde saya asyik menghadap muka murung awak tu setiap masa.” Ujar Tengku Haziq dengan sisa tawa yang masih berbaki.
Lega hati Aisyah mendengar kata-kata lelaki itu. Pantas dia menarik senyuman manis. Mujur juga Tengku Haziq tidak ‘sepesen’ dengan Tengku Iskandar. Jika tidak memang susah hidupnya.
“Awak nak order apa-apa lagi tak?”
Aisyah menggeleng. Dia sudah kenyang. Alhamdulillah atas rezeki yang ada.
Suara azan maghrib yang berkumandang dari masjid berdekatan dengan restoren tempat mereka makan membuatkan mereka senyap. Memberi laluan kepada suara bilal yang mendayu-dayu menusuk ke dalam jiwa. Subahanallah… betapa merdunya suara bilal tersebut!
Usai saja azan dilaungkan, Tengku Haziq dan Aisyah masing-masing membaca doa selepas azan.
“Saya nak pergi solat dekat masjid depan tu. Lepas dah solat nanti saya bawa awak pergi beli barang-barang dapur ya.” Ujar Tengku Haziq. Dia sudah bangun dari duduknya.
Aisyah sekadar mengangguk.
“Awak tak solat ke?” Tengku Haziq bertanya. Manalah tahu kalau-kalau gadis itu mahu ikut solat bersama.
Errr… nak, tapi saya tak bawa telekung.” Jawab Aisyah jujur.
“Takpe. Nanti dekat masjid ada telekung extra. Awak boleh guna. Biasanya dekat masjid-masjid memang dia orang sediakan telekung extra untuk orang luar. Iya la… mana tahu kan ada orang luar nak tumpang bersolat. Senanglah sikit.” Terang Tengku Haziq.
Aisyah yang mendengar sekadar mengangguk. Jika itu sudah dikata, eloklah dia tumpang bersolat di masjid berdekatan. Lagipun waktu maghrib singkat. Tak elok dia melambat-lambatkan waktu.
“Kalau macam tu… awak tunggu sini kejap. Saya nak pergi bayar bil.” Pantas Tengku Haziq beredar menuju ke kaunter pembayaran.
Aisyah hanya menyoroti langkah lelaki itu. Tengku Haziq memang lelaki yang baik. Beruntung siapa yang dapat memiliki hati lelaki ini. Tengku Haziq lelaki sempurna untuk dijadikan seorang suami. Dia pernah berangan-angan mahukan suami seperti Tengku Haziq yang taat pada perintah Ilahi. Namun apakan daya jodohnya sudah ditetapkan bersama Tengku Iskandar.