Bab 12
TENGKU ISKANDAR membuka
matanya. Kepalanya yang sakit terasa berpusing-pusing. Pasti akibat penengan
minuman beralkohol yang diteguknya semalam. Sudah agak lama juga dia tidak
minum. Namun semalam, atas desakan Fira dia minum semula. Disebabkan itulah
kepalanya terasa sakit. Baru minum dua, tiga gelas tetapi mabuknya mengalahkan
orang minum berbotol-botol.
Tengku Iskandar
bangun dari baring. Jam meja sudah menunjukkan angka lapan tiga puluh tujuh
minit pagi. Pukul sepuluh dia ada perjumpaan dengan Tengku daddy dan Tengku Haziq. Jika bukan disebabkan perjumpaan penting
itu, mahu rasanya dia mengambil cuti kecemasan. Kepalanya benar-benar sakit.
Tetapi awal-awal lagi Tengku Haziq sudah mengingatkan dia akan hal penting itu.
Dia perlu hadir kerana dia merupakan Timbalan CEO TG Holdings.
Langkahnya yang
agak terhuyung-hayang itu dibawa ke bilik air. Dia berdiri di hadapan singki
bercermin besar. Membasuh muka agar dia kembali segar. Wajahnya yang basah dek
air paip dipandang. Satu senyuman manis terukir di bibir. Godaan Fira padanya
semalam benar-benar membuatkan dia hanyut. Gadis itu memang hangat! Sehangat
layannya.
Satu-per-satu
aksi asmaranya bersama Fira terlayar depan mata. Seperti yang dia jangka, Fira
juga sama saja seperti perempuan-perempuan yang didampinginya selama ini. Fira
bukan lagi gadis suci kerana dia cukup arif akan hal itu. Tetapi itu bukanlah
masalah padanya. Apa yang penting, dia dapat menikmati layanan Fira yang
didamba. Ternyata Fira tidak menghampakan hasrat lelakinya. Fira memang pandai
melayan!
Tengku Iskandar
ketawa kecil. Bayangan semalam membuatkan hati lelakinya tidak keruan. Jika dia
terus memikirkannya, pasti lain pula yang jadi.
‘Sudah-sudahlah
fikir tu Is. Dari kau asyik fikir pasal Fira, baik kau bersiap cepat. Masa
tengah berjalan. Nanti tak pasal-pasal kena cuci telinga dengan daddy. Bukannya kau tak tahu perangai
daddy yang tak suka pada orang tak menepati masa ni. Mahu berjela-jela dia bagi
ceramah nanti.’ Suara halus itu menyedarkan Tengku Iskandar dari terus hanyut
dalam lamunannya.
Pantas Tengku
Iskandar pun melangkah ke ruangan ‘shower’.
Tiga puluh
minit berlalu, Tengku Iskandar sudah siap sepenuhnya. Baju kemeja lengan
panjang berwarna putih jenama Gucci kelihatan begitu kena pada tubuhnya yang
sasa. Tidak terlalu besar, tidak juga terlalu kecil. Dipadankan pula dengan
tali leher belang-belang hitam dan putih. Cukup serasi. Tengku Iskandar memang
pandai bergaya. Disebabkan itu dia menjadi rebutan pereka-pereka fesyen tanahair
untuk menggayakan rekaan mereka.
Minyak wangi
jenama Hugo Boss disembur sedikit ke pakaiannya. Dia memang gemarkan haruman
minyak wangi Hugo Boss yang segar serta tahan lama. Kerana itu dia hanya kekal
dengan satu wangian saja. Tidak seperti adik sepupunya Tengku Haziq yang
mempunyai pelbagai jenis minyak wangi sebagai koleksi peribadi.
Di ruang makan,
Aisyah sudah menyediakan sarapan pagi untuk suaminya. Ada bihun goreng, ayam
goreng dan air Nescafe. Menu pagi yang cukup sinonim dia sediakan di kampung
dulu. Harap-harap menu itu kena pada jiwa ‘Tengku Harimau’. Dia tak tahu selera
lelaki itu. Dia hanya main sedia ikut kepakarannya saja. Mujurlah Tengku Haziq
yang baik hati itu telah mengajar dia menggunakan alatan elektrik di dalam
kondo ini. Senanglah untuk dia membuat kerja-kerja rumah.
Bunyi derap
kaki Tengku Iskandar yang menuruni anak-anak tangga menggetarkan hati Aisyah.
Setiap kali lelaki itu datang, hatinya jadi tidak keruan. Dia takut jikalau mood lelaki itu ke ‘laut’. Tak
pasal-pasal dia kena sembur pula.
Bagaikan
pengawal istana, Aisyah berdiri tegak di hujung meja. Hidungnya menangkap
haruman yang dipakai Tengku Iskandar. Cukup menyenangkan.
Tajam mata
Tengku Iskandar merenung Aisyah. Setiap kali terpandangkan wajah itu, hatinya
sakit bagai disiat dengan belati tajam. Dia begitu benci dan meluat pada gadis
kampung tersebut. Jika hendak dibandingkan Aisyah dengan Fira, bagai langit
dengan bumi. Aisyah tak mampu menandingi kejelitaan milik Fira. Apatah lagi
dari segi berpakaian. Fira jauh lebih up-to-date berbanding Aisyah yang
sentiasa ‘berbungkus’ dengan baju kurung kain cattonnya itu. Rimas dia
memandang.
‘Dasar
perempuan kampung yang kolot!’ Sempat juga hatinya mencaci.
Dia
menghempaskan punggung di atas kerusi. Matanya liar memerhati sarapan pagi yang
terhidang di atas meja. Kemudian dia mendengus. “Apa ni?” tanyanya dengan mata
tajam menikam wajah Aisyah.
Aisyah tidak
menjawab. Hanya diam sambil kepala masih terus tunduk merenung lantai.
Telinganya terasa pelik mendengar soalan Tengku Iskandar. Takkan lelaki itu tak
tahu bihun dan ayam goreng? Sayang saja sekolah tinggi kalau makanan yang
begitu mudah pun lelaki itu tak tahu.
“Hoi… kau ni
pekak ke? Tak dengar ke aku cakap dengan kau? Yang kau asyik tenung lantai tu
buat apa?” bertalu-talu Tengku Iskandar ‘menyembur’. Sakit hati bila
pertanyaannya tidak dijawab.
“Errr… ni bihun dengan ayam goreng
tengku.” Takut-takut Aisyah menjawab.
Panas hati
Tengku Iskandar mendengar jawapan itu. Dia bangun dan menghampiri Aisyah. Pipi
gadis itu dicekup dengan tangan. Ditekan kuat.
“Kau ingat aku
ni bodoh tak tahu ini bihun dengan ayam goreng?!” Soal Tengku Iskandar kasar.
Aisyah
menggeleng. Kecut hatinya diperlakukan begitu. Pipinya terasa sakit dicengkam
tangan besar Tengku Iskandar. Mujurlah tak lama bila lelaki itu melepaskannya
dengan kasar.
“Lain kali…
kalau nak buat sarapan pagi untuk aku, jangan ikut otak kau yang bodoh ni aje. Kau
tahu tak aku tak makan makanan macam ni pagi-pagi? Ada mulut tu tanyalah!
Jangan nak memandai buat itu ini!” Tengku Iskandar menolak kepala Aisyah dengan
kasar. Geramnya pada gadis kampung itu tak pernah bertepi.
Pelupuk mata
Aisyah mula digenangi air. Sedih diperlakukan sedemikian. Bukan dia tidak mahu
bertanya. Namun rasa takut pada Tengku Iskandar menyebabkan dia mengambil
langkah berdiam diri. Jika dia salah sekali pun, janganlah perlakukan dia
sebegini. Tegurlah dengan cara yang baik.
Melihat pelupuk
mata yang sudah digenangi air itu, Tengku Iskandar mendengus. ‘Cengeng!
Sikit-sikit nak menangis!’ Hatinya mencemuh.
“Saya mintak
maaf tengku. Saya tak tahu tengku tak makan sarapan pagi macam ni. Lain kali
saya tak buat lagi.” pinta Aisyah.
Tengku Iskandar
mencebik. “Lain kali tanya apa yang aku nak makan. Jangan pandai-pandai masak
itu ini. Ingat sikit… kau tu menumpang kat sini. Jangan nak sesuka hati kau
bazirkan makanan kat kondo aku ni. Kau ingat… barang-barang tu beli guna daun?
Kalau takde duit, air mineral pun tak
dapat dapat beli tau. Jadi lain kali jangan nak membazir sangat!”
Sebenarnya
Tengku Iskandar bukanlah jenis manusia yang kedekut. Dia seorang yang pemurah.
Wanita-wanita yang pernah berdampingan dengannya tahu akan hal itu. Namun entah
kenapa dengan Aisyah dia tidak jadi sepemurah ketika bersama wanita-wanita itu.
Hatinya cepat saja naik berang. Padahal salah yang Aisyah lakukan bukannya
serius mana pun. Sekadar tersilap menyediakan sarapan pagi saja. Salahnya juga
kerana tidak memberitahu Aisyah apa yang dia hendak makan setiap pagi. Tapi dia
cukup puas hati dapat menyakiti gadis kampung itu.
Walaupun hati
Aisyah terguris mendengar kata-kata Tengku Iskandar, namun dia tetap
mengangguk. Dia sedar siapa dirinya. Dia sekadar menumpang berteduh di
kondominium mewah ini.
Dengan hati
yang berang, Tengku Iskandar berlalu keluar tanpa menyentuh sedikit pun sarapan
pagi yang Aisyah sediakan. Semakin dia pandang muka Aisyah, semakin sakit pula
hatinya. Masih sukar untuk dia percaya bahawa gadis kampung itu adalah
isterinya. Isteri yang tak pernah diimpikan.
“Huh!” Dia
mendengus sambil melangkah masuk ke dalam lif.
TENGKU YUSUF meneliti laporan kewangan yang diberikan kepadanya.
Memang ada yang tak kena pada laporan tersebut. Seperti yang dikatakan oleh
Tengku Haziq, ada penyelewangan sejumlah wang yang telah dilakukan ke atas
akaun TG Holdings. Dia benar-benar tidak menyangka.
“So… macam mana pendapat daddy? Kalau Is la… Is pecat aje si Rey
tu. Dah tak guna kita simpan orang tak amanah macam tu dalam syarikat kita
lagi.” Kata Tengku Iskandar pada Tengku Yusuf. Hatinya jadi panas bila melihat
laporan yang diberikan Tengku Haziq awal pagi tadi. Berani sungguh Rey
menyeleweng wang syarikat. Dalam amaun yang banyak pula tu. Apa lelaki itu
ingat, ini syarikat bapak dia ke nak keluarkan wang sehingga mencecah dua ratus
ribu ringgit?!
“Betul Tengku Daddy. Ziq pun setuju dengan Is. Tak guna
kita terus menyimpan Rey kalau dia tak amanah dalam melakukan tugas. Dari
laporan yang Ziq kesan, ini bukan kali pertama Rey buat hal. Dah tiga kali dia
buat pengeluaran. Cuma kali ketiga ni jumlahnya terlalu besar.” Tengku Haziq
mencela. Dia juga bersependapat dengan Tengku Iskandar agar Tengku Yusuf
memecat Rey. Untuk apa lagi Tengku Yusuf menyimpan pekerja seperti Rey itu.
Tengku Yusuf
mengeluh. Sudah lima tahun Rey bekerja di TG Holdings. Di mata kasarnya, Rey
seorang pekerja yang baik. Dia tak sangka Rey sanggup mengkhianati syarikat.
Jika anak muda itu punya masalah kewangan, kenapa tak beritahu saja padanya.
Andai termampu, dia pasti akan menghulurkan bantuan.
“Tak guna daddy nak fikir panjang. Kita pecat aje
Rey tu. Masih ada ramai lagi staf yang berkelayakan dan berkebolehan
menggantikan tempat dia sebagai Penolong Akauntan Kanan.” Melihat kebisuan daddynya, Tengku Iskandar bersuara lagi.
Dia tidak mahu daddy berlembut hati
dengan manusia pengkhianat seperti Rey.
“Daddy serahkan hal ni pada Is. Apa saja
keputusan Is, daddy akan ikut. Is
buatlah apa yang terbaik untuk company.”
Akhirnya Tengku Yusuf memberi kata putus. Memberi mandat pada anak tunggalnya
itu membuat keputusan yang terbaik.
“Daddy jangan risau. Is tahu apa yang
perlu Is lakukan. Trust me.” Janji
Tengku Iskandar.
Tengku Yusuf
sekadar mengangguk. Sudah sampai masanya untuk dia memberi tanggungjawab
membuat keputusan di tangan Tengku Iskandar. Anak itu bakal menggantikan
tempatnya sebagai CEO TG Holdings satu hari nanti. Inilah masa yang sesuai
untuk dia melihat prestasi kerja anaknya itu. Dia yakin Tengku Iskandar pasti
dapat membuat keputusan yang baik.
Dari segi
kerja, dia memang tiada masalah dengan anaknya itu. Tengku Iskandar memang baik
dalam melaksanakan tugasnya. Sudah banyak sumbangan yang Tengku Iskandar
berikan pada syarikat. Terbaru, projek usahasama TG Holdings dengan Istana
Kristal Holding. Projek yang bakal memberi keuntungan berbillion-billion pada
kedua-dua syarikat. Tengku Iskandar memang cukup memberi perhatian pada projek
mega ini.
Cuma apa yang
menjadi masalahnya kini hanyalah perangai kuat bersosial anak itu. Bukannya dia
tidak tahu perangai ‘gila’ anaknya itu di luar sana. Telinganya ini sudah
banyak mendengar cerita-cerita kurang sedap mengenai Tengku Iskandar. Tentang
sikapnya yang gemar berpelesiran di kelab-kelab malam bersama wanita yang silih
berganti. Itulah yang menjadi penyebab kenapa dia melengahkan urusan penyerahan
jawatan CEO TG Holdings kepada anak muda itu. Kerana sikap sosial tahap
melampau anaknya itu.
Lagipun
isterinya, Tengku Maria awal-awal lagi sudah memberi peringatan. Jangan
sesekali menyerahkan TG Holdings pada Tengku Iskandar andai perangai anaknya
itu belum berubah. Tengku Maria memang cukup tidak berkenan dengan perangai
sosial anak mereka ini. Sehinggakan isteri kesayangannya itu cukup bertegas
pada Tengku Iskandar. Siap dengan ugutannya lagi. Kelakar juga bila
mengenangkan ugutan isterinya pada anak teruna mereka itu. Sampai Tengku
Iskandar terpaksa akur pada setiap arahan mummynya.
Bunyi telefon
bimbit Tengku Iskandar yang berkumandang menyentak lamunan Tengku Yusuf. Dia
menyorot anak mata pada wajah tampan si anak. Terkial-kial Tengku Iskandar
menyeluk tangan ke poket seluar yang dipakai. Bibir anak terunanya itu mekar
dengan senyuman kala membaca pesanan melalui telefon bimbitnya. Pasti pesanan
dari seorang wanita. Dia sudah cukup arif tentang itu.
“Errr… kalau dah takde apa-apa lagi Is nak mintak diri dulu daddy. Ada janji dengan client.”
Pandai Tengku Iskandar mencari alasan untuk melepaskan diri.
Tengku Haziq
yang mendengar alasan ‘client’ yang
digunakan Tengku Iskandar hanya mencebik. Macamlah dia tak tahu siapa yang
menghantar pesanan. Jika senyum sudah sampai ke telinga, itu tak lain mesti
pesanan dari Fira.
“Ye la. Daddy pun ada kerja nak buat.
Pasal Rey, daddy serahkan pada Is.”
“Baik la daddy. Is keluar dulu.” Setelah berpamitan
dengan Tengku Yusuf, Tengku Iskandar pun melangkah keluar dari bilik mewah yang
bakal didudukinya satu hari nanti.
“Errr… Ziq pun nak keluar jugak la Tengku Daddy.” Tengku Haziq turut bangun. Ada perkara penting lagi yang
perlu dia bincangkan dengan Tengku Iskandar. Perkara yang hanya memerlukan
perbincangan mereka berdua.
“Hmmm… ya la. Ziq nanti tolong-tolonglah
tengokkan Is tu. Kalau nak pecat si Rey tu pun, buatlah dengan cara yang baik.
Ziq tahu ajelah perangai panas baran Is tu. Tengku Daddy tak nak kecoh-kecoh. Biarlah takde sesiapa yang tahu kenapa Rey diberhentikan. Apa pun yang jadi,
Rey pernah memberi sumbangan pada syarikat kita.” Pesan Tengku Yusuf. Dia
percaya anak saudaranya ini pasti boleh mengawal sikap panas baran Tengku
Iskandar.
Antara Tengku
Haziq dan Tengku Iskandar, anak saudaranya ini lebih matang fikirannya
berbanding Tengku Iskandar. Tengku Haziq tidak bertindak secara melulu.
Sentiasa bertindak mengikut akal yang waras. Malah anak muda ini juga tidak
gemar bersosial. Tidak pernah dia mendengar cerita kurang elok tentang Tengku
Haziq. Kerana itu dia terlalu menyayangi Tengku Haziq. Anak itu sudah dianggap
seperti anak kandungnya sendiri. Apatah lagi Tengku Haziq kehilangan kasih ibu
dan bapanya ketika berusia lima tahun lagi. Dia dan Tengku Maria la ayah dan
ibu anak muda itu.
Tengku Haziq
mengangguk. “Insya-ALLAH Tengku Daddy.
Ziq akan cuba bantu apa yang patut. Assalamualaikum.”
“Waalaikumusalam.”
Tengku Haziq
melangkah keluar. Bagaikan lipas kudung dia mengejar langkah Tengku Iskandar
yang sudah menonong laju menuju ke dalam lif.
“Is… aku nak
bincang dengan kau pasal Aisyah.” Ujar Tengku Haziq sebaik dia dan Tengku
Iskandar melangkah masuk ke dalam lif. Hanya mereke berdua di situ. Disebabkan
itulah dia berani membuka cerita tentang Aisyah. Isteri dalam rahsia Tengku
Iskandar.
Satu dengusan
kasar lahir dari mulut Tengku Iskandar. Bosan bila Tengku Haziq sudah mula mahu
membuka topik mengenai perempuan kampung itu.
“Aku takde masa nak bincang pasal perempuan
kampung tu. Lagipun aku tak suka cakap pasal dia.”
Pintu lif
terbuka di tingkat Sembilan. Tingkat yang mana menempatkan bilik dan bahagian
Tengku Iskandar sebagai Timbalan CEO TG Holdings. Dia melangkah keluar diikuti
Tengku Haziq. Waktu ini bicara mereka terhenti seketika. Hendak berbicara
tentang Aisyah, mereka tidak boleh kecoh-kecoh. Cerita pernikahan Tengku
Iskandar dan Aisyah hanya Tengku Haziq saja yang tahu.
Setelah masuk
ke dalam bilik serba mewah Tengku Iskandar, daun pintu ditutup rapat. Tengku
Haziq perlu juga membincangkan hal Aisyah dengan Tengku Iskandar. Sebagai
suami, abang sepupunya itu perlu mengambil tahu kebajikan isterinya. Takkan nak
biarkan Aisyah macam itu saja.
“Kau tak boleh
buat Aisyah macam ni Is. Kasihan dia. Kau tahu tak semalam dia nyaris pitam sebab
lapar? Kondo kau tu… satu barang dapur pun takde. Kalau iye pun kau tak sukakan dia, janganlah buat dia macam tu.
Kasihan tau.”
Tengku Iskandar
mendengus. “Aku mana tahu barang dapur dah habis. Yang dia tak bagitau aku tu
kenapa? Dia jugak yang bodoh!”
Geram sungguh
Tengku Haziq mendengar jawapan selamba biawak abang sepupunya itu. Macam mana
Aisyah nak bagitau kalau wajah Tengku Iskandar asyik mencuka dua puluh empat
jam? Tentulah gadis itu takut padanya.
“Kau dah tahu
dia tu jenis pendiam, sepatutnya kau kenalah tanya apa yang dia perlukan dekat
kondo kau tu. Bukannya main lepas tangan macam tu aje.” Balas Tengku Haziq
dalam nada geram.
Jika bukan
memikirkan lelaki yang berada di depannya itu adalah abang sepupunya, sudah
lama agaknya dia menumbuk muka Tengku Iskandar. Bagi sedar sikit lelaki itu
akan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Bukannya asyik keluar berhibur
dengan awek-aweknya yang tak senonoh itu.
“Ziq! Boleh tak
kita jangan cakap pasal perempuan kampung tu. Aku tak suka la! Aku rimas asyik
dengar nama dia. Okey… aku salah! Aku mintak maaf. Lain kali aku akan sediakan
semua barang-barang dapur dalam kondo tu. Puas hati?!”
Bukan itu yang
Tengku Haziq harapkan. Jika boleh dia mahu Tengku Iskandar membahagiakan
Aisyah. Gadis itu selayaknya mendapat kasih sayang daripada Tengku Iskandar.
“Dahlah. Aku
nak keluar. Nak jumpa Fira. Nanti pukul dua aku jumpa kau lagi. Kita kena
bincang pasal kes Rey.” Suara Tengku Iskandar yang tadinya tegang kembali
mengendur. Dengan Tengku Haziq, dia tidak betah hendak marah lama-lama. Walau
lelaki itu merimaskan hidupnya, namun dia amat menyayangi Tengku Haziq. Hanya
Tengku Haziq ‘adik’ yang dia ada di dunia ini. Biar tidak lahir dari rahim ibu
yang sama, tetapi mereka membesar bersama kasih sayang seorang wanita yang
dipanggil mummy.
Seperti yang
Tengku Haziq sangka, kegembiraan Tengku Iskandar tadi pasti berpunca daripada
Fira. Disebabkan itulah lelaki itu kelam-kabut keluar dari bilik Tengku Daddy
tadi. Namun Tengku Haziq malas hendak mengulas lanjut pasal Fira. Biarlah. Itu
urusan peribadi Tengku Iskandar.
“Ya la. Jangan
kau lambat sudah la. Faham aje la kau tu kalau dah jumpa perempuan. Semua benda
penting kau boleh lupa.” Sindir Tengku Haziq. Sinis buunyinya.
Tengku Iskandar
ketawa besar. Bahu Tengku Haziq ditepuk dan dia berkata, “Aku tak akan lupa
la!” kemudian dia pun berlalu pergi. Sudah tidak sabar hendak bertemu dengan
Fira.
AISYAH tersenyum. Berpuas hati dengan kerja yang dilakukannya.
Ruang dapur sudah licin dibersihkan. Begitu juga dengan ruang makan, ruang tamu
dan ruang menonton. Sudah berkilat dan bersinar-sinar. Jika ‘Tengku Harimau’
itu tenung mukanya ke lantai, pasti akan nampak wajahnya dengan jelas.
Aisyah mengesat
peluh. Melakukan kerja-kerja rumah bukanlah satu masalah padanya. Dia memang
sudah biasa melakukan semua ini. Dekat kampung dulu, lagi banyak kerja yang
perlu dia buat. Sampaikan tak cukup tangan dia jadinya. Fasha itu, tak ubah
seperti anak kecil. Buang sampah merata-rata!
Kondominium ini
memang besar. Namun setiap ruang tidaklah sukar untuk dibersihkan. Habuk juga
tidak begitu tebal. Seolah-olah kondo ini selalu dikemas. Rajin juga rupanya
‘Tengku Harimau’ itu mengemas kondonya ini.
Selesai
tugasnya di ruang bawah, Aisyah naik ke atas. Inilah pertama kali dia menjejak
kaki ke tingkat atas. Ada ruang tamu kecil di ruang atas yang menempatkan sofa
berbentuk L. Ringkas saja hiasannya. Tidak seperti ruang tamu bawah yang
dilengkapi perabot-perabot mewah.
Aisyah membuka
bilik yang kedudukannya berhampiran dengan tangga. Nampaknya bilik sederhana
besar ini dijadikan bilik bacaan dan bekerja. Dalamnya terdapat rak yang
menempatkan pelbagai jenis buku. Aisyah sempat mencapai sebuah buku tebal.
Dibelek buku tersebut. Dahinya berkerut-kerut. Ingatkan novel cinta, tetapi
buku itu banyak memberi gambarajah mengenai pembinaan. Dah tu dalam bahasa
English pula. Sepatah haram Aisyah tak faham. Kalau nak baca kenalah dia tengok
kamus sebagai panduan. Bukannya dia tak faham langsung Cuma bahasa English
bukanlah bahasa hariannya. SPM dulu pun dia hanya dapat C saja bagi mata
pelajaran tersebut. Aisyah meletakkan semula buku tersebut di dalam rak.
Penuh
berhati-hati, dia membersihkan bilik bacaan. Takut tersalah pegang dan letak,
rosak pula kerja-kerja Tengku Iskandar. Nanti tak pasal-pasal dia kena tengking
lagi. Bukannya dia tak faham perangai ‘Tengku Harimau’ itu yang gemar mencari
salahnya. Salah sikit pun dah kena marah apa lagi kalau dia buat salah besar.
Malah kertas-kertas kerja lelaki itu yang terbentang di atas meja pun tidak
berani diusik.
Selesai membersihkan
bilik bacaan, Aisyah melangkah ke bilik ke dua. Bilik di bahagian tengah ini
nampaknya dikhaskan untuk tetamu yang datang. Bertemakan warna hijau dan putih,
bilik sederhana besar ini kelihatan begitu indah sekali. Ada sebuah katil
bersaiz King dan meja hias disediakan. Turut ada sebuah almari jenis gelangsar
dan sofa kecil berwarna hijau. ‘Tengku Harimau’ memang pandai dalam memilih
padanan warna. Macam biliknya yang digandingkan warna putih dan pink. Macam
tahu-tahu saja bakal penghuni bilik bawah itu merupakan seorang perempuan.
Mentang-mentang bilik khas untuk pembantu rumah yang memang sinonim dengan kerja
orang perempuan., ‘Tengku Harimau’ itu padankan gandingan dua warna tersebut.
Dalam bilik ini
terdapat bilik airnya sekali. Menjenguk ke dalam bilik air, Aisyah mendapati
ada tab mandi yang tersedia. Tidak seperti biliknya yang hanya ada shower sahaja. Melihat tab mandi
tersebut, otak Aisyah mula merangka sesuatu. Dia teringin hendak mandi berendam
di dalamnya. Hendak merasa nikmat mandi dalam tab seperti watak-watak orang
kaya yang dia lihat dalam televisyen. Pasti seronok dapat mandi di situ. Satu
hari nanti dia pasti akan mandi di dalam tab ini. Tunggu masa yang sesuai. Yang
pasti sewaktu ketiadaan ‘Tengku Harimau’. Heheheee….
Aisyah
melangkah ke bilik terakhir setelah kerjanya di bilik ke dua selesai. Daun
pintu yang tertutup rapat dikuak. Tergamam dia melihat ruang dalam bilik
tersebut. Mulutnya membulat akibat rasa terpegun. Jakun sungguh dia melihat
ruang bilik yang besar. Mengalahkan ruang tamu rumahnya di kampung. Malah
perabot yang ada dalam bilik ini juga kelihatan begitu mewah pada pandangannya.
Macam dalam hotel. Tentu harga perabot-perabot ini dalam ratusan ribu ringgit.
Aisyah pandang
sekeliling. Tatkala matanya terpandang gambar Tengku Iskandar yang terpampang
di dinding, dadanya berdebar hebat. Betapa kacaknya lelaki itu bila tersenyum.
Terserlah lesung pipit kecil di tepi bibir sebelah kirinya. Giginya juga
tersusun dengan rapi. Cukup menggoda. Buat seketika, Aisyah hanyut dalam
lamunannya. Tengku Iskandar benar-benar memukau!
‘Di larang memandang wajah Tengku Iskandar!’
Mengenangkan
peraturan itu, cepat Aisyah menggeleng-gelengkan kepalanya. Terlupa seketika
dia pada peraturan yang Tengku Iskandar tetapkan untuk dia. Mujurlah yang dia
pandang hanya sekeping gambar tidak bernyawa. Jika orangnya… sudah pasti dia
kena tengking.
Tidak mahu
berlengah, Aisyah segera mengemas bilik milik ‘Tengku Harimau’ itu. Bilik serba
mewah seorang lelaki yang sombong dan bongkak! Ketika kakinya melangkah masuk
ke dalam kecil yang terdapat di dalam bilik tersebut, matanya kembali bulat
seperti biji guli. Kakinya melangkah dengan mata yang liar memandang
sekeliling. Bilik kecil itu dipenuhi pakaian berjenama dan kasut-kasut
berkualiti milik Tengku Iskandar. Tak ubah seperti butik mewah. Aisyah sungguh
kagum dengan pilihan Tengku Iskandar. Ternyata lelaki itu memang seseorang yang
begitu mementingkan kemewahan.
Tiba-tiba
Aisyah mencebik. ‘Tengku Harimau’ itu memang kaya tetapi sayang dia seorang
yang miskin dengan budi bahasa.