W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Khamis, 27 Februari 2014

ISTERI DALAM SANGKAR 24





Bab 24


GELAK tawa Aisyah dan Tengku Haziq kedengaran. Bukan main meriah lagi mereka berdua bergelak tawa. Membuatkan hati lelaki Tengku Iskandar dicarik rasa cemburu. Benci sungguh dia mendengar gelak tawa itu. Rasa mahu saja dia menghalau Tengku Haziq keluar dari kondonya ini. Hujung minggu beginilah Tengku Haziq datang bertandang. Kacau daun betul!
Gelak tawa yang semakin mesra rentaknya itu benar-benar menyeksa hati Tengku Iskandar. Pantas dia bangun dari duduknya. Tak senang hati mendengar tawa dua insan di ruang dapur. Entah apa yang seronok sangat sampai ketawa tak ingat dia ada di ruang tamu.
“Ehem!” Tengku Iskandar memulakan dengan deheman. Keras bunyinya.
Serentak itu tawa Aisyah mati. Manakala Tengku Haziq memusingkan kepala memandang Tengku Iskandar. Kelat sungguh wajah abang sepupunya itu. Macam baru menelan sebiji mangga muda saja.
“Dah siap ke?” Tengku Iskandar bertanya. Nadanya serius dengan wajah tanpa segaris senyum. Matanya merenung tajam wajah Aisyah. Membuatkan gadis itu menjatuhkan anak matanya ke arah lain.
“Kejap lagi.” Aisyah membalas lembut. Tangannya ligat memotong buah apple yang dibawa oleh Tengku Haziq.
“Kejap! Kejap! Kau ni buat air pun lambat macam siput! Tahu tak aku dah haus ni?!” Suara Tengku Iskandar sudah meninggi. Kehadiran Tengku Haziq langsung tidak diendahkan. Sebenarnya dia bukanlah haus sangat pun. Cuma dia menjadi geram mendengar gelak tawa mesra antara Aisyah dan Tengku Haziq. Itu yang buat dia naik marah dan rasa ingin menjerit. Namun hatinya terpaksa diarah untuk bersabar. Tidak mahu Tengku Haziq menghidu amarahnya yang berbaur rasa cemburu.
“Belajarlah bersabar sikit Is. Bukannya lama lagi pun. Takkan itu pun dah marah-marah. Kan Aisyah tengok potong buah apple tu.” Tengku Haziq menyampuk. Kurang senang bila Tengku Iskandar berkasar dengan Aisyah. Dari awal perkenalan mereka, tidak pernah dia mendengar nada lembut Tengku Iskandar pada Aisyah. Asyik hendak menengking saja.
“Aku haus! Pasal tu aku marah!” Balas Tengku Iskandar geram. Intonasi suaranya masih tinggi dengan mata yang tak lepas merenung tajam paras Aisyah. Gadis itu nampak manis sekali bertudung Ariani. Tanpa solekan sedikit pun, wajah Aisyah tetap cantik. Membuatkan hatinya dipalu rasa cemburu yang tak bertepi. Cemburu pada Tengku Haziq yang bisa membuat Aisyah bergelak tawa.
Tengku Iskandar berlalu ke ruang tamu semula. Sakit hatinya semakin menjadi-jadi. Jika bukan memikirkan Tengku Haziq itu adik sepupunya, mahu rasanya dia menendang Tengku Haziq keluar. Benci dan cemburu bergabung menjadi satu. Memang dia pelik dengan perasaannya ini. Namun dia tidak dapat menafikan betapa dia tak suka melihat keakraban Tengku Haziq bersama Aisyah. Sedangkan dia tahu mustahil untuk Tengku Haziq memikat Aisyah kerana lelaki itu tahu status Aisyah sebagai seorang isteri. Masakan Tengku Haziq yang tahu fasal hukum agama itu akan jatuh cinta pada isteri orang.
“Macam orang datang bulan.” Komen Tengku Haziq setelah Tengku Iskandar menghilangkan diri dari ruang dapur. “Bukan susah mana pun kalau haus. Ambiklah air sendiri. Ini tidak, sengaja nak cari salah orang.” Tambahnya lagi.
Aisyah yang mendengar komen Tengku Haziq ketawa kecil. Benar kata Tengku Haziq, ‘Tengku Harimau’ itu tak ubah seperti orang perempuan yang datang bulan. Malah tak seteruk orang perempuan datang bulan. Mood Tengku Iskandar sukar diramal. Sekejap okey. Sekejap lagi K.O!
Sebenarnya Aisyah pelik dengan perangai Tengku Iskandar sejak akhir-akhir ini. Lelaki itu sering berubah-ubah. Kadang-kala perangainya membuatkan Aisyah sesak nafas. Apatah lagi bila Tengku Iskandar datang dekat padanya. Renungan dan tingkah lelaki itu membuatkan rentak jantungnya tidak menentu. Dia tidak tahu mengapa Tengku Iskandar bertindak begitu. Cuma apa yang dia pasti, hatinya mula menyimpan rasa cinta buat suaminya itu. Berkali dia menolak tapi nyata dia tidak berdaya. Dia benar-benar cintakan ‘Tengku Harimau’. Lelaki garang nak mampus!
Aisyah sedar tidak sepatutnya dia menyimpan perasaan ini pada Tengku Iskandar. Dia sedar siapa dirinya. Dia bukanlah sesiapa di mata hati suaminya itu. Dia isteri yang tak ubah seperti perempuan simpanan. Kehadirannya sekadar menjadi pemuas nafsu Tengku Iskandar. Suatu hari nanti, pasti dia akan dilepaskan bila Tengku Iskandar mulai bosan dengannya. Disebabkan itu dia perlu mengubur perasaan yang semakin hari semakin mekar dalam hatinya ini. Dia tidak mahu virus cinta ini terus merebak dan merebak.
Tanpa sedar, Aisyah melepaskan keluhan.
“Kenapa awak mengeluh?” Tanya Tengku Haziq. Wajah manis bertudung hijau di sebelahnya itu dipandang. Aisyah semakin cantik bila bertudung.
“Hah? Errr… takde apa-apa.” Aisyah menggeleng. Tidak mahu berkongsi apa yang dirasa. Segan jika Tengku Haziq mendapat tahu bahawa dia kini sudah jatuh cinta pada Tengku Iskandar. Lelaki garang yang tak pernah menghargai kehadirannya. Biarlah perasaan itu dia pendam seorang diri.
“Awak fikir pasal Tengku Iskandar ya?” teka Tengku Haziq.
Aisyah telan air liur. Takkan ‘Tengku Kucing’ itu tahu apa yang difikirkannya?
“Awak jangan fikir sangat abang sepupu saya tu Aisyah. Dia tu memang berangin. Kejap okey, kejap lagi K.O. Dekat ofis pun dia macam tu jugak. Saya ni dah lali dengan perangai dia tu. Bercakap bukan nak fikir hati orang. Main lepas aje.” Tambah Tengku Haziq lagi.
Aisyah tersengih. Lega kerana Tengku Haziq bukanlah ahli nujum yang bisa membaca isi hatinya. Jika tidak, memang malulah dia pada Tengku Haziq. Rahsia hatinya ini biarlah hanya dia dan Allah saja yang tahu.
“Takpelah awak. Saya dah biasa dengan semua ni.”
Mendengar kata-kata Aisyah, Tengku Haziq sekadar mengangguk. Dia tahu kehidupan Aisyah disamping Tengku Iskandar. Sering diherdik dan dimarah. Entah sampai bila gadis manis itu akan bertahan. Andai satu hari nanti Tengku Iskandar melepaskan Aisyah, dia sudi mengisi kekosongan itu. Biarlah dia menjadi pelindung Aisyah.
Astagfirullah al’azim.’ Tengku Haziq beristigfar dalam hati. Berdosa memikirkan hal tersebut. Hakikatnya Aisyah itu masih isteri Tengku Iskandar. Tidak seharusnya dia menyimpan perasaan pada isteri abang sepupunya sendiri. Namun… rasa cinta ini tiada siapa dapat menduga.
Ting tong! Ting tong!
Bunyi lonceng pintu kedengaran.
“Aisyah! Tengok siapa yang datang!” Jerit Tengku Iskandar yang berada di ruang tamu.
Aisyah menurut perintah. Laju dia bergerak ke muka pintu. Sempat dia menjeling Tengku Iskandar yang duduk bersenang-lenang di ruang tamu. Bukan main berlagak lagi lelaki itu. Mentang-mentang ini rumah dia, buka pintu yang setakat beberapa langkah dari tempat dia duduk itu pun tidak mahu. Dasar pemalas!
Sebaik muka pintu dibuka, terpacul dua wajah yang begitu asing pada pandangan Aisyah.
Errr… nak cari siapa ye?” Aisyah bertanya pada dua wanita anggun di hadapannya.
Dahi Tengku Maria berkerut. Dari mana datangnya perempuan bertudung itu? Siapa dia?
“Awak ni siapa?” Tengku Maria tidak menjawab. Malah dia memberikan soalan yang bermain dalam fikirannya kepada Aisyah. Hatinya mulai berasa tidak sedap memandang wajah perempuan di dalam kondo anaknya. Entah-entah perempuan ini teman wanita anaknya. Perempuan sekarang, nama saja pakai tudung tapi perangai kadang-kala mengalahkan orang tidak bertudung. Nauzubillah!
Errr… saya… saya….” Gugup Aisyah jadinya. Tidak tahu hendak jawab apa. Apatah lagi pandangan dua wanita itu menggerunkan hatinya. Siapa mereka ini?
“Siapa tu?” Tengku Iskandar yang sudah mendekati muka pintu bertanya.
Kala dia terpandangkan wajah mummynya bersama Puteri Waiduri, dunianya terasa kelam. Terkejut bukan kepalang dengan kehadiran yang tidak diundang. Debaran didadanya mula menggila. Macam mana mummynya boleh berada di sini bersama Puteri Waiduri? Mampuslah dia jika rahsia yang disimpannya terbongkar.
Dia mengerling Aisyah. Gadis itu tunduk memandang lantai. adakah Aisyah telah terlepas cakap pada mummy? Aduhai… ini yang buat hidupnya tidak keruan.
Errrmummy?!” Tengku Iskandar mendekati Tengku Maria. Tangan wanita bergaya itu disalam lalu dicium penuh hormat. Hatinya mula tidak menentu dengan kedatangan mummy.
“Kenapa datang tak bagitau Is?”
Pertanyaan Tengku Iskandar berubah air muka Tengku Maria. “Mummy tak boleh datang ke sampai kena bagitau Is dulu?” soal Tengku Maria dengan wajah masam.
Eh… bukan macam tu mummy. Mummy boleh datang bila-bila masa je. Cuma kalau mummy bagitau Is awal-awal mummy nak datang, dapat jugak Is sediakan apa yang patut.”
“Tak payah nak sedia apa-apa. Mummy datang nak jenguk Is. Bukan nak suruh Is sediakan apa-apa yang patut untuk mummy.” Balas Tengku Maria.
Tengku Iskandar tersengih. Dia mempelawa Tengku Maria masuk ke dalam. Tengku Maria saja yang dilayan. Sementara Puteri Waiduri langsung tidak diendahkan. Hanya Aisyah yang menjemput Puteri Waiduri masuk ke dalam.
“Siapa perempuan ni?” tanpa berselindung, Tengku Maria bertanya. Hatinya masih tidak sedap melihat perempuan asing ada di dalam kondo anaknya ini. Bagaikan ada sesuatu yang berlaku.
Errr… dia….”
Renungan tajam Tengku Maria menyebabkan Tengku Iskandar kalut.
Eh… Tengku Mummy? Bila sampai?” suara Tengku Haziq menyelamatkan Tengku Iskandar.
Tengku Maria berpaling. Terkejut melihat kelibat Tengku Haziq ada sekali di situ. Anak muda yang kaya dengan budi bahasa itu menyalam tangannya penuh hormat.
Mummy baru sampai.”
Kepala Tengku Haziq terangguk-angguk. Bibirnya mekar dengan senyuman. Ketika di dapur tadi dia terdengar orang datang. Cuma dia tak sangka yang datang itu adalah Tengku Maria bersama Puteri Waiduri.
“Ziq buat apa dekat sini?” tanya Tengku Maria.
“Ziq datang jenguk Is. Sebab pagi tadi Is call Ziq bagitau dia kurang sihat.” Selamba Tengku Haziq menjawab. Jawapan yang nyata satu pembohongan. Tengku Iskandar tiada menelefonnya. Malah abang sepupunya itu juga sihat-sihat belaka. Tetapi dalam keadaan begini dia perlu berbohong demi menutup rahsia Tengku Iskandar dan Aisyah.
Jelingan tajam Tengku Maria pada wajah Aisyah sudah cukup membuktikan bahawa Tengku Mummynya itu tidak senang dengan kehadiran Aisyah di situ.
“Ha… betul tu mummy! Is kurang sihat. Tu yang Ziq datang dengan girlfriend dia jenguk Is. Ni la girlfriend Ziq tu.” lancar saja Tengku Iskandar mendapat idea. Memperkenalkan Aisyah sebagai teman wanita Tengku Haziq. Dia turut berlakon dengan terbatuk-batuk. Kononnya dia memang dalam keadaan kurang sihat.
Aisyah dan Tengku Haziq sama-sama terkejut dengan kata-kata Tengku Iskandar. Namun mereka berjaya mengawal ekspresi wajah. Tidak mahu rasa terkejut tergambar dan menyebabkan Tengku Maria mengesyaki sesuatu.
Memang Tengku Haziq berbohong tapi dia tak sangka Tengku Iskandar memperkenalkan Aisyah sebagai teman wanitanya. Gila apa abang sepupunya itu? Kalau ya pun nak lepaskan diri, janganlah sampai bagi jawapan begitu. Nanti apa pula tanggapan Tengku Maria padanya. Haish! Inilah yang susah kalau nikah tanpa pengetahuan keluarga.
Dalam hati Aisyah cukup sedih dengan tindakan Tengku Iskandar memperkenalkan dia sebagai teman wanita Tengku Haziq. Salahkah untuk lelaki itu mengakui bahawa dia ini isterinya? Buruk sangatkah dia ini? Hati Aisyah dijentik rasa hiba.
Kening Tengku Maria terjongket ala-ala Ziana Zain. Wajah Tengku Haziq dipandang. Mahukan jawapan dari mulut anak itu.
Isyarat mata daripada Tengku Iskandar membuatkan Tengku Haziq terpaksa mengangguk.
“Ya… ya… ini teman wanita Ziq. Siti Aisyah namanya mummy.”
Mendengar jawapan yang terpacul dari mulut anak muda itu, hati Tengku Maria lega. Senyumannya melebar. Tak sangka Tengku Haziq yang agak pendiam dan kuat bekerja itu sudah punya teman wanita. Manis orangnya!
Ye ke? kenapa tak bagitau mummy hal ni? Ziq dengan Is ni suka sangat buat mummy terkejut. Mummy dah mula fikir yang bukan-bukan tadi.”
Tengku Maria beralih pada Aisyah. Wajah itu dipandang. Berdosa pula dia kerana bersangka buruk pada gadis bertudung itu tadi. Bukannya dia suka bersangka buruk pada orang. Cuma sebagai seorang ibu dia amat takut andai anaknya bersekedudukan dengan perempuan bukan mahram. Malu jika hal itu diketahui orang. Mana dia nak letak mukanya nanti. Dengan sikap Tengku Iskandar, dia cukup tidak percaya jika ada perempuan lain di dalam kondo ini. Pasti ada benda yang tidak baik berlaku.
“Maaflah. Auntie fikir yang bukan-bukan pasal Aisyah tadi. Maafkan auntie ye?”
Aisyah sekadar tersenyum nipis. Dia tidak menyalahkan wanita itu jika berfikir yang buruk. Memang logik seorang ibu berfikiran begitu kerana bimbangkan anaknya. Apatah lagi anak yang perangai buruk seperti ‘Tengku Harimau’. Memanglah kerisau si ibu berganda-ganda.
“Tak mengapa auntie.”
Lega rasa hati Tengku Maria mendengar jawapan Aisyah. Lembut dan sopan tingkah gadis itu menarik hatinya.
“Pandai Ziq pilih teman wanita. Cantik, manis dan sedap mata mummy pandang.” Puji Tengku Maria. Wajah anak muda yang telah dijaga sedari kecil itu dikerling. Ada rona merah pada wajah putih cerah Tengku Haziq. Tentu malu dengar usikannya. Maklum, buah hati kena puji katakan.
Tengku Haziq tersengih malu. Pujian Tengku Maria menyebabkan hatinya bergetar hebat. Bagaikan benar Aisyah itu adalah teman wanitanya. Sedangkan Tengku Iskandar yang berdiri di sebelah sudah diserang api cemburu. Manakala Puteri Waiduri yang berdiri bersebelahan dengan Aisyah sudah tidak senang hati. Cemburu bila ada wanita lain mendapat perhatian Tengku Maria.
“Oh ya Tengku Mummy, Ziq dengan Aisyah dah kena nak pergi ni. Kami nak ke KLCC. Aisyah kata nak beli buku.”
Tiba-tiba timbul satu idea di benak Tengku Haziq. Inilah peluang untuk dia membawa Aisyah keluar berjalan-jalan. Selalu usaha untuk membawa Aisyah keluar gagal kerana Tengku Iskandar tidak mengizinkan. Tetapi hari ini dia yakin dapat keizinan daripada abang sepupunya itu untuk membawa Aisyah keluar.
Tajam mata Tengku Iskandar merenung Tengku Haziq. Cadangan gila yang tak masuk dek akal!
“Tak boleh!” pantas dia bersuara.
“Aik… Is ni kenapa? Kenapa tiba-tiba tak boleh pulak? Ziq nak keluar berdua dengan Aisyah tu.” Tengku Maria menyampuk. Tajam matanya memandang si anak.
“Ma… maksud Is tak boleh sebab Is kan tak sihat. Ziq kenalah duduk sini jaga Is.” Tengku Iskandar memberi alasan.
“Kamu tu dah besar panjang. Tak perlu nak suruh Ziq jaga kamu. Biar Ziq keluar dengan Aisyah. Mummy dengan Wai ada. Kami boleh jaga Is.” Tegas Tengku Maria.
“Kalau macam tu kami pergi dulu ya.” Senang hati Tengku Haziq dapat keluar dengan Aisyah. Tangan Tengku Maria dicium hormat. Kemudian dia bersalaman pula dengan Tengku Iskandar.
“Jangan balik lambat sangat.” Sempat Tengku Iskandar berbisik ke telinga Tengku Haziq.
Tengku Haziq mengangguk dan tersenyum.
“Jom Aisyah.”
Aisyah yang jadi serba salah terpaksa akur menurut. Jika dia menolak, tentu Tengku Maria mengesyaki sesuatu. Sebelum berlalu, dia sempat bersalaman dengan wanita anggun itu. Dan ketika Tengku Maria membawa dia ke dalam pelukannya, hatinya tiba-tiba dipalu rasa sayu. Belum pernah dia merasai pelukan itu setelah dia kehilangan arwah emak lima tahun lalu.
‘Mak… Aisyah rindukan mak.’ Hatinya merintih pilu.

“TERIMA KASIH.” Ucap Aisyah sebaik saja dia dengan Tengku Haziq keluar beriringan dari kedai buku Kinokuniya. Lelaki itu berbesar hati membelikan dia tiga buah novel baharu hari ini. Berkali-kali dia menolak namun Tengku Haziq tetap juga mahu membelikan novel untuk dia. Tidak mahu menghampakan hati lelaki itu, dia akur menerima.
“Sama-sama.” senang hati Tengku Haziq membalas. Bibirnya mekar dengan senyuman. Seronok bukan kepalang dapat keluar berdua dengan Aisyah. Sudah lama dia berhajat mahu keluar bersama Aisyah tetapi tidak pernah mendapat keizinan daripada Tengku Iskandar.
Mengenangkan Tengku Iskandar, abang sepupunya itu sudah lapan kali menghantar SMS. Berpesan agar dia tidak menghantar Aisyah dengan lambat. Risau bukan main bila Aisyah keluar rumah. Tengku Iskandar lagi suka menjadikan Aisyah umpama orang tahanan dalam kondo mewahnya itu.
Aisyah berjalan tanpa bicara. Fikirannya menerewang mengenangkan Tengku Iskandar. Apa yang lelaki itu sedang lakukan? Kala fikiran singgah pada si jelita bernama Puteri Waiduri, hatinya berdebar hebat. Siapa gerangannya wanita bergaya moden yang datang bersama Tengku Maria itu? Pandangannya pada Tengku Iskandar kelihatan lain. Bagaikan menyata isi hati. Aisyah nampak dan perasan akan hal itu.
Mungkinkah Puteri Waiduri teman wanita Tengku Iskandar? Terlintas persoalan itu di benak Aisyah. Namun dia tiada jawapan. Lantas tanpa sedar dia mengeluh.
“Kenapa awak mengeluh?”
“Hah? Errr… takde apa-apa tengku.” Aisyah cuba untuk tersenyum walaupun dia tahu senyumannya agak sumbang. Hatinya tidak keruan memikirkan siapa Puteri Waiduri di hati Tengku Iskandar. Telah diusir rasa itu tetapi dia tidak bisa menafikan rasa sayangnya pada si suami.
“Aisyah… please. Jangan panggil saya tengku. Dah lama kita kenal. Awak masih nak bertengku-tengku dengan saya. Rasa macam ada sesuatu yang menghalang hubungan kita. Awak dah jadi sebahagian dari keluarga saya. Awak tak patut nak bertengku-tengku lagi. Panggil saja abang. Lagipun saya memang lagi tua dari awak.”
Mendengar permintaan Tengku Haziq itu, Aisyah jadi berat mulut hendak menyebutnya. Segan hendak memanggil Tengku Haziq dengan panggilan ‘abang’.
“Tapi… tengku….”
“Kalau janggal nak panggil abang, panggil aje Abang Haziq. Boleh?” wajah Tengku Haziq begitu mengharap agar Aisyah memanggilnya dengan panggilan tersebut.
Lantas Aisyah mengangguk. “Baiklah tengku… eh, Abang Haziq.” Janggal lidahnya menyebut panggilan baharu itu.
Tengku Haziq tersenyum senang. “Takpe, awal-awal ni memanglah awak rasa pelik sikit. Nanti dah lama-lama tentu awak dah biasa dengan panggilan tu.”
Aisyah sekadar tersenyum manis.
“Aisyah!”
Laungan satu suara mematikan langkah Aisyah dan Tengku Haziq.
“Aisyah!”
Sekali lagi namanya dipanggil. Menyebabkan Aisyah berpaling ke belakang. Alangkah terkejutnya dia melihat tuan punya badan yang memanggil namanya. Tak sangka boleh bertemu di sini setelah enam bulan berlalu.
Bibir Aisyah merekah dengan senyuman.
“Aisyah kan?” Walaupun gadis yang berdiri di hadapannya ini bertudung, tetapi dia masih mengenali wajah itu.
Aisyah mengangguk. Matanya mula berkaca. Rindu pada sahabat baiknya itu begitu menggebu. Lantas tubuh Ros diraih dalam pelukan.
“Rindunya aku dekat kau Ros.” Luah Aisyah. Air mata sudah menitis keluar.
“Masya-Allah Aisyah. Mana kau menghilang? Dah lama aku cari kau.” Ujar Ros pula. Hatinya turut dipalu rasa hiba. Sudah lama dia mencari Aisyah. Baru kini mereka bertemu.
Ros tahu Aisyah sudah berkahwin. Namun dia tidak tahu bagaimana perkahwinan itu boleh berlangsung sedangkan dia cukup tahu Aisyah tidak pernah rapat dengan mana-mana lelaki. Pasti ada sesuatu yang berlaku malam itu sehingga menyebabkan Aisyah terpaksa berkahwin dengan seorang lelaki kota dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Ros yakin dan teramat yakin!
Pelukan dileraikan. Masing-masing basah dengan air mata. Pertemuaan yang tak pernah diduga.
“Aku mintak maaf Ros. Aku tak sempat jumpa kau waktu tu.” pinta Aisyah.
Ros mengangguk-angguk. “Tak mengapa. Aku faham situasi kau. Cuma aku terkilan sangat tak dapat nak berkongsi rasa dengan kau Aisyah. Aku ingatkan aku dah tak jumpa kau lagi.”
Ros mengesat air mata. Jarinya bertaut dengan jari Aisyah. Diperhatikan keadaan teman baiknya itu. Penampilan Aisyah sudah berubah. Tidak lagi berbaju kurung seperti di kampung dulu. Yang pasti, Aisyah kini sudah tampil dengan tudung di kepala. Alhamdulillah! Perubahan yang baik.
“Kau makin cantik Aisyah.” Puji Ros bersama senyuman.
Aisyah tersenyum. “Kau pun apa kurangnya. Dari dulu sampai sekarang, tetap nampak cantik.”
Mata Ros beralih pada jejaka kacak yang berdiri di belakang Aisyah. Kemudian bibirnya terukir sebuah senyuman. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Aisyah. Lalu berkata sesuatu. “Hensemnya suami kau Aisyah. Meletup!”
Nampaknya Ros sudah salah faham. Tengku Haziq disangka suami Aisyah.
“Hisy… dia bukan suami aku la.” Balas Aisyah. Juga dalam nada berbisik.
Bulat mata Ros mendengar jawapan tersebut. “Habis tu dia siapa?”
“Dia sepupu suami aku.” Balas Aisyah kemudian dia berpaling pada Tengku Haziq. Lelaki itu begitu setia di sisinya. Tak lekang bersama senyuman manis.
“Ros… kenalkan ini Tengku Haziq. Tengku… eh, Abang Haziq ini kawan baik Aisyah kat kampung, Ros Eliza.” Aisyah saling memperkenalkan dua manusia yang belum pernah bersua muka itu.
Tengku Haziq dan Ros saling berbalas senyum.
Tiba-tiba telefon bimbit milik Aisyah berdering. Kelam-kabut dia mencari telefon bimbit di dalam beg. Nama yang tertera pada skrin mendebarkan hatinya. Tengku Iskandar! Lantas dia menjarakkan kedudukan daripada Tengku Haziq dan Ros.
“Dah pukul berapa ni? Dah tak reti nak balik ke rumah? Seronok sangat kat luar tu sampai tak ingat balik langsung?” sergah Tengku Iskandar tanpa salam.
Kasar suara Tengku Iskandar memaksa Aisyah menjarakkan telefon bimbit dari telinga yang dilapisi tudung.
‘Hisy… ‘Tengku Harimau’ ni, langsung tak pandai nak kasi salam. Main jerit aje. Memang sebijik macam harimau!’ Hati Aisyah menggumam.
“Assalamualaikum… saya dah nak balik ni.” walaupun hatinya membungkam marah dengan sikap Tengku Iskandar yang tak pernah nak bagi salam itu, namun Aisyah tetap cuba berlembut.
Tengku Iskandar dihujung sana terdiam seketika. Kelembutan bicara Aisyah memukul hati lelakinya.
“Hmmm… waalaikumusalam! Dah! Balik cepat. Aku dah lapar ni. Tak makan dari tadi.”
Tut… tut… tut….
Usai menyudahkan kata-katanya, Tengku Iskandar laju memutuskan talian.
Aisyah mengeluh. Entah apa-apa Tengku Iskandar itu. Pembuka kata tak bagi salam, pengakhirannya juga sama. Macam tak belajar agama!

SAAT kakinya melangkah masuk ke dalam kondo, hati Aisyah dipalu rasa pelik. Keadaan kondo ketika itu agak gelap gelita tanpa cahaya lampu. Takkan suaminya tidak membayar bil elektrik? Tak masuk dek akal.
Setelah memasukkan kasut yang dipakai ke dalam rak kasut, dia melangkah ke ruang tamu. Suara orang sedang bercakap-cakap juga kedengaran. Tentu suara-suara dari rancangan yang tersiar di televisyen. Aisyah yakin itu kerana cahaya samar yang kelihatan dari ruang menonton menembusi ruang tamu yang gelap.
Hairan juga dia dengan Tengku Iskandar. Untuk apa agaknya lelaki itu berada dalam keadaan gelap seperti ini? Semakin hari dia semakin pelik dengan sikap Tengku Iskandar yang sukar dibaca. Malas memikirkan perihal Tengku Iskandar, Aisyah meneruskan langkah untuk menuju ke biliknya.
“Baru sekarang ingat nak balik rumah? Tahu tak sekarang ni dah pukul berapa?” tiba-tiba suara Tengku Iskandar yang menyergah kasar mengejutkan Aisyah. Nasib baik dia tak melatah.
Aisyah jerling jam tangan pemberian Tengku Iskandar padanya tiga bulan lepas. Baru pukul tujuh empat puluh lima minit malam.
“Hoi! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” entah apa yang merasuk Tengku Iskandar, dia meluru ke arah Aisyah lalu menarik tudung gadis itu.
Bukan kepalang Aisyah terkejut dengan tindakan Tengku Iskandar. Sudah lama lelaki itu tidak berkasar sebegitu rupa padanya. Namun malam ini Tengku Iskandar seolah-olah lelaki pertama yang dikenalinya dulu. Lelaki yang penuh dengan kekejaman.
Aisyah mengangguk. Renungan tajam Tengku Iskandar padanya cukup mengerunkan.
“Kalau dah tahu hari dah malam, kenapa tak balik awal? Kau suka la ya dapat berpelesiran dekat luar sana! Itu yang kau mahu kan?!” suara Tengku Iskandar memetir memenuhi ruang tamu.
Aisyah menggeleng kepala. Takut sungguh dia melihat tingkah Tengku Iskandar malam ini. Entah apa yang telah merasuk Tengku Iskandar sehingga jadi segarang ini? Dia benar-benar ketakutan.
Melihat kebisuan Aisyah, memanaskan lagi suhu amarah Tengku Iskandar. Otaknya mula membayangkan sesuatu yang indah terjadi antara Aisyah dan Tengku Haziq. Tahap cemburunya sudah sampai ke tahap paling tinggi. Pantas dia mengheret tangan Aisyah untuk naik ke atas. Dia mahu hubungan intim dengan gadis itu.
“Tengku tolonglah jangan buat macam ni.” rayu Aisyah. Dia dapat mengagak apa yang dimahukan suaminya itu. Jika mahukan hubungan suami isteri sekalipun, biarlah ia berlangsung dalam keadaan baik. Bukan dalam keadaan dia dipaksa begini.
Suara Aisyah mematikan langkah Tengku Iskandar. Dia berpaling memandang wajah Aisyah.
“Kenapa? Kau tak suka apa yang aku buat? Kau suka apa yang Tengku Haziq buat pada kau, macam tu?! Pasal tu kau dah tak nak layan aku? Kau lebih suka Tengku Haziq yang sentuh kau. Macam tu ka?” tanpa usul periksa, Tengku Iskandar mula membuat tuduhan melulu. Tuduhan yang lebih bersifat cemburu buta.
“Astagfirullah al’azim. Apa tengku cakap ni?” terkejut sungguh Aisyah dengan tuduhan yang Tengku Iskandar tujukan padanya. Seolah dia ini perempuan murahan yang menjual tubuh pada semua lelaki. Airmatanya mengalir ke pipi. Tersiat hatinya dengan tuduhan sekejam itu.
“Saya memang perempuan kampung yang bodoh. Saya takde pelajaran tinggi. Tapi saya masih ada pegangan agama. Saya tahu saya dah bersuami dan berdosa untuk saya keluar bersama lelaki lain. Tapi apa yang saya buat siang tadi adalah untuk menyelamatkan tengku dari Tengku Maria. Saya sedar kedudukan saya. Jika saya tak keluar bersama Tengku Haziq siang tadi, tentu Tengku Maria akan mengesyaki sesuatu. Apa yang saya buat adalah untuk melindungi kedudukan tengku.” Entah dari mana Aisyah mendapat keberanian menuturkan ayat tersebut. Hatinya terluka dengan tuduhan Tengku Iskandar. Tuduhan yang terlalu berat untuk diterimanya.
“Maafkan saya tengku. Saya tahu saya selalu menyusahkan tengku dan tak setaraf dengan tengku. Tapi demi Allah, saya tak buat perkara buruk di belakang tengku. Segala yang saya lakukan demi melindungi maruah suami saya. Cuma itu dan tak seburuk yang tengku fikirkan.” Tambah Aisyah lagi. Airmata deras mengalir.
Kata-kata Aisyah membuatkan Tengku Iskandar mati kata. Terkedu dan terdiam dia dengan apa yang Aisyah perkatakan. Airmata gadis itu juga seolah-olah sembilu tajam yang mencarik tangkai hatinya. Rasa bersalah mula menyerang. Namun ego lelakinya menghalang.
Tanpa ungkapan maaf, dia berlalu naik ke atas. Fikirannya bercelaru. Hatinya mula berbelah bagi.

4 ulasan:

  1. Thanks sis, akhirnya dapat baca panjang sikit kali ni..hehehe..sy memang suka baca novel IDS..sentiasa tunggu n3 terbaru dari sis :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. thanks sebab sudi menunggu setiap n3 IDS..tp buat masa ni akak hentikan IDS utk proses penilaian..

      Padam
  2. Dimana bisa beli novel, saya nak beliii

    BalasPadam