Bab 24
GELAK tawa Aisyah dan Tengku
Haziq kedengaran. Bukan main meriah lagi mereka berdua bergelak tawa.
Membuatkan hati lelaki Tengku Iskandar dicarik rasa cemburu. Benci sungguh dia
mendengar gelak tawa itu. Rasa mahu saja dia menghalau Tengku Haziq keluar dari
kondonya ini. Hujung minggu beginilah Tengku Haziq datang bertandang. Kacau
daun betul!
Gelak tawa yang
semakin mesra rentaknya itu benar-benar menyeksa hati Tengku Iskandar. Pantas
dia bangun dari duduknya. Tak senang hati mendengar tawa dua insan di ruang
dapur. Entah apa yang seronok sangat sampai ketawa tak ingat dia ada di ruang
tamu.
“Ehem!” Tengku
Iskandar memulakan dengan deheman. Keras bunyinya.
Serentak itu
tawa Aisyah mati. Manakala Tengku Haziq memusingkan kepala memandang Tengku
Iskandar. Kelat sungguh wajah abang sepupunya itu. Macam baru menelan sebiji
mangga muda saja.
“Dah siap ke?”
Tengku Iskandar bertanya. Nadanya serius dengan wajah tanpa segaris senyum.
Matanya merenung tajam wajah Aisyah. Membuatkan gadis itu menjatuhkan anak
matanya ke arah lain.
“Kejap lagi.”
Aisyah membalas lembut. Tangannya ligat memotong buah apple yang dibawa oleh
Tengku Haziq.
“Kejap! Kejap!
Kau ni buat air pun lambat macam siput! Tahu tak aku dah haus ni?!” Suara
Tengku Iskandar sudah meninggi. Kehadiran Tengku Haziq langsung tidak
diendahkan. Sebenarnya dia bukanlah haus sangat pun. Cuma dia menjadi geram mendengar
gelak tawa mesra antara Aisyah dan Tengku Haziq. Itu yang buat dia naik marah
dan rasa ingin menjerit. Namun hatinya terpaksa diarah untuk bersabar. Tidak
mahu Tengku Haziq menghidu amarahnya yang berbaur rasa cemburu.
“Belajarlah
bersabar sikit Is. Bukannya lama lagi pun. Takkan itu pun dah marah-marah. Kan
Aisyah tengok potong buah apple tu.” Tengku Haziq menyampuk. Kurang senang bila
Tengku Iskandar berkasar dengan Aisyah. Dari awal perkenalan mereka, tidak
pernah dia mendengar nada lembut Tengku Iskandar pada Aisyah. Asyik hendak
menengking saja.
“Aku haus!
Pasal tu aku marah!” Balas Tengku Iskandar geram. Intonasi suaranya masih
tinggi dengan mata yang tak lepas merenung tajam paras Aisyah. Gadis itu nampak
manis sekali bertudung Ariani. Tanpa solekan sedikit pun, wajah Aisyah tetap
cantik. Membuatkan hatinya dipalu rasa cemburu yang tak bertepi. Cemburu pada
Tengku Haziq yang bisa membuat Aisyah bergelak tawa.
Tengku Iskandar
berlalu ke ruang tamu semula. Sakit hatinya semakin menjadi-jadi. Jika bukan
memikirkan Tengku Haziq itu adik sepupunya, mahu rasanya dia menendang Tengku
Haziq keluar. Benci dan cemburu bergabung menjadi satu. Memang dia pelik dengan
perasaannya ini. Namun dia tidak dapat menafikan betapa dia tak suka melihat
keakraban Tengku Haziq bersama Aisyah. Sedangkan dia tahu mustahil untuk Tengku
Haziq memikat Aisyah kerana lelaki itu tahu status Aisyah sebagai seorang
isteri. Masakan Tengku Haziq yang tahu fasal hukum agama itu akan jatuh cinta
pada isteri orang.
“Macam orang
datang bulan.” Komen Tengku Haziq setelah Tengku Iskandar menghilangkan diri
dari ruang dapur. “Bukan susah mana pun kalau haus. Ambiklah air sendiri. Ini
tidak, sengaja nak cari salah orang.” Tambahnya lagi.
Aisyah yang
mendengar komen Tengku Haziq ketawa kecil. Benar kata Tengku Haziq, ‘Tengku
Harimau’ itu tak ubah seperti orang perempuan yang datang bulan. Malah tak
seteruk orang perempuan datang bulan. Mood
Tengku Iskandar sukar diramal. Sekejap okey. Sekejap lagi K.O!
Sebenarnya
Aisyah pelik dengan perangai Tengku Iskandar sejak akhir-akhir ini. Lelaki itu
sering berubah-ubah. Kadang-kala perangainya membuatkan Aisyah sesak nafas.
Apatah lagi bila Tengku Iskandar datang dekat padanya. Renungan dan tingkah
lelaki itu membuatkan rentak jantungnya tidak menentu. Dia tidak tahu mengapa
Tengku Iskandar bertindak begitu. Cuma apa yang dia pasti, hatinya mula
menyimpan rasa cinta buat suaminya itu. Berkali dia menolak tapi nyata dia
tidak berdaya. Dia benar-benar cintakan ‘Tengku Harimau’. Lelaki garang nak
mampus!
Aisyah sedar
tidak sepatutnya dia menyimpan perasaan ini pada Tengku Iskandar. Dia sedar
siapa dirinya. Dia bukanlah sesiapa di mata hati suaminya itu. Dia isteri yang
tak ubah seperti perempuan simpanan. Kehadirannya sekadar menjadi pemuas nafsu
Tengku Iskandar. Suatu hari nanti, pasti dia akan dilepaskan bila Tengku
Iskandar mulai bosan dengannya. Disebabkan itu dia perlu mengubur perasaan yang
semakin hari semakin mekar dalam hatinya ini. Dia tidak mahu virus cinta ini
terus merebak dan merebak.
Tanpa sedar,
Aisyah melepaskan keluhan.
“Kenapa awak
mengeluh?” Tanya Tengku Haziq. Wajah manis bertudung hijau di sebelahnya itu
dipandang. Aisyah semakin cantik bila bertudung.
“Hah? Errr… takde apa-apa.” Aisyah menggeleng. Tidak mahu berkongsi apa yang dirasa.
Segan jika Tengku Haziq mendapat tahu bahawa dia kini sudah jatuh cinta pada
Tengku Iskandar. Lelaki garang yang tak pernah menghargai kehadirannya. Biarlah
perasaan itu dia pendam seorang diri.
“Awak fikir
pasal Tengku Iskandar ya?” teka Tengku Haziq.
Aisyah telan
air liur. Takkan ‘Tengku Kucing’ itu tahu apa yang difikirkannya?
“Awak jangan
fikir sangat abang sepupu saya tu Aisyah. Dia tu memang berangin. Kejap okey,
kejap lagi K.O. Dekat ofis pun dia macam tu jugak.
Saya ni dah lali dengan perangai dia tu. Bercakap bukan nak fikir hati orang.
Main lepas aje.” Tambah Tengku Haziq lagi.
Aisyah
tersengih. Lega kerana Tengku Haziq bukanlah ahli nujum yang bisa membaca isi
hatinya. Jika tidak, memang malulah dia pada Tengku Haziq. Rahsia hatinya ini
biarlah hanya dia dan Allah saja yang tahu.
“Takpelah awak. Saya dah biasa dengan semua
ni.”
Mendengar
kata-kata Aisyah, Tengku Haziq sekadar mengangguk. Dia tahu kehidupan Aisyah
disamping Tengku Iskandar. Sering diherdik dan dimarah. Entah sampai bila gadis
manis itu akan bertahan. Andai satu hari nanti Tengku Iskandar melepaskan
Aisyah, dia sudi mengisi kekosongan itu. Biarlah dia menjadi pelindung Aisyah.
‘Astagfirullah al’azim.’ Tengku Haziq
beristigfar dalam hati. Berdosa memikirkan hal tersebut. Hakikatnya Aisyah itu
masih isteri Tengku Iskandar. Tidak seharusnya dia menyimpan perasaan pada
isteri abang sepupunya sendiri. Namun… rasa cinta ini tiada siapa dapat
menduga.
Ting tong! Ting
tong!
Bunyi lonceng
pintu kedengaran.
“Aisyah! Tengok
siapa yang datang!” Jerit Tengku Iskandar yang berada di ruang tamu.
Aisyah menurut
perintah. Laju dia bergerak ke muka pintu. Sempat dia menjeling Tengku Iskandar
yang duduk bersenang-lenang di ruang tamu. Bukan main berlagak lagi lelaki itu.
Mentang-mentang ini rumah dia, buka pintu yang setakat beberapa langkah dari
tempat dia duduk itu pun tidak mahu. Dasar pemalas!
Sebaik muka
pintu dibuka, terpacul dua wajah yang begitu asing pada pandangan Aisyah.
“Errr… nak cari siapa ye?” Aisyah bertanya pada dua wanita
anggun di hadapannya.
Dahi Tengku
Maria berkerut. Dari mana datangnya perempuan bertudung itu? Siapa dia?
“Awak ni
siapa?” Tengku Maria tidak menjawab. Malah dia memberikan soalan yang bermain
dalam fikirannya kepada Aisyah. Hatinya mulai berasa tidak sedap memandang
wajah perempuan di dalam kondo anaknya. Entah-entah perempuan ini teman wanita
anaknya. Perempuan sekarang, nama saja pakai tudung tapi perangai kadang-kala
mengalahkan orang tidak bertudung. Nauzubillah!
“Errr… saya… saya….” Gugup Aisyah
jadinya. Tidak tahu hendak jawab apa. Apatah lagi pandangan dua wanita itu
menggerunkan hatinya. Siapa mereka ini?
“Siapa tu?”
Tengku Iskandar yang sudah mendekati muka pintu bertanya.
Kala dia
terpandangkan wajah mummynya bersama
Puteri Waiduri, dunianya terasa kelam. Terkejut bukan kepalang dengan kehadiran
yang tidak diundang. Debaran didadanya mula menggila. Macam mana mummynya boleh berada di sini bersama
Puteri Waiduri? Mampuslah dia jika rahsia yang disimpannya terbongkar.
Dia mengerling
Aisyah. Gadis itu tunduk memandang lantai. adakah Aisyah telah terlepas cakap
pada mummy? Aduhai… ini yang buat
hidupnya tidak keruan.
“Errr… mummy?!” Tengku Iskandar mendekati Tengku Maria. Tangan wanita
bergaya itu disalam lalu dicium penuh hormat. Hatinya mula tidak menentu dengan
kedatangan mummy.
“Kenapa datang
tak bagitau Is?”
Pertanyaan
Tengku Iskandar berubah air muka Tengku Maria. “Mummy tak boleh datang ke sampai kena bagitau Is dulu?” soal Tengku Maria dengan wajah masam.
“Eh… bukan macam tu mummy. Mummy boleh datang
bila-bila masa je. Cuma kalau mummy bagitau
Is awal-awal mummy nak datang, dapat jugak Is sediakan apa yang patut.”
“Tak payah nak
sedia apa-apa. Mummy datang nak
jenguk Is. Bukan nak suruh Is sediakan apa-apa yang patut untuk mummy.” Balas Tengku Maria.
Tengku Iskandar
tersengih. Dia mempelawa Tengku Maria masuk ke dalam. Tengku Maria saja yang
dilayan. Sementara Puteri Waiduri langsung tidak diendahkan. Hanya Aisyah yang
menjemput Puteri Waiduri masuk ke dalam.
“Siapa perempuan
ni?” tanpa berselindung, Tengku Maria bertanya. Hatinya masih tidak sedap
melihat perempuan asing ada di dalam kondo anaknya ini. Bagaikan ada sesuatu
yang berlaku.
“Errr… dia….”
Renungan tajam
Tengku Maria menyebabkan Tengku Iskandar kalut.
“Eh… Tengku Mummy? Bila sampai?” suara Tengku Haziq menyelamatkan Tengku
Iskandar.
Tengku Maria
berpaling. Terkejut melihat kelibat Tengku Haziq ada sekali di situ. Anak muda
yang kaya dengan budi bahasa itu menyalam tangannya penuh hormat.
“Mummy baru sampai.”
Kepala Tengku
Haziq terangguk-angguk. Bibirnya mekar dengan senyuman. Ketika di dapur tadi
dia terdengar orang datang. Cuma dia tak sangka yang datang itu adalah Tengku
Maria bersama Puteri Waiduri.
“Ziq buat apa
dekat sini?” tanya Tengku Maria.
“Ziq datang jenguk
Is. Sebab pagi tadi Is call Ziq
bagitau dia kurang sihat.” Selamba Tengku Haziq menjawab. Jawapan yang nyata
satu pembohongan. Tengku Iskandar tiada menelefonnya. Malah abang sepupunya itu
juga sihat-sihat belaka. Tetapi dalam keadaan begini dia perlu berbohong demi
menutup rahsia Tengku Iskandar dan Aisyah.
Jelingan tajam
Tengku Maria pada wajah Aisyah sudah cukup membuktikan bahawa Tengku Mummynya itu tidak senang dengan kehadiran
Aisyah di situ.
“Ha… betul tu mummy! Is kurang sihat. Tu yang Ziq
datang dengan girlfriend dia jenguk
Is. Ni la girlfriend Ziq tu.” lancar
saja Tengku Iskandar mendapat idea. Memperkenalkan Aisyah sebagai teman wanita
Tengku Haziq. Dia turut berlakon dengan terbatuk-batuk. Kononnya dia memang
dalam keadaan kurang sihat.
Aisyah dan
Tengku Haziq sama-sama terkejut dengan kata-kata Tengku Iskandar. Namun mereka
berjaya mengawal ekspresi wajah. Tidak mahu rasa terkejut tergambar dan
menyebabkan Tengku Maria mengesyaki sesuatu.
Memang Tengku
Haziq berbohong tapi dia tak sangka Tengku Iskandar memperkenalkan Aisyah
sebagai teman wanitanya. Gila apa abang sepupunya itu? Kalau ya pun nak
lepaskan diri, janganlah sampai bagi jawapan begitu. Nanti apa pula tanggapan
Tengku Maria padanya. Haish! Inilah yang susah kalau nikah tanpa pengetahuan
keluarga.
Dalam hati
Aisyah cukup sedih dengan tindakan Tengku Iskandar memperkenalkan dia sebagai
teman wanita Tengku Haziq. Salahkah untuk lelaki itu mengakui bahawa dia ini
isterinya? Buruk sangatkah dia ini? Hati Aisyah dijentik rasa hiba.
Kening Tengku
Maria terjongket ala-ala Ziana Zain. Wajah Tengku Haziq dipandang. Mahukan
jawapan dari mulut anak itu.
Isyarat mata
daripada Tengku Iskandar membuatkan Tengku Haziq terpaksa mengangguk.
“Ya… ya… ini
teman wanita Ziq. Siti Aisyah namanya mummy.”
Mendengar
jawapan yang terpacul dari mulut anak muda itu, hati Tengku Maria lega.
Senyumannya melebar. Tak sangka Tengku Haziq yang agak pendiam dan kuat bekerja
itu sudah punya teman wanita. Manis orangnya!
“Ye ke? kenapa tak bagitau mummy hal ni? Ziq dengan Is ni suka
sangat buat mummy terkejut. Mummy dah mula fikir yang bukan-bukan
tadi.”
Tengku Maria
beralih pada Aisyah. Wajah itu dipandang. Berdosa pula dia kerana bersangka
buruk pada gadis bertudung itu tadi. Bukannya dia suka bersangka buruk pada
orang. Cuma sebagai seorang ibu dia amat takut andai anaknya bersekedudukan
dengan perempuan bukan mahram. Malu jika hal itu diketahui orang. Mana dia nak
letak mukanya nanti. Dengan sikap Tengku Iskandar, dia cukup tidak percaya jika
ada perempuan lain di dalam kondo ini. Pasti ada benda yang tidak baik berlaku.
“Maaflah. Auntie fikir yang bukan-bukan pasal
Aisyah tadi. Maafkan auntie ye?”
Aisyah sekadar
tersenyum nipis. Dia tidak menyalahkan wanita itu jika berfikir yang buruk.
Memang logik seorang ibu berfikiran begitu kerana bimbangkan anaknya. Apatah
lagi anak yang perangai buruk seperti ‘Tengku Harimau’. Memanglah kerisau si
ibu berganda-ganda.
“Tak mengapa auntie.”
Lega rasa hati
Tengku Maria mendengar jawapan Aisyah. Lembut dan sopan tingkah gadis itu
menarik hatinya.
“Pandai Ziq
pilih teman wanita. Cantik, manis dan sedap mata mummy pandang.” Puji Tengku Maria. Wajah anak muda yang telah
dijaga sedari kecil itu dikerling. Ada rona merah pada wajah putih cerah Tengku
Haziq. Tentu malu dengar usikannya. Maklum, buah hati kena puji katakan.
Tengku Haziq tersengih
malu. Pujian Tengku Maria menyebabkan hatinya bergetar hebat. Bagaikan benar
Aisyah itu adalah teman wanitanya. Sedangkan Tengku Iskandar yang berdiri di
sebelah sudah diserang api cemburu. Manakala Puteri Waiduri yang berdiri
bersebelahan dengan Aisyah sudah tidak senang hati. Cemburu bila ada wanita
lain mendapat perhatian Tengku Maria.
“Oh ya Tengku Mummy, Ziq dengan Aisyah dah kena nak
pergi ni. Kami nak ke KLCC. Aisyah kata nak beli buku.”
Tiba-tiba
timbul satu idea di benak Tengku Haziq. Inilah peluang untuk dia membawa Aisyah
keluar berjalan-jalan. Selalu usaha untuk membawa Aisyah keluar gagal kerana
Tengku Iskandar tidak mengizinkan. Tetapi hari ini dia yakin dapat keizinan
daripada abang sepupunya itu untuk membawa Aisyah keluar.
Tajam mata
Tengku Iskandar merenung Tengku Haziq. Cadangan gila yang tak masuk dek akal!
“Tak boleh!”
pantas dia bersuara.
“Aik… Is ni
kenapa? Kenapa tiba-tiba tak boleh pulak?
Ziq nak keluar berdua dengan Aisyah tu.” Tengku Maria menyampuk. Tajam matanya
memandang si anak.
“Ma… maksud Is
tak boleh sebab Is kan tak sihat. Ziq kenalah duduk sini jaga Is.” Tengku
Iskandar memberi alasan.
“Kamu tu dah
besar panjang. Tak perlu nak suruh Ziq jaga kamu. Biar Ziq keluar dengan
Aisyah. Mummy dengan Wai ada. Kami
boleh jaga Is.” Tegas Tengku Maria.
“Kalau macam tu
kami pergi dulu ya.” Senang hati Tengku Haziq dapat keluar dengan Aisyah. Tangan
Tengku Maria dicium hormat. Kemudian dia bersalaman pula dengan Tengku
Iskandar.
“Jangan balik
lambat sangat.” Sempat Tengku Iskandar berbisik ke telinga Tengku Haziq.
Tengku Haziq
mengangguk dan tersenyum.
“Jom Aisyah.”
Aisyah yang
jadi serba salah terpaksa akur menurut. Jika dia menolak, tentu Tengku Maria
mengesyaki sesuatu. Sebelum berlalu, dia sempat bersalaman dengan wanita anggun
itu. Dan ketika Tengku Maria membawa dia ke dalam pelukannya, hatinya tiba-tiba
dipalu rasa sayu. Belum pernah dia merasai pelukan itu setelah dia kehilangan
arwah emak lima tahun lalu.
‘Mak… Aisyah
rindukan mak.’ Hatinya merintih pilu.
“TERIMA KASIH.” Ucap Aisyah sebaik saja dia dengan Tengku Haziq
keluar beriringan dari kedai buku Kinokuniya. Lelaki itu berbesar hati
membelikan dia tiga buah novel baharu hari ini. Berkali-kali dia menolak namun
Tengku Haziq tetap juga mahu membelikan novel untuk dia. Tidak mahu
menghampakan hati lelaki itu, dia akur menerima.
“Sama-sama.”
senang hati Tengku Haziq membalas. Bibirnya mekar dengan senyuman. Seronok
bukan kepalang dapat keluar berdua dengan Aisyah. Sudah lama dia berhajat mahu
keluar bersama Aisyah tetapi tidak pernah mendapat keizinan daripada Tengku
Iskandar.
Mengenangkan
Tengku Iskandar, abang sepupunya itu sudah lapan kali menghantar SMS. Berpesan
agar dia tidak menghantar Aisyah dengan lambat. Risau bukan main bila Aisyah
keluar rumah. Tengku Iskandar lagi suka menjadikan Aisyah umpama orang tahanan
dalam kondo mewahnya itu.
Aisyah berjalan
tanpa bicara. Fikirannya menerewang mengenangkan Tengku Iskandar. Apa yang
lelaki itu sedang lakukan? Kala fikiran singgah pada si jelita bernama Puteri
Waiduri, hatinya berdebar hebat. Siapa gerangannya wanita bergaya moden yang
datang bersama Tengku Maria itu? Pandangannya pada Tengku Iskandar kelihatan
lain. Bagaikan menyata isi hati. Aisyah nampak dan perasan akan hal itu.
Mungkinkah
Puteri Waiduri teman wanita Tengku Iskandar? Terlintas persoalan itu di benak
Aisyah. Namun dia tiada jawapan. Lantas tanpa sedar dia mengeluh.
“Kenapa awak
mengeluh?”
“Hah? Errr… takde apa-apa tengku.” Aisyah cuba untuk
tersenyum walaupun dia tahu senyumannya agak sumbang. Hatinya tidak keruan
memikirkan siapa Puteri Waiduri di hati Tengku Iskandar. Telah diusir rasa itu
tetapi dia tidak bisa menafikan rasa sayangnya pada si suami.
“Aisyah… please. Jangan panggil saya tengku. Dah
lama kita kenal. Awak masih nak bertengku-tengku dengan saya. Rasa macam ada
sesuatu yang menghalang hubungan kita. Awak dah jadi sebahagian dari keluarga
saya. Awak tak patut nak bertengku-tengku lagi. Panggil saja abang. Lagipun
saya memang lagi tua dari awak.”
Mendengar
permintaan Tengku Haziq itu, Aisyah jadi berat mulut hendak menyebutnya. Segan
hendak memanggil Tengku Haziq dengan panggilan ‘abang’.
“Tapi…
tengku….”
“Kalau janggal
nak panggil abang, panggil aje Abang Haziq. Boleh?” wajah Tengku Haziq begitu
mengharap agar Aisyah memanggilnya dengan panggilan tersebut.
Lantas Aisyah
mengangguk. “Baiklah tengku… eh, Abang Haziq.” Janggal lidahnya menyebut
panggilan baharu itu.
Tengku Haziq
tersenyum senang. “Takpe, awal-awal
ni memanglah awak rasa pelik sikit. Nanti dah lama-lama tentu awak dah biasa
dengan panggilan tu.”
Aisyah sekadar
tersenyum manis.
“Aisyah!”
Laungan satu
suara mematikan langkah Aisyah dan Tengku Haziq.
“Aisyah!”
Sekali lagi
namanya dipanggil. Menyebabkan Aisyah berpaling ke belakang. Alangkah
terkejutnya dia melihat tuan punya badan yang memanggil namanya. Tak sangka
boleh bertemu di sini setelah enam bulan berlalu.
Bibir Aisyah
merekah dengan senyuman.
“Aisyah kan?”
Walaupun gadis yang berdiri di hadapannya ini bertudung, tetapi dia masih
mengenali wajah itu.
Aisyah
mengangguk. Matanya mula berkaca. Rindu pada sahabat baiknya itu begitu
menggebu. Lantas tubuh Ros diraih dalam pelukan.
“Rindunya aku
dekat kau Ros.” Luah Aisyah. Air mata sudah menitis keluar.
“Masya-Allah
Aisyah. Mana kau menghilang? Dah lama aku cari kau.” Ujar Ros pula. Hatinya
turut dipalu rasa hiba. Sudah lama dia mencari Aisyah. Baru kini mereka
bertemu.
Ros tahu Aisyah
sudah berkahwin. Namun dia tidak tahu bagaimana perkahwinan itu boleh
berlangsung sedangkan dia cukup tahu Aisyah tidak pernah rapat dengan mana-mana
lelaki. Pasti ada sesuatu yang berlaku malam itu sehingga menyebabkan Aisyah
terpaksa berkahwin dengan seorang lelaki kota dan berhijrah ke Kuala Lumpur.
Ros yakin dan teramat yakin!
Pelukan
dileraikan. Masing-masing basah dengan air mata. Pertemuaan yang tak pernah
diduga.
“Aku mintak
maaf Ros. Aku tak sempat jumpa kau waktu tu.” pinta Aisyah.
Ros
mengangguk-angguk. “Tak mengapa. Aku faham situasi kau. Cuma aku terkilan
sangat tak dapat nak berkongsi rasa dengan kau Aisyah. Aku ingatkan aku dah tak
jumpa kau lagi.”
Ros mengesat
air mata. Jarinya bertaut dengan jari Aisyah. Diperhatikan keadaan teman
baiknya itu. Penampilan Aisyah sudah berubah. Tidak lagi berbaju kurung seperti
di kampung dulu. Yang pasti, Aisyah kini sudah tampil dengan tudung di kepala.
Alhamdulillah! Perubahan yang baik.
“Kau makin
cantik Aisyah.” Puji Ros bersama senyuman.
Aisyah
tersenyum. “Kau pun apa kurangnya. Dari dulu sampai sekarang, tetap nampak cantik.”
Mata Ros
beralih pada jejaka kacak yang berdiri di belakang Aisyah. Kemudian bibirnya
terukir sebuah senyuman. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Aisyah. Lalu berkata
sesuatu. “Hensemnya suami kau Aisyah.
Meletup!”
Nampaknya Ros
sudah salah faham. Tengku Haziq disangka suami Aisyah.
“Hisy… dia
bukan suami aku la.” Balas Aisyah. Juga dalam nada berbisik.
Bulat mata Ros
mendengar jawapan tersebut. “Habis tu dia siapa?”
“Dia sepupu
suami aku.” Balas Aisyah kemudian dia berpaling pada Tengku Haziq. Lelaki itu
begitu setia di sisinya. Tak lekang bersama senyuman manis.
“Ros… kenalkan
ini Tengku Haziq. Tengku… eh, Abang Haziq ini kawan baik Aisyah kat kampung,
Ros Eliza.” Aisyah saling memperkenalkan dua manusia yang belum pernah bersua
muka itu.
Tengku Haziq
dan Ros saling berbalas senyum.
Tiba-tiba
telefon bimbit milik Aisyah berdering. Kelam-kabut dia mencari telefon bimbit
di dalam beg. Nama yang tertera pada skrin mendebarkan hatinya. Tengku
Iskandar! Lantas dia menjarakkan kedudukan daripada Tengku Haziq dan Ros.
“Dah pukul
berapa ni? Dah tak reti nak balik ke rumah? Seronok sangat kat luar tu sampai
tak ingat balik langsung?” sergah Tengku Iskandar tanpa salam.
Kasar suara
Tengku Iskandar memaksa Aisyah menjarakkan telefon bimbit dari telinga yang
dilapisi tudung.
‘Hisy… ‘Tengku
Harimau’ ni, langsung tak pandai nak kasi salam. Main jerit aje. Memang sebijik
macam harimau!’ Hati Aisyah menggumam.
“Assalamualaikum…
saya dah nak balik ni.” walaupun hatinya membungkam marah dengan sikap Tengku
Iskandar yang tak pernah nak bagi salam itu, namun Aisyah tetap cuba berlembut.
Tengku Iskandar
dihujung sana terdiam seketika. Kelembutan bicara Aisyah memukul hati
lelakinya.
“Hmmm…
waalaikumusalam! Dah! Balik cepat. Aku dah lapar ni. Tak makan dari tadi.”
Tut… tut… tut….
Usai
menyudahkan kata-katanya, Tengku Iskandar laju memutuskan talian.
Aisyah mengeluh.
Entah apa-apa Tengku Iskandar itu. Pembuka kata tak bagi salam, pengakhirannya
juga sama. Macam tak belajar agama!
SAAT kakinya melangkah masuk ke dalam kondo, hati Aisyah dipalu
rasa pelik. Keadaan kondo ketika itu agak gelap gelita tanpa cahaya lampu.
Takkan suaminya tidak membayar bil elektrik? Tak masuk dek akal.
Setelah
memasukkan kasut yang dipakai ke dalam rak kasut, dia melangkah ke ruang tamu. Suara
orang sedang bercakap-cakap juga kedengaran. Tentu suara-suara dari rancangan
yang tersiar di televisyen. Aisyah yakin itu kerana cahaya samar yang kelihatan
dari ruang menonton menembusi ruang tamu yang gelap.
Hairan juga dia
dengan Tengku Iskandar. Untuk apa agaknya lelaki itu berada dalam keadaan gelap
seperti ini? Semakin hari dia semakin pelik dengan sikap Tengku Iskandar yang
sukar dibaca. Malas memikirkan perihal Tengku Iskandar, Aisyah meneruskan
langkah untuk menuju ke biliknya.
“Baru sekarang
ingat nak balik rumah? Tahu tak sekarang ni dah pukul berapa?” tiba-tiba suara
Tengku Iskandar yang menyergah kasar mengejutkan Aisyah. Nasib baik dia tak
melatah.
Aisyah jerling
jam tangan pemberian Tengku Iskandar padanya tiga bulan lepas. Baru pukul tujuh
empat puluh lima minit malam.
“Hoi! Kau
dengar tak apa yang aku cakap ni?” entah apa yang merasuk Tengku Iskandar, dia
meluru ke arah Aisyah lalu menarik tudung gadis itu.
Bukan kepalang
Aisyah terkejut dengan tindakan Tengku Iskandar. Sudah lama lelaki itu tidak
berkasar sebegitu rupa padanya. Namun malam ini Tengku Iskandar seolah-olah
lelaki pertama yang dikenalinya dulu. Lelaki yang penuh dengan kekejaman.
Aisyah
mengangguk. Renungan tajam Tengku Iskandar padanya cukup mengerunkan.
“Kalau dah tahu
hari dah malam, kenapa tak balik awal? Kau suka la ya dapat berpelesiran dekat
luar sana! Itu yang kau mahu kan?!” suara Tengku Iskandar memetir memenuhi
ruang tamu.
Aisyah
menggeleng kepala. Takut sungguh dia melihat tingkah Tengku Iskandar malam ini.
Entah apa yang telah merasuk Tengku Iskandar sehingga jadi segarang ini? Dia
benar-benar ketakutan.
Melihat
kebisuan Aisyah, memanaskan lagi suhu amarah Tengku Iskandar. Otaknya mula
membayangkan sesuatu yang indah terjadi antara Aisyah dan Tengku Haziq. Tahap
cemburunya sudah sampai ke tahap paling tinggi. Pantas dia mengheret tangan
Aisyah untuk naik ke atas. Dia mahu hubungan intim dengan gadis itu.
“Tengku
tolonglah jangan buat macam ni.” rayu Aisyah. Dia dapat mengagak apa yang
dimahukan suaminya itu. Jika mahukan hubungan suami isteri sekalipun, biarlah
ia berlangsung dalam keadaan baik. Bukan dalam keadaan dia dipaksa begini.
Suara Aisyah
mematikan langkah Tengku Iskandar. Dia berpaling memandang wajah Aisyah.
“Kenapa? Kau
tak suka apa yang aku buat? Kau suka apa yang Tengku Haziq buat pada kau, macam
tu?! Pasal tu kau dah tak nak layan aku? Kau lebih suka Tengku Haziq yang
sentuh kau. Macam tu ka?” tanpa usul periksa, Tengku Iskandar mula membuat
tuduhan melulu. Tuduhan yang lebih bersifat cemburu buta.
“Astagfirullah
al’azim. Apa tengku cakap ni?” terkejut sungguh Aisyah dengan tuduhan yang
Tengku Iskandar tujukan padanya. Seolah dia ini perempuan murahan yang menjual
tubuh pada semua lelaki. Airmatanya mengalir ke pipi. Tersiat hatinya dengan
tuduhan sekejam itu.
“Saya memang
perempuan kampung yang bodoh. Saya takde
pelajaran tinggi. Tapi saya masih ada pegangan agama. Saya tahu saya dah
bersuami dan berdosa untuk saya keluar bersama lelaki lain. Tapi apa yang saya
buat siang tadi adalah untuk menyelamatkan tengku dari Tengku Maria. Saya sedar
kedudukan saya. Jika saya tak keluar bersama Tengku Haziq siang tadi, tentu
Tengku Maria akan mengesyaki sesuatu. Apa yang saya buat adalah untuk
melindungi kedudukan tengku.” Entah dari mana Aisyah mendapat keberanian
menuturkan ayat tersebut. Hatinya terluka dengan tuduhan Tengku Iskandar.
Tuduhan yang terlalu berat untuk diterimanya.
“Maafkan saya
tengku. Saya tahu saya selalu menyusahkan tengku dan tak setaraf dengan tengku.
Tapi demi Allah, saya tak buat perkara buruk di belakang tengku. Segala yang
saya lakukan demi melindungi maruah suami saya. Cuma itu dan tak seburuk yang
tengku fikirkan.” Tambah Aisyah lagi. Airmata deras mengalir.
Kata-kata
Aisyah membuatkan Tengku Iskandar mati kata. Terkedu dan terdiam dia dengan apa
yang Aisyah perkatakan. Airmata gadis itu juga seolah-olah sembilu tajam yang
mencarik tangkai hatinya. Rasa bersalah mula menyerang. Namun ego lelakinya
menghalang.
Tanpa ungkapan
maaf, dia berlalu naik ke atas. Fikirannya bercelaru. Hatinya mula berbelah
bagi.
Thanks sis, akhirnya dapat baca panjang sikit kali ni..hehehe..sy memang suka baca novel IDS..sentiasa tunggu n3 terbaru dari sis :)
BalasPadamthanks sebab sudi menunggu setiap n3 IDS..tp buat masa ni akak hentikan IDS utk proses penilaian..
PadamDekat mana bo dapatkan novel ni
BalasPadamDimana bisa beli novel, saya nak beliii
BalasPadam