Bab 21
SEBUAH keluhan lahir dari
bibirnya. Sedari tadi, satu kerja pun tak dapat dilakukan. Fikirannya kacau
sehingga membuatkan dia tiada hati hendak melakukan sebarang kerja. Padahal,
kerjanya melambak-lambak perlu diselesaikan. Dia lebih selesa berbaring di atas
sofa di ruang menunggu dalam biliknya sambil lengan kanan melekat ke dahi.
Seolah dia sedang memikirkan masalah Negara yang sukar hendak diselesaikan.
Sekali lagi
Tengku Iskandar mengeluh. “Aku dah jatuh cinta dekat perempuan kampung tu ke?”
soal Tengku Iskandar pada diri sendiri. Cuba mencari jawapan kepada masalah
yang membuatkan dia tidak dapat melakukan sebarang kerja.
Sejak
kebelakangan ini wajah itu benar-benar menganggunya. Ke mana dia pergi, apa
saja yang dilakukan, bayangan itu sentiasa mengekori. Puas dia menghindar, puas
dia menolak namun bayang-bayang Aisyah tetap datang menyapa hari-harinya. Mata,
hidung, bibir dan semua yang ada pada gadis kampung itu begitu segar di ruang
mata. Membuatkan dia bagai tidak sabar mahu menatap keindahan itu setiap masa.
Aisyah tidak sama dengan perempuan-perempuan yang pernah berkongsi katil
dengannya. Sikap Aisyah yang malu-malu ketika mereka ‘bersama’ benar-benar
membuatkan dia begitu teruja. Dia sukakan sikap itu. Selama ini dia jumpa dengan
perempuan bersikap gelojoh ketika ‘bersama’. Membuatkan rasa teruja itu tidak
pernah wujud dalam hatinya kecuali nafsu yang menguasai diri ketika itu.
Tiba-tiba
Tengku Iskandar menggeleng. Cuba menghalau perasaan yang diteka menghantui
dirinya tadi.
“Tidak! Aku
yakin aku tak jatuh cinta pada dia. Aku cuma sukakan ‘layanan’ dia. Dia lain
daripada yang lain. Cuma itu. Nama nak jatuh cinta, tidak sama sekali!
Perempuan kampung seperti dia, tak layak untuk aku.”
Sedang melayan
perasaannya, tiba-tiba suara Syeeda berkumandang melalui mesin interkom.
“Morning bos. Tengku Mummy pesan jangan lupa petang ni bos kena pergi ke airport sambut kepulangan Cik Puteri
Waiduri.”
Tengku Iskandar
mendengus. Dia sudah lupa akan hal tersebut. Langsung tak ingat Tengku Mummy menyuruh dia datang ke lapangan
terbang untuk menyambut kepulangan Puteri Waiduri. Macam nak sambut kepulangan anak
raja. Dia malas nak pergi. Apatah lagi hendak menghadap muka Puteri Waiduri.
Seratus peratus dia tak sudi!
Telefon bimbit
IPhone 5S yang baru dibeli berbunyi. Memaksa Tengku Iskandar bangun dari baring
dan melangkah ke meja kerja. Pada skrin tertera nama Helenia. Seorang lagi
perempuan gedik yang sering menggodanya. Namun sampai ke hari ini, Helenia
belum berjaya membawa dia ke atas katil. Dia tiada hati hendak menikmati tubuh
montok Helenia. Bukan Helenia seorang, dengan beberapa orang wanita pun dia tak
tertarik lagi untuk tidur bersama sejak dia bersama Aisyah. Dengan Aisyah dia
dapat segala-galanya.
Tengku Iskandar
menggeleng kepala. Menghalau bayangan Aisyah yang menerpa ruang minda. Entah
apa ilmu yang gadis kampung itu kenakan pada dia. Asyik teringatkan Aisyah
saja. Sikit-sikit Aisyah sampai satu kerja pun tak menjadi.
Panggilan
daripada Helenia mati begitu saja setelah dibiarkan tanpa menjawab. Malas
hendak melayan kegedikan Helenia yang merengek bagaikan anak kecil berusia lima
tahun mahukan gula-gula. Baru kenal dua minggu, sudah mengada-ngada minta itu
dan ini. Dasar perempuan mata duitan!
Sekali lagi
telefon bimbitnya berbunyi. Skrin masih menunjukkan nama orang yang sama. nampak
gaya Helenia tak berputus asa menarik minatnya. Beria-ia gadis itu menarik
perhatiannya. Tidak mahu panggilan itu terus menganggu, panggilan daripada
Helenia dijawab.
“Baby… apasal you lambat jawab panggilan
I?” rengek Helenia di hujung sana.
Meremang bulu
roma Tengku Iskandar mendengar rengekan mengada Helenia.
“I sibuk. You call I ni nak apa?” serius saja lontaran
suara Tengku Iskandar. Tak suka benar dia dengan kegedikan Helenia.
“Baby… salah ke I call you? I miss you tau.
Sampai hati you tak jumpa I lagi.”
Rasa nak muntah
Tengku Iskandar mendengarnya. Perempuan seorang ni mental apa? Baru kenal dua
minggu dan keluar sekali, tapi lagak macam dah bercinta dua tahun.
“Kita baru
jumpa sekali. Lagipun… I memang tak nak jumpa you lagi Lenia. I rasa baik you
jangan ganggu I lagi.”
“What?!” tinggi suara Helenia melengking.
Mujurlah Tengku
Iskandar sempat menjarakkan telefon bimbit. Jika tidak, mahu berdarah
telinganya mendengar lengkingan suara Helenia yang sudah mula membebel itu dan
ini.
Tanpa pamitan,
Tengku Iskandar terus mematikan talian. Tak kuasa dia hendak melayan bebelan
Helenia. Gadis itu bukan sesiapa di hatinya. Lantaklah hendak menyumpah serana
dia sekali pun. Dia langsung tak ambil kisah. Daripada melayan gadis itu, lebih
baik dia pulang. Lagipun otaknya tidak berjalan lancar hari ini. Semua kerja
tak menjadi.
TENGKU ISKANDAR melangkah masuk ke dalam. Seperti biasa tubuhnya
yang sasa itu dilabuhkan di atas sofa. Kaki dibawa naik ke atas meja. Sekejap
lagi pasti Aisyah akan datang membuka stokingnya. Rutin harian gadis kampung
itu sejak tinggal di sini.
Lima minit
berlalu. Bayangan Aisyah langsung tidak kelihatan. Menimbulkan rasa pelik di
hati Tengku Iskandar. Ke mana pula perginya perempuan kampung itu? Tidur
agaknya tengah hari begini.
“Aisyah!”
panggilnya.
Sunyi! Sepi!
Tiada sahutan daripada gadis kampung itu.
Tengku Iskandar
memanggil lagi. “Aisyah!”
Seperti tadi,
keadaan masih sepi tanpa sahutan Aisyah.
Tengku Iskandar
mendengus. Sakit hati bila panggilannya tidak dijawab. Perempuan kampung itu
sudahlah kuat melatah, pekak pun iya juga. Pakej lengkap seorang nenek tua.
Sedangkan umur Aisyah baru nak masuk dua puluh satu tahun. Tapi latah… macam
orang tua umur tujuh puluh tahun.
Tengku Iskandar
bangun dari duduk. Dia melangkah ke bilik Aisyah dengan rasa sebal. Tidur mati
agaknya perempuan kampung itu sampai tak dengar dia memanggil. Tombol pintu
dipulas. Nampaknya pintu bilik Aisyah tidak berkunci. Dikuak pintu bilik. Bilik
itu kelihatan kemas dan sunyi. Bayang gadis itu tiada di situ.
Dahi Tengku
Iskandar berkerut.
“Mana pulak dia pergi?” soalnya sendiri.
Langkah diatur
semula ke ruang tamu. Ketiadaan Aisyah menimbulkan rasa pelik di hati. Takkan
gadis kampung itu keluar merayau pula. Aisyah mana tahu jalan-jalan di Kuala
Lumpur ini. Sepanjang enam bulan berada di sini, hanya dua kali Aisyah keluar.
Itu pun keluar bersama Tengku Haziq dulu. Selepas itu memang dia tak izinkan
lagi Tengku Haziq membawa Aisyah berjalan-jalan. Takut andai ada yang ternampak
dan memberitahu cerita itu kepada Tengku Mummy.
Tengku Iskandar
melangkah naik ke atas. Manalah tahu kalau-kalau Aisyah berada di atas sedang
mengemas bilik. Sejak Aisyah berada di sini, setiap ruang di dalam kondo ini
kemas dan bersih. Tiada lagi habuk yang kelihatan.
Bilik bacaan
dijenguk. Bayang Aisyah tiada di situ. Kemudian dia beralih pula ke bilik ke
dua. Kala itu dia terdengar suara nyanyian seorang perempuan. Dia cukup kenal
suara tersebut. Itu suara Aisyah. Bukan main lagi gadis kampung itu
menyanyi-nyanyi. Seronok sangat agaknya kerana dia tiada di rumah. Jika dia
ada, hendak mendengar Aisyah bercakap pun susah. Diam macam orang bisu.
Pintu bilik air
terbuka. Aisyah keluar dengan berkemban kain batik. Kedudukan tubuhnya yang
membelakangkan Tengku Iskandar, membuatkan kehadiran lelaki itu langsung tidak
disedari. Seronok dia menyanyi kecil sambil mengelap rambutnya yang basah.
Sedangkan
Tengku Iskandar, matanya tajam merenung ke arah Aisyah. Keadaan Aisyah yang
seksi berkemban kain batik, membuatkan gelora nafsu lelakinya datang menjengah.
Perlahan-lahan dia menghampiri Aisyah yang masih membelakanginya. Tubuh gadis
itu disentuh. Membuatkan Aisyah terkejut dan menjerit.
“Oh… bapak
harimau dah pulang!” laju saja Aisyah melatah.
Tengku Iskandar
tidak menghiraukan latah Aisyah. Bahu gadis itu yang terdedah disentuh hangat.
Gelora nafsunya membuak-buak ingin bersama sang isteri.
Aisyah telan
air liur. Dadanya mula berdebar hebat. Renungan Tengku Iskandar pada wajahnya
membuatkan dia jadi tidak keruan. Rasa hendak pecah dadanya menahan debar.
“Te… tengku…
tak ke… kerja ke?” gagap-gagap dia bertanya. Cuba menghalau debaran di dada
yang makin menggila.
Tengku Iskandar
tidak menjawab. Dia menundukkan sedikit wajahnya lalu bahu putih melepak yang
terdedah di depan mata dikucup perlahan. Kemudian kucupannya beralih pula dagu,
hidung dan pipi Aisyah sebelum ia mendarat ke bibir comel milik gadis kampung
itu. Dia sudah tidak dapat mengawal dirinya lagi. Dia benar-benar mahukan
Aisyah.
Semakin yakin
dengan kehendak hati suaminya, Aisyah hanya merelakan perlakuan Tengku
Iskandar. Dia tidak membantah dan menolak. Entah kenapa perlakuan itu juga
disenanginya. Sedangkan dia tahu dia bukanlah sesiapa di hati Tengku Iskandar.
Sekadar isteri yang dilayan tak ubah seperti perempuan simpanan. Namun
perlakuan Tengku Iskandar membuatkan dia rela dan pasrah. Dalam terkilan,
timbul rasa bahagia dengan belaian lelaki yang bergelar suaminya itu.
Tengku Iskandar
menghentikan perlakuannya ke atas Aisyah. Matanya merenung tepat anak mata
gadis itu. Mata Aisyah yang cantik. Entah mengapa hatinya sayu melihat mata
cantik Aisyah. Bagaikan ada banyak cerita sedih yang gadis itu sembunyikan. Ya!
Memang gadis itu banyak menyembunyikan cerita sedih. Cuma dia tidak pernah mahu
mengambil tahu kisah hidup Aisyah.
Tubuh Aisyah
ditarik dalam pelukan. Bibirnya mengucup ubun-ubun Aisyah. Lama bibirnya
melekat di situ sebelum tubuh Aisyah diangkat lalu direbahkan di atas katil
dalam bilik tersebut.
Untuk kesekian
kalinya, jiwa mereka bersatu lagi.