Bab 15
TENGKU HAZIQ melangkah masuk
ke ruang pejabat. Wajahnya sentiasa ceria dengan senyuman. Sapaan selamat pagi
daripada kakitangan bahagian akaun disambut dengan ramah. Disebabkan itu dia
cukup disenangi oleh semua kakitangan. Dia memang ketua yang baik hati dan
sentiasa mengambil berat kebajikan kakitangan bahagiannya.
“Morning bos.” Tegur Rafina mesra. Rafina
merupakan setiausaha kepada Tengku Haziq. Sudah tiga tahun gadis manis ini
bekerja di sini. Sudah cukup masak dengan sikap ketuanya yang satu itu.
“Morning Rafina. Cantik awak hari ni.”
seperti selalu, Tengku Haziq pasti akan memuji Rafina. Membuatkan gadis berasal
dari Marang, Terengganu itu tersenyum manis.
“Terima kasih
bos. Bos pun apa kurangnya. Hari-hari nampak kacak bergaya.” Rafina membalas
dengan memberi pujian kepada Tengku Haziq. Pada mata kasarnya, lelaki itu bukan
saja kacak pada paras wajah malah ‘kacak’ pada budi bahasa. Mujurlah dia ini
sudah menjadi tunangan orang, jika tidak pasti sudah lama dia jatuh cinta pada
Tengku Haziq. Mana tidaknya, lelaki itu cukup sempurna sebagai lelaki idaman
Malaya.
Tengku Haziq
sekadar tersenyum. Pujian daripada Rafina sudah lali pada telinganya. Ketika
itu jugalah matanya menangkap sebuah buku di atas meja Rafina. “Buku awak ke?”
dia bertanya. Buku itu menarik perhatiannya.
Rafina
memandang novel yang baru sampai semalam. Kepalanya dianggukkan dengan bibir
mekar bersama senyuman. Sudah lama dia nantikan novel tersebut. Baru semalam ia
sampai ke pangkuannya.
“Boleh saya
tengok?” pinta Tengku Haziq.
Rafina
menghulurkan novel tersebut kepada Tengku Haziq.
Perkara pertama
yang dilihat Tengku Haziq adalah nama si penulis novel. ‘Acik Lana!’ Hatinya
berbisik. Nama Acik Lana mengingatkan dia pada Aisyah. Aisyah amat menggemari
karya-karya daripada novelis tersebut.
“Novel ni awak
beli kat mana?” Nampaknya Tengku Haziq berminat mengetahui tentang novel
bertajuk Perempuan Yang Paling Aku Cinta itu. Jika dia tak silap novel inilah
yang dikatakan Aisyah padanya ketika mereka keluar dua hari lepas.
“Owh… novel ni tak jual kat kedai buku
bos. Ini limited edition. Hanya kena jual online
je.” Terang Rafina. Sebagai penggemar novel-novel cinta, dia memang kerap
membeli novel secara online.
“Awak beli online? Dengan Acik Lana ke?” berkobar
semangat Tengku Haziq ingin mengetahuinya.
Rafina
tersengih. “Bukan dengan Acik Lana bos. Saya order dengan Kak Alida. Dia kawan Acik Lana. Dia la yang selalu amik order.”
Beritahu Rafina.
“Dari mana awak
kenal dia?” banyak pula soalan Tengku Haziq.
“Dari facebook la bos. Alaaa… kenal sebagai
rakan alam maya. Jumpa depan tu belum pernah lagi la. Saya ni kan salah seorang
GGN.”
“GGN?”
“Geng Giler
Novel….” Ujar Rafina penuh bangga.
“Owh… apa ajelah nama geng awak tu
Rafina. Pelik.”
Rafina kedar
tersengih mendengar komen Tengku Haziq. Memang kedengaran pelik nama Geng Giler
Novel itu.
“Kalau macam
tu… novel awak ni bagi kat saya, nanti awak order
balik dengan kawan Acik Lana tu. Boleh?” Tengku Haziq mengambil jalan mudah.
Novel yang diidamkan Aisyah sudah ada depan mata. Tidak salah rasanya jika dia
mendapatkan novel tersebut untuk Aisyah. Nanti Rafina boleh beli semula novel
ini. Lagipun gadis itukan berkawan dengan Alida. Senanglah sikit untuk dia
membuat tempahan semula.
Namun Aisyah,
gadis kampung itu tidak tahu memesan cara online.
Apa salahnya jika dia tolong dapatkan novel ini khas untuk Aisyah. Tentu gadis
itu menyukainya.
Bulat mata
Rafina mendengar kata-kata bosnya. Bagaikan tidak percaya lelaki itu juga
berminat hendak membaca novel Acik Lana. Jarang ada lelaki yang menggemari
novel-novel cinta. Kebiasaanya orang lelaki lebih cenderung kepada buku
mengenai dunia permotoran.
“Kenapa awak
pandang saya macam tu? Ada yang tak kena ke pada wajah saya?” Pelik sungguh
Tengku Haziq melihat cara Rafina memandangnya. Macam ada yang tak kena pada
wajahnya ini.
Rafina
menggeleng-geleng. “Eh… takde apa-apa
la bos. Cuma… saya pelik sikit ni. Sejak bila bos minat baca novel?”
“Kenapa saya
tak boleh baca novel ke?” soalan Rafina tadi dibalas dengan soalan daripada
Tengku Haziq.
Sekali lagi
Rafina menggeleng. “Bukan tak boleh bos. Cuma… pelik je.” Kemudian dia tayang
sengih.
“Dah… tak usah
awak nak pelik-pelik Rafina. Saya pun sesekali teringin juga nak baca novel
cinta. Nak tahu hebat sangat ke novel Acik Lana tu….”
“Eh eh bos. Bos
jangan pandang Acik Lana sebelah mata. Novel-novel Acik Lana semua terbaik tau.
Cuma rezeki aje yang belum ada dia dapat tempat pertama dalam Anugerah Pilihan
Popular. Tengoklah sikit masa nanti… pasti dia akan menang tempat pertama.”
Rafina merupakan peminat tegar penulis berwajah manis itu. Pantang sungguh dia
jika ada yang mengutuk karya-karya penulis kegemarannya itu. Memang dia akan
bersuara lantang!
“Saya tak nak
bertekak dengan awak pasal Acik Lana. Yang penting sekarang, saya ambil novel
ni nanti awak order yang baru.”
Kalau hendak
bertekak dengan Rafina, sampai pagi esok pun belum tentu selesai. Gadis itu
nampak saja lemah lembut tetapi jika diajak bertekak memang boleh tahan juga
orangnya. Tengok sajalah bila Rafina bertekak dengan Salim si pemandu syarikat.
Memang tak boleh nak berhenti. Salim pun satu hal jugak. Suka sangat menyakat
Rafina. Nasib baiklah Rafina itu tunangan orang. Kalau tidak dah lama rasanya
dia nak kahwinkan Salim dengan Rafina.
“Eh… tak
bolehlah bos. Novel ni saya punya.” Tegah Rafina. Dia tak akan memberikan novel
tersebut kepada Tengku Haziq meskipun lelaki itu adalah bosnya.
“Awak kan kenal
dengan kawan Acik Lana tu. Nanti awak order
la dengan dia balik.”
“Mana boleh
bos. Novel ni memang dikhaskan untuk saya. Kalau bos tak percaya, cuba bos
tengok kat dalam tu. Dah terang-terang Acik Lana tulis nama saya kat situ. Mana
boleh pass dengan orang lain.”
Tengku Haziq
membuka helaian pertama. Memang benar seperti yang dikatakan oleh Rafina
padanya. Memang ada nama gadis itu di dalam.
Dia mengeluh
hampa. Baru bercadang hendak memberikan novel tersebut kepada Aisyah. Nampak
gaya niatnya itu tidak kesampaian. Takkanlah dia nak paksa juga beri novel yang
dah terang-terang ada nama Mimi Rafina di dalamnya kepada Aisyah. Nanti apa pulak pandangan gadis itu pada dia.
Ingat dia mencuri buku orang pulak.
Melihat wajah
hampa bosnya, Rafina bersuara lagi.”Bos betul ke nak novel ni?” tanya Rafina
mahukan kepastian.
Tengku Haziq
mengangguk.
“Kalau macam
tu… nanti saya orderkan bos novel ni
dengan Kak Alida. Rasanya masih ada stok lagi novel ni.”
Wajah mendung
Tengku Haziq kembali ceria. Bersinar-sinar matanya mendengar kata-kata Rafina.
“Good! Awak tolong orderkan untuk saya. Nah! Ini duit untuk beli buku.” Tengku Haziq
menghulurkan sekeping wang kertas bernilai seratus ringgit.
“Banyak ni bos.
Novel ni takdelah sampai seratus
ringgit.”
“Takpe. Baki tu awak simpan. Kira saya
belanja sebab awak tolong saya dapatkan novel ni.” Dengan ceria Tengku Haziq
bersuara. Dia melangkah masuk ke dalam biliknya. Ceria sungguh sampaikan dia
bersiul kecil.
Pelik sungguh
Rafina melihat tingkah bosnya itu hari ini. Tengku Haziq memang jenis yang
ceria tetapi takdelah sampai
berkelakuan pelik seperti ini. Itu yang buat dia kebingungan. ‘Apa kenalah
dengan bos hari ni? Macam kena sampuk dengan ‘Geng Giler Novel’ aje.’ Hati
kecil Rafina berbisik pelik.
Pintu bilik
Tengku Haziq kembali terbuka. Terjengul kepala lelaki itu. “Oh ya Rafina. Nanti
kat novel tu awak suruh Acik Lana khaskan buku tu untuk Aisyah ya.”
“Aisyah?” Tanya
Rafina pelik. Bukankah novel Perempuan Yang Paling Aku Cinta itu Tengku Haziq
yang nak baca? Kenapa harus diletakkan nama Aisyah pula?
Tengku Haziq
mengangguk bersama senyuman manis. Kemudian dia menghilang semula ke dalam
bilik. Bukan main ceria lagi wajahnya. Punggung dilabuhkan atas kerusi kulit
berwarna hitam. Bibirnya masih tak lekang dengan senyuman. Cuba membayangkan
betapa gembiranya Aisyah bila mendapat novel limited edition daripada Acik Lana yang diimpikan Aisyah selama
ini.
“Ziq! Jom teman
aku pergi breakfast.” Suara yang
keluar dari interkom mematikan senyuman Tengku Haziq. Baru dia nak
bersenang-lenang membayangkan wajah ceria Aisyah, suara Tengku Iskandar sudah
menganggu kedamaiannya.
“Bagi salam
tak… ucap selamat pagi tak… main terjah macam tu aje. Bertuah punya abang!”
omel Tengku Haziq. Butang merah ditekan bagi membalas kembali ‘sapaan’ Tengku
Iskandar.
“Assalamualaikum
Tengku Iskandar. Patik dah bersarapan dekat rumah tadi. Masih kenyang lagi.”
sengaja dia berkata begitu.
“Waalaikumusalam.
Alaaa… jom la Ziq temankan aku. Lagipun aku ada perkara nak bincang dengan
kau.” Tengku Iskandar mendesak.
Tengku Haziq
mendecit. Inilah antara perangai Tengku Iskandar yang tidak digemarinya. Kuat
sangat mendesak agar kehendaknya diikuti. Jika dia yang disuruh mengikuti
kehendak orang lain, bukan main banyak lagi alasan yang diberi. Macam-macam!
“Ye la tu. Macamlah aku tak tahu perangai
kau. Ada perkara nak bincang konon! Kalau nak bincang pasal girlfriends kau yang keliling pinggang
tu aku dah serik dengar.”
“Ini bukan
pasal girlfriend la Ziq. Aku nak
bincang soal kerja.”
Mencebik Tengku
Haziq dengar Tengku Iskandar mahu berbincang soal kerja dengannya. Macamlah dia
ni bodoh tak tahu perangkap lelaki itu agar dia setuju menemaninya keluar
sarapan.
Pantas butang
merah tadi ditekan semula.
“Isteri kau tak
buat sarapan pagi ke sampai kau nak sarapan kat luar?” sengaja dia menyakat.
Mahu mendengar respons Tengku Iskandar bila dia menyebut fasal Aisyah.
“Kau ni mulut
takde insurans ye? Boleh tak jangan sebut nama perempuan kampung tu dekat ofis.
Dengar dek staf nanti macam mana? Sampai pulak
ke telinga mummy.”
Mengekek ketawa
Tengku Haziq mendengar balasan Tengku Iskandar. Lelaki itu nampak saja gagah
perkasa seperti harimau jantan dalam hutan. Tetapi bila sudah berdepan dengan
Tengku Mummy, Tengku Iskandar tak
ubah seperti seekor anak kucing yang manja dan mengikut telunjuk. Cukup
mengelikan hati.
“Ye la. Aku
temankan kau. Kau ni mengada betul la. Ada isteri kat rumah nak juga bersarapan
kat luar.” Putus Tengku Haziq. Kasihan pula dia jika kehendak abang sepupunya
itu tidak dituruti. Manalah tahu kut abang sepupunya itu memang belum mengambil
sarapan pagi lagi. Pengsan pula lelaki itu nanti. Heheheee….
“Okey! Aku
tunggu kat basement. Kau drive ye. Aku malas la!”
Inilah yang
Tengku Haziq malaskan. Jika keluar berdua pasti dia jadi pemandu Tengku
Iskandar. lelaki itu memang suka mengambil kesempatan ke atas dia. Mujurlah dia
sayangkan abang sepupunya itu. Jika tidak… jangan harap dia nak ikut kehendak
Tengku Iskandar!
TENGKU ISKANDAR menghirup jus oren. Bukan main berselera lagi dia
nampaknya. Macam dah setahun dah jumpa makanan. Pelik betul!
“Kau ni macam
dah kebulur sangat, kenapa? Tak bersarapan dekat kondo tadi?” tanya Tengku
Haziq yang hanya memesan Nescafe panas sahaja. Perutnya masih kenyang
memandangkan hari ini dia bersarapan dengan nasi goreng air tangannya sendiri.
Jangan ingat orang lelaki sepertinya tidak pandai memasak. Tengku Haziq lebih
gemar makan dekat rumah berbanding di luar. Kebersihan pun lebih terjamin.
“Ada. Cuma aku
dah lama tak bersarapan kat sini.” Balas Tengku Iskandar. Sejak dua hari ini,
dia lihat gadis kampung itu sudah pandai memasak masakan barat. Entah dari mana
gadis kampung itu belajar. Boleh tahan sedap juga dia memasak.
“Kau tahu tak
Ziq. Perempuan kampung tu dah tahu masak western
food. Mula-mula dia masak tu, terkejut juga aku. Ingatkan perempuan kampung
tu tak reti nak masak makanan barat.” Tengku Iskandar membuka cerita. Chicken Black Paper yang dimasak Aisyah
dua hari lepas memang boleh tahan rasanya. Begitu juga dengan Chicken Mayonnise semalam. Cukup menarik
selera makannya. Cuma depan Aisyah dia kena jual mahal sedikit. Jatuhlah
maruahnya jika makan gelojoh di hadapan gadis itu.
“Hah… tu la
kau! Suka pandang orang sebelah mata. Sekarang baru kau tahu tinggi rendahnya
langit tu. Aisyah tu takdelah teruk
sangat macam yang kau fikir.”
“Tapi dia bukan
type aku tau. Aku tak berkenanlah
tengok perempuan kampung tu. Rimas mata aku tengok dia berbaju kurung setiap
hari. Dah macam nenek-nenek pulak.”
Tengku Haziq
mencebik. Tengku Iskandar memang begitu. Perempuan yang manis berbaju kurung
boleh pula dia pandang dengan rimas. Tetapi kalau perempuan pakai seksi-seksi,
dedah sana dedah sini, suka pula dia pandang. Macam nak tersembul saja biji
matanya itu.
“So… macam mana hubungan kau dengan Fira?
Aku tengok kau bukan main berkepit lagi dengan minah mulut muncung tu.” Tengku
Haziq mengubah topik perbualan. Malas hendak mendengar cacian Tengku Iskandar
pada Aisyah. Baginya Aisyah seorang gadis yang baik. Cuma Tengku Iskandar saja
yang tidak pandai menilai.
Mendengar nama
Fira disebut, lebar senyuman di bibir Tengku Iskandar. Sudah beberapa kali dia
‘bersama’ Fira. Gadis itu memang cukup pandai ‘melayan’.
“Senyum? Mesti
ada yang menarik fasal Fira kan?” senyuman di bibir Tengku Iskandar bagai sudah
memberitahu Tengku Haziq jawapan kepada pertanyaannya tadi. Dia kenal Tengku
Iskandar.
“I can’t believe she’s very hot! Dah
ramai yang aku ‘try’ tapi dalam ramai-ramai
tu, Fira paling hangat.” Tanpa berselindung Tengku Iskandar memberitahu. Lebar
dia tersenyum.
Tengku Haziq
mencemik. Dia sudah dapat mengagak jawapan abang sepupunya itu.
“Ye la tu. Nanti kat ‘sana’ api neraka tu
lagi hangat daripada Fira.” Sinis Tengku Haziq menyindir. Geram dengan perangai
Tengku Iskandar yang suka ‘bersama’ dengan perempuan bukan halal baginya.
Sindiran pedas
Tengku Haziq merubah air muka Tengku Iskandar menjadi tegang. Baru saja dia
hendak bergembira berkongsi cerita hubungan ‘panas’ antara dia dengan Fira,
Tengku Haziq sudah menempelak. Hampeh punya sepupu! Terkena dia sebiji.
“Sampai bila
kau nak terus hidup macam ni Is? Cubalah bawa berubah sikit. Mati tu tak
mengira usia tau. Bila-bila masa aje ALLAH boleh ambil kita kembali ke
pangkuanNYA. Kau nak ke mati sebelum sempat bertaubat? Nak mati dalam maksiat?”
Tengku Haziq memberi soalan panas. Biar Tengku Iskandar terasa. Manalah tahu
soalannya bisa mengembalikan Tengku Iskandar ke pangkal jalan. Dia mahu lihat
Tengku Iskandar yang dulu. Tengku Iskandar yang dikenali ketika zaman
kanak-kanak.
Tengku Iskandar
bukan jahil tentang agama. Lelaki itu juga sama sepertinya. Pernah khatam
Al-Quran sebanyak tiga kali. Tengku Iskandar juga tahu mengerjakan solat.
Namun, abang sepupunya itu berubah setelah berada lama di luar Negara. Hukum
haram dan halal sudah tidak diendahkan lagi. Entah apa yang menyebabkan Tengku
Iskandar berubah sejauh itu dia sendiri tidak pasti.
“Aku bukan nak
jaga tepi kain kau. Tapi sebagai sepupu kau, aku rasa aku ada hak menegur.”
Sambung Tengku Haziq bila tiada jawapan daripada Tengku Iskandar. Dia tahu
abang sepupunya itu pasti menahan rasa geram dengan sindirannya. Cuma Tengku
Iskandar tiada ‘point’ hendak
membalas kembali apa yang dia perkatakan ketika ini.
Best nak lagi.
BalasPadamok ok..hehe
Padambest sgt2.. cepatlah sambung
BalasPadamsabar ya..nti saya sambung lagi..
PadamBest sgt cite ni... dh terjatuh chenta ni... cpt2 post lg ye...tqvm
BalasPadamterima kasih qairunniesa..ok nti akak post lagi ye.. =)
PadamAka bile nak update bab 16
BalasPadamtgu dpn PC..jap lagi akak update bab 16
PadamMemang best citer ni,,
BalasPadamTerbaik! hahaa,
Citer ni nak dibuat novel ke kak?
Nak lagi nak lagi ~ =3=
insyaALLAH akan dibuat ke versi cetak klu ada rezeki..apa pun terima kasih ye sbb sukakan IDS..
Padamdari pagi tadi lagi saya mengadap IDS ni dari bab 1. memang best sangat-sangat! hope dapat update cerita ni lagi dgn cepat. hee :D
BalasPadamterima kasih kerana sudi membaca IDS..kejap lagi saya update IDS bab16..
Padam