Bab 13
DIA melepaskan keluhan.
Disebabkan ketegangan yang terjadi antara dia dengan Rey petang tadi, dia balik
agak lewat. Sakit hatinya pada Rey masih bersisa. Lelaki itu memang sudah
melampau! Sudahlah menyeleweng wang syarikat, selepas itu boleh pula Rey
mengugut mahu mencederakan dia. Apa Rey ingat dia ini anak kucing? Tak pandai
nak melawan?! Ikutkan hatinya yang panas ketika itu, mahu rasanya dia memberi
penumbuk sulung pada Rey. Memang jenis orang kampung tak kenang budi! Dah
diberi peluang pekerjaan di TG Holdings, boleh pula sesuka hati mengambil wang
syarikat. Ingat TG Holdings itu syarikat bapak dia agaknya!
Tengku Iskandar
mendengus. Daun pintu ditutup dengan kasar. Tubuhnya yang sasa direbahkan di
atas sofa. Dia menyandar dengan lengan kanan sudah naik ke dahi. Manakala
tangan kiri sudah melonggarkan tali leher yang menjerut batang leher.
Disebabkan rasa letih, dia membatalkan temujanjinya dengan Fira malam ini.
Memang Fira merajuk. Namun dia tiada hati hendak memujuk. Biarlah! Esok-esok
dia belikan bunga untuk gadis itu. Hilanglah rajuknya.
Matanya dipejam
seketika. Cuba menghalau rasa letih yang menjerut diri.
Aisyah yang
menyedari kepulangan Tengku Iskandar menjenguk kepala ke ruang tamu. Setiap
kali lelaki itu berada di rumah, dia jadi tidak keruan. Segala tindakannya jadi
tidak menentu. Takut andai buat salah dia akan ditengking lagi.
Bibirnya
diketap. Air kosong yang dibawa direnung. Betulkah apa yang dia buat ni? Cukup
ke dengan memberikan air kosong saja menyambut kepulangan lelaki itu? Dia
bingung. Hatinya berbelah-bagi. Jika apa yang dilihatnya dalam drama-drama
melayu, si isteri biasanya menyambut kepulangan suami dengan air kosong aje.
Itu pun dah cukup buat sang suami gembira. Tetapi dengan ‘Tengku Harimau’ itu,
dia tak tahu apa selera lelaki bercitarasa besar itu. Manalah tahu kut lelaki
itu tak minum air kosong. Nak jus jugak!
‘Aduh…
susahnya!’ Aisyah merungut dalam hati. Namun tanpa dia sedari, dia sudah pun
berdiri di hadapan lelaki itu. Entah bila masa kakinya ini gatal sangat
melangkah?
“Errr… tengku. Ini air untuk tengku.”
Dengan rasa takut-takut berani, Aisyah meletakkan dulang kecil berisi air
kosong di hadapan Tengku Iskandar.
Tengku Iskandar
yang sedang berehat tidak menjawab. Teguran Aisyah langsung tidak diendahkan.
Dia malas hendak berbual dengan gadis kampung itu.
Melihat respons
kurang mesra Tengku Iskandar, Aisyah segera berpusing. Lebih baik dia
menyelesaikan kerja-kerja memasaknya di dapur.
“Buka stoking aku!” arah Tengku Iskandar
bersahaja. Kakinya sudah diangkat naik ke atas meja.
Aisyah yang
baru berpusing hendak melangkah itu kembali memusingkan badannya menghadap
Tengku Iskandar. Lelaki itu masih lagi seperti tadi. Dengan mata terpejam dan
lengan kanan yang diletak atas dahi.
“Kau dengar tak
apa yang aku suruh? Buka stoking
aku!” Biarpun aksinya masih serupa, namun suaranya sudah mengeras.
Aisyah ketap
bibir. ‘Hisy… dia ni! Takkan buka stoking pun nak suruh aku juga yang
buat? Bukan susah pun. Bukalah sendiri. Kan ALLAH dah bagi tangan untuk buat
kerja.’
Mendapati tiada
respons daripada Aisyah, Tengku Iskandar mengalihkan lengan dan membuka
matanya. Tajam pandangannya menikam wajah Aisyah. Membuatkan gadis itu kalut
lalu dengan kelam-kabut Aisyah terus duduk melutut di hadapannya. Membuka
stokingnya dengan penuh berhati-hati.
“Kau ni memang
ada masalah pendengaran kan? Setiap kali aku bercakap… kau boleh buat selamba
aje. Nak aku jerit dua tiga kali baru kau terhegeh-hegeh. Kau ni memang
menyakitkan hati tau!!” hina Tengku Iskandar. Geram sungguh dia dengan Aisyah.
Jika disuruh mahu diulang dua tiga kali barulah gadis kampung itu bertindak.
Aisyah tunduk
membisu. ‘Tengku Harimau’ itu memang gemar menghinanya. Mungkin sudah menjadi
hobi lelaki itu agaknya untuk menghina. Disebabkan itulah tidak lengkap hidup
lelaki itu jika tidak menghinanya sehari. Dia ada perasaan. Tetapi lelaki itu
tidak menghiraukan perasaannya ini.
Tanpa ucapan
terima kasih, Tengku Iskandar melangkah naik ke atas. Meninggalkan Aisyah yang
masih lagi tunduk memandang lantai.
‘Huh! Dasar
‘Tengku Harimau! Dah kena tolong buka stoking
pun langsung tak ucap terima kasih.’ Kerana geramkan Tengku Iskandar yang
bongkak itu, tak semena-mena Aisyah membaling stoking lelaki itu sehingga
mendarat ke atas sofa.
“Sediakan makan
malam aku. Lepas mandi nanti aku nak makan. Kalau kau masak tak sedap… siap la
kau!”
Suara Tengku
Iskandar kedengaran dari atas memberi arahan. Kasar saja bunyinya. Membuatkan
Aisyah tersentak dan cepat-cepat dia mengutip semula stoking lelaki itu yang
dibuang sebentar tadi. Ingatkan lelaki itu turun semula. Terkejut dia.
Aisyah bangun.
Stoking Tengku Iskandar dibuang masuk ke dalam bakul yang disediakan khas untuk
pakaian kotor. Esok pagi dia akan membasuhnya. Kemudian dia kembali ke dapur.
Membasuh tangan dan menyudahkan kerja menghiris timun yang tergendala gara-gara
menghantar air kepada ‘Tengku Harimau’ itu tadi.
Malam ini dia
masak bawal lemak cili api, ayam goreng berempah dan sayur campur tumis udang
segar. Tidak lupa dia menyediakan sambal belacan yang ditumbuk sendiri. Lebih
asli rasanya. Tidak sama dengan rasa sambal belacan yang diblander. Dan timun
yang dihirisnya ini merupakan ‘teman baik’ pada sambal belacan. Tak lengkap
jika tiada.
Aisyah
tersenyum. Kecur air liurnya melihat menu makan malam yang sudah tersedia di
atas meja makan. Harap-harap menunya ini kena tepat pada citarasa Tengku
Iskandar.
Derap kaki
Tengku Iskandar sudah kedengaran. Haruman yang dipakainya juga sudah menusuk
masuk ke lubang hidung Aisyah. Suka benar dia menghidu haruman yang dipakai
lelaki itu. Harum dan segar baunya.
Dengan wajah
masam Tengku Iskandar menarik kerusi. Menu di hadapan diperhati. “Kau masak apa
ni?”
Aisyah telan
air liur. Soalan yang dirasakan hampir sama dengan soalan pagi tadi. Cuak dia
jadinya.
“Errr….” Gagap dia hendak menjawab.
“Kau tahu tak
aku tak suka makan makanan macam ni. Ini makanan orang kampung. Aku tak layan
makanan orang-orang kampung ni.”
“Errr… maaf tengku. Saya tak tahu tengku
tak makan makanan macam ni. Kalau saya tahu saya tak masak.” Balas Aisyah cuba
memberanikan diri.
Tengku Iskandar
mendengus. Dia bangkit dari duduknya. Berkeriut bunyi kerusi itu akibat ditolak
dengan kasar.
“Errr… tengku tak nak makan ke?” tanya
Aisyah tatkala Tengku Iskandar berlalu meninggalkan ruang makan.
“Makanan macam
tu bukan test aku! Kalau kau nak
makan, kau makan la! Makanan tu memang sesuai dengan perempuan kampung yang
bodoh macam kau. Citarasa rendah!” dengan sombong Tengku Iskandar berkata. Dia
kembali naik ke atas. Seleranya mati melihat menu yang terhidang. Mujur jugalah
dia sempat menikmati burger Mc’D sebelum pulang tadi. Tak adalah dia lapar
sangat.
Melihat lelaki
itu yang sudah menghilang ke atas, Aisyah menggeleng kepala. Rasa membazir pula
makanan yang tidak terusik. Inikan rezeki ALLAH. Sepatutnya lelaki itu
bersyukur kerana masih diberi rezeki untuk menikmati makanan serupa ini. Jika
hidup di Somalia, tengok apa yang mereka dapat makan? Tengku Iskandar memang
jenis lelaki tak bersyukur dengan rezeki yang diberi. Mentang-mentang dia kaya.
Dia ingat kekayaan itu akan berkekalan sampai bila-bila. Sekali ALLAH tarik
kekayaannya, baru padan dengan muka.
Aisyah
mengeluh. Jika dia tahu lelaki itu tak makan makanan ala-ala kampung begini,
baik dia tak usah masak sedap-sedap. Goreng telur dah cukup!
JAM digital atas meja sisi sudah menunjukkan pukul dua belas lima
puluh minit malam. Perutnya yang berkeroncong lapar membuatkan dia tidak dapat
melelapkan mata. Semakin dia cuba melelapkan mata, semakin kuat pula bunyi
‘Keroncong Buat Ana’ pada perutnya. Tengku Iskandar mendengus. “Hisy… perut ni! Waktu macam ini jugalah
dia nak lapar!” marahnya pada perut sendiri.
Tengku Iskandar
bangun. Dia teringatkan makanan yang dimasak gadis kampung itu. Egonya melangit
tidak mahu menjamah tetapi perutnya yang sudah menggila tahap kelaparannya ini
begitu memaksa. Lantas dengan langkah berhati-hati, Tengku Iskandar menuruni
anak-anak tangan. Terjengket-jengket kakinya tidak mahu Aisyah dengar akan
pergerakannya itu.
Sampai di ruang
dapur berlatarkan warna putih, dia melangkah ke arah peti ais. Liar matanya
mencari makanan yang dimasak gadis kampung itu awal malam tadi. Manalah tahu
masih ada yang disimpan. Takkanlah si gadis kampung yang bodoh itu hendak
menghabiskan semua makanan.
Dia tersenyum
ketika mata mendarat pada Tupperware
berisi bawal masak lemak cili api. Pantas dia mengeluarkan Tupperware tersebut. Kiri kanan kepalanya menoleh. Takut andai si
gadis kampung itu terjaga. Jatuhlah sahamnya!
Lauk yang sudah
sejuk itu dibawa ke microwave untuk
dipanaskan. Sementara menunggu lauk tersebut panas, dia menyelak tudung saji.
Masih ada ayam goreng berempah, sayur campur dan sambal belacan serta timun di
atas meja. Kecur air liurnya melihat sambal belacan tersebut. Sudah agak lama
dia tak makan sambal belacan. Panas saja bawal masak lemak cili api, dia masukkan
pula sayur campur. Hampir meleleh air liurnya menghidu aroma bawal masak lemak
cili api tersebut. Benar-benar membuka selera.
Sementara
menunggu sayur campur panas, Tengku Iskandar menyenduk nasi putih ke dalam
pinggan. Perutnya benar-benar sudah lapar tahap maksimum. Berkeroncong tak
henti-henti! Apatah lagi melihat lauk-pauk di depan mata. Semakin kuat dia
berbunyi.
Sebaik sayur
campur panas, tanpa membuang masa Tengku Iskandar duduk di hadapan meja.
Perutnya sudah tidak sabar minta diisi. Dengan lahap, dia mengunyah makanan. Perghhh! Memang sedap bawal masak lemak
cili api gadis kampung itu. Cukup rasa santan, cukup rasa pedas! Sampaikan dia
makan tak toleh ke belakang lagi.
“Bruppp!” Tengku Iskandar sendawa
kenyang. Perutnya terasa puas dapat diisi dengan makanan. Sudah lama dia tak
menikmati makanan ala-ala kampung begitu. Selalunya dia hanya makan makanan
ala-ala western. Dengan spaghetti, lamb chop, fish mayonnaise,
macaroni cheese dan makanan western
yang seangkatan dengannya.
Tidak mahu
Aisyah mengesan sisa-sisa makanan yang dimakannya, dengan cepat Tengku Iskandar
mengemas segala pinggan mangkuk. Dibasuh bersih dan diletakkan semula ke
tempatnya. Kemudian lauk-pauk yang berbaki dibuang ke dalam tong sampah. Ini
adalah taktik agar Aisyah tidak tahu makanan itu telah dimakan. Esok pasti
gadis itu kebinggungan. Jika Aisyah mengesyaki dia, pandailah dia bagi jawapan.
Jika tak berkesan, dia akan gunakan kekerasan. Biar Aisyah diam. Dia tak mahu
maruahnya kelihatan rendah di mata gadis kampung seperti Aisyah.
‘Alaaa…
perempuan kampung bodoh macam tu bukannya dia tahu apa-apa pun. Sekolah setakat
darjah enam.’ Sempat juga dia mencemuh. Yakin sangat Aisyah itu bodoh seperti
yang difikir. Ingat dia seorang saja yang pandai!
BEST...
BalasPadambila lgi next eps dear?..
BalasPadamBest sngt crta dia.. Nnti nk cri novel bru puas bca..
BalasPadam