Bab 17
PERLAHAN-LAHAN Tengku
Iskandar membuka mata. Kepalanya yang berat dan pening menyebabkan dia terasa
malas hendak bangun. Namun dia terpaksa memandangkan jam lonceng sudah
menjerit-jerit separuh mati membingitkan telinga. Jam itu memang suka menganggu
lenanya!
Tengku Iskandar
mengeliat ke kiri dan kanan. Cuba menyelesakan badan yang terasa lenguh-lenguh.
Tiba-tiba dia terasa ada kelainan pada dirinya. Comforter yang menyelimuti separuh daripada badannya diselak. Wajahnya
serta-merta berubah. Matanya memerhati pakaiannya yang berselerak di atas
lantai.
Tengku Iskandar
memerah otak. Cuba mengingat apa yang telah terjadi.
Satu-per-satu
kejadian semalam menerjah kotak fikiran. Bayangan antara dia dengan gadis
kampung itu terlayar depan mata. “Oh my
god!” itulah yang terluah dari mulut Tengku Iskandar setelah ingatannya
berjaya memproses kejadian tersebut. Dia terkejut namun tiada rasa bersalah
dalam dirinya.
Telefon bimbit
berdering. Tengku Iskandar bangun sambil melilit comforter ke pinggangnya. Pada skrin terpampang nama Tengku Haziq.
Laju dia menjawab panggilan yang memekakkan telinga.
“Assalamualaikum…
kau kat mana ni?”
“Waalaikumusalam.
Aku masih kat kondo.”
“What? Hey… kau dah lupa ke kita ada meeting
dengan Datuk Ismadi dekat Putra Holding pukul sepuluh setengah nanti. Sekarang
ni dah pukul berapa?” Ujar Tengku Haziq dengan suara sedikit meninggi.
“Aku tak lupa
la. Cuma aku terlajak tidur aje.”
“Banyaklah kau
punya terlajak. Dah pukul lapan lima puluh minit pagi tau. Kau buat apa lagi
kat rumah tu? Kau kan tahu jalan kat KL ni tak pernah lengang, lagi nak
lengah-lengah. Takkan nak sampai Putra Holding pukul sebelas pulak!” geram
benar Tengku Haziq dengan perangai sambil lewa Tengku Iskandar. Boleh pula dia
masih bersenang lenang di kondonya itu sedangkan masa terus berjalan. Memang
benar meeting bermula pukul sepuluh setengah tetapi apa salahnya Tengku
Iskandar bergerak awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Tengku Iskandar
mencemik. Tengku Haziq sudah mula berceramah pagi. Sebiji mewarisi perangai
mummy. ‘Bla! Bla! Bla! Bla! Macam orang perempuan!’ Hati mendesis.
“Ya la. Ya la.
Aku bersiap la ni. Kau tunggu aku kat ofis. Kita gerak sama-sama ke sana.”
Tidak menunggu lama, Tengku Iskandar mematikan talian. Semakin lama dia berbual
dengan Tengku Haziq, semakin panjang berjela pula bebelan lelaki itu nanti. Menyakitkan
telinga saja!
Tiga puluh
minit berlalu, Tengku Iskandar siap sepenuhnya. Wajahnya yang kacak itu
bertambah kacak dengan penampilan penuh bergaya. Memang dia gemar bergaya.
Disebabkan itu dia banyak menerima tawaran photoshoot
bagi majalah-majalah pakaian di Malaysia. Cuma sejak kebelakangan ini kerap
menolak tawaran daripada beberapa majalah terkemuka. Kesibukan kerja
membataskan aktiviti kegemarannya itu.
Dia melangkah
turun ke bawah. Ketika itu juga matanya menangkap kelibat Aisyah yang sedang
menyusun beberapa keping roti yang sudah disapu dengan mentega dan kaya ke
dalam pinggan. Tunduk saja wajah gadis itu seperti kebiasaan bila berdepan
dengannya.
Tengku Iskandar
mengambil tempat di meja makan. Tempat yang biasa menjadi pilihannya.
Aisyah
meletakkan jus oren Peel Fresh dan roti yang sudah disapu mentega dan kaya tadi
di hadapan Tengku Iskandar. Wajah lelaki itu langsung tidak dipandang. Kejadian
semalam masih menganggu mindanya. Cuma dia terpaksa berlagak biasa di hadapan
Tengku Iskandar. Berharap agar lelaki itu tidak mengingati apa yang telah
berlaku semalam. Biarlah hanya dia seorang yang mengetahuinya. Tidak rela jika
lelaki itu menyedari apa yang terjadi antara mereka. Silap hari bulan Tengku
Iskandar menuduh dia yang mengambil kesempatan.
“Apa yang jadi
semalam?” Tanya Tengku Iskandar sambil menjerling wajah Aisyah dengan ekor
matanya. Sengaja dia bertanya. Mahu melihat reaksi gadis kampung itu. Sedangkan
dia sudah ingat apa yang terjadi antara mereka semalam.
Pertanyaan
Tengku Iskandar menyentak jantung Aisyah. Dadanya mula berdebar-debar. Adakah lelaki
itu sedar apa yang telah berlaku? Tidak! Tidak! Tengku Iskandar tak sedar
kerana waktu itu dia mabuk dan terus tertidur setelah puas menikmati tubuh
Aisyah.
Aisyah sekadar
menggeleng. Tanda tiada apa-apa yang berlaku semalam. Padahal kejadian semalam
menyebabkan dia tidak dapat tidur sepanjang malam. Matanya yang bengkak juga
akibat menangis sepanjang malam.
“Kau ingat aku
bodoh tak tahu apa yang jadi!” ujar Tengku Iskandar lagi. Wajahnya masih
selamba dengan mulut sudah mengunyah roti.
Semakin
berdebar jantung Aisyah mendengar bicara Tengku Iskandar. Kepalanya tidak
berani diangkat. Kejadian semalam mula terbayang depan mata. Tanpa rela ‘harta’
kepunyaannya dirampas lelaki itu. Dia cuba menghalau bayangan itu. Terasa jijik
dan malu pada diri sendiri. Betapa lemahnya dia sehingga kehormatannya diragut
suami sendiri.
“Apa pun yang
jadi semalam… aku rasa aku memang berhak dapat. Sepatutnya dari malam aku
jadikan kau bini aku lagi aku dah dapat hak aku.” Selamba saja Tengku Iskandar
menutur kata. Langsung tidak memikirkan perasaan Aisyah yang tercalar dengan
kata-katanya itu.
Sudahlah
semalam dia memperlakukan Aisyah tanpa kerelaan gadis itu. Hari ini pula dia
mencalar hati Aisyah dengan kata-kata tak berperasaannya. Buat selamba bagaikan
tiada apa yang perlu dikesali kerana memang dia berhak memilikinya.
Benar Aisyah
isteri Tengku Iskandar. Benar Tengku Iskandar berhak mendapatkan haknya sebagai
seorang suami. Namun bukan dengan cara keji seperti semalam. Apa yang terjadi
semalam lebih kepada kes memperkosa. Tengku Iskandar meragut ‘harta’ Aisyah
dengan cara paksaan.
Aisyah pejam
mata. Air mata yang terasa ingin mengalir cuba ditahan. Lelaki seperti Tengku
Iskandar tidak akan bersimpati dengan air mata seorang wanita sepertinya.
Lelaki itu memang kejam!
Usai
menghabiskan jus orennya, Tengku Iskandar bangun dari duduk. Langkahnya dibawa
menghampiri Aisyah. Didekatkan wajahnya ke wajah Aisyah yang menunduk. Lalu dia
berkata sesuatu.
“Kau dengar
sini… aku nak kau simpan baik-baik apa yang dah jadi malam semalam. Jangan
cerita pada sesiapa terutama Tengku Haziq. Kalau aku tahu kau bagitau Tengku
Haziq apa yang aku dah buat dekat kau, nahas kau aku kerjakan. Faham?” lembut
nadanya tetapi penuh dengan ugutan.
Aisyah hanya
diam. Langsung tidak memberi respons pada ugutan Tengku Iskandar. Hatinya
begitu luka dengan perlakuan lelaki itu. Tiada kata maaf malah ‘Tengku Harimau’
itu dengan megah mengatakan dia memang berhak memiliki ‘harta’ kepunyaan
Aisyah. Memang lelaki tak punya hati perut!
Panas hati
Tengku Iskandar melihat tingkah kaku Aisyah yang tak ubah seperti patung
cendana. Pantas dia menarik rambut gadis itu sehingga terangkat wajah Aisyah.
“Kau faham tak
apa yang aku cakap ni?! Yang kau buat bodoh kenapa? Kau ni memang suka
menyakitkan hati aku la!” jerkah Tengku Iskandar dengan wajah merah.
“Fa… faham.”
Aisyah bersuara gagap. Nadanya sudah bergetar dengan air mata sudah mula
berlinangan. Rambutnya yang bertocang kemas sudah kusut masai dek perbuatan
Tengku Iskandar.
“Bagus kalau
kau faham!” Rambut Aisyah dilepaskan. “Dah! Aku nak pergi. Malam ni masakkan
aku Spaghetti.” Pesannya lalu mengangkat briescafe dan berlalu pergi tanpa rasa
simpati. Tangisan Aisyah langsung tidak melemahkan hati lelakinya.
“APA ni?!” Fira merempuh masuk ke dalam bilik Tengku Iskandar
sambil melempar jambangan bunga ke atas meja. Benar-benar di hadapan Tengku
Iskandar. Wajah Fira masam mencuka.
“Errr… sorry bos. Saya dah cuba
halang Cik….”
“It’s okey
Syeeda. You boleh keluar.” Ujar
Tengku Iskandar memotong ayat Syeeda.
Syeeda
mengangguk. Dia akur mengikut arahan yang diberi. Pintu bilik bosnya ditutup
semula. Sebenarnya ini bukan kes pertama Tengku Iskandar diserang perempuan.
Sudah kerap kali Syeeda berhadapan dengan situasi begini.
Setelah pintu
bilik tertutup, Tengku Iskandar bangun dari duduknya. Butang baju kot dibuka.
Kemudian dia menghampiri Fira yang berwajah masam. Punggungnya disandar pada
hujung meja kerja.
“Ini bunga la baby. Takkan you dah tak kenal bunga
lagi. Selama ni you kan suka kalau I bagi you bunga.” Jambangan white roses yang dibuang atas mejanya tadi diambil. Kemudian disuakan
kepada Fira yang sudah memeluk tubuh dengan wajah masam mencuka.
“You jangan nak
main-mainkan I Is! Takkan you tak baca kad kecil yang you selitkan tu.”
Selamba saja
aksi Tengku Iskandar. Kad kecil yang terselit pada jambangan bunga tersebut
dicapai. Kemudian dengan bersahaja dia membaca tulisan kecil pada kad. “Dear Safira. Thanks for everything but I can’t
give you what you want. Sorry and good bye!”
Fira menarik
muka. Kata-kata dalam kad itu cukup menyakitkan hatinya. “What do you mean about sorry and good bye? Kita baru beberapa kali
bersama. Takkan you tergamak tinggalkan I. You kata you sayangkan I dan you
mahu I sentiasa ada di sisi you. But now…
you nak tinggalkan I!” Fira merengus.
Tengku Iskandar
ketawa dengan penuh bersahaja. Riak Fira mencuit hatinya. Perempuan macam Fira
memang bodoh! Ingat dia tak tahu apa yang Fira mahukan daripada dia? Dia belum
bodoh menilai perempuan seperti Fira yang lebih memandang harta daripada
hatinya. Memang patut dia tinggalkan Fira.
Lagipun dia tak
pernah bertahan dengan mana-mana perempuan selama ini. Dia tak suka ikatan yang
bakal menjerat hatinya. Sudah diajar hatinya untuk tidak tunduk pada kehendak
wanita. Wanita seperti Fira hanyalah teman untuk bersosial. Teman untuk
memuaskan nafsu lelakinya.
“Is! I tak buat
kelakar okey! Yang you ketawa tu kenapa?” semakin menggelegak rasa panas hati
Fira mendengar ketawa Tengku Iskandar.
“You are very funny, baby. Yes I told you that I love you but… I’m not in love with you!” Dipenghujung
kata, nada Tengku Iskandar kedengaran tegas. Lagaknya juga begitu bersahaja.
“What? How dare you Is?!” Fira mengangkat tangannya. Mahu menampar muka
Tengku Iskandar yang begitu mudah memperlakukan dia sebegitu rupa. Namun
tindakannya berjaya dihalang Tengku Iskandar. Pergelangan tangannya ditangkap
dan ditekan kuat lelaki itu. membuatkan dia meronta minta tangannya dilepaskan.
“Jangan
sesekali you berani nak sampaikan tangan dekat muka I. You ingat I tak tahu
siapa diri you? You ingat I bodoh tak dapat bezakan anak dara dengan bukan
dara? Hey… you dengar sini, perempuan
macam you ni dah ramai yang I jumpa. Setakat baru keluar beberapa kali you nak
ikat I, jangan mimpi la! I tak akan terikat dengan perempuan macam you.”
Merah padam
muka Fira mendengar kata-kata Tengku Iskandar. Sangkanya dia sudah berjaya
menawan hati lelaki itu. Ternyata dia silap. Tengku Iskandar lebih bijak
daripada dirinya. Tangannya yang digenggam kejap Tengku Iskandar dilepaskan.
Ada kesan merah pada pergelangan tangannya yang putih melepak itu.
“Get out of my office!” halau Tengku
Iskandar.
Fira menggigit
bibir. Terasa hina diperlakukan sebegitu. Dengan hati yang panas, dia keluar
dari bilik Tengku Iskandar. Lelaki itu benar-benar telah menjatuhkan maruahnya.
Selepas ini terpaksalah dia terhegeh-hegeh semula menagih kasih Datuk Kiram
yang pernah ditinggalkannya dua bulan lalu. Hanya lelaki tua kerepot itu saja
yang mampu menanggung kos hidupnya di kota metropolitan ini. Dia sudah tidak
kisah lagi kedutan pada wajah tua itu asalkan dia dapat hidup dengan senang.
Setelah Fira
berlalu dengan rasa sebalnya, Tengku Iskandar ketawa besar. Kelakar melihat
wajah merah menyala Fira yang tak ubah seperti udang dipanggang atas bara api.
Seorang lagi perempuan bodoh yang berjaya dia tinggalkan!