W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Selasa, 10 Jun 2014

CINTA 3 RASA 3






Bab
3

“BARU balik Ryan?” sapa Ku Ana sewaktu terlihat kelibat Tengku Rayyan memanjat anak-anak tangga.
Tengku Rayyan berhenti. Dipalingkan wajah kepada bondanya. Sebuah anggukan lemah diberikan.
“Dah makan? Bonda ada masak lauk kegemaran Ryan malam ni.” Ku Ana memancing selera anak bujangnya itu. Dia tahu Tengku Rayyan gemarkan lauk ayam masak merah. Disebabkan itu dia telah masak lauk kegemaran anaknya sendiri.
Sudah lama Tengku Rayyan tidak makan bersama mereka. Anak itu sering menyendiri. Sejak arwah Sofea pergi meninggalkan mereka semua, Tengku Rayyan tak ubah ibarat mayat hidup. Jasadnya saja yang kelihatan tetapi rohnya sudah lama ‘mati’ ketika mengetahui Sofea pergi tak kembali. Dia tahu betapa cinta Tengku Rayyan terhadap arwah Sofea. Namun hati seorang ibu tidak sanggup melihat perubahan laku anaknya yang selama ini berperwatakan ceria.
“Takpe la bonda. Ryan tak lapar lagi. Nanti kalau Ryan lapar Ryan turun makan ya.” Jawab Tengku Rayyan. “Ryan naik dulu. Nak mandi dan rehat. Assalammualaikum bonda.” Sambungnya dan kembali mengatur langkah mendaki anak tangga.
Ku Ana menghela nafas. Tumpah simpatinya pada nasib si anak. Dia tahu anaknya itu masih menanggung rindu pada arwah yang amat dikasihi.
Masuk ke dalam bilik, Tengku Rayyan meletakkan briefcase di atas meja kerja. Dia mengeluh seketika. Bukan niatnya mahu menghindarkan diri daripada keluarga. Dia menyayangi mereka semua. Terutama sekali bonda. Cuma hatinya terasa telah ‘mati’ untuk bersuka-ria. Dia lebih suka begini. Menyendiri dan sibuk dengan urusan kerja. Sekurang-kurangnya apa yang dilakukannya ini bisa membuatkan dia lupa pada kenangan silam yang cukup menyayat hati.
Dia mengeluh lagi. Entah sudah berapa kali dia asyik mengeluh. Dia tahu mengeluh itu sesuatu yang tak elok. Malah Allah juga tidak suka hambaNya sering mengeluh. Namun apa lagi dapat dilakukannya? Dia tidak cukup kuat melupakan kenangan bersama arwah Sofea. Setiap kali teringatkan arwah tunangnya itu, air matanya tak segan-silu mengalir keluar.
Tengku Rayyan mencapai tuala yang tersidai atas penyidai kayu. Jika dilayan hatinya ini, semakin parah jadinya. Lantas dia mengambil keputusan untuk mandi dan seterusnya menunaikan solat Isyak.
Selesai menunaikan tanggungjawabnya kepada Yang Maha Pengasih, dia mengambil komputer riba lalu dibawa ke katil. Ada beberapa folder penting yang perlu dilihat. Semua berkaitan dengan kerja.
Ketika jari-jemari mengklik setiap folder, tiba-tiba matanya terpaku pada sebuah folder yang diberi nama ‘My love’. Bergetar jantungnya memandang folder tersebut. Sudah agak lama folderMy Love’ itu tidak dibuka. Malam ini hatinya tertarik mahu membukanya kembali. Dan kala matanya jatuh pada wajah-wajah manis bertudung di skrin laptop, hatinya seakan-akan ingin meraung kerana dia tahu wajah itu tak akan muncul di alam realitinya.
“Saya rindukan awak….” Ucap Tengku Rayyan mengusap wajah arwah Sofea yang terlayar pada komputer riba.

“LAMBAT!” Panjang muncung Sofea bila Tengku Rayyan berdiri di hadapannya dengan nafas tercungap-cungap. Macam orang baru menghabiskan larian 200 meter aje!
Sorry la. Saya bukan sengaja datang lambat.” Pinta Tengku Rayyan. Wajah masam mencuka gadis yang dicintainya itu dipandang penuh kasih.
Tiada jawapan. Sofea tetap dengan muncung panjang sedepa. Jika ada pengukur, mahu saja Tengku Rayyan mengukur berapa sintimeter agaknya panjang muncung Sofea ketika ini. Tapi mengenangkan wajah mencuka kekasih hatinya itu, dia tak jadi nak bergurau. Dia tahu Sofea tengah marah. Tak pernah Sofea masam sebegini rupa.
Tengku Rayyan melabuhkan punggung di hadapan Sofea. Wajah masam itu langsung tidak mencacatkan kecantikan Sofea di mata Tengku Rayyan. Padanya Sofea tetap cantik walau dalam situasi marah sekali pun. Namun bukan kerana kecantikan luaran ini menyebabkan dia jatuh cinta pada Sofea. Cintanya pada gadis itu tulus dan ikhlas.
“Awak marahkan saya ke?” tanya Tengku Rayyan sedangkan dia memang sudah tahu Sofea marahkan dia. Sengaja nak bertanya.
“Tak! Saya sukaaaaa sangat awak datang lambat!” jawab Sofea bersahaja. Wajah masih lagi mencuka.
Ketawa Tengku Rayyan mendengar jawapan itu. Nampak sangat ketidak ikhlasannya.
Mendengar tawa jejaka idaman hatinya itu, Sofea mengetap bibir. ‘Geramnya!!!!!’ Lantas dia bangun dari duduk dan meninggalkan Tengku Rayyan yang sudah mati ketawa akibat terkedu melihat Sofea berlalu. ‘Padan muka!’ Hatinya menggumam.
“Awak! Tunggu la dulu. Janganlah macam ni. Saya bukan sengaja datang lambat. Saya ada hal penting tadi.” Terkocoh-kocoh Tengku Rayyan mengejar langkah Sofea. Bagai lipas kudung!
“Kalau dah tahu ada hal penting, buat apa nak jumpa saya?” semakin geram Sofea mendengar alasan Tengku Rayyan itu. Tadi ketika dia di rumah, Tengku Rayyan menelefonnya mengajak berjumpa. Hampir satu jam setengah dia menunggu di restoren Mc’D tadi. Kelibat lelaki itu tetap tak muncul-muncul. Dah muncul, boleh pula bagi alasan macam tu pada dia. Ingat dia ini tunggul ke?
“Hal penting saya tadi ada kaitan dengan awak la.”
“Alasan!” Sofea mencebik. Tak percaya langsung!
“Betul la awak. Awak tunggu la saya.”
Sofea langsung tidak mahu menghiraukan rayuan Tengku Rayyan. Menonong saja langkahnya. Langsung tak toleh ke belakang.
“Nurul Sofea Abdul Razak! Sudi tak awak kahwin dengan saya? Jadi isteri saya? Bidadari saya dunia akhirat?”
Jeritan itu mematikan langkah Sofea. Perlahan-lahan dia berpaling. Tengku Rayyan sedang melutut di situ. Wajahnya begitu mengharapkan sebuah jawapan. Hangat wajah Sofea dengan tindakan spontan Tengku Rayyan. Dah macam main wayang pulak lagak lelaki itu! Cuma pengarahnya sahaja yang tiada.
Sofea menghampiri Tengku Rayyan. Lelaki itu tersenyum manis.
“Apa awak buat ni? Awak tak malu ke?” Ujar Sofea dengan suara dikecilkan. Matanya meliar ke kiri dan kanan. Malu bukan kepalang bila berpasang-pasang mata memandang ke arah mereka. Ada yang tersenyum-senyum, ada juga yang sedang berbisik-bisik. Tak kurang ada yang memandang sinis. Mungkin mereka beranggapan mereka berdua ini mencari publisiti murahan.
“Saya tak sengaja datang lambat. Saya betul-betul ada hal penting. Saya cari benda ni….” Tengku Rayyan menyeluk poket seluar slack hitamnya. Lalu dia menunjukkan kotak baldu merah hati itu kepada Sofea.
Bergetar hebat hati Sofea melihat kotak baldu itu.
“Saya tak tahu nak pilih yang mana satu. Tapi saya nak cari yang paling istimewa dan cantik untuk awak. Sebab tu saya lambat. Puas saya cari… akhirnya saya dapat jugak. Awak memang berhak dapat yang cantik sebab awak puteri dalam hati saya. Nurul Sofea, sudi tak awak berkahwin dengan saya?” sekali lagi lamaran diucap. Kotak baldu kecil dibuka dan berkilaulah cincin bertakhta batu berlian di dalamnya. Cantik dan unik designnya.
Sofea terkedu. Tak terluah apa yang terbuku dalam hatinya selama ini.
“Saya tak akan bangun selagi awak tak beri kata putus.” Ujar Tengku Rayyan separuh mengugut.
Sofea telan liur. Dengan perasaan malu-malu kucing, akhirnya dia mengangguk. Pipinya merah bagai udang dipanggang. Anggukan itu membuatkan senyuman pada bibir Tengku Rayyan melebar. Gembira kerana lamarannya diterima. Selepas ini dia perlu memaklumkan kepada walid dan bonda untuk meminang Sofea. Dia sudah tidak sabar menjadikan Sofea isterinya yang sah.
Horrey!!!!”
Jeritan tak ubah seperti kanak-kanak riang rebina itu menambahkan lagi bahang di wajah Sofea. Tengku Rayyan bagaikan anak kecil. Seronok hingga bersalaman dan memaklumkan kepada orang ramai yang berdiri menyaksikan tingkahnya tadi yang dia nak kahwin. Tak senonoh!
Namun jauh di lubuk hati Sofea, dia amat bahagia dengan lamaran itu. Semoga bahagia menjadi milik mereka.

“SOFEA!” Nama itu diseru. Segera Tengku Rayyan membuka matanya. Terasa ada air sedang membasahi pipinya ketika itu.
Astagfirullah al azim….” Dia meraup wajah. Rupanya dia bermimpikan kenangan silam. Kenangan ketika dia melamar arwah Sofea menjadi isterinya.
Tengku Rayyan menghela nafas. Komputer riba yang masih berada dalam pelukannya diletakkan ke sisi. Kerana terlalu asyik melayan setiap gambar-gambar Sofea yang berada dalam simpanan, dia termimpikan gadis itu. Rindunya bertandang lagi. Rindu yang tak pernah ada kesudahannya.
Air mata Tengku Rayyan mengalir lagi. Runtuh ego seorang lelaki kala hatinya begitu merindui insan tersayang. Hendak menyalahkan takdir yang terjadi, dia tahu itu bukanlah sesuatu yang baik. Dia orang islam. Dia tahu semua ini ketentuan Ilahi. Apa yang berlaku tiga tahun lalu hanyalah satu penyebab untuk arwah Sofea kembali kepada PenciptaNya. Tiada siapa boleh menghalang kehendak Allah. Kun Fa Ya Kun! Maka terjadilah apa yang telah Allah tetapkan.
Azan subuh berkumandangan. Cepat-cepat Tengku Rayyan mengesat air matanya dan melompat turun dari atas katil. Lebih baik dia segera mengerjakan solat daripada terus melayan perasaan yang tak ada kesudahan.

BESAMBUNG....

2 ulasan: