W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Isnin, 23 Jun 2014

CINTA 3 RASA 4










Bab
4

TERCUNGAP-CUNGAP nafas Amanda. Masuk kali ini, sudah tiga pusingan dia berlari. Amanda memang suka berjoging. Baginya dengan berjoging dia dapat menjaga kesihatan tubuh dan menguatkan stamina.
Geram hatinya dengan Nadia dan Dila. Berjanji bukan main lagi. Kata nak jogging bersama. Tapi bila tiba masanya, jangankan batang hidung, bayang-bayang teman berdua itu pun tak ada! Itu tak lain mesti tengah buat tahi mata lagi!
Sambil hati mengumam marahkan Nadia dan Dila, Amanda meneruskan larian. Peluh yang memercik dikesat dengan tuala kecil yang tersangkut di bahu.
Tiba-tiba….
“Adoi!!!” Amanda menjerit.
Tak pepasal dia duduk terjatuh di atas jalanan. Terasa kebas punggungnya kerana terhempas di atas jalan. Siapalah manusia tak bermata yang telah melanggarnya itu? Tak guna betul!
Errrsorrysorry. Saya tak sengaja.” Kalut si lelaki jadinya. Tangan dihulurkan tanda ingin membantu.
Amanda mencebik. Wajahnya masam mencuka. Lelaki di hadapannya itu nampak kacak tetapi sayang matanya buta!
“Tak payah!” kasar Amanda menolak. Huluran tangan lelaki itu langsung tidak disambut. Dengan wajah masam mengalahkan cuka basi dia bangun. Kebas terasa punggungnya akibat terhempas dengan kuat. ‘Entah berapa la harga saham aku jatuh tadi? Tak guna betul mamat ni!’ gerutu Amanda geram.
Punggungnya yang terasa kebas dilibas-libas.
Errr… maafkan saya, cik. Saya betul-betul tak sengaja.” Sekali lagi lelaki itu memohon kemaafan.
Amanda mencebik. Sakit hatinya bukan kepalang!
“Awak ni buta ya? Saya yang besar ni pun awak boleh tak nampak. Lain kali kalau nak berjoging tu pandanglah ke depan. Bukan asyik tengok perempuan-perempuan seksi berlenggang-lenggok. Lelaki macam awak ni… saya dah tahu sangat perangainya. Dasar ulat bulu!” Ikut suka hati sahaja Amanda menuduh.
Lelaki itu naik geram apabila dituduh begitu. Sepanjang dia berjoging, tak pernah lagi dia menggatal tengok perempuan-perempuan seksi. Dia bukan jenis lelaki ulat bulu seperti yang dituduh perempuan itu.
“Cik… kan saya dah minta maaf. Saya tak sengaja okey. Cik janganlah nak tuduh-tuduh pulak.” suaranya yang tadi lembut berbahasa sudah dikeraskan. Dengan orang persis perangai gadis itu, tak usah nak berbahasa-bahasa. Buang masa sahaja! Muka cantik tapi bahasa zero!
Amanda naik bengang. Kedua belah tangan sudah dibawa naik ke pinggang. Lagaknya tak ubah seperti si isteri sedang meleteri sang suami.
“Habis tu kalau tak betul awak tengah tengok perempuan-perempuan seksi kat tepi tasik tu, macam mana saya yang besar ni awak boleh tak nampak?” sergah Amanda. Bibirnya yang comel dimuncungkan ke arah sekumpulan gadis-gadis seksi sedang beryoga di tepi tasik. Nampak sangat gadis-gadis itu sengaja mencari perhatian lelaki-lelaki yang berjoging di taman ini. Pakai macam apa? Patutkah pagi-pagi macam ini pakai seluar pendek ala-ala seluar kecik itu? Tak logik! Baju pula… alahai mengalahkan bikini.
Lelaki itu memalingkan wajah ke arah yang dimaksudkan gadis garang di hadapannya. ‘Astagfirullah al azim….’ Terkejut sungguh dia. Cepat saja wajahnya dipalingkan ke arah lain. Tak sanggup dia melihat gadis-gadis itu. Pakaian mereka cukup menakutkan. Jika iman nipis pasti akan tergoda.
Melihat lelaki itu memalingkan wajahnya, Amanda mencebik. ‘Ye sangatlah tak nak tengok. Macam la aku caye. Orang lelaki ni nafsu buas mengalahkan naga!’ Hatinya mencemuh. Memang dia tak pernah percayakan lelaki. Baginya semua lelaki itu bernafsu besar. Tak boleh tengok perempuan berdahi licin. Lelaki yang baik dalam hidupnya hanya daddy, pak usu dan abang sepupunya, Hakimie. Selain daripada itu memang tak boleh pakai.
“Eleh… buat baik konon!” cebiknya.
Si lelaki menala pandangan semula pandangan ke arah si gadis. Apa sebenarnya masalah gadis itu? Dia sudah meminta maaf. Namun kemaafannya dipandang sebelah mata. Malah dengan sesuka hati gadis itu menuduh dia bermacam-macam. ‘Mungkin dia ni ada masalah mental tak?’ Fikirnya.
“Cik… saya tak nak bertekak dengan cik. Saya dah minta maaf, rasanya itu dah cukup. Kalau cik still tak berpuas hati, saya tak dapat nak buat apa-apa. Daripada saya melayan cik yang ada mental problem ni, baik saya blah. Assalammualaikum….” Tanpa menunggu lama, dia terus berlalu. Tak guna bertekak dengan orang tak cukup wayar.
Berasap telinga Amanda mendengar kata-kata lelaki itu kepadanya. Wajahnya juga sudah merah bagai cili api.
“Tak guna! Dia kata aku ada mental problem! Arghhh… sakitnya hati aku!!!” dengus Amanda bengang. Batu kecil disepak hingga terpelanting mengenai seorang lelaki yang sedang asyik berjalan di hadapannya.
“Adoi!” jerit si lelaki. Kepalanya diusap-usap. Liar matanya memandang sekeliling. Mencari si ‘budiman’ yang telah memberikan ‘hadiah’ pagi kepadanya. Merah saga matanya akibat marah.
Amanda telan liur. Gerun melihat wajah lelaki itu. Cepat-cepat dia mengatur langkah. Berlagak selamba bagaikan orang tak bersalah.

STERENG kereta diketuk berulang-kali. Matanya tajam memandang motosikal berkuasa tinggi yang terparkir betul-betul di hadapan keretanya. Ikut rasa hati, mahu sahaja dia melanggar motor tersebut. Biar hancur! Tetapi dia tahu itu bukanlah satu tindakan yang bijak. Jika dia melakukannya juga, itu bermakna Volkswagen Beetle yang baru tiga bulan menjadi miliknya ini turut mengalami kerosakan. Dia tak sanggup kerana kereta ini hadiah daddy sempena ulang tahunnya yang ke dua puluh lima tahun tiga bulan lepas.
Amanda mendengus. Sakit hati dengan pemilik Ducati 848 itu. Rasa nak lenyek-lenyek saja! Macam dah takde tempat parking lain boleh diparkir motornya ini. Di hadapan kereta comel Amanda juga menjadi pilihannya.
“Mana pulak la malaun ni pergi?! Menyusahkan orang aje. Aku dahlah nak cepat ni. Dia pula tak muncul-muncul lagi. Memang nak kena tibai dia ni!” Amanda menceceh seorang diri. Semakin kuat jari-jemari runcingnya mengetuk-ngetuk stereng kereta. Geramnya sudah mencapai tahap maksimum!
Dari kejauhan, Amanda memandang tepat kepada seorang lelaki. Terkocoh-kocoh saja langkahnya. Amanda mengecilkan anak mata bila tubuh sasa itu menghampiri Ducati 848 di hadapan Volkswagen Beetlenya. Wajah itu masih segar diingatan kerana baru pagi tadi mereka bertembung.
Serta-merta api kemarahan Amanda meledak. Bagai gunung berapi mengeluarkan laharnya. Tanpa menunggu lama dia terus menekan bunyi hon dengan kasar. Menyebabkan lelaki itu terperanjat dengan tindakannya itu.
“Masya-Allah… krusss semangat!” si lelaki mengurut dadanya yang berdebar hebat. Sangkanya Volkswagen Beetle merah itu takde orang. Rupanya ada manusia di dalam.
Kala dia terpandang wajah di dalam Volkswagen Beetle yang merah menyala, sama merah dengan keretanya ini, hatinya mula tidak keruan. Perempuan garang itu lagi! Rasa nak cabut lari macam itu saja tetapi dia tidak mahu menjadi orang kurang ajar. Sekurang-kurangnya dia perlu meminta maaf atas tindakannya ‘mendouble park’ kereta perempuan garang itu.
Amanda keluar dengan wajah menyinga. Sakit hati bukan kepalang bila mendapat tahu lelaki ini rupanya manusia yang telah blok keretanya.
“Awak ni bodoh ya? Tak tahu undang-undang? Mana awak belajar pergi parking motor depan kereta orang?” bertalu-talu Amanda menghambur kemarahan. Bahasa yang digunakan bukan main indah lagi. Tak sesuai langsung dengan raut wajahnya yang cantik manis.
Si lelaki mengucap dalam hati. Terkejut beruk jantan mendengar keindahan bahasa yang digunakan gadis itu. Macam orang tak pergi sekolah. Sesuka hati nak herdik-herdik. Tahulah dia tengah marah, tetapi janganlah sampai menjatuhkan martabat sebagai orang melayu yang dikatakan kaya dengan budi bahasa. Ini dah bukan kaya lagi namanya. Tapi yang ini miskin budi basaha!
“Saya minta maaf.” Pinta lelaki itu. Malas nak bertekak. Bukannya dia sengaja nak parkir motornya ini di hadapan kereta gadis itu. Jika dia tahu kereta ini milik perempuan garang yang ditemuinya di taman pagi tadi, tak hingin dia nak parkir di sini.
Kebetulan tadi dia kelam-kabut hendak mengepos surat penting. Disebabkan parkir semua sudah penuh, dia memarkir motornya di hadapan Volkswagen Beetle merah ini. Sangkanya dia hanya mengambil masa sekejap sahaja. Tak sangka pula ramai orang di pejabat pos tadi. Itu yang sampai setengah jam dia berada di sana.
“Minta maaf? Senangnya awak cakap. Awak tahu tak saya dah terperuk kat sini hampir setengah jam. Awak boleh pula senang-senang nak minta maaf. Bijak!”
Lelaki itu mengeluh. Susahnya nak bercakap dengan orang masalah mental.
“Cik… saya tak sengaja okey. Saya minta maaf.” Bosan mula beraja di hati sehingga menyebabkan dia meninggikan suara.
“Amboi…kurang ajar awak ya. Dah awak yang salah, suka-suka hati pulak nak tinggikan suara pada saya. Sebab awak… saya terlewat tau!”
Sekali lagi si lelaki mengeluh. “Dah saya cakap elok-elok, awak tak terima. Saya cakap kasar, awak kata saya kurang ajar. Habis tu awak pulak apa? Elok sangat ke cara awak bercakap? Cik… sebelum mengata saya, cermin dulu peribadi awak. Awak tu perempuan tapi cakap serupa orang takde adab.”
Sedas lelaki itu beri. Membuatkan wajah Amanda merah menahan rasa.
“Dah la cik. Saya malas nak bertekak dengan awak. Saya bukan lelaki jenis suka cari gaduh dengan perempuan. Kalau awak tak puas hati sangat, awak boleh saman saya. Tapi saya betul-betul minta maaf. Saya tahu saya tak patut parkir motor depan kereta awak.” Ujar lelaki itu. Helmet disarung ke kepala kemudian dia berlalu pergi macam tu saja.
Vroommmm!
“Opocot! Vroomvroom!” Amanda yang bukan jenis melatah, termelatah mendengar bunyi besar itu. Terkejut beb!
“Tak guna!!!!!” jeritnya geram.

SAMPAI di rumah, Amanda membebel tak henti-henti. Sakit hati masih bersisa. Berani benar lelaki itu memalukan dia. Pantang baginya berdepan dengan lelaki seperti dia. Dendamnya terhadap insan bergelar lelaki tak akan padam sampai bila-bila!
“Amanda sayang!!!” panggilan itu menghentikan langkah Amanda. Sepantas kilat dia berpaling. Wajah yang sedang tersenyum-senyum di halaman rumah membuatkan dadanya berombak kencang. Dahlah dia tengah marah ni, sekarang muncul pula wajah itu di hadapannya.
“Amanda sayang… you dari mana ni. Lama I tunggu you dekat sini.” Ujar Ali tergedik-gedik.
Amanda mencebik. Geli geleman dia melihat kegedikan tahap perempuan si Ali.
“Apa Amanda sayang? Sejak bila aku jadi sayang kau?!” menyinga tak sudah-sudah Amanda dengan sikap Ali. Sehari tak kacau dia tak sah agaknya.
“Alaaa… you ni garang sangatlah Manda. Janganlah jerit macam tu dekat I. Nak gugur jantung I tau.”
“Mampus terus lagi bagus!” selamba saja Amanda menjawab.
Hisy… you ni. Tak baik mendoakan I macam tu.”
Amanda mendengus. Bertambah bahang panasnya dengan perangai Ali anak Datuk Normat dan Datin Salbiah ini. terlenggok-lenggok macam sotong. Nama saja lelaki tapi lembut mengalahkan dia yang perempuan ini.
Errr… you free tak? I ada tiket wayang ni. Nak ajak you pergi tengok. Best cerita dia.”
Tak hingin Amanda nak keluar tengok wayang dengan Ali. Takde kelas!!
“Jom la… kita tengok cerita Kuch-kuch Hota hai.”
Nak gugur jantung Amanda mendengarnya. Gila apa si Ali ini? Adakah patut ajak Amanda tengok cerita hindi? Tak pernah dalam hidup Amanda menonton cerita Hindustan. Dia tak larat nak berjiwang-jiwang. Jiwanya bukan ke arah itu.
“Kuch-kuch Hota Hai? Tolonglah… bukan jiwa aku. Lagipun aku tak sudi nak keluar berdua dengan kau. Hisy… memalukan aku aje keluar dengan si lembik macam kau ni.”
Kecil hati Ali bila Amanda menghina dia sedemikian rupa. Salahkah jika dia dilahirkan sebagai lelaki lembut? Lembut-lembut dia pun, dia tetap seorang lelaki. Hati dan perasaannya tetap ada pada orang perempuan. Terutama Amanda. Tapi Amanda… dia dilayan tak ubah seperti orang takde perasaan.
“Salah ke kalau keluar berdua dengan I, Amanda? I pun ada hati dan perasaan juga.” Ada getar pada bicara Ali.
Amanda membulatkan matanya. Huh… tolonglah! Ali nak menangis? Oh… lelaki tu memang berjiwa lembut.
“Dah la Ali! Baik kau pulang sebelum aku belasah kau. Aku tengah panas hati ni. Nanti tak pasal-pasal ada jugak kau jadi jadi gulai lauk makan aku malam ni. Sebelum aku apa-apakan kau, baik kau blah!” ugut Amanda tunjuk samseng. Wajah dibengiskan.
Ali telan liur. Kecut perut melihat wajah garang Amanda. Namun dia tetap berkeras tidak mahu pergi dari situ selagi Amanda tidak menerima pelawaannya. Dia tetap mahu mengajak Amanda keluar berdua. Sudah lama dia berangan-angan mahu keluar bersama gadis pujaan hatinya itu.
“Kau tak nak pergi ya?” sergah Amanda garang.
Ali menggeleng. Tak berani menentang wajah Amanda.
Eiii… dia ni kan! Aku debik kang!” baru saja Amanda mengenggam penumbuknya mahu meluku kepada Ali, kedengaran suara mummy memanggilnya dengan keras.
“Kenapa dengan Manda ni? Nak tunjuk samseng ke?” Geram Datin Aminah dengan sikap baran anak gadisnya itu. Tak padan dengan perempuan, perangai macam lelaki!
Amanda tarik muka. Wajah Ali dijeling tajam. Nasib baik mummy datang tepat pada masanya. Kalau tidak… memang dah jadi gulai si Ali malam ini.
Dengan rasa hati sebal, Amanda menghentak kaki berlalu dari situ. Sakit hatinya bertimpa-timpa!

2 ulasan: