Bab
2
“ABANG… pagi
ni Qisya ke rumah bonda ya?” Qisya meminta izin daripada suaminya. Selepas
subuh tadi dia mendapat SMS daripada bonda menyuruh dia ke sana pagi ini. Ada
hal penting mahu dibincangkan.
Tengku
Danish yang sedang menghirup air coklat meletakkan cawan di atas meja. Wajah
sang isteri yang masih basah rambutnya dipandang. Cintanya pada Qisya tak
pernah berubah. Tetap sama seperti di awal rumah tangga mereka dulu. Apatah lagi
wanita itu telah memberinya ‘tiga harta’ yang cukup bernilai. Harta dunia dan
akhirat!
“Kan
semalam sayang dah pergi rumah bonda. Nak pergi lagi buat apa?”
“Tadi
lepas solat subuh bonda hantar SMS suruh Qisya pergi sana hari ni. Katanya ada
hal penting. Lagipun bang, bosan la asyik terperuk kat rumah. Takde teman pun nak bersembang. Kalau pergi
rumah bonda, dapat juga sembang dengan bonda, Kak Cem dan Bunga. Sambil-sambil
tu dapat la Qisya belajar resepi baru dari Kak Cem. Kebetulan hari tu Kak Cem
dah janji nak ajar Qisya buat pizza
homemade.” Panjang berjela Qisya memberi alasan. Tujuannya agar si suami
memberi kebenaran.
‘Ye la nak belajar memasak sangat. Datang
rumah bonda bukan belajar memasak aje yang dia buat. Ajar Abang Mamat cara
mengurat Bunga pun dibuat sekali. Menjadi pulak
tu. Isteri la isteri…. Macam-macam!’ Hati kecil Tengku Danish berkata-kata.
“Susah-susah,
Qisya ajak ajelah auntie Kwan sebelah
rumah kita ni berbual. Tak payah pergi rumah bonda semata-mata nak cari teman
bersembang. Kat sebelah rumah ka nada jiran.” Cadang Tengku Danish pada
isterinya.
Qisya
mengecilkan matanya. Geram mendengar jawapan selamba badak jantan suaminya itu.
Anak kembar mereka pula sudah mengekek-ngekek ketawa mendengar jawapan papa
mereka. Kelakar sangatlah tu! Anak-anak dengan papa, sama saja!
“Apa
abang ni? Abang kan tahu Auntie Kwan tu pekak dan bisu. Dia mana reti nak bersembang segala.” Gerutu
Qisya.
Semakin
galak Ku Alisha dan Ku Anisya ketawa. Dapat dibayangkan muka blur Auntie
Kwan jika mama mereka bersembang tanpa henti. Kesian Auntie Kwan, tentu dia pening tak faham apa yang mama mereka cakapkan.
Kah… kah… kah….
Tersembunyi
senyuman kecil Tengku Danish. Geli hati mendengar jawapan isterinya. Sebenarnya
dia sengaja hendak menyakat isterinya pagi-pagi begini.
“Baguslah
kalau Auntie Kwan tak reti bercakap dan tak dapat mendengar.
Sayang boleh bercakap sorang diri, Auntie Kwan tengok aje la.”
Merah
padam muka Qisya. Geram tahap petala. Dia serius, suaminya pula main-main.
“Amboi
abang… bukan main lagi abang ya. Tunggu la nanti malam, abang tidur dekat luar.
Jangan berani tidur dalam!” ugut Qisya dengan tangan sudah dibawa ke pinggang.
Lagak tak ubah seperti mak tiri garang.
Si
kembar berdua ketawa suka bila melihat wajah papa mereka mula terkebil-kebil
diugut dengan mama. Papa memang takut sangat diugut tidur luar. ‘Kesian….’ Hati
keduanya mendesis.
“Iye la. Iye la. Pergi la cinta hati abang. Abang izinkan. Abang baru gurau
sikit pun nak marah.”
Qisya
tayang muka selamba. Terasa kemenangan berpihak padanya. ‘Tahu takut….’ Hatinya
ketawa suka.
“Okey… let’s go girl’s. We need to move now!”
arah si papa kepada anak-anak gadisnya.
Terkocoh-kocoh
Ku Alisha dan Ku Anisya bangun dari kerusi. Tangan mama mereka disalam sebelum
sebuah ciuman dihadiahkan ke pipi mama tersayang. Setelah itu mereka bergerak
mendapatkan si adik yang berada di dalam baby
walker. Digomol-gomol adik mereka itu
sehingga si adik naik rimas dengan tingkah kakak-kakaknya.
Qisya
dan Tengku Danish hanya menggeleng-geleng kepala melihat telatah anak-anak
mereka.
“Okey
la. Abang pergi dulu. Sayang nanti pergi rumah bonda tu memandu elok-elok.
Jangan nak merempit pulak.” pesan Tengku Danish kepada isterinya.
Qisya
tersenyum manis. Tangan si suami di salam sebelum sebuah ciuman diberikan ke
pipi suaminya itu. Sebagai balasan, Tengku Danish mencium ubun-ubun isteri
tercinta. Inilah salah satu resepi kebahagiaan rumah tangga mereka berdua.
Resepi turun-temurun daripada kedua belah keluarga.
SEKEMBALINYA
Tengku Danish dari pejabat tepat pukul 6.00 petang, dia disambut mesra oleh
isterinya di muka pintu utama. Bukan main menggoda lagi senyuman sang isteri.
Bisa menggegarkan iman nipisnya.
Namun
dalam senyuman penuh menggoda itu, terselit juga rasa curiga melihat di hati
Tengku Danish. Jika sudah begini senyuman isterinya menyambut kepulangannya,
tentu ada sesuatu yang dimahukan. Percayalah! Dia cukup kenal perangai
isterinya yang seorang itu. Hampir tujuh tahun mendirikan rumah tangga, dia
sudah cukup ‘masak’ dengan sikap isteri tercinta.
“Assalammualaikum.”
Ucap Tengku Danish kala sampai ke pintu utama.
“Waalaikumusalam.” Qisya menjawab mesra
seraya menyalam tangan suaminya. Briefcase
dicapai lalu lengan sasa suaminya itu dipaut. Mesra kemain!
Beririgan
mereka menuju ke sofa. Anak-anak kelihatan sibuk menonton rancangan kartun
Disney kegemaran mereka. Tengku Aisy yang masih kecil itu pun bagaikan mengerti
dengan cerita kartun yang ditayangkan petang ini. Tak berkedip-kedip matanya
memandang setiap gerak-geri kartun Princess
Sofia dan rakan-rakannya itu. Ku Alisha dan Ku Anisya jangan cakaplah,
memang kartun menjadi pilihan utama mereka.
“Abang…
minum.” Qisya menghulurkan secawan jus oren kepada suaminya.
Terkejut
Tengku Danish. Ralit sangat melihat anak-anak sampaikan dia tak sedar isterinya
menghilang ke dapur mengambil secawan jus untuknya. Pantas cawan bertukar
tangan. Perlahan dia meneguk jus oren sejuk setelah menyebut bismillah di dalam
hati. Lega rasa tekaknya. Alhamdulillah….
Qisya
tersenyum-senyum. Seronok melihat wajah suami tercinta.
“Abang…
hari ni Qisya masak makanan kegemaran abang tau. Nanti lepas abang mandi kita
makan sama-sama ya.”
“Hmmm… ya la.” Sepatah saja jawapan
Tengku Danish.
“Banyak
kerja ke dekat ofis hari ni?” rancak pula Qisya bertanya.
“Macam
biasalah sayang. Kerja dekat ofis tu mana pernah nak habis. Lepas habis satu
kerja, masuk pula satu kerja baru.”
“Hmmm… ye tak ye jugak kan. Abang kan bos besar. Kenalah
kerja lebih sikit kalau nak majukan Istana Kristal. Kena tunjuk sikap yang
positif pada semua pekerja bawahan baru boleh jadi bos yang baik dan
diteladani.”
Sejak
Tengku Danish menggantikan walidnya sebagai Pengarah Urusan Istana Kristal
Holding, kerjanya memang bertambah. Dia tak boleh memberi sepenuh tugasan
kepada pegawai bawahan. Setiap kerja perlu diteliti seperti yang selalu walid
lakukan dulu. Mujur juga ada Tengku Rayyan yang selalu membantu. Adiknya itu
memang cemerlang melakukan kerja-kerjanya. Melancarkan segala kerja yang ada.
“Okey
la sayang. Abang naik atas dulu. Badan ni dah lekit. Abang nak mandi.” Tengku
Danish bergerak untuk naik ke atas.
“Hmmm… ye la. Abang pergilah mandi. Qisya nak panaskan lauk makan malam
kita.” Qisya juga sudah bangun. Langkah dibawa ke ruang dapur.
“Sayang
dah mandi ke?” tanya Tengku Danish apabila mindanya teringatkan sesuatu.
“Dah.
Kenapa?”
“Rugi
la. Ikutkan hati abang nak ajak sayang mandi bersama abang tadi.” Bersama
sengihan Tengku Danish mengenyit mata nakal.
Merah
padam wajah Qisya dibuatnya. Matanya dibulatnya. Geram dengan sikap suami yang
suka lepas cakap. Depan anak-anak pula tu. Tak senonoh!
“Abang
ni… cakap tak pandang kiri kanan langsung! Tak malu ke anak-anak dengar. Dah!
Dah! Abang pergi mandi. Qisya nak siapkan makan malam.” Tanpa menghiraukan
suami yang nakalnya semakin menjadi-jadi, dia terus berlalu ke ruang dapur.
Lauk-pauk
yang sudah dimasak sedari awal lagi hanya perlu dipanaskan sahaja. Sudah
menjadi kebiasaannya masak awal. Tepat pukul 4.00 petang, segala kerja dapurnya
telah selesai. Kemudian barulah dia bergegas menyediakan anak-anak pula.
Menyuruh mereka mandi dan berpakaian. Sementara menunggu makan malam, anak-anak
akan diberi dessert mengisi perut. Biasanya
buah-buahan segar. Jarang dia memberi anak-anaknya makanan ringan. Bagi Qisya,
makanan ringan bukanlah makanan yang berkhasiat buat kanak-kanak. Sekali-sekala
itu tak mengapalah.
Selesai
mengurus anak-anak, barulah Qisya menyiapkan dirinya sendiri. Mandi dan berhias
cantik-cantik untuk menyambut kepulangan suaminya. Jangan fikir sudah berkahwin
hampir tujuh tahun, dia tak jaga penampilan diri. Biar dia sekadar suri rumah,
tetapi penampilannya bila berdepan dengan suami mengalahkan supermodel buat peragaan fesyen. Namun
takdelah over sangat. Dia model muslimah. Kihkihkih….
“Hmmm… sedapnya bau. Dari atas abang dah
terhidu. Tak sabar nak makan.” Tengku Danish yang muncul di ruang dapur
mengejutkan Qisya. Mujur rohnya tak bercerai dari badan. Jika tidak… menduda
awal la suaminya itu.
“Abang
ni. Buat orang terkejut aje!” marah Qisya. Dadanya diurut perlahan.
Tersengih
Tengku Danish mendengar teguran sang isteri. “Sorry la sayang. Tak sengaja. Excited
sangat hidu aroma masakan sayang.”
“Abang
panggil anak-anak. Ajak dia orang makan sekali.”
“Okey madam!”
Tengku Danish buat tabik spring. Langkah dibawa keluar mendapatkan anak-anaknya
yang ralit menonton TV.
Makan
malam berlangsung dalam suasana yang aman. Masing-masing makan dengan penuh
berselera. Pasangan kembar Ku Alisha dan Ku Anisya memang gemar ikan keli masak
lemak cili api mama mereka. Biar pedas tahap telinga berasap, namun mereka
tetap suka. Disebabkan malam itu mama mereka masak makanan kegemaran, si kembar
siap tambah nasi dua kali. Begitu juga dengan papa mereka. Bukan main berselera
lagi makannya. Senang hati Qisya melihat wajah penuh selera insan-insan
tersayang. Terasa penat lelahnya tak sia-sia.
Selesai
makan malam, Tengku Danish membasuh pinggan. Memang menjadi kebiasaannya
membantu isterinya melakukan kerja-kerja dapur. Kasihan membiarkan sang isteri
melakukan kerja seorang diri. Waktu begini, biarlah isterinya itu beristirehat.
Dia tak mahu terlalu membebankan isterinya setelah apa yang dilakukan untuk
keselesaan mereka sekeluarga. Dia amat bersyukur kerana Allah menganugerahkan
seorang isteri seperti Qisya Nur Alifa kepadanya. Wanita terbaik dalam hidupnya
dan anak-anak.
Di
ruang tamu, Qisya sedang memberi susu badan kepada Tengku Aisy. Sambil menyusu,
punggung Tengku Aisy ditepuk-tepuk agar anak kecil itu terlena. Tak susah
menidurkan Tengku Aisy. Beri susu badan saja, pasti anaknya itu akan tidur
dengan nyenyak.
Tersenyum
senang Tengku Danish melihat isteri dan anak-anaknya di ruang tamu. Dia yang
baru selesai menyudahkan kerja di dapur segera menyertai mereka. Esok sabtu.
Hari cuti. Disebabkan itulah dua puteri kembarnya itu masih belum tidur lagi.
Jika waktu sekolah, pukul 9.00 malam sahaja rumah ini sudah sunyi kerana
anak-anak telah masuk tidur.
“Along
buat apa ni?” tanya Tengku Danish pada anak sulungnya, Ku Alisha. Walau Ku
Alisha dan Ku Anisya kembar seiras, namun disebabkan masa dua minit yang
membezakan keduanya menjadikan Tengku Nur Qaireen Dalisha ini sebagai along.
“Along
tengah lukis gambar papa, mama, along, angah dengan adik.” Satu demi satu nama itu
meniti pada bibir comel Ku Alisha. Gambar orang yang dilukis ditunjukkan kepada
papanya.
“Wah…
cantik la. Pandai anak papa melukis.” Puji Tengku Danish. Kepala anaknya
digosok-gosok. Menyebabkan si kecil itu ketawa gembira.
“Nanti
dah besar… along nak buka kedai melukis macam Uncle Rezza.” Petah sekali Ku Alisha menutur kata. Dia pernah ke
galeri seni lukis sepupu papanya itu bulan lepas. Kagum sungguh dia melihat
hasil seni Uncle Rezza. Mulai hari
itu, Ku Alisha menyimpan cita-cita mahu menjadi seorang pelukis seperti Uncle Rezzanya.
Mendengar
bicara anaknya, Tengku Danish tersenyum. Setiap kali berjumpa Raja Rezza di
galeri seninya itu, dia pasti teringat kenangan silam. Bermula dari situlah
terciptanya hubungan dia dengan Qisya. Jika bukan kerana perasmian pembukaan
galeri itu, tentu dia tak akan melamar Qisya di hadapan semua orang. Baginya
kenangan itu cukup manis untuk dikenang.
“Kalau
nak buka kedai macam Uncle Rezza,
along kena belajar rajin-rajin. Jangan asyik main aje. Faham?”
Ku
Alisha mengangguk. Tumpuan kembali ditala pada lukisan di hadapannya. Manakala
Ku Anisya sibuk sungguh bermain dengan patung Barbie dan rumah kecil barunya.
Anak seorang itu memang gemar bermain rumah-rumah. Koleksi patung Barbie yang
dimilikinya dah tak terbilang dengan jari.
“Aisy
dah tidur ke?” tumpuan Tengku Danish beralih pada sang isteri. Punggung
dilabuhkan di sebelah Qisya yang sedang menyusukan Tengku Aisy. Dia suka
melihat isterinya itu menyusukan anak-anak mereka. Dulu waktu si kembar
kesayangan seusia Tengku Aisy, isterinya menyusukan mereka dengan susu badan sehingga
berusia dua tahun.
Qisya
memberi isyarat dengan meletakkan jari telunjuk ke bibir. Tengku Aisy baru saja
terlena. Dia tak mahu si kecil itu terjaga hanya kerana suara papanya.
Tengku
Danish mengangguk. Comel benar anak lelakinya itu terlena dalam dakapan
mamanya. Kemudian mata di hala ke skrin televisyen. Isterinya itu tak
habis-habis dengan drama korea channel 393.
“Apa
hal yang penting sangat bonda nak jumpa sayang pagi tadi?” tanya Tengku Danish
dengan nada perlahan. Baru dia teringat akan perjumpaan awal pagi antara isteri
dan bondanya. Teringin juga dia mahu tahu apa pakatan dua wanita itu.
“Oooo…
takde apa. Bonda cuma cakap hal
Ryan.”
Teringatkan
Tengku Rayyan, senyuman Qisya melebar. Baru dia teringat akan rancangan bersama
ibu mentuanya itu. Pantas dia berpaling pada sang suami.
“Kenapa
ni?” soal Tengku Danish pelik melihat senyuman isterinya. Senyuman penuh makna
tersirat.
“Hmmm… Qisya nak tanya abang ni. Staf
abang yang nama Mawar tu masih solo lagi tak? Qisya berkenan la dengan staf
abang yang sorang tu. Manis aje orangnya. Sesuai jadi ahli keluarga”
berbasa-basi Qisya dengan suaminya sebelum pergi kepada tujuan asal.
“Hai…
sayang nak jodohkan Mawar tu dengan Qayyum atau Qayyim ke sampai berkenan nak
jadikan ahli keluarga?”
“Hisy… abang ni. Adakah patut nak
dijodohkan dengan budak berdua tak cukup umur tu?! Belajar belum habis, takyah nak gatal-gatal fikir pasal kahwin.
Ini bukan untuk Qayyum atau Qayyim, tapi ini untuk Tengku Rayyan tu ha. Adik
kita yang sorang tu memang dah
selayak-layaknya untuk berkahwin.” Qisya dah tak larat nak berteka-teki. Lebih
baik dia berterus-terang sahaja.
“Oooo…
untuk Ryan. Ingatkan untuk Qayyum atau Qayyim tadi.”
“A’ha la. Untuk Ryan la. Abang tak fikir
ke pasal Ryan tu. Umur dia dah tiga puluh tahun. Sepatutnya dalam umur macam
tu, Ryan dah fikir pasal kahwin. Ini tidak… asyik menghadap kerja dua puluh
empat jam. Nak keluar bersosial dengan rakan-rakan pun takde masa. Itu yang bonda risaukan. Lagipun bang… dah tiga tahun
arwah Sofea tinggalkan kita semua. Sepatutnya Ryan kena bangun dari masa silam.
Bukannya terus-menerus macam ni.”
Tengku
Danish sekadar berdiam. Malas hendak bersuara. Hal berkaitan dengan Tengku
Rayyan, dia malas nak masuk campur. Bukan kerana dia tak prihatin. Namun
baginya bagilah masa kepada Tengku Rayyan untuk menenangkan fikiran. Soal
kehilangan orang tersayang bukan boleh diukur dengan masa. Itu yang isteri dan
bondanya tak faham.
“Lagipun
Qisya dah janji dengan bonda. Nak tolong bonda carikan calon isteri yang
terbaik untuk Ryan.” Sambung Qisya lagi.
“Aik?
Sejak bila pula sayang jadi ajen mencari jodoh ni?”
Panjang
muncung Qisya. Dia tahu suaminya sedang menyindir.
“Sejak
bonda lantik orang kerja dengan dia la.” Kemudian selamba sahaja dia menjawab.
Tak mahu mengalah langsung!
Melihat
muncung si isteri yang tak ubah seperti itik betina, Tengku Danish menghela
nafas. Dia tahu niat baik isterinya itu. Namun dia tak mahulah Qisya
berlebih-lebih pula dalam hal mencari calon isteri buat Tengku Rayyan ini.
Biarlah jodoh adiknya itu datang sendiri. Bukan diatur oleh keluarga.
Bahu
isteri yang sedang memuncung dipeluk erat.
“Sayang…
dengar sini. Abang tahu niat baik sayang nak tolong bonda dapatkan jodoh yang
baik untuk Ryan. Tapi… dalam soal ni kita tak boleh nak paksa Ryan. Kita
serahkan pada Allah dan kehendak Ryan sendiri. Kalau dah tertulis ada seorang
perempuan untuk Ryan, tak payah sayang dengan bonda bersusah-payah. Ryan pasti
akan berkahwin. Cuma buat masa ni, kita beri masa pada Ryan. Biar dia bertenang
dulu.” Penuh berhati-hati Tengku Danish menutur kata.
“Tapi
sampai bila bang? Dah tiga tahun berlalu. Ryan tetap macam tu. Ryan seolah-olah
tak boleh lupakan arwah Sofea.”
“Masa
bukan la ukuran untuk kita melupakan orang tersayang. Kita semua tahu betapa
dalamnya cinta Ryan pada Sofea. Sayang sendiri, tahu macam mana Ryan
bersusah-payah nak dapatkan cinta Sofea. Bukan mudah untuk Ryan nak lupakan
Sofea, sayang. Sofea dah sebati dalam hidup Ryan. Apatah lagi Ryan kehilangan
Sofea tiga hari sebelum majlis pernikahan dia orang berlangsung. Itu satu
tamparan hebat buat Ryan.”
Qisya
diam tak berkutik. Mendengar saja bicara suaminya. Sesekali suaminya itu
menutur kata, bicaranya memang bernas dan ‘makan dalam’.
“Kita
beri Ryan masa. Insya-Allah abang yakin suatu hari nanti ada perempuan yang
berjaya membawa Ryan kembali menjadi Ryan yang dulu. Cuma kita perlu bersabar
dan banyak berdoa.” Tengku Danish amat berharap agar isterinya itu sedar akan
tindakannya. Tak salah membantu bonda, tetapi mereka perlu memikirkan hati dan
perasaan Tengku Rayyan juga.
BERSAMBUNG.....
best 3x.
BalasPadamtq... =)
PadamPandai writer nih buat cerite..
BalasPadamterima kasih..
PadamSambung lg...bestttt
BalasPadaminsyaAllah nanti saya update bab seterusnya ya..
PadamBest...sambung lg
BalasPadaminsyaAllah nanti update bab seterusnya...
Padam3 mawar merah tu da ade kat pasaran ke
BalasPadaminsyaAllah bulan julai ni 3MM akan berada di pasaran..under LNP..
Padamtunggu update bulan juni..
BalasPadamjap lagi saya update n3 baru ya
Padam