Bab 25
“AMIN….” Usai mengaminkan
doa solat subuh, Aisyah duduk sebentar di atas sejadah. Merenung jauh mengenang
nasib dirinya.
Saat ini, rasa
rindu terhadap arwah abah dan emak begitu mencengkam jiwa. Alangkah indahnya
jika arwah dua insan kesayangannya itu masih ada. Tentu perjalanan hidupnya
tidak sesukar ini. Tentu juga dia akan bahagia dikelilingi orang-orang
tersayang.
Sejak arwah
kedua orang tuanya tiada, dia membesar dalam jagaan mak usunya, Puan Ainin.
Sangkanya dia dapat menumpang kasih Puan Ainin. Namun sayang, Puan Ainin tidak
pernah memberi kasih sayang padanya. Dia sering didera dan dipinggirkan.
Kemudian dia
berkahwin dengan Tengku Iskandar dalam satu kejadian yang memalukan. Pada
lelaki itulah disandarkan hidupnya kini. Sebagai seorang isteri, dia cuba
melakukan yang terbaik. Mengikut segala kata Tengku Iskandar walaupun hatinya
terluka. Tetapi tuduhan meluluh Tengku Iskandar padanya semalam benar-benar
melumat hancur hatinya. Sampai hati lelaki itu menuduh dia sehina itu.
Airmata Aisyah
mengalir lagi. Sejak kejadian semalam airmatanya tidak putus mengalir. Tidurnya
juga tidak lena. Kata hinaan Tengku Iskandar terngiang-ngiang di cuping
telinga.
‘Ya Allah…
tabahkan la hatiku menempuh dugaanMu ini. Jika telah engkau tetapkan dia memang
jodohku sejak azali, permudahkanlah hubungan kami. Bukakanlah pintu hatinya
untuk menerima diriku seadaanya.’ Pinta Aisyah dalam hati. Airmata dikesat
dengan belakang tepalak tangan.
Bunyi barang
jatuh di dapur mengejutkan Aisyah. Serentak itu juga dia terdengar suara Tengku
Iskandar mengerang kesakitan. Tanpa menunggu lama, Aisyah membuka telekung yang
membalut diri. Kemudian dia bergerak pantas keluar dari bilik.
“Aduh!” suara
Tengku Iskandar kedengaran lagi. Kali ini lebih jelas menyapa halwa telinga
Aisyah.
Kala matanya
terpandang sekujur tubuh Tengku Iskandar yang sedang terduduk di atas lantai, kelam-kabut
Aisyah mendapatkan suaminya itu.
“Kenapa ni?”
soal Aisyah dengan nada risau. Hilang rasa sebalnya pada Tengku Iskandar
tentang kejadian semalam. Malah timbul pula rasa simpati.
“Aduh… aku
terjatuh la! Kau tak nampak ke ha?! Kau ni bodoh betul la!” laju Tengku
Iskandar mengherdik. Pergelangan kaki kirinya terasa sakit teramat sangat.
Tentu terseliuh. Malang betul nasibnya awal pagi ini.
Mendengar nada
kasar Tengku Iskandar, Aisyah mengetap bibir. ‘Tengku Harimau’ itu memang jenis
sombong nak mampus. Sudah jatuh dan sakit-sakit begini pun nak jerit-jerit.
Cakap tak pernah nak berlembut. Sakit pula hati Aisyah dibuatnya. Sudahlah
semalam dia menuduh Aisyah yang bukan-bukan. Awal pagi ini hendak menengking
pula.
“Tengku ni tak
boleh ke nak cakap elok-elok? Saya tanya sebab nak tolong, tapi tengku nak
marah-marah pulak. Baiklah kalau
macam tu tengku bangunlah sendiri.” Entah dari mana datangnya keberanian Aisyah
mengungkapkan kata-kata tersebut. Mungkin kerana dorongan rasa sakit hati pada
tingkah Tengku Iskandar agaknya.
Aisyah bangun
untuk meninggalkan ‘Tengku Harimau’ yang sombong dan berlagak. Kalau dah gagah
perkasa sangat, bangunlah sendiri. Dia tak kuasa hendak menghulurkan bantuan
pada orang sombong!
Melihat Aisyah
yang sudah bangun dan melangkah beberapa langkah, Tengku Iskandar bersuara,
“Kau nak ke mana tu?”
“Saya nak masuk
bilik. Nak kemas sejadah dan telekung yang masih belum berlipat.” Selamba betul
Aisyah menjawab.
Belum pernah
Tengku Iskandar mendengar dan melihat keselambaan Aisyah ini. Selalunya gadis
itu kecut bila dia bersuara. Tapi pagi ini, Aisyah boleh saja buat tidak kisah
pada dirinya yang sedang menahan sakit.
“Habis tu aku
ni macam mana?”
“Tengku kan
kuat. Tengku bangunlah sendiri. Saya ni tak kuat nak tolong tengku.”
Jawapan Aisyah
itu menyebabkan Tengku Iskandar menggigit bibir. Geram pula dia dengan sikap
selamba Aisyah. Hendak menengking, tetapi dia tahu tiada gunanya. Jika dia
meninggikan suara sekalipun apa yang dia dapat? Dia perlu merendahkan sedikit
egonya kalau dia mengharap Aisyah membantunya. Jika tidak, sampai ke malamlah
dia duduk di situ dengan kaki yang sakit.
Tengku Iskandar
mendecit. Dengan berat hati dia bersuara, “Aisyah… tolonglah. Kaki aku tengah
sakit ni.”
Mendengar nada
rendah dan perlahan Tengku Iskandar, Aisyah berpaling. Keningnya dijongket.
“Tengku cakap
sesuatu ke? Saya tak dengar la.”sengaja Aisyah mahu mengenakan Tengku Iskandar.
Selama ini lelaki itu sering membulinya. Kali ini biarlah dia mendera hati
Tengku Iskandar. Waktu lelaki itu tercedera beginilah dia perlu bijak mengambil
kesempatan. Ajar sikit Tengku Iskandar cara hendak menghormati orang lain.
Mahu meletup
rasanya Tengku Iskandar dengan soalan Aisyah itu. Dia tahu Aisyah dengar apa
yang dia katakan. Cuma gadis itu sengaja mahu menyuruh dia mengulanginya.
‘Sabar Is… sabar. Jangan naik hantu. Nanti dia tak nak tolong kau.’ Tengku
Iskandar menyabarkan hati sendiri.
Nafasnya
ditarik lalu dihela. “Aku nak minta tolong dengan kau. Kaki aku tengah sakit
ni.” dengan geram dia bersuara. Namun nadanya cuba dilembutkan demi meraih
pertolongan Aisyah.
Aisyah rasa
ingin ketawa mendengar kata Tengku Iskandar. Namun dipam mulutnya dari
melepaskan tawa. Sesekali dia cuba berlagak depan lelaki itu, apa salahnya.
Inilah masa untuk dia membalas dendam atas apa yang Tengku Iskandar lakukan
pada dia selama ini. Sebelum ini bukan main lelaki itu menghiris hatinya.
Macamlah dia ini tidak punya hati dan perasaan selalu disakiti dan dikasari.
Dengan wajah
selamba, Aisyah cuba membantu Tengku Iskandar bangun.
“Awak ni berat
la. Ni tentu berat dengan dosa.”
Amboi… amboi…
amboi! Bukan main lancang mulut Aisyah mengutuk. Berani ke main!
“Kau ni nak
tolong ke nak kutuk aku ha?” panas telinga Tengku Iskandar mendengar kutukan
Aisyah. Bukan main lagi gadis kampung itu. Mentang-mentang dia tercedera. Sesuka
hati pula Aisyah hendak mengutuknya.
Malas hendak
membalas, Aisyah hanya berdiam diri. ‘Tahu pulak
‘Tengku Harimau’ ni makna marah bila dikutuk. Yang selama ni dia kutuk aku kaw-kaw tu tak fikir pulak. Kalau dia rasa sakit kena kutuk,
aku pun macam tu jugak!’ Hati Aisyah mendesis marah.
“Bawak aku naik atas. Aku nak rehat dalam
bilik.” arah Tengku Iskandar.
Aisyah malas
hendak membalas lagi. Dia akur mengikut telunjuk Tengku Iskandar. Elok juga
lelaki itu berehat di dalam biliknya. Tidaklah dia rimas dengan keberadaan
Tengku Iskandar di ruang tamu.
Perlahan-lahan
Aisyah merebahkan tubuh sasa Tengku Iskandar di atas katil.
“Kejap saya
datang balik.” Ujar Aisyah kemudian keluar dari bilik berhawa dingin itu. Bilik
yang sering menjadi saksi kehangatan hubungannya bersama Tengku Iskandar.
Tengku Iskandar
mengerang kesakitan. Salahnya kerana tidak berhati-hati ketika berjalan atas
permukaan lantai yang licin. Tentu Aisyah baru mengemop lantai dapur. Itu yang
licin dan mengakibatkan dia terjatuh. Sakit pada pergelangan kakinya memang
tidak terperi. Sakit bangat!!!
Aisyah kembali
semula ke bilik Tengku Iskandar. Di tangannya terdapat sebotol minyak gamat. Dituang
ke tepalak tangan untuk disapu ke kaki kiri Tengku Iskandar yang terseliuh.
“Eh… apa kau
buat tu?” Tengku Iskandar bertanya.
“Saya nak letak
minyak gamat ni kat kaki tengku la.”
“Minyak gamat?”
Aisyah
mengangguk. Pelik betul ‘Tengku Harimau’ ini. Takkan minyak gamat pun tak kenal.
“Hisy… tak nak
la! Aku tak suka cium bau minyak gamat.”
Geram pula Aisyah
dengan kata-kata Tengku Iskandar. Demand
bukan main! “Tengku… minyak gamat ni mujarab tau. Cuma sapu sikit, rasa seliuh
kat kaki tengku tu dah boleh baik. Saya kalau rasa lenguh-lenguh, selalu sapu
guna minyak gamat ni. Cepat aje lenguh-lenguh kat badan saya hilang.”
Tengku Iskandar
mencebik. “Tu kau. Orang kampung. Memang sebati dengan bau minyak gamat ni. Aku
tak suka cium bau busuk minyak gamat tu.”
Aisyah ketap
bibir. benci benar dengar kata-kata sombong ‘Tengku Harimau’ yang sudah
tercedera. Dah terseliuh pun, mulut bukan main jahat lagi. Sesuka hati nak
mengutuk. Kenapalah bukan mulut dia ni yang sakit? Tenang rasanya telinga
Aisyah tak dengar kata-kata pedas Tengku Iskandar jika mulut itu yang mengalami
kecederaan.
“Kalau macam tu
takpe la. Biar kaki tengku tu
bengkak. Biar tak dapat jalan berbulan-bulan. Selagi tak diurut kaki tu, selagi
tu la tengku tak boleh berjalan dengan betul. Entah-entah timpang seumur hidup.
Itu agaknya yang tengku mahukan.”
Sengaja Aisyah
mahu menakut-nakutkan Tengku Iskandar. Lelaki yang begitu mementingkan
kesempurnaan diri itu pasti akan mengalah bila ditakutkan begitu. Maklumlah,
nak sempurna di mata semua orang.
Tengku Iskandar
menelan air liur. Kecut juga perutnya dengar kata-kata Aisyah. Dia tak rela timpang
sepanjang hayat. Rugilah rupa kacak tapi jalan timpang. Tak pasal-pasal dia
digelar di capik pula.
“Dah! Dah! Urut
kaki aku cepat!” Tengku Iskandar mengalah akhirnya.
Tercuit rasa
hati Aisyah dengan tingkah Tengku Iskandar pagi ini. Dalam kasar, tersembunyi
sifat penakut seorang lelaki. Kelakar! Namun Aisyah tidak mampu menghamburkan
tawanya di hadapan Tengku Iskandar.
Aisyah duduk
semula di birai katil. Kaki Tengku Iskandar diangkat sedikit. Sehingga
membuatkan lelaki itu menjerit kesakitan.
“Sakit sikit
pun nak jerit lebih-lebih.” Sinis Aisyah menyindir.
“Sakitlah! Kau
tau apa? Cuba kena kat kau. Baru kau tahu macam mana rasanya.”
“Ini balasan
orang yang suka tuduh orang lain tanpa usul periksa.” Selamba betul Aisyah
menyindir Tengku Iskandar yang sedang berkerut-kerut dahinya menahan sakit.
Tengku Iskandar
menahan hati. Semakin berani pula Aisyah mengutuknya. Memberikan kata-kata
sindiran buat dia. Mentang-mentang dia dalam keadaan sakit. Bukan main berani
lagi gadis kampung itu.
“Kau ni tahu ke
cara-cara mengurut? Jangan nanti tersimpul segala urat-urat aku.”
Malas benar
Aisyah nak melayan pertanyaan Tengku Iskandar. Suka sangat pandang rendah pada
dirinya. Dia membesar di kampung. Cara-cara mengurut yang betul sudah
dipelajari daripada arwah abah sedari kecil lagi.
Tanpa melayan
pertanyaan Tengku Iskandar, Aisyah mendaratkan tangannya ke kaki Tengku
Iskandar. Bersama ungkapan bismillah, dia mula mengurut. Perlahan-lahan agar
lelaki itu tidak kesakitan.
Ketika urutan
tangan Aisyah mengena tempat yang sakit, Tengku Iskandar menjerit dengan kuat.
“Adoi! Sakitlah!!!”
Aisyah yang
tengah concentrare mengurut pun apa
lagi, terus melatah. “Opocot… harimau tua sakit kaki! Aiyarkkk!!!”
Latahnya
disertai aksi lakonan sekali. Kaki Tengku Iskandar yang diurut dikarate berulang
kali. Menambahkan lagi kesakitan yang ada.
“Adoiii!!!!!”
jerit Tengku Iskandar. Rasa hendak menangis pun ada.
Aisyah ketap
bibir. Baru sedar dia telah menambah kesakitan pada kaki lelaki itu. Mampuslah
dia… pasti ‘Tengku Harimau’ itu akan mengaum. Dia tak sengaja hendak
‘mengkarate’ kaki Tengku Iskandar. Huhuhuuu!
“MACAM MANA dengan
keadaan Tengku Iskandar, doktor?” tanya Aisyah pada Doktor Kamal sewaktu dia
menghantar doktor muda itu di muka pintu.
Doktor Kamal
merupakan doktor peribadi Tengku Iskandar.Jika Tengku Iskandar atau Aisyah
tidak sihat, memang Doktor Kamal la yang akan merawat. Malah Doktor Kamal tahu
Aisyah tinggal bersama Tengku Iskandar. Cuma Doktor Kamal tidak tahu bahawa
Aisyah merupakan isteri Tengku Iskandar. Sangkanya Aisyah adalah perempuan
simpanan Tengku Iskandar.
“Kaki Tengku
Iskandar terseliuh. Saya dah beri dia ubat turun bengkak dan tahan sakit. Nanti
lepas makan, awak bagi dia minum sebiji tiga kali sehari.” Balas Doktor Kamal.
“Teruk ke
kecederaan kaki Tengku Iskandar, doktor?”
“Takdelah teruk sangat. Cuma buat masa ni
dia tak boleh nak berjalan sangat. Kena berehat seminggu atau sepuluh hari
sehingga dia benar-benar pulih.”
Aisyah hanya
mengangguk mendengar penjelasan Doktor Kamal.
“Baiklah
Aisyah. Saya balik dulu. Ingat pesanan saya, pastikan Tengku Iskandar ambil
ubat mengikut jadual yang betul. Jangan nak escape walau sehari.”
Aisyah
mengangguk lagi. Mendengar dengan jelas pesanan Doktor Kamal. Usai mengucapkan
terima kasih dan berpamitan, Aisyah menutup semula daun pintu. Lantas dia
bergerak ke dapur untuk menanak bubur buat Tengku Iskandar.
Bubur nasi yang
dibuat tidak dibiarkan kosong begitu saja. Dicampur dengan ayam bagi
menambahkan lagi rasanya. Kemudian dia menghiris bawang merah dan putih untuk
digoreng. Dicampur ke dalam bubur ayam bagi menambahkan lagi keenakannya.
Setelah bubur
ayam yang ditanak masak dengan sempurna, Aisyah memasukkan bubur tersebut ke
dalam mangkuk sedang besar. Asap nipis kelihatan dari dalam mangkuk. Tanda
bubur ayam yang dimasak masih panas. Kemudian dia mengambil bawang yang telah
digorengnya tadi lalu ditabur atas bubur.
Aisyah
tersenyum puas. Bubur ayam yang telah siap dihidang di bawa naik ke atas.
Seperti pesanan Doktor Kamal padanya, sebelum Tengku Iskandar mengambil ubat
yang diberi, perutnya perlulah diisi terlebih dahulu. Jika tidak, nanti sakit
lain pula yang akan datang.
Perlahan-lahan
Aisyah menolak daun pintu. Kelihatan Tengku Iskandar sedang berbaring di atas
katil dengan kaki yang berbalut. Melihat balutan pada kaki lelaki itu, Aisyah
dipukul rasa bersalah. Kerana sikapnya yang kuat melatah, Tengku Iskandar
mengalami kecederaan yang lagi teruk daripada yang asal. Terbit rasa menyesal
dan simpati di hati wanita Aisyah.
Dulang berisi
semangkuk bubur ayam dan air suam diletakkan di atas meja sisi. Punggungnya
dilabuhkan di sisi katil. Dahi Tengku Iskandar diraba. Manalah tahu kalau-kalau
lelaki itu mengalami demam kerana kesakitan kaki yang dialaminya. Namun dia
menarik nafas lega bila suhu badan Tengku Iskandar berada dalam keadaan yang
baik.
Dengan rasa
serba salah dan takut-takut, Aisyah cuba mengejutkan Tengku Iskandar yang
sedang terlena.
“Tengku…
bangun.” Lembut Aisyah mengejutkan ‘Tengku Harimau’ yang lena dalam dengkuran
halusnya.
Tiada respons.
“Tengku… bangun
la. Makan dulu lepas tu minum ubat.” Aisyah masih berusaha mengejutkan Tengku
Iskandar.
Kali ini ada
respons daripada ‘Tengku Harimau’ itu.
“Kau ni bising
la! Aku nak tidur pun susah!” bentak Tengku Iskandar tidak suka bila tidurnya
diganggu. Sudahlah kakinya sakit berdenyut, gadis kampung yang menambah
kesakitannya itu pula datang membangunkan dia.
Agak terkejut
Aisyah dengan nada tinggi Tengku Iskandar. Nasib baiklah rasa terkejutnya tidak
disertai latah. Jika tidak, tentu bertambah teruk sakit yang Tengku Iskandar
alami. Entah-entah kali ini habis badan lelaki itu melecur kena siram dengan
bubur ayam panas. Jangan main-main dengan orang melatah ini. Buruk padahnya
nanti.
“Tengku kena
makan. Lepas tu ambil ubat. Dah siap semuanya, bolehlah tengku sambung tidur
balik.”
Kata-kata
Aisyah membuatkan Tengku Iskandar mendecit. Badannya dipalingkan menghadap
Aisyah. Tajam matanya merenung wajah gadis itu. Sehingga membuatkan Aisyah
tunduk merenung lantai. Cuak sungguh dia dengan renungan tajam sang harimau
jantan. Rasa macam dirinya sudah tidak terselamat lagi. Bila-bila masa saja
akan diterkam.
“Kalau bukan
sebab kau tunjuk pandai pergi urut kaki aku, tentu aku tak sakit macam ni. Ni
semua salah kau tau!” Tengku Iskandar meletakkan kesalahan atas bahu Aisyah.
Geram pula Aisyah
bila Tengku Iskandar meletakkan seratus peratus kesalahan ke atas dirinya.
Sedangkan lelaki itu pun bersalah juga. Jika bukan kerana jeritan kuat Tengku
Iskandar tadi, tentu dia tak terkejut sehingga membuatkan dia melatah. Dalam
hal ini mereka masing-masing ada salah sendiri. Bukannya dia seorang saja!
Namun, Aisyah
tidak mahu membalas tuduhan Tengku Iskandar. Dia mengambil langkah untuk
berdiam diri. Malas nak bertekak dengan orang sakit.
“Saya mintak
maaf. Tengku makan dulu lepas tu minum ubat.” Hanya itu ayat yang meniti dari
bibir comel Aisyah. Nadanya lembut melayan kemarahan Tengku Iskandar.
Lantas Aisyah
mengangkat mangkuk berisi bubur ayam tadi dicapai lalu diunjukkan kepada Tengku
Iskandar. Lelaki itu membatu tidak menyambut mangkuk yang dihulurkan. Wajahnya
masam mencuka.
Aisyah
melepaskan keluhan. Kali ini apa lagilah perangai yang ingin Tengku Iskandar
tunjukkan. Persis anak kecil lagaknya begitu.
“Tengku… kan
saya dah mintak maaf. Saya tak sengaja ‘terkarate’ kaki tengku. Lagipun siapa
suruh tengku jerit kuat-kuat macam tu. Terperanjat la saya. Pasal tu termelatah
dan karate kaki tengku banyak kali.”
Tengku Iskandar
mengerling wajah Aisyah. Bukan main lagi bibir comel itu memberi alasan. “Kalau
bukan sebab kau tu nak tunjuk pandai sangat, kaki aku ni takdelah jadi seteruk ini. Ini semua salah
kau!”
Tak sudah-sudah
Tengku Iskandar mahu menyalahkan Aisyah.
“Ye la tengku.
Ini memang salah saya. Saya mintak maaf banyak-banyak. Sekarang kalau tengku
nak sihat cepat, kena makan bubur ni. Lepas tu minum ubat.”
Malas hendak
meneruskan perdebatan dengan Tengku Iskandar, Aisyah akhirnya mengalah.
Tengku Iskandar
mendengus.
“Aku nak kau
suapkan aku makan!”
Mendengar
permintaan Tengku Iskandar itu, mata Aisyah membulat bagaikan biji guli. ‘Ini
apa kes pulak nak suruh aku suap dia ni. Yang sakit kaki tu… bukannya tangan!
Jadi janganlah mengada-ngada suruh aku suapkan.’
Dalam Aisyah
membebel marah dalam hati, tangannya sudah menyudu bubur ayam lalu meniupnya.
Setelah yakin bubur tadi sedikit sejuk, dia menyuakan sudu ke mulut Tengku
Iskandar. Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, Tengku Iskandar membuka
mulut lalu mengunyah bubur ayam yang disuakan Aisyah. Seperti biasa, masakan
Aisyah memang tidak pernah mengecewakan. Sedap!
Sambil
menikmati keenakan bubur ayam, mata Tengku Iskandar tidak lepas-lepas memandang
wajah manis di hadapannya itu. Sememangnya Aisyah memiliki rupa paras yang
cantik. Kulitnya putih melepak dan bibirnya agak kemerah-merahan. Tidak perlu
dioles dengan gincu, merah asli pada bibir Aisyah sudah cukup terserlah. Bibir
yang sedikit basah dan sering menjadi sasarannya.
Mengenang
detik-detik romantik antara mereka, Tengku Iskandar menelan air liur. Cuba
diusir perasaan lelaki yang sudah mula datang menyerang. Jika diikutkan
kehendaknya yang satu itu, apa pula kata Aisyah nanti. Dalam sakit-sakit pun
dia masih mengkehendakkan sesuatu yang intim. Dia tidak boleh merendahkan
egonya di hadapan Aisyah.
“Nah, minum
ubat ni.”
Suara Aisyah
mengejutkan Tengku Iskandar. Tak sedar dia telah menghabiskan semangkuk bubur
ayam. Bukan main berselera lagi dia. Tanpa banyak soal huluran ubat yang
disuakan Aisyah kepadanya diambil lalu ditelan. Kemudian dia meneguk habis air
kosong.
“Sekarang
tengku rehat la. Saya nak turun ke bawah buat kerja rumah.” Ujar Aisyah lantas
dia bangun dari sisi katil.
Belum sempat
dia berganjak, tangannya dicapai. Membuatkan Aisyah tersentak lalu berpaling ke
arah Tengku Iskandar. Wajah lelaki itu dipandang dengan hati yang bergetar
hebat.
“Terima kasih.”
Ucapan itu
menyentak tangkai hati Aisyah. Kedengaran ikhlas menyapa halwa telinganya.
Menyebabkan hatinya semakin hebat berdebar.
Tidak mahu
terus melayan perasaan akhirnya Aisyah bersuara, “Sama-sama.”
Tengku Iskandar
tersenyum. Tangan Aisyah dilepaskan. Senyuman ini membuatkan jantung Aisyah
rasa ingin gugur dari tangkainya. Takut dengan perasaan yang kian tidak
menentu, cepat Aisyah melangkah keluar dari bilik berhawa dingin itu.
Sebaik pintu
bilik ditutup, tangan dibawa ke dada.
Dup dap! Dup
dap! Dup dap!
Begitu deras
bunyi degupan jantung Aisyah. Wajahnya juga sudah membahang kerana satu rasa!