BAB
4
STREETTT………
Bunyi
itu membuatkan jantung Suhana bagai ingin terloncat keluar. Bergetar lututnya.
Pucat lesi wajahnya. Matanya pula sudah terpejam rapat bagaikan pasrah dengan
ketentuan Ilahi. Jika inilah penghujungnya, izinkan dia mengucap dua kalimah
syahadah.
“Hoi!
Kau ni buta ka? Nak mampus!” jerkah seorang perempuan.
Perlahan-lahan
Suhana membuka mata. Hanya seinci saja jaraknya dengan kereta Lamborghini hitam
berkilat itu. Nasib baik tak kena. Kalau kena tadi, memang hari ini mak dan
adik-adik akan menyambut jenazahnya di kampung.
“Hoi,
Betina! Kau ni dahlah buta, pekak pulak tu. Yang kau masih tercegat kat situ
buat apa? Berambus la!!” sergah perempuan berambut merah itu lagi. Wajahnya
yang dicalit dengan solekan tebal kelihatan cukup menyeramkan. Dah macam
perempuan sihir.
Mendengar
bicara menghiris kalbu perempuan tak tahu adab itu, hati Suhana tiba-tiba saja
mendidih. Pantas dia bergerak mendekati perempuan sombong itu.
“Cik,
kita ni orang Malaysia. Cakap tu tolong beradab sikit boleh tak? Tak payahlah
nak jerit-jerit. Cik tak malu ke nak jerit-jerit macam tu depan orang ramai.
Muka saja cantik tapi bahasa buruk.” Sedas Suhana bagi. Sampai naik merah muka
perempuan sombong itu dibuatnya.
“Kau
jangan nak ajar aku ya! Aku ni belajar sampai overseas. Aku tahu apa yang aku buat.”
“Sebab
cik belajar sampai oversea la cik dah
terlebih pandai. Ni Malaysia, bukan oversea
tempat cik nak tunjuk lagak dan jadi manusia tak berbahasa.”
Bergerak-gerak
rahang Rita bila gadis bertudung itu masih terus mengenakan dia. Selama ini
tiada seorang pun yang berani menjawab setiap bicaranya. Tapi perempuan berbaju
kurung itu, berani bukan main!
“Hei…
kau jangan main-main dengan aku. Kau belum kenal aku siapa? Aku ni anak datuk. Daddy aku orang berpengaruh kat KL ni.”
jari telunjuk Rita sudah naik ke muka Suhana.
“Saya
tak kisah siapa ayah cik. Kuat macam mana sekali pun pengaruh ayah cik, Allah
lagi berkuasa. Jangan sombong dengan pangkat yang ayah cik ada. Satu hari
nanti, Allah tarik semua tu dan cik tak punya apa-apa.”
Semakin
mendidih hati Rita dibuatnya. Pantas dia menjenguk ke dalam kereta.
“Darling… you buat apa kat dalam tu? Tak
dengar ke perempuan kampung ni mengata I? Keluar la! Ajar sikit perempuan
kampung ni.” Rita mengadu pada kekasihnya yang hanya duduk mendiam diri di
dalam kereta.
Si
lelaki menghela nafas.
“Darling!” bentak Rita bila kekasihnya
masih tidak mahu berganjak dari tempat duduk pemandu.
Malas-malas
si lelaki keluar. Cermin mata yang dipakai ditanggalkan. Selamba dia memandang
wajah dua orang perempuan di sebelahnya. Seorang bergaya dengan rambut
kemerahan dan baju yang sungguh seksi. Manakala seorang lagi bertudung litup
dan berbaju kurung merah jambu. Nampak sangat dia orang kampung.
Namun
kala mata bertentang mata dengan gadis kampung itu, ada sesuatu yang menarik
hatinya. Membuatkan matanya langsung tidak berkerdip memandang wajah si dia
yang manis menawan.
Rita
segera mendapatkan kekasihnya. Lengan sasa itu dipaut. Dia mahu perempuan
kampung itu tahu bahawa lelaki tampan ini adalah haknya. Jangan sesiapa berani
mengambil haknya ini.
“Darling, you ajar sikit perempuan bodoh
ni! Suka-suka hati dia saja mengata I. Dia tak tahu lagi I ni siapa kan? Dia
ingat dia tu dah kuat sangat agaknya!” Rita bersuara menarik perhatian Wan
Daniel, lelaki yang dicintai.
Suhana
mencebik bibir. Geli telinga mendengar kata-kata perempuan sombong itu. Bangga
sangat dengan pangkat keluarganya yang bertaraf VVIP. Dasar perempuan sombong!
“Dah
la tu honey. Tak baik gaduh-gaduh.
Lagipun malulah orang tengok.” Wan Daniel bersuara. Cuba meredahkan kemarahan
di hati Rita. Lagipun sekarang ini mereka menjadi tontonan umum. Seganlah
sikit.
Terjengil
mata Rita bila Wan Daniel berkata begitu. Mujur tak terkeluar dari springnya.
“Darling! Apa ni? You nak sebelahkan
perempuan kampung ni ke?” darahnya mula menyirap. Membuatkan kulit wajahnya
yang putih licin itu menjadi kemerah-merahan. Ingatkan bila mengadu pada Wan
Daniel, lelaki itu akan menyebelahinya. Tapi lain pula yang jadi.
“I
bukan nak sebelahkan sesiapa. I cuma cakap apa yang betul. You tu anak orang
ternama. Malulah kalau ada antara orang-orang yang tengok ni rakam aksi you dan
upload dalam youtube. You nak ke
terkenal dengan cara macam ni?” Wan Daniel bersuara dengan nada separuh berbisik.
Orang sekarang ni bukannya boleh percaya sangat. Silap hari bulan ada yang buat
rakaman dan siarkan ke dalam youtube. Lepas tu mulalah nak kongsi dan jadikan
video itu sebagai viral.
Rita
menarik muka.
“Dahlah.
You masuk dulu. Biar I cakap dengan perempuan tu.” pujuk Wan Daniel.
Rita
mendengus. Dengan kaki dihentak kuat, dia bergerak ke tempat duduk penumpang.
Sebelum masuk ke dalam kereta, sempat juga dia memberi jelingan maut kepada
Suhana.
“Cik,
sorry la. Kawan saya tu berangin
sikit. Cik jangan ambil hati sangat ya.” Pinta Wan Daniel lembut. Wajah di
hadapannya ini cukup mendebarkan.
“Saya
tahu saya ni orang kampung. Tapi saya pun ada harga diri. Kalau iya pun saya
salah, janganlah nak jerit-jerit macam tu sekali.”
“Saya
tahu. Sebab tu saya nak mintak maaf bagi pihak kawan saya.”
Suhana
menghela nafas. Tak guna dia terus berkeras. Emaknya selalu berpesan, beri
kemaafan tak kira pada musuh sekali pun. Allah sayang pada hambanya yang ringan
memberi kemaafan pada orang lain. Pantas kepalanya dianggukkan.
Wan
Daniel tersenyum. Senang hati melihat anggukan perempuan itu.
“Saya
Wan Daniel. Cik?” Wan Daniel amat berharap dia akan mengetahui nama gadis
bertudung itu.
“Maaf.
Saya kena pergi. Assalammualaikum….” Tanpa memperkenalkan diri, Suhana terus saja
berlalu. Untuk apa dia memberitahu namanya pada lelaki itu? Baginya itu semua
tidak penting. Cukuplah dia dah maafkan teman wanita lelaki itu.
Wan
Daniel mendecit. Ada rasa kecewa bermukim di hati. Baru bercadang nak
mengetahui nama gadis manis itu. Tapi gadis itu terlebih dahulu
meninggalkannya. Membuatkan dia penasaran dalam diam.
“AWAK
diterima mengajar di tadika ini.” ujar Cikgu Wan kepada gadis manis di
hadapannya.
Suhana
tersenyum. Hatinya melonjak riang. Rasa nak lompat bintang sepuluh kali. Tak
sia-sia dia datang temuduga. Akhirnya berjaya juga dia mendapat kerja itu.
“Terima
kasih cikgu. Terima kasih banyak-banyak.”
Gembiranya
tak tergambar dengan kata-kata. Walau sekadar mendapat kerja sebagai guru
tadika, namun itu sudah cukup buat Suhana gembira. Sekurang-kurangnya dapat
juga dia membantu emak menyara persekolahan adik-adiknya di kampung.
Cikgu
Wan sekadar menganggukkan kepalanya. Rasa gembira jelas terpancar pada wajah
gadis muda itu.
“Bila
saya boleh mula mengajar cikgu?” teruja Suhana ingin memulakan kerjanya.
“Esok
awak dah boleh mula mengajar. Hari ni, saya nak bawa awak tengok-tengok kawasan
tadika. Jom saya kenalkan awak dengan kakitangan saya.”
Suhana
membuntuti langkah Cikgu Wan. Mereka masuk dari kelas ke kelas. Tadika Bintang
Cemerlang ini terbahagi kepada empat kelas. Kelas satu untuk kanak-kanak
berusia enam tahun, kelas dua untuk lima tahun dan kelas tiga pula menempatkan
kanak-kanak berusia empat tahun. Manakala kelas empat dikhaskan untuk
kanak-kanak berusia sebulan hingga tiga tahun.
Seronok
Suhana melihat keletah anak-anak kecil itu. Mereka kelihatan comel dan petah
berkata-kata. Wajah-wajah polo itu menerbitkan rasa sayangnya. Suhana memang
sukakan budak-budak. Di kampung pun, dia menolong emak mengajar budak-budak
mengaji di sebelah malam.
Usai berkenalan
dengan guru-guru di Tadika Bintang Cemerlang dan meninjau kelas-kelas yang ada,
Suhana pun dibenarkan pulang. Esok dia akan datang semula sebagai cikgu tadika.
Tak sabar dia hendak berbakti pada anak-anak kecil ini. Memulakan persekolahan
dengan A, B dan C.