W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Khamis, 10 April 2014

CINTA 3 RASA 1






Bab
1

“NENEK!!!” Suara si kembar bergema di halaman rumah. Berlumba-lumba mereka mendapatkan Ku Ana yang sedang menanti di muka pintu utama. Tersenyum lebar si nenek menyambut kedatangan cucu-cucunya. Rindu menggunung tinggi bagaikan Gunung Kinabalu.
“Alisha rindu nenek!” ujar si kakak, Tengku Nur Qaireen Dalisha atau lebih senang dipanggil Ku Alisha.
“Anisya pun rindu nenek jugak.” Si adik tidak mahu mengalah. Leher nenek dipaut sambil pipi itu dikucup berulang kali. Tengku Nur Qaisara Danisya a.k.a Ku Anisya memang tak mahu kalah dengan kakak kembarnya.
Ku Alisha menceber. Leher neneknya dipaut juga. “Tapi along rindu nenek lagi banyak dari angah.”
“Mana ada! Angah rindu nenek lagi bannnnnyak dari along!” balas Ku Anisya tayang muka tak puas hati.
“Dah! Dah! Jangan bergaduh. Nenek tahu cucu-cucu nenek ni rindukan nenek banyak sangat. Dua-dua pun sama.” akhirnya Ku Ana bersuara setelah melihat ada tanda-tanda mahu bertengkar antara cucu-cucunya itu. Baru lima tahun, tapi keletahnya cukup memeningkan kepala!
“Nenek, atok mana?” tanya Ku Anisya sambil mata mencari-cari kelibat si atok.
“Atok ada kat laman belakang. Tengah bagi anak-anak Cik Nab makan.”
“Cik Nab dah beranak ye nek?” giliran Ku Alisya bertanya. Teruja benar dia mendengar neneknya memberitahu Cik Nab sudah beranak.
Ku Ana mengangguk. “A’ha… dah lima hari tau Cik Nab beranak. Ada empat ekor anak-anak Cik Nab. Semua comel-comel.” Ku Ana melayan cucu-cucunya bersembang sambil jarinya dinaikkan empat.
“Nak tengok! Nak tengok!” Ku Anisya melompat riang. Tak sabar nak tengok anak-anak arnab siam peliharaan atoknya.
Di laman belakang banglo tiga tingkat ini, atoknya pelihara banyak binatang ternakan. Ada ayam, itik, kambing dan dua ekor arnab siam. Kucing parsi dan kampung pun banyak. Disebabkan itulah dua beradik kembar itu suka berada di sini. Boleh bermain dengan binatang-binatang peliharan atok mereka.
“Pergi la. Atok ada kat sana.”
Horrey!!!” Ku Alisha dan Ku Anisya bersorak riang. Berlumba-lumba mereka berlari ke laman belakang. Jeritan si mama yang melarang mereka berlari-lari langsung tidak diendahkan.
“Along… angah… jangan berlari!” jerit Qisya kepada anak-anaknya. Namun jeritannya langsung tidak dipeduli. Semakin laju pula anak-anaknya itu berlumba. Ini membuatkan Qisya mengetap bibir geram.
“Bonda….” Tangan Ku Ana disalam lalu pipi ibu mentuanya itu dikucup kiri dan kanan.
“Budak-budak tu bukannya dengar cakap. Asyik nak berlari aje. Macam dah tak boleh nak berjalan elok-elok.” Omel Qisya geramkan anak-anak kembarnya yang aktif mengalahkan budak lelaki.
“Alaaa… biarlah Qisya. Dah namanya budak-budak. Memang macam tu la perangai dia orang. Dulu suami kesayangan kamu tu pun nakalnya bukan main lagi. Sampaikan hampir lemas jatuh dalam kolam gara-gara bermain dengan Ryan.” Ujar Ku Ana sambil mengagah si kecil yang berada dalam dukungan menantunya.
Tengku Muhammad Daniel Aisy ketawa mengekek apabila diagah oleh neneknya. Si kecil berusia lapan bulan itu bagaikan tahu wanita yang berdiri di hadapannya ini adalah keluarga sendiri. Laju saja dia mendepangkan tangan minta diambil. Sedangkan bila berdepan dengan orang luar, Aisy tunjuk muka takut bukan kepalang. Terutama bila berdepan dengan Auntie Casabell, teman mamanya yang gemar mengagah-agah dia. Cebik saja bibirnya nak menangis kerana takut.
Tubuh montel itu sudah bertukar tangan. Seronok Ku Ana dapat menggomol cucunya yang seorang ini. Montelnya bukan main. Sebiji seperti papanya ketika kecil dulu.
“Walid mana bonda? Tak nampak pun kelibat walid.” Tanya Qisya seraya melabuhkan punggungnya di atas sofa. Melilau dia mencari kelibat si ayah mentua. Selalunya ayah mentua dan ibu mentuanya ini tak pernah berenggang. Ke mana pasti berdua. Sejak ayah mentuanya bersara dan menyerahkan urusan Istana Kristal Holding kepada Tengku Danish dan Tengku Rayyan, pasangan itu tak ubah seperti pasangan pengantin baharu.
“Ada kat laman belakang. Tengah bagi binatang-binatang ternakan dia makan. Biasa la walid kamu tu, sejak dah pencen ni itu ajelah kerja yang dia buat hari-hari. Sampaikan binatang-binatang tu dah kenal sangat muka walid.”
Qisya sekadar mengangguk dan tersenyum mendengar bondanya menceceh. Patutlah anak-anak kembarnya itu berlari ke laman belakang tadi. Itu mesti nak tengok binatang-binatang ternakan. Anak-anaknya itu memang sukakan binatang-binatang ternakan atok mereka. Cuma suaminya sahaja yang tidak mengizinkan anak-anak mereka terlalu dekat dengan binatang. Terutama binatang berbulu. Takut penyakit ashma anak-anaknya itu menyerang.
“Sunyi je rumah ni bonda. Kak Cem, Bunga dengan Abang Mamat mana? Tak nampak pula kelibat dia orang. Cuma Pak Abu aje yang ada kat laman depan tengah gunting pokok-pokok bunga tu.” seorang demi seorang pembantu rumah dicari. Selalunya rumah ini meriah dengan suara Kak Cem yang suka mengarah Bunga buat itu dan ini. Bunga pula dengan bersahaja pasti akan membalas kembali arahan Kak Cem. Buat Kak Cem naik darah dengan sikap Bunga yang gemar menjawab.
“Cem balik kampung. Hari ni kenduri tujuh hari arwah mak saudara dia. Mamat pula bawa Bunga pergi cari cincin kahwin. Kan tak lama lagi dia orang berdua tu nak bernikah.” Beritahu Ku Ana.
Qisya sekadar tersenyum. Menjadi juga taktik mengurat Abang Mamat yang diajarnya. Tak sia-sia dia menjadi sifu. Akhirnya Abang Mamat yang sudah terlajak usianya itu dapat juga beristeri. Tentu mak Abang Mamat gembira menerima menantu tak lama saja lagi. Menantu dari tanah seberang pula tu. Cantik persis Bunga Citra Lestari!
“Kamu makan tengah hari dekat sini ya? Bonda masak lauk banyak hari ni.”
“Boleh juga bonda. Tapi Qisya kena telefon bagitau abang dulu la. Takut nanti abang balik rumah ingat Qisya dah masak.”
Hmmm… bagitau Danish suruh balik makan tengah hari kat sini. Dah lama sangat kita sekeluarga tak makan bersama.” Ujar Ku Ana.
Qisya mengangguk. Telefon pintar dalam beg tangan LV dicapai. Laju jari-jemarinya mencari nama suami tersayang. Setelah nombor Tengku Danish didail, Qisya tak menunggu lama mendapat jawapan dari suaminya. Bukan main manja lagi dia berbicara dengan Tengku Danish. Lagak bagaikan pasangan baru berkahwin. Padahal anak dah masuk tiga. Namun Ku Ana gembira melihat kebahagian rumah tangga anak dan menantunya itu. Sebagai seorang ibu, tak pernah sekali dia lupa mendoakan kebahagian anak-anaknya.
Bunyi enjin kereta di halaman rumah memaksa Ku Ana membuang pandangan ke laman. Kereta Mercedes hitam itu cukup dikenali. Tak lama kemudian, muncul Tengku Rayyan di muka pintu. Kelam-kabut saja tingkah anak bongsunya itu.
“Tak kerja ke Ryan?” tanyanya pada si anak yang terkocoh-kocoh hendak melangkah naik ke atas.
Terhenjut sedikit bahu Tengku Rayyan menerima teguran bondanya. Mungkin dia tak sangka bondanya berada di ruang tamu. Itu yang buat semangatnya separuh melayang.
“Kerja bonda. Balik nak ambil dokumen tertinggal.” Jawab Tengku Rayyan sambil terus mendaki anak-anak tangga.
Menggeleng kepala Ku Ana melihat tingkah anak bujangnya itu.
Selang beberapa saat, kelibat Tengku Rayyan muncul kembali. Di tangannya terdapat sebuah sampul surat bewarna coklat. Terkocoh-kocoh dia bergerak ke pintu utama. Tak menyempat langsung nak bersalaman dengan bonda.
Ku Ana bangun dari duduk. Aisy didukung bersama.
“Hari ni bonda masak banyak. Ryan balik makan tengah hari dekat rumah ya? Kita makan ramai-ramai dengan Abang Long sekali.”
Langkah Tengku Rayyan terhenti. Dia berpaling kepada bonda yang sedang mendukung Aisy.
Ngeee… tengok dulu la bonda. Ryan sibuk. Kalau sempat Ryan balik makan, tapi kalau tak sempat tu jangan tunggu ya. Bonda dengan yang lain-lain makan la dulu. Okey la bonda. Ryan dah lambat ni. Nak jumpa client. Ryan pergi dulu. Assalammualaikum.” Seletah bersalaman dengan bonda dan mencuit pipi gebu anak saudaranya, Tengku Rayyan terus masuk ke dalam perut kereta. Sempat dia melambai tangan kepada bondanya sebelum kereta yang dipandu hilang dari pandangan wanita itu.
Qisya yang sedang berbicara dengan suami tercinta, hanya mampu menjeling tingkah adik iparnya. Tak sempat bertegur sapa dengan adik iparnya itu kerana sibuk berbual dengan suami.
Ku Ana menghela nafas. Sedikit kecewa dengan sikap Tengku Rayyan.

CUP!
Terkejut Qisya dibuatnya. Mujurlah dia takde penyakit melatah. Jika tidak, tentu dah dikarate tengkuk makhluk yang sesuka hati mencium pipinya itu. Dia tengah berfikir masalah Negara, makhluk seorang itu pula nak main cium-cium.
Qisya tak hiraukan Tengku Danish. Dia kembali berfikir. Wajahnya nampak serius bebenor!
Cup! Sekali lagi ciuman diberikan. Kali ini di pipi sebelah kiri pula.
Qisya menala pandangan ke arah suami yang sedang tersengih-sengih dengan mata tajam bagai burung helang. “Abang boleh tak jangan kacau orang. Orang tengah berfikir ni.” dengus Qisya geram kerana diganggu.
Berkerut dahi Tengku Danish mendengar amaran isterinya itu. Bukan main tegas lagi amarannya. Mengalahkan cikgu besar pencen!
“Sayang tengah fikir apa kat luar ni sampai abang tak boleh nak kacau?” tanyanya. Tangan sudah naik ke pinggang si isteri. Dipeluk kejap tubuh isterinya itu dari belakang. Anak-anak sudah lama masuk tidur. Aisy juga sudah lelap di dalam katil bayinya. Tinggal mereka berdua sahaja yang masih berjaga.
Qisya mendecit. “Ada la. Ini masalah orang perempuan.” Selamba Qisya menjawab. Hatinya berbunga cinta apabila si suami mengeratkan pelukan.
Tengku Danish mencebik. “Sejak bila sayang pandai berahsia ni? Besar sangat ke masalah tu sampai tak boleh nak kongsi dengan abang? Selama ni takde istilah pun masalah orang lelaki dengan orang perempuan. Semua sama je.”
Qisya mengeluh. Wajah sang suami dipandang. Walaupun suaminya itu sudah mencecah usia tiga puluhan, namun ketampanannya masih terserlah. Buat hati Qisya sering tak keruan bila mereka bertentang mata.
“Cuba cerita dekat abang apa masalah orang perempuan sayang tu?”
“Pasal bonda la.” Beritahu Qisya.
“Bonda? Kenapa dengan bonda? Bonda tak sihat ke? Tapi tengah hari tadi abang tengok bonda okey je. Takde pula abang tengok bonda macam orang sakit.” Cemas Tengku Danish apabila sang isteri menyebut pasal bondanya. Pelukan dileraikan dan tubuh isterinya itu dipaling agar menghadap wajahnya.
Hisy… abang ni. Qisya belum habis cakap abang dah potong Q! Bonda sihat la. Cuma masalahnya sekarang bonda tu tengah risaukan pasal Ryan.” Jawab Qisya sambil melangkah masuk ke dalam. Sempat dijenguk Aisy yang sedang terlena dalam katil bayi. Comel benar anaknya itu tidur dengan menghisap ibu jarinya.
“Oooooh.” Panjang bunyi ‘o’ Tengku Danish. “Kenapa dengan Ryan?” soalnya kemudian. Dia turut bergerak masuk sambil menutup pintu. Dingin malam terasa mengigit tubuhnya yang hanya berbaju singlet nipis.
Qisya menjeling. Geram bukan kepalang dengan sikap sambil lewa suaminya. Langsung takde perasaan. Tengku Rayyan yang tak ubah seperti mayat hidup itu pun suaminya tak boleh nampak. Nak kata rabun, mata suaminya itu sudah empat.
“Abang ni. Takde sensitivity langsung! Abang tak nampak ke keadaan Ryan tu?”
Tengku Danish jungkit bahu. Punggung dilabuhkan atas katil. Bersebelahan dengan isterinya. “Abang tengok Ryan okey aje. Kerja pun rajin.”
Mendengar jawapan suaminya, Qisya tarik muka masam. Inilah masalahnya bila bercakap dengan orang takde perasaan. Menyakitkan hati sahaja!
Eiii… dah la! Qisya malas la nak cakap dengan abang ni. Bukannya tahu apa-apa pun. Dah la. Qisya nak fikir jalan tolong selesaikan masalah bonda. Abang jangan kacau!” ujar Qisya tegas.
Namun belum pun sampai seminit dia cuba berfikir, bahunya dicuit. Dia berpaling. Suaminya tersengih-sengih ibarat kerang busuk.
“Abang nak apa lagi?”
“Nak sayang!” selamba jawapan diberi. Matanya dikenyit nakal.
Merah padam wajah Qisya mendengar jawapan selamba suaminya itu. Tak malu langsung! Jujur benar dia berkata.
“Qisya tengah sibuk.”
“Tak baik tolak permintaan suami. Time anak-anak tengah tidur, inilah masa untuk mama mereka ‘layan’ papa. Lagipun malam ni malam jumaat. Pahala berganda-ganda kalau kita dapat bunuh syaitan.”
Mendengar butir bicara suaminya itu, Qisya mencebik. Kalau hal yang satu itu, panjang saja akal suaminya. Anak dah tiga, miang suaminya juga semakin menjadi-jadi. Inilah yang dikatakan semakin tua semakin menjadi.
Namun, apabila tangan kasar suaminya sudah menjalar nakal ke segenap tubuh, dia sudah tak mampu berkata-kata. diturutkan saja kemahuan sang suami. Lagipun ini adalah tanggungjawabnya sebagai seorang isteri. Suami gembira, isteri bahagia!

BERSAMBUNG......