CINTA
MASAM MANIS
**1**
NAMA saya Qisya Nur Alifa
Binti Zahiddin. Berusia dua puluh empat tahun. Berstatus bujang dan masih solo.
Jantina mestilah perempuan. Takkan jantan pulak! Anak sulung daripada tiga
beradik. Biarpun menjawat jawatan sebagai anak sulung merangkap ketua kontinjen
anak-anak Haji Zahiddin Bin Haji Nawawi dan Hajah Azyan Binti Haji Sulaiman,
namun saya merupakan anak kesayangan. Ini kerana saya merupakan satu-satunya
anak perempuan babah dan umi. Disebabkan itulah saya telah diiktiraf sebagai
anak kesayangan mereka ramai. Heheheee… seronoknya! Rasa macam menang anugerah
Bintang Paling Popular Berita Harian jer saya ni.
Saya
memang anak manja. Maklumlah, sepuluh tahun sebelum Qayyum dan Qayyim
dilahirkan, saya merupakan anak tunggal. Jadi pada saya yang cute lagi comel inilah tertumpah segala
kasih sayang babah dan umi. Saya sangat dimanjakan oleh babah dan umi, juga Tok
Ling dan Nek Tee. Mana tidaknya, saya ni juga merupakan satu-satunya cucu
perempuan Tok Ling dan Nek Tee ada kat dunia ni. Pasal tu sayang kena lebih
sikit!
Keadaan
tetap sama walaupun setelah Qayyum dan Qayyim dilahirkan. Saya tetap jadi anak
manja dan kesayangan ramai. Terutama anak manja kepada lelaki yang paling saya
sayangi dalam dunia ini iaitu Haji Zahiddin. Malah babah lebih manjakan saya
berbanding dua adik lelaki saya tu. Sebab tu saya digelar anak bapak. Alahai…
macam cerita P.Ramlee pulak rasanya saya ni. Heheheee…
Qisya bermonolog. Wajahnya dibelek
lagi. Rasanya ini sudah kali yang ke-99 dia membelek-belek wajahnya di hadapan
cermin. Dah cantik sangatlah kononnya tu. Kalaulah cermin di hadapannya itu
boleh berkata-kata, tentu cermin tu akan kata “Tolonglah Cik Qisya Nur Alifa… aku dah tak larat asik duk mengadap muka
kau berhari-hari. Kasi la aku masa untuk berehat.” Huhuhuuu!
Qisya melebarkan senyumannya. Rasa
bangga pula dia melihat penampilan dirinya ketika ini. Tampak anggun dan manis.
Ala-ala wanita muslimah melayu terakhir gitu. Cewah! Anak dara kesayangan Haji
Zahiddin dah mula perasan sendiri. Hidungnya sudah kembang kempis menahan rasa
perasan yang melanda sanubari kewanitaannya. Apatah lagi bila terkenang pujian
Tok Ling dan Nek Tee tentang penampilan terbarunya itu sewaktu dia balik ke
kampung halaman terchenta.
Kata Tok Ling, “CUCU TOK LING NI BERTAMBAH
CANTIK BILA DAH BERTUDUNG. INI BARULAH YANG DIKATAKAN SEBAGAI GADIS MELAYU
SEJATI.” Heheheee… lebar senyuman Qisya sewaktu Tok Ling memujinya.
Pujian yang ikhlas tu. Mana tahu ikhlas? Ala… tahulah! Tok Ling tu mana pernah
bohong bila bab puji-puji ni.
Kata Nek Tee pulak, “LAWA CUCU PEREMPUAN NEK TEE NI.
MANIS AJE BERTUDUNG. SEJUK MATA DAN HATI SESIAPA YANG MEMANDANG. BANGGA NEK TEE
TENGOK CUCU NEK TEE YANG CANTIK NI. SIKIT HARI LAGI MESTI KENA PINANG DENGAN
PUTERA RAJA.”
Aduh... semakin kembang lubang hidung
Qisya dibuatnya. Mengalahkan hidung seladang betina sahaja. Pantang betul dia
bila ada yang memuji dia cantik. Mulalah dia tersenyum bagai tak ingat dunia.
Qisya! Qisya! Memang spesis tak boleh
dipuji langsung!
Qisya
tersenyum lagi. Lesung pipit di pipi kiri dan kanannya menyerlah dengan dalam.
Kata Afiq, lesung pipit Qisya sama dengan lesung pipit milik Preity Zinta.
Cantik dan menarik! Hmmm… iyalah tu. Macamlah Qisya tak tahu yang si Afiq tu
saja nak mengurat. Pasal tu cakap begitu. Main puji-puji! Main ayat-ayat cinta!
Siap nak samakan Qisya dengan Preity Zinta lagi. Lawa tu!
Alahai
Afiq Bin Alif… kalau iye pun awak nak mengurat, cubalah guna taktik yang
canggih sikit. Ini tidak… guna pun taktik zaman purba. Zaman babah Qisya nak
mengurat umi Qisya. Hisy… tak menusuk kalbu sungguh! Buat Qisya tak ada hati
nak melayan ayat-ayat cinta si Afiq tu.
Alamatnya,
Afiq kena terima hakikat bahawa dia dan Qisya hanya boleh menjadi sekadar kawan
biasa sahaja. Tidak lebih daripada itu. Jika Afiq masih berdegil dan meneruskan
niatnya untuk menjadikan Qisya teman wanita istimewanya, Qisya tak akan layan
Afiq lagi. Cukuplah hubungan persahabatan mereka setakat disitu sahaja. Itulah
ugutan Qisya sebaik sahaja Afiq selesai meluahkan ayat-ayat cintanya pada Qisya
buat kali yang kedua. Kali yang pertama gagal segagal gagalnya!
Tapi
itu cerita dua tahun lalu. Waktu mereka sama-sama menuntut di UiTM, Shah Alam.
Tamat saja pengajian, Qisya dan Afiq terputus hubungan. Dia sendiri tak tahu ke
mana hilangnya lelaki yang pernah menjadi peminat setianya sewaktu di Kampus
itu. Rindu juga rasanya hendak bertemu dengan Afiq poyo, nama glamor Afiq
sewaktu di alam Kampus.
Apa
Qisya kata tadi? Rindu?! Opss… dia rindu bukan sebab dalam hati ada cinta, ye.
Jangan pulak ada yang salah tafsir. Dia rindu sebab dah lama tak menyakat
temannya itu. Walaupun kehadiran Afiq sewaktu di Universiti sesuatu yang
merimaskan Qisya, sebab Afiq ni suka sangat berjiwang-jiwang. Namun Afiq
merupakan satu-satunya kawan lelaki yang cukup tahan dengan perangai Qisya yang
gila-gila itu. Hehehe…
Sekali
lagi Qisya membelek-belek wajahnya. Manalah tahu kalau ada jerawat batu yang
memusnahkan penampilan anggunnya hari itu. Tak jadilah dia nak berlagak depan
Nisya dan Casabelle. Seminggu dia bercuti di kampung halaman, rasa rindu pula
dia pada dua sahabat baiknya itu. Sepanjang beristirehat di kampung, Nisya dan
Casabelle langsung tidak menelefonnya. Dia pun dua kali lima juga. Langsung tak
bertanyakan khabar dua sahabat sehati sejiwannya itu. Kata sahabat baik. Tidur
sebantal, makan sepinggan! Tapi jejak saja kaki ke kampung halaman, Qisya terus
lupa pada Nisya dan Casabelle.
Kerinduan
yang membuak-buak pada babah, umi, Qayyum dan Qayyim, menyebabkan Qisya lupa
pada kawan-kawan di Kuala Lumpur. Keseronokan menikmati buah-buahan di dusun
milik Tok Ling, membuatkan ingatan Qisya pada Nisya dan Casabelle terus lenyap
entah ke mana. Huhuhu… kejam juga Qisya ni. Kalaulah Nisya dan Casabelle tahu…
sah merajuk selama dua tahun dua sahabat itu.
Hmmm…
boleh tahan cantik jugak aku ni, ya! Tambah-tambah bila dah bertudung macam ni.
Bertambah cantik aku dibuatnya. Kalah Yuna! Hehehe… Qisya sudah masuk bakul
angkat sendiri. Tudung bawal hitam yang tersarung dikepala diperkemaskan. Balik
ke KL setelah seminggu bercuti di kampung kenalah nampak cantik. Mana boleh
nampak sememeh depan Nisya dan Casabelle. Kenalah berlagak sikit depan dua
minah kerek tu. Hehehe…
Kalau
aku tahu macam ini punya cun aku bertudung, umur 7 tahun lagi aku dah jadi
muslimah solehah. Tak payah nak tadah telinga dengar bebelan umi yang asyik
menyuruh aku bertudung.
“INGAT
CANTIK SANGATKAH BILA TAYANG RAMBUT MACAM TU? KAN ELOK KALAU KAK LONG
BERTUDUNG. MANIS AJE. INI TIDAK… DAH MACAM PONTIANAK HARUM SUNDAL MALAM AJE UMI
TENGOK. MENAKUTKAN SUNGGUH!”
Itulah
bait-bait bebelan Hajah Azyan bila anak gadisnya masih belum bersedia untuk
bertudung dulu. Mahu cair juga tahi telinga Qisya sebaik sahaja mendengar
bebelan umi yang tak henti-henti itu. Macam burung kakak tua. Hehehe…
Qisya
dan adik-adiknya memang tak pernah nak tahan mendengar bebelan Hajah Azyan yang
tak ada warna merah tanda nak berhenti itu. Mulalah masing-masing sibuk nak
buat sesuatu. Sedangkan tak ada apa pun yang nak disibukkan. Saja nak larikan
diri. Mana tidaknya, jika umi dah start membebel pukul 6.00 pagi, pukul 10.00
malam baru bebelan umi akan berhenti. Itupun sebab umi dah masuk tidur.
Kihkihkih… Namun sejak Qisya bekerja dan tinggal menyewa di KL, dia sudah
jarang mendengar bebelan umi. Paling-paling yang membebel macam mak nenek pun
cuma si Nisya anak pakcik Darsani.
Entah
macam manalah babah boleh bertahan mendengar bebelan umi yang tak berkesudahan
itu? Mungkin disebabkan rasa cinta babah pada umi, menyebabkan babah sanggup
mendengar bebelan isterinya itu. Opsss… bukan mungkin la! Memang betul pun
babah sayangkan umi. Jika tidak, masakan babah masih bertahan dengan umi
walaupun mulut umi tak pernah berhenti mengomel dan bentuk badan umi dah tak
seramping dulu. Hehehe… Qisya memang cukup kagum melihat cinta babah dan
uminya. Persis cinta Adam dan Hawa. Cayalah!
STREETTT…………..
Qisya
tersentak. Sepenuh hati dia menekan brek kereta sampai berdecit bunyinya.
Hampir melayang semangatnya.
Kursss…
semangat! Nasib baik roh Qisya tak cabut lari meninggalkan tuannya sendirian.
Jika tidak, alamat tinggal arwahlah dia jadinya. Terkejut kambing gurun betina
dia bila dengan tiba-tiba sahaja sebuah kereta BMW 6 series warna hitam
berkilat meluncur dengan laju masuk ke simpang jalan. Nyaris melanggar
keretanya yang baru hendak keluar daripada simpang. Mujur dia sempat menekan
brek. Dadanya yang berdebar hebat itu diurut berulang kali.
Pantas
Qisya meluru keluar. Debaran di dadanya berdegup kencang. Macam orang baru
menamatkan larian pecut 100 meter sahaja. Wajahnya juga kelihatan pucat. Jika
ditoreh dengan pisau, tentu tiada setitis darah merah yang mengalir keluar.
Macam cerita Mahsuri la pulak.
Bahagian
depan kereta Perodua Vivanya dibelek-belek. Manalah tahu kalau-kalau ada
kecederaan parah yang dialami oleh Viva La Diva kesayangannya itu. Senang juga
dia nak mintak gantirugi. Dia baru saja pakai Viva tu dalam tempoh tiga bulan.
Tup-tup ada pulak makhluk ALLAH yang berhati mulia hampir melanggar keretanya.
Mujur tak ada kemalangan serius yang berlaku. Qisya memanjatkan rasa syukur.
Viva La Diva kesayangannya tidak mengalami sebarang kesan calar atau kemek.
Alhamdulillah…
“Hoi…
Awak ni tak tahu memandu ke, hah?!” sergah seseorang.
Sepantas
kilat Qisya memusingkan badannya. Terkejut blue
hypoo betina dia bila mendengar ‘kelembutan’ bahasa yang digunakan oleh
seorang hamba ALLAH. Sehingga melopong mulutnya dengan bentuk ‘O’. Nasib baik
lalat tak masuk ke dalam. Tanpa bagi salam terlebih dahulu, lelaki itu terus
sahaja menyergah dia dengan panggilan ‘hoi’. Tak beradat sungguh! Dressing punyalah smart persis orang kaya-raya tapi bahasa hancor!! Macam orang takde
sekolah. Macam orang tak lulus exam.
Bukankah
budi bahasa, budaya kita? Mana perginya budi bahasa mamat ni? Buat sayang duit
Kerajaan saja buat iklan ‘budi bahasa, budaya kita’. Susah payah Datuk Siti Nurhaliza
melagukan iklan itu, tapi mamat sewel ni langsung tak tahu nak gunakan kempen
Kerajaan dengan sebaiknya. Cubalah bagi salam dulu. Kan elok…
“Hoi…
cik! Awak dengar ke tak? Yang awak pergi tenung muka saya tu, kenapa? Saya
cakap dengan awak ni! Bukannya nak suruh awak tenung muka saya begitu. Awak tak
tahu memandu ke sampai kereta saya awak nak langgar?” sekali lagi lelaki
berwajah kacukan Melayu-Inggeris-Korea itu bersuara. Wajahnya masam mencuka.
Tak ubah macam tomyam basi. Ingat hensem
sangatlah buat muka macam tu. Aku sekeh kang kepala tu!
Amboi… sedapnya bahasa dia!
Berhoi-hoi! Ini sudah tahap terlampau kurang ajar. Dia yang hampir nak
melanggar kereta aku, dia pulak yang terlebih marah tak tentu pasal dan tuduh
aku yang nak langgar kereta dia tu. Tiga suku agaknya mamat ni. Entah-entah kat
otak dia tu ada banyak wayar yang dah tercabut. Sebab tu tak betul! Rungut hati
Qisya.
“Excuse
me? Apa awak cakap? Saya tak tahu memandu? Helo encik… jangan nak tuduh
sembarangan tau! Saya yang tak tahu memandu atau awak yang tak pandu dengan
cermat? Kalau dah rasa diri tu bersalah, jangan nak tunding jari pada orang
lain pulak. Mentang-mentang awak pakai kereta besar, jangan ingat awak tu hebat
sangat.” Giliran Qisya pula menyerang.
Kalau
kau keturunan harimau, hah… aku ni pulak keturunan singa jadian! Marilah
bertarung mulut siapa paling laser. Setakat ni, aku belum pernah kalah kalau
bab-bab mulut laser ni. Dengan lelaki berlagak tahap maksimum seperti mamat ni,
tak payah nak tunjuk alim. Tak guna nak lembut-lembut. Buang masa saja. Dah dia
mulakan dengan kasar, aku pun ikut aje la rentaknya tu. Baru kena buku dengan
ruas.
Qisya
mencebik. Meluat tahap loya dia melihat muka lelaki yang sedang berdiri sambil
berpeluk tubuh di hadapannya itu. Nampak saja hensem, tapi bila tiba bab tata susila, hancur! Gagal! Markah 0.00
peratus! Pangkat F! Aku memang pantang Tok Janggut bila terjumpa dengan makhluk
ALLAH yang berlagak seperti dia ni. Rasa tergugat kesabaranku. Hilang
sifat-sifat muslimah sejati yang tertanam dalam jiwaku selama ini. Rasa macam
nak bagi makan penampar free of charge aje. Orang-orang kaya memang seperti
ini, tak? Berlagak dan sombong tahap dewa. Ingat mereka tu dah hebat sangat
agaknya?! Sebab tu tak peduli hati dan perasaan orang lain. Tapi mereka lupa,
mereka juga hamba yang dicipta oleh ALLAH. Tak ada beza dengan orang-orang
biasa seperti kami ni. Qisya bersoal jawab dengan dirinya sendiri.
“Hei…
cik! Awak ni tak tahu undang-undang ke? Sepatutnya bila awak berada di simpang
jalan nak keluar, awak kena berhentikan kereta awak tu dan pandang kiri kanan
sebelum nak keluar. Bukan main rempuh macam lembu melintas jalan. Lesen apa
yang awak pakai? Sampaikan undang-undang jalan raya yang simple macam tu pun
awak boleh tak tahu. Awak guna lesen terbang, ya?” spontan lelaki itu
mengenakan Qisya.
Bulat
mata Qisya mendengar kata-kata lelaki itu. celupar betul! Rasa macam nak tampar
saja mulut dia tu. Salah aku sorang saja yang dia nampak. Sedangkan dia pun
bersalah jugak. Adakah undang-undang jalan raya yang menyebut kita perlu
lajukan kenderaan bila masuk ke simpang? Tak ada, kan? Jadi maknanya dia pun
salah jugak! Bukan aku sorang je.
“Hei… encik! Cakap tu baik-baik sikit,
ya?! Saya yang guna lesen terbang atau awak yang memandu tanpa lesen. Dah tahu
nak masuk simpang, perlahankanlah sikit kelajuan kereta awak tu. Tak payah nak
laju-laju. Ini tidak! Laju mengalahkan Michael Schumacher. Ingat jalan raya ni
dikhaskan untuk awak seorang saja ke? Sampai nak memandu pun macam tu
sekali???” balas Qisya. Intonasi suaranya sudah menggunakan key tinggi ala-ala
Ziana Zain mendendangkan lagu popularnya, Madah Berhelah.
Sakit
benar hatinya bila dengan selamba lelaki sewel
itu menuduh dia menggunakan lesen terbang. Begitu bersusah payah dia
mendapatkan lesen dengan jayanya, ada pulak manusia tak siuman yang mengatakan
lesennya itu adalah lesen terbang. Bukan senang dia nak berdepan dengan Pegawai
JPJ yang bermisai tebal sewaktu menghadiri ujian memandu dulu. Terketar-ketar
juga segala tulang belulangnya. Mujurlah dia terror dan lulus dengan muka yang
cukup bangga. Walaupun dalam hati bukan main takut lagi dia bila berdepan
dengan tok misai yang garang tu. Kini, ada pula spesis lelaki yang menyakitkan
hati menuduh dia guna lesen terbang.
“Kalau
awak dah kepingin sangat nak pandu kereta macam pelesit kota, saya cadangkan
awak pergi litar lumba. Kat sana tak ada sesiapa nak larang awak pandu laju.
Biarpun awak pandu macam nak bunuh diri aje. Ingat sikit encik, sini jalan
raya! J.A.L.A.N R.A.Y.A, jalan raya! Bukannya litar lumba untuk awak pandu
kereta pada had laju melebihi 210 kilometer sejam. Kalau iye pun dah kemaruk
sangat, bukan kat sini tempatnya. Sini jalan raya yang digunakan oleh orang
ramai. Bukan untuk awak seorang. Ada faham?!” dengan lancar dan berani Qisya
menyambung kembali kata-katanya. Siap dengan mengeja perkataan JALAN RAYA lagi
agar lelaki itu faham dengan lebih jelas. Kalau tak faham juga, tak tahulah.
Pinggangnya juga sudah dicekak ala-ala ibu tiri bawang putih. Nak tunjuk garang
la kononnya tu.
Lelaki
berbaju T-Shirt putih jenama Polo dan berseluar jeans hitam itu mendengus.
Geram dengan kelancangan mulut gadis di hadapannya itu. Tak padan kecik! Tapi
mulut pedas macam cili padi.
Belum
pun sempat lelaki itu hendak membalas kembali kelancangan ayat super power gadis berkemeja T merah
menyala itu, telefon bimbitnya mula mengeluarkan alunan suara Jason Mraz
mendendangkan lagu I’m Yours. Segera
skrin telefon bimbitnya dipandang. Pantas jarinya menekan butang hijau.
“Yes,
Bad… kejap lagi aku sampai. Ada emergency sikit. Kereta aku nyaris
terlanggar dengan kereta perempuan gila. Takpe,
aku masih boleh handle perempuan gila ni. Nanti aku cerita. Jumpa kau
kat sana.” Sindir lelaki itu. Kemudian handphonenya dimasukkan semula ke dalam
poket seluar jeans yang dipakai.
Bulat
mata Qisya mendengar kutukan lelaki itu. Giginya diketap. Geram sungguh. Tak
guna! Suka-suka hati saja dia panggil aku perempuan gila. Yang dia tu sewel,
tak sedar pulak. Dia ni betul-betul cabar tahap kesabaran aku.
“Kalau
layan perempuan gila macam awak ni, lama-lama saya pulak yang jadi tak betul.
Menyakitkan hati!” kutuk lelaki itu dengan sombong dan lagaknya. Dia terus
menuju ke keretanya. Sebelum masuk ke dalam perut kereta, dia sempat mengutip
plat nombor keretanya yang terpatah dua akibat pelanggaran tersebut. Hairan
juga kerana kereta gadis itu langsung tidak mengalami sebarang kesan calar.
Manakala plat kereta BMW 6 seriesnya pulak yang terpatah dua. Jika
dibandingkan, keretanya dengan kereta gadis itu, kereta dia lagi mahal. Tapi
kenapa hanya keretanya yang mengalami sedikit kecederaan? Takkan BMW cetak
rompak pulak?
Ketika
keretanya melintasi Qisya, lelaki itu sempat membuang pandangan tajam ke arah
Qisya yang masih berdiri di tepi jalan. Qisya pantas membalas pandangan tajam
lelaki itu dengan menjelirkan lidahnya. Lelaki itu mendengus. Lantas dia
menekan minyak kereta dengan kuat dan laju meninggalkan tempat tersebut dengan
muka yang cukup mencuka. Hatinya tidak henti-henti mengutuk perempuan yang
membuat moodnya tiba-tiba membara kepanasan.
“Pandulah
laju-laju! Kali ni biar bertembung dengan pokok getah. Baru padan dengan muka
tu!” teriak Qisya. Walaupun dia sedar bahawa jeritannya itu tidak akan
didengari oleh lelaki sombong itu. Pantas, dia menghampiri keretanya.
“Eiii…
kalau ikutkan rasa hati, nak aje aku debik-debik kepala mamat sewel tu. Biar dia tahu berbahasa sikit.
Menyaktikan hati betul! Pagi-pagi lagi dah rosakkan mood ceria aku. Malang betul!” luah Qisya masih tidak berpuas hati.
Sempat juga dia menyepak seketul batu di tepi jalan. Bayangkan saja batu itu
adalah lelaki sombong tadi. Perangai buruk seperti bapak jin. Bapak jin?! Hmmm…
sedap jugak nama tu. Sesuai sangat diberikan pada lelaki sewel tadi. Bapak Jin!!!
CINTA
MASAM MANIS
**2**
PERODUA Viva warna putih mutiara milik
Qisya perlahan-lahan membelok masuk ke halaman rumah teres dua tingkat yang
terletak di Taman Teluk Villa. Elok sahaja Viva La Diva diparkir belakang Naza
Sutera kuning telur milik Nisya, Qisya pun segera keluar. Kemalangan kecil yang
berlaku tiga jam tadi, masih segar dalam ingatannya. Sepanjang dalam pemanduan
balik ke KL, Qisya tak henti-henti menyumpah serana lelaki gila yang tak tahu
tatasusila itu. Tak guna punya bapak jin! Buat spoil mood aku aje! Kalau aku
jumpa dia lagi, aku sekeh-sekeh kepala dia. Biar jadi tak betul. Biar di pos ke
Tanjung Rambutan. Buat malu aje jadi orang Malaysia, tapi tak tahu nak berbudi
bahasa!
Huh… releks Qisya! Releks…
jangan layan sangat emosi kau tu. Lupakan saja perkara tadi. Dah sampai rumah
ni, kenalah senyum dan tunjuk muka happy.
Kalau buat muka monyok macam tikus mondok ni, sah dua minah kerek kat dalam tu
akan memulakan edisi siasat. Bukannya kau tak faham dengan perangai minah
berdua tu. Menyiasat mengalahkan pegawai polis aje lagaknya. Malaslah nak
bersoal jawab dengan dua polis tak bertauliah tu. Lagipun, bila ingat balik
tentang si bapak jin tu, menyakitkan hati aje. Tak pasal-pasal nanti terkena darah
tinggi sebab marah-marah. Releks… releks…
Qisya memberi motivasi pada diri
sendiri. Nafas ditarik panjang. Lalu dihembus perlahan-lahan. Itu petua yang
babah berikan. Kata babah, bila rasa marah menguasai diri, tarik nafas
panjang-panjang. Lepas tu hembus. Bila tak tenang juga, pergi ambik air wuduk.
Insya-ALLAH rasa marah akan reda.
Buah-buahan yang dibekalkan oleh umi
di bonet kereta segara di ambil. Beratnya! Ini buah ke batu? Omel Qisya
sendiri. Memang sudah menjadi kewajipan umi, setiap kali dia balik ke kampung
pasti akan dibekalkan dengan pelbagai barang bila balik ke Kuala Lumpur.
Kadang-kadang umi juga akan bekalkan belacan untuknya. Kata umi, untuk bekalan
dunia dan akhirat. Hai, pandai jugak umi buat loyar buruk. Ingatkan babah
seorang aje yang kaki loyar buruk di rumah. Rupanya umi pun 2x5. Tak hairanlah
kenapa anak-anak Haji Zahiddin semuanya kaki loyar buruk. Keturunan rupanya.
Ketika
hendak melangkah masuk ke dalam rumah, baru Qisya perasan kelibat Encik Darish
yang sedang sibuk mencuci kereta Honda City silvernya di halaman rumah milik
lelaki itu. Biasanya, orang cuci kereta waktu pagi. Tapi Encik Darish pula
lebih suka mencuci keretanya waktu petang. Kerap kali juga Qisya terserempak
dengan jirannya itu mencuci kereta sebelah petang seperti ini. Entah apalah
yang istimewa sangat cuci kereta sebelah petang ni? Tidak pula Qisya mahu
mengambil tahu dengan lebih lanjut. Takut juga kalau Encik Darish melabelkan
dia sebagai ‘wartawan Taman Teluk Villa’. Tak pasal-pasal dia dapat jawatan
baharu pula disebabkan keprihatinan tahap melampaunya itu. Mungkin dah jadi
tabiat semulajadi lelaki itu agaknya. Senang Qisya memutuskan sendiri
jawapannya.
Qisya
yang memang sudah terkenal dengan sifat mesra rakyat dan alamnya terus menegur
jirannya itu. Tak eloklah dia lalu-lalu macam itu aje. Nanti dikata sombong
pulak. Hidup berjiran ni kenalah bertegur sapa. Kalaulah dia dicalonkan sebagai
wakil rakyat di taman tempat dia tinggal ini, tentu ramai yang mengundi.
Maklum, terover peramah katakan!
Makcik
Bedah yang duduk hadapan rumahnya itu juga dah jadi geng sekutunya. Bukan
setakat makcik Bedah, Tuty si pembantu rumah Encik Roslan dan Puan Nora juga
merupakan gengnya. Kalau terjumpa, pasti berjam-jam juga dia, makcik Bedah dan
Tuty bergosip. Bergosip berita hiburan aje tau, bukannya mengumpat hal jiran
tetangga. Maklum… Qisya, makcik Bedah dan Tuty ni minat gila kat Awal Asahari.
Pada mereka bertiga, si Awal Asahari tu boleh dinobatkan sebagai ‘Lelaki Melayu
Terakhir’. Hensem! Tak ada artis
lelaki yang boleh menandingi kehenseman milik Awal Asahari pada pandangan mata
mereka. Boleh histeria mereka bila tiba bab cerita terbaharu mengenai pelakon
pujaan hati itu. Malah, bila si Aawal digosipkan bercinta dengan Scha Al-Yahya,
mereka inilah yang terover gembira.
Pasangan yang secocok, kata Tuty. Qisya dan makcik Bedah mengangguk-angguk
tanda setuju sangat.
“Assalammualaikum,
Encik Darish. Tengah buat apa tu?” sapa Qisya dengan wajah yang ceria.
Senyumnya juga meleret dengan lebar. Hingga terserlah giginya yang putih
bersih. Persis nak buat iklan ubat gigi pulak dah.
Hai,
buta agaknya budak Qisya ni? Buat soalan pun, soalan tak berapa bijak. Takkan
tak nampak yang Encik Darish tu tengah cuci kereta. Takkan cuci pinggan mangkuk
pulak! Itu pun mahu tanyakah? Hisy…
cubalah buat soalan yang canggih sikit. Ini tak, soalan bodoh macam itu jugalah
yang ditanyanya. Lantak engkaulah Qisya Nur Alifa oiii! Yang penting kau dah
tegur. Walau sebodoh mana pun teguran yang kau berikan, at least kau dah buktikan yang kau ni memang insan yang peramah dan
mesra alam sekitar.
Encik
Darish yang sedar ada suara seorang perempuan menegurnya, pantas berpaling.
Suara serak-serak basah itu memang amat dikenalinya. Wajahnya masam mencuka.
Langsung tidak menunjukkan sifat ramahnya selama ini. Salam Qisya juga langsung
tidak dijawab. Tak tahulah pula kalau-kalau Encik Darish jawab salam Qisya
dalam hati aje. Lagipun berdosa kalau tak jawab salam yang diberikan. Laju saja
kaki Encik Darish melangkah masuk ke dalam rumah. Keretanya yang masih bersabun
langsung tidak dihiraukan. Jika boleh, dia memang tak mahu bersemuka dengan
perempuan-perempuan di sebelah rumahnya itu. Ada sesuatu yang menyakitkan
hatinya. Inilah yang dikatakan, kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. Iya
la… disebabkan seorang perempuan sahaja, tempiasnya terkena juga pada dua orang
perempuan dalam rumah tu.
Aduh…
Fening! Fening! Entah ayat apalah
yang penulis gunakan ni.
Dahi
Qisya berkerut. Hairan binti pelik dengan sikap Encik Darish yang tiba-tiba
sahaja berubah kepada ribut taufan. Selalunya, lelaki itu cukup ramah dengan
tutur bahasa yang sopan dan senyuman yang tidak pernah lokek di bibir. Tapi
hari ini, lain pulak jadinya. Wajah Encik Darish masam mengalahkan asam jawa
adabi yang selalu Nek Tee gunakan untuk menggoreng ikan di kampung.
Datang
bulan agaknya mamat ni! Tiba-tiba aje mencuka. Hisy… teruknya bila orang lelaki datang bulan. Muka kecut
mengalahkan orang perempuan. Qisya sudah membuat andaiannya sendiri. Hajat
dihatinya hendak menyedekahkan sedikit buah-buahan yang dibawa dari kampung
pada Encik Darish. Tapi memandangkan lelaki itu moody semacam, terpaksalah Qisya membantutkan hajat murninya itu.
Anggap saja bukan rezeki Encik Darish buah-buahan yang dibawa dari kampung.
“WAH… banyaknya buah Qisya bawa balik
dari kampung. Tengok ni! Macam-macam ada. Buah rambutan ada, langsat ada,
manggis ada, buah durian pun ada. Rasanya sebulan makan pun belum tentu akan
habis. Kalau hari-hari macam inikan best.” Mulut Casabelle sudah pot pet-pot
pet macam mak nenek sewaktu menyambut dua plastik besar yang dihulurkan Qisya
padanya. Tak sabar rasa hatinya hendak membuka buah durian yang baunya sudah
semerbak memenuhi ruang rumah. Tak sempat-menyempat lagi dia hendak membawa
bungkusan 2 plastik besar berisi buah-buahan itu ke dapur. Laju sahaja
dilonggokkan di tengah-tengah rumah. Memang dasar anak-anak dara pemalas betul
perempuan-perempuan dalam rumah ni.
“Hmmm… umi aku yang bekalkan untuk korang
berdua. Kalau ikutkan aku, jangan haraplah. Tak sanggup aku nak kutip buah-buah
ni semua. Buat penat aje. Kalau disuruh makan tu, akulah yang paling rajin.”
Ujar Qisya bersahaja. Dengan selamba biawak betina hidup, dia merebahkan
tubuhnya di atas sofa. Bukan main sedap lagi dia landing sambil mengoyang-goyangkan
kakinya. Ingat dia tuan puteri agaknya.
“Tahu!
Kalau nak harapkan kau kutip buah-buah ni untuk kami, hmm… kempunanlah kami jawabnya. Bukannya kami tak faham dengan
perangai kau yang satu tu. Pemalas tahap ular sawa.” Balas Nisya sambil
mengopek buah durian. Casabelle yang sudah bersila di depannya tidak
sabar-sabar lagi hendak makan buah durian itu. Meleleh-leleh air liurnya.
Qisya
mencebik. Malas hendak memberi sebarang komen. Kepenatan memandu seharian masih
lagi terasa. Sekarang dia mahu merehatkan sistem tubuhnya. Suara Casabelle dan
Nisya yang riuh menikmati kelazatan buah durian, langsung tidak dihiraukan.
Aroma buah durian yang menusuk ke lubang hidung tidak dihiraukan. Dia sudah
puas menikmati raja buah itu di kampung. Matanya dipejam seketika.
“SIKITLAH! Kedekut nak mampus!”
Casabelle mencebik bila Nisya melarikan buah durian di tangannya.
“Sikit…
sikit! Sejak dari tadi aku jadi tukang kopek, kau pulak jadi tukang makan.
Kalau kau nak, kau kopeklah sendiri. Ingat senangkah nak kopek buah durian ni?”
sanggah Nisya. Seulas buah durian dimasukkan ke dalam mulut. bukan main
berselera dia menikmatinya. Sengajalah tu nak buat si kawan terliur.
“Hoi…
durian aku la!” jerit Nisya sambil menampar tangan Casabelle yang sudah
mencapai sebiji buah durian yang baru dikopeknya.
“Korang
berdua ni boleh tolong diam, tak? Aku nak tidur kejap pun tak boleh. Baru nak start enjin mimpikan Awal Ashaari, suara
korang berdua dah kacau daun. Hinggakan Awal Ashaari pun tak jadi nak ajak aku
keluar dating dengan dia gara-gara
suara korang berdua.” Marah Qisya bila mulut Casabelle dan Nisya belum ada
tanda mahu berhenti. Sumbat kang buah durian tu dengan kulit-kulitnya sekali,
seumur hidup tak dapat nak bercakap. Menyakitkan hati betul dua minah kerek ni. Kalau aku tahu macam ni
kejadian dua minah kerek ni, baik aku tak payah bawa buah-buahan ni balik KL.
Hisy! Macam tak pernah makan aje gaya diaorang berdua. Buruk bebenor.
“Alamak!
Sleeping Beauty dah marahlah.” Ucap Nisya sambil tergelak. Casabelle
yang duduk bersila di depannya turut tersengih lucu. Mulutnya yang masih berisi
dengan buah durian itu membuatkan dia tidak dapat hendak ketawa. Nanti tak
pasal-pasal dia tercekik biji durian pulak. Tak ke haru blue hidupnya.
Qisya
mendengus. Geram pula dengan perangai dua sahabatnya itu. Tak boleh nak
bersikap serius sikit. Umur dah dua puluh empat tahun, tapi perangai macam
budak-budak yang baru umur lima tahun. Kalau kahwin, dah lama beranak-pinak.
Entah-entah dah bercucu-cicit. Hisy…
takkanlah sampai ke cucu cicit pulak! tak logik betul pemikiran si Qisya ni!
“Dahlah
tu Qisya. Tak payah kau nak tayang muka garang begitu. Tak menakutkan langsung.
Buat aku terasa lucu tu, ada la. Geli ulu hati dan lubang hidung aku tengok
muka kau macam tu.” Nisya masih ketawa. Muka garang Qisya cukup lucu pada
pandangan matanya. Tak menakutkan sungguh. Muka comel macam tu… mana ada orang
nak takut. Biarpun buat muka garang seperti singa betina sekali pun. Lainlah
kalau muka ala-ala Mak Lampir. Sah semua orang lari lintang-pukang.
Dengan
wajah yang cukup garang, Qisya menghadiahkan dua sahabatnya itu dengan jelingan
maut. Namun, entah kenapa dia tak dapat nak serius sangat dengan dua sahabatnya
ini. Laju saja tawanya turut sama mengelegak. Bergema rumah itu dengan hilai
tawa tiga ekor hantu. Seorang pontianak harum sundal malam, seorang pontianak
kampung batu dan seorang lagi pontianak cina.
“Hoi…
orang sebelah! Tak reti nak duduk
diam ke? Memekak aje petang-petang ni! Mengganggu ketenteraman awam sungguh!
Orang nak tengok tv pun tak concentrate
dengar hilai tawa macam pontianak dapat darah! Kalau nak ketawa pun,
agak-agaklah. Janganlah sampai boleh dengar suara tu satu taman!” Laung suara
sebelah rumah yang cukup mereka kenali. Hairan?! Macam mana Encik Darish boleh
dengar hilai tawa mereka bertiga? Besar sangatkah suara ketawa mereka? Atau
telinga Encik Darish tu yang terlebih prihatin? Sampaikan jiran sebelah rumah
terkentut pun dia boleh dengar. Entahlah…
Qisya
dan Casabelle terus diam menikus. Terkedu mereka mendengar suara Encik Darish
yang bergema dengan kuat. Tinggi mencakar langit. Manakala Nisya pula hanya
buat muka selamba biawak. Langsung tidak memberi sebarang respons. Malas dia
hendak melayan perangai jiran sebelah rumahnya itu. Emo mengalahkan orang perempuan datang bulan. Tak gentleman sungguh!
“Wei korang! Kenapa dengan Encik Darish
tu, arr? Tadi waktu aku sampai, dia
ada kat depan rumah dia tu. Macam biasalah, tengah cuci kereta kesayangan dia.
Jadi aku pun dengan mesra rakyatnya pergilah tegur dia. Iyelah, kan kita ni
hidup berjiran. Kenalah beramah mesra. Takkan nak menyombong tak bertempat
pulak. Boleh pulak dia buat tak layan aje. Dah tu buat muka masam macam cuka expired. Dia tu kenapa ar? Aku pelik betul dengan perangai dia
hari ni. Macam orang perempuan datang bulan pulak.”
Qisya bercakap dengan nada yang agak perlahan. Takut juga kalau-kalau jiran
sebelah rumah mereka itu terdengar apa yang diperkatakannya. Tak pasal-pasal,
mengamuk pulak Encik Darish satu taman. Tak ke naya?
Casabelle
mengangkat bahu. “Entah! Kau tanyalah orang yang duduk depan aku ni. Mana tahu
dia ada jawapan.” Dengan mulut yang masih berisi dengan buah durian, Casabelle
memuncungkan mulutnya ke arah Nisya. Mahu tersedak kawan seorang tu dibuatnya.
Mujur tak tertelan biji durian. Bulat mata Nisya jadinya. Hisy… mulut tempayan betullah amoi ni. Gumam Nisya dalam hati.
Qisya
sudah mengecilkan mata. Renungannya tajam menatap wajah Nisya yang masih beriak
selamba. Konon nak kontrollah tu. Ini mesti ada apa-apa. Kena korek sampai ke
lubang cacing. Tak acilah kalau Qisya seorang sahaja yang tak tahu kenapa jiran
sebelah mereka itu boleh jadi sebegitu. Hatinya kuat mengatakan perubahan
lelaki itu ada kena-mengena dengan sahabatnya yang seorang ini. Bukannya dia
tak nampak macam mana cara Encik Darish pandang Nisya. Seperti ada sesuatu yang
terpendam dalam hati. Bila bercakap dengan Qisya dan Casabelle pun, jelingan
Encik Darish tetap terarah pada Nisya. Cuma Nisya aje buat-buat tak tahu. Hmm… dalam hati ada cinta agaknya.
Tapi,
ok apa?! Encik Darish tu tak kurang pun hensemnya.
Wajah lelaki melayu tulen. Sekali pandang, ada iras-iras Fahrin Ahmad. Sesuai
sangat dengan Nisya yang berwajah ala-ala gadis Jepun. Esok lusa bila ada anak,
sah akan mewarisi genitik ayah dan ibu mereka. Hehehe…
Aduh!
Sampai begitu jauh sekali si Qisya ni berangan. Dia pulaklah yang terover excited.
“Kenapa
dengan Encik Darish tu, Nisya?” Qisya mengajukan soalan kepada Nisya yang masih
dengan keselambaannya. Sedangkan dalam hati hanya ALLAH saja yang tahu betapa
dup dap-dup dap jantungnya sebaik saja anak mata Qisya terarah ke wajahnya.
Bukannya Nisya tak faham dengan perangai Qisya yang suka korek rahsia orang tu.
Kalau boleh, semua dia nak ambil tahu. Dasar kaki sibuk.
“Entah!”
sepatah perkataan yang keluar dari mulut Nisya. Pantas dia mengambil seulas
lagi buah durian lalu dimasukkan ke dalam mulut. Anak matanya langsung tidak
mahu dihalakan pada Qisya yang masih merenungnya dengan tajam.
“Alaaa…
Qisya, Encik Darish tu bukan apa. Dia sebenarnya stress tahap meroyan sebab tak berjaya dalam misi nak mengajak cik
Danisya Izzati yang keras kepala ni keluar dating.
Tu yang jiwa kacau. Otak berserabut. Muka serabai. Sampaikan semua orang dia
nak bagi jelingan maut. Bukan kau seorang aje yang kena, aku pun terkena sama. Tak
pasal-pasal terkena jelingan maut si mamat sebelah tu. Ini semua gara-gara
perempuan keras kepala ni punya pasallah. Dah orang ajak pergi dating tu, ikut ajelah. Ini nak jual
mahallah pulak.” Casabelle mencelah bila melihat Nisya langsung tidak mahu
menjawab pertanyaan Qisya.
Dengar
sahaja ayat yang keluar dari mulut Casabelle, Qisya tersenyum lebar. Bukan main
suka lagi dia. Si kawan yang mendengar sudah merengus kasar. Tak boleh simpan
rahsia betul Casabelle anak uncle Chong ni. Aku sumbat mulut tu dengan buah
durian ni, baru padan dengan muka tu. Bisu satu tahun! Hisy…
“Owhhh… macam tu ceritanya. Ada orang
jual mahallah ni, ya?” Qisya mengusik. Dia dan Casabelle sudah mengekek dengan
tawa. Lucu melihat air muka Nisya yang sudah berubah kemerah-merahan menahan
rasa di antara malu dan geram.
“Hah,
ketawalah puas-puas! Ketawa sampai terkeluar isi perut tu. Dah puas ketawa
nanti, jangan lupa kemas kulit buah durian yang bersepah ni. Aku nak pergi
mandi. Tak kuasa nak melayan korang berdua! Buat sakit hati saja.” Arah Nisya
yang sudah bangun dengan wajah yang masam. Lantas dia naik ke tingkat atas
dengan kaki yang sengaja dihentak menandakan betapa dia geramnya dia.
Qisya
dan Casabelle saling berpandangan. Kemudian tawa keduanya pecah kembali. Gamat
rumah teres dua tingkat itu dengan usikan mereka yang tak henti-henti. Nampak
gayanya, sebulan jugalah Nisya terpaksa tadah telinga mendengar usikan dua
sahabat baiknya itu. Itu pun kalau sebulan, kalau setahun, macam mana? Huhuhu