W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Selasa, 24 Mac 2015

Isteri Dalam Sangkar2 10




BAB 10

F
ASHA menghenyak punggungnya di atas sofa dengan kasar. Kalau bukan kerana maknya meninggal dunia, tak rela dia nak balik kampung. Menyakitkan hatinya saja melihat kemesraan Aisyah dan suaminya itu. Rasa nak ditariknya tudung Aisyah. Berlagak alim konon! Huh!!!
Uji yang baru melangkah ke ruang tamu terkejut melihat kelibat sepupunya di situ. Pantas dia menghampiri Fasha. Cemberut saja wajah gadis itu.
“Apasal dengan kau ni? Monyok aje aku tengok. Ada yang tak kena ke?” tanya Uji. Dia dengan Fasha memang rapat sejak dari kecil. Namun sejak kebelakangan ini, sikap Fasha agak menyakiti hatinya. Apatah lagi bila Fasha sering bercakap tak baik pasal suaminya.
“Aku menyesal sangat balik kampung!” luah Fasha.
“Apasal pulak? Kan mak kau meninggal dunia. Tak elok la kalau kau tak balik. Kau kena ingat Sha, arwah mak kau tu sayang sangat kat kau. Kau tak boleh la tak tengok dia di saat-saat terakhir.” Sejahat-jahat Uji, dia masih punya hati dan perasaan. Sayangnya pada arwah ibunya tak pernah padam sampai bila-bila.
Fasha mencebik. “Dah la… takyah nak tunjuk baik Ji. Kau dulu pun bukannya dengar sangat cakap arwah mak lang. Selalu jugak melawan cakap. Macam la aku tak kenal perangai kau tu.”
“Betul cakap kau. Memang aku ni bukannya anak yang baik, tapi sekurang-kurangnya aku ada saat mak aku sakit. Aku tak pernah tinggalkan dia.” Mengenang sikapnya di masa lalu, airmata Uji bergenang. Jika masa itu dapat diputar semula, dia ingin menjadi anak yang baik. Anak yang sentiasa menyenangkan hati maknya. Namun, segala-galanya sudah terlambat. Maknya tak mungkin kembali semula.
Eiii… dah la Uji! Tak payah nak berairmata la depan aku. Meluat aku tengok tau. Aku ni dahlah tengah bengang dengan minah tu. Kau pulak menambahkan bengang aku ni. Menyampah, tau tak?!” Dengan rasa sebal, Fasha berlalu meninggalkan Uji. Kakinya sengaja dihentak kuat tanda betapa dia marah ketika itu.
Dalam bilik, dia menghempaskan badannya ke atas tilam. Terlentang dia memandang siling putih. Hatinya sakit meluap-luap. Tak sangka Aisyah akan jadi sebahagia itu. Fikirnya, Aisyah hidup menderita berkahwin dengan lelaki yang dinikahi atas dasar terpaksa. Tak sangka pula mereka bahagia. Masih segar dalam ingatan Fasha, bagaimana marahnya Tengku Iskandar pada Aisyah malam itu. Nyaris saja kakak sepupunya itu dibunuh sampai mati.
Ah… ini semua salah abangnya! Kalaulah abangnya tak gatal hendak memperkosa Aisyah malam itu, tentu semua ini takkan terjadi. Tentu Aisyah takkan bertemu dengan lelaki kacak dan kaya-raya. Abangnya menjadi punca derita hati yang ditanggungnya kini.
Fasha mendengus. Melihat kebahagian Aisyah, membuatkan dia tak senang duduk. Dia perlu melakukan sesuatu. Dia takkan berdiam diri. Tengku Iskandar harus dimiliki! Tapi bagaimana?
Fasha bangun dari baring. Berjalan mundar-mandir memikirkan jalan bagaimana harus merampas Tengku Iskandar daripada Aisyah. Namun, dia buntu. Dia tak mampu berfikir ketika ini. Dia perlu mendapatkan pertolongan Uji. Sepupunya itu pasti mempunyai idea yang bernas. Selama ini Uji banyak menolongnya.
Pantas, Fasha turun semula ke bawah. Mencari-cari kelibat Uji di ruang tamu. Namun sepupunya tiada di situ. Lantas dia melangkah pula ke ruang dapur. Pasti Uji berada di sana. Betul tekaannya, Uji ada di dapur.
“Uji.” Panggil Fasha.
Uji yang sedang menyiang ikan berpaling. Dilihatnya Fasha tersengih-sengih menghampirinya. Gadis itu kemudian menyandarkan badan ke kabinet sambil memandangnya dengan pandangan seribu satu makna. Tangan pula disilang ke dada.
“Ada apa?” Acuh tak acuh Uji bertanya. Daripada raut wajah Fasha, dia yakin ada sesuatu yang Fasha mahukan. Dia dah cukup faham dengan sikap Fasha.
Hmmm… aku mintak maaf pasal tadi. Bukan niat aku nak tengking kau. Cuma… aku tengah bengang la Uji.” Fasha mula mengadu.
“Kau bengang pasal apa pulak?” Ikutkan hati, Uji malas nak melayan. Namun dia terpaksa memandangkan Fasha dah mula membuka cerita.
“Pasal Aisyah tu la!”
“Kenapa dengan Aisyah.”
“Kau tau tak? Dia sekarang ni dah eksen. Mentang-mentang kahwin dengan lelaki hensem dan kaya-raya, dia berlagak depan aku. Pakai baju berjenama dan barang kemas sampai ke lengan. Masa hari mak aku meninggal tu, dia balik kampung dengan laki dia. Saja la tu nak tayang laki dia dekat orang kampung. Menyampah betul aku tengok muka dia Uji. Kalau kau ada masa tu kan, tentu kau pun menyampah jugak.” Fasha meluahkan rasa tak puas hatinya. Sengaja dia menambah sedikit ‘perisa’ dalam ceritanya agar Uji juga turut merasa benci.
Uji buat acuh tak acuh. Jika dulu, cerita pasal Aisyah pasti menarik minatnya. Tetapi tidak lagi kini. Dia sudah muak mendengar hinaan Fasha terhadap Aisyah. Biarlah Aisyah berkahwin dengan lelaki kacak yang kaya-raya sekali pun, dia tak peduli. Dia sendiri sudah bersuami meskipun suaminya tak sekacak suami Aisyah. Sekurang-kurangnya, suaminya itu adalah yang terbaik baginya.
Melihat tingkah Uji, Fasha mengetap bibir.
“Uji, kau dengar tak apa yang aku cakap ni?!” Oktaf suara Fasha sedikit meninggi.
“Aku dengar….” Malas-malas Uji membalas.
“Habis tu yang kau buat derk aje kenapa pulak? Takkan kau tak terasa langsung yang betina tu dah hidup senang?” Sakit hatinya melihat respons Uji.
Uji menghela nafas. Pisau yang digunakan menyiang ikan diletakkan ke singki. Pandangannya ditala ke wajah Fasha yang sudah masam mencuka.
“Aku bukan tak nak bagi respons Sha. Cuma aku dah malas la nak dengar semua ni lagi. Dari dulu sampai sekarang, kau asyik tak puas hati dengan Aisyah je. Dah bahagian dia dapat suami macam tu, dialah dia hidup bahagia. Kita doakan ajelah yang baik-baik.” Ujar Uji cuba menasihati.
“Doa yang baik-baik? Huh, jangan harap! Sejak bila kau jadi alim ulamak ni nak mendoakan yang baik-baik untuk perempuan tu? Bukan kau pun tak sukakan dia ke? Takyah nak berlakon jadi ustazah la Uji.”
“Aku bukan nak berlakon, Fasha. Aku cuma nak berubah. Aku tahu aku dah banyak buat salah kat Aisyah selama ni. Mulai hari ni, aku dah tak nak mengata dia lagi. Biarlah dia bahagia. Itu yang terbaik.”
“Jangan mimpi di siang harilah Uji! Aku takkan doakan kebahagian perempuan tu. Kau tengok la nanti, dia pasti menderita!” usai berkata, Fasha melangkah naik ke atas. Sangkanya dapat meminta bantuan Uji mencari idea menghapuskan Aisyah, tak sangka pula Uji dah menjelma menjadi perempuan baik. Benci!
“Nampaknya, aku kena cari jalan sendiri.” Ujar Fasha sendirian. Api kebenciannya masih lagi panas membara.

Isteri Dalam Sangkar2 9




BAB 9

“H
OME sweet home!” Itulah perkataan pertama yang keluar dari mulut Tengku Iskandar kala sampai ke kondominium mewah miliknya bersama Aisyah. Seminggu berada di kampung isterinya itu, hari ini mereka kembali semula ke Kuala Lumpur.
Aisyah sekadar tersenyum. “Abang nak minum ke?” tanya Aisyah.
Tengku Iskandar yang baru melabuhkan punggungnya di atas sofa memandang wajah si isteri.
“Sayang tak penat ke nak buat air untuk abang?” pertanyaan Aisyah dibalas dengan pertanyaan.
Takde la bang. Buat air je, bukannya penat pun. Lagipun Aisyah bukannya bawak kereta. Aisyah duduk jadi penumpang aje. Abang tu yang penat.”
Tersenyum Tengku Iskandar mendengar jawapan isterinya itu. Aisyah sekarang dah fasih sangat menjawab. Bukan seperti yang mula-mula dikenalinya dulu. Asyik tunduk saja bila bersemuka dengannya.
“Okey la kalau macam tu. Abang nak jus oren. Sejuk-sejuk tau.”
Aisyah angguk. Kemudian dia melangkah ke dapur. Tak sampai lima minit, dia kembali semula bersama gelas berisi jus oren di tangan.
“Abang… nah, ini airnya.”
Thanks sayang.” Ucap Tengku Iskandar seraya menyambut gelas yang dihulurkan.
Aisyah bergerak ke arah beg yang dibiarkan terletak di sudut sofa.
“Sayang nak buat apa tu?” tanya Tengku Iskandar.
“Nak bawa naik beg ni.”
“Eh, tak payah. Biar aje kat situ. Nanti abang bawa naik. Sayang meh duduk kat sebelah abang. Abang ada perkara nak tanya sayang.” Ujar Tengku Iskandar menepuk-nepuk sofa kosong di sisinya.
Aisyah akur. Punggung dilabuhkan bersebelahan dengan sang suami. “Abang nak tanya apa?”
Tengku Iskandar tersengih. Sebenarnya tiada apa pun yang nak ditanya. Sengaja dia buat Aisyah duduk di sebelahnya. Seminggu berada di kampung halaman isterinya itu, susah sangat nak dia nak bermanja dengan Aisyah. Duduk rapat-rapat seperti ini pun susah. Ada saja mata yang memerhati. Ikutkan dia, tak kisah pun kalau ada mata yang memandang. Tapi Aisyah saja yang tak selesa. Konon segan dengan orang kampung. Macamlah orang kampung tak tahu bermesra dengan isteri sendiri.
Dahi Aisyah berkerut melihat sengihan suaminya. Kata nak tanya sesuatu. Tapi bila ditanya boleh pula suaminya itu tersengih-sengih macam kambing gurun.
“Abang!” Aisyah menampar lembut lengan Tengku Iskandar.
“Hah.” Terpinga-pinga Tengku Iskandar dibuatnya. Tersentak dari lamunan.
Hisy… kata nak tanya sesuatu. Apa dia?”
Lebar sengihan Tengku Iskandar. Tangannya dipanjangkan merangkul bahu Aisyah.
“Sayang ni kan… garang sangat la sekarang. Macam Mrs. Tiger pulak.” ujar Tengku Iskandar lantas dia ketawa besar. Seronok dapat mengenakan Aisyah. Dia tahu isterinya itu menggelar dia ‘Tengku Harimau’. Kini tibalah gilirannya memanggil Aisyah ‘Mrs. Tiger’ pula.
Aisyah menjeling geram. Seronok sangatlah ‘Tengku Harimau’ itu dapat menyakatnya. Huh!
“Dah la. Aisyah malas nak layan abang. Aisyah nak pergi masak lagi bagus.” Ujar Aisyah lantas bangun dari duduknya.
Namun belum sempat Aisyah melangkah, Tengku Iskandar terlebih dahulu bertindak. Tangan Aisyah ditarik sehingga membuatkan tubuh wanita itu hilang pertimbangan dan jatuh ke ribanya.
“Abang tak akan biarkan sayang pergi. Nak tak nak, sayang kena rajinkan diri ‘layan’ abang.” Ujar Tengku Iskandar sambil mengenyit mata nakal.
Aisyah ketap bibir. Wajahnya membahang. Segan mendengar kata-kata suami sendiri. Biar sudah lama bersama, namun rasa malu pada suaminya tak pernah menghilang.
Tanpa menunggu lama, Tengku Iskandar mencempung tubuh Aisyah.
“Abang! Apa ni? Lepaskanlah Aisyah. Aisyah nak masak la. Kan tadi abang jugak yang kata dah lapar.” Rayu Aisyah minta diturunkan. Dadanya mula berdebar dengan tingkah Tengku Iskandar yang sudah melangkah mendaki anak-anak tangga.
“Memang la abang lapar, tapi abang lapar nak makan sayang. Bukannya nak makan nasi.” Selamba saja Tengku Iskandar berkata. Tubuh Aisyah diletakkan atas katil. Matanya menatap lembut wajah sang isteri.
Renungan Tengku Iskandar membuatkan hati Aisyah kian tak menentu. Hendak berkata sesuatu, namun mulutnya terkunci apabila bibir Tengku Iskandar sudah mendarat ke bibirnya. Tiada apa lagi yang mampu diperkatakan. Mereka hanyut dibuai asmara cinta yang tak ada penghujungnya.




TERSENGIH-SENGIH Tengku Iskandar memandang Aisyah yang sedang menyenduk nasi ke dalam pinggannya. Masih terkenang kehangatan tadi. Setiap kali bersama, Aisyah sering menyembunyikan wajah. Inilah punca dia begitu sayangkan Aisyah. Sikap pemalu isterinya itu mengikat hati lelakinya. Aisyah dengan sifat malu memang tak dapat dipisahkan.
Melihat sengihan sang suami, Aisyah mengetap bibir. Dah arif sangat dengan senyuman si harimau miang itu. Nak dilekuknya saja kepala suaminya agar kembali ke dunia asal. Tapi, dia tak mahu jadi isteri derhaka.
“Yang abang sengih-sengih ni apasal?” tegur Aisyah kurang senang diperhatikan begitu. Rimas!
“Abang suka tengok sayang rambut basah macam ni. Cantik and sexy. Rasa macam nak lagi, lagi dan lagi! Tak puas rasanya.” ujar Tengku Iskandar bersama senyuman nakal. Cakapnya tak pernah berlapis. Main belasah sahaja.
Aisyah ketap bibir. Suaminya kalau bercakap memang begitu. Main lepas aje. Nasib baik cuma mereka berdua di kondo ini. Bayangkan jika ada orang lain, tak ke memalukan cakap macam itu?
Hisy… abang ni kan… gatal! Tak reti nak cakap benda yang elok ke? Asyik cakap benda tak senonoh je. Abang ni semakin hari, semakin gatal Aisyah tengok.” Gumam Aisyah. Punggung dilabuhkan atas kerusi dengan bibir sudah memuncung macam itik betina.
“Menggatal dengan isteri abang yang comel ni aje pun. Bukannya dengan orang lain. Kalau dah menggatal dengan orang lain tu, lain pulak ceritanya.”
“Abang berani ke nak menggatal dengan orang lain?” Aisyah buat muka garang.
“Kalau sayang izinkan.” Tengku Iskandar tayang sengih.
Pantas Aisyah mencubit lengan Tengku Iskandar. Dipulas kuat-kuat sehingga meninggalkan kesan merah akibat sepit ketamnya yang berbisa itu.
Auch… sakit la sayang.” Tengku Iskandar mengadu manja. Lengannya digosok-gosok. Boleh tahan penengan sepit ketam isterinya. Sampai merah kulitnya yang putih ini.
“Tau pun sakit. Kalau abang cuba nak menggatal dengan orang lain, memang siap abang Aisyah kerjakan.”
“Aisyah nak kerjakan abang ke? Abang rela….” Seraya itu Tengku Iskandar mendepangkan tangan luas-luas tanda rela.
“Eiii… geram la dengan abang ni! Dahlah, cepat baca doa makan. Aisyah dah lapar ni.”
Tengku Iskandar menurut. Tangan ditadah lalu doa makan dibaca. Suasana makan malam mereka berdua berlangsung meriah. Sesekali, dia mengusik isterinya dengan menggesel kakinya ke kaki Aisyah. Membuatkan Aisyah melatah dan dia ketawa suka.

Khamis, 19 Mac 2015

Isteri Dalam Sangkar2 8




BAB 8

U
SAI solat subuh, Aisyah bersiap-siap nak keluar. Sekadar berbaju kurung cotton dan bertudung bawal. Wajahnya juga langsung tidak di tempek sebarang alat solek. Dibiarkan begitu sahaja.
Tengku Iskandar yang baru melangkah masuk ke dalam bilik terketar-ketar menahan sejuk. Boleh beku dia jika hari-hari mandi di sini. Sejuk tahap melampau. Dahlah tu, takde pemanas air pula. Memang tak boleh tahan langsung dibuatnya. Baru pekena segayung dua, giginya dah terketar-ketar.
Aisyah yang sudah bersiap berpaling menghadap sang suami. Mahu tergelak dia melihat bibir suaminya yang terketar-ketar kerana sejuk. Pantas dia menghampiri Tengku Iskandar.
“Sejuk sangat ke bang?” tanya Aisyah menghulurkan baju melayu kepada suami.
Tengku Iskandar mengangguk. Baju melayu dicapai lalu cepat-cepat dia menyarungnya ke tubuh.
“Kan Aisyah dah cakap, air kat sini sejuk sangat. Abang tu yang degil sangat nak mandi awal pagi.” Ujar Aisyah lagi.
“Ini semua sayang punya salah.” Tiba-tiba Tengku Iskandar menyalahkan Aisyah.
“Eh… kenapa pulak nak salah Aisyah?”
Ye la. Abang ajak sayang mandi sama, sayang tak nak. Kalau mandi berdua tadi kan best. Takde la abang kesejukan sangat sampai terketar-ketar macam ni.” selamba saja ayatnya. Bibir sudah mengherot senyuman sang harimau gatal.
Aisyah mencebik. Sehari tak menggatal, tak sah agaknya hidup suaminya ini. Suka sangat nak menyakat.
Hisy… abang ni. Cakap tu main lepas aje. Abang tak malu ke dengan Abang Id dan Kak Lis?” gumam Aisyah menegur sikap suaminya yang suka bergurau tahap 18 tahun ke atas.
“Nak malu apanya? Kita ni kan suami isteri. Normal la suami isteri mandi bersama. Abang Id dengan Kak Lis tu pun mandi bersama jugak. Tak jadi hal pun. Tak malu pun.”
“Macam mana abang tahu dia orang mandi bersama? Abang pergi skodeng ke?”
Takyah nak skodeng. Abang tahu la… kalau tak mandi bersama, mana nak jadi baby dalam perut Kak Lis tu.”
Merah padam muka Aisyah mendengar kata-kata suaminya. Laju penyepit ketam Aisyah mendarat ke lengan suaminya itu. Membuatkan Tengku Iskandar terjerit kecil.
Auch! Sakit la sayang.” Tengku Iskandar mengadu sakit. Merah kulitnya akibat cubitan sang isteri.
“Tahu pun sakit. Lain kali abang cakap macam tu lagi, Aisyah cubit lagi kuat dari yang ni.” ugut Aisyah.
“Amboi… garangnya isteri abang ni.” Tengku Iskandar buat-buat takut. Padahal ugutan Aisyah langsung tak berbekas di hatinya. Setakat penyepit ketam isterinya itu, dia tak takut mana pun.
Aisyah tahu Tengku Iskandar bergurau. Semakin dia tunjuk garang, semakin nakal pula suaminya itu.
“Dah la. Malas Aisyah nak layan abang. Cepatlah bersiap. Kata nak temankan Aisyah pergi kubur.” Putus Aisyah akhirnya. Dia melangkah keluar meninggalkan Tengku Iskandar bersiap di dalam bilik.




“SAYANG….” Tengku Iskandar menyentuh lembut bahu isterinya.
Aisyah berpaling. Dia cuba tersenyum walaupun senyumannya kelihatan sumbing. Setiap kali menziarahi pusara arwah abah dan mak, hatinya dirundung sayu. Kerinduan yang terpendam lama tak mungkin akan hilang sampai bila-bila.
“Jom kita balik.” Ajak Tengku Iskandar. Tak sanggup dia melihat wajah isterinya setiap kali berada di sini. Sebolehnya dia ingin melihat Aisyah sering tersenyum gembira. Bukannya bermuram durja seperti ini.
Aisyah mengangguk. Jug berisi air mawar disiram ke pusara abah dan mak. Semoga Allah meringankan seksa kubur kedua mereka yang disayanginya ini.
“Abah, mak… Aisyah balik dulu. Ada masa, Aisyah datang lagi ke sini.” Ucapnya sebelum melangkah pergi meninggalkan tanah perkuburan Darul Salam.
Dalam perjalanan, Aisyah sekadar mendiamkan diri. Pandangnya dilontar ke luar. Tiada kata yang hendak dibicarakan. Dia lebih senang melayan perasaan yang tak menentu.
“Sayang, kenapa diam aje ni?” Tengku Iskandar bertanya. Jemari Aisyah diraih lalu digenggam erat. Sementara sebelah lagi tangannya kejap memegang stereng kereta.
Aisyah berpaling. “Takde apa bang.”
“Kalau betul takde apa, kenapa sayang senyap aje? Tak nak borak dengan abang ke?”
“Takde apa yang nak dikata. Tu yang Aisyah diam je.”
“Sayang, abang rasakan, abang tak jadilah nak balik KL petang ni.”
Dahi Aisyah berkerut. “Kenapa pulak bang?”
“Sebab tak seronok la balik rumah kita tu tanpa sayang. Abang rasa nak tambah cuti panjang sikit. Nanti dah habis kenduri tujuh hari boleh kita balik KL sama-sama.”
“Tapi kerja abang kat ofis tu macam mana pulak? Tujuh hari tu lama tau bang.”
“Sebab tahu tujuh hari lama la abang nak ambil cuti. Soal kerja kat ofis tu sayang janganlah risau. Haziq kan ada.”
“Tak menyusahkan Abang Haziq ke bang? Kesian dia… setiap kali abang cuti aje mesti dia cover kerja abang. Dia pun ada kerja jugak.”
“Alaaa… bukannya selalu pun abang cuti. Sekali-sekala aje. Abang dah call Haziq pun. Dia okey je.”
“Terpulang pada abang la. Aisyah ikut je.”
Kereta yang dipandu memasuki laman rumah kampung peninggalan arwah abah Aisyah. Kemudian diparkir elok di bawah pokok mangga. Tengku Iskandar dan Aisyah keluar beriringan.
“Sayang naik la dulu ya. Abang nak ambil angin kat bawah ni kejap.” Ujar Tengku Iskandar. Sesekali berada di kampung, dia ingin mengambil peluang untuk menikmati kedamaian di sini.
“Baik la bang. Aisyah naik dulu ya.”
Ketika melangkah masuk ke dalam rumah, mata Aisyah menangkap figura seseorang yang amat dikenalinya. Fasha. Nampaknya adik sepupunya itu telah pulang. Entah bila sampainya, Aisyah sendiri tak tahu. Semalam sewaktu pengebumian mak su Ainin, kelibat Fasha langsung tak kelihatan. Alih-alih, hari ini bayangan Fasha sudah tercongok di ruang tamu bersama Farid.
“Assalammualaikum.” Aisyah memberi salam.
Serentak itu dua beradik menoleh.
Waalaikumusalam. Aisyah, dah balik ya?” tegur Farid.
Aisyah mengangguk. Matanya memandang paras Fasha yang langsung tak menoleh padanya. Masam saja wajah adik sepupunya itu.
“Is mana?” tanya Farid kala tak terpandangkan wajah Tengku Iskandar. Selalunya lelaki itu tak pernah berenggang dengan Aisyah. Macam belangkas.
“Ada kat bawah, bang. Katanya nak ambil angin.” Beritahu Aisyah.
“Aik? Katanya nak balik KL hari ni. Kenapa tak bersiap lagi?”
“Abang Is kata tak jadi balik KL hari ni. Dia nak tambah cuti. Nak tunggu sampai kenduri tahlil tujuh hari.”
Hmmm… elok sangat la kalau macam tu. Boleh dia ikut berjemaah sekali malam ni.”
Aisyah sekadar tersenyum. Matanya melirik wajah Fasha sekali lagi. Seperti tadi, air muka Fasha tetap masam mencuka. Terbantut niatnya mahu menegur gadis itu.
“Aisyah ke dapur dulu ya, bang.” Pinta Aisyah akhirnya.
Di dapur, kelibat Lilis kelihatan sedang sibuk menyelongkar almari. Kasihan pula Aisyah melihatnya. Sudahlah sarat mengandung, sibuknya pula tak menang tangan nak buat itu dan ini. Pantas sahaja Aisyah mendekati Lilis.
“Kak Lis buat apa tu? Biar Aisyah tolong.” Ujar Aisyah menawarkan diri membantu Lilis yang terkocoh-kocoh mengeluarkan beberapa barang dari almari.
“Aisyah, Kak Lis nak ambil barang-barang untuk kenduri malam nanti. Kejap lagi Kak Shima, Kak Nuha dan Che Ta nak datang sini tolong apa yang patut. Sebelum tu kenalah keluarkan barang-barang ni dulu.”
“La… ye ke? Takpe, biar Aisyah yang keluarkan barang-barang ni. Kak Lis pergi la berehat.”
“Tapi barang-barang ni banyak, Aisyah. Larat ke Aisyah nak keluarkan sorang diri?”
“Alaaa… Kak Lis jangan la risau pasal Aisyah pulak. Aisyah larat lagi nak buat. Yang penting Kak Lis tu, dah la tengah sarat mengandung tapi sibuk mengalahkan orang tak mengandung pulak.”
Aisyah mengambil alih kerja Lilis. Beberapa barang penting dikeluarkan dari almari. Tersenyum senang Lilis melihat tingkah si manis itu.
“Betul cakap Abang Id, Aisyah ni memang baik. Suka tolong orang. Akak gembira dapat kenal Aisyah.”
Aisyah berpaling seketika dan tersenyum. “Aisyah pun gembira dapat kenal Kak Lis.”
Tanpa mereka sedari, di balik pintu yang memisahkan dapur dan ruang tamu, Fasha sedang memasang telinga mencuri dengar perbualan mereka berdua. Sakit hati Fasha pada Aisyah tak pernah padam. Apatah lagi melihat kebahagian yang dikecapi kakak sepupunya itu. Bertambah dendam kesumat di hatinya.
‘Aku takkan biarkan kau hidup bahagia!’