W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Khamis, 29 Januari 2015

Cinta Rahsia Hati 10





BAB 10

WAN DANIEL sekadar mendengar. Rancak sekali celoteh Suhana malam ini. Setiap kali bercerita, tunangnya itu pasti tak lupa menyelitkan nama Adam. Adam itu, Adam ini. Pendek kata, semua yang baik-baik adalah milik Adam. Naik rimas juga dia asyik mendengar nama itu. Belum sebulan Suhana berpindah ke tempat baru, dia dah ada pesaing. Tak boleh jadi macam ni!
Kalau bukan kerana dia cintakan Suhana, tak sudi dia menadah telinga mendengar cerita Suhana pasal pesaingnya itu. Hebat sangatkah Adam ini? Sampai Suhana tak serik menyebut namanya itu. Hmmm… nampak gaya dia kena berjaga-jaga dengan Adam. Kena ambil tahu bagaimana rupa paras Adam yang buat tunangnya ini tak sudah-sudah menyebut nama itu.
“Awak! Awak dengar tak saya cakap ni?” Suhana menaikkan sedikit oktaf suaranya apabila melihat Wan Daniel sibuk membelek-belek telefon pintarnya. Langsung tak peduli apa yang dia ceritakan. Buang liur saja bercerita bagai nak rak jika ceritanya itu langsung tak menarik minat Wan Daniel untuk mendengarnya.
“Iya… saya dengar. Awak cerita aje la.” Acuh tak acuh Wan Daniel menjawab. Mata dan tumpuan masih kepada laman sosial facebook yang sedang dilayari.
Suhana menggigit bibir bawah. Geram melihat sikap Wan Daniel. Selalu itu, Wan Daniel akan melayan bicaranya. Tapi malam ni boleh pula lelaki itu buat muka bosan. Kalau macam tu, dia pun nak zip mulut jugalah. Tak guna bercerita dengan orang yang tak sudi mendengar ceritanya.
Telefon pintar ditarik keluar dari beg tangan. Kemudian dia melayari laman facebook.
‘2 boring night of my life’
Itu bunyi status Wan Daniel yang dibacanya. Ada beberapa like dan komen dari rakan-rakan lelaki itu.
Lirikan mata Suhana memincing mata ke arah Wan Daniel. Lelaki itu masih sibuk dengan dunianya. Langsung tak endahkan Suhana. Macam Suhana ini tak wujud saja!
‘Kalau dah tahu bosan tu kenapa ajak aku keluar? Menyampah!’ Hati kecil Suhana berbicara. Kecil hati dengan status Wan Daniel. Wajahnya yang ceria sudah bertukar masam. Pantas dia juga menaip sesuatu pada status facebooknya. Ingat Wan Daniel seorang sajakah yang boleh tulis status macam tu. Dia pun nak tulis status menyindir.
‘Lebih baik duduk kat rumah kalau tahu malam ni membosankan!’
Begitu pula bunyi status Suhana. Siap letak tanda seru lagi. Itu tanda tak puas hati.
Tak sampai seminit, ada beberapa rakannya sudah menyukai statusnya itu. Kemudian ada juga yang mula memberi komen.
Nonoi -                        ‘Layan Detective Conan lagi best!’
Firman -                       ‘Keluar dgn I ttu u tk bosan.’
Kak Ton -                    ‘Awatnya yg bosan? Ce citer… ce citer. Hihihi…’
Bibie -                         ‘Ce ajak aku kuar… sah ko tk bosan.’
Itu antara komen yang diterima. Selang sesaat, komennya berisi nama ‘Handsome man’ pula.
Handsome man -         ‘U bored out with me?’
            Komen dari si ‘Handsome man’ yang perasan tak berkesudahan itu tidak dibalas. Malas dia nak melayan. Dah orang tu yang kata malam ni membosankan, kenapa nak kata dia pula? Huh, menyampah!
Wan Daniel angkat kepala. Wajah Suhana dipandang. Tu dia… masam mengalahkan asam gelugur!
“Apasal tiba-tiba masam pulak ni? Tadi bukan main lagi awak bercerita. Dah habis ke cerita awak tu?” tanya Wan Daniel dalam nada menyindir.
Suhana mengetap bibir. Bukan dia tak tahu Wan Daniel sedang menyindirnya. Entah apa penyebab yang membuatkan lelaki itu tak puas hati dengannya? Nak kata dia buat salah, tapi apa pula salahnya? Wan Daniel memang sengaja cari masalah!
“Buat apa nak cerita kalau orang tu rasa malam ni cukup membosankan? Buat sayang liur saya aje. Baik layan facebook!” Balas Suhana. Apa Wan Daniel ingat dia seorang sajakah yang boleh main sindir-sindir? Suhana pun boleh la!
‘Amboi… dia balas sindir pula dah… tak boleh jadi macam ni.’ Hati Wan Daniel berkata. Wajah Suhana yang mencuka masih dipandang. Walau masam ibarat cuka basi sekali pun, di matanya Suhana tetap cantik.
Tiba-tiba Suhana bangun dari duduknya. Dahi Wan Daniel berkerut.
“Awak nak ke mana tu?”
“Nak balik la. Saya bosan la malam ni.” tak puas lagi Suhana main sindir-sindir. Ayat ‘bosan’ sengaja ditekan kuat. Kemudian dia terus melangkah meninggalkan Wan Daniel.
Kelam-kabut Wan Daniel dibuatnya. Pantas dia mengamit tangan memanggil pelayan bagi mendapatkan bil. Setelah membayar bil, terkocoh-kocoh dia mengejar langkah Suhana yang sudah panjang menuju ke tempat letak kereta.
Malam ni dia tak nak pujuk Suhana. Biarlah mereka sama-sama merajuk. Dia memang berkecil hati sangat dengan tunangnya itu yang tak sudah-sudah menyebut nama Adam. Huh! Hebat sangatkah Adam itu?!
Dalam diam Wan Daniel bertekad mahu bersemuka dengan lelaki bernama Adam.

AWAL pagi lagi kelibat Wan Daniel sudah tercongok depan pintu pagar rumah sewa Suhana dan rakan-rakannya. Lelaki itu kelihatan segak memakai pakaian seragam seorang juruterbang. Cermin mata hitam menambahkan lagi ketampanan milik Wan Daniel. Disebabkan ketampanannya inilah, Nonoi dan Mimie begitu tergila-gilakannya. Bagai nak histeria mereka bila ternampak kelibat Wan Daniel.
Suhana yang sudah siap berbaju kurung dan bertudung litup mengecilkan anak matanya. Terkejut melihat kelibat Wan Daniel di situ pagi-pagi begini. Entah apa mimpinya? Pantas sahaja Suhana bergerak ke pintu pagar dan membukanya.
“Assalammualaikum….” Ucap Wan Daniel bersama senyuman lebar.
Semalaman dia merajuk dengan Suhana, hatinya mula tak tenteram. Tak tahan merajuk lama-lama dengan tunangnya ini. Rasa rindu begitu menggebu. Alamatnya, dia memujuk diri sendiri. Tak guna bermasam muka dengan Suhana hanya kerana seorang Adam.
Waalaikumusalam. Apa mimpi awak datang pagi-pagi ni?”
Wan Daniel tersenyum. Dia menjenguk semula ke dalam kereta. Kemudian sejambak mawar merah yang telah digubah cantik diunjukkan pada Suhana. “I want to apologize about last night. I'm sorry.”
Wajah Wan Daniel dan jambangan bunga itu dipandang silih berganti.
Sorry….” Pinta Wan Daniel penuh mengharap. Selagi Suhana tak memaafkan dirinya, selagi itu dia tak senang hati.
Suhana menghela nafas. Macam budak-budak pula Wan Daniel buat muka macam tu. Sedangkan umur dah masuk dua puluh lapan tahun.
Iye la. Iye la. Hisy… awak ni kan, mengada-ngada!”
Jambangan bunga bertukar tangan. Barulah Wan Daniel bisa menarik nafas lega. Nasib baik Suhana bukan jenis perempuan yang sukar dipujuk. Rajuknya juga tak panjang. Itu yang istimewanya Suhana di hati Wan Daniel.
“Jom, saya hantar awak ke tadika.” Pelawa Wan Daniel setelah melihat wajah Suhana tak semasam semalam.
“Eh, tapi kan awak nak fly? Tak payah la hantar saya. Saya boleh tumpang Nonoi aje.” Tolak Suhana tak nak susahkan tunangnya itu. Lagipun jarak antara tadika ke lapangan terbang KLIA bukannya dekat.
“Takpelah. Saya kerja pun sebelah tengah hari. Ada masa lagi nak hantar awak ke tadika.”
“Tapi….”
No objection! Saya hantar awak. Dah… pergi ambil barang-barang awak, saya tunggu awak kat sini.” Bagaikan seorang komando, Wan Daniel memberi arahan mandatori kepada Suhana.
Tanpa mahu berdebat, Suhana akur menurut perintah. Dia masuk semula ke dalam mengambil beg dan barang-barang keperluan yang selalu dibawa ke tadika.

MERAH padam muka Wan Daniel. Malu bukan kepalang! Mati-mati dia sangkakan Adam yang diceritakan Suhana padanya adalah seorang pria tampan. Rupanya Adam yang dicemburui dalam diam itu seorang anak kecil yang comel dan begitu petah berkata-kata. Tak sangka, dia tergolong dalam golongan orang cemburu buta!
Wan Daniel tersenyum sambil menggaru kepalanya. Kalau bukan sebab nak cover rasa malu depan Suhana, sudah lama dia menyembunyikan diri. Terpaksalah dia berlagak selamba sedangkan dalam hati dia dah mengutuk tindakannya yang cemburu tak kena tempat. Kerana cemburu, dia datang ke tadika dengan memakai pakaian seragam. Semua itu dilakukan semata-mata nak berdepan dengan Adam. Konon nak tunjuk dia lebih hebat dari lelaki itu.
Namun sebaik saja si kecil itu berada di depannya, dia terkedu sendiri. Matanya langsung tak berkedip memandang Adam yang begitu manja dengan Suhana. Malah tunangnya itu juga nampak begitu rapat dengan Adam. Setiap pertanyaan anak kecil itu dijawab dengan mesra.
Melihat kemesraan Suhana dan Adam, timbul rasa bahagia di hati Wan Daniel. Dari situ dia dapat melihat sifat keibuan milik gadis kesayangannya itu. Membuatkan cintanya pada Suhana makin membara. Tak salah dia memilih gadis itu sebagai pilihan hatinya.

Cinta Rahsia Hati 9





BAB 9

“ABAH!” Laung Adam sebaik wajah Dr. Akasyah terlayar depan mata. Riang hatinya dapat berjumpa abahnya pagi ini. Selalunya, bila dia bangun dari tidur abahnya sudah menghilang pergi ke klinik. Namun pagi ini abah masih berada di rumah.
Dr. Akasyah tersenyum. Wajah sang anak yang ceria disambut dengan rasa gembira. “Iye sayang ada apa?”
“Adam ada sesuatu nak tunjuk kat abah.” Ujar Adam dengan nada riang. Dia masih berbaju tidur ketika itu. Tergesa-gesa dia turun ke bawah semata-mata nak berjumpa dengan abahnya.
“Apa dia?”
“Ada la. Abah tunggu kejap tau.” Ujar Adam lagi kemudian dia berlari naik semula ke tingkat atas.
Tergeleng-geleng kepala Dr. Akasyah melihat telatah anaknya itu. Air coklat dihirup perlahan. Matanya kembali menyoroti helaian berita harian yang berada di atas meja. Macam-macam kes sekarang ini. Lebih menyayat hati adalah kes pembuangan bayi. Dr. Akasyah cukup mengecam perbuatan terkutuk ini. Kasihan pada bayi-bayi yang tak berdosa.
“Abah… nah!”
Sepucuk sampul biru yang dihulurkan mematikan pembacaan Dr. Akasyah. Dia berpaling pada Adam yang sedang tersenyum-senyum. Ceria bukan main anaknya pagi ini. Senyuman langsung tak lekang dari bibirnya yang kemerahan. Sehingga lesung pipit kecil di pipi kanannya terserlah. Lesung pipit yang diwarisi dari arwah isterinya.
“Apa ni?” tanyanya dengan dahi berkerut.
“Abah tengoklah dulu.” Jawab Adam yang masih setia berdiri di hadapan abahnya menanti reaksi lelaki itu. Wajahnya cukup riang pagi itu.
Tanpa banyak soal, Dr. Akasyah membuka sampul biru itu. Sekeping kad ditarik keluar. Kemudian dia membaca isi kandungannya.
‘Selamat hari ibu, mama… Adam & abah sayang mama dunia akhirat.’
Terkesima Dr. Akasyah membaca tulisan si kecil itu. Berdebar hebat jantungnya. Tak dapat digambarkan perasaannya ketika ini. Rasa sayu mula bertandang.
“Adam tahu mama dah takde. Tapi… Cikgu Hana kata tak salah kalau Adam buat kad ucapan selamat hari ibu untuk mama. Kad tu Adam boleh simpan untuk kenangan. Betul tak abah?”
Dr. Akasyah tak terkata apa. Matanya tunak memandang si kecil yang masih lagi tersenyum manis. Riaknya begitu polos dan meruntum jiwa seorang ayah. Anak kecil yang masih tak tahu betapa sakitnya erti sebuah perpisahan.
Pantas Dr. Akasyah menarik Adam ke dalam pelukannya. Hatinya benar-benar tersentuh. Tanpa dapat dia menahannya, airmata itu gugur membasahi pipi seorang insan bernama lelaki dan ayah.
Merasakan ada titisan airmata yang mengenai bahunya, Adam meleraikan pelukan. Wajah abahnya yang basah dengan airmata dipandang. Kemudian jemari kecilnya mengesat airmata si abah.
“Abah janganlah menangis. Cikgu Hana kata, yang hidup pasti berdepan dengan mati. Kita juga akan mati satu hari nanti. Masa tu kita dah boleh jumpa mama semula.”
Sesak nafas Dr. Akasyah mendengar kepetahan anak kecil itu mengungkap bicara. Hatinya robek bagai dicarik dengan belati yang tajam.
“Abah jangan nangis ya?” pujuk Adam. Jemari kecilnya sekali lagi mengesat airmata Dr. Akasyah yang tak henti-henti membasahi pipi. Kemudian satu ciuman mendarat ke pipi abahnya itu. “Adam sayang abah.” Ujarnya penuh kasih.
“Abah pun sayang Adam jugak.” Balas Dr. Akasyah. Tubuh kecil Adam dibawa hangat ke dalam pelukannya. Ubun-ubun Adam dikucup tanpa henti.
Di sebalik muka pintu yang memisahkan ruang makan dan dapur, Hajah Fauziah juga sudah lencun dengan airmata. Hiba hati tuanya mendengar bicara pagi Adam. Cucunya itu… semoga Allah memberi perlindungan buat anak kecil itu.

ADAM melambai-lambai tangan ke arah Toyota Prius putih yang sudah bergerak meninggalkan dirinya. Sampaikan dia tak sedar perlakuannya ini menjadi perhatian cikgunya. Tersenyum Suhana melihat telatah awal pagi Adam.
“Assalammualaikum….” Sapa Suhana.
Adam yang leka dengan perbuatannya segera berpaling. “Waalaikumusalam cikgu.” Jawabnya dengan ceria.
“Wah… happy nampak. Siapa yang hantar Adam tu?” tanya Suhana kepada Adam. Sebaik dia sampai tadi, kereta Toyota Prius itu sudah pun berlalu. Selalunya yang menghantar Adam adalah si Mamat dengan bas sekolahnya.
“Itu abah Adam cikgu.”
“Ohhh… patutlah Adam nampak happy. Hari ni abah yang hantar ya?”
Adam mengangguk-angguk. Hatinya riang bila abah menghantar dia ke sekolah hari ini. Sebelum itu, mereka sempat singgah ke satu tempat istimewa dulu. “Ha’ah. Adam dengan abah pergi ziarah kubur arwah mama. Kami bagi mama bunga mawar putih sempena hari ibu.”
“Alhamdulillah… Adam ni memang anak yang baik. Tentu arwah mama Adam bangga dapat anak macam Adam.” Puji Suhana. Rambut Adam digosok penuh kasih. Rasa sayangnya pada Adam Zakwan semakin menebal dari hari ke sehari. Tambah lagi bila mendapat tahu anak kecil itu tak punya ibu. Semakin sayanglah dia pada Adam.
Tersenyum Adam mendengar pujian cikgunya. Kembang hatinya bila dipuji begitu.
“Adam ada sedekahkan yassin untuk arwah mama ke?”
Adam menggeleng. “Adam tak tahu baca yassin lagi cikgu. Abah aje yang baca yassin. Adam cuma sedekahkan mama dengan surah Al-Fatihah.”
“Alhamdulillah… tu pun dah kira bagus tau. Nanti Adam belajar mengaji sampai khatam Al-Quran dan belajar baca yassin ya. Boleh sedekahkan untuk arwah mama. Tenang dan sejuk kubur arwah mama Adam nanti.”
Beria Adam mengangguk. Berkobar-kobar semangatnya mahu menamatkan bacaan Iqranya dari nenek. Selepas solat maghrib nenek tak pernah lupa mengajar dia mengaji.
“Cikgu, Adam ada sesuatu nak bagi cikgu.” Ujar Adam kepada Suhana yang masih lagi berdiri di hadapannya.
“Adam nak bagi cikgu apa?”
Adam tak menjawab. Beg yang disandang dibawa ke depan. Kemudian dia mengeluarkan satu sampul biru dari dalam begnya. Sampul itu dihulurkan kepada Suhana.
“Apa ni?” tanya Suhana menyambut sampul biru pemberian Adam.
“Kad untuk cikgu.” Beritahu Adam bersama senyuman merekah di bibir. Semalam dia bertungkus lumus menyiapkan kad istimewa itu khas untuk cikgu kesayangannya ini.
“Tapi hari guru kan lambat lagi.”
“Takpelah. Yang ni special. Cuma cikgu aje yang dapat.”
Suhana tersenyum. “Kiranya cikgu ni orang terpilih la ya?”
Adam mengangguk.
Penuh cermat Suhana membuka sampul biru. Kad bewarna merah jambu muda ditarik keluar.
‘Selamat hari ibu,cikgu. Adam sayang cikgu.’
Suhana tersenyum. Terharu mendapat kad istimewa dari anak muridnya. Sepanjang dia menjadi guru tadika, belum pernah ada seorang anak murid pun yang mengirim kad hari ibu buatnya. Adam merupakan pelajar pertama.
“Cikgu… boleh tak Adam panggil cikgu mama?” pinta Adam. Wajah Suhana dipandang penuh mengharap.
Permintaan Adam membuatkan Suhana terkesima. Tentu Adam rindukan panggilan mama sehingga meminta kebenaran memanggilnya dengan panggilan itu. Tumpah rasa simpatinya pada nasib si kecil yang telah kehilangan ibu ini.
Tanpa berfikir panjang, dia mengangguk. Tak salah rasanya jika anak kecil ini memanggilnya dengan panggilan mama. Apa yang penting, dia dapat membahagiakan Adam dan melihat anak itu gembira. Itu sudah cukup baginya.
Horrey!!! Adam dah ada mama.” Adam menjerit girang sambil melompat-lompat. Gembira bukan kepalang bila Cikgu Suhana sudi menjadi ‘mama’nya.
Suhana sekadar mengukir senyum. Sayangnya dia pada anak kecil ini hanya Allah yang tahu. Melihat Adam Zakwan, bagaikan dia melihat diri seseorang yang pernah berada di hatinya. Ke mana agaknya orang itu menghilang? Sesekali rasa rindu itu datang bertandang.

DR. AKASYAH menyandarkan tubuhnya ke bahu kerusi. Fikirannya merewang ke arah Adam. Sepanjang dalam perjalanan menuju ke tadika pagi ini, Adam kelihatan begitu ceria. Semangat benar dia hendak sampai ke tadika. Mulutnya juga tak henti-henti menyebut nama Cikgu Hana.
Dr. Akasyah tak kenal siapa Cikgu Hana yang dimaksudkan anaknya itu. Kalau sebut Cikgu Wan, memang dia teramat mengenalinya. Cikgu Wan merupakan pemilik Tadika Bintang Cemerlang. Tapi Cikgu Hana, dia langsung tak kenal siapakah gerangan cikgu yang menjadi sebutan anaknya ini. Cuma menurut cerita Adam, Cikgu Hana merupakan guru baharu yang menggantikan tempat Cikgu Moon. Orangnya baik dan cantik.
Terukir senyuman Dr. Akasyah bila Adam memuji cikgunya itu cantik. Anaknya itu, kecil-kecil lagi dah pandai menilai kecantikan seseorang. Bukan main lagi dia memuji kecantikan cikgunya itu. Boleh tahan juga Adam ini. Entah perangai siapalah yang diikutnya? Jika dikatakan menurun perangainya, Dr. Akasyah bukanlah jenis lelaki mata keranjang. Dia juga bukan lelaki yang gemar meluahkan ayat-ayat cinta pada setiap perempuan yang diminati. Kalau begitulah perangainya, tentu sudah lama dia meluahkan isi hatinya pada seseorang.
Mengenang seseorang yang pernah berada dalam hatinya, Dr. Akasyah melepas sebuah keluhan. Sudah lama dia tidak mengikuti perkembangan bekas rakan-rakan sekolahnya. Tiada seorang pun antara rakan-rakan sekolah yang diketahui alamatnya. Bukan dia menyombong, cuma dia tidak tahu siapa yang harus dihubungi.
Tok! Tok! Tok!
Ketukan di muka pintu mematikan lamunan Dr. Akasyah. pantas dia memalingkan wajahnya ke muka pintu yang sudah terbuka.
“Assalammualaikum doktor.” Sapa seorang makcik.
Dr. Akasyah tersenyum. Sempat pula dia melamun di masa bekerja. Baru dia sedar masih ada pesakit yang memerlukan rawatan.

Cinta Rahsia Hati 8





BAB 8

ESOK merupakan hari ibu sedunia. Memandangkan esok hari ibu, Suhana mengajar anak-anak muridnya menyediakan kad hari ibu untuk diberikan kepada ibu masing-masing. Teruja benar anak-anak kecil itu menyediakan kad untuk ibu mereka. Riuh rendah kelas lima cemerlang dengan suara riang anak-anak kecil ini.
Suhana memandang Adam. Anak kecil itu bagai tidak menghiraukan arahannya. Seronok pula Adam mengacau rakan-rakannya membuat kerja.
“Adam… kenapa tak buat kerja yang cikgu suruh? Adam pun kena buat kad untuk ibu Adam jugak.” Tegur Suhana.
Adam tersentak. Tindakannya menganggu Norin yang sedang menyediakan kad untuk ibunya juga terhenti.
“Esok Adam boleh bagi kad yang Adam buat untuk ibu Adam.” Sambung Suhana lagi.
Adam menunduk. Wajahnya berubah mendung. Kemudian tanpa sepatah kata dia terus berlari keluar meninggalkan kelas.
Tindakannya ini mengundang rasa terkejut di hati Suhana. Tergamam dia melihat tindakan Adam yang berlari keluar. Tak pernah dia nampak Adam berkelakuan begitu. Biasanya Adam pelajar yang ceria dan mendengar kata. Adakah dia tersalah cakap?
“Cikgu… sebenarnya kan Adam tu takde mak. Mak Adam dah lama meninggal dunia.” Bagaikan mengerti apa yang sedang bermain dalam fikirannya, si kecil Norin bersuara.
Sekali lagi Suhana tergamam. Tak menyangka kata-katanya tadi telah mengguris hati anak kecil itu. Rasa bersalah datang mengetuk hati.
“Murid-murid semua, cikgu nak keluar kejap. Kamu semua jangan bising dan buat nakal tau. Buat kerja yang cikgu suruh. Nanti cikgu masuk balik.”
Murid-murid sekadar mengangguk tanda faham dengan arahan yang diberi.
Suhana keluar. Liar bebola matanya mencari kelibat Adam. Ke mana agaknya anak itu menyembunyikan diri? Tentu Adam sedang bersedih dengan apa yang dia katakan tadi. ‘Hisy… apa la aku ni? Mulut gatal sangat!’ gumam Suhana marahkan diri sendiri.
Suhana menghela nafas. Kelibat Adam akhirnya berjaya dikesan. Kemudian dia melangkah mendapatkan Adam yang sedang duduk di atas kerusi kayu menghadap taman permainan.
Punggungnya dilabuhkan di situ. Wajah Adam yang muram dijerling.
Sorry….” Pintanya tanpa segan.
Adam diam tak berkutik. Kepalanya menunduk memandang rumput-rumput yang menghijau.
“Adam marah cikgu ke?” tanya Suhana lagi.
Kali ini Adam memberi tindak balas. Kepalanya digelengkan.
“Habis tu kalau Adam tak marah cikgu, kenapa Adam diam aje? Adam tak nak maafkan cikgu ke?”
Sekali lagi Adam menggeleng. Mulutnya yang amat petah berkata-kata selama ini seolah terkunci mengungkap kata. Kepalanya masih tunduk memandang bumi.
“Adam… cikgu mintak maaf ya. Cikgu tak tahu Adam takde mak. Kalau cikgu tahu, cikgu tak cakap macam tu.” pinta Suhana ikhlas. Rasa bersalah sungguh dia melihat Adam yang masih membisu hanya kerana terguris dengan kata-katanya tadi.
Adam masih lagi mengunci mulut. Kepalanya langsung tidak mahu diangkat.
“Sebenarnya Adam… kita berdua senasib. Kalau Adam takde mak, cikgu pula takde ayah. Ayah cikgu dah lama meninggal. Waktu tu umur cikgu sepuluh tahun. Adik-adik cikgu pun kecik macam Adam aje. Ayah cikgu terlibat dalam kemalangan waktu nak pergi kerja. Tapi cikgu tak pernah lupakan arwah ayah. Setiap kali menjelang hari bapa, cikgu selalu buat kad untuk arwah ayah. Tak kisahlah kalau ayah tak dapat lihat dan baca kad yang cikgu buat. Apa yang penting, kad tu luahan hati cikgu betapa cikgu sayangkan arwah ayah.” Tenang saja Suhana berbicara. Kenangan bersama arwah ayahnya terbayang depan mata. Sungguh, dia tak pernah lupakan memori indah itu.
Adam mendongak. Wajah Suhana dipandang.
“Adam pun boleh buat macam cikgu jugak. Tak salah buat kad untuk orang yang dah tinggalkan kita. Sekurang-kurangnya Adam boleh simpan kad tu atau beri pada ayah Adam. Cikgu pun ada masa buat macam tu jugak. Kadang-kadang cikgu bagi mak cikgu tengok dan baca kad yang cikgu buat untuk arwah ayah.” Beritahu Suhana lagi. Tak salah dia nak berkongsi cerita hidupnya dengan anak kecil ini. Semoga pengalaman hidupnya ini menjadi pedoman untuk Adam tidak rasa terpencil.
Suhana pandang Adam. Wajah penuh sayu itu merobek hatinya. Tanpa di duga, Adam menerpah dan memeluk erat tubuhnya. Membuatkan dia terpanar.
“Cikgu… Adam mintak maaf.” Pinta Adam perlahan. Dia tahu tak sepatutnya dia berlari keluar kelas tanpa izin cikgunya itu. Esak tangisnya juga mula kedengaran. Saat ini dia amat merindui arwah mamanya.
Suhana menggeleng. Sebak mendengar tangisan anak kecil itu. “Takde apa yang perlu cikgu maafkan. Adam tak salah apa pun.”
Lantas dia membalas pelukan Adam. Dikucup penuh kasih ubun-ubun si kecil itu.

“ADAM kenapa tak tidur lagi ni? Kan esok nak ke sekolah.” Tegur Hajah Fauziah sebaik melihat kelibat Adam yang masih terjenguk-jenguk ke luar. Fikirnya anak kecil itu sudah terlena. Tak sangka Adam masih berjaga walhal jam sudah menunjukkan pukul 10.15 minit malam.
“Adam tengah tunggu abah ni nek.” Jawab Adam selamba. Dari tadi dia tak senang duduk menunggu kepulangan abahnya. Sekejap-kejap dia akan menjenguk ke luar jendela dengan harapan abahnya sudah pulang dari klinik.
“Nak tunggu abah untuk apa? Abah Adam tu entah pukul berapa sampai ke rumah. Baik Adam masuk tidur dulu. Esok boleh bangun awal jumpa abah.”
Ikut hati tua Hajah Fauziah ini, memang ada rasa terkilan dengan sikap Dr. Akasyah Alimin. Tumpuan anak tunggalnya itu dilebihkan kepada urusan di klinik daripada anaknya sendiri. Kasihan Adam, jarang sekali dia dapat bersua muka dengan abahnya. Kadang-kala, hujung minggu pun Dr. Akasyah bekerja hingga pulang lewat malam.
Hendak marah, rasanya sudah berbuih mulutnya ini membebel. Namun sikap Dr. Akasyah masih tak berubah. Bukan dia tak pernah menasihati anaknya itu. Nasihatnya sekadar masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Kesibukan Dr. Akasyah semakin menjadi-jadi. Keluar pagi, baliknya malam.
Nasib baik dia masih bernyawa. Katakanlah jika dia sudah tiada suatu hari nanti. Entah apa akan jadi pada nasib Adam? Bertambah sunyilah hidup Adam tanpa kasih sayang yang patut diterimanya pada usia sekecil ini.
“Tapi nek….”
“Adam tidur dulu. Nanti abah dah balik nenek kejutkan Adam.” Pujuk Hajah Fauziah.
Adam menghela nafas. Langsir yang diselak ditutup semula. Dia bergerak ke katil.
“Nenek janji ya. Nanti abah dah balik nenek kena kejutkan Adam.”
Hajah Fauziah mengangguk. Tubuh kecil itu diselimutkan dan dahi Adam dikucup penuh kasih. Setelah lampu dipadam dan pintu ditutup rapat, dia kembali turun ke bawah. Ketika itu jam sudah melewati pukul 10.30 minit malam.
Buku ‘Cerita Cinta Ahmad Ammar’ dicapai. Seronok rasanya membaca perjalanan hidup anak muda yang telah pergi menemui Ilahi ini. Tersentuh hati keibuannya. Alangkah bahagia mempunyai anak seperti Ahmad Ammar.
Pintu yang terkuak membuatkan pembacaannya terbantut. Pantas Hajah Fauziah mendongak. Kelihatan kelibat Dr. Akasyah di situ.
“Assalammualaikum….” Ucap Dr. Akasyah sebaik pandangannya bertembung dengan pandangan sang ibu.
Waalaikumusalam. Baru balik?”
Dr. Akasyah sekadar mengangguk. Punggungnya dilabuhkan di atas sofa dengan badan sudah menyandar mencari keselesaan.
“Kasyah nak makan ke? Mak panaskan lauk.”
Tumpah rasa simpati Hajah Fauziah melihat nasib anaknya itu. Hendak marah, namun marahnya tak terluah. Dia tahu mengapa anaknya itu berubah laku. Kesibukannya demi mengelak diri dari terus mengingati arwah Zahida.
“Takpelah mak. Kasyah tak lapar lagi. Nanti kalau rasa lapar, Kasyah panaskan lauk sendiri.” Dr. Akasyah tidak mahu menyusahkan maknya. Dari siang hingga ke malam, mak telah menjaga kebajikan dia dan anaknya.
“Mak kenapa tak tidur lagi? Adam mana?”
“Mak tunggu Kasyah la. Adam pun baru aje tidur. Dari tadi dia tunggu Kasyah. Puas mak pujuk baru dia nak tidur.” Beritahu Hajah Fauziah.
Mendengar cerita Hajah Fauziah, rasa bersalah datang menjengah. Kasihan anaknya itu. Tentu ada sesuatu yang hendak ditunjuknya sehingga dia sanggup menunggu. Dr. Akasyah dah faham sangat dengan perangai Adam.
“Sampai bila Kasyah nak jadi macam ni? Tak kesian ke dekat Adam tu? Sibuk macam mana sekali pun, jangan abaikan Adam. Dia pun perlukan perhatian dan kasih sayang Kasyah jugak.” Tegur Hajah Fauziah. Tak guna dia marah-marah. Menasihati dalam lembut itulah yang paling berkesan.
Dr. Akasyah menghela nafas. Tahu dirinya ini bukanlah seorang ayah yang terbaik. Namun apa yang dilakukan bukan kerana dia tak sayangkan Adam. Kasih sayangnya pada anak itu tiada tandingan. Cuma dia tidak betah duduk di rumah lama-lama. Kenangan bersama arwah Zahida pasti akan menjelma. Hanya dengan menyibukkan diri sahaja dia bisa melupakan kenangan-kenangan itu.
“Kasyah tahu mak. Maafkan Kasyah.” Pinta Dr. Akasyah meraih jemari tua maknya. Dikucup penuh kasih jemari itu.
“Kasyah tak buat salah apa pun dengan mak. Mak cuma nak ingatkan Kasyah. Jangan abaikan Adam sebab dia satu-satunya harta yang arwah Ida tinggalkan untuk Kasyah. Kasyah patut menghargainya.”
Dr. Akasyah mengangguk. Benar apa yang mak katakan.
“Dah la. Kasyah pergilah naik mandi. Lepas tu rehat. Kalau nak makan, lauk ada dalam peti ais. Mak pun nak masuk tidur jugak ni.”
Sekali lagi Dr. Akasyah mengangguk. Matanya menyoroti langkah mak.
Sebaik kelibat tua itu menghilang, Dr. Akasyah juga bangun dari duduknya. Anak-anak tangga dipanjat. Ketika melintasi bilik Adam, pintu bilik anak itu dibuka. Dilihatnya Adam sudah terlena di situ. Perlahan-lahan dia mendekati tubuh kecil yang diselubungi selimut tebal.
“Maafkan abah, nak.” Ucapnya sayu. Wajah kecil itu mengundang rasa bersalah yang amat besar dalam dirinya. Dia sedar tak sepatutnya dia membiarkan Adam terabai tanpa kasih sayang.
“Abah sayang Adam.” Bisiknya lagi. Lantas sebuah ciuman hinggap ke pipi Adam.