W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Rabu, 24 September 2014

Cinta Rahsia Hati 2





BAB 2




DR. AKASYAH membaringkan tubuhnya di atas katil. Baru lega segala urat sendinya. Penat melayan karenah Adam siang tadi cukup terasa. Setelah berjaya memujuk anak terunanya itu, dia membawa Adam makan tengah hari di KFC. Habis makan, Adam merengek minta mainan baru. Diturutkan saja kemahuan anaknya itu. Selepas mendapat mainan, Adam mengajaknya pula ke Taman Layang-layang. Seronok benar Adam bermain layang-layang di sana. Hilang segala rajuknya.
Alhamdulillah… Adam anak yang senang mendengar kata. Perangainya tak ubah seperti arwah Zahida. Arwah isterinya itu juga kuat merajuk, namun senang dipujuk. Itulah persamaan arwah isterinya dan Adam.
Mengenang arwah Zahida, hati Dr. Akasyah dirundung pilu. Andai kata arwah Zahida masih ada sampai ke hari ini, tentu Adam tak akan terbiar. Tentu Adam mendapat kasih sayang sepenuhnya.
Dr. Akasyah mencapai bingkai gambar di meja sisi. Gambar yang cukup bermakna.
“Abang terlalu rindukan Ida.” Luah Dr. Akasyah sambil mengusap lembut wajah arwah isteri yang terpampang di bingkai gambar.
Matanya dipejam. Bingkai gambar dibawa dekat ke dada. Dipeluk seeratnya. Seolah-olah dia sedang memeluk tuan punya badan.

“ABANG….”
Suara itu menyapa gegendang telinga Dr. Akasyah. Sayu bunyinya. Membuatkan hatinya juga menjadi pilu. Namun dia tetap berkeras tidak mahu berpaling menghadap wajah Dr. Zahida.
“Abang… tolonglah tengok Ida.” Rayu Dr. Zahida. Sedih hatinya bila suami tercinta buat tak layan pada panggilannya.
Dr. Akasyah masih berkeras. Masih membelakang tidak mahu menghadap wajah isteri tercinta. Sedangkan hatinya sudah cair mendengar rayuan Dr. Zahida. Mana mungkin dia bisa tidak mengendahkan isterinya itu.
“Sampai hati abang tak nak tengok Ida. Abang dah tak sayangkan Ida lagi ka?” lirih suara Dr. Zahida. Tak sangka hati suaminya menjadi sekeras ini.
“Ida pun apa kurangnya. Sampai hati tak bagitau abang semua ni.” balas Dr. Akasyah. Ada nada kesal pada suaranya. Kecewa dengan sikap berahsia isterinya.
“Bukan Ida tak nak bagitau abang. Cuma… Ida tak berani nak hadapi kenyataan ni. Ida takut, bang. Ida tak nak tinggalkan abang dengan Adam. Tapi… ini takdir hidup Ida.”
Bicara Dr. Zahida memalingkan tubuh Dr. Akasyah. Ditenung wajah sayu isterinya yang mula digenangi air mata. Luruh jantungnya melihat wajah kekasih hatinya yang pucat bagaikan tak berdarah.
Lantas saja dia menarik Dr. Zahida ke dalam pelukannya.
“Abang sayangkan Ida. Abang cintakan Ida. Jangan tinggalkan abang, sayang.” Air mata Dr. Akasyah mengalir ke pipi. Runtuh ego seorang lelaki bila mengetahui insan tersayang bakal pergi meninggalkannya tak lama saja lagi. Hanya menunggu masa sahaja.
Dr. Zahida membalas pelukan Dr. Akasyah. Teresak-esak dia menangis dalam dakapan suaminya. Mungkin ini hari terakhir dia berada dalam pelukan hangat itu. Selepas ini segalanya hanya tinggal kenangan.
“Kalaulah boleh… Ida juga tak nak tinggalkan abang dengan Adam. Tapi Allah dah tulis takdir Ida kat sini. Kita tak boleh menghalangnya.”
“Kita masih boleh berusaha sayang. Ida masih boleh sembuh.”
Dr. Zahida menggeleng. “Mustahil, bang. Penyakit Ida dah merebak. Kanser Ida dah sampai ke peringkat ke empat. Ida tahu bila-bila masa saja Ida akan pergi menghadap Ilahi. Maafkan Ida, bang. Ampunkan segala dosa-dosa Ida. Halalkan makan minum Ida.”
Semakin erat Dr. Akasyah memeluk Dr. Zahida. Sebolehnya dia tidak mahu melepaskan pelukan itu. Namun dia tahu, kuasa Allah tiada siapa dapat menghalang. Suatu hari nanti, dia juga akan menghadapi saat kehilangan isterinya ini.

Selasa, 23 September 2014

Cinta Rahsia Hati 1





BAB 1

UNTUK kesekian kalinya, Adam menjenguk ke luar pagar. Mengharap kehadiran Toyota Prius putih datang menjemputnya. Namun dia hampa. Harapannya hanya tinggal harapan. Toyota Prius yang diharapkan tidak muncul-muncul juga. Sedangkan jam sudah melewati pukul 12.30 minit tengah hari.
Adam mengeluh lagi. Kalau tahu dari awal, dia lebih rela dijemput oleh Abang Mamat. Daripada menunggu abahnya yang tak tahu bila akan muncul. Bukan sekali dua abahnya buat perkara yang sama. Setiap kali abah kata akan menjemput dia dari tadika, abahnya tak pernah datang pada masa yang ditetapkan. Sibuknya dua puluh empat jam!
“Adam… kenapa ni? Dari tadi cikgu dengar Adam asyik mengeluh. Kenapa?” Cikgu Wan menghampiri Adam. Punggungnya dilabuhkan atas kerusi kayu bersebelahan dengan si kecil itu.
Adam tak menjawab. Kepalanya tunduk ke bawah dengan kaki menguis-guis lantai. Wajahnya muram. Tak ceria macam selalu.
“Tak baik mengeluh. Kan cikgu dah ajar, Allah tak suka pada hambanya yang kuat mengeluh. Adam kan budak baik. Kalau ada apa-apa, cakap pada cikgu.” Pujuk Cikgu Wan. Tumpah simpatinya pada wajah muram Adam.
Adam masih terus mendiamkan diri. Bukan niatnya mahu mengeluh. Tapi dia cukup kecewa dengan sikap abah. Abah tak pernah berpegang pada janji.
Selang sesaat, sebuah Toyota Prius putih berhenti betul-betul di hadapan pintu pagar Tadika Bintang Cemerlang.
Cikgu Wan tersenyum. Dia bangun dari duduknya. Dia kenal benar dengan pemilik Toyota Prius putih berkilat itu.
“Assalammualaikum….” Sapa pemilik Toyota Prius sambil tersenyum lebar. Tergesa-gesa dia masuk ke dalam setelah membuka luas pintu pagar yang sentiasa tertutup rapat.
Waalaikumusalam….” Balas Cikgu Wan mesra. Bibirnya tak lekang dengan senyuman.
“Maaflah cikgu, saya terlambat. Ramai sangat pesakit kat klinik hari ni. Itu yang tak dapat nak keluar awal.” Pinta Dr. Akasyah menerangkan kesibukannya.
“Takpe doktor. Saya faham. Sekarang ni memang musim orang demam.”
Dr. Akasyah hanya mengangguk. Sempat dia menjeling wajah anaknya yang tunduk merenung lantai.
“Adam… jom kita balik.” Ujarnya memanggil Adam yang hanya diam tak berkutik.
Adam bangun. Dia menghampiri Cikgu Wan lalu mencium tangan cikgunya itu. Kemudian tanpa berkata sepatah ayat pun, dia terus masuk ke perut kereta.
Mood dia kurang baik tu. Dari tadi langsung tak cakap apa pun.” Beritahu Cikgu Wan.
Dr. Akasyah sekadar tersenyum nipis. “Kami balik dulu cikgu. Assalammualaikum….”
“Waalaikumusalam.”
Di dalam kereta, Adam menunjukkan rasa tak puas hatinya dengan memalingkan wajah ke luar.
“Adam marah abah ke? Maaf la… abah bukannya sengaja datang lambat. Kat klinik tadi ramai sangat orang sakit.” Dr. Akasyah memulakan bicara. Wajah masam Adam menandakan anaknya itu tengah marahkan dirinya.
Adam menarik muka. Tubuhnya dipeluk. Abahnya itu begitulah… asyik sibuk dengan orang sakit. Anak sendiri sakit hati langsung tak dihiraukan.
“Adam, please…. Janganlah macam ni. Abah bukan sengaja nak buat Adam tunggu-tunggu.”
“Dah banyak kali abah buat perkara yang sama. Janji nak datang awal ambil Adam. Tapi akhirnya… Adam juga yang paling lambat pulang dari sekolah.” Petah Adam berkata. Wajahnya masih di buang ke luar jendela. Langsung tak nak pandang wajah abah yang telah mencalar hati kecilnya.
Kata-kata Adam mengundang rasa sayu di hati Dr. Akasyah. Memang dia tahu kesalahannya. Dia tak pernah datang awal menjemput Adam dari tadikanya. Namun dia bukan sengaja. Pesakit yang berduyun-duyun menyebabkan dia tidak dapat keluar awal dari klinik.
“Abah tahu abah salah. Maafkan abah ya?” pinta Dr. Akasyah mengharapkan kemaafan anak kecil itu.
Adam menghela nafas. Wajahnya menunduk. Dadanya terasa sesak. Kelopak matanya mula digenangi air. Alangkah indah jika arwah mama masih hidup. Tentu dia tak kesunyian seperti ini. Tentu mama tak pernah abaikan masa untuk bersamanya.
Melihat wajah suram Adam, Dr. Akasyah menghentikan keretanya di bahu jalan.
“Adam… janganlah  menangis. Abah kan dah mintak maaf.” Pujuk Dr. Akasyah. Tak sanggup dia melihat anak kecil itu menangis di hadapannya. Walau sesibuk mana pun dia, kasih dan sayangnya pada Adam tak pernah berkurangan. Adam adalah hartanya. Satu-satu peninggalan arwah isterinya.
“Abah tak pernah sayangkan Adam.” Ujar Adam dengan air mata yang mula membasahi pipi.
“Jangan cakap macam tu, nak. Abah terlalu sayangkan Adam. Adam satu-satunya anak abah.” Sebak hati Dr. Akasyah bila Adam berkata begitu.
“Kalau abah sayangkan Adam, abah tak buat macam ni. Dah banyak kali abah mungkir janji. Abah kata nak datang awal tapi abah tak pernah tunaikan. Kalaulah mama masih ada… tentu mama tak biarkan Adam tunggu kat tadika lama-lama.”
Hati mana tak tersentuh mendengar anak kecil itu berkata begitu? Apatah lagi tangisan si kecil yang baru berusia lima tahun itu mula terngiang-ngiang.
Lantas saja Dr. Akasyah menarik Adam ke dalam pelukannya. Diusap rambut hitam berkilat anaknya itu.
“Maafkan abah, nak. Abah tahu abah bukan ayah yang terbaik. Tapi… abah terlalu sayangkan Adam. Abah tak nak tengok Adam bersedih.”
Adam tak mampu berkata apa. Hanya tangisannya saja yang memecah kesunyian. Tangisan sayu yang turut menghiris hati lelaki Dr. Akasyah. Rasa bersalah pada anak itu datang bertimpa-timpa.

LEGA hati Dr. Akasyah melihat Adam tidur dengan nyenyak. Mungkin penat bermain siang tadi menyebabkan anak itu tertidur awal. Disebabkan rasa bersalah pada Adam, dia tak masuk klinik petang ini. Segala urusan di klinik diserahkan kepada Dr. Sunarto dan Dr. Rohana. Hari ini dia mengambil cuti setengah hari.
Satu ciuman hinggap ke dahi Adam. Betapa dia sayangkan anak itu. Adam merupakan peninggalan paling berharga dari arwah isterinya. Setelah lampu dimatikan, Dr. Akasyah bergerak turun ke bawah.
“Adam dah tidur ka?” sapa Hajah Fauziah yang baru keluar dari ruang dapur.
“Dah mak. Baru aje dia terlelap.” Beritahu Dr. Akasyah kepada maknya. Langkah di bawah ke ruang menonton.
“Penat sangat agaknya dia bermain sampai boleh tertidur awal malam ni. Selalu tu… dialah yang paling susah nak tidur awal. Ada saja kerjanya. Nak main la… nak melukis la… macam-macam.” Ujar Hajah Fauziah mengenang sikap cucu tunggalnya itu.
Dr. Akasyah sekadar tersenyum. Maknya memang dah faham sangat dengan perangai Adam. Sejak arwah Zahida meninggal dunia, sejak itulah mak tinggal bersamanya membantu dia menjaga anaknya itu. Disebabkan itu Adam begitu manja dengan neneknya ini. Dr. Akasyah cukup terhutang budi dengan pengorbanan maknya.
“Dah namanya Adam Zakwan, mak. Memang macam-macamlah helahnya kalau disuruh tidur awal.”
“Sama macam abahnya jugaklah. Banyak sangat helahnya. Tu yang menurun pada anak.” ujar Hajah Fauziah berniat menyindir anaknya ini.
Dr. Akasyah diam tak berkutik. Kalau dah ada bunga-bunga menyindir tu, tentu ada sesuatu yang nak diperkatakan oleh maknya.
Hajah Fauziah menghela nafas. Punggung dilabuhkan atas sofa bersebelahan dengan si anak.
“Sampai bila Kasyah nak jadi macam ni?”
“Jadi macam mana mak?” tanya Dr. Akasyah semula dengan mata tertumpuh pada siaran bola sepak yang bersiaran di kaca televisyen.
Hajah Fauziah mengetap bibir. Anaknya ini benar-benar tak faham atau buat-buat tak faham?
“Terus menduda macam ni la. Sampai bila? Adam tu beberapa bulan aje lagi nak genap lima tahun. Arwah Ida pun dah tiga tahun tinggalkan kita semua. Takkan Kasyah tak terfikir nak cari pengganti arwah? Boleh tolong jaga makan pakai Kasyah dan Adam sekali.” tutur Hajah Fauziah tanpa berselindung.
“Kenapa mak cakap macam tu pulak? Mak dah bosan ke jaga Adam dan Kasyah?” tanya Dr. Akasyah sekadar bergurau. Tak berniat langsung nak menyinggung perasaan Hajah Fauziah.
“Mak tak pernah bosan jaga anak dan cucu mak! Cuma, mak ni dah tua, Kasyah. Entahkan esok lusa, Allah dah jemput mak pulang ke pangkuan-Nya. Siapa nak jaga Kasyah dan Adam lagi? Sekurang-kurang kalau Kasyah kahwin lagi, lega sikit hati mak ni. Nak pejam mata pun, mak boleh pergi dengan tenang.”
Bicara Hajah Fauziah mengundang rasa sayu di hati Dr. Akasyah. Pantas dia mengalihkan pandangan ke wajah wanita itu.
“Mak janganlah cakap macam tu. Kasyah selalu berdoa pada Allah semoga beri mak kesihatan yang baik. Mak segala-galanya bagi Kasyah dan Adam.” Penuh kasih Dr. Akasyah menutur ayatnya. Jemari Hajah Fauziah yang agak berkedut diraih dan dikucup penuh kasih.
“Mak bukannya apa Kasyah. Mak selalu fikirkan nasib Kasyah dan Adam kalau mak takde satu hari nanti. Siapa nak jaga Adam? Siapa nak urus makan pakai Kasyah? Kalau Kasyah ada isteri, mak takdelah risau sangat.”
“Mak… soal isteri bukan soal sambil lewa. Kalau boleh Kasyah nak isteri yang dapat terima Adam seadaanya. Bukan isteri yang hanya terima Kasyah tapi tak dapat terima anak Kasyah.”
“Itu mak tau. Mak pun kalau boleh nak Kasyah cari menantu yang dapat jaga Adam dengan baik. Tapi kalau Kasyah selalu sibuk aje dengan klinik tu, sampai bila nak cari pengganti? Kasyah pun kenalah bagi masa kat diri sendiri jugak untuk berkenalan dengan mana-mana perempuan.”
“Kasyah masih tak bersedia, mak. Kenangan bersama arwah Ida masih segar dalam ingatan. Arwah Ida cukup bermakna buat Kasyah. Susah rasanya Kasyah nak cari pengganti arwah.” Itulah yang dirasainya. Walau tiga tahun telah berlalu, cintanya tetap utuh buat sang isteri yang terlebih dahulu menghadap Ilahi.
“Kalau susah sangat, biar mak aje yang carikan calon untuk Kasyah.”
“Mak dah ada calon ke untuk Kasyah? Siapa? Kawan-kawan mak ke?” sengaja Dr. Akasyah mahu mengusik. Jika maknya ada calon sekali pun, tak mungkin dia akan bersetuju. Bukan mudah baginya mahu melupakan arwah isteri.
Hisy… budak ni! Kawan-kawan mak buat apa pulak? Dia orang semuanya sebaya dengan mak. Takkanlah mak nak jadikan kawan sendiri sebagai menantu? Hu… geli pula mak bayangkan kawan mak panggil mak dengan panggilan ‘mak’.” terjuih-juih bibir Hajah Fauziah berkata. Tak dapat dia gambarkan bagaimana perasaannya bila rakan seusia memanggilnya sebagai ‘mak’? Cukup menggelikan.
Terburai ketawa Dr. Akasyah. Geli hati melihat reaksi Hajah Fauziah. Jauh di sudut hati, dia amat berterima kasih atas segala pengorbanan mak kepada dia dan Adam. Mak memang wanita unggul!

CINTA 3 RASA 15






Bab
15

“WHAT?!? No way!”
Tempikan Amanda yang bergema kuat mengejutkan Sunarti yang sedang menuang teh ke dalam cawan. Hampir tertumpah air yang dituangnya. Wajah Amanda kelihatan bengis sekali. Mencicit Sunarti berlari ke dapur sebaik sahaja menyelesaikan tugasnya. Biarlah anak-beranak itu berunding. Dia sebagai pembantu rumah tiada hak masuk campur. Lagipun dia tak boleh tahan tengok wajah anak majikannya yang sudah berubah seperti Mak Lampir. Menakutkan!
“Amanda, tolong kawal sikit suara tu. Tak malu ke terpekik-pekik?” tegur Datuk Omar. Sikap anaknya itu selalu sahaja membuat dia jadi kurang sabar. Mujurlah tangannya ini belum pernah lagi sampai ke pipi Amanda. Jika tidak memang berpinar juga pipi mulus anaknya itu.
“Semua ni tak masuk akal tau! Manda tak kenal pun siapa dia orang tu. Tiba-tiba mummy nak suruh Manda kahwin dengan lelaki yang Manda tak kenali. Tak ke tu sesuatu yang gila?!”
“Amanda! Watch your mouth!” tengking Datuk Omar. Hampir saja dia mahu melempang mulut Amanda yang biadap. Tetapi isterinya cepat sahaja menghalang.
Whatever! Manda tetap dengan keputusan Manda. Manda tak setuju. Manda tak nak kahwin!” tegas Amanda dengan keputusannya.
Amanda mencapai kunci keretanya yang tergantung pada dinding. Kemudian dia bergerak ke pintu utama. Keluar lebih baik dari terus berdepan dengan sesuatu yang tak pernah terlintas di akalnya.
“Amanda! Kamu nak ke mana tu? Dengar dulu apa yang mummy nak cakap.” Datin Aminah bangun dari duduknya. Dia cuba mengejar Amanda yang sudah bergerak ke arah kereta.
“Nak dengar apa lagi? Keputusan Manda muktamad. Manda tak nak kahwin! Tak nak!!” Amanda tak nak menghiraukan permintaan mummynya. Dia masuk ke dalam perut kereta. Enjin kereta dihidupkan.
Tiba-tiba, dunia Datin Aminah rasa berputar. Pandangannya kelam dan akhirnya dia rebah ke lantai.
“Min?!” jerit Datuk Omar berlari mendapatkan isterinya. Digoncang tubuh itu berkali-kali namun isterinya tidak juga bangun.
Amanda yang terpandangkan kejadian itu terkedu. Segera dia keluar dari perut kereta. “Mummy….” Serunya.
Are you happy with what you did, Amanda?” Tajam mata Datuk Omar merenung si anak yang berdiri di hadapannya. Ikutkan hati, mahu diajar Amanda agar tahu menghormati orang tua. Namun dalam situasi begini, dia harus mendahulukan isterinya. Dia amat bimbangkan keadaan Datin Aminah yang tak bermaya itu.
Amanda diam tak berkutik. Wajahnya tunduk ke lantai.
“Sunarti! Tolong ambil kunci kereta saya!!” Datuk Omar menjerit nama Sunarti. Meminta bantuan pembantu rumahnya itu.
Cepat sahaja Sunarti sampai ke halaman depan dengan kunci kereta yang diminta Datuk Omar.
“Ya Allah… apa udah jadi bapak?” Sunarti kaget. Kalut melihat keadaan Datin Aminah.
“Dah! Dah! Jangan banyak tanya. Kunci kereta saya mana?”
“Ini bapak.” Sunarti menghulurkan kunci kereta kepada Datuk Omar.
“Sekarang tolong saya angkat datin ke dalam kereta.” Pinta Datuk Omar. Tubuh isterinya yang gempal membuatkan dia perlukan pertolongan Sunarti.
Amanda hanya mampu melihat. Hendak membantu, tetapi lidahnya keluh berkata-kata.
“Tahniah, Amanda Sofea. Manda dah berjaya buat mummy jatuh sakit. Daddy bangga ada anak macam Manda.” Sebelum berlalu, sempat Datuk Omar menitip sindira sinis buat anaknya.
Amanda pejam mata. Sindiran daddy terlalu pedas menyapa halwa telinganya.

TENGKU RAYYAN baru saja melangkah masuk ke dalam rumah sebaik sahaja terdengar suara bondanya memanggil-manggil nama walid. Cemas saja lagak bondanya itu. Bagai ada sesuatu yang buruk terjadi.
“Bonda, nak ke mana ni?” tegur Tengku Rayyan. Wajah bonda yang kalut dipandang.
“Bonda dengan walid nak ke hospital.” Beritahu Ku Ana. Ketika itu suaminya baru saja turun ke bawah.
“Hospital? Buat apa? Siapa yang sakit?” bertalu-talu Tengku Rayyan bertanya. Hatinya juga sudah dilanda cemas. Mintalah dijauhkan perkara buruk menimpa keluarganya.
Auntie Min. Dia pengsan dekat rumah. Baru kejap tadi Uncle Omar telefon bagitau bonda.”
Astagfirullah al azim. Kenapa dengan Auntie Min, bonda?”
“Entah la Ryan. Bonda pun tak tahu. Tu yang bonda dengan walid nak ke sana tengok keadaan Auntie Min.”
Tengku Rayyan mengangguk. Walaupun tak kenal rapat dengan wanita yang dipanggil Auntie Min itu, tetapi dia senang dengan sikap peramah Auntie Min.
“Ryan ikut la sekali. Kan Ryan dah kenal Auntie Min dengan Uncle Omar. Sekurang-kurangnya kalau Ryan ikut, sedap jugak hati Uncle Omar tengok Ryan ada kat sana.” Ujar Ku Ana.
Tengku Rayyan berfikir sejenak. Hatinya nak ikut, tetapi bila memikirkan anak pasangan itu, hatinya jadi berat. Tak sanggup dia nak bertentang mata dengan si perempuan sewel itu.
“Marilah…. Ryan janganlah fikir lagi.” pujuk Ku Ana.
Tengku Rayyan menghela nafas. Kemudian dia mengangguk. “Baik la bonda. Tapi tunggu kejap. Ryan nak tukar baju.”
“Tak payahlah nak tukar baju. Pakai aje kemeja tu. Lagipun bonda nak cepat ni.” ujar Ku Ana lagi. Hatinya cukup risau selagi tak nampak keadaan Datin Aminah.