W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Khamis, 27 Februari 2014

ISTERI DALAM SANGKAR 25





Bab 25

“AMIN….” Usai mengaminkan doa solat subuh, Aisyah duduk sebentar di atas sejadah. Merenung jauh mengenang nasib dirinya.
Saat ini, rasa rindu terhadap arwah abah dan emak begitu mencengkam jiwa. Alangkah indahnya jika arwah dua insan kesayangannya itu masih ada. Tentu perjalanan hidupnya tidak sesukar ini. Tentu juga dia akan bahagia dikelilingi orang-orang tersayang.
Sejak arwah kedua orang tuanya tiada, dia membesar dalam jagaan mak usunya, Puan Ainin. Sangkanya dia dapat menumpang kasih Puan Ainin. Namun sayang, Puan Ainin tidak pernah memberi kasih sayang padanya. Dia sering didera dan dipinggirkan.
Kemudian dia berkahwin dengan Tengku Iskandar dalam satu kejadian yang memalukan. Pada lelaki itulah disandarkan hidupnya kini. Sebagai seorang isteri, dia cuba melakukan yang terbaik. Mengikut segala kata Tengku Iskandar walaupun hatinya terluka. Tetapi tuduhan meluluh Tengku Iskandar padanya semalam benar-benar melumat hancur hatinya. Sampai hati lelaki itu menuduh dia sehina itu.
Airmata Aisyah mengalir lagi. Sejak kejadian semalam airmatanya tidak putus mengalir. Tidurnya juga tidak lena. Kata hinaan Tengku Iskandar terngiang-ngiang di cuping telinga.
‘Ya Allah… tabahkan la hatiku menempuh dugaanMu ini. Jika telah engkau tetapkan dia memang jodohku sejak azali, permudahkanlah hubungan kami. Bukakanlah pintu hatinya untuk menerima diriku seadaanya.’ Pinta Aisyah dalam hati. Airmata dikesat dengan belakang tepalak tangan.
Bunyi barang jatuh di dapur mengejutkan Aisyah. Serentak itu juga dia terdengar suara Tengku Iskandar mengerang kesakitan. Tanpa menunggu lama, Aisyah membuka telekung yang membalut diri. Kemudian dia bergerak pantas keluar dari bilik.
“Aduh!” suara Tengku Iskandar kedengaran lagi. Kali ini lebih jelas menyapa halwa telinga Aisyah.
Kala matanya terpandang sekujur tubuh Tengku Iskandar yang sedang terduduk di atas lantai, kelam-kabut Aisyah mendapatkan suaminya itu.
“Kenapa ni?” soal Aisyah dengan nada risau. Hilang rasa sebalnya pada Tengku Iskandar tentang kejadian semalam. Malah timbul pula rasa simpati.
“Aduh… aku terjatuh la! Kau tak nampak ke ha?! Kau ni bodoh betul la!” laju Tengku Iskandar mengherdik. Pergelangan kaki kirinya terasa sakit teramat sangat. Tentu terseliuh. Malang betul nasibnya awal pagi ini.
Mendengar nada kasar Tengku Iskandar, Aisyah mengetap bibir. ‘Tengku Harimau’ itu memang jenis sombong nak mampus. Sudah jatuh dan sakit-sakit begini pun nak jerit-jerit. Cakap tak pernah nak berlembut. Sakit pula hati Aisyah dibuatnya. Sudahlah semalam dia menuduh Aisyah yang bukan-bukan. Awal pagi ini hendak menengking pula.
“Tengku ni tak boleh ke nak cakap elok-elok? Saya tanya sebab nak tolong, tapi tengku nak marah-marah pulak. Baiklah kalau macam tu tengku bangunlah sendiri.” Entah dari mana datangnya keberanian Aisyah mengungkapkan kata-kata tersebut. Mungkin kerana dorongan rasa sakit hati pada tingkah Tengku Iskandar agaknya.
Aisyah bangun untuk meninggalkan ‘Tengku Harimau’ yang sombong dan berlagak. Kalau dah gagah perkasa sangat, bangunlah sendiri. Dia tak kuasa hendak menghulurkan bantuan pada orang sombong!
Melihat Aisyah yang sudah bangun dan melangkah beberapa langkah, Tengku Iskandar bersuara, “Kau nak ke mana tu?”
“Saya nak masuk bilik. Nak kemas sejadah dan telekung yang masih belum berlipat.” Selamba betul Aisyah menjawab.
Belum pernah Tengku Iskandar mendengar dan melihat keselambaan Aisyah ini. Selalunya gadis itu kecut bila dia bersuara. Tapi pagi ini, Aisyah boleh saja buat tidak kisah pada dirinya yang sedang menahan sakit.
“Habis tu aku ni macam mana?”
“Tengku kan kuat. Tengku bangunlah sendiri. Saya ni tak kuat nak tolong tengku.”
Jawapan Aisyah itu menyebabkan Tengku Iskandar menggigit bibir. Geram pula dia dengan sikap selamba Aisyah. Hendak menengking, tetapi dia tahu tiada gunanya. Jika dia meninggikan suara sekalipun apa yang dia dapat? Dia perlu merendahkan sedikit egonya kalau dia mengharap Aisyah membantunya. Jika tidak, sampai ke malamlah dia duduk di situ dengan kaki yang sakit.
Tengku Iskandar mendecit. Dengan berat hati dia bersuara, “Aisyah… tolonglah. Kaki aku tengah sakit ni.”
Mendengar nada rendah dan perlahan Tengku Iskandar, Aisyah berpaling. Keningnya dijongket.
“Tengku cakap sesuatu ke? Saya tak dengar la.”sengaja Aisyah mahu mengenakan Tengku Iskandar. Selama ini lelaki itu sering membulinya. Kali ini biarlah dia mendera hati Tengku Iskandar. Waktu lelaki itu tercedera beginilah dia perlu bijak mengambil kesempatan. Ajar sikit Tengku Iskandar cara hendak menghormati orang lain.
Mahu meletup rasanya Tengku Iskandar dengan soalan Aisyah itu. Dia tahu Aisyah dengar apa yang dia katakan. Cuma gadis itu sengaja mahu menyuruh dia mengulanginya. ‘Sabar Is… sabar. Jangan naik hantu. Nanti dia tak nak tolong kau.’ Tengku Iskandar menyabarkan hati sendiri.
Nafasnya ditarik lalu dihela. “Aku nak minta tolong dengan kau. Kaki aku tengah sakit ni.” dengan geram dia bersuara. Namun nadanya cuba dilembutkan demi meraih pertolongan Aisyah.
Aisyah rasa ingin ketawa mendengar kata Tengku Iskandar. Namun dipam mulutnya dari melepaskan tawa. Sesekali dia cuba berlagak depan lelaki itu, apa salahnya. Inilah masa untuk dia membalas dendam atas apa yang Tengku Iskandar lakukan pada dia selama ini. Sebelum ini bukan main lelaki itu menghiris hatinya. Macamlah dia ini tidak punya hati dan perasaan selalu disakiti dan dikasari.
Dengan wajah selamba, Aisyah cuba membantu Tengku Iskandar bangun.
“Awak ni berat la. Ni tentu berat dengan dosa.”
Amboi… amboi… amboi! Bukan main lancang mulut Aisyah mengutuk. Berani ke main!
“Kau ni nak tolong ke nak kutuk aku ha?” panas telinga Tengku Iskandar mendengar kutukan Aisyah. Bukan main lagi gadis kampung itu. Mentang-mentang dia tercedera. Sesuka hati pula Aisyah hendak mengutuknya.
Malas hendak membalas, Aisyah hanya berdiam diri. ‘Tahu pulak ‘Tengku Harimau’ ni makna marah bila dikutuk. Yang selama ni dia kutuk aku kaw-kaw tu tak fikir pulak. Kalau dia rasa sakit kena kutuk, aku pun macam tu jugak!’ Hati Aisyah mendesis marah.
Bawak aku naik atas. Aku nak rehat dalam bilik.” arah Tengku Iskandar.
Aisyah malas hendak membalas lagi. Dia akur mengikut telunjuk Tengku Iskandar. Elok juga lelaki itu berehat di dalam biliknya. Tidaklah dia rimas dengan keberadaan Tengku Iskandar di ruang tamu.
Perlahan-lahan Aisyah merebahkan tubuh sasa Tengku Iskandar di atas katil.
“Kejap saya datang balik.” Ujar Aisyah kemudian keluar dari bilik berhawa dingin itu. Bilik yang sering menjadi saksi kehangatan hubungannya bersama Tengku Iskandar.
Tengku Iskandar mengerang kesakitan. Salahnya kerana tidak berhati-hati ketika berjalan atas permukaan lantai yang licin. Tentu Aisyah baru mengemop lantai dapur. Itu yang licin dan mengakibatkan dia terjatuh. Sakit pada pergelangan kakinya memang tidak terperi. Sakit bangat!!!
Aisyah kembali semula ke bilik Tengku Iskandar. Di tangannya terdapat sebotol minyak gamat. Dituang ke tepalak tangan untuk disapu ke kaki kiri Tengku Iskandar yang terseliuh.
“Eh… apa kau buat tu?” Tengku Iskandar bertanya.
“Saya nak letak minyak gamat ni kat kaki tengku la.”
“Minyak gamat?”
Aisyah mengangguk. Pelik betul ‘Tengku Harimau’ ini. Takkan minyak gamat pun tak kenal.
“Hisy… tak nak la! Aku tak suka cium bau minyak gamat.”
Geram pula Aisyah dengan kata-kata Tengku Iskandar. Demand bukan main! “Tengku… minyak gamat ni mujarab tau. Cuma sapu sikit, rasa seliuh kat kaki tengku tu dah boleh baik. Saya kalau rasa lenguh-lenguh, selalu sapu guna minyak gamat ni. Cepat aje lenguh-lenguh kat badan saya hilang.”
Tengku Iskandar mencebik. “Tu kau. Orang kampung. Memang sebati dengan bau minyak gamat ni. Aku tak suka cium bau busuk minyak gamat tu.”
Aisyah ketap bibir. benci benar dengar kata-kata sombong ‘Tengku Harimau’ yang sudah tercedera. Dah terseliuh pun, mulut bukan main jahat lagi. Sesuka hati nak mengutuk. Kenapalah bukan mulut dia ni yang sakit? Tenang rasanya telinga Aisyah tak dengar kata-kata pedas Tengku Iskandar jika mulut itu yang mengalami kecederaan.
“Kalau macam tu takpe la. Biar kaki tengku tu bengkak. Biar tak dapat jalan berbulan-bulan. Selagi tak diurut kaki tu, selagi tu la tengku tak boleh berjalan dengan betul. Entah-entah timpang seumur hidup. Itu agaknya yang tengku mahukan.”
Sengaja Aisyah mahu menakut-nakutkan Tengku Iskandar. Lelaki yang begitu mementingkan kesempurnaan diri itu pasti akan mengalah bila ditakutkan begitu. Maklumlah, nak sempurna di mata semua orang.
Tengku Iskandar menelan air liur. Kecut juga perutnya dengar kata-kata Aisyah. Dia tak rela timpang sepanjang hayat. Rugilah rupa kacak tapi jalan timpang. Tak pasal-pasal dia digelar di capik pula.
“Dah! Dah! Urut kaki aku cepat!” Tengku Iskandar mengalah akhirnya.
Tercuit rasa hati Aisyah dengan tingkah Tengku Iskandar pagi ini. Dalam kasar, tersembunyi sifat penakut seorang lelaki. Kelakar! Namun Aisyah tidak mampu menghamburkan tawanya di hadapan Tengku Iskandar.
Aisyah duduk semula di birai katil. Kaki Tengku Iskandar diangkat sedikit. Sehingga membuatkan lelaki itu menjerit kesakitan.
“Sakit sikit pun nak jerit lebih-lebih.” Sinis Aisyah menyindir.
“Sakitlah! Kau tau apa? Cuba kena kat kau. Baru kau tahu macam mana rasanya.”
“Ini balasan orang yang suka tuduh orang lain tanpa usul periksa.” Selamba betul Aisyah menyindir Tengku Iskandar yang sedang berkerut-kerut dahinya menahan sakit.
Tengku Iskandar menahan hati. Semakin berani pula Aisyah mengutuknya. Memberikan kata-kata sindiran buat dia. Mentang-mentang dia dalam keadaan sakit. Bukan main berani lagi gadis kampung itu.
“Kau ni tahu ke cara-cara mengurut? Jangan nanti tersimpul segala urat-urat aku.”
Malas benar Aisyah nak melayan pertanyaan Tengku Iskandar. Suka sangat pandang rendah pada dirinya. Dia membesar di kampung. Cara-cara mengurut yang betul sudah dipelajari daripada arwah abah sedari kecil lagi.
Tanpa melayan pertanyaan Tengku Iskandar, Aisyah mendaratkan tangannya ke kaki Tengku Iskandar. Bersama ungkapan bismillah, dia mula mengurut. Perlahan-lahan agar lelaki itu tidak kesakitan.
Ketika urutan tangan Aisyah mengena tempat yang sakit, Tengku Iskandar menjerit dengan kuat. “Adoi! Sakitlah!!!”
Aisyah yang tengah concentrare mengurut pun apa lagi, terus melatah. “Opocot… harimau tua sakit kaki! Aiyarkkk!!!”
Latahnya disertai aksi lakonan sekali. Kaki Tengku Iskandar yang diurut dikarate berulang kali. Menambahkan lagi kesakitan yang ada.
“Adoiii!!!!!” jerit Tengku Iskandar. Rasa hendak menangis pun ada.
Aisyah ketap bibir. Baru sedar dia telah menambah kesakitan pada kaki lelaki itu. Mampuslah dia… pasti ‘Tengku Harimau’ itu akan mengaum. Dia tak sengaja hendak ‘mengkarate’ kaki Tengku Iskandar. Huhuhuuu!

“MACAM MANA dengan keadaan Tengku Iskandar, doktor?” tanya Aisyah pada Doktor Kamal sewaktu dia menghantar doktor muda itu di muka pintu.
Doktor Kamal merupakan doktor peribadi Tengku Iskandar.Jika Tengku Iskandar atau Aisyah tidak sihat, memang Doktor Kamal la yang akan merawat. Malah Doktor Kamal tahu Aisyah tinggal bersama Tengku Iskandar. Cuma Doktor Kamal tidak tahu bahawa Aisyah merupakan isteri Tengku Iskandar. Sangkanya Aisyah adalah perempuan simpanan Tengku Iskandar.
“Kaki Tengku Iskandar terseliuh. Saya dah beri dia ubat turun bengkak dan tahan sakit. Nanti lepas makan, awak bagi dia minum sebiji tiga kali sehari.” Balas Doktor Kamal.
“Teruk ke kecederaan kaki Tengku Iskandar, doktor?”
“Takdelah teruk sangat. Cuma buat masa ni dia tak boleh nak berjalan sangat. Kena berehat seminggu atau sepuluh hari sehingga dia benar-benar pulih.”
Aisyah hanya mengangguk mendengar penjelasan Doktor Kamal.
“Baiklah Aisyah. Saya balik dulu. Ingat pesanan saya, pastikan Tengku Iskandar ambil ubat mengikut jadual yang betul. Jangan nak escape walau sehari.”
Aisyah mengangguk lagi. Mendengar dengan jelas pesanan Doktor Kamal. Usai mengucapkan terima kasih dan berpamitan, Aisyah menutup semula daun pintu. Lantas dia bergerak ke dapur untuk menanak bubur buat Tengku Iskandar.
Bubur nasi yang dibuat tidak dibiarkan kosong begitu saja. Dicampur dengan ayam bagi menambahkan lagi rasanya. Kemudian dia menghiris bawang merah dan putih untuk digoreng. Dicampur ke dalam bubur ayam bagi menambahkan lagi keenakannya.
Setelah bubur ayam yang ditanak masak dengan sempurna, Aisyah memasukkan bubur tersebut ke dalam mangkuk sedang besar. Asap nipis kelihatan dari dalam mangkuk. Tanda bubur ayam yang dimasak masih panas. Kemudian dia mengambil bawang yang telah digorengnya tadi lalu ditabur atas bubur.
Aisyah tersenyum puas. Bubur ayam yang telah siap dihidang di bawa naik ke atas. Seperti pesanan Doktor Kamal padanya, sebelum Tengku Iskandar mengambil ubat yang diberi, perutnya perlulah diisi terlebih dahulu. Jika tidak, nanti sakit lain pula yang akan datang.
Perlahan-lahan Aisyah menolak daun pintu. Kelihatan Tengku Iskandar sedang berbaring di atas katil dengan kaki yang berbalut. Melihat balutan pada kaki lelaki itu, Aisyah dipukul rasa bersalah. Kerana sikapnya yang kuat melatah, Tengku Iskandar mengalami kecederaan yang lagi teruk daripada yang asal. Terbit rasa menyesal dan simpati di hati wanita Aisyah.
Dulang berisi semangkuk bubur ayam dan air suam diletakkan di atas meja sisi. Punggungnya dilabuhkan di sisi katil. Dahi Tengku Iskandar diraba. Manalah tahu kalau-kalau lelaki itu mengalami demam kerana kesakitan kaki yang dialaminya. Namun dia menarik nafas lega bila suhu badan Tengku Iskandar berada dalam keadaan yang baik.
Dengan rasa serba salah dan takut-takut, Aisyah cuba mengejutkan Tengku Iskandar yang sedang terlena.
“Tengku… bangun.” Lembut Aisyah mengejutkan ‘Tengku Harimau’ yang lena dalam dengkuran halusnya.
Tiada respons.
“Tengku… bangun la. Makan dulu lepas tu minum ubat.” Aisyah masih berusaha mengejutkan Tengku Iskandar.
Kali ini ada respons daripada ‘Tengku Harimau’ itu.
“Kau ni bising la! Aku nak tidur pun susah!” bentak Tengku Iskandar tidak suka bila tidurnya diganggu. Sudahlah kakinya sakit berdenyut, gadis kampung yang menambah kesakitannya itu pula datang membangunkan dia.
Agak terkejut Aisyah dengan nada tinggi Tengku Iskandar. Nasib baiklah rasa terkejutnya tidak disertai latah. Jika tidak, tentu bertambah teruk sakit yang Tengku Iskandar alami. Entah-entah kali ini habis badan lelaki itu melecur kena siram dengan bubur ayam panas. Jangan main-main dengan orang melatah ini. Buruk padahnya nanti.
“Tengku kena makan. Lepas tu ambil ubat. Dah siap semuanya, bolehlah tengku sambung tidur balik.”
Kata-kata Aisyah membuatkan Tengku Iskandar mendecit. Badannya dipalingkan menghadap Aisyah. Tajam matanya merenung wajah gadis itu. Sehingga membuatkan Aisyah tunduk merenung lantai. Cuak sungguh dia dengan renungan tajam sang harimau jantan. Rasa macam dirinya sudah tidak terselamat lagi. Bila-bila masa saja akan diterkam.
“Kalau bukan sebab kau tunjuk pandai pergi urut kaki aku, tentu aku tak sakit macam ni. Ni semua salah kau tau!” Tengku Iskandar meletakkan kesalahan atas bahu Aisyah.
Geram pula Aisyah bila Tengku Iskandar meletakkan seratus peratus kesalahan ke atas dirinya. Sedangkan lelaki itu pun bersalah juga. Jika bukan kerana jeritan kuat Tengku Iskandar tadi, tentu dia tak terkejut sehingga membuatkan dia melatah. Dalam hal ini mereka masing-masing ada salah sendiri. Bukannya dia seorang saja!
Namun, Aisyah tidak mahu membalas tuduhan Tengku Iskandar. Dia mengambil langkah untuk berdiam diri. Malas nak bertekak dengan orang sakit.
“Saya mintak maaf. Tengku makan dulu lepas tu minum ubat.” Hanya itu ayat yang meniti dari bibir comel Aisyah. Nadanya lembut melayan kemarahan Tengku Iskandar.
Lantas Aisyah mengangkat mangkuk berisi bubur ayam tadi dicapai lalu diunjukkan kepada Tengku Iskandar. Lelaki itu membatu tidak menyambut mangkuk yang dihulurkan. Wajahnya masam mencuka.
Aisyah melepaskan keluhan. Kali ini apa lagilah perangai yang ingin Tengku Iskandar tunjukkan. Persis anak kecil lagaknya begitu.
“Tengku… kan saya dah mintak maaf. Saya tak sengaja ‘terkarate’ kaki tengku. Lagipun siapa suruh tengku jerit kuat-kuat macam tu. Terperanjat la saya. Pasal tu termelatah dan karate kaki tengku banyak kali.”
Tengku Iskandar mengerling wajah Aisyah. Bukan main lagi bibir comel itu memberi alasan. “Kalau bukan sebab kau tu nak tunjuk pandai sangat, kaki aku ni takdelah jadi seteruk ini. Ini semua salah kau!”
Tak sudah-sudah Tengku Iskandar mahu menyalahkan Aisyah.
“Ye la tengku. Ini memang salah saya. Saya mintak maaf banyak-banyak. Sekarang kalau tengku nak sihat cepat, kena makan bubur ni. Lepas tu minum ubat.”
Malas hendak meneruskan perdebatan dengan Tengku Iskandar, Aisyah akhirnya mengalah.
Tengku Iskandar mendengus.
“Aku nak kau suapkan aku makan!”
Mendengar permintaan Tengku Iskandar itu, mata Aisyah membulat bagaikan biji guli. ‘Ini apa kes pulak nak suruh aku suap dia ni. Yang sakit kaki tu… bukannya tangan! Jadi janganlah mengada-ngada suruh aku suapkan.’
Dalam Aisyah membebel marah dalam hati, tangannya sudah menyudu bubur ayam lalu meniupnya. Setelah yakin bubur tadi sedikit sejuk, dia menyuakan sudu ke mulut Tengku Iskandar. Bagaikan orang mengantuk disorong bantal, Tengku Iskandar membuka mulut lalu mengunyah bubur ayam yang disuakan Aisyah. Seperti biasa, masakan Aisyah memang tidak pernah mengecewakan. Sedap!
Sambil menikmati keenakan bubur ayam, mata Tengku Iskandar tidak lepas-lepas memandang wajah manis di hadapannya itu. Sememangnya Aisyah memiliki rupa paras yang cantik. Kulitnya putih melepak dan bibirnya agak kemerah-merahan. Tidak perlu dioles dengan gincu, merah asli pada bibir Aisyah sudah cukup terserlah. Bibir yang sedikit basah dan sering menjadi sasarannya.
Mengenang detik-detik romantik antara mereka, Tengku Iskandar menelan air liur. Cuba diusir perasaan lelaki yang sudah mula datang menyerang. Jika diikutkan kehendaknya yang satu itu, apa pula kata Aisyah nanti. Dalam sakit-sakit pun dia masih mengkehendakkan sesuatu yang intim. Dia tidak boleh merendahkan egonya di hadapan Aisyah.
“Nah, minum ubat ni.”
Suara Aisyah mengejutkan Tengku Iskandar. Tak sedar dia telah menghabiskan semangkuk bubur ayam. Bukan main berselera lagi dia. Tanpa banyak soal huluran ubat yang disuakan Aisyah kepadanya diambil lalu ditelan. Kemudian dia meneguk habis air kosong.
“Sekarang tengku rehat la. Saya nak turun ke bawah buat kerja rumah.” Ujar Aisyah lantas dia bangun dari sisi katil.
Belum sempat dia berganjak, tangannya dicapai. Membuatkan Aisyah tersentak lalu berpaling ke arah Tengku Iskandar. Wajah lelaki itu dipandang dengan hati yang bergetar hebat.
“Terima kasih.”
Ucapan itu menyentak tangkai hati Aisyah. Kedengaran ikhlas menyapa halwa telinganya. Menyebabkan hatinya semakin hebat berdebar.
Tidak mahu terus melayan perasaan akhirnya Aisyah bersuara, “Sama-sama.”
Tengku Iskandar tersenyum. Tangan Aisyah dilepaskan. Senyuman ini membuatkan jantung Aisyah rasa ingin gugur dari tangkainya. Takut dengan perasaan yang kian tidak menentu, cepat Aisyah melangkah keluar dari bilik berhawa dingin itu.
Sebaik pintu bilik ditutup, tangan dibawa ke dada.
Dup dap! Dup dap! Dup dap!
Begitu deras bunyi degupan jantung Aisyah. Wajahnya juga sudah membahang kerana satu rasa!

ISTERI DALAM SANGKAR 24





Bab 24


GELAK tawa Aisyah dan Tengku Haziq kedengaran. Bukan main meriah lagi mereka berdua bergelak tawa. Membuatkan hati lelaki Tengku Iskandar dicarik rasa cemburu. Benci sungguh dia mendengar gelak tawa itu. Rasa mahu saja dia menghalau Tengku Haziq keluar dari kondonya ini. Hujung minggu beginilah Tengku Haziq datang bertandang. Kacau daun betul!
Gelak tawa yang semakin mesra rentaknya itu benar-benar menyeksa hati Tengku Iskandar. Pantas dia bangun dari duduknya. Tak senang hati mendengar tawa dua insan di ruang dapur. Entah apa yang seronok sangat sampai ketawa tak ingat dia ada di ruang tamu.
“Ehem!” Tengku Iskandar memulakan dengan deheman. Keras bunyinya.
Serentak itu tawa Aisyah mati. Manakala Tengku Haziq memusingkan kepala memandang Tengku Iskandar. Kelat sungguh wajah abang sepupunya itu. Macam baru menelan sebiji mangga muda saja.
“Dah siap ke?” Tengku Iskandar bertanya. Nadanya serius dengan wajah tanpa segaris senyum. Matanya merenung tajam wajah Aisyah. Membuatkan gadis itu menjatuhkan anak matanya ke arah lain.
“Kejap lagi.” Aisyah membalas lembut. Tangannya ligat memotong buah apple yang dibawa oleh Tengku Haziq.
“Kejap! Kejap! Kau ni buat air pun lambat macam siput! Tahu tak aku dah haus ni?!” Suara Tengku Iskandar sudah meninggi. Kehadiran Tengku Haziq langsung tidak diendahkan. Sebenarnya dia bukanlah haus sangat pun. Cuma dia menjadi geram mendengar gelak tawa mesra antara Aisyah dan Tengku Haziq. Itu yang buat dia naik marah dan rasa ingin menjerit. Namun hatinya terpaksa diarah untuk bersabar. Tidak mahu Tengku Haziq menghidu amarahnya yang berbaur rasa cemburu.
“Belajarlah bersabar sikit Is. Bukannya lama lagi pun. Takkan itu pun dah marah-marah. Kan Aisyah tengok potong buah apple tu.” Tengku Haziq menyampuk. Kurang senang bila Tengku Iskandar berkasar dengan Aisyah. Dari awal perkenalan mereka, tidak pernah dia mendengar nada lembut Tengku Iskandar pada Aisyah. Asyik hendak menengking saja.
“Aku haus! Pasal tu aku marah!” Balas Tengku Iskandar geram. Intonasi suaranya masih tinggi dengan mata yang tak lepas merenung tajam paras Aisyah. Gadis itu nampak manis sekali bertudung Ariani. Tanpa solekan sedikit pun, wajah Aisyah tetap cantik. Membuatkan hatinya dipalu rasa cemburu yang tak bertepi. Cemburu pada Tengku Haziq yang bisa membuat Aisyah bergelak tawa.
Tengku Iskandar berlalu ke ruang tamu semula. Sakit hatinya semakin menjadi-jadi. Jika bukan memikirkan Tengku Haziq itu adik sepupunya, mahu rasanya dia menendang Tengku Haziq keluar. Benci dan cemburu bergabung menjadi satu. Memang dia pelik dengan perasaannya ini. Namun dia tidak dapat menafikan betapa dia tak suka melihat keakraban Tengku Haziq bersama Aisyah. Sedangkan dia tahu mustahil untuk Tengku Haziq memikat Aisyah kerana lelaki itu tahu status Aisyah sebagai seorang isteri. Masakan Tengku Haziq yang tahu fasal hukum agama itu akan jatuh cinta pada isteri orang.
“Macam orang datang bulan.” Komen Tengku Haziq setelah Tengku Iskandar menghilangkan diri dari ruang dapur. “Bukan susah mana pun kalau haus. Ambiklah air sendiri. Ini tidak, sengaja nak cari salah orang.” Tambahnya lagi.
Aisyah yang mendengar komen Tengku Haziq ketawa kecil. Benar kata Tengku Haziq, ‘Tengku Harimau’ itu tak ubah seperti orang perempuan yang datang bulan. Malah tak seteruk orang perempuan datang bulan. Mood Tengku Iskandar sukar diramal. Sekejap okey. Sekejap lagi K.O!
Sebenarnya Aisyah pelik dengan perangai Tengku Iskandar sejak akhir-akhir ini. Lelaki itu sering berubah-ubah. Kadang-kala perangainya membuatkan Aisyah sesak nafas. Apatah lagi bila Tengku Iskandar datang dekat padanya. Renungan dan tingkah lelaki itu membuatkan rentak jantungnya tidak menentu. Dia tidak tahu mengapa Tengku Iskandar bertindak begitu. Cuma apa yang dia pasti, hatinya mula menyimpan rasa cinta buat suaminya itu. Berkali dia menolak tapi nyata dia tidak berdaya. Dia benar-benar cintakan ‘Tengku Harimau’. Lelaki garang nak mampus!
Aisyah sedar tidak sepatutnya dia menyimpan perasaan ini pada Tengku Iskandar. Dia sedar siapa dirinya. Dia bukanlah sesiapa di mata hati suaminya itu. Dia isteri yang tak ubah seperti perempuan simpanan. Kehadirannya sekadar menjadi pemuas nafsu Tengku Iskandar. Suatu hari nanti, pasti dia akan dilepaskan bila Tengku Iskandar mulai bosan dengannya. Disebabkan itu dia perlu mengubur perasaan yang semakin hari semakin mekar dalam hatinya ini. Dia tidak mahu virus cinta ini terus merebak dan merebak.
Tanpa sedar, Aisyah melepaskan keluhan.
“Kenapa awak mengeluh?” Tanya Tengku Haziq. Wajah manis bertudung hijau di sebelahnya itu dipandang. Aisyah semakin cantik bila bertudung.
“Hah? Errr… takde apa-apa.” Aisyah menggeleng. Tidak mahu berkongsi apa yang dirasa. Segan jika Tengku Haziq mendapat tahu bahawa dia kini sudah jatuh cinta pada Tengku Iskandar. Lelaki garang yang tak pernah menghargai kehadirannya. Biarlah perasaan itu dia pendam seorang diri.
“Awak fikir pasal Tengku Iskandar ya?” teka Tengku Haziq.
Aisyah telan air liur. Takkan ‘Tengku Kucing’ itu tahu apa yang difikirkannya?
“Awak jangan fikir sangat abang sepupu saya tu Aisyah. Dia tu memang berangin. Kejap okey, kejap lagi K.O. Dekat ofis pun dia macam tu jugak. Saya ni dah lali dengan perangai dia tu. Bercakap bukan nak fikir hati orang. Main lepas aje.” Tambah Tengku Haziq lagi.
Aisyah tersengih. Lega kerana Tengku Haziq bukanlah ahli nujum yang bisa membaca isi hatinya. Jika tidak, memang malulah dia pada Tengku Haziq. Rahsia hatinya ini biarlah hanya dia dan Allah saja yang tahu.
“Takpelah awak. Saya dah biasa dengan semua ni.”
Mendengar kata-kata Aisyah, Tengku Haziq sekadar mengangguk. Dia tahu kehidupan Aisyah disamping Tengku Iskandar. Sering diherdik dan dimarah. Entah sampai bila gadis manis itu akan bertahan. Andai satu hari nanti Tengku Iskandar melepaskan Aisyah, dia sudi mengisi kekosongan itu. Biarlah dia menjadi pelindung Aisyah.
Astagfirullah al’azim.’ Tengku Haziq beristigfar dalam hati. Berdosa memikirkan hal tersebut. Hakikatnya Aisyah itu masih isteri Tengku Iskandar. Tidak seharusnya dia menyimpan perasaan pada isteri abang sepupunya sendiri. Namun… rasa cinta ini tiada siapa dapat menduga.
Ting tong! Ting tong!
Bunyi lonceng pintu kedengaran.
“Aisyah! Tengok siapa yang datang!” Jerit Tengku Iskandar yang berada di ruang tamu.
Aisyah menurut perintah. Laju dia bergerak ke muka pintu. Sempat dia menjeling Tengku Iskandar yang duduk bersenang-lenang di ruang tamu. Bukan main berlagak lagi lelaki itu. Mentang-mentang ini rumah dia, buka pintu yang setakat beberapa langkah dari tempat dia duduk itu pun tidak mahu. Dasar pemalas!
Sebaik muka pintu dibuka, terpacul dua wajah yang begitu asing pada pandangan Aisyah.
Errr… nak cari siapa ye?” Aisyah bertanya pada dua wanita anggun di hadapannya.
Dahi Tengku Maria berkerut. Dari mana datangnya perempuan bertudung itu? Siapa dia?
“Awak ni siapa?” Tengku Maria tidak menjawab. Malah dia memberikan soalan yang bermain dalam fikirannya kepada Aisyah. Hatinya mulai berasa tidak sedap memandang wajah perempuan di dalam kondo anaknya. Entah-entah perempuan ini teman wanita anaknya. Perempuan sekarang, nama saja pakai tudung tapi perangai kadang-kala mengalahkan orang tidak bertudung. Nauzubillah!
Errr… saya… saya….” Gugup Aisyah jadinya. Tidak tahu hendak jawab apa. Apatah lagi pandangan dua wanita itu menggerunkan hatinya. Siapa mereka ini?
“Siapa tu?” Tengku Iskandar yang sudah mendekati muka pintu bertanya.
Kala dia terpandangkan wajah mummynya bersama Puteri Waiduri, dunianya terasa kelam. Terkejut bukan kepalang dengan kehadiran yang tidak diundang. Debaran didadanya mula menggila. Macam mana mummynya boleh berada di sini bersama Puteri Waiduri? Mampuslah dia jika rahsia yang disimpannya terbongkar.
Dia mengerling Aisyah. Gadis itu tunduk memandang lantai. adakah Aisyah telah terlepas cakap pada mummy? Aduhai… ini yang buat hidupnya tidak keruan.
Errrmummy?!” Tengku Iskandar mendekati Tengku Maria. Tangan wanita bergaya itu disalam lalu dicium penuh hormat. Hatinya mula tidak menentu dengan kedatangan mummy.
“Kenapa datang tak bagitau Is?”
Pertanyaan Tengku Iskandar berubah air muka Tengku Maria. “Mummy tak boleh datang ke sampai kena bagitau Is dulu?” soal Tengku Maria dengan wajah masam.
Eh… bukan macam tu mummy. Mummy boleh datang bila-bila masa je. Cuma kalau mummy bagitau Is awal-awal mummy nak datang, dapat jugak Is sediakan apa yang patut.”
“Tak payah nak sedia apa-apa. Mummy datang nak jenguk Is. Bukan nak suruh Is sediakan apa-apa yang patut untuk mummy.” Balas Tengku Maria.
Tengku Iskandar tersengih. Dia mempelawa Tengku Maria masuk ke dalam. Tengku Maria saja yang dilayan. Sementara Puteri Waiduri langsung tidak diendahkan. Hanya Aisyah yang menjemput Puteri Waiduri masuk ke dalam.
“Siapa perempuan ni?” tanpa berselindung, Tengku Maria bertanya. Hatinya masih tidak sedap melihat perempuan asing ada di dalam kondo anaknya ini. Bagaikan ada sesuatu yang berlaku.
Errr… dia….”
Renungan tajam Tengku Maria menyebabkan Tengku Iskandar kalut.
Eh… Tengku Mummy? Bila sampai?” suara Tengku Haziq menyelamatkan Tengku Iskandar.
Tengku Maria berpaling. Terkejut melihat kelibat Tengku Haziq ada sekali di situ. Anak muda yang kaya dengan budi bahasa itu menyalam tangannya penuh hormat.
Mummy baru sampai.”
Kepala Tengku Haziq terangguk-angguk. Bibirnya mekar dengan senyuman. Ketika di dapur tadi dia terdengar orang datang. Cuma dia tak sangka yang datang itu adalah Tengku Maria bersama Puteri Waiduri.
“Ziq buat apa dekat sini?” tanya Tengku Maria.
“Ziq datang jenguk Is. Sebab pagi tadi Is call Ziq bagitau dia kurang sihat.” Selamba Tengku Haziq menjawab. Jawapan yang nyata satu pembohongan. Tengku Iskandar tiada menelefonnya. Malah abang sepupunya itu juga sihat-sihat belaka. Tetapi dalam keadaan begini dia perlu berbohong demi menutup rahsia Tengku Iskandar dan Aisyah.
Jelingan tajam Tengku Maria pada wajah Aisyah sudah cukup membuktikan bahawa Tengku Mummynya itu tidak senang dengan kehadiran Aisyah di situ.
“Ha… betul tu mummy! Is kurang sihat. Tu yang Ziq datang dengan girlfriend dia jenguk Is. Ni la girlfriend Ziq tu.” lancar saja Tengku Iskandar mendapat idea. Memperkenalkan Aisyah sebagai teman wanita Tengku Haziq. Dia turut berlakon dengan terbatuk-batuk. Kononnya dia memang dalam keadaan kurang sihat.
Aisyah dan Tengku Haziq sama-sama terkejut dengan kata-kata Tengku Iskandar. Namun mereka berjaya mengawal ekspresi wajah. Tidak mahu rasa terkejut tergambar dan menyebabkan Tengku Maria mengesyaki sesuatu.
Memang Tengku Haziq berbohong tapi dia tak sangka Tengku Iskandar memperkenalkan Aisyah sebagai teman wanitanya. Gila apa abang sepupunya itu? Kalau ya pun nak lepaskan diri, janganlah sampai bagi jawapan begitu. Nanti apa pula tanggapan Tengku Maria padanya. Haish! Inilah yang susah kalau nikah tanpa pengetahuan keluarga.
Dalam hati Aisyah cukup sedih dengan tindakan Tengku Iskandar memperkenalkan dia sebagai teman wanita Tengku Haziq. Salahkah untuk lelaki itu mengakui bahawa dia ini isterinya? Buruk sangatkah dia ini? Hati Aisyah dijentik rasa hiba.
Kening Tengku Maria terjongket ala-ala Ziana Zain. Wajah Tengku Haziq dipandang. Mahukan jawapan dari mulut anak itu.
Isyarat mata daripada Tengku Iskandar membuatkan Tengku Haziq terpaksa mengangguk.
“Ya… ya… ini teman wanita Ziq. Siti Aisyah namanya mummy.”
Mendengar jawapan yang terpacul dari mulut anak muda itu, hati Tengku Maria lega. Senyumannya melebar. Tak sangka Tengku Haziq yang agak pendiam dan kuat bekerja itu sudah punya teman wanita. Manis orangnya!
Ye ke? kenapa tak bagitau mummy hal ni? Ziq dengan Is ni suka sangat buat mummy terkejut. Mummy dah mula fikir yang bukan-bukan tadi.”
Tengku Maria beralih pada Aisyah. Wajah itu dipandang. Berdosa pula dia kerana bersangka buruk pada gadis bertudung itu tadi. Bukannya dia suka bersangka buruk pada orang. Cuma sebagai seorang ibu dia amat takut andai anaknya bersekedudukan dengan perempuan bukan mahram. Malu jika hal itu diketahui orang. Mana dia nak letak mukanya nanti. Dengan sikap Tengku Iskandar, dia cukup tidak percaya jika ada perempuan lain di dalam kondo ini. Pasti ada benda yang tidak baik berlaku.
“Maaflah. Auntie fikir yang bukan-bukan pasal Aisyah tadi. Maafkan auntie ye?”
Aisyah sekadar tersenyum nipis. Dia tidak menyalahkan wanita itu jika berfikir yang buruk. Memang logik seorang ibu berfikiran begitu kerana bimbangkan anaknya. Apatah lagi anak yang perangai buruk seperti ‘Tengku Harimau’. Memanglah kerisau si ibu berganda-ganda.
“Tak mengapa auntie.”
Lega rasa hati Tengku Maria mendengar jawapan Aisyah. Lembut dan sopan tingkah gadis itu menarik hatinya.
“Pandai Ziq pilih teman wanita. Cantik, manis dan sedap mata mummy pandang.” Puji Tengku Maria. Wajah anak muda yang telah dijaga sedari kecil itu dikerling. Ada rona merah pada wajah putih cerah Tengku Haziq. Tentu malu dengar usikannya. Maklum, buah hati kena puji katakan.
Tengku Haziq tersengih malu. Pujian Tengku Maria menyebabkan hatinya bergetar hebat. Bagaikan benar Aisyah itu adalah teman wanitanya. Sedangkan Tengku Iskandar yang berdiri di sebelah sudah diserang api cemburu. Manakala Puteri Waiduri yang berdiri bersebelahan dengan Aisyah sudah tidak senang hati. Cemburu bila ada wanita lain mendapat perhatian Tengku Maria.
“Oh ya Tengku Mummy, Ziq dengan Aisyah dah kena nak pergi ni. Kami nak ke KLCC. Aisyah kata nak beli buku.”
Tiba-tiba timbul satu idea di benak Tengku Haziq. Inilah peluang untuk dia membawa Aisyah keluar berjalan-jalan. Selalu usaha untuk membawa Aisyah keluar gagal kerana Tengku Iskandar tidak mengizinkan. Tetapi hari ini dia yakin dapat keizinan daripada abang sepupunya itu untuk membawa Aisyah keluar.
Tajam mata Tengku Iskandar merenung Tengku Haziq. Cadangan gila yang tak masuk dek akal!
“Tak boleh!” pantas dia bersuara.
“Aik… Is ni kenapa? Kenapa tiba-tiba tak boleh pulak? Ziq nak keluar berdua dengan Aisyah tu.” Tengku Maria menyampuk. Tajam matanya memandang si anak.
“Ma… maksud Is tak boleh sebab Is kan tak sihat. Ziq kenalah duduk sini jaga Is.” Tengku Iskandar memberi alasan.
“Kamu tu dah besar panjang. Tak perlu nak suruh Ziq jaga kamu. Biar Ziq keluar dengan Aisyah. Mummy dengan Wai ada. Kami boleh jaga Is.” Tegas Tengku Maria.
“Kalau macam tu kami pergi dulu ya.” Senang hati Tengku Haziq dapat keluar dengan Aisyah. Tangan Tengku Maria dicium hormat. Kemudian dia bersalaman pula dengan Tengku Iskandar.
“Jangan balik lambat sangat.” Sempat Tengku Iskandar berbisik ke telinga Tengku Haziq.
Tengku Haziq mengangguk dan tersenyum.
“Jom Aisyah.”
Aisyah yang jadi serba salah terpaksa akur menurut. Jika dia menolak, tentu Tengku Maria mengesyaki sesuatu. Sebelum berlalu, dia sempat bersalaman dengan wanita anggun itu. Dan ketika Tengku Maria membawa dia ke dalam pelukannya, hatinya tiba-tiba dipalu rasa sayu. Belum pernah dia merasai pelukan itu setelah dia kehilangan arwah emak lima tahun lalu.
‘Mak… Aisyah rindukan mak.’ Hatinya merintih pilu.

“TERIMA KASIH.” Ucap Aisyah sebaik saja dia dengan Tengku Haziq keluar beriringan dari kedai buku Kinokuniya. Lelaki itu berbesar hati membelikan dia tiga buah novel baharu hari ini. Berkali-kali dia menolak namun Tengku Haziq tetap juga mahu membelikan novel untuk dia. Tidak mahu menghampakan hati lelaki itu, dia akur menerima.
“Sama-sama.” senang hati Tengku Haziq membalas. Bibirnya mekar dengan senyuman. Seronok bukan kepalang dapat keluar berdua dengan Aisyah. Sudah lama dia berhajat mahu keluar bersama Aisyah tetapi tidak pernah mendapat keizinan daripada Tengku Iskandar.
Mengenangkan Tengku Iskandar, abang sepupunya itu sudah lapan kali menghantar SMS. Berpesan agar dia tidak menghantar Aisyah dengan lambat. Risau bukan main bila Aisyah keluar rumah. Tengku Iskandar lagi suka menjadikan Aisyah umpama orang tahanan dalam kondo mewahnya itu.
Aisyah berjalan tanpa bicara. Fikirannya menerewang mengenangkan Tengku Iskandar. Apa yang lelaki itu sedang lakukan? Kala fikiran singgah pada si jelita bernama Puteri Waiduri, hatinya berdebar hebat. Siapa gerangannya wanita bergaya moden yang datang bersama Tengku Maria itu? Pandangannya pada Tengku Iskandar kelihatan lain. Bagaikan menyata isi hati. Aisyah nampak dan perasan akan hal itu.
Mungkinkah Puteri Waiduri teman wanita Tengku Iskandar? Terlintas persoalan itu di benak Aisyah. Namun dia tiada jawapan. Lantas tanpa sedar dia mengeluh.
“Kenapa awak mengeluh?”
“Hah? Errr… takde apa-apa tengku.” Aisyah cuba untuk tersenyum walaupun dia tahu senyumannya agak sumbang. Hatinya tidak keruan memikirkan siapa Puteri Waiduri di hati Tengku Iskandar. Telah diusir rasa itu tetapi dia tidak bisa menafikan rasa sayangnya pada si suami.
“Aisyah… please. Jangan panggil saya tengku. Dah lama kita kenal. Awak masih nak bertengku-tengku dengan saya. Rasa macam ada sesuatu yang menghalang hubungan kita. Awak dah jadi sebahagian dari keluarga saya. Awak tak patut nak bertengku-tengku lagi. Panggil saja abang. Lagipun saya memang lagi tua dari awak.”
Mendengar permintaan Tengku Haziq itu, Aisyah jadi berat mulut hendak menyebutnya. Segan hendak memanggil Tengku Haziq dengan panggilan ‘abang’.
“Tapi… tengku….”
“Kalau janggal nak panggil abang, panggil aje Abang Haziq. Boleh?” wajah Tengku Haziq begitu mengharap agar Aisyah memanggilnya dengan panggilan tersebut.
Lantas Aisyah mengangguk. “Baiklah tengku… eh, Abang Haziq.” Janggal lidahnya menyebut panggilan baharu itu.
Tengku Haziq tersenyum senang. “Takpe, awal-awal ni memanglah awak rasa pelik sikit. Nanti dah lama-lama tentu awak dah biasa dengan panggilan tu.”
Aisyah sekadar tersenyum manis.
“Aisyah!”
Laungan satu suara mematikan langkah Aisyah dan Tengku Haziq.
“Aisyah!”
Sekali lagi namanya dipanggil. Menyebabkan Aisyah berpaling ke belakang. Alangkah terkejutnya dia melihat tuan punya badan yang memanggil namanya. Tak sangka boleh bertemu di sini setelah enam bulan berlalu.
Bibir Aisyah merekah dengan senyuman.
“Aisyah kan?” Walaupun gadis yang berdiri di hadapannya ini bertudung, tetapi dia masih mengenali wajah itu.
Aisyah mengangguk. Matanya mula berkaca. Rindu pada sahabat baiknya itu begitu menggebu. Lantas tubuh Ros diraih dalam pelukan.
“Rindunya aku dekat kau Ros.” Luah Aisyah. Air mata sudah menitis keluar.
“Masya-Allah Aisyah. Mana kau menghilang? Dah lama aku cari kau.” Ujar Ros pula. Hatinya turut dipalu rasa hiba. Sudah lama dia mencari Aisyah. Baru kini mereka bertemu.
Ros tahu Aisyah sudah berkahwin. Namun dia tidak tahu bagaimana perkahwinan itu boleh berlangsung sedangkan dia cukup tahu Aisyah tidak pernah rapat dengan mana-mana lelaki. Pasti ada sesuatu yang berlaku malam itu sehingga menyebabkan Aisyah terpaksa berkahwin dengan seorang lelaki kota dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Ros yakin dan teramat yakin!
Pelukan dileraikan. Masing-masing basah dengan air mata. Pertemuaan yang tak pernah diduga.
“Aku mintak maaf Ros. Aku tak sempat jumpa kau waktu tu.” pinta Aisyah.
Ros mengangguk-angguk. “Tak mengapa. Aku faham situasi kau. Cuma aku terkilan sangat tak dapat nak berkongsi rasa dengan kau Aisyah. Aku ingatkan aku dah tak jumpa kau lagi.”
Ros mengesat air mata. Jarinya bertaut dengan jari Aisyah. Diperhatikan keadaan teman baiknya itu. Penampilan Aisyah sudah berubah. Tidak lagi berbaju kurung seperti di kampung dulu. Yang pasti, Aisyah kini sudah tampil dengan tudung di kepala. Alhamdulillah! Perubahan yang baik.
“Kau makin cantik Aisyah.” Puji Ros bersama senyuman.
Aisyah tersenyum. “Kau pun apa kurangnya. Dari dulu sampai sekarang, tetap nampak cantik.”
Mata Ros beralih pada jejaka kacak yang berdiri di belakang Aisyah. Kemudian bibirnya terukir sebuah senyuman. Dia mendekatkan wajahnya ke wajah Aisyah. Lalu berkata sesuatu. “Hensemnya suami kau Aisyah. Meletup!”
Nampaknya Ros sudah salah faham. Tengku Haziq disangka suami Aisyah.
“Hisy… dia bukan suami aku la.” Balas Aisyah. Juga dalam nada berbisik.
Bulat mata Ros mendengar jawapan tersebut. “Habis tu dia siapa?”
“Dia sepupu suami aku.” Balas Aisyah kemudian dia berpaling pada Tengku Haziq. Lelaki itu begitu setia di sisinya. Tak lekang bersama senyuman manis.
“Ros… kenalkan ini Tengku Haziq. Tengku… eh, Abang Haziq ini kawan baik Aisyah kat kampung, Ros Eliza.” Aisyah saling memperkenalkan dua manusia yang belum pernah bersua muka itu.
Tengku Haziq dan Ros saling berbalas senyum.
Tiba-tiba telefon bimbit milik Aisyah berdering. Kelam-kabut dia mencari telefon bimbit di dalam beg. Nama yang tertera pada skrin mendebarkan hatinya. Tengku Iskandar! Lantas dia menjarakkan kedudukan daripada Tengku Haziq dan Ros.
“Dah pukul berapa ni? Dah tak reti nak balik ke rumah? Seronok sangat kat luar tu sampai tak ingat balik langsung?” sergah Tengku Iskandar tanpa salam.
Kasar suara Tengku Iskandar memaksa Aisyah menjarakkan telefon bimbit dari telinga yang dilapisi tudung.
‘Hisy… ‘Tengku Harimau’ ni, langsung tak pandai nak kasi salam. Main jerit aje. Memang sebijik macam harimau!’ Hati Aisyah menggumam.
“Assalamualaikum… saya dah nak balik ni.” walaupun hatinya membungkam marah dengan sikap Tengku Iskandar yang tak pernah nak bagi salam itu, namun Aisyah tetap cuba berlembut.
Tengku Iskandar dihujung sana terdiam seketika. Kelembutan bicara Aisyah memukul hati lelakinya.
“Hmmm… waalaikumusalam! Dah! Balik cepat. Aku dah lapar ni. Tak makan dari tadi.”
Tut… tut… tut….
Usai menyudahkan kata-katanya, Tengku Iskandar laju memutuskan talian.
Aisyah mengeluh. Entah apa-apa Tengku Iskandar itu. Pembuka kata tak bagi salam, pengakhirannya juga sama. Macam tak belajar agama!

SAAT kakinya melangkah masuk ke dalam kondo, hati Aisyah dipalu rasa pelik. Keadaan kondo ketika itu agak gelap gelita tanpa cahaya lampu. Takkan suaminya tidak membayar bil elektrik? Tak masuk dek akal.
Setelah memasukkan kasut yang dipakai ke dalam rak kasut, dia melangkah ke ruang tamu. Suara orang sedang bercakap-cakap juga kedengaran. Tentu suara-suara dari rancangan yang tersiar di televisyen. Aisyah yakin itu kerana cahaya samar yang kelihatan dari ruang menonton menembusi ruang tamu yang gelap.
Hairan juga dia dengan Tengku Iskandar. Untuk apa agaknya lelaki itu berada dalam keadaan gelap seperti ini? Semakin hari dia semakin pelik dengan sikap Tengku Iskandar yang sukar dibaca. Malas memikirkan perihal Tengku Iskandar, Aisyah meneruskan langkah untuk menuju ke biliknya.
“Baru sekarang ingat nak balik rumah? Tahu tak sekarang ni dah pukul berapa?” tiba-tiba suara Tengku Iskandar yang menyergah kasar mengejutkan Aisyah. Nasib baik dia tak melatah.
Aisyah jerling jam tangan pemberian Tengku Iskandar padanya tiga bulan lepas. Baru pukul tujuh empat puluh lima minit malam.
“Hoi! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” entah apa yang merasuk Tengku Iskandar, dia meluru ke arah Aisyah lalu menarik tudung gadis itu.
Bukan kepalang Aisyah terkejut dengan tindakan Tengku Iskandar. Sudah lama lelaki itu tidak berkasar sebegitu rupa padanya. Namun malam ini Tengku Iskandar seolah-olah lelaki pertama yang dikenalinya dulu. Lelaki yang penuh dengan kekejaman.
Aisyah mengangguk. Renungan tajam Tengku Iskandar padanya cukup mengerunkan.
“Kalau dah tahu hari dah malam, kenapa tak balik awal? Kau suka la ya dapat berpelesiran dekat luar sana! Itu yang kau mahu kan?!” suara Tengku Iskandar memetir memenuhi ruang tamu.
Aisyah menggeleng kepala. Takut sungguh dia melihat tingkah Tengku Iskandar malam ini. Entah apa yang telah merasuk Tengku Iskandar sehingga jadi segarang ini? Dia benar-benar ketakutan.
Melihat kebisuan Aisyah, memanaskan lagi suhu amarah Tengku Iskandar. Otaknya mula membayangkan sesuatu yang indah terjadi antara Aisyah dan Tengku Haziq. Tahap cemburunya sudah sampai ke tahap paling tinggi. Pantas dia mengheret tangan Aisyah untuk naik ke atas. Dia mahu hubungan intim dengan gadis itu.
“Tengku tolonglah jangan buat macam ni.” rayu Aisyah. Dia dapat mengagak apa yang dimahukan suaminya itu. Jika mahukan hubungan suami isteri sekalipun, biarlah ia berlangsung dalam keadaan baik. Bukan dalam keadaan dia dipaksa begini.
Suara Aisyah mematikan langkah Tengku Iskandar. Dia berpaling memandang wajah Aisyah.
“Kenapa? Kau tak suka apa yang aku buat? Kau suka apa yang Tengku Haziq buat pada kau, macam tu?! Pasal tu kau dah tak nak layan aku? Kau lebih suka Tengku Haziq yang sentuh kau. Macam tu ka?” tanpa usul periksa, Tengku Iskandar mula membuat tuduhan melulu. Tuduhan yang lebih bersifat cemburu buta.
“Astagfirullah al’azim. Apa tengku cakap ni?” terkejut sungguh Aisyah dengan tuduhan yang Tengku Iskandar tujukan padanya. Seolah dia ini perempuan murahan yang menjual tubuh pada semua lelaki. Airmatanya mengalir ke pipi. Tersiat hatinya dengan tuduhan sekejam itu.
“Saya memang perempuan kampung yang bodoh. Saya takde pelajaran tinggi. Tapi saya masih ada pegangan agama. Saya tahu saya dah bersuami dan berdosa untuk saya keluar bersama lelaki lain. Tapi apa yang saya buat siang tadi adalah untuk menyelamatkan tengku dari Tengku Maria. Saya sedar kedudukan saya. Jika saya tak keluar bersama Tengku Haziq siang tadi, tentu Tengku Maria akan mengesyaki sesuatu. Apa yang saya buat adalah untuk melindungi kedudukan tengku.” Entah dari mana Aisyah mendapat keberanian menuturkan ayat tersebut. Hatinya terluka dengan tuduhan Tengku Iskandar. Tuduhan yang terlalu berat untuk diterimanya.
“Maafkan saya tengku. Saya tahu saya selalu menyusahkan tengku dan tak setaraf dengan tengku. Tapi demi Allah, saya tak buat perkara buruk di belakang tengku. Segala yang saya lakukan demi melindungi maruah suami saya. Cuma itu dan tak seburuk yang tengku fikirkan.” Tambah Aisyah lagi. Airmata deras mengalir.
Kata-kata Aisyah membuatkan Tengku Iskandar mati kata. Terkedu dan terdiam dia dengan apa yang Aisyah perkatakan. Airmata gadis itu juga seolah-olah sembilu tajam yang mencarik tangkai hatinya. Rasa bersalah mula menyerang. Namun ego lelakinya menghalang.
Tanpa ungkapan maaf, dia berlalu naik ke atas. Fikirannya bercelaru. Hatinya mula berbelah bagi.