W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Selasa, 28 Januari 2014

ISTERI DALAM SANGKAR 21



Bab 21


SEBUAH keluhan lahir dari bibirnya. Sedari tadi, satu kerja pun tak dapat dilakukan. Fikirannya kacau sehingga membuatkan dia tiada hati hendak melakukan sebarang kerja. Padahal, kerjanya melambak-lambak perlu diselesaikan. Dia lebih selesa berbaring di atas sofa di ruang menunggu dalam biliknya sambil lengan kanan melekat ke dahi. Seolah dia sedang memikirkan masalah Negara yang sukar hendak diselesaikan.

Sekali lagi Tengku Iskandar mengeluh. “Aku dah jatuh cinta dekat perempuan kampung tu ke?” soal Tengku Iskandar pada diri sendiri. Cuba mencari jawapan kepada masalah yang membuatkan dia tidak dapat melakukan sebarang kerja.

Sejak kebelakangan ini wajah itu benar-benar menganggunya. Ke mana dia pergi, apa saja yang dilakukan, bayangan itu sentiasa mengekori. Puas dia menghindar, puas dia menolak namun bayang-bayang Aisyah tetap datang menyapa hari-harinya. Mata, hidung, bibir dan semua yang ada pada gadis kampung itu begitu segar di ruang mata. Membuatkan dia bagai tidak sabar mahu menatap keindahan itu setiap masa. Aisyah tidak sama dengan perempuan-perempuan yang pernah berkongsi katil dengannya. Sikap Aisyah yang malu-malu ketika mereka ‘bersama’ benar-benar membuatkan dia begitu teruja. Dia sukakan sikap itu. Selama ini dia jumpa dengan perempuan bersikap gelojoh ketika ‘bersama’. Membuatkan rasa teruja itu tidak pernah wujud dalam hatinya kecuali nafsu yang menguasai diri ketika itu.

Tiba-tiba Tengku Iskandar menggeleng. Cuba menghalau perasaan yang diteka menghantui dirinya tadi.

“Tidak! Aku yakin aku tak jatuh cinta pada dia. Aku cuma sukakan ‘layanan’ dia. Dia lain daripada yang lain. Cuma itu. Nama nak jatuh cinta, tidak sama sekali! Perempuan kampung seperti dia, tak layak untuk aku.”

Sedang melayan perasaannya, tiba-tiba suara Syeeda berkumandang melalui mesin interkom.

Morning bos. Tengku Mummy pesan jangan lupa petang ni bos kena pergi ke airport sambut kepulangan Cik Puteri Waiduri.”

Tengku Iskandar mendengus. Dia sudah lupa akan hal tersebut. Langsung tak ingat Tengku Mummy menyuruh dia datang ke lapangan terbang untuk menyambut kepulangan Puteri Waiduri. Macam nak sambut kepulangan anak raja. Dia malas nak pergi. Apatah lagi hendak menghadap muka Puteri Waiduri. Seratus peratus dia tak sudi!

Telefon bimbit IPhone 5S yang baru dibeli berbunyi. Memaksa Tengku Iskandar bangun dari baring dan melangkah ke meja kerja. Pada skrin tertera nama Helenia. Seorang lagi perempuan gedik yang sering menggodanya. Namun sampai ke hari ini, Helenia belum berjaya membawa dia ke atas katil. Dia tiada hati hendak menikmati tubuh montok Helenia. Bukan Helenia seorang, dengan beberapa orang wanita pun dia tak tertarik lagi untuk tidur bersama sejak dia bersama Aisyah. Dengan Aisyah dia dapat segala-galanya.

Tengku Iskandar menggeleng kepala. Menghalau bayangan Aisyah yang menerpa ruang minda. Entah apa ilmu yang gadis kampung itu kenakan pada dia. Asyik teringatkan Aisyah saja. Sikit-sikit Aisyah sampai satu kerja pun tak menjadi.

Panggilan daripada Helenia mati begitu saja setelah dibiarkan tanpa menjawab. Malas hendak melayan kegedikan Helenia yang merengek bagaikan anak kecil berusia lima tahun mahukan gula-gula. Baru kenal dua minggu, sudah mengada-ngada minta itu dan ini. Dasar perempuan mata duitan!

Sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi. Skrin masih menunjukkan nama orang yang sama. nampak gaya Helenia tak berputus asa menarik minatnya. Beria-ia gadis itu menarik perhatiannya. Tidak mahu panggilan itu terus menganggu, panggilan daripada Helenia dijawab.

Baby… apasal you lambat jawab panggilan I?” rengek Helenia di hujung sana.

Meremang bulu roma Tengku Iskandar mendengar rengekan mengada Helenia.

“I sibuk. You call I ni nak apa?” serius saja lontaran suara Tengku Iskandar. Tak suka benar dia dengan kegedikan Helenia.

Baby… salah ke I call you? I miss you tau. Sampai hati you tak jumpa I lagi.”

Rasa nak muntah Tengku Iskandar mendengarnya. Perempuan seorang ni mental apa? Baru kenal dua minggu dan keluar sekali, tapi lagak macam dah bercinta dua tahun.

“Kita baru jumpa sekali. Lagipun… I memang tak nak jumpa you lagi Lenia. I rasa baik you jangan ganggu I lagi.”

What?!” tinggi suara Helenia melengking.

Mujurlah Tengku Iskandar sempat menjarakkan telefon bimbit. Jika tidak, mahu berdarah telinganya mendengar lengkingan suara Helenia yang sudah mula membebel itu dan ini.

Tanpa pamitan, Tengku Iskandar terus mematikan talian. Tak kuasa dia hendak melayan bebelan Helenia. Gadis itu bukan sesiapa di hatinya. Lantaklah hendak menyumpah serana dia sekali pun. Dia langsung tak ambil kisah. Daripada melayan gadis itu, lebih baik dia pulang. Lagipun otaknya tidak berjalan lancar hari ini. Semua kerja tak menjadi.



TENGKU ISKANDAR melangkah masuk ke dalam. Seperti biasa tubuhnya yang sasa itu dilabuhkan di atas sofa. Kaki dibawa naik ke atas meja. Sekejap lagi pasti Aisyah akan datang membuka stokingnya. Rutin harian gadis kampung itu sejak tinggal di sini.

Lima minit berlalu. Bayangan Aisyah langsung tidak kelihatan. Menimbulkan rasa pelik di hati Tengku Iskandar. Ke mana pula perginya perempuan kampung itu? Tidur agaknya tengah hari begini.

“Aisyah!” panggilnya.

Sunyi! Sepi! Tiada sahutan daripada gadis kampung itu.

Tengku Iskandar memanggil lagi. “Aisyah!”

Seperti tadi, keadaan masih sepi tanpa sahutan Aisyah.

Tengku Iskandar mendengus. Sakit hati bila panggilannya tidak dijawab. Perempuan kampung itu sudahlah kuat melatah, pekak pun iya juga. Pakej lengkap seorang nenek tua. Sedangkan umur Aisyah baru nak masuk dua puluh satu tahun. Tapi latah… macam orang tua umur tujuh puluh tahun.

Tengku Iskandar bangun dari duduk. Dia melangkah ke bilik Aisyah dengan rasa sebal. Tidur mati agaknya perempuan kampung itu sampai tak dengar dia memanggil. Tombol pintu dipulas. Nampaknya pintu bilik Aisyah tidak berkunci. Dikuak pintu bilik. Bilik itu kelihatan kemas dan sunyi. Bayang gadis itu tiada di situ.

Dahi Tengku Iskandar berkerut.

“Mana pulak dia pergi?” soalnya sendiri.

Langkah diatur semula ke ruang tamu. Ketiadaan Aisyah menimbulkan rasa pelik di hati. Takkan gadis kampung itu keluar merayau pula. Aisyah mana tahu jalan-jalan di Kuala Lumpur ini. Sepanjang enam bulan berada di sini, hanya dua kali Aisyah keluar. Itu pun keluar bersama Tengku Haziq dulu. Selepas itu memang dia tak izinkan lagi Tengku Haziq membawa Aisyah berjalan-jalan. Takut andai ada yang ternampak dan memberitahu cerita itu kepada Tengku Mummy.

Tengku Iskandar melangkah naik ke atas. Manalah tahu kalau-kalau Aisyah berada di atas sedang mengemas bilik. Sejak Aisyah berada di sini, setiap ruang di dalam kondo ini kemas dan bersih. Tiada lagi habuk yang kelihatan.

Bilik bacaan dijenguk. Bayang Aisyah tiada di situ. Kemudian dia beralih pula ke bilik ke dua. Kala itu dia terdengar suara nyanyian seorang perempuan. Dia cukup kenal suara tersebut. Itu suara Aisyah. Bukan main lagi gadis kampung itu menyanyi-nyanyi. Seronok sangat agaknya kerana dia tiada di rumah. Jika dia ada, hendak mendengar Aisyah bercakap pun susah. Diam macam orang bisu.

Pintu bilik air terbuka. Aisyah keluar dengan berkemban kain batik. Kedudukan tubuhnya yang membelakangkan Tengku Iskandar, membuatkan kehadiran lelaki itu langsung tidak disedari. Seronok dia menyanyi kecil sambil mengelap rambutnya yang basah.

Sedangkan Tengku Iskandar, matanya tajam merenung ke arah Aisyah. Keadaan Aisyah yang seksi berkemban kain batik, membuatkan gelora nafsu lelakinya datang menjengah. Perlahan-lahan dia menghampiri Aisyah yang masih membelakanginya. Tubuh gadis itu disentuh. Membuatkan Aisyah terkejut dan menjerit.

“Oh… bapak harimau dah pulang!” laju saja Aisyah melatah.

Tengku Iskandar tidak menghiraukan latah Aisyah. Bahu gadis itu yang terdedah disentuh hangat. Gelora nafsunya membuak-buak ingin bersama sang isteri.

Aisyah telan air liur. Dadanya mula berdebar hebat. Renungan Tengku Iskandar pada wajahnya membuatkan dia jadi tidak keruan. Rasa hendak pecah dadanya menahan debar.

“Te… tengku… tak ke… kerja ke?” gagap-gagap dia bertanya. Cuba menghalau debaran di dada yang makin menggila.

Tengku Iskandar tidak menjawab. Dia menundukkan sedikit wajahnya lalu bahu putih melepak yang terdedah di depan mata dikucup perlahan. Kemudian kucupannya beralih pula dagu, hidung dan pipi Aisyah sebelum ia mendarat ke bibir comel milik gadis kampung itu. Dia sudah tidak dapat mengawal dirinya lagi. Dia benar-benar mahukan Aisyah.

Semakin yakin dengan kehendak hati suaminya, Aisyah hanya merelakan perlakuan Tengku Iskandar. Dia tidak membantah dan menolak. Entah kenapa perlakuan itu juga disenanginya. Sedangkan dia tahu dia bukanlah sesiapa di hati Tengku Iskandar. Sekadar isteri yang dilayan tak ubah seperti perempuan simpanan. Namun perlakuan Tengku Iskandar membuatkan dia rela dan pasrah. Dalam terkilan, timbul rasa bahagia dengan belaian lelaki yang bergelar suaminya itu.

Tengku Iskandar menghentikan perlakuannya ke atas Aisyah. Matanya merenung tepat anak mata gadis itu. Mata Aisyah yang cantik. Entah mengapa hatinya sayu melihat mata cantik Aisyah. Bagaikan ada banyak cerita sedih yang gadis itu sembunyikan. Ya! Memang gadis itu banyak menyembunyikan cerita sedih. Cuma dia tidak pernah mahu mengambil tahu kisah hidup Aisyah.

Tubuh Aisyah ditarik dalam pelukan. Bibirnya mengucup ubun-ubun Aisyah. Lama bibirnya melekat di situ sebelum tubuh Aisyah diangkat lalu direbahkan di atas katil dalam bilik tersebut.

Untuk kesekian kalinya, jiwa mereka bersatu lagi.


Khamis, 2 Januari 2014

ISTERI DALAM SANGKAR 20




Bab 20

Enam Bulan Kemudian……



FASHA tersenyum lebar. Telefon bimbit diletakkan semula ke atas meja. Tidak sabar hatinya hendak menunggu minggu depan. Sudah lama dia berhasrat hendak datang ke Kuala Lumpur. Tinggal beberapa hari saja lagi hasratnya itu akan tercapai. Ujie juga sudah berjanji akan menolong dia mendapatkan kerja di Kuala Lumpur nanti.

“Amboi… bukan main lebar kau tersenyum. Ingatkan Iwan la tu.” Farid yang baru pulang entah dari mana melabuhkan punggung di atas kerusi. Remote astro dicapai lalu dia menukar channel yang ke udara di televisyen.

Fasha menarik muka. Sejak kejadian Farid hampir memperkosa Aisyah dan akhirnya gadis itu kahwin dengan lelaki kaya, dia sudah tidak mahu bermanis muka dengan Farid lagi. Sakit hatinya setiap kali berdepan dengan Farid. Gara-gara abangnya itu, Aisyah berkahwin dengan orang kaya. Sudahlah kaya, kacak pula tu!

“Kau ingat Iwan ye. Pasal tu senyum lebar.” Farid masih mahu mengajak adiknya itu berbual. Sudah lama Fasha melancar mogok padanya. Sejak kes Aisyah kahwin lelaki kaya. Cemburu benar adiknya itu pada Aisyah sehinggakan sampai ke hari ini dia langsung tak bertegur sapa dengan Farid.

“Yang abang sibuk buat apa? Takde kena mengena pun dengan abang!” marah Fasha. Dia tak suka Farid sebut nama Iwan di depannya. Dia sudah lama putus dengan Iwan. Tak ‘berselera’ hendak bercouple dengan Iwan yang sekadar memandu kereta kancil itu. Dia mahukan lelaki kaya seperti Tengku Iskandar.

Ya! Fasha masih ingat nama suami Aisyah itu. Tengku Iskandar yang kacak dan telah membuatkan dia jatuh hati. Walaupun lelaki itu merupakan suami Aisyah, dia bercadang hendak merampas Tengku Iskandar daripada Aisyah. Disebabkan itu Fasha bercadang hendak duduk di Kuala Lumpur bersama Ujie. Dia yakin dapat mencari maklumat di mana Aisyah tinggal nanti. Lelaki kaya dan kacak seperti Tengku Iskandar, tentu ramai yang mengenalinya.

“Mana boleh takde kena mengena dengan aku. Kau tu adik aku, Iwan tu pulak kawan aku.”

Fasha mencebik. Farid dengan Iwan memang kawan rapat. Jadi tidak mustahil Iwan sudah menceritakan fasal hubungan mereka yang telah putus. Dia yakin Farid mengetahuinya cuma sengaja mahu memancing cerita daripada dia.

“Habis tu kalau dia kawan abang sekali pun, kenapa? Dah la! Fas malas nak cakap dengan abang ni. Menyakitkan hati aje.” Tanpa menunggu lama, Fasha bingkas bangun dan berlalu ke bilik tidurnya.

Puan Ainin yang baru pulang dari gerai buah hanya memandang kelibat anak gadisnya yang menonong laju masuk ke dalam bilik. Bukan main masam lagi wajah Fasha. Mengalahkan asam boi kena jeruk.

“Apa kena dengan adik kamu tu? Masam aje mak tengok muka dia.” Tanya Puan Ainin pada Farid sebaik saja punggungnya dilabuhkan di atas sofa.

“Entah! Angin satu badan.”

“Farid tu usik adik, pasal tu dia masam mencuka.”

“Mana ada Id usik dia mak. Dia tu aje yang emosi tak menentu. Cepat sangat naik angin.”

Puan Ainin sekadar menggeleng. Anaknya yang berdua itu memang tak pernah aman sedari kecil. Ada saja yang mereka berdua gaduhkan. Farid pun satu hal juga, suka sangat mengusik Fasha. Fasha pula pantang diusik mulalah cemberut.

“Id ni takde kerja ke? Dari Id asyik melepak dengan kawan-kawan Id tu, baik Id tolong mak dekat gerai tu ha. Tak pun kerja dekat kebun strawberry tu. Ada jugak untungnya.” Puan Ainin bersuara lagi.

“Hisy… tak naklah mak. Apa kelas kerja dekat kebun dan gerai buah tu? Jatuhkan standart Id aje.”

“Amboi… bukan main lagi Id ya! Kalau dah tahu kerja tu takde kelas, dulu waktu sekolah kenapa tak belajar betul-betul. Mak hantar sekolah, Id ponteng pula. Sekarang ni dah takde kerja, mak suruh tolong dekat kebun dan gerai pandai pulak Id menolak. Asyik melepak dengan kawan-kawan yang tak senonoh tu. Sampai bila Id nak berubah ni? Id tu dah dua puluh lima tahun. Dah sepatutnya dapat tolong mak ni ha. Takkan nak suruh mak kerja sampai ke mati pulak!” Puan Ainin mula membebel. Farid dengan Fasha dua kali lima saja. Malas sekolah, kerja pun malas!

Farid mendengus. Sakit telinga dengar maknya mula membebel. Baru nak rehatkan minda duduk dekat rumah, mak sudah pot-pet pot-pet macam mulut burung kakak tua!

“Mak ni bisinglah! Id baru nak tenangkan jiwa. Mak dah mula berleter. Buat jiwa Id tak tenang aje.” Gumam Farid kasar. Dari kecil dia tak pernah cakap elok-elok dengan maknya. Tinggi suara Puan Ainin, tinggi lagi suara Farid.

Tajam mata Puan Ainin merenung anak lelaki seorang itu. “Macam mana mak tak berleter kalau Id tu pemalas sangat? Suruh tolong pun bukan main banyak alasan yang Id beri. Tapi kalau bab mintak duit, Id la paling rajin.”

Semakin sakit telinga Farid mendengar bebelan maknya. Lantas dia bangun dari duduk.

“Hah… tu nak ke mana pulak tu?” Puan Ainin menegur sebaik saja Farid bergerak ke muka pintu.

“Id nak ke rumah Kit. Nak tenangkan jiwa. Duduk rumah pun asyik dengar mak berleter aje. Sakit telinga!”

Mengetap bibir Puan Ainin mendengar jawapan anak lelakinya itu. Bukan main lagi Farid menjawab. Dulu waktu Aisyah ada, dia tidak susah seperti ini. Aisyah akan melakukan semua kerja rumah dan menjaga gerai. Tetapi kini, segala urusan dia yang kena buat. Fasha tu bukannya tahu hendak memasak. Goreng telur pun boleh hangus apatah lagi disuruh memasak pelbagai jenis menu. Mahu terbakar rumah ini dibuatnya.



HIDANGAN makan malam sudah tersedia di atas meja. Ada chicken chop, kentang goreng, salad mayonis dan jus oren. Hidangan bercitarasa ala barat. Sejak bergelar isteri kepada lelaki bertekak mat salih itu, Aisyah sudah jarang makan makanan ala kampung. Jika teringin, dia hanya makan di waktu tengah hari saja. Ketika suaminya itu berada di pejabat. Tetapi jikalau Tengku Iskandar ada di rumah, memang inilah menu ‘wajib’ makan malamnya.

Sedar tak sedar sudah enam bulan Aisyah menjadi isteri Tengku Iskandar. Tidak banyak yang berubah pada lelaki itu. Masih garang seperti harimau jantan. Bercakap tak pernah nak berlembut. Asyik nak menengking aje. Salah sikit, jeritan Tengku Iskandar sudah memecah memenuhi ruang kondominium. Mengalahkan suara jeritan mak sunya di kampung dulu. Nampak gaya, ‘Tengku Harimau’ itu boleh menandingi mak su dalam acara suara siapa paling kuat bila menjerit. Heheheee….

“Yang kau tersengih-sengih ni apasal? Dah mereng!” sergah Tengku Iskandar. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya di situ. Wajahnya ‘keras’ tanpa senyuman.

Terkejut mendengar sergahan tersebut, Aisyah termelatah. “Oh mak kau harimau jadian dalam hutan!”

Serta-merta, tangannya menekup mulut. ‘Hisy… apasal mulut ni gatal sangat cakap macam tu? Kan mata ‘Tengku Harimau’ tu dah jadi tajam macam mata burung helang. Aduhai… sah-sah kejap lagi aku kena tengking.’

“Kau kata apa?” tanya Tengku Iskandar dengan mata yang tajam menikam wajah Aisyah. Dia dengar apa yang Aisyah kata. Cuma dia sengaja mahu gadis kampung itu mengulanginya semula.

Aisyah menggeleng. Tak berani nak ulang semula apa yang baru terlucut keluar dari mulutnya sebentar tadi. Nak mampus ulang semula apa yang dia cakap? Silap hari bulan, jeritan ibarat guruh di langit milik ‘Tengku Harimau’ itu berkumandang malam ini. Angin lelaki itu sukar dibaca. Kut anginnya kurang baik, teruk Aisyah ‘kena’.

Tengku Iskandar mendengus. Wajah takut-takut Aisyah dijerling sekilas pandang.

Seperti biasa, Aisyah akan berdiri tegak di tepi meja menanti Tengku Iskandar habis makan. Enam bulan bergelar isteri, belum pernah dia duduk semeja dengan Tengku Iskandar. Dia akan makan bila Tengku Iskandar selesai makan. Itu pun dia makan dekat dapur.

“Duduk!”

Aisyah yang panggung kepala. Sepatah ayat yang kedengaran jelas menyapa halwa telinganya. Cuma dia tidak berani hendak menurut. Takut kalau-kalau dia tersalah dengar.

“Kau ni pekak ke? Tak dengar apa yang aku cakap? Duduk!” tanpa memandang wajah Aisyah, Tengku Iskandar bersuara lagi.

Setelah yakin ‘Tengku Harimau’ itu mempelawanya duduk, perlahan-lahan dia melabuhkan punggung di sebelah Tengku Iskandar. Kepalanya menunduk. Sesekali dia mencuri pandang wajah Tengku Iskandar yang sedang menikmati makanan di hadapannya. Terbit rasa bahagia di hati Aisyah bila melihat Tengku Iskandar makan masakannya dengan begitu berselera. Orang tua-tua selalu berkata, hendak memikat suami kenalah ikat dari perutnya.

Walaupun Aisyah sedar dia tidak mungkin dapat ‘mengikat’ hati lelaki itu, namun dia sudah cukup bahagia melihat Tengku Iskandar makan makanan daripada air tangannya ini. Sekurang-kurangnya dia dapat berbakti pada suaminya itu meskipun kehadirannya tidak memberi apa-apa makna pada Tengku Iskandar. Entah sampai bila dia perlu menjadi ‘perempuan simpanan’ kepada suami sendiri. Sesekali timbul rasa bahagia di hati Aisyah setiap kali Tengku Iskandar membelainya di dalam tidur. Ketika ‘bersama’, Tengku Iskandar merupakan seorang suami yang benar-benar menghargainya. Membuatkan dia lupa dia sekadar isteri dalam sangkar.

Cuma awal-awal lagi Tengku Iskandar sudah memberi pesanan. Dia tidak dibenarkan mengandung. Jika itu terjadi, Tengku Iskandar tidak mahu mengakui anak yang dikandung sebagai anaknya. Lelaki itu memang kejam!

“Yang kau asyik  tenung muka aku ni kenapa?”

Suara Tengku Iskandar mematikan lamunan Aisyah. Cepat-cepat dia menundukkan kepalanya semula.

“Ambil la pinggan tu!”

“Ambil pinggan buat apa?” soal Aisyah pelik.

Tengku Iskandar mendengus. Garfu dan pisau diletakkan di tepi pinggan. “Kau ni apasal bodoh sangat?! Aku suruh kau ambil pinggan, aku suruh kau makan la bodoh!”

Sayu hati Aisyah bila Tengku Iskandar memanggilnya begitu. Dia tahu dia tak punya pelajaran tinggi seperti Tengku Iskandar. Tetapi janganlah panggil dia begitu. Dia bukan bodoh. Cuma dia takut andai tersalah tingkah, Tengku Iskandar akan memarahinya. Dia bukannya tak faham dengan sikap Tengku Iskandar yang suka mencari salahnya itu.

Lagipun sepanjang enam bulan mereka berkahwin, belum pernah sekali pun Tengku Iskandar mengajak dia duduk semeja untuk makan bersama. Itu yang pelik bila Tengku Iskandar menyuruh dia mengambil pinggan untuk makan. Rasa macam mimpi. Rasa seperti tak percaya!

Takut dimarah lagi, Aisyah akur juga menurut. Pinggan kosong di tepi dicapai lalu diisi dengan chicken chop, kentang goreng dan salad mayonis. Isi sikit sahaja kerana makanan ini bukanlah seleranya. Ikutkan dia nak makan chicken chop ini dengan nasi yang sudah di masak di dapur setelah Tengku Iskandar habis makan. Tapi memandangkan tiba-tiba lelaki itu dengan baik hati mempelawa dia makan bersama, kenalah dia makan juga makanan ala barat ini.

Aisyah memerhati garfu dan pisau. Bibir bawahnya digigit. ‘Hisy… macam mana nak guna ni? Kalau garfu tu okey lagi, pisau tu yang aku tak tahu nak guna.’ Hatinya berbisik.

Curi-curi, Aisyah mengerling Tengku Iskandar yang sedang asyik mengunyah makanannya. Cara lelaki itu memotong daging ayam diperhatikan. Setelah yakin, dia pun meniru cara lelaki itu.

‘Bismillahhirahmannirahim….’

Ting!

Bunyi gafru dan pisau berlaga atas permukaan pinggan kedengaran. Serentak itu juga Aisyah melatah. “Opocot anak ayam terbang!”

Daging ayam yang dipotong ‘terbang’ dari dalam pinggan milik Aisyah dan mendarat tepat ke wajah tampan Tengku Iskandar sebelum ‘landing’ ke dalam pinggan lelaki itu. Membuatkan Tengku Iskandar terkejut dan terkedu.

Aisyah yang memerhati sudah bulat mata. Mulut ditekup dengan ke dua belah tangan. Tidak sangka sampai ke situ ayamnya ‘terbang’. Hendak tergelak rasanya. Namun rasa kelakar itu ditolak ke tepi kala terpandang wajah tegang si suami.

Errr… ma… af… maafkan… saya te… tengku.” Gagap dia jadinya. Tanpa berfikir panjang dia meluru ke arah Tengku Iskandar. Wajah lelaki itu dilap berulang kali menggunakan tisu. Dah serupa orang mengelap pinggan pula lagaknya.

Rimas dengan tindakan Aisyah, Tengku Iskandar berkata dengan nada geram. “Hey! Rimaslah!”

Tangan Aisyah ditangkap lalu dipegang kejap. Matanya tajam menikam wajah Aisyah. Membuatkan gadis itu menelan air liur yang mula terasa payau. Rasa nak menangis pun ada juga bila tangannya dipegang sekejap itu. Dia tahu Tengku Iskandar sedang marah.

“Ma… maafkan saya.” Ucapnya lagi.

Rahang Tengku Iskandar kelihatan bergerak-gerak. Hendak marah, namun entah mengapa kemarahannya tidak terluah melihat wajah mendung Aisyah. Dia tahu gadis itu tidak sengaja.

Akibat marah yang tidak terluah, Tengku Iskandar melepaskan tangan Aisyah dengan kasar. Sebuah dengusan keluar dari mulutnya. Tisu di capai lalu mulutnya dikesat. Dia bangun dari duduk.

Melihat langkah Tengku Iskandar yang sudah mula meninggalkan ruang makan, Aisyah memberanikan diri untuk bersuara. “Errr… tengku tak nak makan?”

“Aku dah kenyang! Kau makan la sorang.”

Setelah lelaki itu berlalu, ketawa Aisyah terlepas dari mulut. Lucu terkenangkan wajah kaget Tengku Iskandar bila ayam yang dipotong ‘terbang’ terkena wajahnya. Berubah terus wajah Tengku Iskandar. Kalau bukan disebabkan rasa takut pada lelaki itu, dari tadi lagi dia nak ketawa. Kejadian itu benar-benar menggeletik hati.

“Dah puas ketawa nanti naik atas! Aku ‘lapar’ nak makan orang.” Suara Tengku Iskandar kedengaran. Membuatkan ketawa Aisyah yang terbahak-bahak itu mati dengan serta-merta.

Bibirnya diketap. Dia tahu benar apa yang dimaksudkan lelaki itu. Jika sudah mengeluarkan arahan untuk dia naik ke atas, tentu lelaki itu mahukan sesuatu daripadanya.

“Itu la! Siapa suruh gatal sangat ketawakan ‘Tengku Harimau’ tu? Kan dah nak kena ‘baham’. Hisy!” Aisyah merungut pada diri sendiri.

Lemah jiwanya bila Tengku Iskandar sudah mengeluarkan arahan tersebut. Nak mengelak, dia tak punya alasan. Lagipun, kehendak suami perlu ditunaikan.


ISTERI DALAM SANGKAR 19




Bab 19

SETIAP gerak-geri Aisyah menjadi perhatian Tengku Iskandar. Gadis kampung itu kelihatan begitu cekap melakukan kerja-kerja rumah. Sejak gadis itu ada, kondonya ini kelihatan kemas dan bersih. Jika dulu, setiap hujung minggu pasti Kak Yam datang membersihkan kondonya ini. Tetapi sekarang Kak Yam dah tak perlu datang lagi memandangkan dia sudah ada ‘pembantu rumah’ seumur hidup.

Untung juga dia kahwin dengan Aisyah. Sudahlah kahwin free, gadis itu juga seorang yang cekap melakukan kerja. Tak perlulah dia mengeluarkan duit yang banyak untuk membayar khidmat membersihkan. Dulu waktu Kak Yam bekerja dengannya memang banyak juga duitnya yang mengalir keluar. Kak Yam memang bekerja setiap hujung minggu saja tetapi gaji yang dimintanya bukan main mahal lagi. Kak Yam memang cekik darah. Disebabkan itu bila dia memberitahu Kak Yam bahawa khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi wanita itu merayu masih mahu bekerja. Tetapi dia benar-benar sudah tidak memerlukan Kak Yam memandangkan dia sudah punya Aisyah.

Selain itu, makan minumnya juga terjaga. Jika dulu memang makan minumnya tidak menentu. Namun kini semua itu sudah tidak dirisaukan lagi. Aisyah memang pandai memasak. Dalam masa yang singkat gadis kampung itu sudah pandai memasak makanan barat kegemaran tekaknya ini. Tetapi dalam masa yang sama dia teringin juga hendak makan makanan kampung yang pernah Aisyah masak dulu. Cuma egonya yang melangit ini menghalang dia dari menyuarakan kemahuannya itu. Takut andai gadis itu tahu makanan dulu dia yang habiskan.

Aisyah mengerling wajah Tengku Iskandar dengan ekor matanya. Bibirnya diketap. Rasa kurang selesa bila setiap pergerakannya menjadi perhatian lelaki itu. ‘Hisy… apa kena dengan ‘Tengku Harimau’ ni? Asyik perhatikan aku aje dari tadi. Rimas betul la macam ni. Buat kerja pun tak senang.’ Hati kecil Aisyah mendesis. Kehadiran Tengku Iskandar di ruang tamu itu membuatkan tingkahnya kelihatan sumbang.

‘Boleh pulak dia tak keluar hujung minggu ni. Biasanya dia mana lekat kat rumah. Selalu keluar dan balik lewat malam. Tapi hari ni boleh pula melepak dekat rumah. Hisy… rimas betul!’ Tambah Aisyah lagi. Tangannya masih ligat membersihkan kuda kristal yang terdapat dalam almari.

“Kau kalau buat kerja jangan sambil berangan. Nanti pecah pulak barangan kristal aku tu. Semua tu mahal. Harga beribu-ribu. Kau nak ganti ke kalau dah pecah.” Tegur Tengku Iskandar pada Aisyah. Dalam pemerhatiaannya gadis itu sedang berkhayal sambil melakukan kerja.

Errr… tak tengku. Saya tak berkhayal pun.” Balas Aisyah.

Terjengil mata Tengku Iskandar mendengar jawapan Aisyah. “Bila masa aku suruh kau menjawab?” sergahnya.

Aisyah mengetap bibir. Kepala ditundukkan. Serba-salah betul dia jadinya. Jika dia diam membisu, lelaki itu kata dia pekak tak dengar cakap. Bila dia sudah menjawab, lelaki itu kata lain pula. Hisy… ada aje yang tak kena!

“Kau ni takde baju yang lawa sikit ke? Asyik pakai baju kurung yang kain macam guni ni aje. Sakit mata aku tengok pakaian kau ni. Tak buka selera langsung!” kutuk Tengku Iskandar pada pakaian Aisyah yang sentiasa berbaju kurung kain catton itu.

Kali ini Aisyah tidak menjawab. Hanya diam saja. Sesuka hati ‘Tengku Harimau’ itu kata baju yang dipakainya serupa kain guni. Tahulah pakaian ‘Tengku Harimau’ itu mahal-mahal belaka. Tapi janganlah kutuk kata kainnya serupa guni. Sudah tu kata tak buka selera. Habis tu yang dia ‘gomol’ Aisyah tu namanya apa? Cakap tak guna otak!

Bunyi lonceng pintu kedengaran. Cepat saja Aisyah bangun untuk membuka. Ada peluang dia melarikan diri dari pandangan ‘Tengku Harimau’.

Sebaik pintu dibuka, terlayar wajah kacak ‘Tengku Kucing’. Lebar senyuman lelaki itu menyapa pandangan matanya. Sejuk saja matanya memandang wajah Tengku Haziq yang sentiasa mekar bersama senyuman semanis gula-gula lollipop.

“Assalamualaikum Aisyah.”

“Waalaikumusalam. Tengku Haziq, masuk la.” Pelawa Aisyah. “Tengku Iskandar ada kat ruang tamu.” Sambungnya lagi.

“Saya bukan nak jumpa Tengku Iskandar.”

“Habis tu Tengku Haziq nak jumpa siapa?” Aisyah beri soalan bodoh. Jika lelaki itu bukan datang hendak bertemu Tengku Iskandar, sudah tentulah Tengku Haziq hendak berjumpa dengannya. Siapa lagi yang ada dalam rumah ni jika bukan mereka berdua.

“Saya nak jumpa awak la Aisyah. Takkanlah saya datang ni nak jumpa segala perabot dalam kondo ni pulak.”

Aisyah tersengih. Sedar jawapan Tengku Haziq menyindirnya. Nasib baik Tengku Haziq, kalau Tengku Iskandar sudah tentu dia dikatakan bodoh. ‘Tengku Harimau’ itu cakap memang tak pernah berlapis. Main ‘sembur’ saja.

Errr… kenapa ye Tengku Haziq nak jumpa saya?”

“Saya nak bagi something dekat awak.” Sambil tersenyum Tengku Haziq berkata. Kedua belah tangannya masih disembunyikan di belakang.

“Apa dia?”

“Jeng! Jeng! Jeng!” Tengku Haziq menghulurkan beg kertas yang dibawanya kepada Aisyah.

“Apa ni Tengku Haziq?” terpinga-pinga Aisyah melihat lelaki itu menghulurkan beg kertas.

“Ada la.” Tengku Haziq masih mahu berahsia. “Ambik.”

Dengan rasa segan Aisyah mengambil beg kertas tersebut.

“Awak buka la isinya. Saya yakin awak pasti suka.”

Aisyah tidak banyak bicara. Hanya menurut saja arahan Tengku Haziq. Isi di dalam beg kertas ditarik keluar. Ketika matanya memandang isi tersebut, matanya bulat dan bersinar. Bagaikan tidak percaya novel penulis kesayangannya sudah berada di depan mata. Inilah novel yang dicarinya selama ini.

“Dari mana Tengku Haziq dapat novel ni? Setahu saya novel ni tak jual kat kedai buku kan.” Bukan main teruja Aisyah melihat novel ‘Perempuan Yang Paling Aku Cinta’. Dibelek-beleknya novel tersebut. Di dalamnya terdapat tulisan tangan Acik Lana yang menujukan novel ini khas untuk dia. Bagaikan tidak percaya dia dapat tandatangan Acik Lana dan cop bibir besar seksi itu.

Tengku Haziq tahu Aisyah begitu teruja dengan novel Acik Lana. Sehingga bibirnya lebar dengan senyuman. “Saya mintak tolong dengan setiausaha saya belikan.”

Ye ke? Susah-susah aje. Berapa harganya? Saya bayar.”

“Takpe Aisyah. Saya memang nak hadiahkan novel ni untuk awak.”

“Tapi….”

“Takpe… tanda persahabatan saya pada awak.” Lembut tutur kata Tengku Haziq. Matanya menikam anak mata Aisyah.

Tidak betah menentang anak mata Tengku Haziq yang bening, Aisyah menundukkan kepalanya. Takut andai hatinya ‘terusik’ dengan renungan tersebut. Lelaki seperti Tengku Haziq yang punya rupa dan budi bahasa yang baik, bisa saja mencairkan hati perempuan yang memandang. Dia tidak mahu perasaan itu lahir kerana dia sedar siapa dirinya.

“Hoi! Apasal kau lama sangat kat pintu tu? Siapa yang datang?!” suara Tengku Iskandar memetir dari ruang tamu.

Terkejut Aisyah mendengar suara ‘Tengku Harimau’ itu. Sampai terhenjut bahunya. Dia yang memang terkenal dengan kaki latah itu pun terus termelatah. “Oh mak kau… ‘Tengku Kucing’ datang!”

Opsss!!!” Aisyah menekup mulutnya dengan novel di tangan. Terlepas gelaran manja Tengku Haziq pada bibirnya. ‘Hisy… mulut ni! Celupar sangat la!!’ Marahnya pada mulut sendiri.

“Siapa ‘Tengku Kucing’? Saya ke?” Ingin pula Tengku Haziq mengetahui siapa ‘Tengku Kucing’ yang dimaksudkan Aisyah.

Aisyah menggigit bibir bawah. Dia sudah terlepas cakap di hadapan lelaki itu. Matilah dia kalau tiba-tiba ‘Tengku Kucing’ berubah menjadi ‘Tengku Harimau’ seperti Tengku Iskandar.

Errrerrr… ma… maafkan saya.”

Tiba-tiba tawa Tengku Haziq pecah. Memang benar gelaran itu ditujukan pada dia. Pandai sungguh Aisyah beri dia nama gelaran. ‘Tengku Kucing’!

Melihat tawa Tengku Haziq, Aisyah bertanya, “Awak tak marah ke?”

Tengku Haziq menggeleng. Tawanya masih bersisa. “Buat apa nak marah. Alaaa… okeylah tu awak bagi saya nama manja. Nanti kalau awak nampak kucing, awak akan teringatkan saya.” Tengku Haziq mengenyit mata. Perbuatan nakalnya mengundang warna merah jambu pada wajah putih mulus Aisyah.

“Hoi! Kau buat apa tercegat kat sana tu?” Tengku Iskandar menyergah garang. Tak ubah seperti harimau jantan.

“Is… kau ni sikit-sikit nak menyergah. Macam Tok Harimau!” balas Tengku Haziq sambil melangkah masuk ke dalam. Dari tadi bersembang dengan Aisyah di depan pintu.

“Kau rupanya Ziq. Ingatkan siapa yang datang.” Nadanya mengendur kala terpandang wajah Tengku Haziq. “Kenapa kau datang?”

“Hai… takkan aku dah tak boleh datang kondo kau lagi. Kau dah tak suka aku datang sini ke?”

“Bukan macam tu la. Aku tanya aje.” Balas Tengku Iskandar. Kakinya melangkah semula ke ruang tamu. Lalu melabuhkan punggung di atas sofa.

“Kau tu janganlah asyik tengking Aisyah. Kesian dia. Sampai termelatah dia dengar suara kau yang tak ubah macam guruh tu.” tegur Tengku Haziq sambil membuntuti langkah Tengku Iskandar. Punggungnya juga dilabuhkan di atas sofa.

Kondo mewah milik sepupunya itu diperhati. Nampak kemas dan bersih. Tentu Aisyah yang melakukannya kerana dia tahu Tengku Iskandar telah memberhentikan khidmat Kak Yam sebagai pembantu rumah separuh masanya.

“Kau tak keluar ke?” tanya Tengku Haziq bila melihat Tengku Iskandar asyik membelek majalah. Biasanya hujung minggu begini Tengku Iskandar akan keluar berfoya-foya dengan salah seorang teman wanitanya yang pelbagai rupa itu.

“Malas.” Selamba Tengku Iskandar menjawab.

Berkerut dahi Tengku Haziq mendengarnya. Malas? Selama ini Tengku Iskandar mana ada rasa malas nak keluar dengan awek-awek dia yang seksi-meksi itu. Tapi hari ini boleh pula lelaki itu kata dia malas nak keluar.

Aisyah datang semula ke ruang tamu. Dia menatang dulang berisi berisi air teh yang dibancuh. Penuh berhati-hati dia meletakkan dulang di atas meja. Menuang air teh boh yang dibancuh ke dalam cawan.

“Is, aku ada hajat ni. Nak minta kebenaran kau.”

“Apa dia?” tanpa mengalihkan pandangannya, mata Tengku Iskandar masih melekat pada majalah yang dibaca.

“Aku nak minta kebenaran kau bawak Aisyah keluar jalan-jalan. Kesian dia asyik berperap duduk kat rumah aje.” Pinta Tengku Haziq sambil melirik mata memandang wajah Aisyah.

Aisyah yang mendengar hanya menundukkan kepala. Agak terkejut dia dengan permintaan Tengku Haziq yang mahu membawa dia keluar berjalan-jalan. Ingatkan lelaki itu hanya datang memberikan novel Acik Lana saja padanya. Rupanya masih ada niat lain kenapa Tengku Haziq datang ke sini. Lelaki itu memang baik. Sudi mengajaknya keluar bersiar-siar. Nak harapkan Tengku Iskandar, jangan mimpi la! Lelaki itu mana sudi jalan berdua dengan Aisyah yang asal dari kampung ini.

Majalah yang dibaca diletak atas riba. Wajah Tengku Haziq yang penuh mengharap dan wajah Aisyah yang tertunduk dipandang silih berganti. Kemudian dia berkata, “Aku mintak maaf Ziq. Aku tak dapat benarkan kau bawak Aisyah keluar jalan-jalan. Masih banyak kerja rumah yang dia kena buat.”

Jawapan Tengku Iskandar mematahkan hati Aisyah. Dia memang sudah mengagak pasti Tengku Iskandar tidak benarkan dia keluar bersama Tengku Haziq. Malas hendak mendengar lebih lanjut perbualan dua sepupu itu, Aisyah melangkah ke ruang dapur. Jarum jam sudah menunjukkan angka sebelas lima puluh minit pagi. Elok dia menyediakan makan tengah hari.

“Is kau tak kesian ke Aisyah asyik berperap aje. Kau seolah-olah dah kurung dia dalam kondo kau ni. Sesekali tu kau bagilah dia peluang keluar jalan-jalan kat luar.” Kata Tengku Haziq setelah kelibat Aisyah hilang di sebalik dinding yang memisahkan ruang tamu dengan ruang dapur.

“Kau nak bawak dia ke mana? Nak tayang dia kat satu KL? Supaya semua orang tahu dia tu bini aku. Macam tu?” soal Tengku Iskandar kurang gemar dengan tindakan Tengku Haziq yang mahu membawa Aisyah keluar berjalan-jalan.

“Takde siapalah tahu Aisyah tu isteri kau. Cuma kau dengan aku aje yang tahu. Lagipun… takde sesiapa yang kenal dia kat KL ni. Kau tu aje yang takut tak bertempat.” Tengku Haziq membalas.

“Memanglah takde siapa yang tahu. Tapi macam mana kalau tiba-tiba terserempak dengan kawan-kawan mummy. Tak ke naya. Kau sendiri tahu kan kawan-kawan mummy ramai kat KL ni.” Memang itulah yang paling dikhuatiri Tengku Iskandar. Takut sangat andai mummynya tahu dia sudah bernikah. Tak pasal-pasal melepas peluangnya hendak menjawat jawatan sebagai CEO syarikat.

Tengku Haziq mendengus. Tengku Iskandar memang seorang yang mementingkan diri sendiri. Risau sangat kerusi CEO tidak sampai kepadanya. Sampai sanggup mengurung seorang insan di dalam kondo mewahnya ini.



AISYAH baru selesai bersolat ketika namanya dilaung Tengku Iskandar di ruang tamu. Tergesa-gesa dia melipat sejadah dan mengantung telekung atas penyidai kayu. Takut andai dia terlambat lelaki itu akan mengamuk. Menjadi isteri lelaki itu dalam tempoh masa sebulan, membuatkan dia sudah mula memahami perangai Tengku Iskandar.

Di atas lantai, terdapat banyak beg kertas berselerak. Aisyah tak tahu apa di dalamnya. Cuma dia yakin itu adalah barang-barang kepunyaan Tengku Iskandar. Pasti lelaki itu memanggil dia untuk menyuruh dia mengangkat beg-beg kertas itu naik ke tingkat atas. Maklumlah… Aisyah inikan ‘kadam’ Tengku Iskandar.

“Kau tercegat apa lagi dekat situ? Ambillah beg-beg kertas ni!” Tengku Iskandar bersuara tinggi setelah melihat Aisyah yang masih berdiri kaku.

Cepat Aisyah mendapatkan beg-beg kertas yang berselerak di atas lantai. Terkial-kial dia mengangkatnya. Biarpun tidak berapa berat, namun beg kertas yang banyak itu menyusahkan pergerakan Aisyah. Menyebabkan dia dirinya yang kecil molek tenggelam dek beg-beg kertas.

“Kau nak ke mana tu?” tanya Tengku Iskandar sebaik melihat Aisyah melangkah ke tangga.

“Nak simpan barang-barang tengku ni kat atas.” Jawab Aisyah sambil cuba menghalang beg kertas yang dibawa jatuh ke lantai.

“Tu bukan barang aku la bodoh! Tu barang untuk kau.”

Hampir saja beg kertas yang banyak itu terlepas jatuh dari tangan Aisyah. Terkejut bukan kepalang mendengar ayat Tengku Iskandar. Barang-barang ini untuk dia? Biar betul?! Baik pula hati ‘Tengku Harimau’ itu membelikan barang-barang untuk dia.

“Sebab mata aku ni rimas sangat tengok baju kurung kain guni kau tu, aku belikan kau baju baru. Tapi semua ni bukan free tau. Kau jangan nak perasan pula aku belikan kau free macam tu aje. Harga baju-baju kau ni aku tolak dari duit gaji kau.”

Aisyah ketap bibir. Sudah diagak pasti ‘Tengku Harimau’ itu tidak sebaik yang difikir. Baru beli barang-barang untuk dia, duit gaji yang hanya tiga ratus ringgit sebulan itu dipotong. Hampeh!

“Dah! Pergi bawa masuk kat dalam bilik kau. Lagi satu, aku nak kau pakai baju warna merah yang aku beli tu. Aku nak tengok sesuai ke tidak.” sambil memberi arahan, mata Tengku Iskandar tertancap pada skrin televisyen. Rancangan Fear Factor yang ditayangkan di kaca televisyen merupakan rancangan kegemarannya.

Aisyah hanya menurut segala perintah yang dikeluarkan ‘Tengku Harimau’ itu.

Banyak pakaian yang dibelikan Tengku Iskandar untuk Aisyah. Pandai lelaki itu mencari saiznya. Semua muat pada susuk tubuh Aisyah. Cantik-cantik pula tu. Cuma apa yang membuatkan Aisyah kurang berkenan, pakaian yang dibelikan lelaki itu agak menjolok mata. Dia memang tak pakai pakaian begini. Segan orang tengok. Lagipun dia sudah cukup senang dengan pakaian yang dia ada sekarang.

Baju tidur satin warna merah cili yang tersarung di tubuhnya diperhati. Rasa malu menyerbu diri. Patutkah dia kena pakai pakaian ini di hadapan Tengku Iskandar?

Aisyah mengeluh. Dalam terpaksa dia kena melangkah keluar. Nanti jika dia berperap lama dalam bilik ini, ‘Tengku Harimau’ itu akan naik hantu. Tingkah Tengku Iskandar sukar diduga. Sekejap okey, sekejap K.O!

Perlahan-lahan Aisyah melangkah ke ruang menonton. Suasana dingin di ruang menonton meresap ke tubuh yang agak terdedah. Baju tidur seksi itu benar-benar buat dia tidak selesa. Seperti dia berada dalam keadaan bogel sedangkan dia dilapisi pakaian. Entah bagaimana sebilangan wanita cukup gemar dan selesa berpakaian seksi begitu selesa keluar rumah dan diperhatikan orang sekeliling. Dia yang baru berada di dalam rumah dengan pakaian begini pun sudah merah muka menahan rasa. Sedangkan dia hanya berdiri di hadapan seorang lelaki. Itupun lelaki yang sudah sah bergelar suaminya.

Aisyah berdiri seperti patung cendana. Mata ‘Tengku Harimau’ masih setia pada skrin TV besar di hadapannya. Kehadiran Aisyah di ruang menonton itu langsung tidak diendahkan.

“Ehem….” Aisyah berdehem. Cuba menyedarikan Tengku Iskandar akan kehadirannya. Jika tahu dia tidak dipedulikan begini, baik dia berperap saja di dalam bilik.

Perhatian Tengku Iskandar beralih pada Aisyah. Tergamam seketika melihat gadis kampung itu dalam pakaian seksi yang dibelinya. Dari atas sampai ke bawah dia perhatikan Aisyah.

Sedar renungan tajam Tengku Iskandar padanya, Aisyah jadi tidak menentu. Apatah lagi bila lelaki itu sudah berdiri dan bergerak menghampirinya. Begitu hampir sehingga membuatkan debaran di dada sudah tidak tentu rentaknya.

Tangan Tengku Iskandar sudah melurut menyentuh lengan Aisyah yang putih gebu. Rambut gadis kampung itu yang terikat satu bagaikan ekor kuda dibuka ikatannya. Terurai rambut panjang Aisyah. Keinginan untuk bermesra datang menyapa. Membuatkan dia bagai tidak sabar mahu menikmati kehangatan tubuh di depan matanya ini. Aisyah ibarat sejenis dadah bernama ‘heroin’ yang bisa membuatkan dia ‘ketagih’. Rasa sekali dia hendak berkali-kali. Memang ramai wanita pernah ditidurinya. Namun mereka semua tidak sama seperti Aisyah. Aisyah ada sesuatu yang tidak sama dengan mereka.

Setiap sentuhan halus Tengku Iskandar pada tubuhnya membuatkan Aisyah berdebar. Dia tahu apa yang dimahukan suaminya itu. Sebagai isteri, dia wajib melaksanakan tanggungjawabnya.

Nabi SAW bersabda maksudnya :  “Jika seorang suami memanggil isterinya datang ke katilnya (iaitu untuk hubungan kelamin) dan dia menolak, dan menyebabkan suaminya tidur dalam kemarahan, malaikat-malaikat akan mengutuknya hingga waktu pagi.”



AISYAH terjaga pada pukul empat lima puluh minit pagi. Masih terlalu awal untuk dia bangun mengerjakan solat subuh. Tangan Tengku Iskandar yang melingkar kemas pada pinggangnya cuba dialihkan. Namun dia tidak berjaya bila tangan lelaki itu sukar digerakkan. Begitu kejap sekali Tengku Iskandar memeluknya.

Sedaya-upaya Aisyah memusingkan tubuhnya. Menghadap Tengku Iskandar yang sedang lena disulami dengkuran halus. Ketika ini dia mengambil kesempatan menatap wajah Tengku Iskandar. Jika lelaki itu dalam keadaan jaga, jangan haraplah dia dapat menatap wajah tersebut. Tengku Iskandar telah tetapkan syarat dia tidak boleh memandang wajah itu. Lagipun wajah Tengku Iskandar yang sedang terlena ini nampak lebih kacak berbanding wajahnya ketika bangun yang tak ubah seperti harimau kelaparan.

Aisyah mengeluh. Layanan Tengku Iskandar padanya sukar diramal. Lelaki itu menjadi lelaki romantik ketika mereka ‘bersama’. Layanannya pada Aisyah membuatkan Aisyah rasa seperti dia ini isteri yang dicintai sepenuh jiwa. Namun sikap Tengku Iskandar akan berubah kala dia terjaga. Wajahnya garang dan bahasanya yang kasar bisa membuatkan Aisyah berjauh hati. Di mata Tengku Iskandar, dia ini tidak ubah seperti melukut di tepi gantang.

“Buruk sangatkah aku ni? Sehinggakan aku tidak layak berada disamping dia.” Aisyah menyoal diri sendiri. Mata masih merenung tepat ke wajah Tengku Iskandar. Alangkah bahagianya andai lelaki itu melayannya dengan baik. Tentu dialah wanita paling bahagia di dunia ini.

Aisyah menghela nafas. Biar perkahwinan ini bukan lahir atas dasar cinta, tetapi Aisyah berazam ingin menjadi isteri yang solehah. Semoga Allah membuka pintu ‘cinta’ di hati Tengku Iskandar buat dirinya.

Amin….