W4J4H-W4J4H K354Y4N64NKU

Rabu, 24 April 2013

CINTA MASAM MANIS1





CINTA
MASAM MANIS
**1**

NAMA saya Qisya Nur Alifa Binti Zahiddin. Berusia dua puluh empat tahun. Berstatus bujang dan masih solo. Jantina mestilah perempuan. Takkan jantan pulak! Anak sulung daripada tiga beradik. Biarpun menjawat jawatan sebagai anak sulung merangkap ketua kontinjen anak-anak Haji Zahiddin Bin Haji Nawawi dan Hajah Azyan Binti Haji Sulaiman, namun saya merupakan anak kesayangan. Ini kerana saya merupakan satu-satunya anak perempuan babah dan umi. Disebabkan itulah saya telah diiktiraf sebagai anak kesayangan mereka ramai. Heheheee… seronoknya! Rasa macam menang anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian jer saya ni.
Saya memang anak manja. Maklumlah, sepuluh tahun sebelum Qayyum dan Qayyim dilahirkan, saya merupakan anak tunggal. Jadi pada saya yang cute lagi comel inilah tertumpah segala kasih sayang babah dan umi. Saya sangat dimanjakan oleh babah dan umi, juga Tok Ling dan Nek Tee. Mana tidaknya, saya ni juga merupakan satu-satunya cucu perempuan Tok Ling dan Nek Tee ada kat dunia ni. Pasal tu sayang kena lebih sikit!
Keadaan tetap sama walaupun setelah Qayyum dan Qayyim dilahirkan. Saya tetap jadi anak manja dan kesayangan ramai. Terutama anak manja kepada lelaki yang paling saya sayangi dalam dunia ini iaitu Haji Zahiddin. Malah babah lebih manjakan saya berbanding dua adik lelaki saya tu. Sebab tu saya digelar anak bapak. Alahai… macam cerita P.Ramlee pulak rasanya saya ni. Heheheee…
Qisya bermonolog. Wajahnya dibelek lagi. Rasanya ini sudah kali yang ke-99 dia membelek-belek wajahnya di hadapan cermin. Dah cantik sangatlah kononnya tu. Kalaulah cermin di hadapannya itu boleh berkata-kata, tentu cermin tu akan kata “Tolonglah Cik Qisya Nur Alifa… aku dah tak larat asik duk mengadap muka kau berhari-hari. Kasi la aku masa untuk berehat.” Huhuhuuu!
Qisya melebarkan senyumannya. Rasa bangga pula dia melihat penampilan dirinya ketika ini. Tampak anggun dan manis. Ala-ala wanita muslimah melayu terakhir gitu. Cewah! Anak dara kesayangan Haji Zahiddin dah mula perasan sendiri. Hidungnya sudah kembang kempis menahan rasa perasan yang melanda sanubari kewanitaannya. Apatah lagi bila terkenang pujian Tok Ling dan Nek Tee tentang penampilan terbarunya itu sewaktu dia balik ke kampung halaman terchenta.
Kata Tok Ling, CUCU TOK LING NI BERTAMBAH CANTIK BILA DAH BERTUDUNG. INI BARULAH YANG DIKATAKAN SEBAGAI GADIS MELAYU SEJATI.” Heheheee… lebar senyuman Qisya sewaktu Tok Ling memujinya. Pujian yang ikhlas tu. Mana tahu ikhlas? Ala… tahulah! Tok Ling tu mana pernah bohong bila bab puji-puji ni.
 Kata Nek Tee pulak, LAWA CUCU PEREMPUAN NEK TEE NI. MANIS AJE BERTUDUNG. SEJUK MATA DAN HATI SESIAPA YANG MEMANDANG. BANGGA NEK TEE TENGOK CUCU NEK TEE YANG CANTIK NI. SIKIT HARI LAGI MESTI KENA PINANG DENGAN PUTERA RAJA.”
Aduh... semakin kembang lubang hidung Qisya dibuatnya. Mengalahkan hidung seladang betina sahaja. Pantang betul dia bila ada yang memuji dia cantik. Mulalah dia tersenyum bagai tak ingat dunia.
Qisya! Qisya! Memang spesis tak boleh dipuji langsung!
Qisya tersenyum lagi. Lesung pipit di pipi kiri dan kanannya menyerlah dengan dalam. Kata Afiq, lesung pipit Qisya sama dengan lesung pipit milik Preity Zinta. Cantik dan menarik! Hmmm… iyalah tu. Macamlah Qisya tak tahu yang si Afiq tu saja nak mengurat. Pasal tu cakap begitu. Main puji-puji! Main ayat-ayat cinta! Siap nak samakan Qisya dengan Preity Zinta lagi. Lawa tu!
Alahai Afiq Bin Alif… kalau iye pun awak nak mengurat, cubalah guna taktik yang canggih sikit. Ini tidak… guna pun taktik zaman purba. Zaman babah Qisya nak mengurat umi Qisya. Hisy… tak menusuk kalbu sungguh! Buat Qisya tak ada hati nak melayan ayat-ayat cinta si Afiq tu.
Alamatnya, Afiq kena terima hakikat bahawa dia dan Qisya hanya boleh menjadi sekadar kawan biasa sahaja. Tidak lebih daripada itu. Jika Afiq masih berdegil dan meneruskan niatnya untuk menjadikan Qisya teman wanita istimewanya, Qisya tak akan layan Afiq lagi. Cukuplah hubungan persahabatan mereka setakat disitu sahaja. Itulah ugutan Qisya sebaik sahaja Afiq selesai meluahkan ayat-ayat cintanya pada Qisya buat kali yang kedua. Kali yang pertama gagal segagal gagalnya!
Tapi itu cerita dua tahun lalu. Waktu mereka sama-sama menuntut di UiTM, Shah Alam. Tamat saja pengajian, Qisya dan Afiq terputus hubungan. Dia sendiri tak tahu ke mana hilangnya lelaki yang pernah menjadi peminat setianya sewaktu di Kampus itu. Rindu juga rasanya hendak bertemu dengan Afiq poyo, nama glamor Afiq sewaktu di alam Kampus.
Apa Qisya kata tadi? Rindu?! Opss… dia rindu bukan sebab dalam hati ada cinta, ye. Jangan pulak ada yang salah tafsir. Dia rindu sebab dah lama tak menyakat temannya itu. Walaupun kehadiran Afiq sewaktu di Universiti sesuatu yang merimaskan Qisya, sebab Afiq ni suka sangat berjiwang-jiwang. Namun Afiq merupakan satu-satunya kawan lelaki yang cukup tahan dengan perangai Qisya yang gila-gila itu. Hehehe…
Sekali lagi Qisya membelek-belek wajahnya. Manalah tahu kalau ada jerawat batu yang memusnahkan penampilan anggunnya hari itu. Tak jadilah dia nak berlagak depan Nisya dan Casabelle. Seminggu dia bercuti di kampung halaman, rasa rindu pula dia pada dua sahabat baiknya itu. Sepanjang beristirehat di kampung, Nisya dan Casabelle langsung tidak menelefonnya. Dia pun dua kali lima juga. Langsung tak bertanyakan khabar dua sahabat sehati sejiwannya itu. Kata sahabat baik. Tidur sebantal, makan sepinggan! Tapi jejak saja kaki ke kampung halaman, Qisya terus lupa pada Nisya dan Casabelle.
Kerinduan yang membuak-buak pada babah, umi, Qayyum dan Qayyim, menyebabkan Qisya lupa pada kawan-kawan di Kuala Lumpur. Keseronokan menikmati buah-buahan di dusun milik Tok Ling, membuatkan ingatan Qisya pada Nisya dan Casabelle terus lenyap entah ke mana. Huhuhu… kejam juga Qisya ni. Kalaulah Nisya dan Casabelle tahu… sah merajuk selama dua tahun dua sahabat itu.
Hmmm… boleh tahan cantik jugak aku ni, ya! Tambah-tambah bila dah bertudung macam ni. Bertambah cantik aku dibuatnya. Kalah Yuna! Hehehe… Qisya sudah masuk bakul angkat sendiri. Tudung bawal hitam yang tersarung dikepala diperkemaskan. Balik ke KL setelah seminggu bercuti di kampung kenalah nampak cantik. Mana boleh nampak sememeh depan Nisya dan Casabelle. Kenalah berlagak sikit depan dua minah kerek tu. Hehehe…
Kalau aku tahu macam ini punya cun aku bertudung, umur 7 tahun lagi aku dah jadi muslimah solehah. Tak payah nak tadah telinga dengar bebelan umi yang asyik menyuruh aku bertudung.
“INGAT CANTIK SANGATKAH BILA TAYANG RAMBUT MACAM TU? KAN ELOK KALAU KAK LONG BERTUDUNG. MANIS AJE. INI TIDAK… DAH MACAM PONTIANAK HARUM SUNDAL MALAM AJE UMI TENGOK. MENAKUTKAN SUNGGUH!”
Itulah bait-bait bebelan Hajah Azyan bila anak gadisnya masih belum bersedia untuk bertudung dulu. Mahu cair juga tahi telinga Qisya sebaik sahaja mendengar bebelan umi yang tak henti-henti itu. Macam burung kakak tua. Hehehe…
Qisya dan adik-adiknya memang tak pernah nak tahan mendengar bebelan Hajah Azyan yang tak ada warna merah tanda nak berhenti itu. Mulalah masing-masing sibuk nak buat sesuatu. Sedangkan tak ada apa pun yang nak disibukkan. Saja nak larikan diri. Mana tidaknya, jika umi dah start membebel pukul 6.00 pagi, pukul 10.00 malam baru bebelan umi akan berhenti. Itupun sebab umi dah masuk tidur. Kihkihkih… Namun sejak Qisya bekerja dan tinggal menyewa di KL, dia sudah jarang mendengar bebelan umi. Paling-paling yang membebel macam mak nenek pun cuma si Nisya anak pakcik Darsani.
Entah macam manalah babah boleh bertahan mendengar bebelan umi yang tak berkesudahan itu? Mungkin disebabkan rasa cinta babah pada umi, menyebabkan babah sanggup mendengar bebelan isterinya itu. Opsss… bukan mungkin la! Memang betul pun babah sayangkan umi. Jika tidak, masakan babah masih bertahan dengan umi walaupun mulut umi tak pernah berhenti mengomel dan bentuk badan umi dah tak seramping dulu. Hehehe… Qisya memang cukup kagum melihat cinta babah dan uminya. Persis cinta Adam dan Hawa. Cayalah!


STREETTT…………..
Qisya tersentak. Sepenuh hati dia menekan brek kereta sampai berdecit bunyinya. Hampir melayang semangatnya.
Kursss… semangat! Nasib baik roh Qisya tak cabut lari meninggalkan tuannya sendirian. Jika tidak, alamat tinggal arwahlah dia jadinya. Terkejut kambing gurun betina dia bila dengan tiba-tiba sahaja sebuah kereta BMW 6 series warna hitam berkilat meluncur dengan laju masuk ke simpang jalan. Nyaris melanggar keretanya yang baru hendak keluar daripada simpang. Mujur dia sempat menekan brek. Dadanya yang berdebar hebat itu diurut berulang kali.
Pantas Qisya meluru keluar. Debaran di dadanya berdegup kencang. Macam orang baru menamatkan larian pecut 100 meter sahaja. Wajahnya juga kelihatan pucat. Jika ditoreh dengan pisau, tentu tiada setitis darah merah yang mengalir keluar. Macam cerita Mahsuri la pulak.
Bahagian depan kereta Perodua Vivanya dibelek-belek. Manalah tahu kalau-kalau ada kecederaan parah yang dialami oleh Viva La Diva kesayangannya itu. Senang juga dia nak mintak gantirugi. Dia baru saja pakai Viva tu dalam tempoh tiga bulan. Tup-tup ada pulak makhluk ALLAH yang berhati mulia hampir melanggar keretanya. Mujur tak ada kemalangan serius yang berlaku. Qisya memanjatkan rasa syukur. Viva La Diva kesayangannya tidak mengalami sebarang kesan calar atau kemek. Alhamdulillah…
“Hoi… Awak ni tak tahu memandu ke, hah?!” sergah seseorang.
Sepantas kilat Qisya memusingkan badannya. Terkejut blue hypoo betina dia bila mendengar ‘kelembutan’ bahasa yang digunakan oleh seorang hamba ALLAH. Sehingga melopong mulutnya dengan bentuk ‘O’. Nasib baik lalat tak masuk ke dalam. Tanpa bagi salam terlebih dahulu, lelaki itu terus sahaja menyergah dia dengan panggilan ‘hoi’. Tak beradat sungguh! Dressing punyalah smart persis orang kaya-raya tapi bahasa hancor!! Macam orang takde sekolah. Macam orang tak lulus exam.
Bukankah budi bahasa, budaya kita? Mana perginya budi bahasa mamat ni? Buat sayang duit Kerajaan saja buat iklan ‘budi bahasa, budaya kita’. Susah payah Datuk Siti Nurhaliza melagukan iklan itu, tapi mamat sewel ni langsung tak tahu nak gunakan kempen Kerajaan dengan sebaiknya. Cubalah bagi salam dulu. Kan elok…
“Hoi… cik! Awak dengar ke tak? Yang awak pergi tenung muka saya tu, kenapa? Saya cakap dengan awak ni! Bukannya nak suruh awak tenung muka saya begitu. Awak tak tahu memandu ke sampai kereta saya awak nak langgar?” sekali lagi lelaki berwajah kacukan Melayu-Inggeris-Korea itu bersuara. Wajahnya masam mencuka. Tak ubah macam tomyam basi. Ingat hensem sangatlah buat muka macam tu. Aku sekeh kang kepala tu!
Amboi… sedapnya bahasa dia! Berhoi-hoi! Ini sudah tahap terlampau kurang ajar. Dia yang hampir nak melanggar kereta aku, dia pulak yang terlebih marah tak tentu pasal dan tuduh aku yang nak langgar kereta dia tu. Tiga suku agaknya mamat ni. Entah-entah kat otak dia tu ada banyak wayar yang dah tercabut. Sebab tu tak betul! Rungut hati Qisya.
Excuse me? Apa awak cakap? Saya tak tahu memandu? Helo encik… jangan nak tuduh sembarangan tau! Saya yang tak tahu memandu atau awak yang tak pandu dengan cermat? Kalau dah rasa diri tu bersalah, jangan nak tunding jari pada orang lain pulak. Mentang-mentang awak pakai kereta besar, jangan ingat awak tu hebat sangat.” Giliran Qisya pula menyerang.
Kalau kau keturunan harimau, hah… aku ni pulak keturunan singa jadian! Marilah bertarung mulut siapa paling laser. Setakat ni, aku belum pernah kalah kalau bab-bab mulut laser ni. Dengan lelaki berlagak tahap maksimum seperti mamat ni, tak payah nak tunjuk alim. Tak guna nak lembut-lembut. Buang masa saja. Dah dia mulakan dengan kasar, aku pun ikut aje la rentaknya tu. Baru kena buku dengan ruas.
Qisya mencebik. Meluat tahap loya dia melihat muka lelaki yang sedang berdiri sambil berpeluk tubuh di hadapannya itu. Nampak saja hensem, tapi bila tiba bab tata susila, hancur! Gagal! Markah 0.00 peratus! Pangkat F! Aku memang pantang Tok Janggut bila terjumpa dengan makhluk ALLAH yang berlagak seperti dia ni. Rasa tergugat kesabaranku. Hilang sifat-sifat muslimah sejati yang tertanam dalam jiwaku selama ini. Rasa macam nak bagi makan penampar free of charge aje. Orang-orang kaya memang seperti ini, tak? Berlagak dan sombong tahap dewa. Ingat mereka tu dah hebat sangat agaknya?! Sebab tu tak peduli hati dan perasaan orang lain. Tapi mereka lupa, mereka juga hamba yang dicipta oleh ALLAH. Tak ada beza dengan orang-orang biasa seperti kami ni. Qisya bersoal jawab dengan dirinya sendiri.
“Hei… cik! Awak ni tak tahu undang-undang ke? Sepatutnya bila awak berada di simpang jalan nak keluar, awak kena berhentikan kereta awak tu dan pandang kiri kanan sebelum nak keluar. Bukan main rempuh macam lembu melintas jalan. Lesen apa yang awak pakai? Sampaikan undang-undang jalan raya yang simple macam tu pun awak boleh tak tahu. Awak guna lesen terbang, ya?” spontan lelaki itu mengenakan Qisya.
Bulat mata Qisya mendengar kata-kata lelaki itu. celupar betul! Rasa macam nak tampar saja mulut dia tu. Salah aku sorang saja yang dia nampak. Sedangkan dia pun bersalah jugak. Adakah undang-undang jalan raya yang menyebut kita perlu lajukan kenderaan bila masuk ke simpang? Tak ada, kan? Jadi maknanya dia pun salah jugak! Bukan aku sorang je.
Hei… encik! Cakap tu baik-baik sikit, ya?! Saya yang guna lesen terbang atau awak yang memandu tanpa lesen. Dah tahu nak masuk simpang, perlahankanlah sikit kelajuan kereta awak tu. Tak payah nak laju-laju. Ini tidak! Laju mengalahkan Michael Schumacher. Ingat jalan raya ni dikhaskan untuk awak seorang saja ke? Sampai nak memandu pun macam tu sekali???” balas Qisya. Intonasi suaranya sudah menggunakan key tinggi ala-ala Ziana Zain mendendangkan lagu popularnya, Madah Berhelah.
Sakit benar hatinya bila dengan selamba lelaki sewel itu menuduh dia menggunakan lesen terbang. Begitu bersusah payah dia mendapatkan lesen dengan jayanya, ada pulak manusia tak siuman yang mengatakan lesennya itu adalah lesen terbang. Bukan senang dia nak berdepan dengan Pegawai JPJ yang bermisai tebal sewaktu menghadiri ujian memandu dulu. Terketar-ketar juga segala tulang belulangnya. Mujurlah dia terror dan lulus dengan muka yang cukup bangga. Walaupun dalam hati bukan main takut lagi dia bila berdepan dengan tok misai yang garang tu. Kini, ada pula spesis lelaki yang menyakitkan hati menuduh dia guna lesen terbang.
“Kalau awak dah kepingin sangat nak pandu kereta macam pelesit kota, saya cadangkan awak pergi litar lumba. Kat sana tak ada sesiapa nak larang awak pandu laju. Biarpun awak pandu macam nak bunuh diri aje. Ingat sikit encik, sini jalan raya! J.A.L.A.N R.A.Y.A, jalan raya! Bukannya litar lumba untuk awak pandu kereta pada had laju melebihi 210 kilometer sejam. Kalau iye pun dah kemaruk sangat, bukan kat sini tempatnya. Sini jalan raya yang digunakan oleh orang ramai. Bukan untuk awak seorang. Ada faham?!” dengan lancar dan berani Qisya menyambung kembali kata-katanya. Siap dengan mengeja perkataan JALAN RAYA lagi agar lelaki itu faham dengan lebih jelas. Kalau tak faham juga, tak tahulah. Pinggangnya juga sudah dicekak ala-ala ibu tiri bawang putih. Nak tunjuk garang la kononnya tu.
Lelaki berbaju T-Shirt putih jenama Polo dan berseluar jeans hitam itu mendengus. Geram dengan kelancangan mulut gadis di hadapannya itu. Tak padan kecik! Tapi mulut pedas macam cili padi.
Belum pun sempat lelaki itu hendak membalas kembali kelancangan ayat super power gadis berkemeja T merah menyala itu, telefon bimbitnya mula mengeluarkan alunan suara Jason Mraz mendendangkan lagu I’m Yours. Segera skrin telefon bimbitnya dipandang. Pantas jarinya menekan butang hijau.
Yes, Bad… kejap lagi aku sampai. Ada emergency sikit. Kereta aku nyaris terlanggar dengan kereta perempuan gila. Takpe, aku masih boleh handle perempuan gila ni. Nanti aku cerita. Jumpa kau kat sana.” Sindir lelaki itu. Kemudian handphonenya dimasukkan semula ke dalam poket seluar jeans yang dipakai.
Bulat mata Qisya mendengar kutukan lelaki itu. Giginya diketap. Geram sungguh. Tak guna! Suka-suka hati saja dia panggil aku perempuan gila. Yang dia tu sewel, tak sedar pulak. Dia ni betul-betul cabar tahap kesabaran aku.
“Kalau layan perempuan gila macam awak ni, lama-lama saya pulak yang jadi tak betul. Menyakitkan hati!” kutuk lelaki itu dengan sombong dan lagaknya. Dia terus menuju ke keretanya. Sebelum masuk ke dalam perut kereta, dia sempat mengutip plat nombor keretanya yang terpatah dua akibat pelanggaran tersebut. Hairan juga kerana kereta gadis itu langsung tidak mengalami sebarang kesan calar. Manakala plat kereta BMW 6 seriesnya pulak yang terpatah dua. Jika dibandingkan, keretanya dengan kereta gadis itu, kereta dia lagi mahal. Tapi kenapa hanya keretanya yang mengalami sedikit kecederaan? Takkan BMW cetak rompak pulak?
Ketika keretanya melintasi Qisya, lelaki itu sempat membuang pandangan tajam ke arah Qisya yang masih berdiri di tepi jalan. Qisya pantas membalas pandangan tajam lelaki itu dengan menjelirkan lidahnya. Lelaki itu mendengus. Lantas dia menekan minyak kereta dengan kuat dan laju meninggalkan tempat tersebut dengan muka yang cukup mencuka. Hatinya tidak henti-henti mengutuk perempuan yang membuat moodnya tiba-tiba membara kepanasan.
“Pandulah laju-laju! Kali ni biar bertembung dengan pokok getah. Baru padan dengan muka tu!” teriak Qisya. Walaupun dia sedar bahawa jeritannya itu tidak akan didengari oleh lelaki sombong itu. Pantas, dia menghampiri keretanya.
“Eiii… kalau ikutkan rasa hati, nak aje aku debik-debik kepala mamat sewel tu. Biar dia tahu berbahasa sikit. Menyaktikan hati betul! Pagi-pagi lagi dah rosakkan mood ceria aku. Malang betul!” luah Qisya masih tidak berpuas hati. Sempat juga dia menyepak seketul batu di tepi jalan. Bayangkan saja batu itu adalah lelaki sombong tadi. Perangai buruk seperti bapak jin. Bapak jin?! Hmmm… sedap jugak nama tu. Sesuai sangat diberikan pada lelaki sewel tadi. Bapak Jin!!!

CINTA
MASAM MANIS
**2**

PERODUA Viva warna putih mutiara milik Qisya perlahan-lahan membelok masuk ke halaman rumah teres dua tingkat yang terletak di Taman Teluk Villa. Elok sahaja Viva La Diva diparkir belakang Naza Sutera kuning telur milik Nisya, Qisya pun segera keluar. Kemalangan kecil yang berlaku tiga jam tadi, masih segar dalam ingatannya. Sepanjang dalam pemanduan balik ke KL, Qisya tak henti-henti menyumpah serana lelaki gila yang tak tahu tatasusila itu. Tak guna punya bapak jin! Buat spoil mood aku aje! Kalau aku jumpa dia lagi, aku sekeh-sekeh kepala dia. Biar jadi tak betul. Biar di pos ke Tanjung Rambutan. Buat malu aje jadi orang Malaysia, tapi tak tahu nak berbudi bahasa!
Huh… releks Qisya! Releks… jangan layan sangat emosi kau tu. Lupakan saja perkara tadi. Dah sampai rumah ni, kenalah senyum dan tunjuk muka happy. Kalau buat muka monyok macam tikus mondok ni, sah dua minah kerek kat dalam tu akan memulakan edisi siasat. Bukannya kau tak faham dengan perangai minah berdua tu. Menyiasat mengalahkan pegawai polis aje lagaknya. Malaslah nak bersoal jawab dengan dua polis tak bertauliah tu. Lagipun, bila ingat balik tentang si bapak jin tu, menyakitkan hati aje. Tak pasal-pasal nanti terkena darah tinggi sebab marah-marah. Releks… releks…
Qisya memberi motivasi pada diri sendiri. Nafas ditarik panjang. Lalu dihembus perlahan-lahan. Itu petua yang babah berikan. Kata babah, bila rasa marah menguasai diri, tarik nafas panjang-panjang. Lepas tu hembus. Bila tak tenang juga, pergi ambik air wuduk. Insya-ALLAH rasa marah akan reda.
Buah-buahan yang dibekalkan oleh umi di bonet kereta segara di ambil. Beratnya! Ini buah ke batu? Omel Qisya sendiri. Memang sudah menjadi kewajipan umi, setiap kali dia balik ke kampung pasti akan dibekalkan dengan pelbagai barang bila balik ke Kuala Lumpur. Kadang-kadang umi juga akan bekalkan belacan untuknya. Kata umi, untuk bekalan dunia dan akhirat. Hai, pandai jugak umi buat loyar buruk. Ingatkan babah seorang aje yang kaki loyar buruk di rumah. Rupanya umi pun 2x5. Tak hairanlah kenapa anak-anak Haji Zahiddin semuanya kaki loyar buruk. Keturunan rupanya.
Ketika hendak melangkah masuk ke dalam rumah, baru Qisya perasan kelibat Encik Darish yang sedang sibuk mencuci kereta Honda City silvernya di halaman rumah milik lelaki itu. Biasanya, orang cuci kereta waktu pagi. Tapi Encik Darish pula lebih suka mencuci keretanya waktu petang. Kerap kali juga Qisya terserempak dengan jirannya itu mencuci kereta sebelah petang seperti ini. Entah apalah yang istimewa sangat cuci kereta sebelah petang ni? Tidak pula Qisya mahu mengambil tahu dengan lebih lanjut. Takut juga kalau Encik Darish melabelkan dia sebagai ‘wartawan Taman Teluk Villa’. Tak pasal-pasal dia dapat jawatan baharu pula disebabkan keprihatinan tahap melampaunya itu. Mungkin dah jadi tabiat semulajadi lelaki itu agaknya. Senang Qisya memutuskan sendiri jawapannya.
Qisya yang memang sudah terkenal dengan sifat mesra rakyat dan alamnya terus menegur jirannya itu. Tak eloklah dia lalu-lalu macam itu aje. Nanti dikata sombong pulak. Hidup berjiran ni kenalah bertegur sapa. Kalaulah dia dicalonkan sebagai wakil rakyat di taman tempat dia tinggal ini, tentu ramai yang mengundi. Maklum, terover peramah katakan!
Makcik Bedah yang duduk hadapan rumahnya itu juga dah jadi geng sekutunya. Bukan setakat makcik Bedah, Tuty si pembantu rumah Encik Roslan dan Puan Nora juga merupakan gengnya. Kalau terjumpa, pasti berjam-jam juga dia, makcik Bedah dan Tuty bergosip. Bergosip berita hiburan aje tau, bukannya mengumpat hal jiran tetangga. Maklum… Qisya, makcik Bedah dan Tuty ni minat gila kat Awal Asahari. Pada mereka bertiga, si Awal Asahari tu boleh dinobatkan sebagai ‘Lelaki Melayu Terakhir’. Hensem! Tak ada artis lelaki yang boleh menandingi kehenseman milik Awal Asahari pada pandangan mata mereka. Boleh histeria mereka bila tiba bab cerita terbaharu mengenai pelakon pujaan hati itu. Malah, bila si Aawal digosipkan bercinta dengan Scha Al-Yahya, mereka inilah yang terover gembira. Pasangan yang secocok, kata Tuty. Qisya dan makcik Bedah mengangguk-angguk tanda setuju sangat.
“Assalammualaikum, Encik Darish. Tengah buat apa tu?” sapa Qisya dengan wajah yang ceria. Senyumnya juga meleret dengan lebar. Hingga terserlah giginya yang putih bersih. Persis nak buat iklan ubat gigi pulak dah.
Hai, buta agaknya budak Qisya ni? Buat soalan pun, soalan tak berapa bijak. Takkan tak nampak yang Encik Darish tu tengah cuci kereta. Takkan cuci pinggan mangkuk pulak! Itu pun mahu tanyakah? Hisy… cubalah buat soalan yang canggih sikit. Ini tak, soalan bodoh macam itu jugalah yang ditanyanya. Lantak engkaulah Qisya Nur Alifa oiii! Yang penting kau dah tegur. Walau sebodoh mana pun teguran yang kau berikan, at least kau dah buktikan yang kau ni memang insan yang peramah dan mesra alam sekitar.
Encik Darish yang sedar ada suara seorang perempuan menegurnya, pantas berpaling. Suara serak-serak basah itu memang amat dikenalinya. Wajahnya masam mencuka. Langsung tidak menunjukkan sifat ramahnya selama ini. Salam Qisya juga langsung tidak dijawab. Tak tahulah pula kalau-kalau Encik Darish jawab salam Qisya dalam hati aje. Lagipun berdosa kalau tak jawab salam yang diberikan. Laju saja kaki Encik Darish melangkah masuk ke dalam rumah. Keretanya yang masih bersabun langsung tidak dihiraukan. Jika boleh, dia memang tak mahu bersemuka dengan perempuan-perempuan di sebelah rumahnya itu. Ada sesuatu yang menyakitkan hatinya. Inilah yang dikatakan, kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. Iya la… disebabkan seorang perempuan sahaja, tempiasnya terkena juga pada dua orang perempuan dalam rumah tu.
Aduh… Fening! Fening! Entah ayat apalah yang penulis gunakan ni.
Dahi Qisya berkerut. Hairan binti pelik dengan sikap Encik Darish yang tiba-tiba sahaja berubah kepada ribut taufan. Selalunya, lelaki itu cukup ramah dengan tutur bahasa yang sopan dan senyuman yang tidak pernah lokek di bibir. Tapi hari ini, lain pulak jadinya. Wajah Encik Darish masam mengalahkan asam jawa adabi yang selalu Nek Tee gunakan untuk menggoreng ikan di kampung.
Datang bulan agaknya mamat ni! Tiba-tiba aje mencuka. Hisy… teruknya bila orang lelaki datang bulan. Muka kecut mengalahkan orang perempuan. Qisya sudah membuat andaiannya sendiri. Hajat dihatinya hendak menyedekahkan sedikit buah-buahan yang dibawa dari kampung pada Encik Darish. Tapi memandangkan lelaki itu moody semacam, terpaksalah Qisya membantutkan hajat murninya itu. Anggap saja bukan rezeki Encik Darish buah-buahan yang dibawa dari kampung.


“WAH… banyaknya buah Qisya bawa balik dari kampung. Tengok ni! Macam-macam ada. Buah rambutan ada, langsat ada, manggis ada, buah durian pun ada. Rasanya sebulan makan pun belum tentu akan habis. Kalau hari-hari macam inikan best.” Mulut Casabelle sudah pot pet-pot pet macam mak nenek sewaktu menyambut dua plastik besar yang dihulurkan Qisya padanya. Tak sabar rasa hatinya hendak membuka buah durian yang baunya sudah semerbak memenuhi ruang rumah. Tak sempat-menyempat lagi dia hendak membawa bungkusan 2 plastik besar berisi buah-buahan itu ke dapur. Laju sahaja dilonggokkan di tengah-tengah rumah. Memang dasar anak-anak dara pemalas betul perempuan-perempuan dalam rumah ni.
Hmmm… umi aku yang bekalkan untuk korang berdua. Kalau ikutkan aku, jangan haraplah. Tak sanggup aku nak kutip buah-buah ni semua. Buat penat aje. Kalau disuruh makan tu, akulah yang paling rajin.” Ujar Qisya bersahaja. Dengan selamba biawak betina hidup, dia merebahkan tubuhnya di atas sofa. Bukan main sedap lagi dia landing sambil mengoyang-goyangkan kakinya. Ingat dia tuan puteri agaknya.
“Tahu! Kalau nak harapkan kau kutip buah-buah ni untuk kami, hmm… kempunanlah kami jawabnya. Bukannya kami tak faham dengan perangai kau yang satu tu. Pemalas tahap ular sawa.” Balas Nisya sambil mengopek buah durian. Casabelle yang sudah bersila di depannya tidak sabar-sabar lagi hendak makan buah durian itu. Meleleh-leleh air liurnya.
Qisya mencebik. Malas hendak memberi sebarang komen. Kepenatan memandu seharian masih lagi terasa. Sekarang dia mahu merehatkan sistem tubuhnya. Suara Casabelle dan Nisya yang riuh menikmati kelazatan buah durian, langsung tidak dihiraukan. Aroma buah durian yang menusuk ke lubang hidung tidak dihiraukan. Dia sudah puas menikmati raja buah itu di kampung. Matanya dipejam seketika.


“SIKITLAH! Kedekut nak mampus!” Casabelle mencebik bila Nisya melarikan buah durian di tangannya.
“Sikit… sikit! Sejak dari tadi aku jadi tukang kopek, kau pulak jadi tukang makan. Kalau kau nak, kau kopeklah sendiri. Ingat senangkah nak kopek buah durian ni?” sanggah Nisya. Seulas buah durian dimasukkan ke dalam mulut. bukan main berselera dia menikmatinya. Sengajalah tu nak buat si kawan terliur.
“Hoi… durian aku la!” jerit Nisya sambil menampar tangan Casabelle yang sudah mencapai sebiji buah durian yang baru dikopeknya.
“Korang berdua ni boleh tolong diam, tak? Aku nak tidur kejap pun tak boleh. Baru nak start enjin mimpikan Awal Ashaari, suara korang berdua dah kacau daun. Hinggakan Awal Ashaari pun tak jadi nak ajak aku keluar dating dengan dia gara-gara suara korang berdua.” Marah Qisya bila mulut Casabelle dan Nisya belum ada tanda mahu berhenti. Sumbat kang buah durian tu dengan kulit-kulitnya sekali, seumur hidup tak dapat nak bercakap. Menyakitkan hati betul dua minah kerek ni. Kalau aku tahu macam ni kejadian dua minah kerek ni, baik aku tak payah bawa buah-buahan ni balik KL. Hisy! Macam tak pernah makan aje gaya diaorang berdua. Buruk bebenor.
“Alamak! Sleeping Beauty dah marahlah.” Ucap Nisya sambil tergelak. Casabelle yang duduk bersila di depannya turut tersengih lucu. Mulutnya yang masih berisi dengan buah durian itu membuatkan dia tidak dapat hendak ketawa. Nanti tak pasal-pasal dia tercekik biji durian pulak. Tak ke haru blue hidupnya.
Qisya mendengus. Geram pula dengan perangai dua sahabatnya itu. Tak boleh nak bersikap serius sikit. Umur dah dua puluh empat tahun, tapi perangai macam budak-budak yang baru umur lima tahun. Kalau kahwin, dah lama beranak-pinak. Entah-entah dah bercucu-cicit. Hisy… takkanlah sampai ke cucu cicit pulak! tak logik betul pemikiran si Qisya ni!
“Dahlah tu Qisya. Tak payah kau nak tayang muka garang begitu. Tak menakutkan langsung. Buat aku terasa lucu tu, ada la. Geli ulu hati dan lubang hidung aku tengok muka kau macam tu.” Nisya masih ketawa. Muka garang Qisya cukup lucu pada pandangan matanya. Tak menakutkan sungguh. Muka comel macam tu… mana ada orang nak takut. Biarpun buat muka garang seperti singa betina sekali pun. Lainlah kalau muka ala-ala Mak Lampir. Sah semua orang lari lintang-pukang.
Dengan wajah yang cukup garang, Qisya menghadiahkan dua sahabatnya itu dengan jelingan maut. Namun, entah kenapa dia tak dapat nak serius sangat dengan dua sahabatnya ini. Laju saja tawanya turut sama mengelegak. Bergema rumah itu dengan hilai tawa tiga ekor hantu. Seorang pontianak harum sundal malam, seorang pontianak kampung batu dan seorang lagi pontianak cina.
“Hoi… orang sebelah! Tak reti nak duduk diam ke? Memekak aje petang-petang ni! Mengganggu ketenteraman awam sungguh! Orang nak tengok tv pun tak concentrate dengar hilai tawa macam pontianak dapat darah! Kalau nak ketawa pun, agak-agaklah. Janganlah sampai boleh dengar suara tu satu taman!” Laung suara sebelah rumah yang cukup mereka kenali. Hairan?! Macam mana Encik Darish boleh dengar hilai tawa mereka bertiga? Besar sangatkah suara ketawa mereka? Atau telinga Encik Darish tu yang terlebih prihatin? Sampaikan jiran sebelah rumah terkentut pun dia boleh dengar. Entahlah…
Qisya dan Casabelle terus diam menikus. Terkedu mereka mendengar suara Encik Darish yang bergema dengan kuat. Tinggi mencakar langit. Manakala Nisya pula hanya buat muka selamba biawak. Langsung tidak memberi sebarang respons. Malas dia hendak melayan perangai jiran sebelah rumahnya itu. Emo mengalahkan orang perempuan datang bulan. Tak gentleman sungguh!
Wei korang! Kenapa dengan Encik Darish tu, arr? Tadi waktu aku sampai, dia ada kat depan rumah dia tu. Macam biasalah, tengah cuci kereta kesayangan dia. Jadi aku pun dengan mesra rakyatnya pergilah tegur dia. Iyelah, kan kita ni hidup berjiran. Kenalah beramah mesra. Takkan nak menyombong tak bertempat pulak. Boleh pulak dia buat tak layan aje. Dah tu buat muka masam macam cuka expired. Dia tu kenapa ar? Aku pelik betul dengan perangai dia hari ni. Macam orang perempuan datang bulan pulak.” Qisya bercakap dengan nada yang agak perlahan. Takut juga kalau-kalau jiran sebelah rumah mereka itu terdengar apa yang diperkatakannya. Tak pasal-pasal, mengamuk pulak Encik Darish satu taman. Tak ke naya?
Casabelle mengangkat bahu. “Entah! Kau tanyalah orang yang duduk depan aku ni. Mana tahu dia ada jawapan.” Dengan mulut yang masih berisi dengan buah durian, Casabelle memuncungkan mulutnya ke arah Nisya. Mahu tersedak kawan seorang tu dibuatnya. Mujur tak tertelan biji durian. Bulat mata Nisya jadinya. Hisy… mulut tempayan betullah amoi ni. Gumam Nisya dalam hati.
Qisya sudah mengecilkan mata. Renungannya tajam menatap wajah Nisya yang masih beriak selamba. Konon nak kontrollah tu. Ini mesti ada apa-apa. Kena korek sampai ke lubang cacing. Tak acilah kalau Qisya seorang sahaja yang tak tahu kenapa jiran sebelah mereka itu boleh jadi sebegitu. Hatinya kuat mengatakan perubahan lelaki itu ada kena-mengena dengan sahabatnya yang seorang ini. Bukannya dia tak nampak macam mana cara Encik Darish pandang Nisya. Seperti ada sesuatu yang terpendam dalam hati. Bila bercakap dengan Qisya dan Casabelle pun, jelingan Encik Darish tetap terarah pada Nisya. Cuma Nisya aje buat-buat tak tahu. Hmm… dalam hati ada cinta agaknya.
Tapi, ok apa?! Encik Darish tu tak kurang pun hensemnya. Wajah lelaki melayu tulen. Sekali pandang, ada iras-iras Fahrin Ahmad. Sesuai sangat dengan Nisya yang berwajah ala-ala gadis Jepun. Esok lusa bila ada anak, sah akan mewarisi genitik ayah dan ibu mereka. Hehehe…
Aduh! Sampai begitu jauh sekali si Qisya ni berangan. Dia pulaklah yang terover excited.
“Kenapa dengan Encik Darish tu, Nisya?” Qisya mengajukan soalan kepada Nisya yang masih dengan keselambaannya. Sedangkan dalam hati hanya ALLAH saja yang tahu betapa dup dap-dup dap jantungnya sebaik saja anak mata Qisya terarah ke wajahnya. Bukannya Nisya tak faham dengan perangai Qisya yang suka korek rahsia orang tu. Kalau boleh, semua dia nak ambil tahu. Dasar kaki sibuk.
“Entah!” sepatah perkataan yang keluar dari mulut Nisya. Pantas dia mengambil seulas lagi buah durian lalu dimasukkan ke dalam mulut. Anak matanya langsung tidak mahu dihalakan pada Qisya yang masih merenungnya dengan tajam.
“Alaaa… Qisya, Encik Darish tu bukan apa. Dia sebenarnya stress tahap meroyan sebab tak berjaya dalam misi nak mengajak cik Danisya Izzati yang keras kepala ni keluar dating. Tu yang jiwa kacau. Otak berserabut. Muka serabai. Sampaikan semua orang dia nak bagi jelingan maut. Bukan kau seorang aje yang kena, aku pun terkena sama. Tak pasal-pasal terkena jelingan maut si mamat sebelah tu. Ini semua gara-gara perempuan keras kepala ni punya pasallah. Dah orang ajak pergi dating tu, ikut ajelah. Ini nak jual mahallah pulak.” Casabelle mencelah bila melihat Nisya langsung tidak mahu menjawab pertanyaan Qisya.
Dengar sahaja ayat yang keluar dari mulut Casabelle, Qisya tersenyum lebar. Bukan main suka lagi dia. Si kawan yang mendengar sudah merengus kasar. Tak boleh simpan rahsia betul Casabelle anak uncle Chong ni. Aku sumbat mulut tu dengan buah durian ni, baru padan dengan muka tu. Bisu satu tahun! Hisy…
Owhhh… macam tu ceritanya. Ada orang jual mahallah ni, ya?” Qisya mengusik. Dia dan Casabelle sudah mengekek dengan tawa. Lucu melihat air muka Nisya yang sudah berubah kemerah-merahan menahan rasa di antara malu dan geram.
“Hah, ketawalah puas-puas! Ketawa sampai terkeluar isi perut tu. Dah puas ketawa nanti, jangan lupa kemas kulit buah durian yang bersepah ni. Aku nak pergi mandi. Tak kuasa nak melayan korang berdua! Buat sakit hati saja.” Arah Nisya yang sudah bangun dengan wajah yang masam. Lantas dia naik ke tingkat atas dengan kaki yang sengaja dihentak menandakan betapa dia geramnya dia.
Qisya dan Casabelle saling berpandangan. Kemudian tawa keduanya pecah kembali. Gamat rumah teres dua tingkat itu dengan usikan mereka yang tak henti-henti. Nampak gayanya, sebulan jugalah Nisya terpaksa tadah telinga mendengar usikan dua sahabat baiknya itu. Itu pun kalau sebulan, kalau setahun, macam mana? Huhuhu